Monday, January 21, 2013

Gerimis Di Hati (Menanti Pelangi)

Gerimis di hati belum berhenti
Sedangkan telah kuredhakan pemergian ini
Telah kuterima takdir hidupku
Bahawa kau tiada lagi bersama waktu

Tak sesaat pun aku tidak mengenangmu
Tak sedetik pun aku melupakan
Langkah-langkah longlaiku
Harus terus kugagahkan

Mungkinkah tiada kekuatan
Namun bukan menidak suratan
Gerimis ini kerana kesedihan yang tidak pergi
Gerimis ini kerana kerinduan yang tidak bertepi

Mak, di mana harus kucari gantimu
Tiada
Kerna kau tiada taranya
Kerna kau satu dalam sejuta

Wajah ini hanyalah sebuah lukisan duka
Garis-garis yang terlukis di atas kanvas luka
Adalah wajahku
Cerminanku

Mak, aku amat merinduimu
Aku rindu dirimu
Aku rindu suaramu
Aku rindu tawamu, senyummu, marahmu, lucumu
Aku rindukanmu

Tapi deritanya aku kerana kau tak mungkin kembali
Ke dunia yang fana ini
Kerna kini kau sedang didakapi
Oleh Yang Lebih Menyayangi

Wahai mak
Aku amat menyayangimu
Sehingga kita dapat kembali bertemu
Di alam yang kekal itu.

Sunday, January 20, 2013

Monolog untuk mak yang tiada

Salam monolog,

Mak,

Alhamdulillah Pida dah berjaya laksanakan majlis tahlil dan yassin untuk mak. Pida buat di surau taman Pida.

Ramai yang datang, mak. Memang murah rezeki mak. Ramai yang datang bermakna ramai yang mendoakan untuk mak dan bersedekah pahala bacaan Al-Quran untuk bekalan mak di sana.

Mak,

Kalau nak ikutkan hati yang rapuh ini, entah bilalah Pida boleh berhenti menangis. Sungguh, mak. Air mata menjadi teman setia Pida saat ini.

Tapi mak janganlah bersedih... air mata Pida bukanlah air mata yang menidakkan ketentuan takdir, sebaliknya ia adalah air mata kerinduan daripada seorang anak yang amat merindukan ibunya yang disayangi.

Mak,

Walaupun mak dah tiada, namun Pida masih merasakan kasih sayang dan restu mak. Betapa istimewanya mak sehinggakan tiada suatu kasih lain pun yang dapat menandingi kehebatan kasih mak.

Mak,

Terlalu banyak jasa dan pengorbanan mak pada kami semua. Bukan sedikit penat lelah yang mak tanggung dalam membesarkan kami tapi mak pernah menyatakannya.

Mak,

Pida terlalu merinduimu. Rindu ini umpama gunung yang membebani. Tak tertanggung, mak. Sekejap sahaja rupanya kita dapat bersama di dunia yang fana ini. Semoga kita dapat bersua kembali di alam abadi.

Mak,

Bersemadilah mak dengan aman. Hadirlah selalu dalam mimpi-mimpiku... seperti hari itu. Walaupun hanya sesaat, namun pandangan kasih dalam senyummu sudah cukup mengubat rindu.

Mak,

Semoga Allah menempatkan mak di tempat para solihin. Semoga inilah kebahagiaan yang mak kecapi kini. Jangan bimbangkan kami, kami berjanji menjadi anak soleh sejati.

Al-Fatihah buat mak yang tiada.


Thursday, January 17, 2013

Penghargaan buat kalian

Salam penghargaan,

Di sini Pida bagi pihak keluarga ingin merakamkan jutaan penghargaan dan terima kasih kepada insan-insan dan pihak-pihak yang telah berada di samping kami sekeluarga dari saat mak mula sakit, dimasukkan ke hospital sehinggalah mak selamat disemadikan.

