Showing posts with label mak. Show all posts
Showing posts with label mak. Show all posts

Thursday, January 9, 2014

Setahun sudah berlalu, Januari datang kembali

Salam Januari,

Hari ini, 9 Januari 2014, genap setahun mak pergi meninggalkan Pida buat selama-lamanya. Terasa terlalu pantas masa berlalu; terasa baru semalam Pida menghadap saat-saat pilu kehilangan mak.

Walaupun sudah setahun mak tiada, namun tidak sedikit pun Pida melupakannya. Malahan sampai sekarang Pida masih menangisi pemergiannya. Kehilangan mak menjadi titik sejarah yang tersendiri dalam kehidupan Pida kerana sekarang Pida tidak lagi mempunyai mak yang telah melahirkan dan membesarkan Pida.

Kerinduan usah dicakapkan. Setiap masa Pida merindui mak, kadang-kadang Pida sampai jadi macam terlalu fokus membayangkan mak masih ada, masih bersuara dan ketawa bersama. Cara ini memang berkesan pada Pida. Pida betul-betul dapat merasakan mak masih 'ada' kerana Pida dapat 'melihat' dengan jelas kehadiran mak di sekeliling Pida.

Mak, walaupun mak dah tak ada, namun semangatmu tetap ada. Pida tetap mengingati segala nasihat dan panduan hidup yang pernah mak berikan dulu. Pida tak pernah lupa dan tak akan lupa.

Buat mak yang dikasihi, bersemadilah dengan aman di sana. Pida amat merindui mak dan akan terus menyayangi mak. Pida tak akan lupa untuk menghadiahkan sedekah Fatihah kepada mak.

Al-Fatihah buat mak yang dirindui...



Pida sayang mak selamanya...

Friday, October 11, 2013

Hajat tak tersampai

Salam hajat,

Terus-terang Pida katakan, Pida belum pernah memasang niat untuk membawa mak dan ab pergi ke Mekah untuk menunaikan haji atau umrah. Tak seperti orang lain yang menyimpan impian untuk membalas jasa ibu bapa dengan membawa mereka ke tanah suci, Pida tidak begitu.

Bukan sebab Pida anak derhaka atau tidak mahu membalas jasa, tapi mungkin kerana Pida rasakan hajat Pida itu akan ditolak oleh mak dan ab. Ini kerana ab dan mak jauh lebih berkemampuan daripada anak mereka ini.

Tapi pada tahun lepas, Pida nyatakan juga hajat yang satu ini kepada mak. Masa itu mak sedang sakit. Pida katakan pada mak, tahun ini Pida nak buatkan qurban untuk mak. Itulah pertama kali Pida berniat untuk membuat sesuatu ibadah untuk mak atau ab.

Seperti yang telah diduga, mak menolak hajat dan niat Pida itu. Pida tak kecewa, sebab memang Pida dah tau, mesti mak tak akan terima walaupun Pida bersungguh-sungguh nak buatkan qurban untuk mak. Pida rasa Pida nak buat sesuatu untuk mak sementara masih ada masa. Tapi nak buat macam mana, mak menolak.

Mak cakap, mak dah buat qurban 2-3 kali termasuk tahun lepas mak buat satu bahagian di surau tempat Pida. Mak cakap lagi, Pida simpanlah duit tu untuk buat sesuatu yang lebih penting seperti perbelanjaan anak-anak, jangan risaukan mak.

Sedihnya bila mak cakap macam tu. Mak tak nak terima sedekah qurban Pida bukan kerana mak tak sudi, tapi kerana mak merasakan duit yang akan dibelanjakan untuk qurban itu lebih diperlukan oleh anak-anak Pida.

Ab pun macam tu. Pida pernah nak bagi dia duit sebagai tanda pemberian seorang anak kepada bapanya. Namun ab cuma pegang duit itu dan minta Pida simpan semula untuk kegunaan anak-anak Pida. Malah ab bagi lagi duit kat Pida. Sejak itu Pida memang tak pernah bagi mak dan ab duit kecuali pada hari raya atas nama duit raya.

Sekarang mak dah tak ada. Mak pergi sebulan selepas Pida menyampaikan hajat tersebut. Memang nyata hajat untuk membuatkan qurban untuk mak tidak kesampaian. Namun Pida tak terkilan kerana Pida dah suarakan hasrat hati.

Apa yang boleh Pida lakukan sekarang ialah sedekahkan banyak-banyak Fatihah kepada mak. Sampai sekarang rindu di jiwa masih membara, masih menebal dan sering membuatkan Pida menangis. Entah bila Pida boleh berhenti menangis.

Pida amat merindui mak. Terasa sangat kehilangannya. Terlalu banyak rahsia hati yang telah dipendam sejak kepergiannya kerana Pida tidak ada tempat untuk meluahkan rasa jiwa. Dulu maklah tempat Pida mencurahkan segala-galanya. Tidak ada rahsia antara kami. Sekarang tiada lagi dan situasi ini amat memedihkan.

Mak jangan risau. Pida tak pernah lupa mendoakan mak di sana. Kita hanya terpisah oleh satu garisan waktu. Insya Allah kita akan bertemu semula di akhirat sana.

Mak, Pida amat menyayangimu. Masih terasa hangat pelukanmu dan lembut bicaramu. Takkan dapat dilupa manisnya senyummu, takkan terpadam kenangan bersamamu.

Mak, kembalilah ke pangkuan kami. Kami masih memerlukanmu. Mak janganlah pergi... jangan tinggalkan kami...




Tuesday, June 11, 2013

Masih aku terasa

Salam terasa,

Pida baru sahaja balik dari melawat jenazah ibu kepada seorang rakan sepejabat yang meninggal dunia petang semalam. Ibunya meninggal kerana kanser payudara, sama seperti mak. Cuma bezanya, ibunya telah lama terlantar sakit sebelum menghembuskan nafas terakhir, berbanding mak yang hanya terlantar seminggu sehinggalah pemergiannya.

