Showing posts with label resepi. Show all posts
Showing posts with label resepi. Show all posts

Saturday, October 22, 2016

Pizza Pida

Salam pizza,

Seumur hidup, Pida tak pernah buat pizza sendiri. Makan pizza memang selalu. Biasanya kalau rasa nak makan pizza, angkat telepon, call aje. Dalam setengah jam, budak pizza tekan loceng tanda dah sampai.

Tapi ada satu hari tu, Pida buang tebiat agaknya. Tiba-tiba terpikir nak buat pizza sendiri. Sebenarnya nak menunjuk kat engkau yang Pida dah beli oven baharu. Tapi tak payahlah tunjuk gambo. Kang kau kata aku menunjuk.

Anak-anak bila Pida cakap nak buat pizza sendiri, diorang memang teruja. Dah tak reti-reti nak menyabo. Asik tanya bila pizza nak siap, bila boleh makan pizza. Dah kenapa? Bahan pun tak ada!


Bahan-bahan pizza pida :

Sengaja Pida longgokkan kat atas meja supaya kau boleh nampak meja makan Pida dah burok.

Cendawan butang banyak-banyak.

Cendawan shitake banyak-banyak.

Potongan nenas kiub banyak-banyak.

Tomato ceri potong dua banyak-banyak.

Sosej hiris banyak-banyak. 

Stik ketam hiris banyak-banyak.

Baik, demikianlah bahan-bahannya. Itu untuk topping. Untuk doh, cuma perlukan tepung gandum aje. Buat macam doh roti canai je bai.


Pida buat 3 doh. Sebab nak bagi Rania, Aqil dan Sufi customize pizza masing-masing ikut sukati kepala hotak diorang. Malas nak dengar diorang gaduh-gaduh, rebut-rebut. Nah, amik ko sorang satu doh.

Doh yang sebijik tadi kita regangkan dalam loyang oven ye kawan-kawan.

Seterusnya sapukan sos pizza bolognese rata-rata di atas doh tadi.

Tengok Aqil dan Sufi bersemangat nak buat pizza. Oh ye, nampak tak ada keju mozarella tu. Haa tu pun bahan jugak tu. Lupa nak bagitau tadi. 

Ini Pida hijack doh Sufi. Pida perdayakan dia, Pida kata kalau dia nak muka dia macam Fattah Amin bila dah besar nanti, baik bagi mak buat. Dia terus bagi sebab dia yakin dah besar nanti muka dia macam Fattah Amin.

Pida kalau pizza, tak berapa suka daging atau ayam banyak-banyak. Pida suka sayur-sayur, paling Pida suka nenas dan cendawan. Sebab tu kau nampak pizza Pida tu penuh dengan nenas, bawang dan cendawan semua.

Dah tu Pida tuang lagi mozarella banyak-banyak. Topping ni dinamakan topping orang tamak selalu rugi bagai anjing dengan bayang-bayang.

Lepas tu bakar di dalam oven dengan suhu 220 darjah celcius selama 25-30 minit.

Tadaaa!!! Inilah hasil pizza tamak Pida yang telah siap dibakar. Nampak tragis.

Muak pulak aku tengok pizza ciptaan aku ni. -_-

Selepas siap pizza Pida, Rania dan dan Aqil pulak meneruskan pizza masing-masing. Topping kitorang tak sama. Ada yang tak taruk cendawan, ada yang tak letak nenas, sukatilah nak taruk apa pun kan...

Sebelum..

...Selepas

Bebola daging bakso gentel sendiri. Besar-besar bola golf baq hang.

Yang ini pizza versi ketiga pulak. Lebih banyak sosej di atasnya.

Pizza ni ada recik-recik daun apa ek.. Lupa pulak. Yang selalu tabur atas pizza tu la. Malas la aku nak bertanya orang atau google. Aku nak cepat ni.


Mengapakah riak wajahmu semacam tidak gembira ketika menikmati pizza mak kau sendiri.


Baik, begitulah berakhirnya aktiviti membuat pizza sendiri. Berlambak-lambak pizza hari tu. Sekarang bila Pida ajak buat pizza lagi, diorang kata baik mak tepon Dominos aje.

T_T



Sunday, March 29, 2015

[Resepi] - Urap

Salam urap,

Dah berminggu-minggu Pida mencari masa untuk update blog. Tapi berminggu-minggu jugalah Pida tak jumpa masa yang lapang untuk buat entry baharu.

