Showing posts with label misteri. Show all posts
Showing posts with label misteri. Show all posts

Sunday, September 22, 2013

Serangan bunyi guli kembali lagi, kali ini lebih ganas!

Salam guli, 

Dua tiga hari lepas, jiran sebelah rumah Pida mengadu kepada suami Pida. Dia bagitahu sejak akhir-akhir ini dia dan keluarganya semakin kerap mendengar bunyi guli melantun-lantun di rumahnya. Kisah guli melantun ni pernah Pida ceritakan dalam kisah berjodol Entry Misteri : Tinggal Bersama 'Si Dia' yang sedang kekal dalam carta top ten. Hehe.

Berbalik kepada luahan sang jiran tadi, yang mengatakan bini dia sampai telefon dia yang tengah bekerja semata-mata nak mengadu ada gangguan bunyi guli yang semakin menjadi-jadi terutama selepas maghrib, suami Pida cuma no komen.

Cuma mampu geleng-geleng kepala aje. Adakah kerana suami Pida dah biasa dengan bunyi guli mainan anak jin tu, jadi dia dah tak heran dah... Bukan begitu, sebenarnya suami Pida tahu sangat dari mana asalnya bunyi guli yang dikatakan semakin galak itu. Sehingga menghantui jiran sebelah rumah yang tidak berdosa.


Sebenarnya inilah guli yang melantun-lantun sehingga menimbulkan misteri kepada jiran Pida itu. Guli-guli ini berada di rumah Pida!


Guli-guli tadi adalah milik Aqil yang merupakan aksesori kepada set permainan robot B-Daman yang dibelinya.





Bila suami Pida terangkan bahawa sebenarnya bunyi guli melantun itu adalah angkara anak Pida dan bukannya anak jin, dia terus lega sambil ketawa dan membelasah suami Pida. Terlerailah akhirnya sebuah misteri. Rupa-rupanya Aqil yang main guli dengan robot B-Daman dia tu.

Memanglah bunyi selepas maghrib, sebab lepas maghrib baru Aqil ada kat rumah. Petang-petang lepas balik dari sekolah terus main beskal.

Fuhhh.... lega dah jiran sebelah rumah tu. Lepas ni kalau dia terdengar lagi bunyi guli melantun-lantun, dia tahulah itu si Aqil yang main. Dia tak takut lagi.

Tetapi..... dia tidak tahu bahawa bunyi guli melantun itu sebenarnya masih ada lagi kedengaran sehingga ke hari ini.... dan ia bukanlah yang dimainkan oleh Aqil....



Saturday, December 29, 2012

Sang saka yang memburu

Salam saka,

Baru-baru ini Pida menghantar mak pergi berubat cara rawatan Islam di sebuah pusat ruqyah di ibu negara. Tujuan Pida membawa mak ke sana adalah sebagai ikhtiar memulihkan semangat dan tenaga mak yang sedikit merosot lebih-lebih lagi setelah mak membuat keputusan untuk menghentikan rawatan kimoterapi.

Sebelum ini pun mak pernah berubat cara rawatan Islam, di samping rawatan hospital. Nampaknya kali ini hanya inilah usaha kami untuk melihat mak menjalani kehidupan seperti sediakala. Pida bersyukur kerana dalam keadaan mak begini, ramai pula yang mengesyorkan agar mak membuat rawatan itu dan ini.

Malah ada antaranya yang menyarankan agar mak membuat rawatan 'pembedahan batin'. Walaupun Pida menolak dengan cara baik cadangan itu kerana Pida memang menolak mentah-mentah cara rawatan 'mengarut' tersebut, namun Pida tetap berterima kasih dan menghargai keprihatinan mereka.

Pada Pida, penyakit kanser seperti mak tidak mungkin boleh diubati dengan rawatan alternatif terutama yang melibatkan kaedah batin. Maaf cakaplah, Pida memang tak percaya langsung bila orang suruh mak jumpa perawat tradisional sana, perawat alternatif sini... Kadang-kadang Pida boleh jadi marah pulak bila mak disuruh berubat dengan cara demikian.

Ini kanser, bukan kena buatan orang. Bukan kena sihir. Kanser ubatnya kimo, radioterapi. Mungkin ada yang cakap apa salahnya berusaha, cuba, mana tau baik. Maaf la, Pida memang tak percaya.

