Saturday, May 16, 2015

Hari Guru hari mulia

Salam hari guru,

Hari ini Hari Guru. Sebab hari ini ialah 16 Mei. 16 Mei ialah Hari Guru. Jadi hari ini ialah Hari Guru. Simple math.

Dulu-dulu semasa masih bersekolah, Pida ternanti-nanti tarikh 16 Mei ni. Sebab biasanya di sekolah, majlis sambutan Hari Guru diadakan pada hari ini. Hari Guru biasanya mood cikgu baik-baik aje. Takde nak marah-marah, takde nak garang-garang. Cikgu yang paling garang macam singa meroyan pun akan jadi sporting pada Hari Guru.

Hari Guru bukanlah asing bagi keluarga Pida. Ini kerana mak dan ab dulu pun merupakan guru. Sampai dah pencen pun orang masih panggil cikgu. Dah mati pun orang masih panggil Cikgu Noorsiah; cuma dah naik pangkat sikit, jadi arwah Cikgu Noorsiah. Betapa hebatnya guru!

Masa mak dan ab masih mengajar dulu, kalau tiba Hari Guru, mesti balik rumah bawak balik hadiah. Macam-macam jenis. Ada yang bagi pen, ada yang hadiahkan bunga, ramai juga yang hadiahkan kad ucapan.

Pida pun, kalau tiba Hari Guru, Pida akan mintak mak belikan hadiah untuk cikgu-cikgu Pida. Mak sporting, dia layan je apa yang Pida nak sebab mak faham. Yelah, mak kan cikgu, jadi mak mengerti la perasaan seorang cikgu yang menerima hadiah tanda penghargaan daripada anak muridnya.

Masa berganti. Sekarang anak-anak Pida pulak yang teruja menyambut Hari Guru. Siap ajak Pida pergi emporium nak belikan cikgu hadiah. Sekarang ni pulak, kedai-kedai memang dah menyediakan hadiah-hadiah dan cenderahati khas untuk Hari Guru. Jadi senang nak pilih. Tinggal ambik dan bayo aje.

Sempena Hari Guru yang mulia ini, Pida nak ucapkan berbanyak-banyak terima kasih kepada guru-guru Pida yang telah mencurah keringat mendidik Pida sehingga menjadi blogger terkemuka kahkahkah. Jilake betul tahap perasan aku ni.

Terima kasih cikgu. Halalkan segala ilmu cikgu kepada saya. Memang dulu saya budak pandai, budak kelas A walau ada kalanya saya masuk angin jugak. Tapi walaupun saya masuk kelas budak pandai, kenapa saya tak dapat gred 1 masa SPM? Ada ke saya dapat gred 2 aggregat 21.

Tapi cikgu tau kan, masa sekolah dulu saya memang terror mengarang. Sampai Cikgu Rosnah bacakan karangan saya di hadapan kelas. Bangga saya masa tu. Terima kasih cikgu.

Tapi masa sekolah dulu memang cikgu tau kan, saya memang lemah sains dan mat tam. Dahlah lemah, jenis baghal taknak belajo rajin-rajin. Ngabiskan duit mak bapak hantor tuisyen. Last-last dapat P7, P8 dan ada jugak yang F9. Memang saya lauk sangat masa SPM dulu. Sampai sekarang saya tak paham jadual berkala. Ntah hapa kejadah jadual berkala tu ntah.

Oklah cikgu, dah jadi surat ugutan pulak entry Pida kali ini. Sebenarnya nak cakap terima kasih dan Selamat Hari Guru aje, tapi dah melarat siap ngungkit-ngungkit kisah silam saya sebagai budak pandai tapi bongok.

Oklah cikgu, Selamat Hari Guru! Jasamu kukenang selalu!


Imbas kembali tahun 1985. Baru masuk sekolah darjah 1. Sopan je Pida masa ni. Comel kan? Eeee geramnya tengok diri sendiri.

Ini masa form 3. Buruk benor rupa aku time ni. 

Sunday, April 5, 2015

5 kuntum cinta

Salam cinta,

Dengan rasa berbunga-bunganya Pida nak kongsi perasaan girang selepas menerima surpriseee!!! daripada abang sayangku rindu-rinduan jadi kenangan.

