Showing posts with label manusia. Show all posts
Showing posts with label manusia. Show all posts

Tuesday, June 18, 2013

Tamatlah riwayat Karlos



Salam karlos,

Sejak lebih daripada 13 minggu yang lalu, Pida setia menonton cerita bersiri Karlos yang disiarkan di TV3. Semasa promonya ligat dimainkan di tv, Pida dah tak sabar nak tengok cerita ni. Pida rasa cerita ni best giler. Lebih-lebih lagi yang pegang watak Karlos tu Johan As'aari yang memang bagus lakonannya.




Dan memang betul pun. Cerita ni memang best giler sejak episod pertama lagi. Sejak episod pertama tersebut, Pida dah start susun jadual; hari Isnin pukul 9 malam Pida kena conquer televisyen. Sebab kalau tak conquer, putih mata la Pida nak tengok tv. Laki layan Masterchef, anak-anak layan Oggy and the Cockroaches.

Dah la aku ni jarang tengok tv, seminggu sekali nak tengok pun kena cop dulu. Siapa nak tengok Masterchef sila layan di bilik tido. TV ada 2 kan? Tak payah nak berebut-rebut. Itupun ada 2-3 minggu Karlos tidak disiarkan kerana memberi laluan kepada rancangan khas sempena PRU13 hari tu. Apa daa...

Berbalik pada Karlos. Pada Pida, cerita ini memaparkan realiti kehidupan yang dialami oleh sebilangan keluarga dalam masyarakat kita. Tiada paparan kosmetik di sini, yang ditonjolkan hanyalah kebenaran yang berlaku di depan mata tentang apa yang terjadi dalam institusi kekeluargaan.

Segala-galanya berpunca daripada latar budaya keluarga yang berhadapan dengan masalah sosial dan ekonomi. Bapa Karlos (lakonan Namron) merupakan seorang tahi judi. Dia digambarkan tidak mempunyai pekerjaan dan masanya banyak dihabiskan dengan berjudi.

Dia jarang mempedulikan keluarganya; isteri dan 4 orang anaknya termasuk Karlos (nama sebenar Irwan). Dia menyara keluarga dengan hasil haram kemenangannya di meja judi. Wang itulah yang digunakan untuk membeli keperluan rumahtangga termasuk makanan.

Nasib Karlos malang kerana sedari kecil dia tidak disayangi oleh bapanya itu. Dia selalu dipukul dan dimarahi hanya kerana sebab yang kecil. Hanya emaknya (lakonan Sherrie Merlis) yang memberikannya kasih sayang dan sering membela dia daripada bapanya yang bengis.


Karlos tidak pernah mendapat kasih sayang ayahnya sejak kecil lagi.

Plot cerita ini mudah. Penonton ditunjukkan dengan akibat daripada kelonggaran fungsi ibu bapa (dalam cerita ini bapa) yang bermula dari rumah. Akibat tiada perhatian dan sebagai balasan kerana menyuapkan makanan dari sumber yang haram kepada keluarganya, Karlos akhirnya terjerumus ke kancah salah laku.

Bermula dengan perbuatan mencuri motor sejak umurnya masih di sekolah rendah sehingga meningkat remaja, lama-lama Karlos sudah terbiasa melakukan kegiatan tersebut. Namun sepandai-pandai tupai melompat, akhirnya jatuh ke tanah juga. Karlos kantoi dan dia dimasukkan ke pusat pemulihan akhlak.

Kehidupan di pusat pemulihan akhlak sangat perit bagi Karlos. Di situ dia mengenali musuh dan kawan. Dan di sini jugalah dia mengubah namanya daripada Irwan kepada Karlos. Namun nasibnya beruntung apabila dibebaskan awal kerana berkelakuan baik. Sebelum itu, rakan baiknya di pusat pemulihan tersebut, Kenji telah terlebih dahulu dibebaskan.

Seperti diduga, bapa Karlos tidak menerima kepulangannya malah dia tidak lagi dianggap anak oleh bapanya. Emaknya yang lemah itu pun tidak dapat berbuat apa-apa kerana suaminya itu sangat bengis dan tidak membenarkan Karlos balik ke rumah.


Air muka cemerlang lakonan Sherrie Merlis sebagai ibu yang tersepit antara ketaatan terhadap suami dan kasih sayang  terhadap anak-anak. Azhar Sulaiman sebagai polis juga membawakan watak dengan berkesan. Oh, dia masih hensem!


Hidup Karlos menjadi semakin terumbang-ambing. Di sini telah timbul konflik yang semakin mencengkam kehidupannya. Penonton dapat merasakan keinginannya yang membara untuk kembali ke pangkal jalan tetapi lorong gelap sentiasa menantinya di depan.

