Wednesday, January 14, 2015

Skuter langgar Sufi

Salam skuter,

Sebenarnya kan, banyak giler cerita yang Pida nak tulis ke dalam blog bongok ni. Tapi sepanjang Pida mengandungkan si Muhaimin start tahun lepas, Pida jadi malas giler nak mengarang. Bukan setakat malas nak update blog, nak bukak blog sendiri pun rasa geli aje. Pembawaan budak agaknya.

Cerita Pida pergi Labuan (nak tunjukkan rumah rehat Persekutuan yang dulunya istana hinggap Sultan Selangor), cerita Pida menyeberang ke Brunei (nak cerita betapa seronoknya dapat berjumpa dengan Mufti Penasihat Sultan Brunei yang bercerita tentang hudud yang menurutnya patut dijadikan undang-undang di Malaysia) dan nak kongsi juga cerita pertama kali Pida makan ambuyat di Brunei setelah sekian lama teringin nak makan.

Dan cerita-cerita lain! Terlalu banyak cerita yang nak dikongsi tapi tak dizahirkan ke dalam blog ini gara-gara malas dan takde mood. Serius memang takde rasa langsung nak sentuh blog.

Tapi dalam entry kali ini, Pida nak bercerita satu pengalaman ngeri (ngeri tak ngeri sangat la) yang telah berlaku di Dataran Putrajaya. Begini ceritanya... (bunyik cengkerik)

Pada suatu petang yang indah, Pida dan keluarga pergi bersiar-siar dan mengambil angin petang di Dataran Putrajaya.


Inilah Dataran Putrajaya yang menjadi tumpuan pelancong dan pengunjung. Masa Pida pergi hari tu, kawasan sekeliling dataran ni dipenuhi dengan penjaja mainan yang turut menyewakan kasut roda, basikal dan skuter untuk kanak-kanak.
Sumber gambar : ppj.gov.my

Dua mercu tanda yang menghiasi Dataran Putra iaitu Masjid Putra dan Bangunan Perdana Putra yang menempatkan Pejabat First Lady Of Malaysia (FLOM). Sumber gambar : putrajaya.gov.my

Waktu itu Pida tengah mengandung 8 bulan gitu. Dah sarat sangat ni. Jalan pun terkedek-kedek macam itik sendu. Pida masa mengandung, sepanjang tempoh berbadan dua tu memang sentiasa sakit ketika nak berjalan. Tapi masih gigih meluangkan masa untuk keluar rumah berjalan-jalan sambil melakukan senaman pelviks katanya.

Sesampainya di dataran itu, Pida macam 'kenapa meriah sangat ni?' Bukan meriah, tetapi hingar-bingar sebenarnya. Sebab pengunjung yang kebanyakannya kanak-kanak sibuk bermain basikal, skuter, kasut roda dan roller blade yang disewa daripada penjual di situ. Malahan mak bapak budak pun turut sama bermain.

Keadaan di Dataran Putra dengan adanya aktiviti permainan-permainan tersebut amatlah sibuk. Berselirat dah aku tengok keadaan di situ. Dulu sebelum ada penjual-penjual tu, pengunjung boleh berjalan dan bersiar-siar dengan aman tanpa perlu risau dengan keselamatan diri dan keluarga.

Tetapi sejak aktiviti permainan itu wujud, keadaan jadi sibuk. Kita kena sentiasa berhati-hati kerana 'kenderaan' datang dari pelbagai arah; dari depan, belakang, kiri dan kanan. Tak kiralah sama ada basikal, skuter, mahupun roller blade sekalipun. Serius agak bahaya kepada pengunjung sebenarnya.

Rania dan Aqil pun teringin juga nak cuba try main kasut roda. Oleh kerana diorang memang tak reti dan tak pernah mencuba kasut roda sebelum ini, maka asyik jatuh ajelah kerjanya. Yang Pida risau takut terlanggar orang. Tapi Alhamdulillah diorang tak langgar orang lain, diorang cuma langgar Pida aje. Sakit dowh!

Nak dijadikan cerita, Pida memimpin tangan Sufi ketika berjalan di dataran tersebut. Rania dan Aqil Pida biarkan bermain sendiri. Kalau jatuh, bangun sendiri. Sambil memimpin Sufi, di tangan sebelah lagi Pida menjinjing beg plastik yang mengandungi jajan.