Minggu lepas di pejabat, sedang Pida tengah sibuk dengan kerja-kerja ofis yang sampai kiamat pun takkan habis, tiba-tiba member ofis memberitahu ada barang untuk Pida.

Mula-mula Pida tertanya-tanya juga, barang? Barang apa? Aku dah lama tak shopping online. Laman web ebay pun dah lama tak jenguk. Bila masa pulak aku ada beli barang ni?

Tapi oleh kerana memang 'barang' tu untuk Pida, Pida pun bangun menuju ke apek delivery yang sedang menunggu di hadapan kaunter pejabat.

Apek delivery yang hensem itu menghulurkan Pida sejambak bunga. Woohoo!!! Bunga tu! Tak pernah-pernah dapat bunga kat ofis, tiba-tiba hari tu dapat bunga.

Pida malu-malu juga nak ambik, ditambah rasa pelik siapa pulak la yang bagi bunga ni. Tapi dalam hati memang dah berdetik dah, ini tak lain tak bukan laki aku. Takkan laki orang pulak nak bagi aku bunga kan? Hikhikhik

Semasa penghantaran bunga tersebut, member-member ofis yang lalu lalang menegur, mengusik dan senyum-senyum. Haha... memang malu jugak la. Siap Pida cakap dengan apek tu, "Malulah saya dapat bunga." Apek tu kata alaaa... tak apa... sambil senyum-senyum.


Terima kasih ye, ujar Pida malu-malu kucing gatal kepada apek tersebut. Pida sambut bunga tersebut dengan hati yang berbunga-bunga. Yeehaa!!!

Ini memang kejutan uols! Husband I bagi bunga kat ofis. Bunga lili! Bunga kegemaran Pida. I love lily.

Kawan-kawan yang nampak semua woo woo, semua sibuk mengendeng-ngendeng nak baca nota tu. Pida baca satu baris je sebab masih rasa malu-malu. Diorang tak dipelawa pun baca selamba je. Lepas tu kata wow romantiknya laki kau. Hahaha... laki kau mampu?


Semasa Pida menerima jambangan bunga tersebut, hanya 4 kuntum yang kembang. Sekuntum lagi masih kuncup. Tetapi selepas 2 hari, bunga yang kuncup itu telahpun mekar dengan begitu cantik sekali.

Kuntum yang baru kembangnya. 

Sewaktu membaca bait-bait puitis kata-kata cinta yang tertera itu, macam- macam perasaan Pida alami. Rasa terharu ada, rasa dicintai ada (cewah), rasa nak berdarah hidung pun ada. Ya Allah bang, mana ko belajar buat sajak jiwang macam Eddie Hamid ni? Ke ko kopipes?

Walau apapun, Pida sangat bersyukur atas hadiah yang cukup bermakna ini. Terima kasih abang. Wa manyak suka oooo.... I lap you, u lap me back hooo!


Muhaimin tak puas hati mak dia dapat bunga.



Saturday, April 4, 2015

Sufi dan Asma di Genting

Salam asma,

Baca tajuk macam nak cerita pasal skandal aje kan... sebenarnya tidak... entry ini mengisahkan Sufi yang mengidap semput semasa kitorang pergi makan angin di Genting Highland bulan lepas. Tengok, bulan lepas punya cerita baru nak masuk blog. Pida bizi ok, bizi!

Seperti yang Pida dah terlepas cakap dalam kisah yang lalu, bulan lepas Pida pergi ke Genting Highland. Tujuan ke sana bukanlah untuk berjudi atau melakukan maksiat, tetapi hanyalah untuk menonton pertunjukan Ultraman saja.

Ingat tak tahun lepas Karnival Upin Ipin kat PICC tu ada Ultraman? Pida ingat nak bawak budak-budak ke PICC tu, tapi bila Pida baca dalam FB betapa sesak dan teruknya keadaan di PICC pada masa itu, terus Pida cakap ah, tak payahlah pegi PICC.

Sebab apa? Sebab komen-komen dalam fb mengenai Karnival Upin dan Ipin tu 99 peratus semuanya negatif. Parking jauh, parking penuh, tak nampak Ultraman, nampak kepala orang aje, tempat sesak, tak boleh bernafas, dewan sempit, barang mahal, kena panjat bukit, menyesal pergi,  wahhh.... hazabnya!

