Sunday, July 21, 2013

Pida dah munjung!

Salam munjung,

Minggu ini Pida dan semua adik-beradik balik ke Batu Pahat untuk satu urusan penting mengenai pembahagian harta pusaka di Pejabat Tanah Dan Galian.

Pida balik bersama anak-anak dengan adik-adik selepas waktu tarawih. Sampai di rumah, ab dan ummi setia menunggu kepulangan kami semua.

Saat memeluk ummi, tiba-tiba Pida berasakan getaran yang sama ketika memeluk mak dulu. Serta-merta Pida jadi sebak. Di dalam bilik, Pida menangis di balik baju-baju yang mak tinggalkan.

Sedihnya kerana Ramadhan kali ini mak dah tiada. Nasib baik ada ummi, dapat juga Pida terus merasa kasih sayang seorang ibu.

Memandangkan kali ini semua balik, maka ab telah menyatakan hasrat untuk 'munjung'. Tau ke munjung tu apa?

Mengikut kamus bahasa jawa, munjung bermaksud memberi juadah hari raya kepada keluarga dan saudara-mara. Juadah hari raya yang dimaksudkan ialah ketupat / lontong / nasi impit, rendang, lodeh, ayam dan kadang-kadang sambal goreng dan kuih kalau ada.

Walau bagaimanapun asal maksud munjung ialah yang muda menghantar juadah kepada yang tua. Seperti anak munjung mak bapak, adik munjung abang kakak, anak sedara munjung bapak dan mak sedara. Gitulah konsep asalnya sebagai tanda hormat kepada keluarga yang lebih tua.

Sebelum ini, setiap tahun mak tak pernah gagal untuk munjung. Cuma tahun lepas saja mak tak munjung sebab masa tu mak baru habis menjalani rawatan radioterapi. (Ah, kisah sedih tahun lepas jika dikenang memang mendatangkan air mata).

Mak dulu kalau munjung, habis setiap ahli keluarga tak kira tua muda dikirimnya. Yang tua-tua dah tentulah, yang muda-muda iaitu adik-adik dan anak-anak sedara mak pun kirim jugak. Dalam 20 bungkus lebih gitu.

Kami adik-beradiklah yang hantar ikut zon. Tapi di sekitar bandar BP aje... lagipun memang kebanyakan sedara-mara tinggal di BP. Target mak kalau munjung, si penerima munjungan dapat berbuka puasa dengan juadah yang dikirim tersebut.

Sebab itulah, pada hari mak nak munjung, mak akan masak seawal selepas sahur dan kami dah mula menghantar juadah selepas zuhur.

Dan biasanya mak akan inform dulu orang yang nak dimunjung supaya diorang tak payah masak sebab mak akan bagi ikut portion setiap keluarga. Kalau anak-anak dia ramai, banyaklah mak bagi. Kalau dia tinggal sorang, bagi seketul suda..., kalau yang dah mati mak tak bagi.

Tahun ini kami tetap munjung walaupun mak dah tak ada. Kalau tak munjung pun bukannya mak tau kan, sebab mak tak pernah wasiat untuk munjung kalau mak dah tak ada.

Tetapi amalan munjung sudah menjadi tradisi keluarga Pida. Mungkin sebab itu adalah amalan turun-temurun orang jawa, maka kami teruskan juga. Lagipun berkongsi rezeki kan amalan yang berpahala... lebih-lebih pada bulan yang mulia ini. Tak gitu?

Tahun ni kami munjung lebih awal. Sebab, seperti yang Pida katakan tadi, ab ambik kesempatan semua anak balik pada minggu ini. Lagipun pada akhir-akhir bulan puasa, sedara-mara lain pun sibuk juga munjung. Kadang-kadang sampai membazir sebab dalam sehari ada 2-3 orang munjung.

Biasanya mak akan order je ketupat. Kami masak lauk juadah aje. Tapi sepanjang mak hidup kami tak pernah tanya pulak mak order dengan siapa, tau-tau mak order dan ketupat tu sampai depan rumah.

Lepas mak dah tak ada ni, semua tak tau nak order ketupat dengan siapa. Lupa nak tanya mak dulu. Last-last ab order lontong je dengan orang buat lontong kat Simpang 5.

Tapi kami masih mengekalkan menu juadah yang menjadi identiti munjungan mak iaitu ayam masak kicap, rendang daging dan sayur lodeh. Tiga lauk itu saja.

Tugas memasak kali ini dipikul oleh Pida. Kira jadi Masterchef la. Walaupun Pida ni jenis yang pasif di dapur, namun dengan semangat mak dan harapan tinggi adik-beradik, maka Pida menggalas tugas sebagai masterchef dengan rela hati dan rasa menyesal sebab tak belajar masak dengan mak dulu.

Kami bahagi-bahagikan tugas. Ada yang basuh daging, potong ayam, kopek bawang, potong sayur sementara kerja Pida cuma mengarah-ngarah sambil tunjuk muka bengis dan sediakan bahan masakan untuk dikisar. Pida main campak-campak je masak ni. Takde sukat-sukat punya.

Ajaib jugak Pida rasa sebab selama ni Pida memang tak pandai masak dalam kuantiti yang banyak. Masak pun tak pandai. Selama ni Pida cuma masak untuk mengelakkan mati aje, tapi kali ni Pida kena masak untuk sedara-mara makan! Susahnya tugasan ni!

Tapi Alhamdulillah, akhirnya Pida berjaya menyediakan semua juadah sampai siap dengan bantuan adik-beradik termasuk ummi dan berjaya menepati carta gantt penyediaan juadah munjung. Ummi masak rendang pada malam sebelumnya.

Memasak dalam kuantiti yang banyak pada bulan puasa adalah satu kerja yang agak susah. Sebab Pida gamble aje bubuh garam dan gula. Entah apa rasa ntah.

Sebelum zuhur, kami semua dah siap bungkus juadah dan sedia untuk dihantar!


Ayam masak kicap yang Pida namakan "Ayam Pusaka'. Takpe nanti insya Allah Pida kongsikan resepinya.






Set juadah untuk saudara-mara yang terkandung di dalam beg plastik.

Kerja-kerja membungkus adalah menyeronokkan sambil menghirup bau masakan.

Ready for delivery!


Alhamdulillah, semua juadah sempat dihantar. Pida pun hantar juga satu tepen ke rumah mak mentua di Muor. Mak mentua Pida makan rendang sambil nangis-nangis sebab teringatkan rendang mak Pida. Sedih kan?

Masa nak makan masakan sendiri time berbuka tu, Pida rasa berdebar-debar aje. Nak tau sebab apa? Sebab suspen apa ntah rasa masakan aku ni.

Sekali rasa - rendang kurang manis, ayam masak kicap kurang masin dan sayur lodeh tawar sikit. Hahahhaa... pandai-pandailah korang yang terima tu edit sendiri ye!

Tapi ab cakap sedap. Itu adalah ulasan yang paling penting yang Pida nak dengar. Sah-sahlah raya aji nanti aku kena masak lagi. Huhuhu...

Selamat menikmati juadah berbuka!
posted from Bloggeroid

2 comments:

  1. Banyaknya munjung.......
    Saya belum apa-apa lagi

    ReplyDelete
  2. ko je kot yg x tau mak order ngn sape..
    ak tau je..dlu2 ak laa yg slalu ikot mak g orer lontong..n lately ak gak yg prepare duit mak utk bayo seblom org anto ketupat smpai...

    ReplyDelete

Oh, tak sangka ada yang sudi komen... terima kasih!

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...