Monday, December 10, 2012

Kupilih hanya yang asli

Salam asli,

Hari ini Pida berada di daerah kelahiran Pida kerana menghadiri mesyuarat yang kebetulan diadakan di sini. Kebetulan juga Pida memang balik kampung minggu ni. Jadi kiranya sambil menyelam minum air la.

Sambil-sambil balik kampung jenguk mak dan ab, sambil-sambil bertugas. Budak-budak Pida tinggalkan di rumah mak di bawah jagaan adik Pida.

Seperti dijangka, bila dah berada di sesuatu tempat tu, pastilah tetamu dijamu dengan hidangan tradisi sesuatu daerah tu. Tak ketinggalan Pida dan rakan-rakan mesyuarat yang dihidangkan dengan signature dish di sini.

Nak tau apa hidangan istimewa dan menjadi identiti daerah ini?



Dari jauh dah nampak set mangkuk hidang. Ini kalau tak mee racun, sudah tentulah....

....Nasi beriani gam! Inilah makanan yang menjadi kebanggaan masyarakat di negeri Johor. Yang di atas ni nasi beriani ayam. Kalau nak power lagi, kena try nasi beriani kambing. Perghhh... serius meleleh.

Nasi beriani yang kami nikmati adalah yang asli. Apa maksud asli? Maknanya ia betul-betul made in Batu Pahat. Bukan nasi beriani gam Batu Pahat yang dimasak di KL atau tempat-tempat lain. Serius itu tak asli. Propa je tu.

Lauk default bagi nasi beriani gam ialah ayam/kambing/lembu masak beriani, kuah dalca dan juga pencok (acar timun), iaitu sayuran segar yang diadun sempurna daripada timun, nenas, lada dan bawang yang dicampur dengan sedikti cuka. Kadang-kadang dilawankan dengan acar nanas. Pastu kena pulak dengan sirap bandung soda. Perghhhh!!! (cis, meleleh siot air liur Pida semasa menulis ini). Ngeces aku.

Selain masak beriani, ayam/kambing/lembu itu biasa juga dimasak merah atau kormak. Tapi jarang-jarang orang masak kicap. Tak kena kot. Lepas tu ada juga aksesori kepada lauk-lauk default ini iaitu acar buah dan papadom.

Acar buah yang fuhhh kecurnya! Pida ni hantu asam, kalau setakat acar buah macam ni aku ratah je.

Oh ye, kalau kau rasa nak makan nasi beriani, Pida hasut agar kaupergi ajelah ke Batu Pahat. Serius cakap bro... keaslian rasa nasi beriani Batu Pahat tidak sama dengan nasi beriani yang dimasak di luar daerah Batu Pahat. Percayalah... percayalah...

Kat KL ni dah berlambak-lambak restoran nasi beriani gam. Semua dakwa resepi asli Batu Pahat. Tak kisah la tu. Mungkin memang betul pemilik atau tukang masaknya dari Batu Pahat.

Pida pernah cuba makan nasi beriani di restoran-restoran tersebut. Tapi serius cakap bro, tekak orang Batu Pahat asli memang tak boleh tipu la. Bak kata orang, lari alignment la. Hanya jauhari mengenal manikam. Dahlah harga kat KL ni mahal nak mampus.

Oklah, cakap banyak tak guna. Kalau kau singgah ke Batu Pahat, jangan keluar darinya tanpa menikmati nasi beriani gam terlebih dahulu. Tak sah kunjungan kau ke sini tanpa makan nasi beriani. Bila kau dah pekena nasi beriani gam asli dari sini, Pida gerenti kau akan penasaran terhadapnya.


Pida mintak kawan Pida ambik gambar Pida kekenyangan tapi oleh kerana dia pun kekenyangan jugak, maka gambar pun jadi kabur. Boleh gitu? Perut kenyang, gambar kabur.

Takpe, Pida bagi dia peluang perbaiki mutu tangkapan. Eh, kabur jugak. Kamera aku ni memang jenis shaking agaknya. Mesti kau kata Pida tetap nampak chomel kan? Memang pun.