Jadi, sebagai seorang manusia yang memang tidak sukakan kesesakan, Pida mengambil keputusan untuk tidak membawa budak-budak ke karnival tersebut walaupun sebelum tu Pida dah janji nak bawak diorang ke situ.

Kebetulan keluar pulak promosi road tour pertunjukan Ultraman di Genting mulai Februari hingga Mac 2015, dengan pantasnya Pida tempah tiket awal-awal. Early bird lagi kau! Bulan 11 2014 aku dah tempah tiket. Masa tu fikir, ni kalau tak panjang umur nak tunggu sampai bulan 3 tahun 2015 ni, memang takdirlah. Tapi Alhamdulillah, Allah panjangkan umur.

Tunggu punya tunggu, tibalah saat yang dinanti. akhirnya Pida sekeluarga sampailah ke Genting sehari awal untuk tengok pertunjukan Ultraman pada 1 Mac 2015.

Kitorang stay di Hotel Awana. Itupun dapat harga murah beli kat Agoda. Bilik dia besar dan luas sangat. Memang berbaloi la dengan harga RM259 aku beli kat Agoda tu.

Nak dijadikan cerita, kat hotel tu ada bath tub. So budak-budak ni memang nampak kagum la... yelah kat rumah cuma ada lobang jamban je kan... nak celup kepala pun tak lepas.

Apa lagi, berendam la diorang adik-beradik macam kerbau. Pida sporting, selagi tak lebam, selagi tu la korang boleh berendam. Tu yang Sufi pun berendam macam badak sampai semput. Yang aku ni pun sengal, boleh lupa anak aku tu tak boleh berendam lama-lama.

Dalam pukul 8 malam tu, keadaan Sufi semakin teruk. Bertambah rumit, Pida tak bawak pulak aero chamber dia dengan ubat semput dia tu. Biasanya pergi mana-mana Pida bawak. Alah... nak jadi cerita kan...

Abahnya si Sufi tanya kaunter, klinik kat Gohtong Jaya tu bukak lagi tak? Sebab hotel kami di Gohtong je, kira dekat la jugak nak berkejar ke klinik. Dijawabnya tidak, petang dah tutup. Ok, masalah dikesan.

Tanya lagi, klinik mana yang bukak. Dijawabnya lagi, klinik di puncak. Ok, di puncak. Masalah seterusnya dikesan.

Suami cakap, nak tak nak kena bawak Sufi naik ke puncak jugak. Abang nak main judi ke? Eh apa pulak main judi, bawak Sufi ke klinik la, kata suami dengan manja sambil mencium pipiku.

Ok fine. Dengan masing-masing hanya berbaju tidur, kami pun keluar dari hotel. Setibanya di lobi, suami bertanya bellboy, apakah cara paling cepat untuk ke puncak? Bellboy itu memberitahu, lebih baik naik kereta kabel di Gohtong Jaya sebab kalau naik kereta sendiri, maunya menjajar carik parking. Ini kecemasan ni! Budak semput ni! Tak boleh lengah-lengah ni!


Petangnya tadi baru naik kereta kabel. Naik puncak, pastu turun balik. Saja-saja je... bawak budak-budak naik. Ni nak kena naik lagi sebab nak berkejar ke klinik bawak Sufi semput. Ok fine...

Dalam pada kitorang bergegas nak ke stesen cable car masa itu, tiba-tiba datang pertolongan Allah dengan tidak disangka-sangka. Pekerja hotel tersebut menawarkan kami menumpang 4WD rakannya yang kebetulan mahu ke puncak.

Alhamdulillah, mulanya kami malu-malu jugak nak tumpang, maklumlah kami sekeluarga ni memang keturunan pemalu dan sopan santun, tapi memandangkan ini adalah situasi panik dan cemas, makan kami korbankan kemaluan kami dan menumpanglah kami sekeluarga dengan pemuda yang budiman tersebut.

Akhirnya dalam masa 15 minit, kami selamat sampai di klinik yang dimaksudkan. Betullah, kalau kitorang naik kereta sendiri tadi, memang menangislah carik parking. Dengan menumpang, kami berhenti betul-betul di hadapan klinik. Cuaca di luar pada ketika itu sangat sejuk. Terima kasih saudara, terima kasih Allah.


