Tuesday, January 12, 2016

Klasik dan antik

Salam klasik,

Semasa cuti hari tu, Pida meluangkan masa balik ke kampung iaitu rumah Ab dan ummi. Dah lama tak balik sebenarnya, sebab ab dan ummi rajin datang ke KL buat lawatan turun padang ke rumah anak-anak.

Duduk kat rumah ab takde apa nak buat sangat, asyik makan tido makan tido aje kerjanya. Daripada terbongkok-bongkok memikir apa nak buat, tiba-tiba Pida dapat idea baikkk punyerr.

Setelah memberi ubat tidur kepada anak-anak dan bapaknya sekali, Pida menyusup masuk ke satu bahagian paling sentimental di rumah ab, iaitu stor.

Stor ini terletak di bawah tangga. Besar tak besar, kecik pun tak kecik. Boleh memuatkan kurang daripada 10 orang Dato' Vida atau 7 ekor zirafah tanpa kepala.

Sebenarnya Pida nak korek barang-barang lama;  antik, klasik dan rare yang dah tak ada lagi zaman sekarang ni. Tak sangka ada juga la beberapa barangan yang Pida berjaya temui dari dalam stor rumah ab ni. Jom saksikan!


Pida tak sangka mak dan ab mempunyai banyak barangan tembaga zaman dulu. Antaranya bekas celak tembaga ini. Kalau dulu, Pida sebut celak Mekah. Sebab dibeli di Mekah kot time orang balik haji. 

Ini bekas celak yang besar. Berat juga ni.





Selain bekas celak, mak dan ab juga menyimpan barangan tembaga yang lain seperti bekas kemenyan beserta penyepitnya sekali.
Dulu mak pernah bagitau, ini ialah tempat tisu. Lipat-lipat tisu secara memanjang, pastu masukkan hujung tisu tu ke dalam lubang di atas tu.

Inilah bekas kemenyan. Orang dulu-dulu kan suka bakar kemenyan. 

Pida tak pasti apa benda alah ni. Ada la kegunaan khusus tu.

Bekas habuk rokok. Orang dulu-dulu kelas, bekas habuk rokok pun dibuat daripada tembaga. 

Pida tak tau pun selama ni ab ada menyimpan seterika antik ni kat rumah. Berat giler dowh, kena angkat dua tangan baru boleh. Aku tak taulah macam mana orang zaman dulu gigih gosok baju dengan besi berat ni.

Set cawan besi ini mak beli dari Mekah. Tapi oleh kerana tidak dijaga dengan sempurna, maka ia berkarat. Ini pun Pida basuh bersih-bersih sebab nak masuk blog kan.

Gelas ini merupakan pusaka peninggalan arwah moyang Pida. Orang dulu-dulu memang rajin memiliki gelas-gelas bersempena macam ni. Queen Elizabeth kau.

Set cawan naga tembikar ini juga adalah pusaka peninggalan moyang. Rasanya dah tak jumpa lagi cawan naga-naga ni. Buat ngeri je nak minum.

Set ini terdiri daripada 3 keping. Piring, piring dan cawan.

Dulang marmar ini milik ab. Sayang kerana telah retak semasa pindah rumah dulu. Tapi ia serius marmar.

Gunting klasik. Besi tulen. Berat dan sangat tajam. Walaupun dah berpuluh-puluh tahun usianya, namun ia masih boleh menggunting dan masih tajam walaupun dah berkarat. 


Baik, habis barang-barang antik dan klasik. Sekarang kita tengok pulak barang-barang yang mengusik jiwa dan dah termasuk dalam kategori rare. Sekarang dah tak jumpa dah!


Inilah telefon bimbit sebelum era smartphone. Fungsinya cuma untuk call dan sms aje. Dengan main game sikit-sikit.  

Tak pastilah sama ada bedak nyonya ni masih dijual lagi atau tidak. Dulu bedak inilah yang glamer, selain bedak ros bentuk bulat warna hijau tu. Sebuku tu boleh tahan setahun kalau setakat tepek kat muka je. Kalau dah pecah pun siap ambik buat lukis kat muka macam kapur pastu sapu rata-rata. Tak nak membazir punya pasal.

Kamera filem. Pakai filem gulung, pastu jimat-jimat ambik gambar takut membazir filem. Lepas basuh filem kalau ada gambar yang kabur, terasa alamak ruginyaaaa...!!!

Remaja-remaja dulu kalau tak ada akaun Ting kau boleh pergi meninggal la. Pastu berangan bila duit dah banyak nak beli kaset Ekamatra dan tengok konsert diorang.

Ini aksesori mesin taip. Budak sekarang apa tau. Komputer tak hidup pun kau dah mengamuk padahal kau tak onkan switch kan.

Haha. Ini gel mak beli sebab nak sokong perniagaan Melayu Islam katanya. Zaman tu zaman Al-Mansur. Semua orang kenal Al-Mansur.  Sampai aku pun percaya. Musibat.