Tadi Pida nampak dia menangis teresak-esak di sisi jenazah ibunya. Pida nampak dia terlalu sedih dengan pemergian ibunya. Begitu juga dengan bapanya. Kelihatan terlalu sugul sehingga tak lekang daripada menyeka air mata yang mengalir laju di pipi.

Pida sangat terkesan dengan kesedihan dia dan seluruh keluarganya. Kerana Pida juga baru sahaja merasai kesedihan serupa lima bulan yang lalu. Namun saat jenazah mak masih di depan mata, Pida tidak menangis langsung. Tidak sedikit pun air mata Pida tertumpah.

Bukan kerana tidak sedih, tetapi sebenarnya pada masa itu Pida masih boleh melihat mak di depan mata walaupun hanya sekujur tubuh yang kaku. Pida rasa tenang melihat jasad mak di depan mata.

Namun, seperti yang Pida dah ceritakan, esoknya barulah Pida menangis dengan teruk sekali. Itupun setelah terjumpa dengan baju yang mak pakai ketika hari pertama dimasukkan ke wad. Masa tu memang tak boleh cakaplah... bayangkan sampai basah baju mak tu, baju yang masih ada bau mak, gara-gara teruknya Pida menangis. Depan jenazah memang Pida tak rasa nak menangis, tapi selepas itu sampailah ke saat ini, Pida menangis, menangis dan menangis.

Pida amat merindui mak. Kadang-kadang bila difikir-fikirkan, tak sangka mak mati kerana kanser. Tapi itulah takdir namanya.

Semoga emak kami berada dalam keadaan aman dan tenteram di bawah payung Allah sentiasa. Al-fatihah...

Friday, May 3, 2013

Kenangan sedih sentiasa bermain di mata

Salam sedih,

Dah lebih 100 hari mak pergi. Tidak ada satu hari pun yang Pida tidak mengenang mak. Setiap hari Pida merindui suara dan jasad mak, namun apakan daya semua itu hanya anganan sahaja. Hakikatnya, mak telah pergi buat selama-lamanya.

Sejak akhir-akhir ini, kenangan saat-saat terakhir bersama mak kerap membayangi mata dan fikiran. Yang paling jelas bermain di mata ialah ketika saat mak menghembuskan nafas terakhir di sisi kami semua.

Sedihnya pada waktu itu bukan kepalang. Tapi kami tak berani menangis mengeluarkan suara kerana kami amat menghormati mak. Tersengguk-sengguk bahu kami menahan sedu dan tangis. Kami pasrah bahawa mak telah meninggalkan kami semua.

Jenazah mak dibawa pulang pada malam itu juga. Ab memutuskan untuk membawa jenazah mak ke rumah nenek di kampung. Proses menuntut jenazah dilakukan oleh adik Pida dan isterinya. Pida balik dulu ke rumah untuk mengemas apa-apa yang patut sebelum kembali semula ke bilik jenazah hospital Putrajaya.

Sesampainya Pida di sana, saudara-mara sudah datang melawat. Jiran-jiran setaman pun ramai yang membantu menguruskan jenazah mak.

Saat melihat jenazah mak dimasukkan ke dalam van jenazah adalah sesuatu yang sungguh hiba. Tubuh yang kaku itu ialah mak, macam tak percaya rasanya dah kehilangan mak.

Pengalaman sedih kali pertama Pida rasai pada malam itu, iaitu mengiringi van yang membawa keranda mak. Ya Allah sedihnya hanya Tuhan yang tahu. Kami membelah malam dengan kesedihan dan kekuatan.

Sampai di rumah nenek pada pukul 2.30 pagi, sanak-saudara sudah menunggu. Luluh melihat nenek menangis kerana terlalu sedih kehilangan mak. Mak selalu membawa nenek ke sana ke mari, mak tidak pernah menghampakan nenek. Pida rasa kesian sangat kat nenek masa tu, rupanya nenek lebih sedih daripada kami semua.

Suasana sayu menyelubungi seisi rumah tatkala jenazah mak dibawa naik ke rumah. Mak, mak dah pergi, sekarang kami hanya melihat jenazah mak...

Tahlil ringkas diadakan. Ramai yang menyertai. Mereka semua menahan ngantuk demi membacakan yasin untuk mak.

Esoknya pagi-pagi lagi, rumah nenek telah mula dikunjungi orang-orang yang datang melawat. Jiran-jiran, guru-guru sekolah mak, sahabat-handai dan kenalan, ramai sungguh. Dan yang bersolat jenazah untuk mak juga sangat ramai. Alhamdulillah...

Hmmm... entah kenapalah Pida bercerita tentang ini lagi. Mungkin sebab terlalu rindu akan mak kot... jadi cara terbaik ialah meluahkannya dalam bentuk huruf. Semoga yang membaca akan turut merasai kerinduan yang tak terjangkau ini lagi.


 
 

Monday, March 25, 2013

Ke makam bonda di hari jadinya

Selamat hari jadi, mak...

Hari ini hari jadi mak. Sepatutnya usia mak menjangkau 60 tahun hari ini. Namun Allah lebih menyayangimu; lebih daripada kami semua. Mak telah pergi buat selama-lamanya meninggalkan kami semua.

Selamat hari jadi, mak...

Sehingga ke hari ini, Pida masih menangisi kehilangan ini. Cepatnya mak pergi meninggalkan kami yang saban waktu dilambung ombak rindu tidak menentu.

Selamat hari jadi, mak...

Hadiah apalah yang mampu Pida kirimkan tika ini selain doa dan ayat-ayat suci. Terimalah hadiah iringan ini yang ikhlas dari hati.


Semoga mak juga teduh di sana.

