Tuesday, January 12, 2016

Klasik dan antik

Salam klasik,

Semasa cuti hari tu, Pida meluangkan masa balik ke kampung iaitu rumah Ab dan ummi. Dah lama tak balik sebenarnya, sebab ab dan ummi rajin datang ke KL buat lawatan turun padang ke rumah anak-anak.

Duduk kat rumah ab takde apa nak buat sangat, asyik makan tido makan tido aje kerjanya. Daripada terbongkok-bongkok memikir apa nak buat, tiba-tiba Pida dapat idea baikkk punyerr.

Setelah memberi ubat tidur kepada anak-anak dan bapaknya sekali, Pida menyusup masuk ke satu bahagian paling sentimental di rumah ab, iaitu stor.

Stor ini terletak di bawah tangga. Besar tak besar, kecik pun tak kecik. Boleh memuatkan kurang daripada 10 orang Dato' Vida atau 7 ekor zirafah tanpa kepala.

Sebenarnya Pida nak korek barang-barang lama;  antik, klasik dan rare yang dah tak ada lagi zaman sekarang ni. Tak sangka ada juga la beberapa barangan yang Pida berjaya temui dari dalam stor rumah ab ni. Jom saksikan!


Pida tak sangka mak dan ab mempunyai banyak barangan tembaga zaman dulu. Antaranya bekas celak tembaga ini. Kalau dulu, Pida sebut celak Mekah. Sebab dibeli di Mekah kot time orang balik haji. 

Ini bekas celak yang besar. Berat juga ni.





Selain bekas celak, mak dan ab juga menyimpan barangan tembaga yang lain seperti bekas kemenyan beserta penyepitnya sekali.
Dulu mak pernah bagitau, ini ialah tempat tisu. Lipat-lipat tisu secara memanjang, pastu masukkan hujung tisu tu ke dalam lubang di atas tu.

Inilah bekas kemenyan. Orang dulu-dulu kan suka bakar kemenyan. 

Pida tak pasti apa benda alah ni. Ada la kegunaan khusus tu.

Bekas habuk rokok. Orang dulu-dulu kelas, bekas habuk rokok pun dibuat daripada tembaga. 

Pida tak tau pun selama ni ab ada menyimpan seterika antik ni kat rumah. Berat giler dowh, kena angkat dua tangan baru boleh. Aku tak taulah macam mana orang zaman dulu gigih gosok baju dengan besi berat ni.

Set cawan besi ini mak beli dari Mekah. Tapi oleh kerana tidak dijaga dengan sempurna, maka ia berkarat. Ini pun Pida basuh bersih-bersih sebab nak masuk blog kan.

Gelas ini merupakan pusaka peninggalan arwah moyang Pida. Orang dulu-dulu memang rajin memiliki gelas-gelas bersempena macam ni. Queen Elizabeth kau.

Set cawan naga tembikar ini juga adalah pusaka peninggalan moyang. Rasanya dah tak jumpa lagi cawan naga-naga ni. Buat ngeri je nak minum.

Set ini terdiri daripada 3 keping. Piring, piring dan cawan.

Dulang marmar ini milik ab. Sayang kerana telah retak semasa pindah rumah dulu. Tapi ia serius marmar.

Gunting klasik. Besi tulen. Berat dan sangat tajam. Walaupun dah berpuluh-puluh tahun usianya, namun ia masih boleh menggunting dan masih tajam walaupun dah berkarat. 


Baik, habis barang-barang antik dan klasik. Sekarang kita tengok pulak barang-barang yang mengusik jiwa dan dah termasuk dalam kategori rare. Sekarang dah tak jumpa dah!


Inilah telefon bimbit sebelum era smartphone. Fungsinya cuma untuk call dan sms aje. Dengan main game sikit-sikit.  

Tak pastilah sama ada bedak nyonya ni masih dijual lagi atau tidak. Dulu bedak inilah yang glamer, selain bedak ros bentuk bulat warna hijau tu. Sebuku tu boleh tahan setahun kalau setakat tepek kat muka je. Kalau dah pecah pun siap ambik buat lukis kat muka macam kapur pastu sapu rata-rata. Tak nak membazir punya pasal.