Ini rak kaset. Dulu zaman kaset. Walkman pun belum trend lagi. So kalau kau nak dengar lagu sedap, sama ada kau beli kaset atau tunggu sampai mati kat radio. Atau kalau kau rajin, buat permintaan lagu kat radio. Itupun kalau deejay tu nak layan kau. Takdenya Youtube, 4-shared, mp3 gratis macam sekarang. Sebab tu Pida heran, zaman sekarang masih lagi orang mintak lagu kat radio. 

Salah satu daripada beratus-ratus kaset yang masih disimpan di rumah ab. Ada kaset mesti ada radio. Lepas tu mesti ada pensil untuk gulung pita kaset kalau terbelit atau terurai. Lebih elok guna pensil yang berbentuk heksagon kerana ia lebih mencengkam. Kalau pita tu putus pun takde hal, kau ambik selotep pastu kau sambung. Dia main macam biasa tapi bila sampai part selotep tu dia terlompat sikit. Haa tu kau taulah part mana yang putus tu.

Budak dulu-dulu tak ada youtube bagai macam sekarang kan... so memang trending sangat la kalau kitorang buat album kompilasi sendiri. Kira macam lanun cetak rompak pun ada jugak la. Gila kau nak beli kaset penuh padahal yang sedap cuma satu lagu tu je. Yang lain semua ke laut, setakat nak cukupkan kuota 10 lagu aje. Dulu mana orang reti buat single, terus album penuh nah hamik kau. So, cara nak berjimat dan boleh layan lagu-lagu kegemaran yang dipilih khas dari ladang, Pida beli kaset kosong dan rakam lagu dari radio. Tu pun kena rajin rujuk surat khabar ruangan permintaan lagu Pilihan Bersama Radio Muzik setiap malam. Pastikan radio ada fungsi record ye!

Akhir sekali yang berjaya Pida temui di rumah ab ialah kitab Mutaál Badrin. Kitab ini adalah rujukan utama budak-budak sekolah agama Johor start darjah 4 hingga 6. Kau bayangkan dari darjah 4 hingga 6 guna kitab ni aje. Lunyai tak lunyai la. Istimewanya kitab ini ialah ia merupakan kompilasi kitab-kitab Ibadat (Fekah), Muamalat, Munakahat dan Jenayat (bab hudud). Pida berani cakap la, budak-budak Johor yang pergi sekolah agama sekurang-kurangnya sampai darjah 6 (yang tak sampai darjah khas), insya Allah ilmu asas agamanya kukuh di dada. Silibusnya pun sangat komprehensif dan mendalam. Rasanya kalau sekarang ni nak belajar tentang zihar, lián, hadhanah, muamalat, bab haji, kena ambik kursus berkaitan di peringkat universiti kot. Tapi itu semua kami dah cover melalui kitab sakti ini. Alhamdulillah.


Kalau nak diikutkan, ada banyak lagi barang klasik di rumah ab tu. Antaranya beberapa puluh piring hitam dan pemainnya (player) sekali (jenama JVC tahun 1978). Dan banyak lagi sebenarnya yang tak terjumpa oleh Pida.

Melihat barang-barang ini, memang dah tahap rare sekarang. Adakalanya terasa sayu sebab zaman sudah berubah. Sayu juga sebab barang-barang ini berfungsi ketika hayat mak masih ada pada waktu itu. Tapi sekarang semuanya tinggal kenangan.

Oh ye, kalau nak baca tentang cerita kenangan Pida dulu-dulu, baca entry Dulu Sewaktu Remaja. Enjoy!

5 comments:

  1. Assalamualikum pida Barang antik celak tembaga tu koleksi peribadi ke?

    ReplyDelete
    Replies
    1. Waalaikumussalam Aiqa Afiqah, iye semua tu koleksi peribadi milik mak dan ayah saya. Diorang simpan elok2 di rumah kampung tu hehehe. Terima kasih ;)

      Delete
  2. Assalamualaikum.. bestnya masih simpan barang-barang lama lagi.. saya pun sedang mengumpul barang antik untuk galeri sejarah sekolah saya.. seronok bila mengenangkan semula sejarah lama dulu2

    ReplyDelete
  3. Saya juga sedang upgrade galeri sejarah sekolah. Byk pusaka nenek saya yg dpt saya kongsikan di galeri sej sek. Antaranya kati timbang emas, sudu tembaga, pinggan bunga kangkong, payung cina, teko dan warmernya sekali, sumpit ,copstik ukiran tgn thm 1972, byk lg.

    ReplyDelete
  4. AnonymousMay 26, 2022

    Assalamualaikum pida, barang antik celak tembaga tu, kalau boleh buat jenis motif dia pun boleh jadi tajuk yang menarik😂 hanya sekadar cadangan 👍🏻

    ReplyDelete

Oh, tak sangka ada yang sudi komen... terima kasih!

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...