Ke Makam Bonda

Kami mengunjungi pusara bonda
Sunyi pagi disinari suria
Wangi berseri puspa kemboja
Menyambut kami mewakili bonda


Tegak kami di makam sepi
Lalang-lalang tinggi berdiri
Dua nisan terkapar mati
Hanya papan dimakan bumi


Dalam kenangan kami melihat
Mesra kasih bonda menatap
Sedang lena dalam rahap
Dua tangan kaku berdakap


Bibir bonda bersih lesu
Pernah dulu mengucupi dahiku
Kini kurasakan kasihnya lagi
Meski jauh dibatasi bumi


Nisan batu kami tegakkan
Tiada lagi lalang memanjang
Ada doa kami pohonkan
Air mawar kami siramkan


Senyum kemboja mengantar kami
Meninggalkan makam sepi sendiri
Damailah bonda dalam pengabadian
Insan kerdil mengadap Tuhan


Begitu bakti kami berikan
Tiada sama bonda melahirkan
Kasih bonda tiada sempadan
Kemuncak murni kemuliaan insan


~Usman Awang


Wednesday, March 20, 2013

Memimpikanmu

Salam mimpi,

Malam tadi Pida terasa rindu yang amat terhadap mak. Sampai Pida update status kat facebook menyatakan rindu Pida itu.

Selalunya tatkala rindu menjengah diri, Pida akan membacakan surah Al-Fatihah untuk disedekahkan pahalanya kepada mak. Pida baca dengan mata terpejam dan jiwa yang khusyuk; seolah-olah Pida memberi hadiah kepada mak yang sedang menadah tangan menerimanya.

Dan selalunya juga, tika rindu datang, air mata pasti mengalir. Pada saat itu tergambar semula saat-saat sedih mak menghembuskan nafas terakhir di sisi ab dan kami semua. Pida dapat merasakan bahawa Pida masih lagi menggenggam erat dan mencium tangan mak.

Malam tadi adalah malam Pida yang berbahagia. Mak hadir lagi di dalam mimpi. Seronoknya Pida berbual-bual mesra dan rancak dengan mak, maklumlah sudah lama tidak bersua. Namun mak tidak bercakap sepatah pun.

Mak hanya tersenyum dan tersenyum. Seolah-olah mak terhibur sangat dapat mendengar cerita Pida.

Namun akhirnya Pida tersedar. Oh, rupanya hanyalah mimpi. Tapi Pida rasa puas juga sebab dalam kerinduan ini, dapat juga Pida 'bertemu' dengan mak walaupun hanya di alam mimpi.

Buat mak yang dirindui, Al-Fatihah.


Saturday, March 9, 2013

Dua purnama

Salam purnama,

Hari ini, 9 Mac 2013 genap dua purnama mak pergi meninggalkan Pida. Cepatnya masa berlalu, tak sedar sudah enam puluh hari Pida menghitung hari tanpa mak di sisi.

Alhamdulillah, perasaan Pida semakin baik tetapi Pida masih menangis kalau tiba saat rindu yang terlalu padu pada mak yang tiada.

Kerap juga Pida menziarahi kubur mak. Setiap kali Pida memandang pusara mak, Pida pasti akan menangis. Setiap kali Pida memegang batu nesan mak, air mata tak dapat ditahan lagi.

Rasa mahu mencium batu nesan itu, namun teringat pula kata Ustaz Azhar Idrus bahawa mencium batu nesan tu bodoh. Dia tak merasa seperti yang Pida rasa, bolehlah dia cakap macam tu.

Malam tadi mak muncul dalam mimpi Pida. Ini bukan kali pertama Pida mimpikan mak. Sudah acap kali. Mungkin kerana terlalu rindu, maka mak 'datang' bertamu walaupun cuma di alam beradu. Kali pertama mak muncul dalam mimpi selepas 4 hari pemergiannya. Mak muncul tersenyum tetapi hanya sesaat cuma. Apabila terjaga, Pida tak mampu mengawal rasa lalu berjurailah air mata.

Selepas itu Pida kerap juga mimpikan mak. Mak tidak berkata walau sepatah, tetapi mak hanya memandang, senyum dan yang paling sayu ada satu ketika itu mak memeluk Pida dengan erat. Masih tergambar saat mak mendakap Pida. Tetapi sayang ia hanya mimpi.

Pida pejamkan mata semula, mengharapkan agar mak hadir kembali memeluk Pida tetapi apakan daya.... Dan biasanya selepas tersedar dari mimpi, pasti Pida akan menangis sambil membaca surah fatihah untuk mak.

Mimpi malam tadi juga indah. Mak baring di ribaan Pida dan Pida belai mak dengan mesra. Tiada sepatah kata, tetapi Pida dapat merasakan hangatnya kasih sayang antara kami. Lama juga dapat 'membelai' mak sebelum terjaga dari lena; hanya untuk menerima realiti bahawa itu cuma mimpi jua.... :`(

Mak, sudah dua bulan mak tiada di sisi. Namun percayalah, tiada sesaat kami tidak mengingatimu... apatah lagi tidak merinduimu. Mak terlalu istimewa bagi kami; dulu, kini dan selamanya.

Salam rindu buat mak dan semoga mak berbahagia di sana.....




Friday, February 22, 2013

Suatu jawapan yang pasti

Salam pasti,

Selepas selesai sesi tazkirah bersama rakan-rakan sejabatan pagi tadi, Pida berkesempatan berbual bersama ustaz yang mengajar tajwid dalam Surah Kahfi kepada kami itu. Ustaz yang bergelar doktor itu memang warak orangnya.

Suaranya mengaji al-Quran sungguh merdu; menimbulkan rasa cemburu kerana Pida tak mampu memperdengarkan bacaan sehebat itu. Seronok mendengar beliau bercerita tentang tafsir dan inti sari surah Kahfi tersebut.