Wednesday, December 5, 2012

Anniversary yang berseri-seri

Salam anniversary,

Semalam 4 Disember 2012 adalah hari ulangtahun perkahwinan Pida yang ke-8. Alhamdulillah, dah 8 tahun kami hidup bahagia bersama dengan anak-anak yang keletahnya masya Allah...

Menyorot peristiwa indah 8 tahun lepas, Pida sah menjadi isteri  pada tarikh tersebut. Hik hik. Berdebar-debar menunggu saat disatukan oleh Tok Qadhi. Hik Hik. Bila dah sah tu, saksi dah angguk angguk geleng geleng, rasa macam Yahoo! Hik hik. Sorrylah asyik tersedu je.


Satu saat sebelum menjadi isteri. Perasaan? Rilek je... macam takde pape berlaku (dag dig dug)

Ketika mencium tangan suami selepas selamat diijabqabulkan. Hik hik. Hiccup lagi. Ab sebagai wali hanya memerhatikan sambil berkata di dalam hati, "Kau jangan pikir nak tido je. Rewang basuh periuk belanga kat belakang tu dulu."

Persandingan malam berinai di atas pelamin.

Kini selepas lapan tahun mengharungi kehidupan bersama sebagai suami isteri...

Nah, hamek kau! 3 anak.

Jadi, sempena ulang tahun perkahwinan kami yang ke-8 semalam, kami telah mengadakan sedikit majlis makan-makan waktu malam dengan menjemput adik-beradik je. Masakan istimewa adalah hasil tangan suami Pida yang memang suka memasak iaitu mee bandung muor original.


Makan adik-beradik aje. Untuk kita aje...

Adik-beradik aje...

Kek ini hadiah daripada Razin dan Sofia iaitu anak-anak sedara Pida. Razin bukan setakat anak sedara, dia anak susuan Pida juga. Terima kasih atas kek yang istimewa ini.

Kek memang menjadi buruan budak-budak ni. Pantang nampak kek, tangan tu gatal je nak menokel. Sila tengok Sufi Arumugam itu. Sambil mengatup bibir kerana geramkan kek, sambil tangannya bersedia menoreh-noreh kek ikut suka hati dia. Razin pun sama.

Rania meniup api lilin halimunan. Beria-ia mintak Pida nyalakan api, takdenya Pida nak bagi. Rumah aku bukan ada mancis pun.

Last-last kami potong kek tersebut bersama-sama.





Harapan Pida agar perkahwinan ini akan terus berkekalan di bawah lindungan-Nya dan dengan restu ibu bapa yang berterusan. Semoga kami berupaya mendidik anak-anak anugerah Allah ini ke jalan kebaikan dan dapat memberi kasih sayang dan perhatian kepada mereka.


Happy Anniversary Pida!

Tuesday, December 4, 2012

Senggugut yang oh sakitnya!

Salam senggugut,

Ini cerita orang perempuan. Orang lelaki boleh baca tapi tak boleh merasa. Sebab apa? Sebab senggugut ini hanya dirasai oleh kaum wanita sahaja. Kalau ada orang lelaki yang mendakwa dia pernah kena senggugut, maknanya dia tipulah tu.

Masa zaman Pida anak dara dulu, Pida pasti merasai senggugut setiap bulan. Orang lelaki yang tak tau tu, senggugut dialami oleh orang perempuan yang sedang uzur. Senggugut berlaku akibat pengecutan otot rahim ketika haid.

Masa kena senggugut tu, Tuhan je yang tau sakitnya. Seharian tu tak boleh bangun. Sakit sangat. Macam ditarik-tarik ginjal ni. Macam disimpul-simpul pankreas ni. Sampai berguling-guling. Nak makan tak selera, nak berdiri apatah lagi. Rasa nak terajang orang adalah.

Pehh.. memang terbaik sakit dia. Kalau nak redakan sakit senggugut tu, Pida biasanya telan aspirin. Lepas tu kurang sikit.