Setibanya di klinik, kami terus pergi ke kaunter pendaftaran. Hanya ada seorang pesakit yang menunggu pada waktu itu. Tidak sampai seminit menunggu, Sufi dipanggil masuk. 

Sufi berposing sementara abahnya mendaftar. Selekeh betul naik Genting pakai baju tidur, seluar pendek, stokin besar dan tak sempat sikat rambut.

Sementara menunggu Sufi mendapatkan rawatan sedut gas di dalam, Pida dan anak-anak yang lain menunggu di luar. Tidak ada orang lain ketika itu. Tiba-tiba Aqil cakap dia nampak nurse bawak mayat kat luar. Ishh ko ni Aqil.

Selepas 10 minit, Sufi pun keluar dari bilik rawatan. Alhamdulillah dia nampak lebih sihat dan cergas daripada masa mula-mula tadi.

Sesudah membayar bil berharga RM70, kami pun pulang ke hotel. Kami pulang naik apa? Naik cable car!

Ko tengoklah si Sufi tu. Kemain posing. Mentang-mentang dah tak semput lagi. Tu abah dia tengah beli tiket cable car. Harga tiket RM6 seorang. 

Jadi, berbondong-bondonglah kami enam beranak naik cable car malam itu untuk balik ke hotel. Sepanjang berada dalam cable car tu, mulut Sufi becok sangat. Dahlah becok, celupar pulak tu. Ada ke dia kata nampak pocong la, pontianak la, bacok la...

Kau taulah kan, sepanjang perjalanan naik cable car tu melalui hutan belukar, Pida takut jugak kalau-kalau ternampak pontianak tersangkut kat atas pokok ke, nampak pocong melompat depan cabel car kitorang ke... ish... naik bulu roma aku.

Akhirnya selepas 15 minit, kami sampai ke stesen Gohtong Jaya. Dah sampai stesen tu kena naik bas pulak. Bukannya hotel tu betul-betul kat sebelah stesen.


Bergaya tampan dengan baju tido di puncak Genting sambil menunggu bas shuttle untuk membawa kitorang balik ke hotel.


Dalam bas nak balik hotel. Kau pernah naik Genting pakai baju tido? Si Muhaimin tu pun aku balut dengan tuala aje. Dah macam keluarga gelandangan pun ada.

Akhirnya kami selamat sampai ke bilik hotel kami. Dan yang paling penting, Alhamdulillah Sufi sihat kembali. Tak sabar nak tunggu esok. Ultraman, mu tunggu aku datang!




Sunday, March 29, 2015

[Resepi] - Urap

Salam urap,

Dah berminggu-minggu Pida mencari masa untuk update blog. Tapi berminggu-minggu jugalah Pida tak jumpa masa yang lapang untuk buat entry baharu.

Sebenarnya kalau nak diikutkan, banyak giler cerita yang Pida nak kongsi bersama kau. Macam cerita hari tu Pida naik Genting tengok Ultraman, gambo-gambo dah ada dah. Tinggal nak karang cerita je. Nak karang cerita kena bukak laptop, nak bukak laptop kena tunggu kat rumah... kat rumah tu kau tau-tau ajelah... nak mandi sauna pun tak sempat inikan pula nak update blog. Pida bizi giler ok!

Tapi hari ni Pida ada 10 minit je untuk tulis cerita baharu. Itupun ambik yang ringkas-ringkas je. Oklah, taknak buang masa. Aku ada 10 minit je nih!

Mula-mula kita sediakan bahan-bahan.

Ya Allah, tetiba suruh engkau sediakan bahan-bahan. Lupa pulak nak bagitau. Dalam entry kali ini, Pida nak berkongsi satu resepi yang popular dalam kalangan orang Jawa iaitu Urap.

Urap ialah sejenis hidangan ulam-ulam segar yang digaul bersama kelapa parut dan bahan-bahan lain. Ok, tinggal 9 minit!