Pida bertanya kepada ustaz itu soalan yang sangat ingin Pida ketemu jawapannya. Pida menyoal sebagai manusia yang kerdil dan lemah tetapi redha. Pida bertanya, "Kenapa Allah matikan orang-orang yang pada pandangan kita masih diperlukan lagi khidmat baktinya kepada manusia lain?"

Ustaz itu pada mulanya hanya memandang Pida selepas ditebak dengan pertanyaan tersebut. Lantas Pida menyambung, "Kenapa Allah ambil mak saya sedangkan kami semua masih memerlukan ilmunya, pengalamannya dan kasih sayangnya? Saya rasa kecewa...."

Barulah ustaz menjawab. Tetapi sebelum itu dia pulak menyoal Pida, "Pida kecewa ye?" Pida angguk.

"Kenapa ayah Nabi meninggal dari saat baginda di dalam kandungan lagi? Adakah kerana Nabi tak perlukan ayahnya?"

Pida tunduk.

"Kenapa ibu Nabi meninggal ketika Nabi masih kecil, masih berumur 6 tahun? Adakah kerana Nabi tak perlukan kasih sayang ibunya?"

Masih tunduk.

"Kenapa datuk Nabi pula meninggal ketika Nabi baru berumur 8 tahun? Adakah kerana Nabi tidak memerlukan seorang datuk untuk menjaganya?"

Pida masih tak mengerti.

"Sebab....," Ustaz terhenti di situ. Dia memandang Pida yang seperti seorang budak kecik meminta sesuatu.

"....mission completed," sambungnya dengan tenang dan lembut.

Saat itu Pida bagaikan rasa terkejut dari lamunan yang panjang. Tiba-tiba jawapan ustaz tadi menyentap jantung Pida yang selama ini seperti telah lama terhenti bersama perginya mak. Pida terpana. Lama Pida berfikir sebelum dapat terus bercakap.

Kemudian ustaz itu menyambung, "Bapa Nabi hanya memberikan benihnya kepada ibu Nabi. Mission completed. Ibu Nabi melahirkan Nabi iaitu melahirkan seorang Rasulullah dan memberi kasih sayang kepadanya walaupun sekejap. Mission completed. Datuk Nabi juga menjaga baginda sekejap. Mission completed."

"Selebihnya Allah yang mendidik dan memelihara Nabi."

"Mak Pida dipanggil Allah kerana tanggungjawabnya sebagai manusia telah selesai dijalankan. Mak Pida telah meninggalkan ilmu yang telah diajarkan kepada manusia lain, untuk terus dimanfaatkan. Supaya orang lain yang menerima manfaat tersebut akan sentiasa mengembangkan ilmu itu agar terus subur."

"Kita manusia hanya dihidupkan untuk menjalankan tugas tertentu. SEbaik selesai, Allah ambil kita semula. Perancangan Allah itu adalah sebaik-baik perancangan," Ustaz menyambung.

Ya Allah, selama ini aku jahil dalam menerima qada' dan qadar-Mu. Ampunkan aku, Ya Allah.... Aku relakan pemergian mak jika itulah yang Engkau rencanakan. Kini aku lebih tenang, malah aku bersyukur kerana telah ditemukan dengan hikmah yang selama ini kucari.

Pida bersyukur kerana diberi peluang untuk berjumpa ustaz ini. Selama ini jika Pida mengadu perasaan dan rintihan, kebanyakan hanya menjawab "sudah sampai ajal", "sudah takdir", "redhakan saja", "kita semua akan mati" dan banyak lagi kata-kata pujukan namun tidak ada satu pun yang benar-benar meredakan perasaan Pida.

Namun jawapan ustaz ini adalah penamat kepada pencarian Pida selama ini, iaitu selama mak pergi. Inilah antidot kepada kesugulan yang Pida rasai selama ini. Syukurlah kerana Pida tidak terus dirundung kesedihan lagi. Itulah jawapannya, iaitu suatu jawapan yang pasti.



Perginya mak bukan sahaja meninggalkan seribu kesedihan, namun yang lebih penting, mewariskan ilmu kepada ramai manusia.

Friday, February 8, 2013

Telah pergi 2 insan yang berdekatan pusaranya

Salam pusara,

Dua hari lepas, pakar ICT negara, Azli Paat telah kembali ke rahmatullah kerana demam panas dalam usia baru 46 tahun.

Bagi yang tidak mengenali Azli Paat, beliau adalah pengasas Ada Vista Sdn. Bhd. yang merintis sistem komunikasi melalui SMS DAPAT dan mySMS 15888. Beliau jugalah yang memperkenalkan RakanCop yang membolehkan komunikasi antara pihak polis dengan orang awam melalui SMS.

Kenapa Pida menulis tentang Azli Paat? Kerana allahyarham seorang yang sungguh istimewa. Sebagai pakar ICT, allahyarham telah merealisasikan ideanya untuk memudahkan orang ramai iaitu kita semua mendapat maklumat hanya dengan melalui perkhidmatan SMS sahaja. Atas kecemerlangan dan sumbangannya kepada masyarakat umum, allahyarham telah memenangi Anugerah Perdana Menteri 'Best Of The Best' APICTA 2012 yang disampaikan sendiri oleh Perdana Menteri.

Seperkara lagi yang menarik perhatian Pida ialah bahawa allahyarham sekampung dengan arwah mak Pida. Mereka saling mengenali semasa hayat mereka. Mak pernah cakap bahawa anak Busu Paat yang duduk di hujung kampung sana orangnya hebat, pakar ICT negara. Itulah Azli Paat yang dimaksudkan.

Nampaknya, dalam masa hanya sebulan, kampung itu telah kehilangan dua orang anak jati yang pernah menabur budi dan jasa kepada bangsa. Iaitu mak dan allahyarham Azli. Mak, seorang guru sehingga ke akhir hayatnya sementara Azli, seorang pakat ICT yang masih diperlukan khidmat dan ideanya; telah dipanggil menyahut seruan Ilahi.

