Tuesday, June 18, 2013

Tamatlah riwayat Karlos



Salam karlos,

Sejak lebih daripada 13 minggu yang lalu, Pida setia menonton cerita bersiri Karlos yang disiarkan di TV3. Semasa promonya ligat dimainkan di tv, Pida dah tak sabar nak tengok cerita ni. Pida rasa cerita ni best giler. Lebih-lebih lagi yang pegang watak Karlos tu Johan As'aari yang memang bagus lakonannya.




Dan memang betul pun. Cerita ni memang best giler sejak episod pertama lagi. Sejak episod pertama tersebut, Pida dah start susun jadual; hari Isnin pukul 9 malam Pida kena conquer televisyen. Sebab kalau tak conquer, putih mata la Pida nak tengok tv. Laki layan Masterchef, anak-anak layan Oggy and the Cockroaches.

Dah la aku ni jarang tengok tv, seminggu sekali nak tengok pun kena cop dulu. Siapa nak tengok Masterchef sila layan di bilik tido. TV ada 2 kan? Tak payah nak berebut-rebut. Itupun ada 2-3 minggu Karlos tidak disiarkan kerana memberi laluan kepada rancangan khas sempena PRU13 hari tu. Apa daa...

Berbalik pada Karlos. Pada Pida, cerita ini memaparkan realiti kehidupan yang dialami oleh sebilangan keluarga dalam masyarakat kita. Tiada paparan kosmetik di sini, yang ditonjolkan hanyalah kebenaran yang berlaku di depan mata tentang apa yang terjadi dalam institusi kekeluargaan.

Segala-galanya berpunca daripada latar budaya keluarga yang berhadapan dengan masalah sosial dan ekonomi. Bapa Karlos (lakonan Namron) merupakan seorang tahi judi. Dia digambarkan tidak mempunyai pekerjaan dan masanya banyak dihabiskan dengan berjudi.

Dia jarang mempedulikan keluarganya; isteri dan 4 orang anaknya termasuk Karlos (nama sebenar Irwan). Dia menyara keluarga dengan hasil haram kemenangannya di meja judi. Wang itulah yang digunakan untuk membeli keperluan rumahtangga termasuk makanan.

Nasib Karlos malang kerana sedari kecil dia tidak disayangi oleh bapanya itu. Dia selalu dipukul dan dimarahi hanya kerana sebab yang kecil. Hanya emaknya (lakonan Sherrie Merlis) yang memberikannya kasih sayang dan sering membela dia daripada bapanya yang bengis.


Karlos tidak pernah mendapat kasih sayang ayahnya sejak kecil lagi.

Plot cerita ini mudah. Penonton ditunjukkan dengan akibat daripada kelonggaran fungsi ibu bapa (dalam cerita ini bapa) yang bermula dari rumah. Akibat tiada perhatian dan sebagai balasan kerana menyuapkan makanan dari sumber yang haram kepada keluarganya, Karlos akhirnya terjerumus ke kancah salah laku.

Bermula dengan perbuatan mencuri motor sejak umurnya masih di sekolah rendah sehingga meningkat remaja, lama-lama Karlos sudah terbiasa melakukan kegiatan tersebut. Namun sepandai-pandai tupai melompat, akhirnya jatuh ke tanah juga. Karlos kantoi dan dia dimasukkan ke pusat pemulihan akhlak.

Kehidupan di pusat pemulihan akhlak sangat perit bagi Karlos. Di situ dia mengenali musuh dan kawan. Dan di sini jugalah dia mengubah namanya daripada Irwan kepada Karlos. Namun nasibnya beruntung apabila dibebaskan awal kerana berkelakuan baik. Sebelum itu, rakan baiknya di pusat pemulihan tersebut, Kenji telah terlebih dahulu dibebaskan.

Seperti diduga, bapa Karlos tidak menerima kepulangannya malah dia tidak lagi dianggap anak oleh bapanya. Emaknya yang lemah itu pun tidak dapat berbuat apa-apa kerana suaminya itu sangat bengis dan tidak membenarkan Karlos balik ke rumah.


Air muka cemerlang lakonan Sherrie Merlis sebagai ibu yang tersepit antara ketaatan terhadap suami dan kasih sayang  terhadap anak-anak. Azhar Sulaiman sebagai polis juga membawakan watak dengan berkesan. Oh, dia masih hensem!


Hidup Karlos menjadi semakin terumbang-ambing. Di sini telah timbul konflik yang semakin mencengkam kehidupannya. Penonton dapat merasakan keinginannya yang membara untuk kembali ke pangkal jalan tetapi lorong gelap sentiasa menantinya di depan.

Penonton juga dengan jelas dapat merasai tekanan perasaan yang dialami oleh Karlos. Dari konflik ini bermulalah episod Karlos yang lebih hitam setelah dia berjumpa semula dengan Kenji.

Sebagai seorang yang tiada pedoman, Karlos dengan mudahnya telah terpengaruh dengan Kenji yang merupakan seorang penjenayah. Akhirnya bersama-sama Kenji, Karlos telah menjadi perompak dan pembunuh. Lalu jadilah mereka orang yang paling dikehendaki polis. Dan hiduplah mereka sebagai pelarian untuk mengelakkan diri daripada dicekup polis.

