Saturday, March 16, 2013

Telah pergi Pida ke Hari Kraf Kebangsaan 2013

Salam kraf,

Hari Kraf Kebangsaan (HKK) 2013 baru sahaja berlangsung. Pida turut tak ketinggalan mengunjungi pameran dan jualan bagi acara tahunan ini yang diadakan di Kompleks Kraf Jalan Conlay, KL.



Walaupun Pida tak berapa meminati barangan kraftangan tradisional, namun Pida seronok juga dapat bersama-sama pengunjung lain merasai kemeriahan Hari Kraf Kebangsaan yang diadakan ini. Pida pergi bersama kawan-kawan opis, naik van opis, dari opis.

Bagi pengunjung yang datang berkumpulan secara rasmi dari agensi-agensi atau rombongan Kak Peah, senarai nama sudah diberikan terlebih dahulu kepada pihak penganjur. Tujuannya ialah untuk memberikan perkhidmatan pemandu acara yang akan membawa rombongan tersebut ke tempat-tempat utama seperti muzium kraf dan dewan pameran utama.

Selain itu, yang paling best ialah pihak Kraf Malaysia memberikan pek cenderahati kepada pengunjung berkumpulan yang berdaftar ini berupa buku program, air mineral, kek muffin dan hadiah kraftangan penanda buku.





Mari Pida bawak kau berjalan-jalan di sekitar pameran HKK 2013. Yuk!

Ini pintu masuk utama ke dewan pameran. Cantik. Berukir-ukir gitu. Penampakan unsur tradisional jelas kelihatan di situ.

Ukiran berat dan sarat menghiasi siling ruang pameran, menyerlahkan kemewahan seni tradisi ukiran Melayu.




Antara pameran yang dipertontonkan ialah hasil kraf yang telah diiktiraf oleh Unesco sebagai warisan kraf dunia. Hasil-hasil yang diiktiraf ini datang dari seluruh dunia dan pengujung berpeluang menyaksikannya di pameran Hari Kraf Kebangsaan 2013 ini.


Antara warisan kraf dunia yang dipamerkan
Pakaian yang indah ini adalah hasil buatan tangan.










Ini gerai cenderamata. Pengunjung boleh membeli barangan kraf seperti pasu porselin dan barang perhiasan rumah di sini. Pida tak membeli apa-apa, masuk pun tidak. Ambik gambar dari jauh suda!

Ini pun kedai cenderamata jugak. Kat sini lagi banyak barang. T-shirt, keychain, fridge magnet, bunga-bunga, barangan kaca dan macam-macam lagi barangan yang semuanya cantik-cantik belaka. Dan agak mahal juga. Tak mampulah Pida nak membelinya.

Ini ialah labu sayong gergasi. Ia digunakan oleh mak gergasi untuk mengisi air minuman bagi kegunaan keluarga gergasi. Anak gergasi dengan mudahnya menogok air dari labu sayong gergasi ini seperti anak manusia menogok botol susu.

Di sebelah labu sayong gergasi itu terletak muzium yang menempatkan bahan pameran dan artifak barangan tembikar dan tanah liat. Namun pengunjung tidak dibenarkan mengambil gambar; cukup dengan merakamkan segalanya dengan kamera minda. Wah.

Macam-macam ada di HKK 2013 ini. Antara yang paling menarik perhatian Pida ialah keris warisan Melayu ini.

Ini ialah keris pelbagai jenis yang dibawakan khas ke HKK 2013 ini oleh Mateng Sasro Enterprise yang bertempat di Bukit Piatu, Melaka. Pemiliknya adalah lelaki yang gagah perkasa itu iaitu Encik Abdul Rahman Mohamad (Encik glamour tau masuk blog saya!)



Macam-macam jenis keris, pisau dan parang ada. Nak sembelih lembu, nak potong bendi, nak cukur janggut, waima nak pancung kepala orang pun ada jual.

Keris bersarung perak. Pida tak pasti sama ada keris-keris ini adalah untuk dimaharkan ataupun tidak. Jika ya pun untuk dimaharkan, mesti nilainya sangat tinggi mencecah ribuan ringgit.


Keris luk 1 ini sungguh cantik. Menurut En. Abdul Rahman, pada zaman dahulu keris bertinta emas seperti ini hanya digunakan oleh sultan-sultan sahaja. (Pakcik memang ada gaya-lah!)

Pedang.
Pedang juga (dari booth pameran bersebelahan).

Kau tau apa nama senjata ni? Ini namanya tekpi. Pida pun baru tau bahawa dunia Melayu ada senjata bernama tekpi ni. Kau ingat ringan macam remote astro? Berat ooo... yang En. Abdul Rahman pegang ni beratnya lebih daripada 10 newton.

