Monday, December 22, 2014

Sofea Dan Kacang Ajaib the theater

Salam teater,

Hujung minggu yang lalu, Pida mengajak anak-anak dan bapaknya sekali menonton teater kanak-kanak berjodol Sofea Dan Kacang Ajaib.


Teater ini dipersembahkan oleh pelajar-pelajar tahun dua diploma Fakulti Teater Akademi Seni Budaya Dan Warisan Kebangsaan (Aswara) sebagai projek penilaian mereka. Cerita ini adalah inspirasi daripada kisah dongeng budak-budak yang terkenal, Jack And The Beanstalk.


Sudut kecil ini menempatkan poster teater, senarai nama pelajar-pelajar yang terlibat dan tenaga pengajar yang bertanggungjawab sehingga terpentasnya teater ini.


Teater ini dipertontonkan di studio Black Box Aswara. Ingatkan tak ramai, rupanya ramai jugak penonton yang hadir membawa anak-anak. Pida dapat tahu mengenai teater ini menerusi hebahan di radio KLFM, dan selepas itu esoknya Pida tengok Selamat Pagi 1Malaysia di TV1 (Pida kan tak dengar radio-radio swasta yang banyak sampah tu, so Pida layan KLFM dan radio-radio kerajaan je sebab banyak info dan lagunya pun best-best).

Daripada tercongok menunggu giliran masuk ke studio, lebih afdhallah bergambar dahulu. Dapat juga update facebook.

Setiap pembelian tiket disertakan sekali buku program teater Sofea Dan Kacang Ajaib ini. Harga tiket untuk dewasa ialah RM10, sementara kanak-kanak dari umur 7-12 tahun RM5. 

Selepas kira-kira setengah jam tercongok di depan pintu studio, penonton akhirnya dijemput masuk. Laaa... ingatkan besar, rupanya kecik kenot aje studio ni. Kapasiti maksimum dalam 100 orang je. Yang bestnya, kanak-kanak disuruh duduk bersila di depan pentas. Maka Rania dan Aqil pun duduklah bersila mengadap pentas.

Cerita ini memang ramai yang dah tahu. Jadi tak payahlah Pida ceritakan. Buat penat aku je. Kau bukak google, kau search tajuk Jack And The Beansprout, pastu kaubacalah. Tapi untuk entry kali ini, Pida belanja kau tengok adegan-adegan menarik teater ini.











Demikianlah tuan-tuan dan puan-puan, kisah Sofea Dan Kacang Ajaib. Persembahan selama sejam ini berjaya menarik perhatian kanak-kanak dan mak bapak menyaksikan persembahan pentas bertaraf semi-profesional.

Pada Pida, persembahan teater ini berada di tahap biasa-biasa sahaja. Namun penghayatan pelakon yang terdiri daripada pelajar-pelajar (amatur) sangat membanggakan. Mereka sangat yakin dan berjaya membawa watak masing-masing dengan cemerlang.

Cuma Pida rasa sepanjang sejam teater ini dimainkan, tiada satu adegan yang boleh disifatkan sebagai klimaks kepada keseluruhan cerita. Pida menjangkakan akan ada satu dua adegan yang betul-betul merangsang adrenalin penonton.

Sekurang-kurangnya semasa pokok kacang ajaib tu muncul, ia lebih WOW gitu. Ataupun watak gergasi lebih menyerlah, lebih besar dan lebih gagah. Mungkin warna pakaian gergasi boleh dibuat lebih garang seperti warna merah.

Pada Pida lagi, adegan yang paling menarik ialah adegan kumpulan kelawar. Kelakar dan nakal!


Pokok kacang ajaib yang muncul jauh di belakang pentas.

Gergasi yang memikat kanak-kanak. Setiap hentakan tapak kaki siap ada sound effect. Dum! Dum! gitu.

Tentang pakaian pelakon pula, Pida rasa skirt pendek yang dipakai oleh pelakon-pelakon yang membawakan watak kawan-kawan Sofea agak keterlaluan kot... Taulah bawak watak budak-budak, tapi tak semestinya budak-budak kena pakai skirt pendek untuk nampak gigirl. Seksi tau! Lagipun kan diorang tu memang bukan budak kecik,... malu jugak Pida melihatnya. Patutnya... ah isi sendirilah tempat kosong ni.

