Wednesday, July 31, 2013

Ketuk-ketuk kepala di bulan ramadhan : Resepi Ayam Pusaka

Salam resepi,

Sempena bulan Ramadhan yang dah nak sampai ke penghujungnya ni, Pida berbesar hati nak berkongsi satu resepi warisan mak Pida, iaitu masakan yang Pida namakan Ayam Pusaka.

Caranya mudah sangat. Yang penting kena ada semangat. Semangat kental, bukan kentang. Sebab kalau tak ada semangat, lebih baik kau takyah masak. Pegi tido sampai berbuka lagi bagus.

Ok, mari kita mulakan.

Bahan-bahannya :

1)  Ayam (Oh ye, lupa nak bagitau. Saiz bahan ikut sukati mak kau). Yang ni Pida buat untuk 100 orang makan. Maklumlah aku kan katering hehe).

2)  Bawang besar*

3)  Bawang putih*

4)  Halia*

*Dihiris-hiris bagai sembilu.

5)  Serbuk kari yang dibancuh dengan air

6)  Garam secukup rasa

7)  Kicap manis (kicap masin pun boleh, ikut sukati mak kau)

8)  Periuk

9)  Sudip


Ok, mari kita masak!


Mula-mula tumis bahan rempah empat sekawan iaitu kayu manis, bunga lawang, cengkih dan bijik limau. Eh, Pida lupa nak listkan bahan-nahan rempah ni tadi. Takpe kau tambah sendiri ye. Tumis sampai naik bau.

Agak-agak dah naik bau, masukkan bawang besar, bawang putih dan halia yang telah dihiris bagai sembilu tadi dan kacau lagi hingga menjadi kekuning-kuningan. Pida guna sudip kayu, jadi taklah jiwa ni rasa ngilu mendengar bunyi geseran antara periuk dengan sudip. 
Selepas itu tanpa segan silu, masukkan pula bancuhan serbuk kari. Kacau dan godak sampai garing tapi hati-hati, ojo  geseng! (jangan sampai hangus). Sudip besi tu Pida guna jugak sekali-sekala. Senang nak garu belakang badan kalau gatal.


Bila serbuk kari tu dah garing, tuangkan kicap manis. Kacau sebati hingga menghasilkan warna hitam keemasan. Kat sinilah yang uniknya resepi ayam pusaka mak Pida ni. Kalau ayam masak kicap biasa, kuahnya kaler hitam legam kan? Tapi dengan serbuk kari tadi, bukan sahaja menambah kesedapan rasa dan aroma, malahan juga menjadikan warna kuahnya menjadi lebih cantik. Kalau nak lebih berwarna keemasan, tambahkan lebih banyak bancuhan serbuk kari.


Biarkan kuah tadi mendidih sebelum masukkan kentang yang telah dipotong-potong. Kentang masuk dulu sebelum ayam supaya ia cepat empuk. Kacau lagi dan lagi sehingga ia betul-betul mendidih. Nampak bubble timbul dari kuah, blub, blub, blub.


Kacau, kacau, kacau, blub, blub, blub.


Bila dah serius mendidih, masukkan pula ayam. Lupa nak bagitau tadi. Ayam tu kau siap-siap goreng separuh masak dulu ye, supaya ia tak terlalu lama di dalam kuah yang mendidih. Ini untuk menjamin keanjalan dagingnya. Kalau masak lama-lama nanti ayamnya benyek.


Akhir sekali, masukkan buah tomato... yang ni Pida masukkan sebijik-sebijik sebab ikut cara mak dulu. Nampak cantik dan comel bila taruk dalam bekas untuk dibagi pada orang. Bulat-bulat macam bola-bola api gitu. Oh ye, jangan lupa taruk garam tau. Kang tak sedap masakan kalau takde garam. 


Haaaa... siap suda! Senang giler kan? Tutup mata pun boleh buat. Lepas ni kalau kau rajin, boleh la cuba resepi peninggalan mak Pida ni. Bagilah sikit pahala kat mak... hihihi... ini kan ilmu yang diamalkan...

Biasanya Pida makan dengan ketupat dan nasi. Kalau nak ratah gitu aje pun boleh, nak makan dengan donut pun takde sapa nak marah. Yang penting, makan, jangan dibazirkan.

Oklah, sampai di sini sahaja resepi untuk kali ini. Nanti kalau ada resepi yang gempak-gempak, macam seladang masak kunyit ke, rendang hati beruk ke... nanti Pida kongsi kat blog ini ye.

Ok... teruskan berpuasa, teruskan mencari Laitul-Qadar dan selamat hari raya!

Sunday, July 21, 2013

Pida dah munjung!