Keris-keris ini adalah keris yang pernah masuk pertandingan (dari booth bersebelahan). Pertandingan apa kautanya? Pertandingan keris la, takkan pertandingan bayi comel pulak.


Ok, habis cerita keris. Penghargaan dan terima kasih untuk Encik Abdul Rahman kerana sudi melayan Pida yang banyak keletah bertanya itu ini. Dahlah tu, sekejap aku panggil beliau encik, sekejap panggil pakcik. Nasib baik aku tak kena hayun dengan tekpi :p

Kita tengok apa lagi yang ada di pameran HKK 2013 ini.


Barangan tembaga. Buaya tembaga tidak termasuk dalam senarai barang pameran ye.







Sebenarnya banyak lagi bahan pameran seperti batik yang ditempatkan khas di satu khemah. Tetapi oleh kerana Pida tak minat batik (sama ada pakaian batik mahupun produk daripada batik), maka Pida cuma jalan sekali lalu aje kat kawasan batik tu. Gambar pun tak sempat nak ambik. Banyak sangat booth sampai rasa sengal kaki nak berjalan.

Ada juga khemah khas yang menunjukkan demonstrasi masakan dan cara pembuatan kuih tradisional seperti kuih cakar ayam, kuih koya, bubur sum sum, kuih bakar dan pelbagai lagi. Tapi Pida cuma beli kambing bakar je sebab favourite Pida ialah kambing. Kalau dapat makan kambing tu memang heaven la Pida rasa.

Selepas lebih 2 jam berada di sini, akhirnya Pida pulang. Best jugak dapat bersama-sama memeriahkan HKK 2013 ni. Bagi kau yang tak berkesempatan mengunjungi HKK 2013 ini, in shaa Allah tahun depan ada lagi. Tapi kalau tak pergi pun tak rugi pun... hahaha. Jahatnya kamu.

Kraf Malaysia - kebanggaan kita.



Tuesday, March 12, 2013

7 tahun yang tidak puas

Salam puas,

Sudah genap 7 tahun Pida berkhidmat dalam bidang ICT di jabatan Pida ni. Lama kan? Kalau budak dah naik darjah satu dah. Kalau pasangan berkahwin mungkin dah ada anak 2-3 orang. Kalau buat PhD dah lama grad jadi doktor. Err... ada ke orang buat PhD sampai 7 tahun?

Bercerita tentang kepuasan, terus-terang Pida cakap, Pida tak dapat mencapai kepuasan dalam kerjaya yang Pida ceburi ini. Pelik tapi benar. Sejak tahun pertama Pida merasakan bahawa bidang ICT bukanlah jiwa Pida.

Jadi mengapa Pida memilih laluan ini?

Kalau nak diungkit kembali kisah silam, memang la panjang nak diceritakan. Sebenarnya selepas habis SPM dulu, Pida tak tau nak pilih laluan kerjaya sendiri. (Pida tak dapat terus masuk universiti sebab spm Pida tak cemerlang - buwekkk).

Masa tu Pida minat bidang grafik komputer, jadi Pida pun masuklah ke sebuah kolej komuniti untuk mengambil kursus sijil grafik komputer ini. Best giler dapat belajar grafik; guna photoshop, belajar free-lance drawing, buat arca, bina klip video dan macam-macam benda grafik lagi.

Pida belajar sampai habis dan dapat sijil. Tapi mak dan ab suruh sambung lagi sebab takkan nak hidup dengan sijil je... Jadi sekali lagi Pida buntu nak pilih laluan kerjaya. Ingat nak further bidang grafik ni, tapi masa tu macam takde mood pulak.

Masa ni Pida serahkan sepenuhnya pada mak untuk buat keputusan bagi pihak Pida. Sebab Pida percayakan mak, dan Pida tahu kalau mak yang pilih tu mesti yang terbaik. Alhamdulillah memang selalunya pilihan mak adalah yang paling cocok untuk Pida.

Maka terjunlah Pida akhirnya ke dunia ict; hasil homework dan nujuman mak Pida bahawa bidang ini mempunyai prospek kerjaya yang cerah dan terjamin. Pida melanjutkan pengajian diploma dalam bidang sains komputer dan seterusnya meneruskan pengajian ke peringkat ijazah di upm.

Tapi nak ceritalah juga kan... sebenarnya sepanjang tempoh belajar tu Pida memang tak minat sangat sebenarnya. Sebab tu untuk menutup kebosanan, Pida ambil subjek Bahasa Sepanyol sebagai elektif. Memang Pida study hard la orang kata subjek ni sebab minat punya pasal.  Dan subjek kegemaran Pida di universiti ialah Bahasa Inggeris dan Bahasa Melayu.