Pernah Pida kena senggugut kat sekolah, terpaksa berehat kat bilik rawatan. Masa tengah guling-guling tu, tiba-tiba masuk pulak abang form six boifren Pida dulu. Dia terkejut tengok Pida guling-guling macam tenggiling.

"Kenapa sayang?" Hehehe... dia tak tanya macam tu. Dia tanya, "Heh, nape ni? Ponteng kelas eh?"

Ponteng kelas wak lu... orang tengah sakit nak beranak ni, kau boleh tuduh aku ponteng kelas pulak.

"Takdelah bang, Pida tengah sakit perut ni," Ceh, dah berabang bagai pulak aku ni. Dahi berkerut-kerut menahan sakit.

"Dah makan ubat?" abang form six mula menunjukkan concern.

"Dah... tapi masih sakit ni. Takpelah, abang pergi la masuk kelas dulu. Nanti kena tangkap khalwat pulak. Pida taknak kahwin cepat," Pida memberi alasan. Pergilah wahai kekasih, pergilah jangan tengok aku sakit. Aku nak berguling-guling lagi ni...

"Pida rehat eh... abang nak masuk bilik guru," abang form six akhirnya keluar dan meninggalkan Pida. Yes, masa untuk berguling-guling!


*************


"Doktor, saya tak tahan la setiap bulan asyik kena senggugut je. Letih ooo..." luah Pida pada suatu hari ketika berjumpa doktor.

"Senggugut tu biasa la... normal tu. Nanti bila dah beranak, senggugut tu akan baik sendiri sebab dah ada jalan," demikian penerangan doktor tadi.

"Hah, lepas beranak? Bila masa tu..." getus Pida dalam hati. Kot tak beranak-beranak? Ish... jahatnya mulut.


*************


Memang betul. Selepas Pida melahirkan anak pertama hasil bunting pelamin tu (hihihi), senggugut Pida terus hilang. Alhamdulillah, dah tak kena senggugut lagi. Dah tak berguling-guling lagi. Dah tak jadi tenggiling lagi. 

Jadi, kepada anak-anak dara di luar sana yang mengalami senggugut setiap bulan, jangan gusar. Pergi kahwin cepat-cepat, pastu beranak cepat-cepat. Insya Allah senggugut tu akan hilang. Kalau dah beranak pun masih senggugut, pergi jumpa doktor cepat-cepat. 

Papepun, senggugut tu cuma 1/10 daripada sakit kontraksyen nak beranak. Hahaha, ada yang lagi sakit rupanya!


Jangan risau sekiranya mengalami senggugut kerana ia adalah penyakit 1Malaysia.

Friday, November 30, 2012

Siapa buat kitorang?

Salam siapa,

Dulu masa Pida kecik-kecik, Pida pernah tanya kat mak Pida. "Mak, macam mana mak buat Pida?"

Pida ingat muka mak Pida berubah dan tersentak dengan soalan tu. Lepas tu mak cepat-cepat cover line. "Err.. Allah yang jadikan Pida."

Tapi sebagai budak yang comel dan cerdik, Pida tak puas hati dengan jawapan mak. Pida tanya lagi.

"Ye laa.. memang la Allah yang jadikan kita. Tapi siapa yang buat Pida?" macam tu la soalan maut Pida pada mak Pida.

Muka mak pucat kali kedua. "Err... mak berdoa minta dapat anak. Tu yang mak dapat Pida tu!" Kali ni mak buat-buat menaip karangan pula.

"Mak, typewiter tu kan dah rosak," selamba Pida cakap kat mak.

"Err.. ehehe... dah pegi mandi," akhirnya mak suruh Pida pegi mandi.

"Mak... siapa yang buat Pida?" Memang comel giler la aku masa tu. Baru umur 6 tahun dah pandai tanya macam-macam.

"Mak dengan ab kahwin, pastu dapatlah kita!" tiba-tiba abang Pida menyampuk.

"Isyy... complicated la kehidupan ini," akhirnya Pida mengalah.