Salam munjung,

Minggu ini Pida dan semua adik-beradik balik ke Batu Pahat untuk satu urusan penting mengenai pembahagian harta pusaka di Pejabat Tanah Dan Galian.

Pida balik bersama anak-anak dengan adik-adik selepas waktu tarawih. Sampai di rumah, ab dan ummi setia menunggu kepulangan kami semua.

Saat memeluk ummi, tiba-tiba Pida berasakan getaran yang sama ketika memeluk mak dulu. Serta-merta Pida jadi sebak. Di dalam bilik, Pida menangis di balik baju-baju yang mak tinggalkan.

Sedihnya kerana Ramadhan kali ini mak dah tiada. Nasib baik ada ummi, dapat juga Pida terus merasa kasih sayang seorang ibu.

Memandangkan kali ini semua balik, maka ab telah menyatakan hasrat untuk 'munjung'. Tau ke munjung tu apa?

Mengikut kamus bahasa jawa, munjung bermaksud memberi juadah hari raya kepada keluarga dan saudara-mara. Juadah hari raya yang dimaksudkan ialah ketupat / lontong / nasi impit, rendang, lodeh, ayam dan kadang-kadang sambal goreng dan kuih kalau ada.

Walau bagaimanapun asal maksud munjung ialah yang muda menghantar juadah kepada yang tua. Seperti anak munjung mak bapak, adik munjung abang kakak, anak sedara munjung bapak dan mak sedara. Gitulah konsep asalnya sebagai tanda hormat kepada keluarga yang lebih tua.

Sebelum ini, setiap tahun mak tak pernah gagal untuk munjung. Cuma tahun lepas saja mak tak munjung sebab masa tu mak baru habis menjalani rawatan radioterapi. (Ah, kisah sedih tahun lepas jika dikenang memang mendatangkan air mata).

Mak dulu kalau munjung, habis setiap ahli keluarga tak kira tua muda dikirimnya. Yang tua-tua dah tentulah, yang muda-muda iaitu adik-adik dan anak-anak sedara mak pun kirim jugak. Dalam 20 bungkus lebih gitu.

Kami adik-beradiklah yang hantar ikut zon. Tapi di sekitar bandar BP aje... lagipun memang kebanyakan sedara-mara tinggal di BP. Target mak kalau munjung, si penerima munjungan dapat berbuka puasa dengan juadah yang dikirim tersebut.

Sebab itulah, pada hari mak nak munjung, mak akan masak seawal selepas sahur dan kami dah mula menghantar juadah selepas zuhur.

Dan biasanya mak akan inform dulu orang yang nak dimunjung supaya diorang tak payah masak sebab mak akan bagi ikut portion setiap keluarga. Kalau anak-anak dia ramai, banyaklah mak bagi. Kalau dia tinggal sorang, bagi seketul suda..., kalau yang dah mati mak tak bagi.

Tahun ini kami tetap munjung walaupun mak dah tak ada. Kalau tak munjung pun bukannya mak tau kan, sebab mak tak pernah wasiat untuk munjung kalau mak dah tak ada.

Tetapi amalan munjung sudah menjadi tradisi keluarga Pida. Mungkin sebab itu adalah amalan turun-temurun orang jawa, maka kami teruskan juga. Lagipun berkongsi rezeki kan amalan yang berpahala... lebih-lebih pada bulan yang mulia ini. Tak gitu?

Tahun ni kami munjung lebih awal. Sebab, seperti yang Pida katakan tadi, ab ambik kesempatan semua anak balik pada minggu ini. Lagipun pada akhir-akhir bulan puasa, sedara-mara lain pun sibuk juga munjung. Kadang-kadang sampai membazir sebab dalam sehari ada 2-3 orang munjung.

Biasanya mak akan order je ketupat. Kami masak lauk juadah aje. Tapi sepanjang mak hidup kami tak pernah tanya pulak mak order dengan siapa, tau-tau mak order dan ketupat tu sampai depan rumah.

Lepas mak dah tak ada ni, semua tak tau nak order ketupat dengan siapa. Lupa nak tanya mak dulu. Last-last ab order lontong je dengan orang buat lontong kat Simpang 5.

Tapi kami masih mengekalkan menu juadah yang menjadi identiti munjungan mak iaitu ayam masak kicap, rendang daging dan sayur lodeh. Tiga lauk itu saja.

Tugas memasak kali ini dipikul oleh Pida. Kira jadi Masterchef la. Walaupun Pida ni jenis yang pasif di dapur, namun dengan semangat mak dan harapan tinggi adik-beradik, maka Pida menggalas tugas sebagai masterchef dengan rela hati dan rasa menyesal sebab tak belajar masak dengan mak dulu.

