Saturday, February 14, 2015

Main Lego

*Entry ini dah lama sebenarnya. Duduk terperap dalam draft sejak setahun lalu ketika masih mengandungkan Muhaimin, huhuhu... Tengoklah betapa malasnya Pida nak buat karangan baharu untuk blog ni.

Salam lego,

Baru-baru ini Pida belikan set permainan Lego untuk anak-anak Pida khususnya untuk Aqil dan Sufi. Diorang ni memang suka sangat main Lego atau permainan pasang-memasang ni.


Alaaa bukannya Lego yang original tu pun. Ini Lego yang bukan jenama Lego. Yang Lego tu mahal sangat, yang tak Lego ni baru RM35. Besar saiz dia. Macam ni haa besarnya (sambil mendepakan tangan).

Yang lego kapal terbang air tu Pida belikan untuk Aqil. Yang Sufi punya Pida belikan ambulan sebab Sufi tu minat sangat dengan kenderaan yang ada lampu siren ni.


Yang ini pun harganya RM35. Saiznya lebih kurang macam ni ha (sambil mendepakan tangan tapi lebih kecik sikit daripada tadi).

Budak-budak ni kalau dapat lego, tak makan tak minum pun tak apa. Terkencing dalam seluar pun tak apa. Punyalah khusyuk macam bersolat. Ceh.

Tapi bukan diorang yang buat pun. Segala beban proses kerja-kerja pembinaan lego ni diserahkan bulat-bulat kepada abah diorang yang memang rajin membantu (sebenarnya dia pun hantu lego). Pida? Main permainan masuk-masuk ikut bentuk pun failed.

Tapi laki aku ni memang terrerist pun. Sekejap je dah siap kapal terbang dan ambulan tu.


Inilah rupa kapal terbang seaplane tu. Besar jugaklah. macam ni ha besar dia (sambil mendepakan tangan).

Siap ada kipas kau.

Ini pulak ambulan Sufi. 

Siap ada driver lagi kau. Hensem pulak tu. Rambut belah tepi gitu.

Wow, siap ada penyambut tetamu lagi. Gerek seh ambulan ni!

Selain ambulan, Pida juga membelikan figura mini Ultraman untuk Sufi. Dia memang peminat tegar Ultraman. Pelik aku kenapa budak-budak suka Ultraman.


Satu set ada 6 kotak. Bermakna ada 6 jenis Ultraman. Ntah yang mana satu Taro, yang mana satu Mebius, yang mana satu Cosmos, sumpah Pida tak kenal.


Yang ni kecik aje. Kecik macam ni je haaa (sambil buat ukuran).


Tetapi, kusangkakan panas hingga ke petang, rupanya hujan di tengah hari. Kusangka tahan la dapat sebulan dua, tapi tak sampai seminggu dah dibukak-bukak. Haishhh budak-budak ni, kau ingat senang nak masang?


Dah dipecah-pecahkan sampai jadi seketul-seketul balik. 


Ambulan pun dah ditakik-takik. Kejap jadi buggy car, kejap jadi racing car. Yang ini kapal angkasa agaknya.

Brader ni pun dah tercampak-campak. Tangan pun dah tercabut hahaha. Tengok tu, marah dia!

Ni lagi kesian. Dahlah ambulan dah terbarai, bukan setakat hilang pekerjaan, malah hilang rambut belah tepi sekali. Sadis sungguh. Tapi masih mampu tersenyum redho.

Sekarang ni setiap blok Lego yang kecik-kecik tu dah bersepah-sepah. Memang mustahil la kalau dapat kumpulkan semua sekali dan dapat buat semula ambulan dan kapal terbang tu menjadi sempurna macam asalnya. Memang tak la...


Buat binaan baharu dengan pieces of lego yang dah berkecai.

Meraban la korang carik part-part yang dah bercampur aduk.

Eh, terjumpa pulak kipas kapal terbang tadi.

Eh, yang ini pun ada? Hmm... nampak sangat memang dah terbarai habis. Dah bercampur-campur dengan lego yang berlainan.

Akhirnya Aqil dapat bina bot pulak. Dia kitar semula pieces yang mana sesuai. Dah bercampur dengan pieces ambulan Sufi hahaha.

Sufi pulak bina kapal makhluk asing katanya. Mmmm... ok mak percaya.


Untuk pengetahuan kau, pieces lego yang tak original ni sebenarnya compatible dengan Lego original. Pida dah cuba. Pida pasang pieces yang tak ori ni dengan Lego ori. Memang boleh masuk. Tak caya cuba try.