Baiklah kawan-kawan, mula-mula kita sediakan bahan-bahan iaitu :


1)  Ulam-ulam segar. Biasa yang utamanya Pida menggunakan kacang botor, taugeh dan kali ini Pida tambah daun selom. Basuh bersih-bersih kasi buang itu cacing-cacing dan bakteria jahat.

2)  Cili giling atau cili boh. Kalau rajin, kau buatlah sendiri. Rebus lada kering, lepas tu kau kisar sampai halus. Tak payah beli. 

3)  Ikan bilis yang digoreng dan kemudian ditumbuk sehingga lumat macam dalam gambar ni. Ikan bilis ni lagi banyak lagi sedap. Kalau boleh gunakan ikan bilis yang dah dibuang taiknya. Alaa, kau beli aje yang dah siap kopek tu.

4)  Bawang merah, bawang putih dan halia ditumbuk lumat. Kuantiti kau agak-agak je la.. yang inipun Pida main ambik aje.



5)  Dan pelakon utamanya... kelapa parut. Tips untuk mengekalkan kesegaran kelapa agar urap tidak cepat basi, kau sangai dulu kelapa parut tu agak-agak dia kering sedikit jangan biar sampai jadi kerisik tapi. Biar dia agak lembap-lembap sikit gitu supaya berasa pati santannya nanti. Ini petua yang diajar oleh mak mentua Pida.

Errr... kau tau tak sangai tu apa? Dia sejenis perbuatan menggoreng tanpa minyak. Jadi maksudnya kau kena goreng kelapa parut tu tanpa minyak. FAHAM KE TAK? --->>> Dah lama tak marah.

Ok, itu sajalah bahan-bahannya. Senang je kan? Ada yang tanya kalau tak pakai ulam kacang botor boleh tak Pida? Boleh... nak pakai ulam apa pun boleh, nak pakai kemuncup pun boleh.



Baiklah, sekarang kita pelajari cara-cara membuat urap. Senang sangat nak membuatnya. Orang putus cinta pun boleh buat.
Mula-mula kita gaulkan bawang merah, bawang putih dan halia bersama cili giling dan ikan bilis yang telah ditumbuk lumat tadi. Gaul, gaul, gaul sampai mesra gitu.

Kemudian, masukkan kelapa parut  yang telah disangai tadi dan gaul, gaul, gaul sampai mesra lagi. Tengok tu gambar sudip berpusing-pusing, maknanya kemain power lagi menggaul tu. Sambil-sambil menggaul tu kaubelai-belailah laki kau. Dah kenapa? Maksud Pida, sambil-sambil menggaul tu kau taruklah garam secubit dua untuk meningkatkan rasa.

Yes! Dah siap pun urap kita. Nampak sedap kan? Memang sedap pun nyah. Rangup keriuk-keriuk bila dikunyah. Sangat enak dimakan bersama nasi panas di bawah lembayung senja. Perghhhh.

Jadi, lepas ni bolehlah kau buat urap sendiri. Senang je kan? Inilah antara rahsia awet muda para perawan jawa dahulu kala. Makan ulam-ulaman segar, tanpa bahan pengawet dan perasa yang tidak dibenarkan. Dijamin natural dan organik.

Ok, ngam-ngam 10 minit. Insya Allah esok-esok Pida buat cerita lain pulak ye. Bizi sangat la sekarang. Muhaimin pun dah 8 bulan, dah makin lasak si kecik tu. Dah memapah nak berjalan.

Oklah, dah masuk 11 minit. Kbai.

Saturday, February 14, 2015

Main Lego

*Entry ini dah lama sebenarnya. Duduk terperap dalam draft sejak setahun lalu ketika masih mengandungkan Muhaimin, huhuhu... Tengoklah betapa malasnya Pida nak buat karangan baharu untuk blog ni.

Salam lego,

Baru-baru ini Pida belikan set permainan Lego untuk anak-anak Pida khususnya untuk Aqil dan Sufi. Diorang ni memang suka sangat main Lego atau permainan pasang-memasang ni.


Alaaa bukannya Lego yang original tu pun. Ini Lego yang bukan jenama Lego. Yang Lego tu mahal sangat, yang tak Lego ni baru RM35. Besar saiz dia. Macam ni haa besarnya (sambil mendepakan tangan).