♥   Keluarga dan sanak-saudara yang tidak putus-putus melawat, menziarahi, mendoakan, dan memberi bantuan sokongan dan wang ringgit.

♥   Rakan-rakan, sahabat-sahabat, kenalan dan jiran tetangga yang sudi melawat di hospital dan memberi bantuan sokongan dan wang ringgit.

♥   Guru-guru, pelajar dan bekas pelajar High School di bawah pimpinan Cikgu Shidan yang sudi mengadakan majlis yassin dan tahlil semenjak mak masih ada lagi.

♥   Doktor (pakar, mo dan ho), jururawat dan staf di Wad 3B, Hospital Putrajaya yang telah berusaha merawat mak sebaik mungkin dengan penuh etika, sopan-santun dan berbudi bahasa terutama Dr. Kauthar.

♥   Rakan-rakan FB dan blog yang mendoakan, memberi semangat dan ucapan takziah.

♥   Semuanya

Terima kasih atas bantuan, doa dan sokongan semangat yang diberikan. Tanpa kalian semua, tidak mungkin segalanya akan berjalan selancar ini. Semoga Allah membalas setiap kebaikan yang diberikan.

Terima kasih atas segalanya.



Wednesday, January 16, 2013

Rintih hati

Salam rintih,

Sudah seminggu mak pergi mengadap Ilahi. Sudah seminggu jugalah bermulanya episod baru bagi Pida tanpa ibu tercinta di sisi.

Hati masih merintih. Jiwa masih menangis mengenangkan kesedihan kerana kehilangan insan yang amat bermakna dalam hidup Pida. Bukan kerana tidak meredhakan ketentuan takdir, tetapi Pida berasakan rindu yang tak tertanggung di jiwa.

Semasa mengadap mak menghembuskan nafas terakhir pada 9 Januari lepas, Pida hanya menangis sekejap sahaja. Dari saat mak dibawa pulang menaiki van jenazah menuju ke kampung halaman, sehinggalah ke saat mak diusung semula ke dalam van untuk disemadikan, Pida langsung tidak menangis. Pada waktu itu Pida rasa kuat untuk menempuh saat itu.

Ye, Pida sangat sedih tetapi Pida tidak menangis. Pida masih boleh berbual dengan tenang dengan hadirin yang datang melawat tanpa tangis sedangkan mereka semua menangis. Semasa mencium mak buat kali terakhir setelah dikafankan, Pida hanya merasakan kesedihan yang bukan dibuat-buat tetapi masih kuat sehingga tiada air mata pun yang tumpah.

Namun sebenarnya Pida lemah. Pada keesokannya, Pida terjumpa sehelai baju arwah mak yang dipakai ketika mula-mula dimasukkan ke hospital. Baju itu belum berbasuh. Masih ada bau mak. Saat Pida mencium baju itulah Pida mula menangis tak henti-henti, sampailah ke saat ini.

Pada masa itu, Pida hanya berdua bersama ab. Saat menangis teresak-esak itu, ab turut mengangis. Ab menenangkan Pida sambil memegang Pida menyuruh Pida bersabar dan banyak-banyak sedekahkan Fatihah untuk mak. Tapi oleh kerana Pida terlalu sedih, Pida hanya terus menangis sepuas-puasnya. 

Pada masa ini barulah Pida sedar bahawa mak sebenarnya sudah tiada. Mak sudah meninggalkan Pida buat selama-lamanya. Mak pergi tak kembali.

Barulah Pida sedar bahawa tiada lagi panggilan untuk mak selepas ini. Segalanya berubah sekelip mata. Apa yang biasa dilakukan bersama mak sudah tidak upaya dibuat lagi.

Pida dan adik-beradik sangat rapat dan manja dengan mak. Walaupun kami dah besar panjang, dah ada keluarga dan kehidupan sendiri, namun mak masih melayan kami seperti anak kecil.

Kami sangat manja. Setiap kali bertemu, kami pasti akan peluk mak, cium mak, ucap I love u pada mak, makan bersama mak, bergurau dan berbual dengan begitu mesra.