Tiba-tiba Sufi berjalan laju sedikit ke hadapan untuk mendapatkan abahnya yang sedang berada di salah satu tapak penjaja. Dalam pada Sufi berlari-lari anak tu, Pida ternampak macam ada sesuatu yang tak kena. Macam ada potensi nak berlaku eksiden ni.

Pida nampak seorang budak perempuan dalam usia 7 tahun sedang menunggang skuter yang baru disewanya. Dia kelihatan sangat kekok ketika menunggang skuter itu. Pida tahu budak itu sebenarnya tidak pandai mengendalikan skuter.

Memang betullah naluri Pida. Tiba-tiba skuter yang ditunggang budak perempuan itu meluru dengan laju ke arah Sufi yang sedang berlari-lari anak. Skuter itu merempuh Sufi menyebabkan Sufi terjatuh dan terlentang ke tanah.

Lebih suspen, budak itu yang panik seolah-olah dah mati akal, dia nak tekan brek agaknya tapi oleh kerana terlalu panik, dia terpulas gear. Aduh... makin dilenyeknya anak aku!

Melihatkan insiden yang mencemaskan itu, Pida terus berlari menerpa ke arah Sufi yang dah terbaring. Pida lupa yang Pida tak boleh berjalan laju, apatah lagi berlari pecut. Tapi pada masa tu Pida berjaya berlari dengan begitu pantas sekali. Habis plastik jajan tu aku campak. Sambil berteriak cemas, "Ya Allah, anak aku!"

Suami Pida segera mengangkat Sufi. Pida cuak sangat. Pida nak dukung Sufi tapi suami Pida tak bagi sebab Pida pun tak kuat nak mendukung waktu tu. Tauke skuter pun terus berlari mendapatkan Sufi sambil tengok-tengok apa yang patut, yelah, skuter dia yang punya pasal kan... Orang ramai pun dah mula kerumun.

Pida terus periksa kepala dia, sebab tadi Pida nampak skuter tu lenyek baikkk punya kat kepala Sufi. Kot-kot la kepala dia tersiat ke, terabak ke, tak ke naya. Tapi Alhamdulillah, jangankan luka, calar pun takde. Sufi pun nangis satu baris aje. Agaknya anak aku ni Superman kot...

Pida terus tinggalkan tempat tu. Pida tak tengok apa yang berlaku di sekeliling, tapi Pida nampak jugak la mak bapak budak tu dah terdiam sambil pegang anak diorang yang tengah takut tu... diorang tak mintak maaf pun tapi ah, tak kisahlah. Yang penting Sufi selamat.

Tapi ada jugak la Pida dengar tauke skuter tu bercakap kepada mak bapak budak tu supaya lain kali tengok anak diorang main. Eh, eh!

Sufi tak apa-apa, dia boleh berjalan macam biasa. Kami terus balik ke rumah selepas insiden tersebut. Tapi sebelum balik tu sempat jugak la Pida kutip balik plastik jajan yang tercampak tadi.

Sambil berjalan menuju ke kereta, Sufi merungut-rungut, "Gila la orang tu.. ada ke langgar Tuti." Nak tergelak pun ada dengar budak kecik ni membebel.

Dalam kereta, Pida tanya Sufi. Sufi kena langgar apa tadi? Sufi jawab, kena langgar skuter. Oklah tu, maknanya anak aku masih centre lagi otaknya. Hahaha.


Skuter comel yang merempuh Sufi.



Tuesday, January 13, 2015

Banjir di Kg. Limau Kasturi, Gua Musang - the aftermath

Salam banjir,

Semua orang dah tahu, hujung-hujung tahun mesti akan berlaku banjir khususnya di negeri-negeri pantai timur iaitu Kelantan, Terengganu dan Pahang. Namun siapa sangka kejadian banjir yang berlaku baru-baru ini merupakan musibah yang terburuk berlaku di negara kita.

Tahun 2014 telah melabuhkan tirai kedukaannya apabila negeri-negeri tersebut mengalami banjir yang sangat dahsyat dan tidak pernah berlaku sebelum ini. Paling ngeri ialah apabila melihat bangunan sekolah 4 tingkat hanya tinggal nampak bumbung sahaja. Bayangkan betapa dalamnya air!

Setiap hari Pida menerima dan membaca catatan tentang banjir di Whatsapp dan Facebook (walaupun sesetengahnya hanya cerita rekaan). Daripada apa yang Pida baca dan lihat, keadaan di kawasan-kawasan yang dilanda banjir amat dahsyat.

