Friday, November 9, 2012

Cuti yang yeay! (Memolek Waja)

Salam yeay!

Minggu depan Pida akan bercuti seminggu, insya Allah. Pohon 3 hari, dapat 9 hari straight cuti. Pida dah bagi warning ala-ala manja kat staf Pida, minggu depan saya cuti seminggu. Korang jangan cuti pulak. Nanti takde siapa jaga unit kita ni.

Insya Allah minggu depan Pida akan balik kampung. Dah rindu rasanya nak jumpa mak dan ab. Entah khabar apakah mereka di sana saat ini.

Kemudian pada hujung minggu hadapan, Pida akan ke Jay Bee untuk menghadiri kenduri kahwin sepupu di Skudai. Pida teruja nak pergi ke JB. Dah lebih 5 tahun Pida tak ke sana walhal dulu Pida sempat belajar dan bekerja sementara di jb. Di jb jualah ada kenangan tersendiri.

Mengetahui Pida akan melalui perjalanan yang panjang, maka Pida telah mempersiapkan kenderaan Pida ke satu paradigma baru.

Yang pertama, tukar tinted. Pida kopek yang lama yang dah berbuih-buih tu dan Pida gantikan dengan yang baru yang lebih gelap dan redup. Tak ada jenama tapi Pida rasa ia barang baik. Asalkan kami anak-beranak rasa redup di dalam kereta itu sudah memadai.

Namun Pida ralat jugak sebab budak yang buang filem tinted lama telah merosakkan lapisan heater pada kereta Pida. Sekarang ni heater tu dah tak berfungsi lagi. Pida sentap sangat-sangat kat budak tu.


Selepas tinted baru. Memang gelap tapi sayangnya budak tu telah putuskan line heater sehingga merosakkannya. Ada cara tak nak baiki selain tukar cermin dan saman kedai?

Tapi Pida suka pada tinted baru itu sebab bila melihat ke luar tingkap, rasa macam kita pakai spek mata hitam yang ada penapis UV. Bukan semata-mata filem plastik hitam yang tiada penapis UV. Harganya boleh tahan, tapi masih lebih murah jika dibandingkan dengan jenama Vkool, SunCool, Eco Tint dan 3M.


Yang kedua, Pida tukar logo Proton kepada logo baru. Yang ini bukan keperluan, tapi kehendak. Saja teringin nak mekap kereta. Harga 2 bijik logo ni ialah RM60. Perasaannya macam kereta baru keluar dari kilang sahaja.





Yang ketiga, Pida tukar karpet dalam. Karpet lama dah lusuh, dah tak cantik dipandang. Jadi semalam di kedai yang sama Pida tukar 5 keping karpet dengan harga RM90.


Kali ini Pida pilih warna karpet yang lebih gelap daripada warna sebelum ini.


Kenapa ek tiba-tiba Pida jadi rajin mekap kereta? Puncanya ialah masa tu Pida naik kereta rasmi kementerian untuk ke tempat mesyuarat. Kereta tu sama je dengan kereta Pida, tapi bila Pida duduk di dalamnya, Pida rasa kereta tu cantik sangat, bersih, baru dan wangi. Jauh beza dengan kereta Pida sendiri.

Barulah Pida sedar bahawa kereta kesayangan yang Pida gelarkan Waja itu telah lama Pida abaikan. Asal ada minyak, asal ada stereng, kira oklah tu. Pida lupa bahawa Waja juga perlu disolek dan dimolekkan. Maka sebab itulah Pida beria-ia mekapkan Waja mengikut kemampuan bajet.

Namun itu semua kosmetik semata-mata. Bagaimana pula dengan faktor keselamatan? Jangan bimbang, minggu lepas baru je suami Pida pasang timing belt yang baru. Tayar pun baru tukar. Tayar ni bagus sebab bila pijak air lecak, kereta tak mengempar. Dia akan perlahankan kereta dengan sendirinya. Tinggal nak servis air-con je ni. Insya Allah selamat dan selesa perjalanan kami nanti.