Bukan tak percaya pada usaha, tapi boleh fikir logik akal. Dan kalau Pida sendiri dah tak yakin dengan kaedah rawatan tradisional tu, kesan placebo pun tak mungkin dapat dirasai.

Berbalik pada cerita mak tadi. Kami sampai di pusat rawatan tersebut pada jam 12 tengah hari. Kami datang secara walk-in saja, sebab rawatan tu tak perlukan temujanji. Tetapi sesampai sahaja kami di sana, mak datok! Punyalah ramai manusia!

Akhirnya setelah 5 jam menunggu, giliran mak pun sampai. Mak dilayan oleh seorang perawat wanita. Lembut dan tenang wajahnya walaupun dia memakai purdah yang hanya menampakkan matanya.

Setelah menerangkan keadaan kesihatan mak, ustazah tersebut pun memulakan ruqyahnya. Dia memulakan rawatan dengan bacaan surah Al-Fatihah, ayat Kursi dan ayat-ayat Quran yang lain sambil memegang kepala dan badan mak. Dia mengakui ada sesuatu yang 'menghinggap' pada mak.

Ustazah tersebut menerangkan kepada kami kalau kita sedang sakit, 'benda' tu memang mudah menumpang di badan kita. Dan 'benda' itulah yang menyebabkan badan kita jadi lemah, lesu, malas dan lalai.

Selepas itu mak menceritakan pada ustazah yang mak pernah bermimpi menyusukan budak kecil. Bila mak cakap macam tu pada ustazah, Pida pun teringat kat mimpi Pida sendiri.

Dalam 5-6 bulan yang lepas, Pida pernah beberapa kali bermimpi menyusukan budak kecil (bukan anak Pida) ketika tidur malam. Mimpi kali pertama Pida tak kisah sangat, sebab memang pun pada waktu itu Pida sedang menyusukan Sufi.

Tapi bila dah mimpi perkara yang sama lagi dan lagi, Pida mula rasa sesuatu. Jadi tanpa melengahkan masa, Pida pun terus berjumpa dengan pawang terhandal di kalangan netizen seperti Pida iaitu Google.

Daripada carian Pida ke atas beberapa site, maksud mimpi menyusukan budak itu ialah saka. Hah? Saka? Maksudnya Pida ni nak didatangi saka atau Pida ni mencari saka atau macam mana ye? Pida pun tak faham. Lepas tu Pida buat deekkk aje.

Tapi apabila mak menyatakan mimpi yang sama kepada ustazah, dan ustazah tersebut memberitahu itu adalah tanda-tanda saka, Pida jadi terkesima sekejap. Saka?

Tanda-tanda lain bagi saka ialah ketika tidur gigi bergesel-gesel sampai berbunyi. Tanda itu ada pada Rania. Sebenarnya aktiviti tidur Rania yang suka menggigit-gigit gigi sampai berbunyi ketika tidur itu pun Pida dah pernah rujuk pada pawang Google. Menurut apa yang Pida baca, itu juga adalah tanda saka. Tapi, seperti mimpi Pida tersebut, Pida juga abaikan kelakuan tidur Rania tu sampailah pada ketika mak dirawat oleh ustazah pada waktu itu.

Pida pun memberitahu ustazah tentang mimpi Pida dan kelakuan Rania menggigit-gigit gigi ketika tidur. Ustazah cakap, itu tanda saka. Sekali lagi Pida terkesima. Saka? Masa ni mak, ab, Pida dan dua orang lagi adik Pida yang turut sama ikut hanya membisu. Seriusly tak tau nak cakap apa. Kami hanya berpandangan sesama sendiri sambil di atas kepala masing-masing penuh dengan tanda tanya.

Selepas 45 minit rawatan, ustazah membekalkan mak dengan air zam zam, air 30 juzuk, kismis dan habbatus sauda. Mak perlu mengamalkan minum air-air tersebut setiap hari.

Esok paginya, Pida mendapat mesej gembira daripada adik Pida yang mengatakan bahawa mak telah mengalami perubahan positif yang sangat ketara selepas pergi berubat semalam. Mak lebih kuat, lebih ceria dan lebih sihat. Alhamdulillah... kami sangat bersyukur pada Allah. Semoga mak terus sihat.