Yang lego kapal terbang air tu Pida belikan untuk Aqil. Yang Sufi punya Pida belikan ambulan sebab Sufi tu minat sangat dengan kenderaan yang ada lampu siren ni.


Yang ini pun harganya RM35. Saiznya lebih kurang macam ni ha (sambil mendepakan tangan tapi lebih kecik sikit daripada tadi).

Budak-budak ni kalau dapat lego, tak makan tak minum pun tak apa. Terkencing dalam seluar pun tak apa. Punyalah khusyuk macam bersolat. Ceh.

Tapi bukan diorang yang buat pun. Segala beban proses kerja-kerja pembinaan lego ni diserahkan bulat-bulat kepada abah diorang yang memang rajin membantu (sebenarnya dia pun hantu lego). Pida? Main permainan masuk-masuk ikut bentuk pun failed.

Tapi laki aku ni memang terrerist pun. Sekejap je dah siap kapal terbang dan ambulan tu.


Inilah rupa kapal terbang seaplane tu. Besar jugaklah. macam ni ha besar dia (sambil mendepakan tangan).

Siap ada kipas kau.

Ini pulak ambulan Sufi. 

Siap ada driver lagi kau. Hensem pulak tu. Rambut belah tepi gitu.

Wow, siap ada penyambut tetamu lagi. Gerek seh ambulan ni!

Selain ambulan, Pida juga membelikan figura mini Ultraman untuk Sufi. Dia memang peminat tegar Ultraman. Pelik aku kenapa budak-budak suka Ultraman.


Satu set ada 6 kotak. Bermakna ada 6 jenis Ultraman. Ntah yang mana satu Taro, yang mana satu Mebius, yang mana satu Cosmos, sumpah Pida tak kenal.


Yang ni kecik aje. Kecik macam ni je haaa (sambil buat ukuran).


Tetapi, kusangkakan panas hingga ke petang, rupanya hujan di tengah hari. Kusangka tahan la dapat sebulan dua, tapi tak sampai seminggu dah dibukak-bukak. Haishhh budak-budak ni, kau ingat senang nak masang?


Dah dipecah-pecahkan sampai jadi seketul-seketul balik. 


Ambulan pun dah ditakik-takik. Kejap jadi buggy car, kejap jadi racing car. Yang ini kapal angkasa agaknya.

Brader ni pun dah tercampak-campak. Tangan pun dah tercabut hahaha. Tengok tu, marah dia!

Ni lagi kesian. Dahlah ambulan dah terbarai, bukan setakat hilang pekerjaan, malah hilang rambut belah tepi sekali. Sadis sungguh. Tapi masih mampu tersenyum redho.

Sekarang ni setiap blok Lego yang kecik-kecik tu dah bersepah-sepah. Memang mustahil la kalau dapat kumpulkan semua sekali dan dapat buat semula ambulan dan kapal terbang tu menjadi sempurna macam asalnya. Memang tak la...


Buat binaan baharu dengan pieces of lego yang dah berkecai.

Meraban la korang carik part-part yang dah bercampur aduk.

Eh, terjumpa pulak kipas kapal terbang tadi.

Eh, yang ini pun ada? Hmm... nampak sangat memang dah terbarai habis. Dah bercampur-campur dengan lego yang berlainan.

Akhirnya Aqil dapat bina bot pulak. Dia kitar semula pieces yang mana sesuai. Dah bercampur dengan pieces ambulan Sufi hahaha.

Sufi pulak bina kapal makhluk asing katanya. Mmmm... ok mak percaya.


Untuk pengetahuan kau, pieces lego yang tak original ni sebenarnya compatible dengan Lego original. Pida dah cuba. Pida pasang pieces yang tak ori ni dengan Lego ori. Memang boleh masuk. Tak caya cuba try.

Itulah, kalau Lego bagi kat budak-budak memang macam nilah jadinya. Takdenya diorang nak menyimpan. Kalau orang dewasa mungkin akan buat koleksi.

Lepas ni kalau diorang minta lego lagi, Pida akan suruh diorang kutip pieces lego kecik-kecik yang bersepah-sepah tu sampai sakit kaki aku kalau terpijak. Takut nanti kalau baby dah lahir, baby kutip masuk mulut pulak.