***************



Sekarang Pida dah kahwin. Dah ada anak dah. Bukan sorang. Bukan dua orang. Tapi tiga orang. Tak lama lagi masuk empat orang. Eh, tak laa... gurau je hujan-hujan ni.


Kami bertiga je buat masa ni. Memandai-mandai je mak cakap nak masuk empat.


Persoalan yang membelenggu hidup Pida selama hampir 30 tahun itu telahpun terjawab. Akhirnya Pida tau sendiri macam mana dan daripada apa Pida diperbuat. 

Dan kini, selepas mempunyai anak sendiri, Pida pulak ditanya soalan yang sama.

"Mak, macam mana Nia lahir?" soal Nia pada suatu hari.

"Err.. err.. macam tu la. Mak mengandungkan Nia, lepas tu mak lahirkan Nialah," Pida menjawab dengan yakin dan dengan harapan Nia akan diam.

"Ye la... memang la mak yang mengandungkan Nia. Tapi siapa yang buat Nia?" Eh, tiba-tiba macam comel pulak aku tengok si Nia ni. Tempeleng kang.

"Isyy... complicated la benda ni Nia. Emm... macam nilah. Mak dan abah kahwin, pastu kami love-love, pastu dapatlah Nia!" Hoh, takkan aku nak jawab cenggitu. Maunya ditanya love-love tu macam mana lagi pening kepala aku nanti.

"Kakak... mak kahwin dengan abah, lepas tu dapatlah kita. Kan mak?" Aqil menyampuk.

"Ye, ye... syabas Aqil!" Pida memuji dan mengiakan jawapan Aqil. Sebijik macam jawapan abang Pida dulu.

"Elleh... Mesti ada cara lain," Nia mencebik. Tak puas hati lagi tu.

"Dah tu, macam mana pulak Nia boleh keluar? Dari mana pulak?"

"Dari pusat mak la kakak...!" Aqil menjawab bagi pihak Pida. Hahahaha... pusat abah lu! 

Kang kalau Pida ceritakan betul-betul kang ternganga budak-budak ni. Kalau diorang ni lahir secara pembedahan boleh la Pida cakap ikut perut yang kena belah. Tapi, diorang keluar normal..... hihihihi.

"Nantilah, Nia tanya nenek," akhirnya Nia mengalah. Hmmm... tanyalah. Lebih baik tanya terus pada moyang kau. Lebih konservatif. Lebih pening. 

Bila keadaan dah ok, Nia pun dah tak tanya apa-apa pasal asal-usul kejadian dia, tiba-tiba Aqil pulak bertanya.

"Mak, nak tengok tempat Aqil keluar."

"HOI!"

Thursday, November 29, 2012

Aqil... Aqil...

Salam Aqil,

Hari ni Pida nak tulis pasal Aqil. Yang tak kenal Aqil tu, biar Pida bagitau. Aqil tu bukanlah skandal Pida atau bekas tunang Pida, tapi Aqil tu tak lain tak bukan ialah anak Pida sendiri. Anak kedua daripada tiga beradik.



Hai adik manis, saya Aqil. Umur saya baru 5 tahun . Tapi saya rasa saya sudah matang.


Dua tiga hari ni Aqil asyik merengek nak baby girl. Kau dah jemu dengan adik kau si Sufi tu ke? Apa tak jemunya, mula-mula kawan, berabang beradik bagai, bila tiba masa masing-masing menegakkan benang yang basah, habis disekel kepala. Aqil belasah Sufi, Sufi terajang Aqil. Haa elok la tu. Gaduh. Gaduh. Menang jadi abu, kalah jadi arang. Dua-dua aku jotos.

Aqil nak baby girl. Dia suruh mak dia beranak lagi. Eewah... kau ingat senang nak beranak? Nak mengandung senang la. Eh, kau apa tau? Kau belum kawen kan?

Baru-baru ni semasa majlis konvokesyen tadika, Aqil berjaya menerima anugerah Pelajar Aktif. Untuk pengetahuan kau, anugerah Pelajar Aktif ini telah dimonopoli oleh Aqil dua tahun berturut-turut.