Sebenarnya kalau nak diikutkan, banyak giler cerita yang Pida nak kongsi bersama kau. Macam cerita hari tu Pida naik Genting tengok Ultraman, gambo-gambo dah ada dah. Tinggal nak karang cerita je. Nak karang cerita kena bukak laptop, nak bukak laptop kena tunggu kat rumah... kat rumah tu kau tau-tau ajelah... nak mandi sauna pun tak sempat inikan pula nak update blog. Pida bizi giler ok!

Tapi hari ni Pida ada 10 minit je untuk tulis cerita baharu. Itupun ambik yang ringkas-ringkas je. Oklah, taknak buang masa. Aku ada 10 minit je nih!

Mula-mula kita sediakan bahan-bahan.

Ya Allah, tetiba suruh engkau sediakan bahan-bahan. Lupa pulak nak bagitau. Dalam entry kali ini, Pida nak berkongsi satu resepi yang popular dalam kalangan orang Jawa iaitu Urap.

Urap ialah sejenis hidangan ulam-ulam segar yang digaul bersama kelapa parut dan bahan-bahan lain. Ok, tinggal 9 minit!

Baiklah kawan-kawan, mula-mula kita sediakan bahan-bahan iaitu :


1)  Ulam-ulam segar. Biasa yang utamanya Pida menggunakan kacang botor, taugeh dan kali ini Pida tambah daun selom. Basuh bersih-bersih kasi buang itu cacing-cacing dan bakteria jahat.

2)  Cili giling atau cili boh. Kalau rajin, kau buatlah sendiri. Rebus lada kering, lepas tu kau kisar sampai halus. Tak payah beli. 

3)  Ikan bilis yang digoreng dan kemudian ditumbuk sehingga lumat macam dalam gambar ni. Ikan bilis ni lagi banyak lagi sedap. Kalau boleh gunakan ikan bilis yang dah dibuang taiknya. Alaa, kau beli aje yang dah siap kopek tu.

4)  Bawang merah, bawang putih dan halia ditumbuk lumat. Kuantiti kau agak-agak je la.. yang inipun Pida main ambik aje.



5)  Dan pelakon utamanya... kelapa parut. Tips untuk mengekalkan kesegaran kelapa agar urap tidak cepat basi, kau sangai dulu kelapa parut tu agak-agak dia kering sedikit jangan biar sampai jadi kerisik tapi. Biar dia agak lembap-lembap sikit gitu supaya berasa pati santannya nanti. Ini petua yang diajar oleh mak mentua Pida.

Errr... kau tau tak sangai tu apa? Dia sejenis perbuatan menggoreng tanpa minyak. Jadi maksudnya kau kena goreng kelapa parut tu tanpa minyak. FAHAM KE TAK? --->>> Dah lama tak marah.

Ok, itu sajalah bahan-bahannya. Senang je kan? Ada yang tanya kalau tak pakai ulam kacang botor boleh tak Pida? Boleh... nak pakai ulam apa pun boleh, nak pakai kemuncup pun boleh.



Baiklah, sekarang kita pelajari cara-cara membuat urap. Senang sangat nak membuatnya. Orang putus cinta pun boleh buat.
Mula-mula kita gaulkan bawang merah, bawang putih dan halia bersama cili giling dan ikan bilis yang telah ditumbuk lumat tadi. Gaul, gaul, gaul sampai mesra gitu.

Kemudian, masukkan kelapa parut  yang telah disangai tadi dan gaul, gaul, gaul sampai mesra lagi. Tengok tu gambar sudip berpusing-pusing, maknanya kemain power lagi menggaul tu. Sambil-sambil menggaul tu kaubelai-belailah laki kau. Dah kenapa? Maksud Pida, sambil-sambil menggaul tu kau taruklah garam secubit dua untuk meningkatkan rasa.

Yes! Dah siap pun urap kita. Nampak sedap kan? Memang sedap pun nyah. Rangup keriuk-keriuk bila dikunyah. Sangat enak dimakan bersama nasi panas di bawah lembayung senja. Perghhhh.

Jadi, lepas ni bolehlah kau buat urap sendiri. Senang je kan? Inilah antara rahsia awet muda para perawan jawa dahulu kala. Makan ulam-ulaman segar, tanpa bahan pengawet dan perasa yang tidak dibenarkan. Dijamin natural dan organik.

Ok, ngam-ngam 10 minit. Insya Allah esok-esok Pida buat cerita lain pulak ye. Bizi sangat la sekarang. Muhaimin pun dah 8 bulan, dah makin lasak si kecik tu. Dah memapah nak berjalan.

