Friday, October 11, 2013

Hajat tak tersampai

Salam hajat,

Terus-terang Pida katakan, Pida belum pernah memasang niat untuk membawa mak dan ab pergi ke Mekah untuk menunaikan haji atau umrah. Tak seperti orang lain yang menyimpan impian untuk membalas jasa ibu bapa dengan membawa mereka ke tanah suci, Pida tidak begitu.

Bukan sebab Pida anak derhaka atau tidak mahu membalas jasa, tapi mungkin kerana Pida rasakan hajat Pida itu akan ditolak oleh mak dan ab. Ini kerana ab dan mak jauh lebih berkemampuan daripada anak mereka ini.

Tapi pada tahun lepas, Pida nyatakan juga hajat yang satu ini kepada mak. Masa itu mak sedang sakit. Pida katakan pada mak, tahun ini Pida nak buatkan qurban untuk mak. Itulah pertama kali Pida berniat untuk membuat sesuatu ibadah untuk mak atau ab.

Seperti yang telah diduga, mak menolak hajat dan niat Pida itu. Pida tak kecewa, sebab memang Pida dah tau, mesti mak tak akan terima walaupun Pida bersungguh-sungguh nak buatkan qurban untuk mak. Pida rasa Pida nak buat sesuatu untuk mak sementara masih ada masa. Tapi nak buat macam mana, mak menolak.

Mak cakap, mak dah buat qurban 2-3 kali termasuk tahun lepas mak buat satu bahagian di surau tempat Pida. Mak cakap lagi, Pida simpanlah duit tu untuk buat sesuatu yang lebih penting seperti perbelanjaan anak-anak, jangan risaukan mak.

Sedihnya bila mak cakap macam tu. Mak tak nak terima sedekah qurban Pida bukan kerana mak tak sudi, tapi kerana mak merasakan duit yang akan dibelanjakan untuk qurban itu lebih diperlukan oleh anak-anak Pida.

Ab pun macam tu. Pida pernah nak bagi dia duit sebagai tanda pemberian seorang anak kepada bapanya. Namun ab cuma pegang duit itu dan minta Pida simpan semula untuk kegunaan anak-anak Pida. Malah ab bagi lagi duit kat Pida. Sejak itu Pida memang tak pernah bagi mak dan ab duit kecuali pada hari raya atas nama duit raya.

Sekarang mak dah tak ada. Mak pergi sebulan selepas Pida menyampaikan hajat tersebut. Memang nyata hajat untuk membuatkan qurban untuk mak tidak kesampaian. Namun Pida tak terkilan kerana Pida dah suarakan hasrat hati.

Apa yang boleh Pida lakukan sekarang ialah sedekahkan banyak-banyak Fatihah kepada mak. Sampai sekarang rindu di jiwa masih membara, masih menebal dan sering membuatkan Pida menangis. Entah bila Pida boleh berhenti menangis.

Pida amat merindui mak. Terasa sangat kehilangannya. Terlalu banyak rahsia hati yang telah dipendam sejak kepergiannya kerana Pida tidak ada tempat untuk meluahkan rasa jiwa. Dulu maklah tempat Pida mencurahkan segala-galanya. Tidak ada rahsia antara kami. Sekarang tiada lagi dan situasi ini amat memedihkan.

Mak jangan risau. Pida tak pernah lupa mendoakan mak di sana. Kita hanya terpisah oleh satu garisan waktu. Insya Allah kita akan bertemu semula di akhirat sana.

Mak, Pida amat menyayangimu. Masih terasa hangat pelukanmu dan lembut bicaramu. Takkan dapat dilupa manisnya senyummu, takkan terpadam kenangan bersamamu.

Mak, kembalilah ke pangkuan kami. Kami masih memerlukanmu. Mak janganlah pergi... jangan tinggalkan kami...




2 comments:

  1. tersentuh baca .makcik diberi Allah dapat menghantar mak ke mekah.Sekarang ni pula menjaga dia.Rasa macam satu hadiah yang tak ternilai harganya.Macam ada anak kecil kat rumah ni pula.

    ReplyDelete
    Replies
    1. Alhamdulillah, rezeki makcik dapat bawa mak ke Mekah. Saya bersyukur kerana berpeluang jaga mak selama sebulan semasa mak sakit sehinggalah mak meninggal.

      Saya banyak tulis tentang mak terutama detik-detik perjuangan mak melawan kanser sehinggalah ke akhir nyawanya. Mak sumber inspirasi saya buat selamanya.

      Thanks makcik for stopping by :)

      Delete

Oh, tak sangka ada yang sudi komen... terima kasih!

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...