Pida tidak hadir ke majlis pengebumian allahyarham Azli kerana Pida berada di KL. Allahyarham disemadikan di tempat yang sama dengan mak; malahan menurut seorang saudara yang ikut sama, pusara allahyarham berdekatan dengan pusara mak.

Aduh... rasa sayu di hati Pida kerana terkenangkan mak yang telah pergi. Kini seorang lagi anak kampung yang trampil dan membanggakan keluarga, telah pergi buat selama-lamanya. Telah pergi dua insan yang banyak berbudi dan berjasa.

Apa yang lebih menyayat hati ialah apabila saudara yang sama memberitahu Pida bahawa dia ketika majlis urusan pengebumian allahyarham Azli, dia terdengar orang-orang berkata, "Baru sebulan Noi (mak Pida) pergi, sekarang Azli pula. Dua-dua bijak dan lembut." Mendengarkan itu, Pida terus menangis. Terharu kerana mereka masih lagi mengenang dan menghargai mak Pida.

Besarnya hikmah yang Allah nak tunjukkan pada keluarga kami. Tapi entah apalah... Lebih-lebih lagi anak-anak allahyarham yang tentunya masih kecil, bagaimanakah keadaan mereka setelah ketiadaan insan tempat bergantung. Semoga Allah memberi mereka kekuatan dan pertolongan mengharungi hari-hari mendatang.

Kematian mereka telah dirancang rapi oleh Yang Maha Berkuasa. Kita sebagai hamba yang lemah tidak mampu menolak takdir. Apa yang berlaku pada Pida khususnya telah membuka mata bahawa segalanya merupakan kehendak Allah jua. Tiada suatu kuasa lain dapat menghalangnya. Sesungguhnya Allah Maha Besar.

Ya Allah, Kau berilah tempat yang sebaik-baiknya kepada dua hamba-Mu ini yang pernah menyebarkan ilmu yang bermanfaat kepada kami semua. Kau letaklah mereka di syurga-Mu dan Kau berilah kami yang tinggal ini kekuatan iman dan semangat untuk menempuh kehidupan.

Al-Fatihah buat mak dan allahyarham Azli Paat.

Petikan daripada mstar.com.my






Thursday, February 7, 2013

Monolog untuk mak yang tiada : Momen-momen terakam

Ke pangkuan bondaku yang dirindui,

Mak,

Sudah sebulan mak pergi. Setiap hari Pida merindui mak dengan begitu mendalam sekali. Pida hanya mampu menghadiahkan pahala Fatihah kepada mak dalam kerinduan sekarang.

Mak,

Sejujurnya Pida masih tak sangka bahawa mak akan mengucapkan selamat tinggal kepada kami semua. Mak sakit tak lama, cuma sebulan sebelum Tuhan menjemputmu pulang. Kadang-kadang Pida terfikir, kalaulah mak meneruskan rawatan kimo seperti yang disarankan doktor tempoh hari, tentu mak masih berada di sisi. Pida sedar ini gila. Pida tak patut memikirkan macam tu. Semua yang berlaku ini telah diqada'kan.

Tapi sebagai manusia biasa yang serba lemah, Pida masih tak dapat membiasakan diri tanpa mak menemani. Setiap pagi ketika memulakan hari adalah saat menyakitkan bagi Pida. Bahawa dalam keterpaksaan Pida sudah tidak dapat memegang dirimu.

Mak,

Jangan salah anggap. Bukan Pida tak redha. Demi Allah, Pida redhakan pemergian mak ke pangkuan-Nya. Tetapi Pida rindu, Pida sedih dan Pida kosong. Itu sahaja yang menyelubungi perasaan Pida tika ini.

Mak,

Mak tahu tak, selama lebih seminggu mak terlantar di hospital, keadaan mak sebenarnya semakin merosot hari demi hari. Hari pertama mak dimasukkan ke wad, mak masih boleh berjalan sendiri, dan mak masih bisa bertutur walaupun tidak sejelas selalu.

Namun hari demi hari, mak semakin lemah, semakin tidak bermaya dan akhirnya mak terpaksa bergantung kepada ubat penenang supaya mak tak rasa sakit. Kesiannya pada mak, terlalu sakit nampaknya sampai doktor tiada pilihan selain memberikan mak morfin.

Mak,

Kami menyerahkan segalanya pada doktor yang lebih arif. Kami yakin itulah caranya agar mak tak menanggung kesakitan yang tak tertahan. Melihat pada kedutan di wajah mak menahan sakit, Pida tahu bahawa mak memang benar-benar sakit pada waktu itu. Kerana sel kanser mak sudah merebak ke tulang, bahagian otak (yang memberi kesan terhadap sistem percakapan dan penafsiran) dan bahagian-bahagian lain tubuh badan mak.

Sampaikan sewaktu doktor perempuan yang berjumpa secara peribadi dengan Pida di luar bilik mak sewaktu mak diberi rawatan kecemasan, memaklumkan kepada Pida bahawa mak sebenarnya 'sedang pergi  secara perlahan-lahan'. Dia juga memberitahu Pida bahawa jika tiba-tiba nafas mak terhenti, mereka tidak akan memberi bantuan CPR kepada mak kerana sesungguhnya mak 'sedang pergi secara perlahan-lahan.'

Dan pada petang itu, sebenarnya doktor yang sama mengadakan sesi family counseling kepada kami semua memberitahu keadaan sebenar mak. Pada waktu itu, hanya ab, Pida, Faiz dan Yati menghadiri sesi tersebut sementara yang lain menemani mak yang sedang nazak. Tujuan sesi kaunseling itu adalah sebagai sokongan moral buat ahli keluarga agar bersedia menghadapi pemergian yang boleh berlaku pada bila-bila masa sahaja. Sukarnya waktu itu, mak...

