Wednesday, July 25, 2012

Kisah rumah tangga di bulan puasa

Salam rumah tangga,

Pada hari ini Pida ingin bercerita mengenai kisah rumahtangga. Cerita ini boleh dibaca oleh semua orang termasuklah kanak-kanak yang belum mumaiyiz. Dijamin tiada unsur syeksyual dalam cerita ini. Jadi kalau kau ingat Pida nak buat cerita biru, kau sudah silap besarlah.

Ceritanya begini.

Pada suatu hari, Encik Mohd Qayyum pulang ke rumah setelah seharian bekerja di pejabat. Dia sampai di rumahnya pada tepat pukul 5.30 petang sharp.

Sesampainya di rumah, Encik Mohd Qayyum disambut dengan penuh mesra oleh isterinya yang bernama Puan Pareedah. Melihatkan suaminya yang keletihan dan tidak bermaya, sepantas kilat Puan Pareedah  pun menuju ke dapur membuat air untuk hidangan suaminya.

"Abang, jemputlah minum," Puan Pareedah mempelawa Encik Mohd Qayyum dengan sopan sambil menyuakan air fresh oren ais kepada suaminya itu.

Encik Mohd Qayyum tidak terus mengambil air tersebut tetapi memandang tepat ke muka isterinya itu dengan pandangan slack.

Puan Pareedah tersentak dengan tindakan Encik Mohd Qayyum terhadap dirinya. Sekali lagi wanita tersebut menunduk dan menitiskan air mata. Dia kecewa kerana suaminya itu sekali lagi enggan menjamah walau setitik air fresh oren ais yang telah dibuatnya itu.

Dua tiga hari ini entah mengapa Encik Mohd Qayyum tidak langsung menyentuh minuman yang diberikan oleh Puan Pareedah. Yang hairannya, Encik Mohd Qayyum hanya memandang slack kepada isterinya, tiada satu patah perkataan pun sama ada sudah kenyang ke, tak suka fresh oren ke atau apa pun alasan. Tetapi reaksinya hanyalah pandang slack, bangun dan keluar rumah semula meninggalkan Puan Pareedah terpinga-pinga sendirian.

Pada suatu malam sebelum tidur, Puan Pareedah bertanyakan kepada Encik Mohd Qayyum perihal keengganannya meminum air yang dibuatnya.

"Kenapa kanda tak sudi minum air buatan dinda?" tanya Puan Pareedah dengan lembut dan takut-takut.

"Kanda tak suka fres oren ke? Dinda boleh buatkan milo suam," ujar Puan Pareedah lagi sambil membetulkan baju kelawar lusuhnya.

Sekali lagi Encik Mohd Qayyum memandang isterinya dengan pandangan slack. Kali ini ditenungnya isterinya itu lama-lama.

"Isk.. isk ... malulah kanda...," mentel sahaja Puan Pareedah bersuara sambil tersipu-sipu apabila ditenung-tenung direnung-renung begitu.

"Awak... saya mengaku awaklah isteri yang paling baik di dunia. Dahlah baik, jelita pulak tu. Memang bertuah saya kahwin dengan awak," demikian tutur Encik Mohd Qayyum dengan lembut. Sambil-sambil itu tangannya membetulkan tocang Puan Pareedah yang sudah terbarai. Serabai pula kelihatan isterinya itu.

"Awak nak tau kenapa saya tak minum fresh oren awak tu walaupun jiwa saya meronta-ronta nak togok sampai habis?" tanya Encik Mohd Qayyum lagi.

"Kenapa kanda? Kenapa? Beritahulah dinda!" pantas sahaja Puan Pareedah menjawab.

"Sebab... INI KAN BULAN PUASA. APA KEJADAHNYA AWAK BUATKAN SAYA AIR FRESH OREN PETANG-PETANG. TAULAH AWAK TU TAK PUASA TAPI JANGANLAH INGAT SAYA NI PUN BOCOR MACAM AWAK JUGAK!"

"Laa.... mati-mati saya terlupa bang!"

Habis.


No comments:

Post a Comment

Oh, tak sangka ada yang sudi komen... terima kasih!

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...