Macam manalah tak rasa kehilangan kerana sekarang semua itu tidak dapat dilakukan lagi. Tiada lagi wanita yang melahirkan Pida yang boleh memberikan pelukan dan ciuman yang selama ini dilimpahkan kepada kami.

Rindunya pada mak hanya Tuhan yang mengerti. Mak segala-galanya bagi kami. Mak cukup istimewa. Mak bukan setakat mak, tetapi mak juga adalah guru, doktor, tukang masak, ustazah, dan yang paling utama, mak adalah teman hidup kami.

Mak adalah seorang yang mempunyai banyak sifat mulia. Mak tidak pernah lokek untuk bersedekah. Mak tidak pernah berkira untuk membelanjakan wang dan hartanya ke jalan Allah. Mak seorang yang pemurah. Mudah-mudahan lapanglah kubur mak berkat sedekah jariah mak semasa hayatnya.

Mak mengajar Pida untuk menjadi wanita yang kuat. Mak sendiri telah membuktikan bahawa dia seorang yang kuat. Tengoklah, kalau tidak kerana kekuatannya, mak tentu tak akan dapat bertahan selama 12 tahun mengidap kanser. Dan mak pergi ini pun setelah mak puas berikhtiar untuk sembuh tetapi kuasa Allah mengatasi segala-galanya.

Mak menunjukkan kepada Pida bahawa keikhlasan itu penting dalam diri. Buat apa-apa kena ikhlas kerana Allah. Barulah datang keberkatan dan ketenangan hati. Jangan menyakiti hati orang lain, kerana kelak diri sendiri yang rugi. Jangan mencari musuh dan jangan memusuhi. Semua itu telah mak ajarkan pada Pida.

Kalau bukan kerana mak yang mendesak Pida supaya terus belajar, mungkin Pida tidak berada di tempat sekarang. Pida terhutang budi pada mak kerana telah memilihkan laluan kerjaya untuk Pida ikuti.

Mak adalah seorang motivator yang unggul. Mak menggalakkan anak-anaknya belajar sehingga ke universiti supaya dapat menikmati kehidupan yang baik dan selesa. Alhamdulillah, semua anak mak berjaya menjejakkan kaki ke menara gading. Ini semua berkat doa dan usaha mak bersama ab tentunya.

Dan mak juga seorang nenek yang penyayang. Anak-anak Pida memanggil mak 'mamaneh'. Mamaneh sangat rajin belanja cucu-cucunya. Ada sahaja yang dibelikan untuk Rania, Aqil, Sufi, Razin dan Sofia. Kalau raya tu, kami tak pernah belikan baju kurung untuk budak-budak ini kerana mamaneh pasti akan belikan untuk mereka. Namun sedihnya semua itu sudah tiada lagi. Yang tinggal hanyalah kenangan manis. 

Pida pun tak tahulah bila Pida akan dapat kembali kekuatan diri. Sekarang ni memang Pida mudah sangat break down. Bawak kereta menangis, tengah buat kerja menangis, tengah dukung Sufi menangis, nak tidur menangis, bangun tidur menangis. Makan pun tak lalu. Paling menghibakan adalah ketika kali pertama menatap sijil kematian mak. Rasa tak jejak kaki ke tanah sewaktu melihat nama mak sebagai 'si mati'. Air mata berjurai tanpa henti.

Malam tadi Pida terjumpa bantal yang mak gunakan sepanjang berada di hospital. Bila Pida peluk bantal tu, serta-merta Pida menangis teresak-esak. Bau mak masih kuat pada bantal itu. Rasa macam dapat peluk mak kembali semasa Pida memeluk bantal tersebut. Ya Allah... deritanya menanggung rindu.

Dah seminggu Pida menangis dan asyik menangis. Pida tahu Pida tak perlu terus menangis. Pida perlu teruskan kehidupan. Pida ada suami dan anak-anak yang memerlukan perhatian Pida. Pida tahu. Cuma buat masa sekarang Pida masih terlalu terasa kehilangan mak.