Kami bahagi-bahagikan tugas. Ada yang basuh daging, potong ayam, kopek bawang, potong sayur sementara kerja Pida cuma mengarah-ngarah sambil tunjuk muka bengis dan sediakan bahan masakan untuk dikisar. Pida main campak-campak je masak ni. Takde sukat-sukat punya.

Ajaib jugak Pida rasa sebab selama ni Pida memang tak pandai masak dalam kuantiti yang banyak. Masak pun tak pandai. Selama ni Pida cuma masak untuk mengelakkan mati aje, tapi kali ni Pida kena masak untuk sedara-mara makan! Susahnya tugasan ni!

Tapi Alhamdulillah, akhirnya Pida berjaya menyediakan semua juadah sampai siap dengan bantuan adik-beradik termasuk ummi dan berjaya menepati carta gantt penyediaan juadah munjung. Ummi masak rendang pada malam sebelumnya.

Memasak dalam kuantiti yang banyak pada bulan puasa adalah satu kerja yang agak susah. Sebab Pida gamble aje bubuh garam dan gula. Entah apa rasa ntah.

Sebelum zuhur, kami semua dah siap bungkus juadah dan sedia untuk dihantar!


Ayam masak kicap yang Pida namakan "Ayam Pusaka'. Takpe nanti insya Allah Pida kongsikan resepinya.






Set juadah untuk saudara-mara yang terkandung di dalam beg plastik.

Kerja-kerja membungkus adalah menyeronokkan sambil menghirup bau masakan.

Ready for delivery!


Alhamdulillah, semua juadah sempat dihantar. Pida pun hantar juga satu tepen ke rumah mak mentua di Muor. Mak mentua Pida makan rendang sambil nangis-nangis sebab teringatkan rendang mak Pida. Sedih kan?

Masa nak makan masakan sendiri time berbuka tu, Pida rasa berdebar-debar aje. Nak tau sebab apa? Sebab suspen apa ntah rasa masakan aku ni.

Sekali rasa - rendang kurang manis, ayam masak kicap kurang masin dan sayur lodeh tawar sikit. Hahahhaa... pandai-pandailah korang yang terima tu edit sendiri ye!

Tapi ab cakap sedap. Itu adalah ulasan yang paling penting yang Pida nak dengar. Sah-sahlah raya aji nanti aku kena masak lagi. Huhuhu...

Selamat menikmati juadah berbuka!
posted from Bloggeroid

Wednesday, July 17, 2013

Minggu yang super bizi di Jalan TAR

Salam bizi,

Minggu ni Pida menghadiri mesyuarat di tengah-tengah bandaraya Kuala Lumpur. Tengah-tengah tu maknanya bukan kat tepi-tepi, bukan di pinggir-pinggir. Orang putih kata in the heart of KL.

Sibuknya kat sini, ya Allah... orang sikit punya ramai macam ulat. Jalan Masjid India time-time nak raya ni kau tau-tau je la.



Ini pemandangan dari bilik Pida. Dulu masa Pida kecik-kecik, Pida paling suka dengan Menara Maybank. Cantik giler bangunan tu.


Matahari dah nak terbenam menandakan hampir masuk waktu berbuka puasa. Berbuka puasa jauh dari keluarga dah biasa bagi Pida. So takdenya aku nak sebak-sebak nangis sambil ratah kurma hahaha. Tapi rindu.


Dah tempat mesyuarat tu di Jalan Masjid India kan, habis kau ingat aku nak duduk terperap kat dalam bilik? Mintak mahap. Lepas makan sampai buncit Pida terus turun pegi cuci mata di bazaar raya yang dah meriah di sepanjang Jalan TAR tu.









Kali terakhir Pida betul-betul berjalan di sepanjang Jalan Tar untuk shopping raya ialah 3 tahun lepas bersama mak. Sebelum tu kali terakhir sebelum kali terakhir tu ialah 17 tahun lepas. Masa tu zaman-zaman tudung wardina. Pida jalan dengan member.

Pada Pida, takde apa yang istimewa sangat bazar raya di Jalan TAR ni. Pilihan memang pelbagai dengan harga yang berpatutan. Tapi sebenarnya apa yang ada di situ, ada juga di tempat lain. So jangan rasa rendah diri kalau tak shopping raya di Jalan TAR.

Cuma Pida puji penguasa DBKL yang kelihatan ramai di sepanjang bazar. Kehadiran mereka sedikit sebanyak melancarkan kegiatan jual beli kerana trafik terkawal (kenderaan yang lalu di lorong bazar). Juga mengurangkan potensi berlakunya jenayah jalanan seperti ragut dan pick pocket.




Pida tak beli apa sangat pun. Pida cuma belikan selai kemeja untuk Sufi dan selai inner ninja untuk Pida. Shawl chiffon yang menjadi fesyen Pida sekarang pun tak berapa berkenan di hati.