Hari ni Pida kena selesaikan semua kerja advanced untuk seminggu nanti. Senang hati bila bercuti tanpa tunggakan kerja.

Kepada kau yang kusayang, doakanlah agar percutian Pida selamat, gembira dan diberkati.

Cuti! Yeay!


Thursday, November 8, 2012

Kerana kau seekor tikus

Salam tikus,

Pagi tadi adalah hari yang penuh mencabar bagi Pida. Marilah kita flashback.


<Malam sebelumnya>

Pida sedang menyidai kain di dalam rumah. Kenapa sidai di dalam rumah? Sebab hari hujan memanjang. Kalau sidai kat luar gerenti tak kering la baju-baju kami. Kalau tshirt takde takpe lagi, kalau yang dalam-dalam tu tak kering, masalah oooo!

Sedang Pida menyidai kain, tiba-tiba terdengar suatu bunyi aneh. "Cit!" Begitulah bunyinya lebih kurang. Bunyinya nyaring. Pida dah agak, ini kalau tak ayam serama, mesti cikCT ni. Hehe... maksud Pida ialah mak menti.

Kau tau ke mak menti tu apa? Pida ni orang kampung, menatang tu Pida tak panggil tikus, tapi mak menti. Orang kata kalau sebut nama dia nanti makin banyak. Orang kata, bukan Pida kata.


Makhluk comel macam saya ni pun Kak Pida tak suka ke?


Jadi Pida pun berkata pada suami Pida, "Abang, rumah kita ada mak menti la. Apa kata abang beli buku gam."

Suami Pida pun keluar membeli buku gam yang dimaksudkan. Dia beli 3 buah. Satu harganya RM3.50. Ia berbentuk buku, tapi sebenarnya gam untuk tikus yang sangat kuat. Bukan hanya tikus, gajah pun boleh melekat kat buku gam tu.

Jadi Pida pun letakkan buku gam tu di sudut-sudut strategik yang mungkin menjadi laluan mak menti tersebut. Kita tunggu keputusannya esok.

<Esoknya pagi-pagi>

"Wah...!!! Jerat kita dah mengena!" Jerit Pida memecah kesunyian subuh hari. Betul la jangkaan Pida, mak menti yang berbunyi malam tadi dah melekat pada gam itu. Pida pun dukung Sufi yang kebetulan dah bangun untuk melihat tikus tersebut. Dah macam melawat petting zoo pulak.

Bila ditengok dekat-dekat, ia bukanlah tikus biasa. Tetapi ia adalah seekor cencurut. Mulutnya panjang gitu. Ia sedang berusaha keras untuk melepaskan dirinya. Pida pun tunjukkan pada Sufi.

"Ti... kus," Pida mengajar Sufi bercakap.

"Ti... tus," Sufi mengikut dengan yakin. Yelah, titus titus lah. Dan kembali semula ke atas untuk memandikan Sufi.

Tak lama kemudian, suami Pida bertanya, "Mana tikus tadi?"

Haa... mana tikus tadi? Bukan dah melekat ke? Takkan dah berjaya melepaskan diri?

Memang tikus tu dah berjaya meloloskan diri. Dia meninggalkan bulu-bulunya pada gam tersebut. Begitu kuat sekali dia meronta-ronta.

Ini adalah masalah. Tikus yang telah dijerat telah berjaya melepaskan dirinya. Masalahnya ialah, di mana tikus tersebut?

Jadi pagi-pagi buta pukul 6.50 pagi tu kami bersiap siaga untuk menangkap tikus itu semula. Pida nampak tikus tu berlari-lari anak masuk ke bawah sofa. Pida angkat sofa tu. Dia lari pulak ke bawah rak tv. Pida angkat rak tv tu. Eh, dia lari balik ke bawah sofa.