Oklah, dah masuk 11 minit. Kbai.

Tuesday, January 14, 2014

Jemput-jemput ayam super special

Salam jemput-jemput,

Sempena cuti Maulidur Rasul pada hari ini, Pida telah mendapat tempahan khas (cheh!) untuk membuat jemput-jemput daripada Ketua Penduduk Taman Pida (cheh lagi!).

Untuk pengetahuan kau, biarlah Pida membuka rahsia di dada yang selama ini Pida simpan daripada pengetahuan semua orang termasuk Presiden Cuepacs.

Sebenarnya suami Pida menggelarkan Pida Dewi Jemput-Jemput. Haaa! Kelas kan gelaran pemberian suami Pida tu? Nak tau sebab apa? Sebab Pida sangat terror buat jemput-jemput. Jemput-jemput Pida sedap giler wa cakap lu, makan sebijik nak lagi itu gerenti!

Oh ye, kau tau ke jemput-jemput tu apa? Orang KL panggil cekodok. Tapi di Johor kitorang panggil jemput-jemput.

Dan sebenarnya juga dah lama Pida nak berkongsi resepi puaka jemput-jemput Pida ni. Memang berpuaka sebab rasa dia sedap sangat. Tu mesti ada yang muntah hijau dengar Pida puji diri sendiri.

Jadi nak tak nak, terpaksalah Pida berkongsi jugak resepi jemput-jemput pujaan ini.

(Kali ini Pida buat dengan menggunakan sekilo tepung gandum, jadi bahan-bahan yang ditunjukkan nanti akan nampak banyak).

Bahan-bahan asas:

1. Tepung gandum.
Siapalah jemput-jemput tanpa tepung gandum. Pida lebih suka gunakan tepung gandum cap Sauh yang biasa tu sebab jemput-jemput akan jadi gebu dan lebih sedap rasanya.




2. Bawang besar dipotong dadu.




3. Kentang dipotong dadu.




4. Ayam dipotong dadu.
Ini optional. Biasanya Pida buat jemput-jemput bilis. Tapi permintaan kali ini ialah jemput-jemput ayam.




5. Daun kucai dihiris 1cm-1cm.
Ini pun optional. Biasanya Pida tak taruk tapi permintaan Ketua Taman cadangkan supaya taruk daun kucai. Kellas ketua taman aku kau!




Kekdah membuatnya:

1. Campurkan kesemua bahan yang siap dipotong dan dihiris tadi ke dalam bekas. Jangan lupa baca Bismillah dan selawat dan zikir Ya Latif ye kawan-kawan! Lagi afdhal kalau ada wudhuk you...




2. Gaulkan dengan tepung gandum dan bubuh air supaya menjadi adunan yang lemah lembut. Jangan pekat sangat jangan cair sangat. Agak-agak sedang-sedang aje supaya jemput-jemputnya lembut.

(Sementara itu bolehlah panaskan minyak di kuali).

Bubuh garam secukup rasa. Kalau tak taruk garam kang tawar hebeh pulak nanti.




3. Setelah minyak panas, masukkan sesudu demi sesudu adunan tepung tadi. Tunggu sehingga ia kekuning-kuningan dan sedikit garing sebelum diangkat.




4. Jemput-jemput yang telah siap bolehlah dihidangkan. Sedap dimakan ketika masih panas. Lebih sedap kalau dimakan bersama sambal kicap.

Haah, sebut pasal sambal kicap ni, Pida pun dewa sambal kicap. Tapi kali ini Pida tak dapat nak tunjukkan cara membuat sambal kicap sebab diorang makan sambal kicap segera aje.

Alaa senang aje buat sambal kicap. Tumbuk cili padi bersama bawang putih dan tuangkan kicap. Lepas tu taruk gula kasi balance rasa. Siap.




Amacam? Terpana tak? Hehehe.



Saturday, January 11, 2014

Home made sushi - tak shushah pun...

*Kemas kini pada 17 September 2017.
Pida terperasan ada satu post di facebook bertarikh Ogos 2017 yang turut menerangkan cara-cara membuat sushi.

Namun yang menarik perhatian ialah kaedah dan peralatan yang digunakan hampir terlalu sama dengan apa yang ditunjukkan dalam entry asli Pida ini. Cuma kaedah dia lebih terperinci, seolah-olah menjawab pertanyaan di ruangan komen di bawah.

Sekian, itu sahaja. Terima kasih.

