Showing posts with label berpantang. Show all posts
Showing posts with label berpantang. Show all posts

Wednesday, September 17, 2014

Menu berpantang yang nyam nyam ala kanyam!

Salam menu,

Sepanjang tempoh berpantang selama 44 hari, Pida cukup bertuah kerana suami Pida begitu menjaga aspek pemakanan Pida. Setiap hari Pida akan menikmati makanan yang sangat sedap dan yang penting, berkhasiat.

Nak tau siapa yang memasak untuk Pida? Weng weng weng! Husband I la!


Untung la...


Suami Pida memang pandai jaga makan minum bini dia semasa dalam waktu berpantang. Semasa di hospital, Pida makan nasi tomato dengan ayam masak merah yang agak pedas, siap dengan sayur timun dan nanas; tapi dengan suami menu harian Pida memang dijaga rapi.

Subuh-subuh sebelum waktu subuh suami dah bangun untuk masak. Pida pun dah bangun waktu tu sebab baby pun bangun awal. Pida usha je dia masak kat dapur. Wow, memang pantas dan terror laki aku masak.


Pagi-pagi sebelum pukul 10, Pida dah makan nasi. Nasi panas sepinggan penuh dengan lauk sedap yang berganti-ganti setiap hari. Nak tau apa menu Pida?

Menu biasa ialah ayam masak halia. Pida suka kalau taruk halia banyak-banyak sebab Pida sukakan halia. Lagipun halia menjadikan badan Pida hangat dan berpeluh, menjadikan Pida sihat, Alhamdulillah... 

Ikan masak singgang. Yang ni banyak kunyit. Pun bagus untuk kesihatan wanita lepas bersalin. Kunyit berupaya menyembuhkan luka dalaman. Anak-anak Pida pun suka sangat ikan singgang sampai dihirup-hirup kuahnya.

Ikan siakap kegemaranku dimasak kukus campur kicap. Dengan adunan halia, bawang, serai dan tomato.... makan dengan nasi panas, perghhhh sedap! Memang sedap dan membangkitkan selera wanita berpantang. Ceh!

Dan ini menu yang paling Pida gemari - ayam masak asam tomato. Sedap sangat. Sampaikan setiap hari Pida minta suami masakkan menu ni. Anak-anak pun suka makan. Dapat hirup kuah pun jadilah. 

Itu adalah antara lauk yang biasa suami masakkan untuk Pida. Alhamdulillah Pida bersyukur kerana suami Pida sudi masakkan untuk bini dia yang asyik lapar memanjang ni. Yelah, orang menyusukan ni memang cepat berasa lapar, kena pulak baby kuat menyusu. Memang asyik nak mengunyah aje rasanya.

Dalam kesempatan ini, Pida ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada suami Pida yang sudi masak untuk Pida sepanjang 44 hari Pida berpantang. Terima kasih abang. Memang sedap masakan abang. Cayalah!

Pida mengaku berpantang kali ini Pida agak renyah sebab banyak menggunakan fizikal untuk melakukan kerja-kerja rumah seperti melipat kain dan membasuh pinggan. Sebab itu Pida betul-betul menjaga pemakanan supaya Pida sentiasa bertenaga.

Pida juga mengambil supplement Obimin Pluz sejak mengandung sehingga selepas habis berpantang. Supplement ini memberikan tenaga kepada Pida. Hasilnya, sepanjang tempoh berpantang, Pida tak pernah rasa letih atau tidur pada waktu siang (pantang nenek Pida tidur siang) walaupun tidur malam tidak terlalu nyenyak (biasalah ada baby).

Jadi, adalah penting untuk wanita berpantang menjaga pemakanan dan ambillah supplement seperti multivitamin. Gizi seimbang akan menghasilkan susu yang berkualiti. Wanita berpantang perlu sentiasa sihat dan bertenaga kerana dialah yang akan menjaga baby. Lagipun, kalau badan tak sihat sewaktu berpantang, kita akan kehilangan mood dan itu yang akan menyebabkan fikiran kita kusut.