Kau main kejar-kejar dengan aku eh? Kau ingat kau siapa ha? Kau dan aku tak setaraf ok!

Pida pun bagi isyarat mata kepada suami Pida. Sambil mulut terkumat-kamit dan muncung menghala ke bawah sofa. Suami Pida terkerut-kerut dahi. Pida masih bermain mata dengan dia dan mengherot-herot mulut ke arah bawah sofa.

"Ko cakap je la yang... tikus tu bukan paham pun!" akhirnya suami Pida bersuara selepas dia tak faham maksud isyarat mata Pida. Isyarat mata Pida adalah sama dengan isyarat mata masuk ke bilik malam-malam. Tu yang dia kompius tu!

"Shuuuttt, jangan bising, nanti tikus tu tau kita nak tangkap dia balik..." Pida bersuara separuh berbisik.

"Ok, abang angkat sofa ni, ayang serkup dia dengan gam ni. Tabah ok!" Pida memberi arahan seperti komandan perang sambil tangan menunjuk-nunjuk ke bawah sofa.

"1, 2, 3, SERAANNGGG!!!!" Begitulah aksi Pida. Dengan pantas Pida menerpa ke arah tikus yang terpinga-pinga tu sehingga berjaya menangkapnya semula. Yes, akhirnya tikus tersebut berjaya dilekatkan kembali ke gam tadi. Yes! Kita berjaya abang!

Puas hati aku. Kau ingat kau terrer sangat? Aku ni lagi terrorist tau. Tapi takpe tikus, tadi aku nampak kau terlekat bersama mainan anak aku yang turut sama terlekat. Kira kau ada mainan jugak. Ok apa.

Selepas itu Pida terus masukkan tikus tersebut ke dalam beg sampah dan terus buang di dalam tong sampah. Harap-harap orang angkat sampah tu tak terkejut bila melihat ada tikus di dalam sampah Pida.

Selepas itu suami Pida pun berkata ala-ala manja gitu, "Ayang tadi buat isyarat mata eh?"

"Isyarat mendenya?! Aku dah lambat nak gi opis ni!"



Wednesday, November 7, 2012

Rumah dia murah rumah aku mahal

Salam rumah,

Semalam Pida baru balik dari Ipoh kerana bermesyuarat di sana. Akhir-akhir tahun ni memang kena pergi mesyuarat di sana sini. Sebab nak kutip laporan semua projek yang berjalan sepanjang tahun 2012 ni. Paling penting semua bayaran dah dilunaskan untuk mengelakkan AP58(a).

Di Ipoh, Pida menumpang teduh di rumah member comolot Pida. Dia ni kawan baik Pida. Kawan baik sangat-sangat. Segala rahsia rumahtangga kami tak kongsi bersama-sama. Kawan Pida ni nama dia Siti tapi oleh kerana nak jimat, Pida panggil dia Sit aje.

Sit selalu komplen kalau dia berada dengan Pida, urat pipi dia selalu putus sebab asyik gelak je. Dia kata Pida ni pak lawak. Pida pun tak paham tang mana lawaknya Pida ni. Kadang-kadang Pida tengok dia aje dia dah ketawa terbahak-bahak. Adakah Pida ini terlalu kelakar?

Dialah juga yang selalu beria-ia suruh Pida masuk Raja Lawak. Aku tau la Sit, ko nak aku masuk Raja Lawak sebab ko nak tengok aku tersingkir kan? Busuk ati la ko...

Baiklah, berbalik pada cerita Pida tadi. Pida tidur di rumah dia. Pida memang dah tau dia baru pindah ke rumah sendiri. Dan Pida memang tau rumah dia bukan calang-calang rumah tau, rumah dia rumah banglo sebijik tau!

Sebaik sampai di rumah Sit, Pida terpegun melihat rumahnya. Sangat besar hokey! Dan sangat cantik! Bila masuk ke dalam lagi teruja Pida dibuatnya. Cantik sangat. Syukeee!!!

