Friday, September 28, 2012

Nota dedikasi untuk Fadilah

Salam dedikasi,

Nota ini khas buat sahabat setiaku Fadilah.

Ila, kau telah mula menjadi sahabatku sejak kita mula mengenali alam persekolahan. Sejak kita mula memakai uniform biru dan rambut kita sama bertocang dua.

Kita menjadi akrab selepas kita ditempatkan di kelas yang sama - 1 Melati. Dan kita menjadi lebih rapat selepas kau mempelawaku naik kereta ibumu apabila pulang dari sekolah kerana kita tinggal berjiran.

Ila, begitu pantas masa berlalu. Sepantas itu jugalah ruang waktu bagaikan terbatas untuk kita meneruskan keakraban kita. Lebih-lebih lagi setelah aku berpindah ke daerah lain. Sejak itu hubungan kita bagaikan tidak pernah termaktub sebelum ini. Kau dengan jalan hidupmu, aku dengan liku hidupku.

27 tahun telah kita tinggalkan tanpa kita sedari. Kau yang pertama menyapaku di Facebook. Aku teruja melihat dirimu di alam maya. Sejak itu kita kembali mengikat semula tali persahabatan yang pernah putus.

Ila, rupanya kau bukan lagi seperti dulu. Dulu kau seorang yang sangat ceria dan sangat manja. Dulu kau kuat. Kau hanya tahu nak menang dalam apa sahaja yang kaulakukan. Kau kental.

Ila, maafkan aku kerana aku baru mengetahui khabar terbaru tentang dirimu. Tetapi sebelum itu aku ingin mengutuskan tahniahku padamu kerana kau telah menemui cinta sejatimu bagi merawat kelukaan lalu. Semoga hidupmu akan terus bersinar dan bahagia ke akhirnya bersama si belahan jiwa.

Ila, aku tersentak saat kau memaklumkan padaku tentang kesihatanmu. Aku tau kau kecewa, aku tau kau berduka. Namun jangan kau sangka kedukaan itu milikmu seorang sahaja.

Aku amat memahami keperitanmu, sahabatku. Saat pertama aku mengetahui ibuku menghidap kanser payudara 12 tahun dulu, hidupku jadi tak tentu arah. Aku buntu, aku takut dan aku berada dalam dunia emosiku sendiri selama beberapa bulan. Itu kerana aku tidak bersedia dan tidak menerima hakikat tentang penyakit ibuku. Dan aku sendiri kurang ilmu.

Ila, aku bukan sahaja simpati, malah aku empati atas keadaan dirimu yang kini berada di tahap 3 kanser payudara. Bersabarlah sayang, ini semua dugaan daripada Yang Maha Kuasa. 

Untuk pengetahuanmu Ila, aku menangis ketika kau memberitahuku tentang penyakitmu waktu itu. Sama seperti yang aku rasakan 12 tahun lepas. Keperitan itu bagai merobek kembali hatiku ini. Sahabat baikku sedang berjuang melawan kanser payudara, sama seperti ibuku.

Wahai sahabatku Ila, aku mohon agar kau terus tabah. Jangan terlalu bersedih atas keadaan dirimu. Kau perlu terus ceria dan kau perlu sembuh! Kau perlu terus hidup demi suami dan ibumu yang terlalu banyak berkorban untukmu.

Ila, jangan sesekali kau bersangka buruk terhadap dirimu sendiri. Terimalah takdir ini sebagai ujian terindah daripada Dia untuk mengangkat lagi darjatmu sebagai hamba-Nya. Kau tidak boleh kalah sebelum kau berjuang sehingga ke akhirnya.

Ila, yang pasti, kau tidak keseorangan. Aku dan kawan-kawan sekelas darjah 1 kita yang lain akan tetap berada di sisimu walau kita tidak bersua secara nyata. 

Aku tidak mahu lagi membaca status kekecewaanmu. Aku mahu kau meletakkan status gembira agar kami boleh turut sama gembira. Ila, kita akan gembira bersama, ye?

Sahabatku Ila, aku sentiasa berdoa agar kau akan segera sembuh. Tetapi sabarlah sahabatku, bersabarlah atas ujian ini. Kekuatanmu adalah penawar sebenar bagi melawan penyakit ini, percayalah.

Semoga Allah sentiasa melindungimu dan menyembuhkanmu, sahabatku...


Sahabatmu,

Pida

2 comments:

  1. sy doakan semoga kak fadhilah terus kuat dan tabah..

    ReplyDelete
  2. Insya Allah... amiin... TQ cikCT ;)

    ReplyDelete

Oh, tak sangka ada yang sudi komen... terima kasih!

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...