Alhamdulillah tempoh berpantang telah Pida lalui dengan selamat dan penuh kegembiraan. Pida bersyukur kerana sepanjang tempoh 44 hari tersebut, Pida tidak mengalami masalah kesihatan seperti demam dan batuk, dan baby juga sihat. Syukur kerana segalanya telah selamat.



Baby pun tidur nyenyak kalau kenyang menyusu. Nak baby kenyang menyusu, si ibu kena makan makanan yang berkhasiat dan seimbang dan kena banyak minum air suam.

Kepada yang sedang berpantang, selamat berpantang!



Friday, September 12, 2014

Cerita berpantang : Set Bersalin B'hidan

Salam berpantang,

Alhamdulillah, Pida dah selamat dan selesai menjalani rutin berpantang selama 44 hari selepas melahirkan Baby Muhaimin pada 22 Julai lalu.

Setelah 4 tahun tidak berpantang, pada tahun ini telah ditakdirkan Pida mendapat rezeki seorang lagi cahaya mata iaitu cahaya mata keempat. Maka secara automatiknya Pida kena berpantang sekali lagi.

Ikutkan hati memang malas, siapa suka berpantang kan, kena control ayu memanjang... tak koser mak noks. Tapi demi kesihatan dan kesejahteraan diri untuk masa hadapan, kenalah patuhi amalan berpantang. Alaa bukan lama pun, 44 hari je. (Lama dowh).

Pida taknak cerita panjang-panjang tentang amalan berpantang yang Pida harungi, kau boleh baca entry Pida yang top ten tu Cerita Berpantang. Sama je kisahnya, apa yang Pida tulis dalam entry tu, itu jugalah yang Pida amalkan semasa berpantang kali ini kecuali tidur sendal kaki dengan batu giling tu aje Pida tak buat.

Kali ini Pida nak berkongsi pengalaman Pida berpantang dengan menggunakan set bersalin daripada TruBellai iaitu B'hidan.




Inilah set bersalin B'hidan keluaran TruBellai. Unik dan cantik kan peti harta karun ini? Kaler purple lagi kau. Harga satu set RM350. Selalunya TruBellai buat promosi dengan diskaun 30%.


Peti ini bukan sebarang peti. Di dalamnya mengandungi item-item set bersalin yang istimewa untuk wanita berpantang. Jom kita tengok apa isinya.


Mula-mula sekali ada buku panduan penggunaan barangan set bersalin B'hidan ini. Buku ini comel sangat, bentuk 'B". Bukan setakat panduan penggunaan barangan sahaja, malahan juga panduan untuk penjagaan bayi dan resepi-resepi yang sesuai untuk wanita berpantang.


Ini ialah losyen panas. Pida sapukan di perut sebelum memakai bengkung. Rasanya panas dan berangin. Berbau harum dan segar, wangian limau. 


Ini ialah ekstrak kurma dan gamat. Tujuannya adalah untuk mempercepatkan penyembuhan luka dalaman dan menjana tenaga wanita berpantang. Pida suka makan benda alah ni sebab ia sedap. Diminum bermula hari pertama selepas bersalin. 


Selain ekstrak kurma dan gamat ini, ada juga sebotol lagi emulsion iaitu kacip fatimah. Fungsinya adalah untuk membantu penguncupan otot rahim, menyembuhkan luka dan memberikan tenaga. Emulsion kacip fatimah ini diminum dari hari ke-30 hingga hari ke-44.


Ini ialah bahan untuk bertangas. Cara penyediaannya mudah sahaja. Jerang sepeket bahan tangas di dalam periuk sehingga mendidih dan cepat-cepat bertangas sementara masih panas dan wapnya banyak. Tapi jangan lama sangat, kang jadi pau apam kang.

Lulur ini adalah kegemaran Pida. Baunya sangat wangi. Pida tak gunakan sebelum mandi seperti yang disyorkan, sebaliknya Pida lulur ke tangan, kaki dan muka selepas mandi dan biarkan ia kering seharian. Macam pakai param la, tapi ia tak comot kerana warnanya natural. Lulur ini menjadikan badan kita hangat. Muka asyik berpeluh aje. Memang agak tak selesa tapi kesannya sangat menggembirakan. Kulit jadi licin dan cerah. Sampai suami pun puji, "Awak memang cantik dari kecik ke?"