Itulah, kalau Lego bagi kat budak-budak memang macam nilah jadinya. Takdenya diorang nak menyimpan. Kalau orang dewasa mungkin akan buat koleksi.

Lepas ni kalau diorang minta lego lagi, Pida akan suruh diorang kutip pieces lego kecik-kecik yang bersepah-sepah tu sampai sakit kaki aku kalau terpijak. Takut nanti kalau baby dah lahir, baby kutip masuk mulut pulak.

Kesian abah yang penat-penat buat.


Thursday, February 12, 2015

Cakaran Si Bulat

Salam cakaran,

Ini kali punya cerita sangat bercampur-campur perasaannya; ada suka ada duka ada seronok ada takut ada seram ada terperanjat juga.

Kisah ini baru saja berlaku 3 hari yang lalu. Pada suatu petang, Pida mengambil angin petang di belakang rumah bersama-sama baby Muhaimin, Nia dan Sufi. Aqil masa tu belum balik dari sekolah.

Di belakang rumah Pida tu memang dah jadi port kucing-kucing gelandangan lepak-lepak sambil carik makan. Selalu jugak kekucing ni masuk ke halaman belakang rumah Pida sampaikan anak-anak Pida dah macam membela kucing-kucing ni secara tak rasmi.

Semasa Pida dan Muhaimin sedang duduk-duduk di halaman belakang tu, tiba-tiba masuklah Si Bulat iaitu seekor kucing betina.

Budak-budak tulah yang bagi nama Si Bulat, sebab matanya bulat, katanya. Dah kalau matanya empat segi agaknya dinamakan Si Empat Segi.

Untuk pengetahuan kau, Si Bulat ni pernah beranak kat rumah Pida. Punyalah banyak rumah yang dia boleh datang, ke rumah Pida jugak yang dia tujui. Rezeki... rezeki...

Nak dijadikan cerita, Muhaimin sangat teruja sebaik terlihat Si Bulat. Mesti dia pelik natang apa tu, kok kenapa tak macam aku, kok ada benda panjang kat belakang dia, kok tak pakai baju...

Pida pun lepaskan Muhaimin ke lantai (lantai simen aku bersih hokay!) dan Pida hanya memerhatikan gelagat Muhaimin yang curious dan seronok bermain-main dengan Si Bulat sambil Pida merakam video. Well, moment ok, moment!

Si Bulat yang tidak mengenali Muhaimin kelihatan agak janggal. Yelah, yang dia kenal cuma budak-budak bertiga tu aje yang selalu bagi dia makan (rembat lauk aku).

Pida terus merakam aksi Muhaimin yang sangat excited. Muhaimin asyik sibuk nak pegang Si Bulat tapi natang tu tak nak dekat Muhaimin. Muhaimin tetap kejar untuk memegang natang tu untuk dimasukkan ke dalam mulut... hahaha. Biasalah, si Muhaimin ni semut pun dia masuk mulut.

Tetapi rupa-rupanya Muhaimin yang terlebih peramah. Si Bulat tak nak kat dia pun. Lalu berlakulah insiden yang menakutkan.

Pida malaslah nak cerita. Kau tengoklah gambar je ye. Lepas beranak ni aku dah jadi malas nak tulis panjang-panjang.  Cuma nak bagitau je, segalanya berlaku terlalu pantas. Durasi video pun cuma 25 saat aje. Hahaha.


Muhaimin nak main-main nak mesra-mesra, tetapi Si Bulat tak mau. Last-last akibat tak tahan diganggu, ia terus mencakar anakku. Oh tidak! My baby!


Detik-detik slo-mo Muhaimin dicakar. Nampak tak gambar kedua tu, kulit Muhaimin dicarik dan disiat. Lepas tu sepantas kilat kucing tu tambah lagi dengan kaki sebelah pulak. Memang kaw-kaw anak aku kena kuntau.

Kau ingat Muhaimin nak diam aje ke?


Melalak bai!

Kelam-kabut Pida dibuatnya. Selepas menjerit ala kadar, Pida terus menghentikan rakaman serta-merta (ceh!). Nasib baik aku tak campak henfon tu. Kira dapat kawal emosi lagi la aku ni walaupun urat dah banyak yang putus.

Cepat-cepat Pida dukung Muhaimin. Pida peluk dia kuat-kuat untuk menenangkannya yang masih terkejut dan trauma. Nia dan Sufi dah cemas melihatkan adik mereka dicakar oleh Si Bulat kesayangan mereka!