Wahai mak,

Namun mak bertuah kerana saban hari mak dikunjungi oleh keluarga, saudara-mara yang datang dari kampung dan sahabat-handai yang simpati terhadap mak. Mereka datang kerana sayang.  Mereka datang membawa doa dan harapan.

Guru-guru High School datang menziarahi mak pada hari itu. Mereka datang dari jauh. Sebaik melihat mak terlantar tidur, mereka semuanya menangis kesedihan. Guru lelaki yang datang pun menangis sambil memberitahu Pida bahawa keadaan mak pada masa itu sangat jauh berbeza semasa mak masih berkhidmat dahulu.

Apa yang menyedihkan, dalam perjalanan pulang selepas menziarahi mak di hospital, Pida pula memaklumkan kepada mereka bahawa mak telah meninggal dunia. Dan seluruh High School bersedih atas kematian bekas pengetua mereka yang amat dikasihi.

Mak,

Setiap hari ketika menjaga mak pada sebelah siangnya, Pida tak melepaskan peluang untuk bercakap-cakap dengan mak, juga melayan mak dengan lebih istimewa. Pida tak tahu sampai bila Pida perlu menjaga mak sebegitu, atau adakah itu memang peluang Pida berada di samping mak meniti hari-hari terakhir kita bersama.

Pida sentiasa mencium tangan dan wajah mak. Ada kalanya Pida bercakap-cakap sendirian, seolah-olah sedang berbicara dengan mak. Tentu mak dapat mendengar butir bicara Pida... bahawa Pida menyatakan sayang dan kasih pada mak, selalu.

Mak,

Tak puas mendapat kasih sayangmu... tak cukup menikmati keindahan bersama insan bernama ibu... Cepatnya masa berlalu... Cemburunya waktu tak terbiar begitu...

Duhai mak,

Bersemadilah... Mak insan mulia, syurga selayaknya... Selamat jalan bonda tercinta.

Al-Fatihah buat mak yang dirindui.








Friday, February 1, 2013

Monolog untuk mak yang tiada - Bah. 2

Buat mak yang dirindui,

Assalamualaikum mak. Pida di sini macam biasa saja. Sihat, tapi belum ceria sepenuhnya. Entahlah mak, sejak pemergian mak 3 minggu lepas, beginilah keadaan Pida. Masih menangis entah sampai bila.

Mak,

Tengah hari tadi semasa Pida sedang memandu kereta ke tempat kerja, tiba-tiba Pida ternampak seorang perempuan yang rupanya persis wajah mak. Sungguh, mak. Waktu itu Pida sedang berhenti di lampu isyarat merah.

Pida terlihat perempuan yang memandu kereta di belakang Pida itu saling tak tumpah wajahnya mirip mak. Pida sangat teruja dan sangat gembira sehingga terpacul dari mulut memanggil mak. Lama Pida perhatikan dia, memang dia adalah mak.

Mak,

Dek kerana terlalu teruja dengan apa yang Pida saksikan itu, Pida hampir-hampir turun dari kereta untuk menuju ke arah dia. Hajat Pida nak peluk mak kerana Pida terlalu rindu pada mak. Tapi waktu itu lampu isyarat sudah bertukar hijau. Pida terpaksa bergerak dengan harapan dapat beriringan dengan dia.

Tapi sayangnya kami tidak sehala. Pida terus sementara dia membelok. Lalu hilanglah dia dari pandangan. Lenyaplah mak dari alam yang nyata. Seraya itu tiada apa yang boleh Pida lakukan lagi selain terus menangis sambil meneruskan perjalanan.

Mak,

Syukurnya kerana Pida ditemukan dengan insan persis dirimu. Di alam nyata. Walaupun Pida tahu itu bukan mak, tapi semasa Pida merenungnya di balik cermin pandang belakang, Pida tatap wajahnya puas-puas kerana Pida tahun Pida akan kehilangan wajah itu. Dan memang hilang wajah itu akhirnya.

Mak,

Sekalung rindu dan doa buatmu di sana. Pida amat merinduimu, wahai mak. Setiap saat yang Pida lalui sekarang adalah kehidupan baru yang harus ditempuhi. Pida sedang sedaya-upaya membina kembali kekuatan yang telah pergi bersama perginya dirimu.

Pida akan sentiasa ingat nasihat dan pesan mak. Pida akan simpan dan pahat dalam diri segala amanah yang telah mak berikan kepada Pida selama ini.

Duhai mak, semoga mak berbahagia di sisi-Nya.

Al-Fatihah.

Saturday, January 26, 2013

SMS Kenangan

Salam kenangan,

Tadi semasa Pida membelek-belek telefon, Pida terbaca semula beberapa sms yang mak kirimkan kepada Pida.

Membaca kembali apa yang dinukilkan oleh mak benar-benar menyentap jiwa. Tak semena-mena Pida menangis tatkala meneliti setiap patah kata yang dicoretkan.

Semasa membaca mesej-mesej sms tersebut, Pida benar-benar merasakan kehadiran mak di sisi. Bahawa mak masih ada bersama di alam realiti. Tetapi Pida cepat-cepat tersedar. Rupanya itu hanyalah sebuah deja vu. Akhirnya Pida kembali buntu dalam rindu.

SMS ini tidak akan terpadam di memori telefon dan memori hati. Inilah kenangan yang mempunyai nilai sentimental tersendiri yang tidak mungkin dapat diganti.

Mak, Pida merindui mak. Hadirlah di dalam mimpi.




Thursday, January 24, 2013

Setelah kau tiada...

Salam tiada,

Dua minggu terakhir ini merupakan hari-hari yang amat berliku dilalui oleh Pida. Jalan yang dilalui penuh kesedihan, kehilangan dan kekosongan.

Sungguh, itulah apa yang Pida rasa. Setelah pemergian mak, Pida sedar tiada lagi insan istimewa itu di sisi. Setiap hari Pida menangis, menangis dan menangis. Memang hiba rasanya kehilangan ibu.