Jadi sebagai minah kepoh yang berpotensi besar, Pida pun bertanya la tentang rumah dia ni; siapa buat, bila mula, bila siap, siapa design dan akhir sekali soalan yang wajib, berapa juta harga rumah ni? Serius aku terus tanya berapa juta je.

Sit terbahak-bahak ketawa bila Pida tanya berapa juta. Dia kata dia beli tanah lot banglo dan bina rumah ni kos tak sampai RM250 ribu!

Hah? Biar betik ko Sit! Takkan la banglo besar gaban macam ni tak sampai suku juta ringgit? Ko jangan la merendah diri sangat Sit.

Dia kata betul, harga rumah termasuk tanah tak sampai RM250 ribu. Perghhh... Pida dah terduduk kat sofa empuk dia tu. Lepas tu Pida bandingkan dengan harga rumah Pida yang terletak di pinggir KL dekat-dekat Putrajaya/Cyberjaya.

Di tempat Pida pada tahun 2008, rumah teres dua tingkat second hand bahagian tengah (bukan corner atau end lot) dijual pada harga lebih RM250 ribu. Sekarang tahun 2012, rumah yang sama sudah bernilai RM350 ribu.

Itu harga rumah second hand. Kalau rumah baru, harga dibuka mulai RM350 ribu ke atas. Kalau corner lot, mencecah setengah juta. Sekarang trend rumah 3 tingkat, harga mencecah sejuta and the best part is, each unit is SOLD OUT!

Itu nilai hartanah di tempat Pida. Harga hartanah di Ulu Kinta masih jauh lebih rendah. Kalau Pida duduk di sana pun Pida boleh miliki banglo macam Sit sebab gaji kami sama saja. Tapi Pida cuma mampu beli rumah teres dua tingkat bukan baharu di tempat Pida ini.

Namun Pida tak kisah sama sekali. Ini soal rezeki. Rezeki Pida di sini, rezeki Sit di sana. Pida bersyukur sebab Pida sudah memiliki rumah sendiri di kawasan yang baik dari segi kejiranan, warga penduduk sekitar, kemudahan yang lebih daripada cukup dan yang paling penting, tempat Pida aman damai. Alhamdulillah.

Oh ye, entry kali ini adalah mengenai nilai hartanah di Malaysia tetapi di negeri yang berbeza. Masih jauh jurang perbezaan harga rumah dan tanah mengikut kawasan. Sepatutnya harga rumah dikawal ketat supaya pemaju tidak sewenang-wenangnya menaikkan harga rumah atas alasan faktor kawasan emas atau bukan.

Contohnya di tempat Pida ini, jangan haraplah nak jumpa projek rumah setingkat atau apartment lagi. Semua berlumba-lumba nak bina rumah mewah, rumah tiga tingkat. Mereka yang tak mampu terpaksalah gigit jari atau terpaksalah beli rumah ke selatan sikit macam kat Nilai atau Seremban. Itupun harga dah mula naik.

Rumah adalah keperluan asas. Tapi kalau dah harga mencecah ratus-ratus ribu dan di luar kemampuan, memang kempunan dibuatnya. Hai nasib badan...


Kalau banglo macam ni kat tempat Pida, maunya harga RM5 juta! Kredit : www.virtualmalaysia.com


Saturday, November 3, 2012

Tiada jodoh dengan si dia gara-gara mak Pida sendiri

Salam jodoh,

Entry pada hari ini adalah entry cerita. Pida nak ceritakan pengalaman cinta yang belum berputik tetapi telah putus secara tidak disangka-sangka. Dan penyebabnya ialah tak lain tak bukan ibu kandung Pida sendiri; insan yang amat Pida sanjungi.

Ceritanya begini. Mari kita flashback. Hoi kau yang pegang cawan tu dah sedia nak dengar ke tak?