Hebat anak aku. Pelajar aktif gitu. Tapi sebenarnya nama anugerah tu ialah Pelajar Paling Nakal. Eleh, mak taulah Aqil... cikgu kau tersasul pecah tembelang depan mak hari tu.

Hari tu lagi best. Aqil masuk ke dapur. Pida pun ada di dapur masa tu.

"Mak, nak mancis," katanya dengan girang.

"Hah? Ko nak buat apa dengan mancis? Bahaya tau tak main mancis. Rumah yang terbakar tu sebab dia main mancis tahu!" Pida membebel pot pet pot pet tanpa melihatnya kerana pada masa itu Pida sedang sibuk membancuh susu Sufi.

Si Sufi ni pulak tak habis-habis merengek mintak dukung la, nak tengok Ultraman la... 

"Mak, nak mancis," Aqil mengulangi ayat yang sama tetapi kali ini suaranya lebih perlahan dan lebih sayu.

"Aqil...!" Pida dah mula hangin. Pekebendenye nak main mancis pulak budak ni! Nak kena dia ni.... dan Pida pun menoleh ke arahnya seraya bersiap-sedia untuk menjotosnya. Tetapi rupanya...

"Oh, nak manggis...." sambil Pida melihatnya memegang sebiji manggis.


Lepas tu mak saya malu sebab dia tuduh saya nak bakar rumah.

Tuesday, November 27, 2012

Kau pergi jua

Salam pergi,

Masih ingat tulisan Pida tentang seorang sahabat lama Pida iaitu Fadilah yang menderita penyakit kanser? Ye, entry yang ini.

Pagi semalam Pida menerima satu perkhabaran sedih mengenai Fadilah di Facebook. Bahawa dia telah pulang menyahut seruan Ilahi pada jam 3 pagi semalam setelah menderita penyakit kanser payudara.

Kehilangan Fadilah Pida sambut dengan rasa sedih yang teramat sangat. Sedih kerana Pida telah kehilangan seorang sahabat lama yang dikenali sejak kami sama-sama darjah satu dahulu. Walaupun pernah terpisah lama akibat putaran waktu, namun kami akhirnya bertemu kembali di muka buku.

Dan Pida juga rasa sedih kerana tidak berkesempatan melawat jenazahnya. Hanya surah Al-Fatihah dan Yasin yang dapat dikirim buat pengganti diri.

Telah Pida ceritakan bahawa arwah Fadilah menderita penyakit kanser payudara. Setau Pida, tak lama dia mengidap kanser ini. Sekejap sahaja. Dah arwah pun sempat menjalani rawatan kimoterapi. Namun kuasa Allah mengatasi segala-galanya. Fadilah pergi jua akhirnya.

Semoga kau tenang di sana. Berakhir sudah penderitaanmu, sahabatku. Sesungguhnya kau sahabat yang tiada pengganti.

~Al-Fatihah untuk arwah Fadilah.~

Sunday, November 25, 2012

Enam konvokesyen

Salam konvokesyen,

Entry ini ditujukan khas untuk mak dan ab.

Pida ingin berkongsi perasaan bersyukur serta gembira mak dan ab kerana kesemua enam anak mereka telah berjaya menggenggam segulung ijazah.

Melihat anak-anak berjaya menjejaki menara gading merupakan impian setiap ibu bapa. Mak dan ab tidak terkecuali. Lalu sedari kecil kami enam beradik diasuh supaya mencintai ilmu dan belajar sehingga masuk ke universiti.

Tambahan pula mak dan ab sendiri pernah naik ke pentas konvokesyen UM pada tahun 1970-an dulu. Oleh itu sangat wajarlah kami anak-anak mereka mengulangi kejayaan yang pernah dilakar oleh mak dan ab.

Dan Alhamdulillah, berkat tunjuk ajar, kesabaran dan doa yang tidak putus-putus, kami berjaya menghadiahkan mak dan ab segulung ijazah. Harapan kami sekarang cuma satu, dapat membalas jasa dan pengorbanan mak dan ab dan sentiasa mendoakan kesejahteraan mereka di dunia dan di akhirat.