Kesian abah yang penat-penat buat.


Thursday, February 12, 2015

Cakaran Si Bulat

Salam cakaran,

Ini kali punya cerita sangat bercampur-campur perasaannya; ada suka ada duka ada seronok ada takut ada seram ada terperanjat juga.

Kisah ini baru saja berlaku 3 hari yang lalu. Pada suatu petang, Pida mengambil angin petang di belakang rumah bersama-sama baby Muhaimin, Nia dan Sufi. Aqil masa tu belum balik dari sekolah.

Di belakang rumah Pida tu memang dah jadi port kucing-kucing gelandangan lepak-lepak sambil carik makan. Selalu jugak kekucing ni masuk ke halaman belakang rumah Pida sampaikan anak-anak Pida dah macam membela kucing-kucing ni secara tak rasmi.

Semasa Pida dan Muhaimin sedang duduk-duduk di halaman belakang tu, tiba-tiba masuklah Si Bulat iaitu seekor kucing betina.

Budak-budak tulah yang bagi nama Si Bulat, sebab matanya bulat, katanya. Dah kalau matanya empat segi agaknya dinamakan Si Empat Segi.

Untuk pengetahuan kau, Si Bulat ni pernah beranak kat rumah Pida. Punyalah banyak rumah yang dia boleh datang, ke rumah Pida jugak yang dia tujui. Rezeki... rezeki...

Nak dijadikan cerita, Muhaimin sangat teruja sebaik terlihat Si Bulat. Mesti dia pelik natang apa tu, kok kenapa tak macam aku, kok ada benda panjang kat belakang dia, kok tak pakai baju...

Pida pun lepaskan Muhaimin ke lantai (lantai simen aku bersih hokay!) dan Pida hanya memerhatikan gelagat Muhaimin yang curious dan seronok bermain-main dengan Si Bulat sambil Pida merakam video. Well, moment ok, moment!

Si Bulat yang tidak mengenali Muhaimin kelihatan agak janggal. Yelah, yang dia kenal cuma budak-budak bertiga tu aje yang selalu bagi dia makan (rembat lauk aku).

Pida terus merakam aksi Muhaimin yang sangat excited. Muhaimin asyik sibuk nak pegang Si Bulat tapi natang tu tak nak dekat Muhaimin. Muhaimin tetap kejar untuk memegang natang tu untuk dimasukkan ke dalam mulut... hahaha. Biasalah, si Muhaimin ni semut pun dia masuk mulut.

Tetapi rupa-rupanya Muhaimin yang terlebih peramah. Si Bulat tak nak kat dia pun. Lalu berlakulah insiden yang menakutkan.

Pida malaslah nak cerita. Kau tengoklah gambar je ye. Lepas beranak ni aku dah jadi malas nak tulis panjang-panjang.  Cuma nak bagitau je, segalanya berlaku terlalu pantas. Durasi video pun cuma 25 saat aje. Hahaha.


Muhaimin nak main-main nak mesra-mesra, tetapi Si Bulat tak mau. Last-last akibat tak tahan diganggu, ia terus mencakar anakku. Oh tidak! My baby!


Detik-detik slo-mo Muhaimin dicakar. Nampak tak gambar kedua tu, kulit Muhaimin dicarik dan disiat. Lepas tu sepantas kilat kucing tu tambah lagi dengan kaki sebelah pulak. Memang kaw-kaw anak aku kena kuntau.

Kau ingat Muhaimin nak diam aje ke?


Melalak bai!

Kelam-kabut Pida dibuatnya. Selepas menjerit ala kadar, Pida terus menghentikan rakaman serta-merta (ceh!). Nasib baik aku tak campak henfon tu. Kira dapat kawal emosi lagi la aku ni walaupun urat dah banyak yang putus.

Cepat-cepat Pida dukung Muhaimin. Pida peluk dia kuat-kuat untuk menenangkannya yang masih terkejut dan trauma. Nia dan Sufi dah cemas melihatkan adik mereka dicakar oleh Si Bulat kesayangan mereka!

Pida periksa muka Muhaimin. Ada satu luka besar dan berdarah iaitu tempat yang kena carik tadi. Pida basuh dengan air dan lap dengan kain buruk.