Bahan yang paling diperlukan ketika Pida berpantang - pilis. Pida memang suka pakai pilis sebab Pida dapat rasa dahi  berdenyut-denyut macam menarik angin meroyan gitu. Kepala pun tak pening dan mata pun tak rabun. Pilis B'hidan ini segera dan siap untuk disapu. Cuma pilis B'hidan ini agak peroi dan mudah tanggal dan berterabur. Kena campur air sikit supaya lebih likat agar mudah melekat di dahi. Tapi tetap peroi. Daripada pengalaman Pida, pilis terbaik ialah pilis Air Manchur, memang susah giler nak tanggal. Selain Air Manchur, pilis yang best ialah pilis Mak Dara.

Tengok tu... baru pakai berapa minit dah tanggal-tanggal pilis aku. Bangun pagi asyik kena kutip serbuk pilis yang berterabur di atas katil.

Minuman herba atau jamu ini mengandungi ramuan akar larak, akar angin, akar bedil lalat, akar selada, hempedu bumi, akar siak dan akar tengkuk biawak. Dah namanya akar kayu kan... kaubayangkan je la pahitnya. Sebab tu aku cuma minum 4 kali aje hua hua hua. Tak koser mak noks.


Sebenarnya set bersalin B'hidan ni ada korset atau bengkung tetapi ia dijual berasingan. Pida tak beli sebab Pida dah ada bengkung. Pernah juga TruBellai buat promosi percuma korset dengan pembelian set B'hidan ini.





Begitulah amalan berpantang Pida kali ini. Masa Sufi dulu Pida guna set bersalin Mak Dara, kali ini memang sengaja nak cuba yang lain. Akhirnya bertemu jodoh dengan B'hidan.

Pada Pida, set bersalin B'hidan ni boleh dikatakan menepati keperluan dan pencarian set bersalin yang Pida inginkan iaitu kombinasi tradisional (pilis dan jamu) dengan amalan moden. Tak semua set bersalin menawarkan pilis dan jamu akar kayu (walaupun aku tak minum sangat).

Pida tanpa ragu-ragu mengesyorkan kepada kau yang nak cari set bersalin. Berbaloi menggunakan B'hidan kerana semua itemnya memang kita perlukan. Tinggal nak pakai atau tak aje.

Jus gamat dan kacip fatimah tu confirm kita minum habis, pilis memang kita pakai walaupun tak habis, lulur memang setiap hari pakai, jamu minum la jugak, losyen panas memang confirm habis, bertangas memang amalan selepas mandi. So memang berbaloi la. Takkan ada item yang akan kita tinggalkan.

Dan Alhamdulillah, berkat pengambilan yang teratur dan berdisiplin (berdisiplin la sangat!), Pida dapat memiliki badan yang sihat dan tiada komplikasi semasa dan selepas berpantang. 

Walaupun ketika dalam pantang tu Pida renyah jugak la, maklum la berpantang sendiri, ada anak-anak sekolah pulak tu, jadi sedikit-sebanyak aku buat jugak kerja-kerja rumah seperti lipat kain, basuh pinggan dan kemas rumah sikit-sikit; namun Pida tidak bentan dan tidak gila meroyan. Alhamdulillah. 

Lagipun Pida makan vitamin Obimin Pluz jugak sebagai supplement. Dan sokongan suami yang sangat kuat. Terima kasih sayang. Entry seterusnya Pida akan ceritakan tentang penjagaan makanan sewaktu berpantang ye.

Yahoo! Dah habis pantang!!!






Friday, January 27, 2012

Cerita Berpantang

Salam berpantang,

Tak tau la kenapa kali ni Pida rasa nak tulis pasal berpantang. Kali terakhir Pida berpantang ialah kira-kira setahun setengah yang lalu. Rasa macam baru semalam je Pida mula berpantang.