Walaupun Karlos telah menjadi penjenayah berbahaya, namun dia masih sayangkan keluarganya terutama emaknya yang tidak pernah membuang dia dan sentiasa mendoakan keselamatannya. Watak emak yang digalas ini sangat berkesan. Tanpa solekan yang artificial, setiap raut wajah yang ditunjukkan si emak ini sungguh menyentuh perasaan Pida sebagai penonton.

Namun akhirnya Karlos berjaya diberkas dan dijatuhkan hukuman mati. Dalam episod terakhir malam tadi, Karlos telah menjalani hukuman gantung sampai mati dan babak yang menyedihkan ialah apabila ibunya yang setia itu menyiram air mawar di pusaranya.

Sesuatu yang tidak klise dalam drama ini ialah bagaimana bapanya itu langsung tidak menyesal atau rasa bersalah terhadap Karlos walaupun dia sudah mati. Ketika semua penonton mengharapkan si bapa akan berubah, ternyata pengarah sangat bijak mempermainkan harapan penonton dengan mengekalkan kedegilan si bapa. Dia memang sangat membenci Karlos sehinggakan surat terakhir untuknya selepas dia mati pun dibuang begitu sahaja.

Pengakhiran drama ini juga tidak cliche seperti kebanyakan drama Melayu yang lain. Pida 'berdoa' agar Kenji berjaya ditangkap dan dihukum seperti mana Karlos, sebaliknya Kenji masih lepas bebas tanpa dapat dikesan pihak polis lebih-lebih lagi selepas dia menukar imejnya. Dalam cerita ini, Kenji lebih licik daripada polis.


Watak Kenji dibawakan dengan cemerlang oleh Syazwan Zulkifli. Penerbit tolongah ambil dia berlakon lagi kerana dia sungguh henseeeeemmm!


Keseluruhannya, cerita Karlos ni memang sangat best. Cerita ini jujur, tidak hipokrit dalam menyatakan sebab dan akibat mengapa berlakunya kebejatan moral yang menjadi penyakit masyarakat terutama di kalangan remaja.

Naskhah ini juga tidak berselindung dalam memperlihatkan kepada penonton bahawa apa yang terjadi kepada Karlos itu sebenarnya merupakan manifestasi daripada kegagalan institusi rumah tangga.

Karlos sarat dengan pengajaran dan nilai. Dalam kejahatan, masih ada kebaikan. Dalam ketakutan, masih terselit keberanian. Dalam kesesatan, masih terhasrat mencari jalan pulang. Kemuliaan seorang ibu, kesetiaan seorang kakak, kekangan kewangan, kedangkalan ilmu, semuanya diadun sebati dalam Karlos.

Dan pada Pida juga, cerita Karlos adalah satu kisah sedih dan bukan semata-mata aksi jahat. Sedih melihat Karlos yang 'rosak' gara-gara kelalaian ibu bapanya ketika usianya masih rebung.

Melihat watak Karlos, Pida dapat merasakan konflik yang membunuh jati dirinya. Dalam surat terakhirnya selepas kematiannya, dia memberitahu kepada ibu bapanya bahawa dia sebenarnya ingin menjadi polis atau askar. Babak ini cukup menyentuh hati Pida. Bahawa sebenarnya setiap kanak-kanak itu tidak pernah ingin menjadi jahat. Tetapi ibu bapa yang membentuk anak-anak itu berkesudahan menjadi jahat atau sebaliknya.

Pida sangat percaya bahawa ibu bapa adalah tonggak utama kemenjadian anak-anak. Betul acuan mak bapak, betullah jadinya anak itu. Kalau salah caranya, salahlah jadinya. Dan amat penting bagi mak bapak memberi rezeki yang halal kepada anak-anak supaya berkat.

Buat team cerita Karlos, terima kasih dan syabas kerana menghidangkan sebuah karya yang bermutu buat santapan mata Pida. Susah nak carik cerita yang membina sekarang ni. Balik-balik cerita hantu, balik-balik cerita mat rempit.

Cerita ini menjadi pengajaran buat Pida agar sentiasa mengawal dan memberi perhatian serta kasih sayang yang secukupnya kepada anak-anak Pida. Mereka masih terlalu kecil untuk menghirup udara di dunia luar sana yang penuh pancaroba. Pada masa inilah Pida berusaha untuk membentuk mereka agar menjadi insan yang baik dan mendatangkan kebaikan.

Akhir sekali, Pida berharap akan ada lagi cerita sehebat Karlos.





1 comment:

  1. Saya Aza ada menjual teh daun belalai gajah dimana daun ini boleh mengubati pelbagai jenis kanser. Selain dari itu teh mother wort merawat haid tidak menentu, menopouse, merawat wanita selepas bersalin , merawat strok dan sebgainya. Teh horny goat weed memberi kesan yang menyerupai testosteron, meningkatkan keinginan terhadap aktiviti seks dengan meningkatkan penghasilan sperma dan merangsang kepekaan sistem saraf. Kalau puan berminat puan boleh email kan pada saya lamila67@gmail.com atau Puan boleh Inbox kan di facebook page saya https://www.facebook.com/indahkshop?ref=hl TQ.

    ReplyDelete

Oh, tak sangka ada yang sudi komen... terima kasih!

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...