Nasib baik Muhaimin tak nangis lama. Kalau tak cuak jugak aku...

Alhamdulillah lukanya tak serius. Ada la dalam 5-6 bekas cakaran. Tak sapu ubat pun, biar dia kering sendiri aje. Biasalah anak jantan kenalah ada parut!

Bila Pida mainkan balik video tu, ishhhhh memang seram kau! Paling seram dengar suara Pida menjerit.

Dan bila Aqil dapat tahu yang adik kesayangan dia ni dicakar oleh Si Bulat yang dijaganya, maka hanginlah dia. Lalu dia berkata tak mahu bela kucing lagi. Huahuahua!





Habis calar-balar muka saya tau!



Friday, February 6, 2015

Muhaimin sayang

Salam Muhaimin,

Diam tak diam, baby Muhaimin dah berusia 6 bulan. Terasa begitu cepat masa berlalu. Serius, rasa macam baru semalam Pida terkedek-kedek mendaftar diri sebagai pesakit di hospital bersalin. Hari ini Muhaimin dan berusia 6 bulan.

Alhamdulillah, dalam usia ini, Muhaimin dah pandai merangkak. Bukan merangkak aje kau, Muhaimin juga dah pandai memaut untuk berdiri. Tak sangka macam agak cepat perkembangan si kecik sorang ni jika dibandingkan dengan Rania, Aqil dan Sufi.

Tapi satu yang Pida perasan sangat, Muhaimin hanya mahukan Pida dan tak nak orang lain. Oh mak guard, nampak macam kiut kan, tapi kadang-kadang hazab jugak nak oiii.

Dalam usia begini, Muhaimin baru nak mula lasak. Dia dah mula lebih mengecam dan mengenal pasti orang sekeliling. Tapi muka yang paling dia suka tengok ialah muka Pidalah mak dia siapa lagi.

Pida seronok sangat dengan perkembangan ini. Pida rasa ia perkembangan positif dan ia juga bukti bahawa Allah telah mencipta suatu hubungan yang amat istimewa antara seorang bayi dengan ibunya.

Apabila Pida melihat betapa bersinarnya anak mata jernih Muhaimin tatkala melihat Pida, masa itu dapat dirasakan betapa agungnya kuasa Allah. Bayangkan, seorang bayi yang tidak mengetahui apa-apa, tetapi mempunyai naluri yang cukup kuat terhadap insan yang melahirkan dan menyayanginya sepenuh jiwa. Ya, sepenuh jiwa raga. Kerana itu amanah milik-Nya jua.

Lagi satu, Muhaimin suka main air liur, siap buat buih lagi. Bbbbrrrppp... bbbrrppp... menjejes-jejes air liur jatuh ke lantai. Kalau Sufi terpijak air liur adik dia tu, memang hangin la dia. Geli, katanya.

Baby Muhaimin pun dah mula makan masa umur dia 5 bulan. Sebab Pida tengok dia asyik merengek je, macam tak puas menyusu. Pida cuba suapkan bubur nasi, perrghhhh... berselera! Rupanya nak makan anak aku ni. Tak apalah nak, kakak ko si Rania tu mak dah kasi nestum cair masa dia masih dalam hari. Anak jawa memang macam tulah!

Pida berdoa semoga Muhaimin sentiasa sihat dan berada dalam lindungan Allah. Membesarlah bagai johan, minumlah susu penuh krim Dumex.


Sengih... sengih... tampor kang. Hik hik hik. Acah aje. Aloloooo. Tampor kang.

Aqil yang sangat baik hati dan mengambil berat akan adiknya. Hari tu semasa Aqil tengah mandi, Muhaimin melalak. Cepat-cepat si Aqil sudahkan mandi semata-mata nak dukung adik dia. Terharu mak noks... Bila Pida tanya Aqil mandi cepat-cepat sebab Aqil sayangkan Muhaimin ke? Aqil jawab, taklah, Aqil bingit. >_<

Tengoklah budak bertuah ni kemaruk asyik nak berdiri aje. Mak nak kemas beg la nak... nak balik kampung... 

Kan mak dah bilang nak kemas beg, yang Muhaimin kacau kenapa, kan dah kena sumbat dalam beg. Hahahaha. 


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...