Duduk di kerusi penonton, Pida memberikan 4 bintang daripada 5 bintang kepada teater ini. Walaupun 5-6 kali jugak Pida sangap, namun itu bukan petanda teater ini boring. Mungkin sebab bukan genre Pida, tu yang sangap tu, padahal penonton lain terutamanya kanak-kanak kelihatan sangat terhibur.

Tapi yang paling best tentang teater ini ialah penggunaan live band untuk lagu dan sound effect. Memang superb! U know how much I love music!


Kumpulan muzik yang mengiringi persembahan teater untuk lagu dan kesan bunyi. Memang best! Barulah rasa betul-betul teater, tak macam persembahan biasa yang menggunakan radio kaset.

Bagi Rania, Aqil dan Sufi, pengalaman menonton teater merupakan kenangan manis buat mereka. Pida percaya diorang meminati teater selepas ini. Insya Allah kalau ada persembahan teater kanak-kanak lagi, Pida akan bawak diorang lagi.

Tahniah dan syabas kepada semua yang terlibat dalam pementasa teater ini. Double jempol untuk kamu semua!!!




Monday, December 8, 2014

Rania ambik hadiah (lagi)

Salam hadiah,

Biasalah kan, akhir-akhir tahun ni semua sekolah mengadakan majlis Hari Anugerah Kecemerlangan untuk menghargai murid-murid yang mencapai keputusan cemerlang dan memuaskan sepanjang tahun berkenaan.

Alhamdulillah, tahun ini buat kali ketiganya Rania dapat naik ke pentas lagi untuk menerima hadiah. Walaupun cuma dapat nombor tiga dalam kelasnya, tapi Pida dah bersyukur sangat dah.

Mana taknya, Pida ni bukannya jenis mak yang rajin tengok kerja sekolah anak-anak. Diorang buat kerja rumah ke tak buat ke, ada aku kisah. Hahaha. Teruk kan Pida ni? Tapi sesekali tu ada jugak la Pida tengok kerja-kerja sekolah diorang.

Kalau tengok kerja sekolah Rania, memang rasa lega sangat sebab buku-buku dia kemas macam baru. Tapi kalau tengok buku-buku sekolah Aqil, ya Rabbi rasa nak tercabut bijik mata. Mengerekot-ngerekot dah buku tu. Bergulung-gulung. Comot. Geli nak pegang. Baru darjah satu tuuuuu.

Baik, sambung cerita. Majlis di sekolah Rania tu bermula jam 8.30 pagi. Pida angkut semua anak datang ke majlis tu, nak suruh tengok kakak diorang pandai, dapat nombor tiga, dapat naik pentas ambik hadiah (ppffttt..).

Apabila sampai giliran Rania, Pida dah bersedia untuk menepuk tangan kuat-kuat. Hidup Rania! Jerit Pida di dalam hati.


Ewah ewah Nia... rapi baju ko. Bergosok sakan. Nak naik pentas la katakan...

Tahniah anakanda, teruskan kecemerlangan dalam apa jua bidang yang diceburi. Mak tak kisah Nia nak jadi apa, asalkan di jalan yang betul. Bila tengok Nia dapat piala dan sijil lagi, Sufi cakap dengan marah-marah, " Kakak ni asyik dapat sijil je... dah banyak dah sijil kakak. Membazir aje!"

Maafkanlah shawl mak ye... si ketot tu suka sangat menarik-narik selendang ai... last-last Pida biarkan aje terbukak gitu. 


Majlis Hari Penyampaian Hadiah sekolah zaman sekarang memang jauh berbeza dengan majlis pada zaman Pida sekolah dulu. Dulu zaman takde henfon, jadi ibu bapa setia duduk di kerusi sampailah tamat majlis. Apabila tiba giliran anak, ibu bapa akan beri tepukan yang paling kuat dengan perasaan bangga.

Tapi zaman sekarang lain. Ibu bapa dah tak duduk kat kerusi sepanjang majlis. Masing-masing dah bersedia di depan atau tepi pentas untuk merakam gambar anak ketika menerima hadiah. Termasuk la Pida. Sampai nampak berserabut jugak la di sekitar pentas tu. Sebab ramai sangat yang berkerumun nak ambik gambar anak-anak.

Lepas tu yang Pida perasan, audiens sekarang cukup lokek nak bagi tepukan. Padahal untuk anak-anak sendiri jugak. Semasa hari konvokesyen tadika Sufi pun macam tu. Pida ingat lagi masa Pida kecik-kecik dulu, kalau budak-budak naik ke pentas untuk mengambil hadiah, ibu bapa bagi tepukan yang cukup kuat sebagai tanda pujian dan bangga.