Ini gambar ab pada tahun 1975 semasa menerima ijazah daripada Canselor UM pada ketika itu, Tuanku Hajah Bahiyah Binti Almarhum Tuanku Abdul Rahman.


Ini pula gambar mak sedang menerima ijazah juga daripada Canselor UM (1976).

Lepas mak kahwin dengan ab pada tahun 1976, mak pun beranakkan kami berenam. Mak dan ab membesarkan kami dengan penuh kasih sayang bagai menatang minyak yang penuh. Kami diberi didikan yang sempurna di sekolah kebangsaan dan menengah

Kami juga dihantar ke sekolah agama negeri Johor dari darjah satu (bermula pada ketika darjah 3 di sekolah kebangsaan) sampailah ke darjah khas (lepas darjah 6 darjah khas pada umur 15 tahun). Walaupun Pida cuma dapat pangkat 3, tapi Alhamdulillah ada jugalah ilmu asas agama buat benteng dalam kehidupan. Kalau dulu pangkat 3 pun boleh jadi ustazah tau. Kellas kau Maria.

Alhamdulillah juga, kami enam beradik yang bigo-bigo ni semuanya dah habis belajar.


Abang Pida - Inti University College.

Ehem ehem - UPM

Adik Pida - USM

Adik Pida - UTM

Adik Pida - UiTM

Adik Pida - UTP



Gambar-gambar ini dirakam semasa kami sedang menerima ijazah daripada Canselor/Pro Canselor masing-masing. Kemudian seperti menjadi satu budaya, kami masuk studio untuk bergambar dengan mak dan ab pula.







Aik? Apa ke pelik noo gambar ni? Oh, rupanya gambar dia dengan mak dan ab yang diambil di studio tu belum siap lagi.


Lebih kurang ginilah gambarnya nanti.


Untuk mak dan ab, terima kasih kerana mendidik kami mengenal erti kehidupan yang sebenar. Tanpa kasih sayang dan dorongan, kami tak mungkin berada di tempat sekarang. Kami selesa, kami bahagia dan kami gembira sekarang. Terima kasih mak dan ab. Walau seluruh isi bumi kami beli, ia masih tidak mencukupi untuk membalas budi mak dan ab. Semoga Allah memelihara mak dan ab di dunia dan di akhirat.




Jangan mareee! Kami pun adeee!!!  Gambar dari Google



Thursday, November 22, 2012

Stress bukan hak anak

Salam stress,

Keputusan UPSR 2012 baru sahaja diumumkan. Menonton di tv dan menyelak paparan di akhbar, begitu banyak liputan yang diberikan tentang keputusan UPSR tahun ini.  Yang paling banyak mendapat tempat di dada media sudah tentulah calon-calon yang berjaya mendapat 5A. Yang dapat 5E tak dapat liputan ke?

Nampaknya memang ramai murid-murid kita yang pandai-pandai belaka. Tahniah. Tahniah kepada murid itu sendiri, kepada ibu bapa dan tentulah kepada guru-guru yang tidak mengenal erti jemu mendidik mereka sehingga berjaya dengan cemerlang.

Tidak keterlaluan kalau Pida katakan ada sesetengah ibu bapa yang terlalu serius dan memandang berat tentang peperiksaan sekolah rendah ini. Ibu bapa sebegini akan memastikan anak-anak mereka mesti mendapat 5A walau apapun yang berlaku.

Tidak cukup dengan waktu P&P di bilik darjah, dihantar pula anak itu ke kelas-kelas tuisyen untuk mengukuhkan lagi kefahaman dan penguasaan mereka dalam mata pelajaran-mata pelajaran yang dipelajari seperti BM, BI dan Matematik.

Dan jangan terperanjat jika Pida katakan ada ibu bapa sekarang yang terlalu ghairah menghantar anak mereka ke kelas tuisyen sedari budak itu darjah satu lagi! Yes, it does happen nowadays. But not my kid.