Masuk ni dah tiga kali Pida berpantang. Berpantang sewaktu anak pertama adalah yang paling rigid. Kenapa? Sebab pada waktu itu Pida dijaga oleh nenek Pida. Nenek Pida adalah orang Jawa zaman dulu yang amat tegas dalam bab berpantang selepas bersalin ni.


Semasa Rania yang sulung lahir, Pida berpantang bersama nenek.

Berpantang anak kedua (Aqil), Pida masih berpantang dengan nenek walaupun tidak sepenuhnya.

Berpantang anak ketiga (Sufi), Pida duduk rumah sendiri aje. Dah pandai kan... duduk la berpantang sendiri tanpa orang tua. Mak mentua jaga 2 minggu je. Keburukan berpantang sendiri ni, kita akan jadi sedikit renyah sebab tak dapat tidak, kita bangun buat kerja jugak.


Hari pertama selepas balik dari spital, nenek dah sediakan jus istimewa untuk Pida. Jus pati kunyit. Sedap? Hotak kau sedap. Air bandung lagi sedap. Nenek kata jus pati kunyit boleh mengecutkan rahim dengan cepat. Ye la tu nek...

Mula-mula Pida takmo. Pida cakap "Nehi! Nehi!" Tapi nenek balas balik "Zindegi tum mere pyar." Pida pun minum... tapi Pida minum ngadap mangkuk jamban sebab takut termuntah. Memang Pida muntah, tapi bukan sebab pati kunyit tu, tapi sebab Pida terpandang makhluk cumil ketul-ketul yang Pida lupa nak flush lepas berak tadi.

Tapi memang betul la... sebaik sahaja Pida teguk pati kunyit tu, rahim terus kecut! Hihi...

Pengalaman berpantang dengan nenek adalah peluang yang ingin dilepaskan oleh semua orang. Nenek Pida memang jaki bebenor dengan Pida masa berpantang ni. Tak boleh berjalan laju sikit, nenek sound baiikkk punya "Nanti kalau koyak jahitan tu ko merasalah kena jahit lagi!" Ok, Pida jalan slow giler, tetiba nampak siput babi selamber je motong kat tepi.

Sebab itulah nenek sentiasa ingatkan Pida agar duduk sahaja di rumah sepanjang tempoh berpantang. Dan seriusly, Pida memang tak keluar rumah langsung sepanjang 44 hari tu kecuali untuk pergi ke klinik bawak baby periksa sakit kuning.

Pida hairan juga kerana ramai ibu berpantang sekarang berani keluar rumah membawa baby yang masih dalam hari ke tempat-tempat khalayak. Walaupun ibu itu memakai baju sejuk dan lengkap berstokin, namun sebenarnya itu tak elok untuk kesihatan ibu dan bayi kerana perubahan suasana di luar yang mungkin terlalu sejuk atau panas.

Eh, nak duduk pun ada cara tau. Kau ingat orang berpantang ni boleh duduk terkangkang macam yang kau selalu buat tu? Nehi, nehi.... Cara duduk orang berpantang ialah 1) melunjurkan kaki dan rapat  2) duduk seperti duduk antara dua sujud.

Dua cara tu aje. Tapi kalau duduk atas kerusi tu duduk la macam biasa. Jangan pulak kau berlunjur atas kerusi, nampak macam bongok pulak. Jangan pandai-pandai nak duduk bersila ye. Kang rabak aku tak tau.

Nenek juga bagi petua agar luka jahitan cepat kering. Ambik buah manjakani, yang buah punya, bukan serbuk. Pastu basahkan biji manjakani tu dan gosokkan biji tu di belakang pasu (pasu bunga) sampai keluar pati dia.

Pastu kauambik pati manjakani kat atas pasu tu dan kausapukan kat luka jahitan tu. Memang terbukti cepat kering dan sembuh. Jahitan ni jangan terlalu kerap kena air (jangan biarkan basah dan lembap). Sebab tu lepas kencing kau kena lap kering-kering. Jangan saja-saja biarkan benda tu berair, nanti lambat baik, jadi bernanah pulak. Eeeee....