Tapi zaman sekarang ni, tepukan yang diberikan amatlah perlahan kedengaran. Macam tepuk tak tepuk aje. Padahal untuk anak sendiri jugak. Pida tak tau kenapa jadi begini, atau mungkin hanya perasaan Pida sahaja. Pida masa nama anak-anak Pida disebut, Pida tepuk kuat-kuat siap jerit booo lagi. Eh, booo pulak. Jerit yeayyyy lagi. Barulah budak tu rasa seronok.

Oh ye, ada satu peristiwa yang menyentuh hati Pida. Pada masa tu Pida keluar sekejap untuk menyusukan baby Muhaimin di dalam kereta. Kereta terletak di luar pagar sekolah. Sesudah selesai, dan semasa hendak keluar dari kereta, tiba-tiba Pida ternampak seorang budak lelaki sedang menunggu seseorang. Raut wajahnya resah dan tidak gembira.

Pida masuk semula ke dalam pagar sekolah dan mendapatkan budak lelaki tersebut. Pida tanya dia, "Adik tunggu siapa?"

Tiba-tiba budak itu terus menangis teresak-esak. Pida jadi sayu. Pida tanya lagi, adik tunggu siapa? Dia menjawab, tunggu ayah.

"Ayah tak datang ke?" Pida bertanya lagi dengan lembut. Kasihannya melihat dia menangis. Menangis kerana menunggu ayah yang belum tiba untuk melihatnya naik ke pentas mengambil hadiah.

Budak itu baru darjah satu. Sebaya Aqil. Aqil kenal dia, cuma tidak sekelas. Dia kata ayah janji nak datang, tapi tak datang-datang. Ibu tak datang sebab ibu kerja. Sedihnya... kalaulah terjadi pada anak Pida, memang kesian sangat.

Pida pujuk dia supaya tidak menangis. Kejap lagi ayah datang. Ayah pasti datang tengok adik ambik hadiah... berkali-kali Pida pujuk. Terserlah wajah kecewanya. Memang kesian sangat.

Pida membawanya kepada cikgu yang bertugas. Pida terangkan bahawa adik ini menangis kerana menunggu ayahnya yang tidak muncul-muncul. Hampa rasanya kerana ayah yang dinanti tidak kelihatan untuk melihatnya mengambil hadiah kecemerlangan.

Cikgu membawanya kepada rakan-rakan lain yang sedang beratur menunggu giliran mengambil hadiah. Pida sempat menyaksikan dia naik ke pentas mengambil hadiah. Pida perhatikan juga di sekeliling pentas, kalau-kalau ada ayahnya mengambil gambar, tetapi dukacita ayahnya tidak juga kelihatan. Selepas itu Pida tak tahu apa yang berlaku kepada adik kecil itu. Mungkin ayahnya datang lewat. Mungkin ayahnya ada ketika dia berada di pentas, cuma ayahnya tidak mengambil gambar. Mungkin...

Tapi insiden itu menyedarkan Pida betapa pentingnya janji yang perlu ditepati terutama jika berjanji dengan anak-anak. Bagi anak-anak, hari penyampaian hadiah yang melibatkan dirinya adalah saat yang sangat bermakna kerana mereka rasa itulah kejayaan yang mereka lakar di sekolah. Hampalah mereka jika saat bermakna itu tidak disaksikan oleh mak dan ayah.

Alhamdulillah, setakat ini Pida berpeluang menyaksikan anak-anak naik ke pentas setiap tahun. Pida akan berusaha untuk cuba untuk menghadiri majlis anak-anak.

Semoga kecemerlangan anak-anak akan menjadi pendorong untuk mereka terus berjaya. Mak doakan yang terbaik untuk anak-anak mak - Rania, Aqil, Sufi dan Muhaimin.



Senyuman emak, adik, adik dan adik meraikan kejayaan kakak. Adik yang paling kecik tu kejenya asyik tunduk aje...Malu la tu nak tengok kamera.


Monday, September 29, 2014

Manjakani penawar eczema

Salam manjakani,

Beberapa minggu selepas Baby Muhaimin dilahirkan, Pida dapati ada tanda-tanda eczema di pipi gebuzznya itu.

Mula-mula sikit, lama-lama jadi bukit. Tapi syukurlah sebab ruam ini hanya kena di pipi saja. Kalau tak, kesian anak aku.