Selepas tamat pengajian, maka bermulalah kerjaya Pida dalam bidang ict dalam sektor awam... sehinggalah ke hari ini sudah menjangkau 7 tahun. Namun....

Namun jauh di sudut hati, bukan ini yang Pida mahukan sebagai kerjaya. Malah ketidakserasian ini telah mula Pida rasai sejak menerima surat arahan melapor diri daripada JPA lagi. Pida pujuk diri sendiri, pergi sahaja, ini rezeki, ini ketentuan, inilah jalan terbaik... Pida terus pujuk dan pujuk sampai ke tahap sekarang Pida tidak boleh dipujuk lagi.

Jadi apa sebenarnya minat dan kecenderungan Pida? Sampai dah rasa tak boleh blah dengan bidang kerjaya sendiri? Apa teruk sangat ke kerja ict ni?

Tak adalah teruk sangat. Tugas Pida pun bukan terperuk kat satu cabang aje... Pida buat rangkaian, sistem, server termasuklah deal dengan tender / sebut harga perolehan aset dengan kementerian dan pihak vendor/prinsipal. Kira graf kerja tu dinamik la, bukan statik aje.

Tapi kalau dah nama tak minat tu, tak minatlah! Bila dah tak minat, tak datang kepuasan yang diharapkan. No job satisfaction. Dan itu adalah suatu kerugian bagi seseorang employee seperti Pida kerana tidak merasakan nikmat kerjaya yang diceburi.

Kerana Pida percaya, kepuasan kerjaya adalah kunci utama seseorang itu memperoleh rasa gembira dan rasa gembira itu pula adalah kunci utama seseorang itu hidup bahagia.

Bercakap soal minat pula, sebenarnya Pida meminati bidang bahasa, sastera dan seni. Haa.. nampak tak pertembungannya di situ? Orang yang cenderung dalam bidang seni seperti Pida mempunyai jiwa yang halus, tetapi apabila sudah berkecimpung dalam bidang ict yang serba-serbi teknikal, ia bagaikan satu perlawanan dalam diri sendiri.

Selepas 7 tahun inilah, baru Pida betul-betul pasti bahawa ict bukanlah jiwa Pida. Pida tahu mesti ada yang cakap, apa susah, hantarlah cerpen, novel atau sajak ke publisher. Atau jadi model sambilan. Tapi bukan itu maksudnya... maksud Pida ialah kepuasan kerjaya, bukan hobi.

Tapi apa nak buat, memang inilah kerjaya yang menjadi punca rezeki Pida selama ini. Suka atau tidak, inilah kerja Pida setiap hari. Kalau nak tukar skim boleh saja, tapi kenalah ambil ijazah dalam bidang lain pula.

Tak apalah, Pida berdoa semoga minat Pida akan bercambah jua dalam bidang ict ini. Dan jangan salah faham, Pida tidak sesekali menyalahkan mak atas keputusannya yang membawa Pida ke arena ini. Malah Pida bersyukur sangat, kalau bukan kerana mak, entah apalah yang jadi pada Pida sekarang.

Mungkin lebih teruk. Sekurang-kurangnya Pida ada sebuah kerja yang setaraf dengan kelulusan dan dengan gaji yang diperolehi, Pida dapat menikmati kehidupan dengan sempurna. Alhamdulillah...

Jadi, sekarang ni, Pida teruskan dengan rutin seperti biasa. Tujuan Pida luahkan perasaan ini pun sebagai terapi buat Pida sendiri. Pida meluahkan apa yang Pida rasakan dalam diri ini. Pida tak nak menipu diri Pida sendiri.

Kepada adik-adik yang sedang mencari hala tuju, tanyalah diri sendiri, apa yang betul-betul diminati. Jangan terlalu terikut-ikut arus perdana, atau kursus yang popular sahaja. Hanya hati kecil kita yang tahu haluan dan minat kita yang sebenarnya.

Sebaik-baiknya buatlah kajian dan perbandingan laluan sesuatu kerjaya itu dengan cara bertanya orang atau kaunselor. Tetapi apa-apapun, listen to your heart!


Hanya kita sendiri yang mengerti keinginan sebenar hati.






Saturday, March 9, 2013

Dua purnama

Salam purnama,

Hari ini, 9 Mac 2013 genap dua purnama mak pergi meninggalkan Pida. Cepatnya masa berlalu, tak sedar sudah enam puluh hari Pida menghitung hari tanpa mak di sisi.

Alhamdulillah, perasaan Pida semakin baik tetapi Pida masih menangis kalau tiba saat rindu yang terlalu padu pada mak yang tiada.

Kerap juga Pida menziarahi kubur mak. Setiap kali Pida memandang pusara mak, Pida pasti akan menangis. Setiap kali Pida memegang batu nesan mak, air mata tak dapat ditahan lagi.