Mesti ada yang bertanya, macam mana rasa kehilangan ibu. Kosong. Diri kosong, jiwa kosong, hati kosong. Kehilangan mak tiada ganti. Seperti yang pernah Pida nyatakan, tiada suatu kasih lain yang dapat menggantikan mak yang pergi.

Setelah mak pergi,  banyak perkara yang sebelum ini sering dilakukan bersama mak, kini tiada lagi :
  • Cium tangan mak, cium pipi mak, dan mendapat ciuman daripada mak. Bab ini yang paling Pida rindukan. Perasaan rindu ini kalau hadir, memang gila.
  • Berbual bersama mak tentang semua perkara. Mak seorang yang banyak idea ketika bercakap.
  • Berlawak dengan mak. Mak suka ketawa kalau Pida buat lawak. Selalu mak cakap, "Apalah kau ni Pida..." sambil ketawa.
  • Shopping dengan mak. Mak seorang yang sangat suka membeli-belah. Dan mak tak pernah lokek belanja kalau shopping dengan mak.
  • Merasa masakan mak. Tak taulah macam mana nak menghadapi raya kali ini. Biasanya maklah yang masak ayam masak kicap, rendang dan yang paling istimewa ialah sayur lodeh mak. Istimewa rasanya tak terbanding.
  • Mendengar nasihat mak. Mak tak pernah berhenti menasihatkan Pida dan adik-beradik yang lain tentang apa-apa juga perkara termasuklah hal rumahtangga.
  • Mengadu masalah dengan mak. Pida rindukan saat-saat Pida telefon mak semata-mata nak mengadu Pida boring kat pejabat hari itu. Dan mak pasti akan bagi penyelesaian walaupun dengan hanya mendengar sahaja.
  • Dibebel oleh mak. Kalau mak datang ke rumah Pida, selalunya mak akan berleter sebab fridge Pida penuh sampai tak boleh masuk makanan yang mak bawa dari kampung. Yang bestnya, lepas tu mak kemas dan bersihkan fridge tu sampai clear.
  • Macam-macam kenangan lain yang tak mungkin dapat dilakukan  lagi selepas ini.

Betapa terlalu banyak kenangan manis bersama mak. Insan mulia yang telah melahirkan dan membesarkan Pida sehingga mempunyai kehidupan sendiri. Pida amat sedih apabila memikirkan bahawa anak-anak Pida tidak akan dapat menikmati kasih sayang mamaneh mereka lagi.  Memang terasa sungguh kehilangan mak.

Tapi sekurang-kurangnya Pida bersyukur kerana Allah telah memberikan Pida peluang untuk menjaga mak ketika mak sakit, dan yang paling mengesankan ialah apabila Pida diberi kesempatan menghadap saat mak pergi menemui Ilahi dalam keadaan kami semua pasrah, redha dan bergantung kekuatan antara satu sama lain.

Hanya orang yang sudah kehilangan ibu tahu macam mana rasanya kesedihan ini. Lebih-lebih lagi Pida memang sangat rapat dengan mak. Hakikatnya sekarang tiada lagi mak di sisi kerana mak telah tiada lagi di dunia ini. Perit tapi itulah hakikat.

Semoga Allah menempatkan mak dalam kalangan orang-orang yang bertaqwa dan diletakkan di dalam syurga yang kekal abadi.

Buat mak yang tiada, Pida amat merinduimu. Pida amat menyayangimu. Selalu.




Lagu kenangan Pida dan mak - kredit untuk pemilik video.


Tuesday, January 22, 2013

Sebuah rindu untuk mamaneh

Ke hadapan mamaneh yang amat dirindui,

Mamaneh, sudah dua minggu mamaneh pergi meninggalkan Nia buat selama-lamanya. Sampai sekarang Nia masih rasa sedih bila terkenangkan mamaneh. Nia, Aqil dan Sufi sangat merindui mamaneh.

Mamaneh,

Kesian mamaneh meninggal kerana sakit barah. Nia pernah tanya mak, mamaneh sakit apa. Mak bagitau Nia, mamaneh sakit barah. Nia tak tau barah tu apa, tapi Nia rasa mesti sakit sebab sampai mamaneh mati. Kesian mamaneh.

Mamaneh,

Nia tak puas mendapat kasih sayang mamaneh. Sekejap sangat kita dapat bersama. Mamaneh baik sangat. Nia tau mamaneh sayang sangat kat Nia dan adik-adik. Mamaneh selalu belikan Nia macam-macam. Baju, kasut, buku cerita, alat tulis, permainan, belanja makan yang sedap-sedap, dan mamaneh selalu bagi Nia duit belanja.

Mamaneh ingat tak masa Nia baby dulu, mamaneh la yang jaga Nia. Mamaneh bagi mak duduk rumah mamaneh sementara nak tunggu Nia besar. Mamaneh la yang mandikan Nia, pakaikan Nia baju, bedakkan Nia wangi-wangi. Mamaneh jugak la yang dukung Nia, pangku Nia dan berlari-lari mendapatkan Nia yang masih baby masa tu lepas mamaneh balik dari kerja.

Masa tu Nia tau mamaneh, tokyi dan semua orang melayan Nia seperti puteri. Nia dilimpahkan kasih sayang yang semewah-mewahnya. Sampai sekarang bila mamaneh dah takde pun Nia masih rasa kasih sayang mamaneh terhadap Nia. Kasih sayang mamaneh tak mati bersama mamaneh.

Mamaneh,

Mamaneh tau tak... sampai ke saat ini mak masih menangis bila teringatkan mamaneh. Mak kata mak rindu sangat kat mamaneh. Nia selalu nampak mak menangis sorang-sorang. Bila Nia tanya kenapa mak menangis, Mak jawab mak rindukan mamaneh.