Soalnya di sini, perlukah? Perlukah sampai begitu sekali ibu bapa menanamkan semangat 'mesti-score-kalau-tak-score-kau-memang-loser' ke dalam jiwa anak-anak ini?

Hari tu Pida terbaca komen seorang budak yang berjaya mendapat 5A. Dia kata kalau dia tak dapat 5A, dia rasa diri dia tak berguna dan dia akan malu pada kawan-kawan. Pida macam... what the fu.....?

Seriously u kid... what do you expect from that 5A?  A good job? An honor throughout your entire life? Come on my dear, your journey is way too long before you could realize what this crazy life is all about.

Never mind, it's your glory and your personal achievement. Tahniah and may you succeed in your future. But please jangan rasa diri tak berguna jika lain kali kamu gagal meneruskan kecemerlangan akademik. Hidup kita banyak cabang dan pilihan. Akademik hanyalah salah satu daripadanya.

Kenapa Pida menulis tentang ini? Kerana dari pemerhatian Pida, kebanyakan ibu bapa, Pida ulangi - KEBANYAKAN ibu bapa sekarang terlalu mementingkan aspek akademik. Anak mereka mesti, tidak boleh tidak, mendapat 100% dalam setiap ujian dan peperiksaan dan wajib pula mendapat A bagi setiap mata pelajaran. Dah tu pulak, mesti dapat nombor satu dalam kelas.

Habis, kalau semua nak dapat nombor satu, siapa nak dapat nombor dua? Siapa nak dapat nombor 36? Siapa nak dapat nombor corot?

Sistem pendidikan kita sebelum ini (sebelum kaedah Penilaian Berasaskan Sekolah diperkenalkan) terlalu mementingkan kecemerlangan akademik. Prestasi seseorang murid diukur hanya daripada markah dan merit peperiksaan.

Salah seorang daripada waris sistem berorientasikan peperiksaan ialah Pida sendiri. Dulu Pida belajar hanya untuk lulus periksa. Tidak pernah terniat berlajar untuk ilmu itu atau ilmu ini. Contohnya semasa belajar matematik, Pida cuma hafal rumus supaya dapat jawab soalan peperiksaan. Bukan sebab Pida nak guna pakai rumus tu dalam kehidupan seharian.

Tak pernah pulak Pida menggunakan rumus pengamiran ketika menyidai pakaian. Tak terfikir pulak nak mengaplikasikan rumus jadual berkala ketika membancuh susu anak. Apa yang Pida lakukan ketika itu ialah hafal dan selepas habis exam, mampus aku tak ingat semua tu. Gone with the wind.

Pida menyambut baik kaedah Penilaian Berasaskan Sekolah (PBS) yang telah mula diperkenalkan kepada murid-murid tahun satu mulai tahun 2011. Pendekatan ini merangkumi empat komponen dalam menilai setiap murid secara holistik dan bukan berdasarkan pencapaian akademik melalui peperiksaan semata-mata.

Empat komponen tersebut ialah Pentaksiran Pusat, Pentaksiran Sekolah, Pentaksiran Psikometrik dan Pentaksiran Aktiviti Jasmani, Sukan dan Kokurikulum. Murid-murid akan dinilai mengikut instrumen dan rubrik yang tertentu.

Pada pendapat Pida, PBS akan mengurangkan masalah stress yang bakal dihadapi oleh murid itu sendiri kerana mereka bukan hanya perlu menumpukan seratus peratus kepada buku, tetapi juga perlu melibatkan diri dengan aktiviti sukan dan kokurikulum.

Apa yang lebih penting, murid-murid ini akan diasuh supaya mempunyai daya pemikiran yang seimbang dan waras agar mereka tidak terlalu 'mengadap buku'. Pada ketika umur darjah satu beginilah murid-murid ini perlu terus diterapkan dengan nilai-nilai murni seperti berpegang teguh pada agama, menghormati guru dan rakan-rakan, menghormati kelainan upaya kawan-kawan lain, mengamalkan sikap toleransi, bertolak ansur dan bantu-membantu. Bukan sekadar berlumba siapa yang lebih pandai atau kenapa dia masuk kelas bodoh.