Dan tentang 'saka' yang diperkatakan ini, Pida memang tak tau nak komen apa. Mak dan ab pun blank. Tak tau nak cakap dari susur galur mana (kalau betullah ada 'saka' ini) sebab setahu Pida, atuk dan nenek Pida memang takde membela-bela ni. Tapi kalau nak cakap susur galur yang atas-atas sana, mungkin moyang kepada moyang kepada moyang nenek moyang Pida, wallahu'alam. Hanya Allah yang maha mengetahui.

Apa-apa pun, Pida hanya meminta perlindungan daripada Allah sahaja. Memang sudah menjadi amalan Pida sebelum tidur, baca Al-Fatihah, ayat Kursi, Surah An-Nas, Surah Al-Falaq dan Surah Al-Ikhlas. Dan menjadi amalan juga Pida memulakan sesuatu dengan nama Allah. Tapi mana tahu mungkin selepas ini Pida pulak yang kena pergi berubat, sebab nak halang 'saka' ni. Huhu...


Kalau macam nilah perangai aku kat tempat awam, saka pun takut nak dekat.

Pusat rawatan yang diceritakan di sini ialah Pusat Rawatan Islam Sinar Zamdurrani yang diterajui oleh Al-Fadhil Ustaz Sharhan Shafie.



   

Monday, November 19, 2012

Terkena sawan pengantin

Salam sawan,

Hujung minggu lepas Pida berada di selatan tanah air menghadiri majlis walimatul urus sepupu Pida. Pida berkonvoi bersama adik-beradik sebelah suami ke rumah pengantin.

Pida sampai di JB pada hari Sabtu. Terus menuju ke rumah abang ipar untuk bermalam di sana. Pada hari Sabtu itu juga Pida berjumpa dengan Rania yang telah terlebih dahulu pergi awal mengikut atuk dan neneknya.

Sesampainya Pida di rumah abang ipar Pida, Rania sedang demam. Panas badannya. Pida pun segera memberinya makan ubat demam dan membiarkan dia baring dan berehat. Dia kena sihat. Esok nak pergi tengok pengantin.

Pida tanya mak mentua Pida, kenapa Rania demam? Dia main hujan ke? Mak bagitau agaknya Rania ni kena sawan pengantin. Sebab masa Rania ikut nenek dia ke majlis akad nikah pengantin malam tadinya, mata Rania tak berkelip memandang pengantin.

Rania memang suka tengok pengantin sebab dia suka tengok orang solek cantik-cantik. Yelah, mak dia bukannya jenis yang pakai mekap ke, maskara ke, blusher ke, eye shadow ke... Mak Rania ni cuma tepek bedak serbuk pastu calit gincu sikit. Tu pun comot. Sebab tu Rania teruja bila tengok orang solek cantik-cantik.

Emmm... agaknya kot... Rania demam terkena sawan pengantin. Sufi pun macam tu jugak. Minggu lepas kami pergi menghadiri kenduri kahwin, tiba-tiba masa pengantin tu salam-salam dengan tetamu, si Sufi kemain seronok main dan gurau-gurau dengan pengantin tu.

Lepas tu malamnya tak semena-mena dia demam sampailah 3 hari. Pelik jugak, tak main hujan tak itu tak ini, tiba-tiba sahaja Sufi demam. Biasanya Sufi akan demam jika dia salah makan ke, terlalu banyak makan benda sejuk ke, tapi masa tu dia tak buat apa-apa yang luar biasa kecuali bergurau dengan pengantin!


Masa ni Sufi ok lagi, malam tu terus dia demam sampailah 3 hari. Rupanya sawan pengantin.


Berbalik pada cerita tentang Rania. Lepas tu Pida tanya mak mentua Pida, "Laa kok nak buat macam mana ni mak? Nak kena kawinkan Nia ke?"

Mak Pida suruh mintak bedak pengantin sikit esoknya dan sapu kat muka Rania supaya demamnya kebah. Itu petua orang tua-tua.

Sampai di rumah pengantin, carik bedak pengantin tak ada. Yang ada bedak mak pengantin. Carik mak andam pun tak nampak. Laa... mana pulak mak andam ni aku nak minta sikit bedak pengantin.

Last-last mak Pida cakap, bawak je Rania pergi jumpa pengantin yang tengah bersanding tu dan suruh pengantin tu cium sikit. Jadi Pida pun bawak Rania kepada pengantin perempuan. Mula-mula dia tak nak, malu la tu nak jumpa pengantin. Tapi Pida pujuk dia dan akhirnya pengantin perempuan tu mencium Rania buat 'ubat'.