Semasa menjalani proses berpantang dengan nenek, waktu makan adalah yang paling azab. Hari-hari nenek masakkan lauk asam, asam, asam. Singgang, singgang, singgang. Bening, bening, bening. Kasi kecut, kata nenek. Pukul 7.30 pagi nenek dah hidangkan nasi panas, sepinggan penuh pulak tu. Nenek cakap kena habiskan nasik tu, jangan tambah. Kalau tak abis, tinggalkan. Tapi jangan tambah. "Kenapa nek?" "Itu petua."

Jangan tidur waktu pagi, kata nenek. Ngantuklah nek... Jangan! Nanti badan letih. Pulak...

Time tidur malam lagi azab. Baring kena lurus, tak boleh langsung mengiring ke kiri atau ke kanan. Nanti peranakan beralih, bagitau nenek. Ok, yang ni Pida ikut sebab takut peranakan beralih ke telinga.

Semasa baring dengan lurus tu, nenek tahan tapak kaki Pida dengan batu giling. Percaya tak? Batu giling buat sendal kaki aku! Serius Pida tak boleh bergerak langsung. Dah macam mumia pun ada juga time tu cuma tak berbalut je. Nenek cakap tujuannya supaya Pida tak bergerak, jadi peranakan tak bergerak. Pida cuba jugak tendang batu giling tu, tapi berat giler kau. Kalau ngempap anak kucing harus mati.

Tidur malam tak pernah lena...

Pagi-pagi dah kena bangun awal. Mandi rempah. Ini best. Daun-daun tu nenek carikan dari kampung, ada juga yang didapati dari kampung mertua Pida. Antara daun herba yang digunakan ialah daun serai wangi, daun sirih, halia bara, daun pandan, daun jambu batu, daun kunyit, daun mengkudu dan daun senduduk. Nenek akan merebus daun-daun ni dan air rebusan tu dijadikan air mandian. Waw! Wangi dan segar.

Selepas siap mandi, Pida kena berdiang atau bertangas. Nenek sediakan bahan-bahan bertangas tu semasa Pida sedang mandi. Masa tulah nenek hidupkan kemenyan arab dalam bekas tembikar. Bila dah berasap-asap kemenyan tu, Pida pun bertangas. Perghh... panas je rasa. Nenek cakap biar cepat kering. Bertangas ni best, badan kita rasa kuat dan sihat.

Selesai bertangas, nenek suruh Pida sapukan param di seluruh badan. Kau tau ke param tu apa? Macam mana nak cakap ek? Dia macam bedak sejuk, tapi saiz dia besar macam syiling 50 sen. Dibuat daripada beras. Wangi. Badan jadi putih bercapok-capok bila param tu kering. Param ni tujuannya untuk memanaskan badan.

Maknanya, sampai petang la badan Pida bersalut param. Kata nenek lagi, tujuan pakai param adalah untuk menjadikan kita nampak hodoh di mata suami supaya suami takde nafsu kat kita. Hek elleh... nenek ni kelakarlah.

Bukan setakat param yang menghodohkan Pida, pilis juga menambah lagi kehantuan wajah Pida yang memang hodoh ni. Orang kata double hodoh la. Takpe, jangan bodoh. Pilis dipakai di atas dahi; dari ufuk kiri ke ufuk kanan, bentuk pelangi gitu. Tujuan memakai pilis adalah untuk membuang angin di bahagian kepala dan mengelakkan rasa pening seterusnya mengelakkan rabun.

Nenek juga selalu ingatkan agar jaga mata sepanjang tempoh berpantang. Nenek tak kasi tengok tv lama-lama. Untuk 2 anak pertama tu memang Pida ikut petua tu. Alhamdulillah mata Pida tak rosak. Tetapi semasa sedang berpantang anak ketiga, Pida kerap menengok komputer.

Betul la kata nenek, kena jaga mata semasa berpantang. Akibat terlalu kerap menggunakan komputer ketika dalam tempoh berpantang, Pida akhirnya menjadi rabun. Akibatnya juga, Pida terpaksa memakai cermin mata. Tapi sekarang dah kurang sikit rabun, jadi Pida dah tak pakai spek lagi. 