Rasa mahu mencium batu nesan itu, namun teringat pula kata Ustaz Azhar Idrus bahawa mencium batu nesan tu bodoh. Dia tak merasa seperti yang Pida rasa, bolehlah dia cakap macam tu.

Malam tadi mak muncul dalam mimpi Pida. Ini bukan kali pertama Pida mimpikan mak. Sudah acap kali. Mungkin kerana terlalu rindu, maka mak 'datang' bertamu walaupun cuma di alam beradu. Kali pertama mak muncul dalam mimpi selepas 4 hari pemergiannya. Mak muncul tersenyum tetapi hanya sesaat cuma. Apabila terjaga, Pida tak mampu mengawal rasa lalu berjurailah air mata.

Selepas itu Pida kerap juga mimpikan mak. Mak tidak berkata walau sepatah, tetapi mak hanya memandang, senyum dan yang paling sayu ada satu ketika itu mak memeluk Pida dengan erat. Masih tergambar saat mak mendakap Pida. Tetapi sayang ia hanya mimpi.

Pida pejamkan mata semula, mengharapkan agar mak hadir kembali memeluk Pida tetapi apakan daya.... Dan biasanya selepas tersedar dari mimpi, pasti Pida akan menangis sambil membaca surah fatihah untuk mak.

Mimpi malam tadi juga indah. Mak baring di ribaan Pida dan Pida belai mak dengan mesra. Tiada sepatah kata, tetapi Pida dapat merasakan hangatnya kasih sayang antara kami. Lama juga dapat 'membelai' mak sebelum terjaga dari lena; hanya untuk menerima realiti bahawa itu cuma mimpi jua.... :`(

Mak, sudah dua bulan mak tiada di sisi. Namun percayalah, tiada sesaat kami tidak mengingatimu... apatah lagi tidak merinduimu. Mak terlalu istimewa bagi kami; dulu, kini dan selamanya.

Salam rindu buat mak dan semoga mak berbahagia di sana.....




Friday, March 8, 2013

Pesona Putrajaya - Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin

Salam pesona,

Pida telah berkesempatan menjejakkan kaki ke sebuah mercu Putrajaya yang cukup menggamit pandangan - Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin atau lebih manja digelar Masjid Besi. Pida ke sini kerana mengikuti Kursus Tahsin dan Mushafahah Al-Quran yang dianjurkan oleh jabatan Pida.

Peluang berkunjung ke masjid ini digunakan sepenuhnya oleh Pida untuk mengabadikan binaan indah pada masjid ini di lensa kamera. Nasib baik orang tak berapa ramai, jadi dapatlah Pida bergerak ke sana-sini tanpa malu-malu untuk merakam keindahan seni bina rumah Allah ini. Ye, Pida tak malu pada orang, tapi Pida malu pada Allah. Haha, bajet perempuan syurga.

Masjid ini.... Serius, memang indah!


Pida masuk dari pintu utama. Masuk-masuk aje perhatian Pida dah tertangkap oleh kecantikan dalamannya. Ini ialah dewan solat utama. Yang berantai tu ialah plak perasmian masjid yang disempurnakan oleh DYMM Seri Paduka Baginda Yang DiPertuan Agong ketika itu iaitu Duli Yang Maha Mulia Al-Wathiqu Billah Sultan Mizan Zainal Abidin Ibni Almarhum Sultan Mahmud Al-Muktafi Billah Shah pada 11 Jun 2010.



Dah tengok kiri kanan tu nak juga tengok atas. Tatkala melangitkan pandangan, sekali lagi mata tertakjub pada keindahan kubah yang sungguh besar dan indah.



Mari kita berjalan-jalan di sekitar masjid ini. Pida jamin mesti setiap gambar kau akan sebut 'wow', 'fuiyoo', 'ish ish ish...' , 'pehhh', 'weewit' dan 'masya Allah'. Tak caya? Try tengok!


Dewan Solat







Dewan solat tambahan bagi jemaah wanita di aras 3.


Selain tujuan bersolat, Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin ini juga digunakan untuk menjalankan kuliah-kuliah atau kursus. Tempatnya di aras 3.


Pandangan dari sudut kuliah.

Kuliah 'Al-Quran Resam Uthmani' yang disampaikan oleh Ustaz Muhd Redza bin Ahmad, Penolong Pengarah Unit Khidmat Sosial merangkap imam Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin


Keindahan panorama sekitar























Tempat Wudhuk





Tandas wanita


Tempat wudhuk wanita


Tak puas berada seharian di masjid ini. Ketenangan yang dirasai sangat dirindui sebaik sahaja Pida melangkah keluar. In shaa Allah, Pida akan berkunjung lagi ke Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin ini.




Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...