Jika PBS ini dilaksanakan dengan telus dan betul, barulah kita boleh melahirkan modal insan yang bukan hanya cemerlang dalam bidang akademik, malah juga memiliki sahsiah dan sifat peribadi yang tinggi dan jauh dari sifat kiasu.

Macamlah Pida ni tak ada anak sekolah kan? Ada... Rania baru je habis darjah satu. Sepanjang dia bersekolah darjah satu (sekolah kebangsaan dan sekolah agama), tidak pernah sekalipun Pida cakap dia mesti dapat nombor satu.

Bila dia beritahu esok dia ada periksa, Pida cuma suruh dia baca buku, buat latihan sikit-sikit (Matematik dan Jawi) dan Pida cuma bagitau dia, "Mak tau Nia dah belajar. Buat elok-elok, baca Bismillah sebelum buat dan semak sebelum hantar." Itu sahaja. Never a word I expected her to get 100% or straight A's. (Darjah satu maaa)

And the result? Hampir semua subjek dia score 100% (ada yang 96% ada yang 94% ada yang 80% but that's not a problem). Dia dapat nombor satu untuk kedua-dua penggal bagi sekolah agama dan untuk sekolah kebangsaan pun dia score jugak.


Alhamdulillah, inilah pencapaian Rania pada tahun satu ini. Pida tak pernah terlalu mengharapkan semua ini, cukuplah dia faham apa yang dia pelajari dan dia tahu bahawa dia belajar kerana Allah.

And this one shocked me the most. Pida ketawa besar bila dapat tahu Rania jadi Tokoh Kanak-Kanak Perempuan Tahun 1. You see? I never expected this, never never but hey believe me, your kids can do better if you don't give them stress!


Alhamdulillah, Rania telah berjaya meneruskan momentum yang dibawanya dari tadika. Masih terasa baru semalam menghantar Rania masuk darjah satu. Dengan ragamnya, dengan tak nak sekolahnya, sampai pening kepala Pida cari jawapan kenapa Rania tak nak ke sekolah. Tup tup tahun depan darjah dua insya Allah.

Jadi itulah pendapat Pida. Pida rasa budak-budak ni tak payahlah dipaksa belajar sangat. Diorang tu masih kanak-kanak, dunia diorang hanyalah keseronokan, hanya tau nak main, nak luaskan kreativiti, nak tunjukkan potensi sebenar.

Tak salah kalau kita nak mengacu dan membentuk mengikut kemahuan kita, malah memang itupun peranan kita sebagai ibu bapa tetapi biarlah berpada-pada. Pida tak akan paksa anak Pida mengadap buku 24 jam atau tidak akan sesekali memberi kata dua sama ada straight A's atau ....

Asalkan Pida berjaya terapkan dalam jiwa anak-anak bahawa pelajaran itu sebagai bekalan untuk kejayaan di dunia dan di akhirat, Pida rasa sudah sampai mesej kenapa mereka perlu belajar. Dan Pida tak akan marah anak-anak Pida walau mereka tidak cemerlang dalam peperiksaan sekalipun.

Pida ingin mereka sedar bahawa apa yang penting ialah menjadi diri sendiri dan mencari hala tuju berdasarkan minat sendiri. (Ini kerana Pida perhatikan Aqil mempunyai kemahiran manipulatif dan seni yang baik). Tugas Pida cuma membantu, memandu, menyokong dan mendoakan.

Semoga anak-anak kita menjadi anak yang berguna kepada agama, bangsa dan negara.


Semoga Rania akan terus menjadi insan cemerlang di dunia dan di akhirat. Lokasi : Bilik permainan. Sebab tu bersepah. Tong air terbalik pun ada.


Penafian  : Entry ini adalah pendapat peribadi Pida semata-mata. Pida tidak dipengaruhi atau mempengaruhi sesiapa pun dalam tulisan ini. Terima kasih.



Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...