Pada masa itu Pida baru berusia 17 tahun. Masih anak dara sunti. Tengah kembang semangkuk la kata orang. Masa tu jiwa remaja. Perasaan nak cari pakwe tu memang ada la. Maklumlah, hormon remaja sedang menguasai diri, mesti la ada rasa nak disayangi dan menyayangi ecewah gatalnya aku.

Pada suatu hari, Pida mengikut mak pergi bershopping di sebuah pasar raya. Memang menjadi kebiasaan Pida temankan mak keluar membeli-belah sebab Pida tolong mak angkat beg plastik.

Tiba di satu bahagian, iaitu bahagian alat tulis, Pida dan mak membelek-belek barang di situ. Kami saling bersebelahan. Pida kenalah sentiasa berada dekat-dekat dengan mak. Senang nak bodek, nak mintak liquid paper ke, mintak pensel picit-picit ke, mintak file holder ke.

Di hadapan Pida ada seorang abang hensem. Pida yakin dialah jodoh Pida. Pandangan kami bertemu. Sungguh terasa aura cinta bagaikan panah arjuna menikam jantungku. Tiba-tiba dada rasa berdebar-debar, dan Pida terus tertunduk malu tanda setuju... Mak, perkenalkan bakal menantu mak.... pelawa Pida dalam hati sambil tersipu-sipu.

Akhirnya Pida bertemu jua dengan jodoh Pida.


Sedang hati berbunga cinta, sekali tu ditakdirkan Allah mak Pida terkentut dengan kuat. "Pot!" Begitulah kuatnya kentut mak.

Tetapi mak Pida buat selamba je. Mak lantas meninggalkan Pida terpinga-pinga keseorangan di situ. Abang hensem itu terkejut dan memandang Pida tepat-tepat ke muka Pida yang dah berubah menjadi muka gajah.

Pida terkunci di situ. Abang, sumpah bukan saya yang kentut! Tapi hanyalah sia-sia kerana jodoh Pida itu telah berlalu pergi sambil menggeleng-gelengkan kepalanya. Cinta kami terlerai begitu sahaja akhirnya.

Begitulah tragisnya percintaan Pida. Cinta terhalang gara-gara mak sendiri. Ooohhh....


 Namun akhirnya cinta tersebut terlerai tanpa sempat diisytihar!

Thursday, November 1, 2012

Anak kecik naik motor

Salam motor,

Semalam sewaktu Pida balik dari kerja kira-kira pukul 6 petang, Pida ternampak seorang lelaki bersama seorang budak kecil dalam usia 2 tahun sedang menaiki motorsikal.

Lelaki itu mungkin bapa kepada kanak-kanak tersebut. Atau mungkin abang angkat. Mungkin juga rakan FB. Lantak la. Dia memakai topi keledar sedangkan budak lelaki yang masih kecil itu tidak memakai apa-apa di kepala walaupun gayung.

Sewaktu Pida nampak mereka, motor yang dinaiki itu sedang mencilok simpang dengan lajunya di jalan raya yang besar dan sibuk dengan kenderaan bertali arus. Berderau darah Pida melihat cara lelaki tersebut membelok ke jalan besar itu dengan selamba dan laju. Pida cuma berdoa dalam hati agar budak itu selamat.

Peristiwa semalam mengingatkan Pida kepada kisah yang terjadi kepada Pida sendiri. Mari kita flasback.

Pada suatu pagi yang dingin, Pida sedang bersiap-siap untuk pergi kerja. Kebiasaannya Pida menaiki kereta dan membawa bersama Rania, Aqil dan Sufi yang pada masa itu baru berumur setahun lebih ke taska. Suami Pida pergi kerja naik motor.

Tetapi pada pagi itu, Sufi merengek-rengek nak mintak abah dia bawak jalan-jalan naik motor keliling taman sebelum pergi ke taska. Jadi abah dia pun bawaklah dia naik motor. Pida tunggu sekejap di dalam kereta bersama Rania dan Aqil.

