Ini kisah lama. Cerita yang meninggalkan kesan yang cukup mendalam buat diri Pida. Cerita tentang bagaimana maut itu cukup hampir dengan Pida tetapi dengan izin Allah, kematian yang mungkin menjadi milik Pida pada waktu itu telah berubah takdirnya.
Kejadian ini berlaku pada suatu hari Jumaat tahun lepas, yang nyatanya sebelum pemergian mak pada Januari lalu. Pada hari itu Pida menghadiri mesyuarat di Cyberjaya.
Seperti biasa, jika perlu menghadiri mesyuarat di Cyberjaya, Pida akan memandu kereta sendiri. Pida tidak menggunakan khidmat pemandu kerana tak jauh pun Cyberjaya dari rumah Pida. Tak sampai sejam perjalanan.
Mesyuarat pada hari itu berakhir awal. Selepas penangguhannya pada pukul 12 tengah hari, Pida terus memandu pulang. Pida lalu jalan Cyberjaya - Puchong. Keadaan jalan raya pada tengah hari itu sangat lengang. Hanya kelihatan 4-5 buah kereta sahaja di sepanjang jalan yang lebar dan berlapis-lapis itu. Mungkin orang masih di pejabat dan belum keluar untuk solat Jumaat.
Tiba di kawasan jalan raya bercabang yang mempunyai 4 baris jalan raya iaitu dua yang menuju ke Pulau Indah dan Kajang, sementara satu jalan sehala menuju ke Putrajaya dan jalan di arah bertentangan menuju ke Cyberjaya, Pida hanya memandu perlahan.
Pida sebenarnya memandu dengan rileks sekali, tidak terkejar-kejar kerana seperti yang Pida ceritakan di atas, suasana jalan pada ketika itu sangat lengang. 6 lane jalan yang sangat lengang, hanya Pida berdua dengan seekor Kancil di belakang yang juga dipandu perlahan.
Apabila melepasi satu kawasan yang bersebelahan dengan jalan ke Pulau Indah dan Kajang, tiba-tiba Pida terpaku dengan apa yang Pida saksikan di cermin pandang belakang. Pida nampak sebuah lori simen yang sangat laju terbabas dan merempuh pembahagi jalan.
Pida nampak dengan jelas lori tersebut seperti terbang dan terus terbabas melintasi keenam-enam lane jalan tersebut secara melintang. Melihatkan kejadian tersebut, lutut Pida terus terasa lemah sekali. Rasa tak berupaya nak meneruskan pemanduan kerana Pida baru saja menyaksikan kemalangan yang dahsyat. Dan Pida tak upaya juga nak berhenti sebab tangan dah menggigil.
Kancil di belakang Pida juga memperlahankan keretanya tetapi tidak berhenti. Pida cuma nampak lori simen itu terus terbabas dan terjunam ke arah jalan raya yang lebih rendah di kawasan sebelah sana. Oleh kerana pada waktu itu lengang, maka tak ramailah saksi yang melihat kejadian itu. Pida pun sampai sekarang tak tahu apa nasib pemandu lori tersebut.
Sebenarnya lori itu terbabas dalam masa tak sampai 5 saat selepas Pida melalui tempat rempuhan tersebut. Masa tu Pida bayangkan, kalaulah Pida melalui kawasan itu pada waktu lori itu terbabas, insya Allah Pida akan mati dirempuh dan diseret lori tersebut sehingga melintangi jalan dan akhirnya terhumban ke jalan bawah.
Lepas menyaksikan kejadian itu Pida memang blur dan menggigil sangat. Sampai sesat-sesat Pida dibuatnya dalam perjalanan balik ke rumah tu. Dalam masa yang sama tak lekang dari bibir ni kalimah Alhamdulillah kerana terselamat 5 saat dari rempuhan dahsyat tersebut.
Pada malam itu, Pida tak boleh melelapkan mata. Pida menangis saat melihat anak-anak Pida malam itu. Pida tak dapat bayangkan macam mana keadaan mereka jika malam itu adalah malam pertama mereka kehilangan ibu mereka ini.
Dan Pida juga menangis kerana memikirkan jika Pida mati dalam kemalangan siang tadi, malam itu adalah malam pertama Pida di alam barzakh; lebih awal Pida pergi daripada mak yang sedang sakit pada waktu itu.
Setiap kali jika ada urusan di Cyberjaya, Pida pasti akan melalui jalan tersebut. Kesan pelanggaran masih jelas kelihatan; masih belum dibaiki lagi. Setiap kali itulah akan teringat detik-detik Pida sangat hampir dengan kematian akibat nahas tersebut.
Pantang maut sebelum ajal. Apalah yang boleh Pida katakan selain ucapan syukur yang tidak berhenti kepada Allah kerana menyelamatkan Pida daripada kemalangan tersebut. Kematian terlalu hampir pada masa itu.
Syukur kerana umur masih panjang dan masih ada peluang untuk memperbaiki diri dan melunaskan tanggungjawab sebagai hamba dan sesama manusia.
Pagi tadi Pida lalu di tempat itu lagi. Pida masih dapat melihat kesan rempuhan tersebut. Dan Pida masih terasa seriaunya perasaan ini tatkala melintasi tempat yang hampir memutuskan hubungan Pida dengan dunia ini...
Pandangan di jalan arah ke Cyberjaya dari Puchong. Lori simen berwarna hijau itu terbang dari sebelah kanan gambar ini dan terus menjunam ke jalan di sebelah kiri. |
No comments:
Post a Comment
Oh, tak sangka ada yang sudi komen... terima kasih!