Pida bersama adik-beradik lain yang menjaga mak semasa mak tak sihat. Kamilah yang memandikan mak, menyikatkan rambut mak, menghias mak wangi-wangi, mengambilkan wuduk untuk mak ketika bersolat, menyuap makan ke mulut mak dan melayan mak sehabis baik mengalahkan puteri pada waktu itu.

Takpelah, sekurang-kurangnya Pida berpeluang berbakti kepada mak sehingga ke akhir hayatnya. Tak ada apa yang Pida kesalkan. Tiada sesuatu yang Pida ralatkan. Pida buat semua itu kerana Allah dan kerana Pida sayangkan mak.

Hati ini biarlah waktu yang merawatnya. Insya Allah akan hilanglah kesedihan ini sedikit demi sedikit. Tetapi yang pasti, ingatan dan doa terhadap mak tak akan terpadam dalam diri Pida dan adik-beradik yang lain selagi hayat dikandung badan.

Sampai bila nak menangis, yang pergi tetap pergi, iringilah saja dengan doa dan ayat-ayat suci. Pida harus terus pandang ke depan, dan meneruskan tanggungjawab yang sedia ada.

Buat ab, terima kasih atas kesetiaan dan ketabahanmu. Kami akan menjaga ab sebaik-baiknya. Semoga Allah melimpahkan rahmat ke atas keluarga kita dan menempatkan mak tersayang dalam kalangan hamba-hambanya yang bertaqwa.

Al-Fatihah buat mak.


Kau sinaran bulan
Menyerikan bintang-bintang
Kaulah fajar yang menerbitkan pagi

Kausirami embun
Menyegarkan pepohonan
Kaubukakan tabir siang untukku

Kauberikan mama
Kasih sayang maha suci
Betapa agungnya
Tiada ternilaikan
Oh mama, oh mamaku
Tiada cinta yang murni
Setulus cintamu

Kusuntingkan mama
Sekuntum mawar putih
Sebagai lambang kesucian cintaku





Monday, January 14, 2013

Detik-detik kepergian mak : Sebuah nukilan rindu

Salam rindu,

Mak,

Sudah hampir seminggu mak pergi meninggalkan kami untuk selama-lamanya. Dan selama ini jugalah kami hanya mampu memendam rasa rindu di jiwa dan sebak di dada.

Mak,

Percayalah bahawa kami semua amat meredhakan pemergianmu. Biarpun berasa amat sedih, namun melihatkan mak pergi dalam keadaan tenang, kami tahu bahawa mak juga redha dengan takdir hidup mak sendiri.

Mak,

Mak tau kan, kami 6 beradik bergilir-gilir menemani mak di wad sejak mak dimasukkan ke hospital 31 Disember. Pida, Paza dan Paiz menjaga mak dari pagi sampai ke petang. Zizi, Hilma dan Afif pulak giliran malam.

Tak ada sesaat pun kami tinggalkan mak keseorangan. Ab pulak memang sentiasa menemani mak sepanjang masa. Ab begitu setia di hospital. Walaupun waktu melawat dah tamat, namun Ab tetap setia dan sabar menunggu masa melawat seterusnya di lobi hospital. Kami dah minta ab balik ke rumah berehat, tapi ab tak nak. Ab sayang sangat kat mak. Dia pun macam kami, tak nak tinggalkan mak sorang-sorang.

Mak tahu tak, setiap kali sebelum keluar meninggalkan mak, ab akan cium mak terlebih dahulu. Pida tak boleh tengok saat itu kerana Pida pasti akan menangis. Sekarang ni bila teringat pun Pida menangis. Dan mak tetap berpaling memandang ab walaupun masa tu mak dah tak boleh berkata-kata. Tetapi pandangan mata mak memberitahu betapa mak sayangkan ab dan tak mahu meninggalkan ab.