Nak dijadikan cerita, tunggu punya tunggu tak sampai-sampai lagi si Sufi ni. Pida dah lambat ni. Ofis masuk pukul 8.00 pagi. Ni dah pukul 7.35 ni. Eh, mana anak aku ni? Tanya Pida kepada diri Pida sendiri.

Pida tunggu lagi 5 minit. Hati dah mula resah. Kok ngapain tak pulang-pulang? Lantas Pida pun menaiki kereta dan berhenti di pondok pak guard.

"Ada nampak suami saya naik motor tak?" Pida bertanya kepada pak guard warga Nepal tersebut.

"Ada. Dah keluar tadi," jawab pak guard itu dengan sopan.

"Hah?!!" Pida kaget.

"Dia bawak baby ke?!"

"Haah... dengan baby sekali."

Terus rasa nak pitam. Ya Allah, laki Pida dah bawak Sufi pergi taska naik motor!

Memang berderau la darah O Pida ni. Menjerit-jerit Pida di dalam kereta kerana panik. Pida risau sangat sebab Sufi naik motor tak pakai helmet. Dah la dia tu baby lagi masa tu. Naik motor terkinja-kinja seronok sebab dapat angin sejuk.

Bukan sebab angin sejuk yang Pida risaukan. Pida risau sebab jalan ke taska tu jalan besar. Banyak kenderaan termasuk lori-lori bawak tanah lalu-lalang kat situ. Kereta pun laju-laju belaka. Pasang bump pun orang langgar jugak (Pidalah tu). Dan yang paling Pida risaukan ialah sebab masa tu Sufi tak pakai helmet!

Ya Allah, kau selamatkanlah Sufi.... hanya itu yang Pida doa berkali-kali. Dah tak keruan Pida bawak kereta masa tu. Tekan pedal minyak pun rasa macam tak jejak je. Perjalanan yang hanya 5 minit tu dirasakan macam 5 jam. Rania dan Aqil cuma diam melihat mak diorang macam kena histeria. Pida risaukan Sufi yang tak pakai helmet tu! Risaunya Allah je yang tau.

Sebaik tiba di taska, Pida terus mendapatkan teacher. "Sufi dah sampai?" Pida lantas bertanya.

"Dah... ada kat dalam tengah main."  Fuhh... leganya rasa..... Alhamdulillah Sufi selamat sampai. Selepas itu barulah Pida turunkan Rania dan Aqil masuk ke tadika.

Selepas itu barulah Pida rasa boleh memandu dengan tenang. Jiwa dah tak kacau lagi. Bersyukur sangat sebab takde apa-apa berlaku pada Sufi.

Risau kau tau tak bila kita tau baby kita naik motor di jalan besar tak pakai helmet. Kalau apa-apa berlaku pada dia tak ke menyesal nanti? Hish... na'uzubillah.

Sampai sahaja di ofis, selepas parking kereta, Pida terus call suami Pida.

"Abang! pot pet pot pet... bahaya... pot pet.... takde helmet... pot pet... saman...pot pet.... jangan buat lagi.... pot pet pot pet.... i love you too."


Mak sanggup dukung Sufi ke mana-mana asalkan Sufi sentiasa berada di depan mata mak dengan selamat.





Tuesday, October 30, 2012

Konvokesyen UPM ke-36

Salam konvokesyen,

Baru-baru ini suami Pida telah menerima ijazah Master dalam majlis konvokesyen UPM kali ke-36. Pada hari yang bersejarah ini, berdirinya suami Pida di atas pentas Dewan Besar yang gah itu bersaksikan isterinya ini iaitu tak lain tak bukan akulah siapa lagi, dan juga kedua-dua ibu bapa termasuklah mak dan ab sekali.



Suami Pida dapat sesi terakhir, jadi yang menyampaikannya ialah Pro Canselor. Masa Pida dulu sesi pertama sidang pertama, jadi dapatlah Pida menerima ijazah daripada Tuanku Cancelor (DYMM Sultan Selangor). Ada gambarnya terpampang di rumah.