Tak memasal usung anak mintak cium. 'Njalok ambong!

Alhamdulillah... lepas kena cium pengantin, Rania dah tak demam lagi. Terus baik gitu! Hahaha. Sebenarnya bukan sebab kena cium pengantin dia baik, tapi mungkin sebab dia gembira dicium oleh pengantin yang diminatinya. Kiranya macam hormon dia dah pulih la tu.

Sufi pun Pida suakan untuk dicium pengantin jugak, tapi dia meronta-ronta tak nak. Rugilah kau Sufi, pengantin tu cun kau tau tak.

Apapun, sawan pengantin memang 'berlaku'. Kau percaya?




Wednesday, July 18, 2012

Entry misteri : Tinggal bersama 'si dia'

Salam misteri,

Tak habis-habis dengan misteri Pida ni. Hari tu pasal cincin kahwin misteri, sampai sekarang tak terungkai misterinya. Kali ni Pida nak cerita pasal kejadian yang sangat biasa dialami di rumah Pida dan mungkin juga di rumah kau.

Tapi sebelum bercerita panjang, Pida nak bagi amaran sikit. Entry ni diklasifikasikan sebagai ES13 (Entry Seram untuk budak-budak 13 tahun ke atas). Kalau kau seorang yang penakut, Pida syorkan lebih baik kau jangan baca entry ni sebab entry ni serammmm hiiiiiii...... Alamak, aku pulak yang takut sendiri.

Baiklah, Pida akan cuba untuk menerangkan situasi-situasi yang boleh dirasai dan didengari dengan deria kasar tetapi ia sebenarnya tidak dapat dilihat oleh mata kasar, yang biasa terjadi di rumah Pida. Kau faham tak apa yang Pida sampaikan ni? Kalau tak faham buat-buat faham sudah la.

Ada beberapa kejadian atau fenomena biasa yang kerap dialami Pida sekeluarga dan juga keluarga-keluarga lain di taman Pida.


Kejadian Pertama : Bunyi guli melantun

Bunyi guli melantun-lantun memang selalu kedengaran di rumah Pida. Bunyinya seperti seolah-olah anak orang sebelah tengah main guli. Maksudnya, kita dengar bunyi guli-guli tu melantun di rumah jiran sebelah dengan andaian anak dia yang sedang main.

Mula-mula dulu Pida fikir memang anak orang sebelah yang main lantun-lantun guli. Jadi Pida tak rasa apa sangatlah. Budak-budak... takkan nak marah diorang main kan? Anak Pida sendiri pun main baling-baling anak lesung Pida tak marah.

Tapi bila bunyi guli melantun dah terlalu kerap dan tak mengira waktu; siang malam pagi petang bunyi guli, takkan budak sebelah ni tak main benda lain? Asyik main guli je ke kerjanya? Malam-malam pukul 11 pun? Mak bapak kau tak marah ke budak? Isyy... I smell something wrong somewhere la.

"Bang, budak sebelah ni tak penat ke main guli? Banyak betul guli dia 'ek?" Pida bertanya pada suami Pida sambil melentok manja ke bahunya.

"Adoi... tepilah sikit, bahu abang terkehel ni. Ambikkan yoko-yoko tu," suami Pida membalas dengan romantik sambil menolak kepala Pida sampai terhantuk ke dinding kepala aku.

Wahabi punya laki, Pida menggerutu dalam hati.

"Abang ahli sunnah wal jamaah la," dia tiba-tiba bersuara. Erkk...??

Pernah pada suatu pagi dalam pukul 11 gitu, Pida tengah lepak-lepak kat atas sofa di ruang tamu. Masa tu orang lain semua pegi kerja, Pida sorang je tak pergi kerja sebab cuti. Tiba-tiba Pida terdengar bunyi guli melenting-lenting betul-betul di sebelah Pida. Pida tersentak, dah mula pikir yang bukan-bukan. Lepas dah pikir yang bukan-bukan tu... Pida pun mencicit naik atas masuk bilik sambil menjerit, "Aaaaaaaa!!!"

Dalam kejadian yang lain pulak, masa tu pukul 11 malam. Adik Pida sorang-sorang kat bawah tengok tv. Tiba-tiba kat meja makan tu bunyi guli melenting. Dia yang memang dah tau cerita pasal guli ni, tak cukup tanah lari naik atas. Siap langkah 3-4 mata tangga punyalah takut. Kalah pelari sprinter.