Mak,

Hari itu, 9 Januari 2013, seperti biasa giliran Pida menjaga mak di hospital setelah mengambil alih giliran daripada Zizi dan Afif yang menjaga mak pada malamnya.

Pagi tu Pida perasan nafas mak macam lelah sikit. Tetapi mak seperti biasa, sedang tidur setelah diberikan ubat penahan sakit.

Pukul 9.15 pagi, tiba-tiba mak sesak nafas. Pida panggil mak dan cuba kejut mak sambil tangan Pida pantas menekan butang merah memanggil jururawat. Sekejap sahaja jururawat masuk dan Pida bagitau mak sesak nafas.

Tak lama selepas itu doktor pakar, MO, HO dan jururawat sudah mengelilingi katil mak untuk memberikan rawatan kecemasan. Doktor meminta Pida tunggu di luar. Pada masa itulah Pida panggil ab dan anak-anak mak yang baru je pergi kerja supaya datang segera ke hospital. Sementara menunggu doktor merawat mak, Pida membacakan surah Yassin untuk mak.


SMS daripada adik Pida setelah mendapat panggilan daripada Pida supaya datang segera ke hospital.


Tak lama kemudian, seorang doktor keluar dan berjumpa dengan Pida yang sedang keseorangan membacakan yassin untuk mak di luar. Doktor wanita itu memberitahu Pida bahawa keadaan mak sudah tenat. Dia juga menerangkan kepada Pida keadaan sebenar kanser mak. Dia menyuruh Pida panggil adik-beradik yang lain dan meminta kami semua bersedia. Tambahnya lagi, pada masa ini adalah masa terbaik untuk mendekatkan mak dengan Tuhan.

Pida mendengar dengan teliti setiap perkataan yang keluar dari mulut doktor tersebut. Masa itu Pida masih tenang dan tidak menangis. Pida meneruskan bacaan Yassin sementara menunggu mereka semua selesai merawat mak dan sementara menunggu budak-budak yang lain tu sampai.

Dalam masa tak sampai sejam, semua anak-anak mak sudah berada di hospital. Setelah doktor dan jururawat keluar untuk memberi ruang peribadi kepada kami, kami semua mendapatkan mak yang sudah tenang sedikit setelah diberikan bantuan oksigen.

Mak,

Mulai saat kami menemani mak beramai-ramai pada hari itu, hanya keluarga kita sahaja pada masa itu. Ab, kami adik-beradik dan menantu-menantu mak. Sejak saat itu tidak lekang kalimah agung Laailaha Illallah diperdengarkan di telinga mak. Kami masing-masing mengucapkannya pada mak secara bergilir-gilir.

Tidak sunyi bacaan yassin dan ayat kursi memenuhi segenap ruang bilik mak. Tidak putus-putus ciuman anak-anak yang mak terima pada saat itu. Tidak senyap daripada ucapan sayang dan terima kasih daripada anak-anak mak pada ketika itu. Walaupun mak tidak mendengarnya, namun mak tetap mengalirkan air mata. Kami tahu mak sebenarnya sedar dan dapat merasakan detik-detik akhir yang penuh kasih sayang itu.

Mak,

Mak tau tak, ab adalah orang yang paling tenang ketika itu. Ab lebih banyak membisu daripada berkata-kata, tetapi gerak bibirnya tidak lekang daripada ayat-ayat suci dan doa buat mak. Ab kelihatan terlalu berharap; sekurang-kurangnya untuk seketika lagi.

Pukul 7.00 malam, mak semakin nazak. Dalam hati kami masing-masing mengerti sendiri. Kami semakin merapati mak, dan kalimah agung terus diperdengarkan di telinga mak. Kami semua tenang mak, menangis pun hanya sendiri-sendiri, tanpa bunyi.