Salam sushi,

Pagi tadi Pida belajar cara-cara membuat sushi, iaitu sejenis makanan tradisional masyarakat Jepun yang juga merupakan makanan kegemaran Pida. Dalam kalangan masyarakat kita sekarang, sushi bukanlah asing. Sushi boleh didapati dengan mudah di kedai-kedai di tempat kita.

Pida belajar membuat sushi daripada adik ipar Pida yang memang rajin bab buat-buat kuih ni. Hari tu Pida ternampak post kat facebook dia tentang sushi yang dia buat sendiri, serta-merta rasa terliur nak makan sushi. So dia dengan dedikasinya datang ke rumah Pida untuk membuat sushi.

Jadi di sini Pida nak berkongsi resepi dan cara-cara membuat sushi. Ringkas dan mudah aje nak menyediakan sushi ni rupanya.


Untuk bahan-bahan asas sushi, Pida menyediakan lobak merah, sosej dan telur dadar yang dihiris nipis dan memanjang.

Sediakan timun yang juga dihiris memanjang. Timun ini ditaburkan dengan sedikit garam untuk meningkatkan rasa dan mengekalkan kesegaran dan kerangupannya.

Daging kisar yang ditumis bersama bawang putih dan garam. 

Minyak bijan sebagai penambah perasa dan pengilat sushi.

Ok, demikianlah bahan-bahan asasnya. Senang aje kan? Oh ye, lupa nak cakap. Kalau nak buat sushi kena pakai beras khas dia yang dipanggil beras sushi. Tapi kat kampung-kampung mungkin belum ada kot, kat tempat Pida pun tak banyak sangat.

Jadi Pida gantikan dengan beras biasa aje. Tapi kalau nak sushi tu lembut dan rasanya seakan-akan beras sushi sebenar, gunakanlah beras wangi. Sebab beras wangi lembut dan lebih sedap daripada beras biasa. Kalau nak guna beras biasa pun boleh, tapi pastikan ia lembik sikit supaya ia senang dibentuk dan dimampatkan.

Selain itu, bahan utama sushi ialah rumpai laut atau dalam bahasa inglishnya seaweed. Bahan ini juga mudah didapati di pasar raya-pasar raya berdekatan anda.

Ok, jom tengok macam mana nak buat sushi!

Mula-mula kita hamparkan rolling mat yang dibuat daripada batang-batang buluh. Tujuannya supaya senang nak gulung sushi tu nanti. Sushi akan jadi sekata je saiznya. Lepas tu letakkan sekeping rumpai laut dan sesenduk nasi yang telah dicampurkan sedikit minyak bijan di atasnya. 

Kemudian kepalan nasi tersebut diratakan supaya sekata di atas rumpai laut.

Langkah seterusnya ialah meletakkan bahan-bahan inti tadi dan susun cantik-cantik. Kalau letak lintang-pukang nanti hasilnya berserabut bila dipotong.  

Selepas siap susunan inti, gulung hamparan rumpai laut tersebut dengan ketat dan mampatkan dengan menekan-nekan tikar buluh itu. Tujuannya supaya sushi akan menjadi sekata dan isi dalamnya mampat dan tidak peroi apabila dipotong nanti. 

Bila dah tekan mampat-mampat, buka gulungan tikar tu dan akan terhasillah sushi yang panjang. Macam lontong aje rupanya. Tapi perasan tak rumpai laut tu nampak macam kusam aje warnanya?

Oleh itu cara mengilatkannya ialah dengan menyapu sedikit minyak bijan di atas gulungan sushi. Haaa... kan dah nampak kilat? Cantik sikit.

Akhir sekali sushi yang panjang tadi kita potong-potong agak-agak sama saiz. Kalau tak nak potong, nak makan panjang-panjang tu pun gasak kau la. Tapi nampak gelojoh la.


Pastikan pisau yang digunakan tajam standard nak sembelih lembu. Kalau guna pisau tumpul, boleh jadi isi sushi tu akan berterabur sebab rumpai laut tu agak liat sikit. Jadi kalau guna pisau tajam, jadilah sushi yang kemas dan cantik. 

Oh ye, harap jangan tenung lama-lama dingklek (papan pemotong) Pida yang dah hitam-hitam tu. Itu bukti aku rajin masak kat dapur. 

Yeay! Sushi siap suda! Siapa yang dapat hujung sushi tu memang untung laaa... terlebih panjang inti dia. Hanya insan terpilih yang biasanya dapat bahagian hujung tu. Biasanya orang yang motong la...

Buat sushi - tak shushah pun...!

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...