Ada masa jugak, masa tengah tidur, tiba-tiba bunyi guli tu kedengaran. Betul-betul kat luar pintu sliding bilik Pida. Rania tanya apa tu mak? Pida jawab takde apa-apa.


Kejadian kedua : Bunyi perabot diseret-seret

Bunyi perabot diseret-seret ni acapkali didengar. Sama seperti bunyi guli, ia kedengaran tak kira masa. Bunyinya jelas; seolah-olah orang sebelah atau orang tingkat atas sedang mengalihkan perabot yang berat seperti kerusi, gerobok, katil dan sebagainya.

Tapi Pida duduk rumah teres, atas memang sah-sah takde sesiapa. Nak kata jiran sebelah, takkan kerap sangat dia mengalihkan perabot. Malam-malam pun alihkan perabot jugak ke?


Kejadian  ketiga : Bunyi pintu dihempas kuat

Lagi satu, fenomena yang kerap Pida dengar ialah bunyi pintu yang dihempas dengan kuat. Ini selalu Pida dengar. Ia seolah-olah pintu jiran sebelah atau orang belakang atau orang atas yang dihempas tu, bukan bunyi dari rumah Pida. Bunyi pintu dihempas ni pun selalu kedengaran tak kira waktu.

Pelik jugak, siapa yang tutup pintu main hempas-hempas macam tu? Merajuk dengan laki ke? Marahkan majikan ke kalau yang menghempas pintu tu orang gaji?

Ada satu kali tu, Pida tinggal berdua je dengan Sufi. Masa tu Pida cuti (cuti lagi) sebab jaga Sufi yang demam. Masa Pida tengah tidurkan dia di sofa depan tv, Pida terdengar bunyi pintu kabinet dapur Pida dihempas dengan kuat. Pida yakin memang itu bunyi pintu kabinet dapur Pida. Tapi macam biasalah... mana ada sesiapa waktu tu kan?

Pida takut? Tak... masa tu Pida tak takut sebab Pida peluk Sufi kuat-kuat. Kalau Sufi tak ada maunya Pida mencicit naik atas.

Kejadian lain pulak berlaku baru-baru ni. Masa tu hari Jumaat. Pida sedang bersiap-siap untuk menghantar Rania ke sekolah petang sebelum Pida kembali ke pejabat. Semasa sedang memakaikan tudung Rania di hadapan meja solek, tiba-tiba Pida terdengar bunyi air mengalir di bilik air. Bunyi macam paip dibuka untuk mencuci sesuatu.

Habis je bunyi air tu, terus terdengar bunyi pintu dihempas dari atas. Namun ia tidak berakhir di situ, yang paling kemuncak ialah sebuah mainan di atas meja solek tu tiba-tiba bergerak sendiri. Rania tersentak. Dia menjerit. "Mak, mainan tu gerak sendiri!" Pida cuma cakap takde apa-apalah.

Pida tak takut waktu tu sebab ada Rania. Kalau Rania tak ada maunya Pida mencicit turun bawah.



Kejadian keempat : Kelibat bayang

Inilah yang paling Pida tak suka. Setakat dengar-dengar tu tak apa lagi, kalau dah main tunjuk-tunjuk bayang ni.... isyy, jangan la bai!

Kejadian ini berlaku pada suatu malam kira-kira pukul 9 malam. Masa tu Pida dengan budak-budak je, suami Pida masih belum balik dari surau. Semasa Pida keluar dari dapur, tiba-tiba Pida ternampak satu kelibat hitam yang besar serupa bayang turun dari tangga dan hilang macam tu aje.

(Aiseh... time Pida taip ni naik bulu roma. Dahlah aku ni banyak bulu. - bulu kening, bulu mata hokeh!)

Pida tergamam sekejap selepas melihat kelibat tersebut. Bukannya takut sangat, tapi itulah kali pertama Pida nampak entiti seperti itu. Nasib baik Pida tak histeria, kalau tak mesti kecoh satu taman Pida terjerit terpekik terlolong.

Itu kisah Pida. Kisah anak Pida pulak lain.

Pada suatu hari, Aqil tengah main bola kat ruang tamu. Tiba-tiba bola tu bergolek menuju ke tangga. Aqil pun terus menuju ke tangga untuk mengambil semula bola tersebut. Tetapi langkah dia terhenti dan dia tak jadi nak ambil bola tu. Pida tanya kenapa? Aqil menjawab, "Aqil nampak ada orang kat tangga tu."