Setelah jururawat memasang mesin nyawa di badan mak, ternyata degupan jantung mak semakin perlahan. Inilah saat yang paling sukar bagi kami, mak. Kami tak boleh berkata-kata lagi. Kami nampak mak semakin tenang, dan akhirnya apabila mesin itu mengeluarkan bunyi yang berterusan, kami menyebut "mak" dalam tangis kerana kami tahu saat itu mak telah pergi buat selama-lamanya.

Pida masih menggenggam erat tangan mak sambil tunduk menangis. Pida tahu itu adalah detik terakhir Pida bersama mak. Demi menghormati mak, kami menangis tanpa suara. Sakit di dada hanya kami yang merasa.

Mak,

Alhamdulillah, mak pergi dengan wajah tenang dan tersenyum. Kami tahu mak bahagia kerana mak pergi tidak berseorangan. Mak pergi disaksikan seluruh keluarga termasuk saudara-mara. Dan Alhamdulillah juga kerana segala urusan berjalan lancar sehinggalah jenazah mak selamat dibawa pulang ke kampung halaman mak pada malam itu juga.

Mak,

Mak tau tak, pemergian mak amat ditangisi semua keluarga. Semuanya menangis hiba saat jenazah mak dibawa ke rumah nenek, rumah tempat mak dibesarkan.

Semasa nenek mencium mak tanda redha, tiba-tiba wajah mak mengukir senyuman. Sungguh, kami semua menyaksikannya, mak. Betapa cantiknya mak ketika itu. Subhanallah, kami dapat menyaksikan kebesaran Allah di depan mata kami.

Mak,

Betapa ramainya yang melawat jenazah mak. Keluarga, sanak-saudara, rakan-rakan, kenalan semuanya ada. Guru-guru dari sekolah-sekolah lama juga sangat ramai yang datang melawat. Sampai tiga kali gelegar rumah nenek patah dek kerana terlalu ramai yang melihat jenazah mak.

Mak,

Saat memandikan jenazah mak adalah detik paling indah bagi Pida, Zizi dan Hilma. Kami pangku mak dengan penuh lembut dan kasih sayang. Kami bersihkan tubuh suci mak yang masih hangat itu sehingga wangi. Kami tatap wajah mak puas-puas dan kami peluk erat mak yang sedang berada di atas pangkuan kami. Pada saat itu terasa sungguh kasih terhadap mak. Terima kasih kerana memandikan kami sewaktu kecil dulu.

Mak,

Sesungguhnya kami sebagai anak-anak mak tidak berasa sesal atau ralat dengan pemergian mak. Kami sangat bersyukur kerana Allah telah memberikan kami peluang untuk menjaga mak. Kami jaga makan minum mak, kami bagi mak ubat, kami hantar mak ke hospital.

Mak,

Indahnya dapat menjaga mak. Indahnya dapat memandikan mak, menyikatkan rambut mak, menyuapkan mak makan, memeluk mak, mencium mak, dan segala-galanya dapat kami sempurnakan semasa menjaga mak.

Mak tau tak, anak-anak perempuan mak yang memandikan jenazah mak. Anak-anak lelaki mak yang mengangkat jenazah mak sehingga ke liang lahad. Tapi kami berenam yang menjaga mak bersama-sama. Kami puas kerana dapat berbakti kepada mak sehingga ke akhir usia mak.

Mak,

Pida bersyukur kerana Pida sempat mengucapkan terima kasih kepada mak atas segala-galanya yang telah mak berikan kepada Pida dari mula lahir sehingga sekarang. Tidak ada apa yang Pida kesalkan, insya Allah. Dan Alhamdulillah, kami semua tenang dan redha menerima ketentuan takdir walaupun kami sebenarnya masih memerlukan mak di sisi.

Kami pasrah dan yakin bahawa inilah rencana Allah yang terbaik untuk keluarga kita. Semoga kami semua diberikan kekuatan dan semangat untuk meneruskan kehidupan ini. Insya Allah kami akan jaga ab baik-baik.