Pida periksa muka Muhaimin. Ada satu luka besar dan berdarah iaitu tempat yang kena carik tadi. Pida basuh dengan air dan lap dengan kain buruk.

Nasib baik Muhaimin tak nangis lama. Kalau tak cuak jugak aku...

Alhamdulillah lukanya tak serius. Ada la dalam 5-6 bekas cakaran. Tak sapu ubat pun, biar dia kering sendiri aje. Biasalah anak jantan kenalah ada parut!

Bila Pida mainkan balik video tu, ishhhhh memang seram kau! Paling seram dengar suara Pida menjerit.

Dan bila Aqil dapat tahu yang adik kesayangan dia ni dicakar oleh Si Bulat yang dijaganya, maka hanginlah dia. Lalu dia berkata tak mahu bela kucing lagi. Huahuahua!





Habis calar-balar muka saya tau!



Friday, February 6, 2015

Muhaimin sayang

Salam Muhaimin,

Diam tak diam, baby Muhaimin dah berusia 6 bulan. Terasa begitu cepat masa berlalu. Serius, rasa macam baru semalam Pida terkedek-kedek mendaftar diri sebagai pesakit di hospital bersalin. Hari ini Muhaimin dan berusia 6 bulan.

Alhamdulillah, dalam usia ini, Muhaimin dah pandai merangkak. Bukan merangkak aje kau, Muhaimin juga dah pandai memaut untuk berdiri. Tak sangka macam agak cepat perkembangan si kecik sorang ni jika dibandingkan dengan Rania, Aqil dan Sufi.

Tapi satu yang Pida perasan sangat, Muhaimin hanya mahukan Pida dan tak nak orang lain. Oh mak guard, nampak macam kiut kan, tapi kadang-kadang hazab jugak nak oiii.

Dalam usia begini, Muhaimin baru nak mula lasak. Dia dah mula lebih mengecam dan mengenal pasti orang sekeliling. Tapi muka yang paling dia suka tengok ialah muka Pidalah mak dia siapa lagi.

Pida seronok sangat dengan perkembangan ini. Pida rasa ia perkembangan positif dan ia juga bukti bahawa Allah telah mencipta suatu hubungan yang amat istimewa antara seorang bayi dengan ibunya.

Apabila Pida melihat betapa bersinarnya anak mata jernih Muhaimin tatkala melihat Pida, masa itu dapat dirasakan betapa agungnya kuasa Allah. Bayangkan, seorang bayi yang tidak mengetahui apa-apa, tetapi mempunyai naluri yang cukup kuat terhadap insan yang melahirkan dan menyayanginya sepenuh jiwa. Ya, sepenuh jiwa raga. Kerana itu amanah milik-Nya jua.

Lagi satu, Muhaimin suka main air liur, siap buat buih lagi. Bbbbrrrppp... bbbrrppp... menjejes-jejes air liur jatuh ke lantai. Kalau Sufi terpijak air liur adik dia tu, memang hangin la dia. Geli, katanya.

Baby Muhaimin pun dah mula makan masa umur dia 5 bulan. Sebab Pida tengok dia asyik merengek je, macam tak puas menyusu. Pida cuba suapkan bubur nasi, perrghhhh... berselera! Rupanya nak makan anak aku ni. Tak apalah nak, kakak ko si Rania tu mak dah kasi nestum cair masa dia masih dalam hari. Anak jawa memang macam tulah!

Pida berdoa semoga Muhaimin sentiasa sihat dan berada dalam lindungan Allah. Membesarlah bagai johan, minumlah susu penuh krim Dumex.


Sengih... sengih... tampor kang. Hik hik hik. Acah aje. Aloloooo. Tampor kang.

Aqil yang sangat baik hati dan mengambil berat akan adiknya. Hari tu semasa Aqil tengah mandi, Muhaimin melalak. Cepat-cepat si Aqil sudahkan mandi semata-mata nak dukung adik dia. Terharu mak noks... Bila Pida tanya Aqil mandi cepat-cepat sebab Aqil sayangkan Muhaimin ke? Aqil jawab, taklah, Aqil bingit. >_<

Tengoklah budak bertuah ni kemaruk asyik nak berdiri aje. Mak nak kemas beg la nak... nak balik kampung... 

Kan mak dah bilang nak kemas beg, yang Muhaimin kacau kenapa, kan dah kena sumbat dalam beg. Hahahaha. 