Untuk merawat ruam eczema ini, Pida menggunakan krim Ezerra yang macam Pida sapukan pada Sufi dulu. Tapi kali ini Pida bertukar kepada Ezerra Plus.


Krim Ezerra Plus ini boleh didapati dengan mudah di klinik atau farmasi. Kalau tanya dengan kakak jual kuih bahulu pun dia akan suruh kau dapatkan di klinik takpun farmasi. Harganya RM35. 


Krim Ezerra Plus tu bagus juga untuk mengurangkan eczema walaupun tidak sembuh sepenuhnya. At least ia meredakan ruam-ruam di pipi tu daripada terus membiak. Tengok tu, nampak eczema di pipi Muhaimin kan?

Pada suatu hari, (dah masuk cerita lain pulak dah) Pida beli pil jamu manjakani. Tujuannya adalah untuk menyambung pengambilan jamu selepas habis berpantang. Pida nak memastikan tubuh badan Pida betul-betul sihat dan bertenaga sebelum naik kerja.


Pil manjakani asli ni memang benar-benar asli katanya. Tiada campuran herba dan bahan lain selain manjakani seorang sahaja. Diambil 2 biji setiap malam sebelum tidur.

Yang bestnya dan yang Pida tak sangka, pil manjakani ini rupanya berupaya menyembuhkan eczema. Pida dapati selepas dua hari mengambil pil ini (bersamaan 4 biji), eczema di pipi Muhaimin telah sembuh dan hilang.

Pida bersyukur dan gembira dengan kesan positif ini. Walaupun Muhaimin hanya mendapat khasiat manjakani daripada susu badan sahaja, namun kesan penyembuhan ke atas eczemanya amat menakjubkan!

Terbuktilah bahawa tumbuh-tumbuhan herba warisan nenek moyang kita sememangnya mempunyai nilai perubatan yang sangat tinggi. Sudahlah semulajadi, berkesan dan selamat pula tu. Gerenti tiada bahan kimia yang memudaratkan.


Pipi kembali gebuzz.

Sunday, September 21, 2014

Si Rama-Rama

Salam rama-rama,

Memandangkan Pida mempunyai begitu banyak masa terluang pada waktu cuti bersalin ini, Pida boleh melakukan banyak perkara sebenarnya.

Namun tidaklah sampai melakukan aktiviti-aktiviti lasak seperti menggali kubur mahupun mengangkat bongkah batu-bata. Sebaliknya Pida hanya membuat kerja-kerja ringan yang tidak banyak mengeluarkan peluh seperti shopping online.


Iklan-iklan promosi macam inilah yang membuatkan jiwa dan poket Pida goyah. Oh I love katalog!

Macam-macam benda yang Pida usha. Bukan beli pun, dapat cuci mata tengok katalog pun dah macam satu kepuasan yang tak terhingga bagi Pida.

Tapi usha punya usha, ada satu barang yang Pida beli. Barang baeekk punya!


U're most welcome. Hehehe.

Nak tau apa yang Pida beli?


Rama-rama!

Ye, Pida beli handphone Nokia 8250 Butterfly. Harga dia taklah mahal sangat, RM69 satu set. Dan sudah tentulah bukan yang original.

Dulu Nokia Butterfly ni sangat popular sekitar tahun 2001 gitu. Harganya pun sangat mahal, seribu lebih. Hanya orang-orang yang banyak duit aje yang mampu pakai henfon Butterfly ni. Siapa yang pakai Butterfly ni memang kellass ko jah.

Tapi biasalah, lama-lama model ni pupus jua akhirnya dek kebanjiran henfon-henfon lain yang lebih canggih seperti smartphone sekarang. Butterfly ni dah kira klasik dah. Sebab tu bila ia dikeluarkan semula (walaupun bukan ori), Pida rasa terpanggil nak beli.



Inilah Butterfly yang telah hinggap ke Pida. Rasa macam kembali ke istana zaman silam tatkala Pida memegangnya. Terasa bagai berada pada hari semalam.

Tapi cuma henfon kosong. Nak kena beli simkad la pulak. Takpe.... Senang je tu.... Kita glo-kan aje...


Sekarang ni tengah musim kegilaan Altel kan? Pida pun tak ketinggalan nak memakai nombor Altel. Hidup Tan Sri Syed Mokhtar al-Bukhary! 