Mak, berbahagialah mak di sisi-Nya. Kami tak akan lupa mengirimkan hadiah buatmu di sana. Semoga Allah mencucuri rahmat ke atas roh mak dan menempatkan mak dalam kalangan orang-orang yang bertaqwa.

Mak, kami semua amat merinduimu....

Al-Fatihah.



Wednesday, January 9, 2013

Al-Fatihah

Mak : 25.3.1953 - 9.1.2013

Selamat pergi mak... kami redhakan pemergianmu. Semoga Allah menempatkanmu di kalangan hamba-Nya yang beriman.

Missing you deeply, mak.




posted from Bloggeroid

Tuesday, January 8, 2013

Mohon doa buat mak

Salam doa,

Apa yang paling Pida takuti selama ini sedang terjadi. Selama ini Pida paling takut dan sangat berharap agar mak tidak akan jatuh sakit dan terlantar.

Namun rencana Allah mengatasi segala-galanya yang Pida pohon selama ini. Sudah lebih seminggu mak dimasukkan ke hospital. Mula-mula mak dimasukkan ke wad kerana anaemia (kurang darah) akibat tidak lalu makan.

Namun anaemia itu pun sebenarnya berkait rapat dengan kanser mak. Selepas kimo dan radioterapi yang terakhir kira-kira selepas raya yang lepas, mak sudah mula hilang selera makan. Akibatnya, mak semakin kurang makan dan telah menyebabkan berat badan mak susut mendadak dan mak hilang tenaga.

Waktu sekarang adalah waktu yang paling getir bagi Pida sekeluarga. Melihat mak terlantar sakit, lemah tidak berdaya; membuatkan hati Pida sebak dan sayu. Hati lebih hiba melihat kesetiaan ab yang tidak pernah gagal menemani mak di hospital. Sampai demam ab dibuatnya akibat tidak cukup rehat.

Pida dan adik-beradik bergilir-gilir menjaga mak siang dan malam. Mak tidak boleh ditinggalkan keseorangan kerana kami perlu sentiasa memantau mak yang lebih banyak tidur daripada jaga; takut-takut kalau mak sakit.

Sekarang mak hanya diberi rawatan penenang (palliative care treatment). Bagi pesakit kanser tahap 4 seperti mak, tidak banyak yang boleh dilakukan untuk mengurangkan kesakitan yang dihadapi oleh mak kecuali dengan bantuan bahan sedatif seperti morfin. Hanya itulah cara untuk membuatkan mak tenang dan tidak sakit.

Pida memang tak sanggup melihat mak mengerang sakit dan berkerut-kerut dahi menahan kesakitan yang dialami. Kesian sangat rasanya. Kalau boleh biarlah Pida sahaja yang merasai kesakitan itu, bukan mak. Mak dah terlalu banyak berkorban untuk kami adik-beradik, mak tak perlu merasai kesakitan seperti ini lagi.

Namun siapalah Pida untuk menolak kemahuan-Nya. Ini semua ketentuan-Nya dan ujian-Nya. Tidak sedikit pun Pida kesal dengan takdir ini, tidak sepatah kata pun Pida menyangkal hakikat yang pahit ini. Pida redha walaupun hati amat sedih.

Harapan untuk mak tetap ada. Pida yakin, insya Allah.

Di sini Pida dengan rendah hati ingin memohon jasa baik pembaca semua untuk mendoakan kesembuhan mak Pida. Doakanlah agar mak Pida sihat dan boleh menjalani kehidupan seperti biasa. Kami sangat memerlukan mak, kami sangat menyayangi mak.

Doakanlah juga agar segalanya dipermudahkan. Agar Pida dan keluarga menghadapi kekuatan untuk menghadapi saat sukar ini.

Terima kasih Pida ucapkan atas semua doa. Hanya Allah yang membalas jasa baik kalian semua mendoakan kesembuhan mak.


Carnation bunga kegemaran mak. Mum, you are always as beautiful and strong as the flower.


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...