Kamera filem. Pakai filem gulung, pastu jimat-jimat ambik gambar takut membazir filem. Lepas basuh filem kalau ada gambar yang kabur, terasa alamak ruginyaaaa...!!!

Remaja-remaja dulu kalau tak ada akaun Ting kau boleh pergi meninggal la. Pastu berangan bila duit dah banyak nak beli kaset Ekamatra dan tengok konsert diorang.

Ini aksesori mesin taip. Budak sekarang apa tau. Komputer tak hidup pun kau dah mengamuk padahal kau tak onkan switch kan.

Haha. Ini gel mak beli sebab nak sokong perniagaan Melayu Islam katanya. Zaman tu zaman Al-Mansur. Semua orang kenal Al-Mansur.  Sampai aku pun percaya. Musibat.

Ini rak kaset. Dulu zaman kaset. Walkman pun belum trend lagi. So kalau kau nak dengar lagu sedap, sama ada kau beli kaset atau tunggu sampai mati kat radio. Atau kalau kau rajin, buat permintaan lagu kat radio. Itupun kalau deejay tu nak layan kau. Takdenya Youtube, 4-shared, mp3 gratis macam sekarang. Sebab tu Pida heran, zaman sekarang masih lagi orang mintak lagu kat radio. 

Salah satu daripada beratus-ratus kaset yang masih disimpan di rumah ab. Ada kaset mesti ada radio. Lepas tu mesti ada pensil untuk gulung pita kaset kalau terbelit atau terurai. Lebih elok guna pensil yang berbentuk heksagon kerana ia lebih mencengkam. Kalau pita tu putus pun takde hal, kau ambik selotep pastu kau sambung. Dia main macam biasa tapi bila sampai part selotep tu dia terlompat sikit. Haa tu kau taulah part mana yang putus tu.

Budak dulu-dulu tak ada youtube bagai macam sekarang kan... so memang trending sangat la kalau kitorang buat album kompilasi sendiri. Kira macam lanun cetak rompak pun ada jugak la. Gila kau nak beli kaset penuh padahal yang sedap cuma satu lagu tu je. Yang lain semua ke laut, setakat nak cukupkan kuota 10 lagu aje. Dulu mana orang reti buat single, terus album penuh nah hamik kau. So, cara nak berjimat dan boleh layan lagu-lagu kegemaran yang dipilih khas dari ladang, Pida beli kaset kosong dan rakam lagu dari radio. Tu pun kena rajin rujuk surat khabar ruangan permintaan lagu Pilihan Bersama Radio Muzik setiap malam. Pastikan radio ada fungsi record ye!

Akhir sekali yang berjaya Pida temui di rumah ab ialah kitab Mutaál Badrin. Kitab ini adalah rujukan utama budak-budak sekolah agama Johor start darjah 4 hingga 6. Kau bayangkan dari darjah 4 hingga 6 guna kitab ni aje. Lunyai tak lunyai la. Istimewanya kitab ini ialah ia merupakan kompilasi kitab-kitab Ibadat (Fekah), Muamalat, Munakahat dan Jenayat (bab hudud). Pida berani cakap la, budak-budak Johor yang pergi sekolah agama sekurang-kurangnya sampai darjah 6 (yang tak sampai darjah khas), insya Allah ilmu asas agamanya kukuh di dada. Silibusnya pun sangat komprehensif dan mendalam. Rasanya kalau sekarang ni nak belajar tentang zihar, lián, hadhanah, muamalat, bab haji, kena ambik kursus berkaitan di peringkat universiti kot. Tapi itu semua kami dah cover melalui kitab sakti ini. Alhamdulillah.


Kalau nak diikutkan, ada banyak lagi barang klasik di rumah ab tu. Antaranya beberapa puluh piring hitam dan pemainnya (player) sekali (jenama JVC tahun 1978). Dan banyak lagi sebenarnya yang tak terjumpa oleh Pida.