Penonton juga dengan jelas dapat merasai tekanan perasaan yang dialami oleh Karlos. Dari konflik ini bermulalah episod Karlos yang lebih hitam setelah dia berjumpa semula dengan Kenji.

Sebagai seorang yang tiada pedoman, Karlos dengan mudahnya telah terpengaruh dengan Kenji yang merupakan seorang penjenayah. Akhirnya bersama-sama Kenji, Karlos telah menjadi perompak dan pembunuh. Lalu jadilah mereka orang yang paling dikehendaki polis. Dan hiduplah mereka sebagai pelarian untuk mengelakkan diri daripada dicekup polis.

Walaupun Karlos telah menjadi penjenayah berbahaya, namun dia masih sayangkan keluarganya terutama emaknya yang tidak pernah membuang dia dan sentiasa mendoakan keselamatannya. Watak emak yang digalas ini sangat berkesan. Tanpa solekan yang artificial, setiap raut wajah yang ditunjukkan si emak ini sungguh menyentuh perasaan Pida sebagai penonton.

Namun akhirnya Karlos berjaya diberkas dan dijatuhkan hukuman mati. Dalam episod terakhir malam tadi, Karlos telah menjalani hukuman gantung sampai mati dan babak yang menyedihkan ialah apabila ibunya yang setia itu menyiram air mawar di pusaranya.

Sesuatu yang tidak klise dalam drama ini ialah bagaimana bapanya itu langsung tidak menyesal atau rasa bersalah terhadap Karlos walaupun dia sudah mati. Ketika semua penonton mengharapkan si bapa akan berubah, ternyata pengarah sangat bijak mempermainkan harapan penonton dengan mengekalkan kedegilan si bapa. Dia memang sangat membenci Karlos sehinggakan surat terakhir untuknya selepas dia mati pun dibuang begitu sahaja.

Pengakhiran drama ini juga tidak cliche seperti kebanyakan drama Melayu yang lain. Pida 'berdoa' agar Kenji berjaya ditangkap dan dihukum seperti mana Karlos, sebaliknya Kenji masih lepas bebas tanpa dapat dikesan pihak polis lebih-lebih lagi selepas dia menukar imejnya. Dalam cerita ini, Kenji lebih licik daripada polis.


Watak Kenji dibawakan dengan cemerlang oleh Syazwan Zulkifli. Penerbit tolongah ambil dia berlakon lagi kerana dia sungguh henseeeeemmm!


Keseluruhannya, cerita Karlos ni memang sangat best. Cerita ini jujur, tidak hipokrit dalam menyatakan sebab dan akibat mengapa berlakunya kebejatan moral yang menjadi penyakit masyarakat terutama di kalangan remaja.

Naskhah ini juga tidak berselindung dalam memperlihatkan kepada penonton bahawa apa yang terjadi kepada Karlos itu sebenarnya merupakan manifestasi daripada kegagalan institusi rumah tangga.

Karlos sarat dengan pengajaran dan nilai. Dalam kejahatan, masih ada kebaikan. Dalam ketakutan, masih terselit keberanian. Dalam kesesatan, masih terhasrat mencari jalan pulang. Kemuliaan seorang ibu, kesetiaan seorang kakak, kekangan kewangan, kedangkalan ilmu, semuanya diadun sebati dalam Karlos.

Dan pada Pida juga, cerita Karlos adalah satu kisah sedih dan bukan semata-mata aksi jahat. Sedih melihat Karlos yang 'rosak' gara-gara kelalaian ibu bapanya ketika usianya masih rebung.

Melihat watak Karlos, Pida dapat merasakan konflik yang membunuh jati dirinya. Dalam surat terakhirnya selepas kematiannya, dia memberitahu kepada ibu bapanya bahawa dia sebenarnya ingin menjadi polis atau askar. Babak ini cukup menyentuh hati Pida. Bahawa sebenarnya setiap kanak-kanak itu tidak pernah ingin menjadi jahat. Tetapi ibu bapa yang membentuk anak-anak itu berkesudahan menjadi jahat atau sebaliknya.

Pida sangat percaya bahawa ibu bapa adalah tonggak utama kemenjadian anak-anak. Betul acuan mak bapak, betullah jadinya anak itu. Kalau salah caranya, salahlah jadinya. Dan amat penting bagi mak bapak memberi rezeki yang halal kepada anak-anak supaya berkat.