Dari segi pemakanan, nenek sangat tegas. Pida hanya boleh makan yang rebus-rebus dan yang masam-masam je. Yang goreng-goreng, yang sejuk-sejuk, yang pedas-pedas tak boleh.

Minum pulak tak boleh teguk selamber macam orang kebulur, kena teguk perlahan-lahan supaya perut tak buncit. Sebab tu kalau Pida nak minum, Pida tengok kiri kanan, bila line clear (nenek takde - tengah tengok telenovela) Pida pun teguk pakai botol je. Haha dasar kurang ajar.

Bercerita tentang perut, Pida amat menjaga perut supaya tidak buncit. Oleh itu, nenek Pida suruh sapu kapur sirih campur limau nipis kat perut bagi mengelakkan Pida menjadi Awang Boncit. Selepas itu, Pida pakai barut diikuti oleh bengkung. Bengkung tradisional yang berjela-jela tu la yang Pida pakai. Dia punya panjang boleh buat tarian naga.

Cara memintal dan mengikat bengkung ni ada tekniknya. Kena mulakan dari bawah pinggul supaya pinggul tak menggeleber dan supaya kita boleh berdiri sama tinggi dan duduk sama rendah dengan Inul. Cara menyimpulnya pun perlulah kuat dan letakkan kain bengkung yang disimpul tadi betul-betul di atas perut sebagai alat penahan supaya tidak buncit.

Sewaktu berpantang, ada beberapa perkara yang selalu nenek ingatkan. Jaga ibu jari kaki! Jangan terhantuk ibu jari kaki, nanti bentan! Oleh itu tuan-tuan dan puan-puan, Pida sentiasa memakai stokin tebal untuk mengelakkan masuk angin dan untuk menjaga ibu jari kaki daripada dihantukkan oleh sesiapa.

Apa lagi yang pantang dilakukan semasa berpantang? Iaitu jangan sesekali mengangkat-angkat barang terutama yang berat. Waktu berpantang adalah waktu untuk memanjakan diri. Serius. Tak payah buat apa-apa. Kerja orang berpantang ni cuma makan dan menyusukan anak aje.

Jangan la mengada-ngada tunjuk rajin nak masak sendiri la, basuh pinggan la (tak boleh kena air sangat nanti masuk angin), nak basuh baju la (paling bahaya menarik baju dari mesin basuh kerana ia akan menyebabkan bahagian perut, rahim dan peranakan yang masih lemah akan tegang dan boleh jadi bentan!)

Orang berpantang duduk diam-diam! Begitulah kata nenek.
      
Oh ye, ada satu lagi yang unik. Rambut kena ikat ketat-ketat, sanggul tinggi-tinggi supaya angin tak masuk kepala, supaya kepala tidak pening. Jadi Pida pun ikatlah rambut ketat-ketat sampai jadi tegang kulit muka tak boleh buat ekspresi apa waima senyum sekalipun pada suami akibat terlalu ketat dan tinggi. Tetiba suami Pida kata "Cantiklah ayang, macam Noor Kumalasari." Noor Kumalasari kepala angguk kau.

Pida berurut selama 5 hari berturut-turut mulai hari kedua iaitu sehari selepas balik dari spital. Berurut adalah penting untuk mengembalikan semula tenaga yang banyak hilang semasa proses bersalin. Berurut juga dapat melancarkan peredaran darah supaya kita kelihatan segar dan tidak pucat.

Semasa berurut, makcik tu buat sengkak. Kau tau ke sengkak tu apa? Sengkak, bukan sengkek. Sengkek tu kau! hahhaha gurau aje... Sengkak tu menaikkan peranakan dengan cara menolak peranakan kita tu dari arah bawah perut dan dinaikkan perlahan-lahan sampai ke tengah perut. Pehhh... sengkak ni memang sakit. Rasa nak nangis masa kena sengkak tu. Tapi lepas kena sengkak, badan rasa sangat ringan dan segar.