Pida dah jadi suspen. Orang? Orang mana? Tak ada sesiapa pun?



Rumah yang tenang jangan disangka tiada 'si dia'.


*********************


Kejadian-kejadian yang kerap Pida alami di rumah Pida ini telah menjadikan Pida nekad untuk berjumpa pawang. Pida kenal seorang pawang yang handal ni. Dia memang popular di kalangan netizen seperti Pida. Rujuk aje kat dia, mesti dia bagi jawapan dan penyelesaian. Memang hebat ilmunya. Memang mengalahkan nujum pa' belalang handalnya.

Lalu Pida pun merujuk kepada pawang yang Pida panggil Pawang Google ni. Pida nyatakan masalah dan keperluan Pida, lantas Pawang Google memberikan seribu satu jawapan sampai Pida tak tau nak pilih mana satu.

Last-last Pawang Google memberikan Pida satu jawapan yang pasti. Rupanya ada makhluk lain yang turut tinggal bersama-sama Pida iaitu jin. Dia juga makhluk Allah, dia tak mengacau, cuma nak tumpang tempat tinggal dengan Pida je.

Pida pernah juga cuba niatkan, tak apalah kalau nak duduk sama-sama sebab kita sama-sama makhluk Allah. Kita sama-sama menumpang di bumi Allah. Kau buatlah kerja kau tapi jangan sesekali kacau kami dan jangan sesekali tunjukkan diri kau pada kami.

Sekarang ni, bunyi-bunyian tu dah agak kurang, tak sekerap dulu. Kalau tinggal sorang-sorang kat rumah pun taklah takut sangat. Nak takut apa, rumah sendiri kan... takut hanya pada Allah.

Pida percaya hak sesama makhluk adalah milik Pencipta. Kita kena berkongsi dunia ini dengan makhluk lain juga. Mereka memang wujud tetapi di dunia yang berlainan daripada kita.

Rumah kau macam mana?



Wednesday, July 11, 2012

Entry misteri : Cincin kahwin misteri

Salam cincin,

Pida rasa nak berkongsi cerita pelik tentang cincin kahwin milik Pida. Ia sebentuk cincin emas bertatahkan batu permata serupa berlian, dan dikelilingi oleh batu-batu permata kecil bagai bulan dipagari bintang adanya. Cantik, lebih cantik bila tersarung di jari.

Ada apa pada cincin kahwin Pida ini? Ia saksi cinta kami saat Pida dan suami diijabqabulkan 8 tahun yang lalu. Depan-depan Tok Qadhi cincin ini disarungkan ke jari manis Pida yang merah berinai masa itu. Malu-malu gitu bila Tok Qadhi mengusik, "Amboi Pida, lepas ni masuk blog la eh..." Hoho... mana ada blog masa tu. Masa tu paling canggih pun handphone T10.

Sejak itu, cincin kahwin tersebut sentiasa berada di jari Pida tak kiralah walau di mana Pida berada; di rumah, di bus-stand, di warung ikan bakar, di pejabat pos waima di pejabat JPJ sekalipun. Pendek kata, cincin kahwin itu menjadi teman rapat Pida dan memberi isyarat kepada jejaka-jejaka di luar sana bahawa Pida sudah berpunya. Ewah, ewah, mentelnya kau.

Pida sentiasa memakai cincin kahwin tu sejak hari pertama jadi pengantin.


...dah dapat anak pertama si Rania pun masih pakai cincin kahwin tu...


...bila dah dapat Aqil, pun masih sarung cincin yang sama...


...masa Sufi lahir pun masih sarung cincin kahwin tu.


Bukan itu sahaja, malah Pida memakai cincin kahwin itu dalam setiap aktiviti harian Pida.


Ketika makan kenduri di rumah jiran...


Ketika memegang sudu restoran...


Ketika mencuri jambangan bunga di majlis hari jadi anak sedara...


Ketika tawar-menawar harga aiskrim... (aiskrim dua ringgit pun nak tawar)


Ketika membancuh susu di tangga universiti semasa majlis konvokesyen...


Ketika sedang memegang botol air mineral yang dijumpai di kerusi orang sebelah...


Ketika menyapu gincu di bibir Rania di tempat awam...