Buat team cerita Karlos, terima kasih dan syabas kerana menghidangkan sebuah karya yang bermutu buat santapan mata Pida. Susah nak carik cerita yang membina sekarang ni. Balik-balik cerita hantu, balik-balik cerita mat rempit.

Cerita ini menjadi pengajaran buat Pida agar sentiasa mengawal dan memberi perhatian serta kasih sayang yang secukupnya kepada anak-anak Pida. Mereka masih terlalu kecil untuk menghirup udara di dunia luar sana yang penuh pancaroba. Pada masa inilah Pida berusaha untuk membentuk mereka agar menjadi insan yang baik dan mendatangkan kebaikan.

Akhir sekali, Pida berharap akan ada lagi cerita sehebat Karlos.





Monday, April 9, 2012

Jenis manusia di ofis - kau kategori mana?

Salam ofis,

Kali ni Pida nak beralih sebentar ke satu cabang dalam bidang antropologi iaitu berkaitan dengan sifat manusia. Pida nak berkongsi dapatan daripada kajian Pida tentang perangai manusia di ofis Pida sendiri.

Kenapa Pida rajin sangat buat 'kajian' ni? Dah takde keje sangat la tu.

Takde keje wak lu. Aku buat kajian dan pemerhatian ni ambik masa 6 tahun tau tak. Mengalahkan orang buat PhD. Enam tahun tu pada Pida dah cukup ideal untuk buat rumusan yang adil. Memang la tak ke mana hasil pemerhatian ni. Pida buat ni untuk suka-suka je. Tak diterbitkan dalam mana-mana jurnal pun.

Dalam kajian ini, responden Pida terdiri daripada kira-kira 250 orang staf ofis Pida sendiri dan mereka  meliputi pegawai serta staf sokongan.

Baik, mari kita lihat pembentangan Pida. (Jap, nak betulkan tali leher dulu)


Kategori pertama : Manusia jenis rajin

Maka beruntunglah organisasi yang mempunyai staf yang rajin. Hampir semua staf ofis Pida rajin. Mereka datang awal, tak pernah merah apatah lagi ponteng. Kalau cuti rehat atau MC sikit-sikit tu biasalah.

Rajin ini juga bermaksud mereka tidak menangguh-nangguh kerja. Kerja selesai dalam jangka waktu yang ditetapkan. Tidak mengular, makan dan minum tak pernah lebih 20 minit. Bagilah tugas apa pun, mereka akan laksanakan.


Kategori kedua : Manusia jenis malas

Staf yang malas berlawanan sifatnya dengan staf yang rajin. Staf yang malas ni suka melambat-lambatkan buat kerja. Suka mencuri masa (bertangguh). Datang lewat balik awal. Mengular. Makan kat kafe berejam-rejam. Tapi tak ramai staf macam ni kat ofis Pida.

Kadang-kadang staf yang malas juga hanya muncul pada waktu punch card kemudian ghaib dan muncul semula pada waktu punch out. Hmmm pelik kan? Boleh main  cak ba cak ba pulak.


Kategori ketiga : Kaki bodek dan adu domba

Bangsa kaki bodek ni kat mana-mana pun ada. Bukan kat ofis Pida je. Kat ofis kau pun mesti ada kan? Entah-entah kau tak? Hehehe. Orang yang dibodek dan diadu domba tentulah boss atau pegawai yang berautoriti.

Kenapa mesti bodek? Sebab, kalau kaubodek baaiikk punya, kau akan senang dapat kepercayaan, selalu dapat pujian, jadi orang kanan, markah tinggi walaupun kerja nan ado.

Cara membodek? Selalu rapat-rapat, bila berborak jenis yang 'yes boss', sikit-sikit jumpa boss macam la dia sorang je yang buat kerja.

Kita boleh kenal kaki bodek ni. Tengok cara sengih pun boleh tau dia ni jenis ampu punya orang. Kipas tak hingat. Kaki bodek ni bolehlah dianggap sebagai parasit kerana ia akan menjadi liabiliti jika perangai bodek ini dah jadi amalan dalam organisasi.

Kesan bodek kepada organisasi : Boleh menyebabkan orang lain yang berhak, terlepas peluang peningkatan kerjaya. Siapa rugi? Boss la.

Kalau kaubodek untuk upkan diri kau sendiri takpe, ini kaubodek untuk downkan orang lain. Bole blah la orang macam ni. Gimam...


Kategori keempat : Dengki dan menjatuhkan orang lain

Ini adalah bangsa puaka. Manusia jenis dengki ni memang busuk. Dia akan cari sebab atau alasan untuk menjatuhkan kau sebab dia memang tak suka kau. Ada je nak cari salah kau kat celah mana sekalipun termasuklah celah kelengkang dia.