Wednesday, January 14, 2015

Skuter langgar Sufi

Salam skuter,

Sebenarnya kan, banyak giler cerita yang Pida nak tulis ke dalam blog bongok ni. Tapi sepanjang Pida mengandungkan si Muhaimin start tahun lepas, Pida jadi malas giler nak mengarang. Bukan setakat malas nak update blog, nak bukak blog sendiri pun rasa geli aje. Pembawaan budak agaknya.

Cerita Pida pergi Labuan (nak tunjukkan rumah rehat Persekutuan yang dulunya istana hinggap Sultan Selangor), cerita Pida menyeberang ke Brunei (nak cerita betapa seronoknya dapat berjumpa dengan Mufti Penasihat Sultan Brunei yang bercerita tentang hudud yang menurutnya patut dijadikan undang-undang di Malaysia) dan nak kongsi juga cerita pertama kali Pida makan ambuyat di Brunei setelah sekian lama teringin nak makan.

Dan cerita-cerita lain! Terlalu banyak cerita yang nak dikongsi tapi tak dizahirkan ke dalam blog ini gara-gara malas dan takde mood. Serius memang takde rasa langsung nak sentuh blog.

Tapi dalam entry kali ini, Pida nak bercerita satu pengalaman ngeri (ngeri tak ngeri sangat la) yang telah berlaku di Dataran Putrajaya. Begini ceritanya... (bunyik cengkerik)

Pada suatu petang yang indah, Pida dan keluarga pergi bersiar-siar dan mengambil angin petang di Dataran Putrajaya.


Inilah Dataran Putrajaya yang menjadi tumpuan pelancong dan pengunjung. Masa Pida pergi hari tu, kawasan sekeliling dataran ni dipenuhi dengan penjaja mainan yang turut menyewakan kasut roda, basikal dan skuter untuk kanak-kanak.
Sumber gambar : ppj.gov.my

Dua mercu tanda yang menghiasi Dataran Putra iaitu Masjid Putra dan Bangunan Perdana Putra yang menempatkan Pejabat First Lady Of Malaysia (FLOM). Sumber gambar : putrajaya.gov.my

Waktu itu Pida tengah mengandung 8 bulan gitu. Dah sarat sangat ni. Jalan pun terkedek-kedek macam itik sendu. Pida masa mengandung, sepanjang tempoh berbadan dua tu memang sentiasa sakit ketika nak berjalan. Tapi masih gigih meluangkan masa untuk keluar rumah berjalan-jalan sambil melakukan senaman pelviks katanya.

Sesampainya di dataran itu, Pida macam 'kenapa meriah sangat ni?' Bukan meriah, tetapi hingar-bingar sebenarnya. Sebab pengunjung yang kebanyakannya kanak-kanak sibuk bermain basikal, skuter, kasut roda dan roller blade yang disewa daripada penjual di situ. Malahan mak bapak budak pun turut sama bermain.

Keadaan di Dataran Putra dengan adanya aktiviti permainan-permainan tersebut amatlah sibuk. Berselirat dah aku tengok keadaan di situ. Dulu sebelum ada penjual-penjual tu, pengunjung boleh berjalan dan bersiar-siar dengan aman tanpa perlu risau dengan keselamatan diri dan keluarga.

Tetapi sejak aktiviti permainan itu wujud, keadaan jadi sibuk. Kita kena sentiasa berhati-hati kerana 'kenderaan' datang dari pelbagai arah; dari depan, belakang, kiri dan kanan. Tak kiralah sama ada basikal, skuter, mahupun roller blade sekalipun. Serius agak bahaya kepada pengunjung sebenarnya.

Rania dan Aqil pun teringin juga nak cuba try main kasut roda. Oleh kerana diorang memang tak reti dan tak pernah mencuba kasut roda sebelum ini, maka asyik jatuh ajelah kerjanya. Yang Pida risau takut terlanggar orang. Tapi Alhamdulillah diorang tak langgar orang lain, diorang cuma langgar Pida aje. Sakit dowh!

Nak dijadikan cerita, Pida memimpin tangan Sufi ketika berjalan di dataran tersebut. Rania dan Aqil Pida biarkan bermain sendiri. Kalau jatuh, bangun sendiri. Sambil memimpin Sufi, di tangan sebelah lagi Pida menjinjing beg plastik yang mengandungi jajan.