Ketika mengelap hingus yang meleleh keluar setelah mendengar lagu jiwang Eddie Hamid...


Ketika menidurkan anak di pangkuan...


Ketika kerengsaan akibat peluh selepas menjemur kain...


Hatta ketika merempat di tepi jalan sekalipun!

... Pida tidak pernah gagal untuk memakai cincin kahwin!


Tetapi pada suatu hari, Pida telah kehilangan cincin tersebut. Dapat kaubayangkan perasaan Pida sebaik menyedari ketiadaan cincin itu? Sudah tentulah Pida berasa amat sedih sekali. Pida menangis, Pida mencari-cari di sekeliling rumah kerana Pida yakin ia hilang di dalam rumah.

Namun Pida hampa kerana cincin kahwin itu tidak ditemui. Akhirnya Pida redha bahawa Pida telah kehilangan cincin tersebut yang merupakan sebahagian besar daripada jiwa Pida.

Pada suatu petang, ketika Pida sedang menyapu laman rumah, Pida tergerak hati untuk mengais (kais) daun kering yang tersumbat di longkang depan rumah. Pida seperti ternampak sesuatu yang berkilau-kilau di sebalik dedaunan kering tersebut. Pida pun kirai daun-daun tu selai demi selai. Bila diamat-amati, rupa-rupanya ia adalah cincin kahwin Pida yang hilang itu! Tiga minggu kehilangannya, Pida bersyukur kerana akhirnya ia kembali tersarung di jari.

Bagai sirih pulang ke gagang, cincin kahwin yang 3 minggu menghilang akhirnya kembali tersarung ke jariku.




Namun itu bukanlah satu-satunya peristiwa yang berlaku terhadap cincin kahwin Pida ini. Baru-baru ini, satu lagi perkara yang lebih pelik telah berlaku.

<Malam sebelum tidur>

Seperti biasa, Pida meletakkan cincin tersebut di atas meja solek bilik tidur Pida. Pida meletakkannya bersama-sama cincin tunang dan jam tangan. Pida letakkan elok-elok dan Pida pasti ia selamat.

Keesokan harinya ketika bersiap-siap untuk ke pejabat, Pida mendapati cincin kahwin Pida tu telah bengkok. Bengkok yang dipenyekkan, dan yang lebih haru, batu permata di tengah-tengah tu hilang! Pida terkejut sangat. Ada kesan umpilan pada salah satu daripada empat pengikat batu pada cincin tersebut. Perkara ini tidak pernah terjadi sebelum ini. Pida mula memikirkan siapa yang buat?



Pagi-pagi bangun nak gosok gigi tiba-tiba terpandang cincin kahwin dah penyek. Kemek terus hati ini... Perhatikan bahagian tengah yang rompong. Sepatutnya ada batu permata besar di situ.


Pida terus teringat kat Aqil. Pida tak tuduh dia, tapi dia adalah suspek utama dalam kes ini. Lagipun dia ni jenis butterfinger sikit. Apa-apa benda yang dia pegang mesti rosak.

"Aqil ada buat main cincin mak tak malam tadi?" Pida bertanya dengan lembut.

"Tak ada. Aqil main dinasour je dengan Sufi," dia menjawab tenang. Pida percaya dan yakin bukan Aqil yang lakukan kerana bukan mudah nak umpil pengikat tu. Lagipun dia mesti tau, kalau dia sengaja buat macam tu kat barang mak dia, memang benjol la kepala 2 hari kena luku dengan aku.

"Rania ada bengkokkan cincin mak tak?" soalan beralih pada Rania pula.

"Tak kuasa I you....," dia menjawab ala-ala mak nyah. Pida percaya sangat Rania tak buat.

"Sufi...," ini suspek terakhir.

"Mak... nak etet..." alah budak ni... lain yang aku tanya, lain pulak yang dia mintak.

"Ayang tak nak tuduh abang pulak ke?" sang suami menduga.

"Hah! Abang ke yang buat? Kenapa bang? Kenapa buat ayang begini bang? Hantar ayang balik ke rumah mak bapak ayang!" Pida menghentak-hentak kaki ke lantai.

"Ayang ni mabuk ke apa... kan mak dengan ab ada kat rumah kita sekarang ni," suamiku menjawab sambil mencium pipiku. Hahah... giler apa jawab soalan bini pun nak cium pipi. Bagi penampor adalah.