Paling bangsat dia akan tabur fitnah. Dia juga suka memburuk-burukkan kau tidak kira masa, selalunya dalam mesyuarat walaupun kau tiada dalam mesyuarat tersebut. Dia akan tersenyum puas jika orang lain termakan kata-katanya. Dia akan rasa menang jika dia dapat buat kau sampai kau jatuh terduduk.

Apakah kesan dengki ini kepada kau? Sifat dengki dan benci yang berpanjangan juga merupakan penderaan mental. Kau akan rasa down, hilang semangat dan motivasi, malu bertemu rakan sekerja lain selepas mengetahui banyak cerita buruk tentang diri kau disebarkan oleh si pendengki.

Kau juga boleh menjadi murung dan lebih kasihan jika kau merasakan tiada nilai lagi pada diri kau lebih-lebih lagi si pendengki itu adalah orang yang berkuasa di pejabat.

Rasa down ini boleh menjejaskan produktiviti. Lebih teruk jika ia dibawa balik ke rumah. Tak pasal-pasal dingin dengan keluarga dan anak-anak akibat terlalu tertekan dengan keadaan di tempat kerja.Tidur tak lena, dek kerana asyik memikirkan beban emosi yang ditanggung.

Bagaimana nak berhadapan dengan orang yang dengki? Lawan. Lawan bukan dengan dengki atau kejahatan, tapi lawan dengan kebijaksanaan. Macam mana? Biarkan. Ikut rentak dia. Jangan balas apa-apa. Tunjukkan yang kau tidak setara langsung dengan kebodohan dia. Ingat, diam itu pintar.

Tunjukkan bahawa kau adalah orang yang lebih educated daripada dia. Bahawa dia bukanlah lawan yang setaraf dengan kau kerana kau lebih baik daripada dia. Banyakkan berdoa dan mengadu pada Allah.  Percayalah, lambat-laun dia akan berubah.

Bagaimana dengan reputasi kau yang tercalar akibat perbuatannya? Apabila kebenaran terserlah, orang lain akan tahu perkara sebenar, dan mengikut detik waktu yang berlalu, maka akan pulihlah reputasi itu. Kena banyak bersabar, bersabar dan bersabar.

Ironinya, orang yang suka menjatuhkan orang lain biasanya rapat dengan boss. Kenapa 'ek? Rujuk kategori ketiga.


Kategori kelima  :  Kepochi

Manusia jenis kepochi atau kepoh ni kadang-kadang jadi penghibur juga. Pantang ada skandal, dialah orang pertama yang scoop dulu. Lepas tu dia cerita kat orang lain perihal orang lain. Prihatin, katanya. Prihatin bontot kau.

Orang kepochi@joyah ni senang cakap meningkatkan graf dosa kering kita la. Suka sangat bergossip dan mengumpat. Sementara nak tunggu pukul 5 tu sempat lagi mengata hal orang. Hoi makcik, pekung sendiri tu dah tutup ke?

Staf kepochi adalah golongan yang memang tak boleh simpan rahsia.

"Kak, saya sakit pinggang ni. Tak boleh gerak sangat."

"Eh, kau tau, si Pida sakit pinggang dah seminggu. Kalau tak sebab kanser kolon tu mesti sebab dia ganas sangat sampai bergegar katil kan... HiHIHIHhhihihHIHhhhihihi."

Babi.



Kategori keenam  :  Bermuka-muka

Kalau dibagi pilihan orang yang macam mana harus dicampak ke neraka dulu, Pida akan cakap orang yang bermuka-muka atau hipokrit. Bahaya kalau ada staf macam ni kat ofis.

Orang hipokrit adalah manusia yang tidak ikhlas. Depan kau muka manis, belakang kau rupanya dialah musuh dalam selimut. Konon baik dengan kita, ingat dia memang baik, rupa-rupanya baik ada makna. Dia jadi proksi orang lain untuk korek rahsia daripada kita. Dasar lidah bercabang.

Yang kita ni pun lurus bendul, orang baik kita pun baik. Haa kau! Sekali tiba-tiba timbul cerita Pida begini Pida begitu, Pida tak setuju dasar ni, Pida bangkang peraturan tu. Pida tak suka si polan, Pida bodek si polin.

Kau nak buat apa dengan orang munafik ni? Ludah? Haha. Bacin bro.


Kategori ketujuh  :  Pak lawak

Dapat kawan yang suka buat lawak ni memang best. Dia ni la yang jadi tukang hibur staf. Ada saja idea kelakar dari kepala hotak dia. Suka mengusik orang, suka mengenakan orang, ceria je kita rasa kalau orang jenis lawak ni berada dekat dengan kita.