Melihat barang-barang ini, memang dah tahap rare sekarang. Adakalanya terasa sayu sebab zaman sudah berubah. Sayu juga sebab barang-barang ini berfungsi ketika hayat mak masih ada pada waktu itu. Tapi sekarang semuanya tinggal kenangan.

Oh ye, kalau nak baca tentang cerita kenangan Pida dulu-dulu, baca entry Dulu Sewaktu Remaja. Enjoy!

Monday, December 28, 2015

Darmawisata Perak V : Kellie's Castle

Salam Kellie's,

Jelajah jalan-jalan cari jantan Pida di negeri Perak diakhiri dengan lawatan ke satu tempat tarikan pelancongan yang sangat terkenal di Batu Gajah iaitu Kellie's Castle.


Ini kali kedua Pida pergi ke Kellie's Castle. Sebenarnya kalau tak pergi yang ini kali pun tak apa, tapi budak-budak sibuk nak pergi rumah hantu katanya. Ntah hapa-hapa. Padahal rumah tak siap je kot.

Nak masuk ke Kellie's Castle ni bukannya percuma tau. Kena beli tiket kat kaunter. Oleh sebab bukan Pida yang bayar, maka Pida lupa berapa harga tiketnya.


Kena tunjuk tiket dulu baru boleh masuk. Usah coba-coba nak seludup masuk. Kang roh Kellie cekik kau baru tau.


Di pekarangan luar Kellie's Castle, ada satu bahagian macam R&R yang menyedikan kemudahan gerai makan dan cenderahati. Di sini juga terdapat sudut pengkisahan sejarah Kellie's Castle ini.


Sementara menunggu abah kau beratur beli tiket tu, eloklah kau singgah sebentar membaca kisah sejarah yang dipamerkan ini. Kalau anak Pida si Rania tu, memang sebijik-sebijik perkataan dibacanya, tapi kalau Pida, kau taulah kan aku ni kan tak suka membaca. Aku tengok gambo je. Lepas tu sibuk bertanya orang suruh ceritakan.


Nah, Pida belanja satu papan cerita. Bacalah. Pida pun tak baca lagi haha.

Sufi pun nak enterprame jugak.


Ok, jom ikut Pida jalan-jalan carik hantu di Kellie's Castle!


Ini adalah pintu masuk setelah melalui perjalanan naik bukit yang agak panjang. Kalau makcik dan  pakcik ada penyakit lemah lutut, baik suruh anak-anak dukung atau sorong. Atau rasanya lebih baik makcik dan pakcik tak payah pergi langsung. Habis cerita.


Ruang pertama di Kellie's Castle ini ialah Bilik Simpanan Arak dan Terowong.



Nak tengok bilik arak tu kena turun tangga ini. Sebelah kanan tu bilik dia. Mula-mula Pida nak masuk, tapi tiba-tiba adik Pida kata seram, so tak jadi nak masuk. Yelah, buat apa aku sibuk-sibuk nak masuk ye tak? Tempat simpan arak je pun. Mesti banyak iblis.



Lagi cerita pasal William Kellie Smith ni. Dia asal Scotland. Kau bacalah. Nanti cerita balik kat Pida.




Ini ialah bahagian ruang tamu Kellie's Castle. 

Sebenarnya ruang tamu ini terletak di dalam kurungan pagar. Pengunjung hanya boleh mengintai dari tirai besi itu sahaja.





Pengunjung boleh membaca kisah-kisah tentang Kellie's Castle ini melalui bunting-bunting cerita yang banyak digantung di dinding. Kalau larat, bacalah semua. Kalau malas macam Pida ni, jeling sekilas aje. Lepas tu sibuk tanya orang.












Bergerak ke bahagian lain rumah ini, Pida sampai ke tempat sembahyang. Kosong aje, takde papepun.

Kellie's Castle ni banyak sangat ruang dan bilik. Dah macam masuk rumah sesat pun ada. Kalau sorang-sorang memang boleh sesat la. 


Ini ialah salah satu daripada banyak jendela di sini. Boleh nampak pemandangan luar rumah ini. Kat depan sana ada sungai yang mengasingkan Kellie's Castle dengan jalan utama. Nampak tak gerai makanan dan cenderahati tu?
Tak payah susah-susah kau nak terjenguk-jenguk kat jendela atas tu. Ni ha Pida dah ambik gambar pemandangan sebenar. 