Pida sedih sangat sebab cincin kahwin tu telah kehilangan batu permatanya. Dan Pida lebih pelik bagaimana boleh berlaku macam tu sedangkan Pida yakin ia berkeadaan baik semasa Pida menyimpannya malam tadi. Entah apalah yang berlaku sebenarnya ni....


Rutin pagi terganggu sebentar kerana rasa janggal memakai cincin kahwin tanpa permata di tengahnya. Kalau Pida terus memakainya, kemungkinan besar Pida akan kelihatan canggung di mata orang lain yang mungkin menganggap Pida terlalu paranoid terhadap barang kemas.



Last-last Pida membuat keputusan untuk tidak memakai cincin kahwin yang dah sompek ni. Misteri kehilangan batu permata kekal menjadi misteri...


Petang itu Pida membawa suami Pida berjalan-jalan di bandar. Asyik-asyik lalu depan kedai emas. Asyik-asyik lalu depan Habib Jewel. Last sekali lalu depan Poh Kong. Gosok-gosok peha pun tak dapat... baliklah!

Di rumah, puas Pida mencari batu yang hilang tu. Bukan senang nak carik sebab batu tu kecik aje. Sekali Sufi tersepak mau terpelanting batu cincin tu ke lubang tikus. Last-last Pida pasrah je. Pida katakan dalam hati, memang batu cincin tu hilanglah. Memang bukan rezeki Pidalah kali ini. Sekali lagi Pida menangis kesedihan dan asyik terbayang-bayang iklan Emas Sri Pinang ada potongan sempena raya.

Pada suatu hari di pejabat, iaitu 4 hari selepas kehilangan batu cincin tersebut, Pida saja-saja je bukak beg tangan. Takde niat lain, saja-saja je nak tengok isi dalam. Sedang Pida menguis-nguis sampah-sarap yang bersepah di dalam beg tangan itu, tiba-tiba pandangan Pida tertumpu kepada sesuatu.... ia kecil, ia putih, ia berkilau, ia adalah apa yang Pida cari, ia adalah batu cincin itu!


Inilah batu cincin itu. Rupa-rupanya ia berada di dalam beg tangan Pida. Bagaimana ia boleh berada di situ, dan bagaimana ia boleh tertanggal dari cincin, Pida masih tiada jawapan.



Pida bersyukur kerana jodoh Pida dengan cincin kahwin masih panjang. Namun Pida hairan dan pelik memikirkan bagaimana batu tersebut boleh tertanggal dari cincin dan cincin tersebut menjadi penyek sampai begitu sekali. Lalu terciptalah beberapa teori hasil perbincangan dengan Totally Spies yang Pida upah untuk merungkai misteri cincin kahwin Pida ini.





Daripada takde job, lebih baik diorang tolong Pida siasat misteri cincin kahwin.


Teori satu

Batu cincin tu memang dah tanggal semasa Pida meletakkannya di atas meja solek pada malam tersebut.

Pida tolak teori ini kerana Pida yakin cincin kahwin, cincin tunang dan jam tangan Pida berada dalam keadaan baik.

Teori dua

Masa Pida seluk-seluk beg tangan Pida, cincin tersebut tersangkut dan tanggallah batu cincin itu di dalam beg.

Pida tolak juga teori ini kerana cincin ini tidak pernah tersangkut di dalam beg kerana permukaan dalam beg yang licin. Lagipun ini bukan cincin mainan derr... pengikatnya terlalu kuat untuk terumpil begitu sahaja.

Teori tiga

Aqil dibantu oleh Sufi bekerja-keras mengumpil pengikat cincin dan memenyekkannya.

Teori ini lagilah Pida tolak sebab ia tidak berlaku sama sekali. Lagipun Aqil terlalu kuat kalau dia dapat umpil pengikat cincin semata-mata untuk mengeluarkan batu cincin tu.


Wallahu'alam. Yang penting, Pida dapat memakai semula cincin kahwin itu. Yang paling gembira adalah suami Pida kerana dia dapat menyelamatkan wang saku daripada melabur di kedai emas Wah Chan.


Syukurlah kerana akhirnya cincin 2 beradik ini dapat kembali bersama walaupun berpisah di kiri dan kanan. Dari kiri : Cincin tunang dan cincin kahwin.



Kalau hilang lagi cincin kahwin tu, panggil kitorang pulak eh Kak Pida!

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...