Tetapi sebelum masuk ke Dewan Besar, kami singgah makan dulu di....




Restoran L'apprenti ini terletak di dalam UPM. Restoran ini diusahakan oleh pelajar-pelajar Fakulti Teknologi Makanan. Hiasan dan suasana di dalam L'apprenti sangatlah kondusif, moden, mewah, cantik dan kemas.

Itu adalah pintu masuk utama ke Restoran ini.

Dari ruang tamu ni, nampak ruang dalam restoran.









Mak dan Ab yang mengenakan hijau sedondon. Terima kasih Mak kerana sudi hadir ke majlis konvo menantumu walaupun mak tak berapa sihat pada masa tu.

Mak dan abah memakai merah sedondon. Terima kasih mak dan abah kerana membesarkan suami Pida sehingga berjaya menjadi suami Pida.

Maaakkkk! Kenapa gambar Pida gelap?

Graduan yang diraikan.

Kami makan bersepuluh. Ahli-ahli makan terdiri daripada Pida, suami, mak, ab, mak, abah, 3 orang adik dan Along. Kira family luncheon la ni nak meraikan suami Pida.

Menu untuk appetizer ialah Minestrone Soup yang dicicah bersama roti bawang putih. Sangat sedap! Makan ni pun dah kenyang.

Untuk main course, kami dihidangkan dengan Roasted Chicken Roulade With Butters Green Pea and Mushroom Ragout seves with Chasseur Sauce. Memang agak tergeliat lidah dibuatnya tetapi harus control macho. Sebut saja ayam dengan sos cendawan. Habis cerita.

Aksi pasangan suami isteri yang jarang-jarang dapat makan di restoran mahal.

Ini adalah hidangan pencuci mulut kami atau orang putih panggil dessert. Ia dinamakan Devil Food Cake with Toffee Reduction. Dengar nama pun dah tau antagonis. Belum rasa lagi. Tapi kek ni sedap. Lagi-lagi ada strawberry yang dibelah seksi tu.

Dan yang terakhir ialah air kopi panas. Fuh... sangat sedap dan kenyang. Burp! Alhamdulillah.

Selepas makan, kami bergambar lagi. Tak sudah-sudah sampailah ab kata "Sudah!"


Asyik citer pasal makan je... mana cerita konvonya?

Nak citerlah ni!



Selepas menikmati makan tengah hari dan solat zuhur, kami bergegas menuju ke Dewan Besar tempat upacara pengurniaan ijazah dijalankan. Suami Pida bersiap-siap di kereta. Samalah Pida dulu pun bersiap-siap di kereta juga. Orang lain pun macam tu jugak Pida tengok.


Haaa ni masa Pida konvo 7 tahun lepas. Masa tu Rania 7 bulan dalam perut Pida. Wow! Eksklusif ni kau dapat tengok gambar Pida mengandung! HAHAHA. Zaman tu masih pakai tudung bawal lagi. Ponjot pin atas kepala. Oh ye, kau jangan cuba nak membezakan saiz laki aku dulu dan sekarang. Kau atau laki kau pun sama jugak kan?


Berbalik pada cerita zaman sekarang. Pida tolong pakaikan hood pada suami Pida. Begitu tekun dan penuh kasih sayang aku membuatnya (sebab mak mentua peratikan). Hood dia kaler oren-oren gitu. Hood Pida dulu kaler kelabu metalik. Ikut fakulti la. Pida dulu FSKTM. Perhatikan kat lengan jubah suami Pida tu ada 2 line. Itu untuk graduan master. Kalau bachelor macam Pida kat atas tu satu line je. Kalau PhD ada tiga line bertekat emas. Kalau diploma takde line.

Di dalam dewan, kami duduk di bahagian atas yang dikhaskan untuk VIP. Jangan main-main, Pida ni VIP tau. Very irritating perempuan.