Altel prepaid - So far so very the good. Coverage luas dan jelas. Kalau Maxis di kawasan rumah Pida memang tak guna. Langsung tak dapat liputan. Padahal kat bandar tu. Celcom pun kadang-kadang ke laut jugak.


Data internet Altel kat kampung Pida yang banyak pokok-pokok pun sangat jelas. Boleh bertenet di kampung sekarang dengan Altel. Percayalah cakap Pida. Murah pun murah. Starter pack RM7, isi dia RM5.

Jadi sekarang Pida dah ada dua henfon. Yahuuu!!!! (Giler simple entry ni)


Friday, September 19, 2014

Tugu Negara - Terima kasih pahlawanku

Salam pahlawan,

Bersempena dengan cuti sekolah dan bersempena juga Pida masih dalam cuti bersalin, suami membawa Pida dan anak-anak berjalan-jalan. Nak tau kitorang pergi mana? Alah... soalan bocor. Baca tajuk dah tau. Yeszaaaa...! Kitorang melawat Tugu Negara.

Kali terakhir Pida mengunjungi Tugu Negara ialah kira-kira 20 tahun yang lalu. Kalau tak silap ikut rombongan sekolah.

Yelah, zaman 90-an dulu kalau sekolah buat rombongan ke Kuala Lumpur, mesti tempat lawatannya ialah Tugu Negara, Zoo Negara, Muzium Negara, Taman Burung, Taman Rama-Rama, Tasik Titiwangsa, Masjid Negara, Bangunan Dayabumi, kilang colgate, bangunan KTM dan RTM Angkasapuri. Itulah tarikan KL pada masa tu.

Budak-budak zaman sekarang? Perghhh... KLCC, Aquaria, Menara KL, Putrajaya, Petrosains, Kidszania dan Pavi. Kau ado?

Baiklah, kita cerita pasal lawatan Pida bersama anak-anak ke Tugu Negara. Si Rania dan Aqil yang sibuk sangat nak pergi. Mana taknya, setiap hari asyik tengok kat tv pasal Tugu Negara. Kan bulan ni Bulan Kemerdekaan, jadi paparan di tv banyak la yang berunsur patriotik.



Bergambar dahulu. Orang pun tak berapa ramai. Apa barang pegi Tugu Negara zaman sekarang ni kan? Anak-anak aku je yang sibuk nak pergi.

Sebaik melangkah kaki ke kawasan tugu, pengunjung akan melihat tugu peringatan ini terlebih dahulu. 

Bergambar lagi. Jangan maraaaaa!!!

Tugu peringatan yang dibina untuk mengenang jasa dan pengorbanan pahlawan-pahlawan negara dari zaman perang dunia kedua sehingga ke era zaman darurat.




Mak!!! Dah nampak itu tugu! Jerit Aqil sambil menangis terharu.

Mak! Kenapa ini tugu tak sama macam yang dalam tv? Tanya Rania sambil menangis teresak-esak. Cuba ko jalan ke depan sikit! Pida menjawab sambil berjoget.

Yeehaa! Sama la mak macam kat dalam tv tu! Anak-anak bersorak keriangan. Besarnya! Tingginya! Tu siapa yang mati tu mak? Itulah pahlawan dan perajurit tanah air yang berkorban nyawa demi mempertahankan negara. Kau mampu? Tanya Pida sambil berjoget. Mampu! Jawab mereka serentak sambil menangis terharu.

Nak jugak! Jerit mereka. Nak apa? Jerit Pida pula. Nak jadi tugu!

Bergambar kat tugu sudahlah... tak payahlah nak jadi tugu, ujar Pida sambil berjoget.

Tugu Negara dari pandangan sisi. Kau tak pernah tengok kan? Biasa tengok dari depan je kan? Yang dari belakang tadi pun kau tak pernah tengok kan? Takpe, Pida dah ambik gambar biar kau dapat tengok.

Oooo... Tugu Negara rupa-rupanya dikelilingi oleh kolam siap ada air pancut. Ooooo baru tau.... kata sesetengah pembaca blog Ohpida.

Mak, apakah sejarah di sebalik penubuhan Tugu Negara? Tanya Sufi dengan terharu. Sejarah? Err... eh adik ko nak menyusu la.



Mak, boringlah kat Tugu Negara ni. Jom balik.

Tak sampai setengah jam di sana, kitorang pun balik.


Terima kasih pahlawanku!

Wednesday, September 17, 2014

Menu berpantang yang nyam nyam ala kanyam!