Tapi awas, kadang-kadang mereka ni nampak je lawak, tapi sebenarnya hati sensitif. Mudah terasa pulak bila orang kenakan dia. Pulak. Kaukenakan orang boleh.

Yang penting, dalam setiap organisasi mesti ada pak lawak kan?


Kategori kelapan  :  Lurus bendul


Manusia jenis ni memang wujud. Salah sorangnya adalah Pida sendiri. Memang kadang-kadang Pida ni lurus sikit sampai boss Pida pernah cakap Pida ni lurus sangat.

Pida rasa Pida bukanlah lurus sangat sampai bendul, tapi jenis yang mengikut arahan dan jenis skema sikit kalau buat kerja. Jenis berstruktur. Kalau baca arahan tu jenis yang baca satu-satu perkataan ikut baris. Ye la, dah terbiasa buat algoritma haha.

Orang yang lurus ni senang disuruh. Memang betul-betul menjunjung prinsip "Saya Yang Menurut Perintah" punya orang.


Kategori kesembilan  :  Vokal atau extrovert

Bukannya asyik menyanyi kerja dia, tapi jenis yang lantang bersuara. Kalau dalam mesyuarat dialah yang asyik tak puas hati itu ini. Komplen sana sini.

Sampai kita dah boleh agak, kalau ada apa-apa mesyuarat, gerenti dia bagi pendapat atau cadangan atau komen atau rasa tak puas hati. Memang gerentilah!

Tapi bagus jugak kalau ada staf yang berani bersuara. Kerana dengan adanya orang macam inilah keluhan yang selama ini tidak diendah, akan jadi minit dan disusuli tindakan. Kira hero juga orang yang vokal ni.


Kategori kesepuluh  :  Pendiam atau introvert

Kadang-kadang Pida bersifat pendiam. Keputusan daripada Inventori Personaliti Sidek yang Pida ambil baru-baru ini menunjukkan Pida jenis introvert. Pida agak bersetuju dengan keputusan ini.

Secara peribadi, Pida bukanlah jenis orang yang ekstrovert tetapi Pida bukan juga jenis yang sangat introvert sehingga tidak bersuara langsung. Pida bercakap hanya apabila perlu. Tapi Pida tetap punyai ramai kawan.

Orang yang pendiam ni memang agak sukar untuk ditelah hati budinya. Adakah dia diam sebab memang dia pendiam, atau adakah dia diam sebab dia tak suka bergaul (anti-sosial) atau adakah dia diam sebab dia ni nak spy kita.

Kadang-kadang jugak staf yang introvert ni tak ambik pusing langsung hal sekeliling. Dia buat hal dia je. Macam katak di bawah tempurung. Kalau ada kematian misalnya, dia akan tahu selepas arwah dah dikebumikan.



Kategori kesebelas  :  Baik

Kat ofis Pida ramai orang yang baik. Diorang ni memang jenis baik la senang cakap. Hormat sesama staf, tak pernah menyakitkan hati orang lain, suka menolong dan tak berkira kerja.

Orang macam ni memang mudah disayangi. Mana-mana pergi pun orang akan sayang. Kalau dia berpindah pun akan jadi kehilangan. Bertuah dapat kawan dengan orang yang baik. Moga-moga kau dan aku tergolong dalam orang yang baik-baik.



********************************************



Jadi begitulah sebelas kategori manusia hasil dapatan daripada pemerhatian Pida terhadap sifat dan perangai staf di tempat kerja Pida. Bukan nak tujukan pada sesiapa sebab Pida gambarkan secara umum sahaja. Namun itulah realitinya.

Sifat manusia memang pelbagai. Yang baik tu baguslah. Yang tak baik, harap-harap kita semua tidak termasuk dalam kelompok tersebut.

Tak rugi berbuat baik. Tak salah bertolak-ansur. Organisasi bagai sebuah kapal. Seorang nakhoda bertanggungjawab mengemudi kapal dan anak-anak buahnya agar sampai ke destinasi yang dituju dan tidak karam.

Semua anggota organisasi memainkan peranan yang sama penting. Yang membezakan cuma pangkat dan gred tetapi tanggungjawab yang digalas tetap sama iaitu memajukan organisasi.

Pida bertuah kerana dicampak ke organisasi sekarang. Kerana Pida dapat pengalaman yang sangat berharga di sini. Sama ada pahit atau manis, itulah yang mendewasakan Pida dan menjadi nilai tambah dalam pencarian Pida terhadap ilmu baru.

Selamat pagi Boss!
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...