Oleh kerana lama sangat nak tunggu menantu naik pentas, mak dan ab telah tertidur sebentar. Krohhh krohhh.

Akhirnya suami Pida punya giliran pun tiba. Yeay! Laki aku dapat sijil!

Laki Pida kembali ke tempat duduknya. Tuu! Yang tu haa... tak nampak ke? Pida pun tak nampak.

Selepas 3 jam, majlis konvokesyen pun berakhir dengan Pro Cansellor keluar dewan diiringi oleh Naib Cansellor, dekan-dekan fakulti dan pegawai-pegawai.

Cokmar sebagai lambang istiadat dibawa keluar dari dewan.

Di luar dewan, kami pun bergambar-gambaran. Semua graduan bergambar dengan keluarga masing-masing. Suasana agak sibuk pada ketika ini. Maklumlah, sedang meraikan hari bersejarah, mestilah masing-masing nak merakam kenangan manis.

Kanda, terimalah munga ini lambang kasih sayang adinda. Jambangan bunga di UPM ni murah sangat. Yang macam Pida beli tu, harganya cuma RM30. Kalau kat UiTM Shah Alam dah mencecah RM70 tu.

Kanda mawak munga ni sorang-sorang ye... adinda nak mawak henbeg adinda je. "Kenapa adinda sengau?"

Tahniah kanda. Cayunk kanda ketat-ketat! Alhamdulillah, setelah dua tahun bertungkus-lumus, akhirnya suami Pida berjaya menggenggam ijazah Master idamannya. Ingat lagi masa dia mula-mula masuk kelas Master dulu, masa tu Pida baru seminggu lahirkan Sufi. Masa tu suami bagitau, nanti abang konvo masa Sufi umur 2 tahun. Masa tu serius tak dapat bayangkan macam mana muka Sufi 2 tahun. Yelah, masih usia seminggu kan? Pejam celik pejam celik dah dua tahun! How time flies!

Yang didambakan sudah di dakapan.


Ini gambar kenangan semasa Pida berkonvo dahulu.

Pada kesempatan ini, Pida nak ucapkan terima kasih banyak-banyak kepada pegawai-pegawai yang bertugas di dewan besar terutama kepada Encik yang Pida tak tahu namanya kerana telah membenarkan mak Pida melalui jalan pintas untuk menuju ke ruang VIP selepas beliau melihat mak Pida agak susah berjalan. Sekalung penghargaan atas keprihatinan yang dipamerkan.

Terima kasih kepada mak, abah dan adik yang telah mendoakan kejayaan suami Pida. Sokongan kalian adalah tulang belakang pencapaian ini. Sayang mak, sayang abah, sayang adik!

Kepada adik-beradik Pida yang turut menyokong perjuangan suami Pida, terima kasih banyak-banyak. Let's share it together! ps: Kiah, duit RM30 yang ko belikan bunga tu kira halal la eh! Alaa RM30 je pun, bukan boleh bawak mati pun. ♥Sayang Kiah. Buwekkk!♥

My special thanks to mak dan ab yang telah sentiasa mendoakan kejayaan dan kebahagiaan Pida. Terima kasih kerana sudi berkongsi kejayaan dalam majlis konvokesyen ini. Mak, terima kasih kerana sanggup meluangkan masa walaupun masa tu mak tak boleh berjalan sangat, mak terpaksa gunakan tongkat. Dengan penuh susah-payah mak naik tangga dewan dan turun tangga. Walaupun kita orang terakhir yang keluar dari dewan, namun Pida bangga kerana dapat berkongsi kejayaan ini bersama. I love you mak! I love you ab! : '(


And last but not least, to our wonderful children from heaven.


♥Rania♥
♥Aqil♥
♥Sufi♥

 

Terima kasih anakku kerana memahami perjuangan abahmu. Semoga kejayaan ini menjadi azimat buat kalian menjadi insan yang berilmu, berbakti dan berguna kepada agama, bangsa dan negara.

Roses for all!


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...