Salam menu,

Sepanjang tempoh berpantang selama 44 hari, Pida cukup bertuah kerana suami Pida begitu menjaga aspek pemakanan Pida. Setiap hari Pida akan menikmati makanan yang sangat sedap dan yang penting, berkhasiat.

Nak tau siapa yang memasak untuk Pida? Weng weng weng! Husband I la!


Untung la...


Suami Pida memang pandai jaga makan minum bini dia semasa dalam waktu berpantang. Semasa di hospital, Pida makan nasi tomato dengan ayam masak merah yang agak pedas, siap dengan sayur timun dan nanas; tapi dengan suami menu harian Pida memang dijaga rapi.

Subuh-subuh sebelum waktu subuh suami dah bangun untuk masak. Pida pun dah bangun waktu tu sebab baby pun bangun awal. Pida usha je dia masak kat dapur. Wow, memang pantas dan terror laki aku masak.


Pagi-pagi sebelum pukul 10, Pida dah makan nasi. Nasi panas sepinggan penuh dengan lauk sedap yang berganti-ganti setiap hari. Nak tau apa menu Pida?

Menu biasa ialah ayam masak halia. Pida suka kalau taruk halia banyak-banyak sebab Pida sukakan halia. Lagipun halia menjadikan badan Pida hangat dan berpeluh, menjadikan Pida sihat, Alhamdulillah... 

Ikan masak singgang. Yang ni banyak kunyit. Pun bagus untuk kesihatan wanita lepas bersalin. Kunyit berupaya menyembuhkan luka dalaman. Anak-anak Pida pun suka sangat ikan singgang sampai dihirup-hirup kuahnya.

Ikan siakap kegemaranku dimasak kukus campur kicap. Dengan adunan halia, bawang, serai dan tomato.... makan dengan nasi panas, perghhhh sedap! Memang sedap dan membangkitkan selera wanita berpantang. Ceh!

Dan ini menu yang paling Pida gemari - ayam masak asam tomato. Sedap sangat. Sampaikan setiap hari Pida minta suami masakkan menu ni. Anak-anak pun suka makan. Dapat hirup kuah pun jadilah. 

Itu adalah antara lauk yang biasa suami masakkan untuk Pida. Alhamdulillah Pida bersyukur kerana suami Pida sudi masakkan untuk bini dia yang asyik lapar memanjang ni. Yelah, orang menyusukan ni memang cepat berasa lapar, kena pulak baby kuat menyusu. Memang asyik nak mengunyah aje rasanya.

Dalam kesempatan ini, Pida ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada suami Pida yang sudi masak untuk Pida sepanjang 44 hari Pida berpantang. Terima kasih abang. Memang sedap masakan abang. Cayalah!

Pida mengaku berpantang kali ini Pida agak renyah sebab banyak menggunakan fizikal untuk melakukan kerja-kerja rumah seperti melipat kain dan membasuh pinggan. Sebab itu Pida betul-betul menjaga pemakanan supaya Pida sentiasa bertenaga.

Pida juga mengambil supplement Obimin Pluz sejak mengandung sehingga selepas habis berpantang. Supplement ini memberikan tenaga kepada Pida. Hasilnya, sepanjang tempoh berpantang, Pida tak pernah rasa letih atau tidur pada waktu siang (pantang nenek Pida tidur siang) walaupun tidur malam tidak terlalu nyenyak (biasalah ada baby).

Jadi, adalah penting untuk wanita berpantang menjaga pemakanan dan ambillah supplement seperti multivitamin. Gizi seimbang akan menghasilkan susu yang berkualiti. Wanita berpantang perlu sentiasa sihat dan bertenaga kerana dialah yang akan menjaga baby. Lagipun, kalau badan tak sihat sewaktu berpantang, kita akan kehilangan mood dan itu yang akan menyebabkan fikiran kita kusut.

Alhamdulillah tempoh berpantang telah Pida lalui dengan selamat dan penuh kegembiraan. Pida bersyukur kerana sepanjang tempoh 44 hari tersebut, Pida tidak mengalami masalah kesihatan seperti demam dan batuk, dan baby juga sihat. Syukur kerana segalanya telah selamat.



Baby pun tidur nyenyak kalau kenyang menyusu. Nak baby kenyang menyusu, si ibu kena makan makanan yang berkhasiat dan seimbang dan kena banyak minum air suam.

Kepada yang sedang berpantang, selamat berpantang!



Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...