Seterusnya Pida naik ke bahagian atas. Nampak tak si Aqil tu muka dia cuak gila. Dia takut nak naik sorang-sorang. Padahal ada ramai lagi orang lain. Siang-siang buta pulak tu. Bukannya ada hantu pun.

Ukiran yang cantik ini terletak di bilik anak perempuan keluarga ini. Kat bilik inilah dikhabarkan pernah terlihat penampakan budak perempuan. Ah, karutlah. Mana ada hantu!



Rumah ni banyak bilik. Ini ialah salah satu bilik yang ada. Masih dalam binaan batu bata lagi.

Salah satu dinding yang ada. Haha senangnya caption aku.











Baik, sekarang mari kita jalan-jalan di sekitar bahagian luar Keliie's Castle. Yang tadi tu kat dalam aje. Itupun tak dapat ambik gambar semua sebab akulah jurufoto, akulah dukung Muhaimin, akulah pimpin Sufi, akulah pegang plastik jajan, akulah pegang sampah, akulah tunjukkan arah kat orang-orang yang sesat. 


Koridor Kellie's Castle. Jangan cakap bahawa kau nampak entiti. Itu bukan entiti. Itu nyonya yang tengah telepon anak dia.
Pemandangan bahagian tepi luar Kellie's Castle. Cantik sebenarnya binaan bangunan ini. Cuma sayang seribu kali sayang, ia tak sempat diduduki. 

Siap dah ada cermin tu. Maknanya sikit lagi nak siap.






Anak-anak jin beragas di salah satu tingkap misteri Kellie's Castle.

Dari satu lagi jendela, boleh terlihat sebuah lagi bangunan yang terletak di belakang Kellie's Castle ini iaitu rumah asal keluarga ini. 




Meh Pida bacakan. Rumah Kellas. Ini adalah Kellas House rumah pertama Tuan Keliie Smith yang diduduki bersama keluarganya. Ia dibina pada tahun 1905. Sebahagian daripada rumah ini telah runtuh semasa Perang Dunia Ke-2.


Jom pusing-pusing sekitar Rumah Kellas ini yang sangat besar ini.






Perigi yang masih ada di Rumah Kellas. Katanya perigi ini menghubungkan Rumah Kellas ke sebuah kuil yang terletak tidak jauh dari sini. Kira laluan bawah tanah la. 


Inilah rupa Rumah Kellas. Walaupun sebahagian besarnya sudah runtuh, namun seni bina utama masih jelas kelihatan. Cantik tetapi suram dan sayu. 

Pemandangan Rumah Kellas dari belakang. 

Penampakan nenek kebayan yang hilang arah tujuan ketika memilih rona tudung untuk disesuaikan dengan warna baju.

Penampakan anak buluh betung di sekitar Rumah Kellas.

Rumah Kellas dan Kellie's Castle yang terletak bersebelahan.


Sebenarnya Kellie's Castle tu boleh naik sampai atas. Kat atas tu ada macam gelanggang tenis dan ruang lapang. Macam beranda untuk melihat pemandangan. 

Apabila dijelajahi betul-betul, didapati Kellie's Castle ni kalau siap sempurna, memang agam giler beb. Besarrrrr dan sangat cantik. Cuma tak sampai hajat si Kellie ni nak mendiami rumah tersebut apabila dia mati akibat pnemonia (radang paru-paru).

Hampir dua jam berada di sini. Menelusuri setiap inci sudut rumah ini, banyak perkara yang bermain di fikiran Pida yang tak berapa center ni. Antaranya rasa kasih seorang suami dan bapa yang beria-ia nak menyediakan sebuah tempat berteduh yang sesempurna mungkin untuk keluarganya walaupun akhirnya ia tidak sempat diduduki.

Yang kedua, kalau nak buat rumah besar-besar tu, ingat-ingatlah mati. Huhuhu. 




Mak saya dah habis temberang. Babai.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...