Paling hiba apabila membaca tentang mangsa-mangsa yang ketiadaan makanan dan kehilangan tempat tinggal. Menangis mengenangkan nasib bayi dan kanak-kanak yang menjadi mangsa banjir di sana. Mesti mereka kelaparan, kesejukan dan ketakutan. Semua itu merobek perasaan keibuan Pida.

Apabila membaca tentang banjir yang  berlaku ini di media-media sosial, Pida dapat merasakan betapa teruknya keadaan di sana. Dengan rumah yang tenggelam habis, ada yang hanyut, air sederas-derasnya, mangsa-mangsa bertempiaran menyelamatkan diri; segalanya menakutkan dan panik.

Tetapi situasi cemas dan dahsyat ini tidak semuanya dipaparkan di kaca tv. Apa yang disiarkan hanyalah keadaan banjir yang terkawal, dengan tayangan budak-budak kecik riang-ria main air; mangsa-mangsa banjir yang bolehlah dikatakan selesa di pusat-pusat pemindahan banjir (tanpa sedar ada lagi mangsa yang terperangkap di atas bumbung dan terpaksa lari naik ke bukit untuk menyelamatkan diri).

Memang kontra sungguh dengan apa yang dilaporkan oleh para petugas di kawasan yang terlibat banjir (doktor, sukarelawan dan mangsa sendiri) dengan apa yang ditunjukkan di tv. Pendek kata, kalau tengok laporan banjir di tv, kita akan cakap, oh, keadaan terkawal dan selamat, tak perlu risau sangat. Padahal....!

Baru-baru ini, suami Pida bersama-sama ahli kariah surau tempat tinggal kami telah menjalankan aktiviti bantuan kemanusiaan kepada mangsa-mangsa banjir di kawasan pedalaman yang kurang mendapat pendedahan dan liputan bantuan. Tempat yang mereka pergi ialah Kg, Limau Kasturi yang terletak di jajahan Gua Musang, Kelantan.

Ekspedisi ini meliputi penghantaran bantuan makanan seperti beras, biskut, dan makanan-makanan lain yang sesuai. Selain itu, turut dihantar kepada mangsa-mangsa banjir ialah lampin pakai buang bayi, susu bayi, pakaian, selimut, barang-barang keperluan peribadi dan keperluan rumah seperti lilin, minyak masak dan banyak lagi.

Terima kasihlah kepada para dermawan yang budiman. Sampai habis barang-barang kat Mydin dan Giant tempat Pida tu dah kena borong.

Gambar-gambar berikut menceritakan keadaan Kampung Limau Kasturi yang rosak terus akibat banjir yang melanda. Gambar-gambar ini dirakam oleh suami ai yang membenarkan ai meletakkan watermark guna nama ai.


















Semasa banjir hari tu, air dah sampai paras bumbung Caltex tu ha. Tinggi tak tinggi la air.

Mu napok tok budok tu? Hok laki ambo bagi makane tu... dio ghoyak ado tok makane denge diapers... kesiey boh. 








Demo la ni dah tak serupo mulo... suko dapak jaje (jajan).



Kg. Limau Kasturi ni ada stesen keretapi. Pun terjejas dek kerana banjir hari tu.






Cuba perhatikan menara masjid tu. Separuh kena kesan lumpur. Maknanya air yang naik setinggi itulah. 

Sesungguhnya memang berat dugaan yang diberikan kepada mangsa-mangsa banjir kali ini. Semoga semua ini memberi hikmah yang indah buat semua yang bergelar hamba-Nya.

Dan mudah-mudahn musibah ini merupakan pengampunan Allah kepada kita semua sebagai hamba-Nya yang telah alpa dan leka daripada mentaati-Nya selama ini.




Friday, January 9, 2015

2 tahun yang lalu, mak pergi meninggalkanku...



Diam tak diam, dah 2 tahun mak pergi menemui Ilahi. Diam tak diam juga, dah 2 tahun Pida menangis tak pernah berhenti.

Mak, Pida tak pernah gagal mengirim doa rindu buat mak di sana. Doa agar mak berada di bawah keredhaan-Nya.

Hari-hari yang dilalui tanpa mak di sisi, kadang-kala umpama memijak bara api. Ada kalanya bingung kerana tiada lagi tempat untuk meluah perasaan dan lara hati. Kerana mak telah pergi...

Damailah mak di sisi Tuhan. Dia maha tahu mengapa semua ini berlaku. Kami redha dengan ketiadaanmu.

Mak takkan pernah kami lupakan. Mak tetap tersemat di sanubari sehingga kematian pula menjemput kami.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...