Update blog time buka puasa. Kau pernah buat macam ni?

posted from Bloggeroid

Monday, July 8, 2013

Album pengantin ab dan ummi

Salam pengantin,

Dalam entry kali ini, Pida ingin berkongsi detik-detik indah dan syahdu sepanjang berlangsungnya majlis pernikahan ab dengan ummi pada 29 Jun 2013 yang lalu.

Semoga kenangan indah ini akan terus berkekalan sehingga ke akhirnya. Amiin.


Sebelum berangkat ke rumah pengantin perempuan. Perasaan masa ni... sangat teruja tapi ada rasa sebak sikit. Sebagai pengerusi, Pida bawak sirih junjung. Oh ye, sut Pida anak-beranak tu dibeli siap di Bazar Pakaian di Bandar Maharani Muar.

Jalan kaki aje ke rumah pengantin perempuan, tapi ab naik kereta la. Kan Pida kata dekat je, jaraknya cuma sekotak air laici aje.
Wakil keluarga pengantin perempuan iaitu abang ummi.
Gabra je nampak ab nih.
Upacara akad nikah sedang dilangsungkan. Masa ni air mata Pida dah meleleh-leleh dah.
Alhamdulillah, dengan sekali lafaz, ab telah berjaya menjadi suami kepada ummi.
Ab sedang membaca lafaz ta'lik kepada ummi.
Ab menyampaikan mahar RM22.50 yang digubah oleh ab sendiri. Oh soo sweet and yet sooo touching.




Yang peluk ab tu ialah abang ab, Wak Mat.
Tahniah bapak... cantik bini bapak.
Tahniah bapak... cantik bini bapak.
Tahniah bapak... cantik bini bapak.
Tahniah bapak... cantik bini bapak. Eh, tercopy paste pulak. Sebenarnya bapak... Pida nak bilang, bapak dan ummi macam pinang dibelah dua gitu.
Anak cucu segera buat ummi :) Jangan bimbang ummi, kitorang ni semuanya sopan-sopan belaka terutama Pida. Tak caya tanya ab.
Ab menyarungkan cincin ke jari ummi. So sweet.
Yang masih bujang. Lelong! Lelong! Dua singgit, dua singgit!
Gwiyomi buat ummi.
Perkenalkan ummi, anak-anak Pida; Rania, Aqil dan Sufi. Ye mereka memang comel. Doktor kata keturunan. (uwekkk)



















Kitorang balik dulu ye ab, ummi.


Siapa nak dia?




Yang sebenarnya, semakin banyak kali Pida tatap gambar-gambar ni, semakin terharu dibuatnya. Macam yang Pida cakap hari tu la, perasaan bercampur-baur. Terharu, gembira, seronok, sedih, hiba,...

Tak semua orang berpeluang merasai pengalaman hidup seperti keluarga Pida ini. Iaitu melihat bapa kita berkahwin kembali setelah pemergian mak kita yang sangat disayangi. Sebenarnya kami adik-beradiklah yang menyuruh ab berkahwin lagi kerana kami merasakan itulah takdir yang terbaik bukan sahaja untuk ab, malah untuk kami semua.

Lagipun Pida teringat dulu masa Pida belajar Munakahat dalam kitab Mutalaál Badrin, masa tu Pida darjah 6 sekolah agama negeri Johor, ada satu bab dalam kitab tu yang menyebut tentang kewajipan anak-anak mencarikan isteri baru untuk si bapa yang kematian isteri (ibu kita). Bab itu ialah bab I'faf.

Jadi kami buat semua ini semata-mata kerana Allah jua dan semoga perkahwinan ini mendapat rahmat dan hidayah daripada Allah dan mengurniakan kebahagiaan kepada kami semua di dunia dan di akhirat.

Jangan bimbang tentang kasih sayang kami terhadap mak. Kasih kami tetap sehangat dulu, malah kini lebih hangat daripada biasa. Mak tetap kekal bersemadi sebagai insan teristimewa buat kami sehingga ke akhir hayat dan semoga kami dapat berjumpa mak di akhirat sana nanti.

Dan jangan bimbang tentang kasih sayang kami terhadap ummi. Kami sangat menyayangi ummi; malahan panggilan ummi yang dipilih oleh ummi sendiri benar-benar meresap ke dalam jiwa kami untuk mengasihinya seperti mana kami mengasihi mak.

Buat ab, terima kasih kerana lebih memikirkan kami anak-anak dalam memilih pengganti mak di dunia ini. Kami tahu ab bukan hanya memilih untuk diri ab sendiri, malah yang lebih penting lagi untuk semua anak dan cucu ab.

Wahai Allah, limpahkanlah rahmat dan keredhaan-Mu kepada kami - dulu, kini dan selamanya.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...