Tiba-tiba Sufi berjalan laju sedikit ke hadapan untuk mendapatkan abahnya yang sedang berada di salah satu tapak penjaja. Dalam pada Sufi berlari-lari anak tu, Pida ternampak macam ada sesuatu yang tak kena. Macam ada potensi nak berlaku eksiden ni.

Pida nampak seorang budak perempuan dalam usia 7 tahun sedang menunggang skuter yang baru disewanya. Dia kelihatan sangat kekok ketika menunggang skuter itu. Pida tahu budak itu sebenarnya tidak pandai mengendalikan skuter.

Memang betullah naluri Pida. Tiba-tiba skuter yang ditunggang budak perempuan itu meluru dengan laju ke arah Sufi yang sedang berlari-lari anak. Skuter itu merempuh Sufi menyebabkan Sufi terjatuh dan terlentang ke tanah.

Lebih suspen, budak itu yang panik seolah-olah dah mati akal, dia nak tekan brek agaknya tapi oleh kerana terlalu panik, dia terpulas gear. Aduh... makin dilenyeknya anak aku!

Melihatkan insiden yang mencemaskan itu, Pida terus berlari menerpa ke arah Sufi yang dah terbaring. Pida lupa yang Pida tak boleh berjalan laju, apatah lagi berlari pecut. Tapi pada masa tu Pida berjaya berlari dengan begitu pantas sekali. Habis plastik jajan tu aku campak. Sambil berteriak cemas, "Ya Allah, anak aku!"

Suami Pida segera mengangkat Sufi. Pida cuak sangat. Pida nak dukung Sufi tapi suami Pida tak bagi sebab Pida pun tak kuat nak mendukung waktu tu. Tauke skuter pun terus berlari mendapatkan Sufi sambil tengok-tengok apa yang patut, yelah, skuter dia yang punya pasal kan... Orang ramai pun dah mula kerumun.

Pida terus periksa kepala dia, sebab tadi Pida nampak skuter tu lenyek baikkk punya kat kepala Sufi. Kot-kot la kepala dia tersiat ke, terabak ke, tak ke naya. Tapi Alhamdulillah, jangankan luka, calar pun takde. Sufi pun nangis satu baris aje. Agaknya anak aku ni Superman kot...

Pida terus tinggalkan tempat tu. Pida tak tengok apa yang berlaku di sekeliling, tapi Pida nampak jugak la mak bapak budak tu dah terdiam sambil pegang anak diorang yang tengah takut tu... diorang tak mintak maaf pun tapi ah, tak kisahlah. Yang penting Sufi selamat.

Tapi ada jugak la Pida dengar tauke skuter tu bercakap kepada mak bapak budak tu supaya lain kali tengok anak diorang main. Eh, eh!

Sufi tak apa-apa, dia boleh berjalan macam biasa. Kami terus balik ke rumah selepas insiden tersebut. Tapi sebelum balik tu sempat jugak la Pida kutip balik plastik jajan yang tercampak tadi.

Sambil berjalan menuju ke kereta, Sufi merungut-rungut, "Gila la orang tu.. ada ke langgar Tuti." Nak tergelak pun ada dengar budak kecik ni membebel.

Dalam kereta, Pida tanya Sufi. Sufi kena langgar apa tadi? Sufi jawab, kena langgar skuter. Oklah tu, maknanya anak aku masih centre lagi otaknya. Hahaha.


Skuter comel yang merempuh Sufi.



Tuesday, January 13, 2015

Banjir di Kg. Limau Kasturi, Gua Musang - the aftermath

Salam banjir,

Semua orang dah tahu, hujung-hujung tahun mesti akan berlaku banjir khususnya di negeri-negeri pantai timur iaitu Kelantan, Terengganu dan Pahang. Namun siapa sangka kejadian banjir yang berlaku baru-baru ini merupakan musibah yang terburuk berlaku di negara kita.

Tahun 2014 telah melabuhkan tirai kedukaannya apabila negeri-negeri tersebut mengalami banjir yang sangat dahsyat dan tidak pernah berlaku sebelum ini. Paling ngeri ialah apabila melihat bangunan sekolah 4 tingkat hanya tinggal nampak bumbung sahaja. Bayangkan betapa dalamnya air!

Setiap hari Pida menerima dan membaca catatan tentang banjir di Whatsapp dan Facebook (walaupun sesetengahnya hanya cerita rekaan). Daripada apa yang Pida baca dan lihat, keadaan di kawasan-kawasan yang dilanda banjir amat dahsyat.