Pida juga mengamalkan makan jamu. Tapi Pida makan jamu selepas sebulan bersalin iaitu selepas baby Pida pulih sebenuhnya daripada kuning. Agak-agak hati dia dah berfungsi dengan baik tu, Pida pun mula makan jamu. Hello... bukan jamu pil ye puan-puan, tapi jamu serbuk. Kena bancuh setengah cawan, pastu minum sekali teguk je. Amacam? Ada bran?

Yang paling best, sepanjang waktu berpantang tu Pida kena pakai kain batik. Hai... orang muda macam Pida ni manalah pakai kain batik. Kain batik pun takde kat rumah. Tapi cun jugak Pida pakai kain batik. Macam perawan jawa gitu.

Begitulah rutin Pida selama 44 hari berpantang dengan nenek. Masuk hari ke-45 tu rasa macam merdeka habis. Budak lepas spm tu tak rasa merdeka macam tu. Sebab mulai hari ke-45 Pida dah tak perlu mandi herba, tak perlu comot-comot pakai param dan pilis, tak perlu makan jamu, tak payah pakai bengkung, tak kena sendal kaki dengan batu giling, tak payah pakai kain batik...

Mulai hari ke-45 Pida dah boleh mula sikit-sikit jamah makanan yang selama ini Pida tak boleh makan seperti yang bergoreng, minum air sejuk sikit-sikit, jalan tak payah pakai stokin, boleh jalan laju-laju, boleh tidur mengiring dan boleh goda laki ahaks! Gatal betul betina ni.

Walau apapun, Pida amat bersyukur kerana dijaga dengan begitu rapi oleh nenek. Di sebalik keperitan mengharungi cabaran berpantang cara orang dulu-dulu ni, tersurat seribu hikmah yang Pida perolehi secara langsung terutama dalam aspek kesihatan.

Alhamdulillah, sepanjang tempoh berpantang selama 44 hari sebanyak 3 kali dalam masa 6 tahun, Pida tidak pernah berasa letih atau lemah. Pida yakin, ini adalah kerana Pida cukup menjaga aspek pemakanan yang diajar oleh nenek dulu. Masa berpantang tak boleh lapar. Itu petua nenek.

Lagi satu yang paling best nenek cakap, orang berpantang ni kerjanya cuma makan dan menyusukan anak sahaja. Dua itu SAHAJA. Mandikan anak pun sepatutnya orang lain yang buat. Bestnya!

Pida juga tidak mengalami pertambahan berat badan. Berat Pida maintain sebelum dan selepas beranak. Mungkin juga faktor fisiologi Pida yang mempunyai tahap metabolisme yang tinggi. Sental apa sahaja pun tak jadi gemuk. Pida masih boleh memakai kebaya macam Noor Kumalasari dulu-dulu.

Terima kasih nenek. Pida berasa sangat terharu dan dihargai kerana dalam ramai-ramai cucu nenek, Pida antara mangsa yang bertuah terpilih untuk menjalani latihan rekrut di bawah kaedah diktator nenek. Nenek mengajar Pida menjadi manusia yang sabar dan berdisiplin.

Pada mulanya Pida memang rasa berat, namun setelah seminggu, ia sudah menjadi alah bisa tegal biasa. Hari ke-45 rasa pelik sedikit kerana Pida tak comot lagi, malah comel (mari muntah).

Kini Pida sedar, janganlah kita terlalu berbangga dengan gaya hidup kita yang kononnya moden. Setelah apa yang Pida lalui dalam tempoh berpantang bersama nenek, Pida dapati ia bukanlah petua yang sia-sia. Ada falsafah di sebaliknya. Benarlah, orang tua-tua ini memang bijaksana sebenarnya. Pida bersyukur kerana mempunyai nenek yang tidak lokek berkongsi pengalaman dan ilmu yang ada padanya. Sayang nenek.

Jika ditanya selepas ini adakah Pida nak berpantang lagi dengan nenek, jawapannya ialah "TIDAKKK!!!"
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...