Paling hiba apabila membaca tentang mangsa-mangsa yang ketiadaan makanan dan kehilangan tempat tinggal. Menangis mengenangkan nasib bayi dan kanak-kanak yang menjadi mangsa banjir di sana. Mesti mereka kelaparan, kesejukan dan ketakutan. Semua itu merobek perasaan keibuan Pida.

Apabila membaca tentang banjir yang  berlaku ini di media-media sosial, Pida dapat merasakan betapa teruknya keadaan di sana. Dengan rumah yang tenggelam habis, ada yang hanyut, air sederas-derasnya, mangsa-mangsa bertempiaran menyelamatkan diri; segalanya menakutkan dan panik.

Tetapi situasi cemas dan dahsyat ini tidak semuanya dipaparkan di kaca tv. Apa yang disiarkan hanyalah keadaan banjir yang terkawal, dengan tayangan budak-budak kecik riang-ria main air; mangsa-mangsa banjir yang bolehlah dikatakan selesa di pusat-pusat pemindahan banjir (tanpa sedar ada lagi mangsa yang terperangkap di atas bumbung dan terpaksa lari naik ke bukit untuk menyelamatkan diri).

Memang kontra sungguh dengan apa yang dilaporkan oleh para petugas di kawasan yang terlibat banjir (doktor, sukarelawan dan mangsa sendiri) dengan apa yang ditunjukkan di tv. Pendek kata, kalau tengok laporan banjir di tv, kita akan cakap, oh, keadaan terkawal dan selamat, tak perlu risau sangat. Padahal....!

Baru-baru ini, suami Pida bersama-sama ahli kariah surau tempat tinggal kami telah menjalankan aktiviti bantuan kemanusiaan kepada mangsa-mangsa banjir di kawasan pedalaman yang kurang mendapat pendedahan dan liputan bantuan. Tempat yang mereka pergi ialah Kg, Limau Kasturi yang terletak di jajahan Gua Musang, Kelantan.

Ekspedisi ini meliputi penghantaran bantuan makanan seperti beras, biskut, dan makanan-makanan lain yang sesuai. Selain itu, turut dihantar kepada mangsa-mangsa banjir ialah lampin pakai buang bayi, susu bayi, pakaian, selimut, barang-barang keperluan peribadi dan keperluan rumah seperti lilin, minyak masak dan banyak lagi.

Terima kasihlah kepada para dermawan yang budiman. Sampai habis barang-barang kat Mydin dan Giant tempat Pida tu dah kena borong.

Gambar-gambar berikut menceritakan keadaan Kampung Limau Kasturi yang rosak terus akibat banjir yang melanda. Gambar-gambar ini dirakam oleh suami ai yang membenarkan ai meletakkan watermark guna nama ai.


















Semasa banjir hari tu, air dah sampai paras bumbung Caltex tu ha. Tinggi tak tinggi la air.

Mu napok tok budok tu? Hok laki ambo bagi makane tu... dio ghoyak ado tok makane denge diapers... kesiey boh. 








Demo la ni dah tak serupo mulo... suko dapak jaje (jajan).



Kg. Limau Kasturi ni ada stesen keretapi. Pun terjejas dek kerana banjir hari tu.






Cuba perhatikan menara masjid tu. Separuh kena kesan lumpur. Maknanya air yang naik setinggi itulah. 

Sesungguhnya memang berat dugaan yang diberikan kepada mangsa-mangsa banjir kali ini. Semoga semua ini memberi hikmah yang indah buat semua yang bergelar hamba-Nya.

Dan mudah-mudahn musibah ini merupakan pengampunan Allah kepada kita semua sebagai hamba-Nya yang telah alpa dan leka daripada mentaati-Nya selama ini.




Friday, January 9, 2015

2 tahun yang lalu, mak pergi meninggalkanku...



Diam tak diam, dah 2 tahun mak pergi menemui Ilahi. Diam tak diam juga, dah 2 tahun Pida menangis tak pernah berhenti.

Mak, Pida tak pernah gagal mengirim doa rindu buat mak di sana. Doa agar mak berada di bawah keredhaan-Nya.

Hari-hari yang dilalui tanpa mak di sisi, kadang-kala umpama memijak bara api. Ada kalanya bingung kerana tiada lagi tempat untuk meluah perasaan dan lara hati. Kerana mak telah pergi...

Damailah mak di sisi Tuhan. Dia maha tahu mengapa semua ini berlaku. Kami redha dengan ketiadaanmu.

Mak takkan pernah kami lupakan. Mak tetap tersemat di sanubari sehingga kematian pula menjemput kami.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...