Mak tanya Nia, adakah Nia nampak macam mana mak melayan mamaneh? Nia jawab ye, mak layan mamaneh dengan baik sebab mak sayang mamaneh. Mak tanya Nia lagi adakah Nia akan jaga mak macam tu jugak bila mak dah tua nanti? Nia jawab ye, dan Nia menangis sama. Lepas tu mak peluk dan cium Nia sambil sedekahkan Al-Fatihah untuk mamaneh. Mak pesan supaya Nia rajin-rajin sedekahkan al-Fatihah untuk mamaneh.

Mamaneh,

Nia kesian tengok mak, tiaji dan tiahil. Diorang nampak kuat tapi Nia tau sebenarnya diorang menangis macam mak jugak. Bila Nia tengok mak macam tu, Nia terfikir juga adakah kematian itu suatu kesedihan bagi yang masih hidup?

Tapi Nia tau mak Nia kuat. Mak kuat macam mamaneh. Kuat dan tabah. Mak nak jadi baik macam mamaneh. Nia pun tau mamaneh memang baik orangnya. Semua orang sayang mamaneh. Mamaneh pun sayang semua orang. Sebab tu Allah lebih sayangkan mamaneh dan mengambil mamaneh semula.

Mamaneh,

Nia sayangkan mamaneh. Nia sedih kerana mamaneh pergi dulu sebelum sempat tengok Nia pakai uniform pengawas. Tahun lepas mamaneh la yang tunggu Nia di sekolah sebab masa tu mak dan abah tak boleh tunggu lama-lama.

Mamaneh la yang tunggu Nia balik dari sekolah, suap Nia makan, kemaskan beg Nia dan hantar Nia ke sekolah. Rasa macam baru semalam mamaneh ada bersama Nia. Rindunya Nia pada mamaneh. Terima kasih kerana menemani Nia dulu.

Mamaneh,

Nia tak boleh lupa kegembiraan mamaneh setiap kali Nia telefon mamaneh menceritakan aktiviti Nia di sekolah. Kalau Nia demam mamaneh cepat-cepat suruh makan ubat. Kalau Sufi semput mamaneh akan risau sangat. Kalau Aqil nakal mamaneh nasihatkan supaya jadi budak baik. Sekarang mamaneh dah tak ada, Nia rindu nasihat dan suara mamaneh. Rindu....

Mamaneh,

Nia berjanji akan jadi budak baik. Nia akan ikut pesan mamaneh supaya Nia belajar rajin-rajin dan jadi cikgu macam mamaneh. Nia janji tak akan lupakan mamaneh dan Nia akan selalu sedekahkan al-Fatihah untuk mamaneh.

Mamaneh,

Selamat bersemadi mamanehku sayang... Semoga mamaneh ditempatkan bersama orang-orang bertaqwa. Semoga segala kebaikan mamaneh di dunia akan dihisab oleh Allah. Semoga mamaneh masuk syurga.

Nia sangat merindui mamaneh. Nia bangga menjadi cucu mamaneh. Terima kasih atas segala-galanya wahai mamanehku sayang...

Al-Fatihah untuk mamaneh.

♥♥♥♥♥♥♥♥♥


♥♥♥♥♥♥♥♥♥


Monday, January 21, 2013

Gerimis Di Hati (Menanti Pelangi)

Gerimis di hati belum berhenti
Sedangkan telah kuredhakan pemergian ini
Telah kuterima takdir hidupku
Bahawa kau tiada lagi bersama waktu

Tak sesaat pun aku tidak mengenangmu
Tak sedetik pun aku melupakan
Langkah-langkah longlaiku
Harus terus kugagahkan

Mungkinkah tiada kekuatan
Namun bukan menidak suratan
Gerimis ini kerana kesedihan yang tidak pergi
Gerimis ini kerana kerinduan yang tidak bertepi

Mak, di mana harus kucari gantimu
Tiada
Kerna kau tiada taranya
Kerna kau satu dalam sejuta

Wajah ini hanyalah sebuah lukisan duka
Garis-garis yang terlukis di atas kanvas luka
Adalah wajahku
Cerminanku

Mak, aku amat merinduimu
Aku rindu dirimu
Aku rindu suaramu
Aku rindu tawamu, senyummu, marahmu, lucumu
Aku rindukanmu

Tapi deritanya aku kerana kau tak mungkin kembali
Ke dunia yang fana ini
Kerna kini kau sedang didakapi
Oleh Yang Lebih Menyayangi

Wahai mak
Aku amat menyayangimu
Sehingga kita dapat kembali bertemu
Di alam yang kekal itu.

Sunday, January 20, 2013

Monolog untuk mak yang tiada

Salam monolog,

Mak,

Alhamdulillah Pida dah berjaya laksanakan majlis tahlil dan yassin untuk mak. Pida buat di surau taman Pida.

Ramai yang datang, mak. Memang murah rezeki mak. Ramai yang datang bermakna ramai yang mendoakan untuk mak dan bersedekah pahala bacaan Al-Quran untuk bekalan mak di sana.

Mak,

Kalau nak ikutkan hati yang rapuh ini, entah bilalah Pida boleh berhenti menangis. Sungguh, mak. Air mata menjadi teman setia Pida saat ini.

Tapi mak janganlah bersedih... air mata Pida bukanlah air mata yang menidakkan ketentuan takdir, sebaliknya ia adalah air mata kerinduan daripada seorang anak yang amat merindukan ibunya yang disayangi.

Mak,

Walaupun mak dah tiada, namun Pida masih merasakan kasih sayang dan restu mak. Betapa istimewanya mak sehinggakan tiada suatu kasih lain pun yang dapat menandingi kehebatan kasih mak.

Mak,

Terlalu banyak jasa dan pengorbanan mak pada kami semua. Bukan sedikit penat lelah yang mak tanggung dalam membesarkan kami tapi mak pernah menyatakannya.

Mak,

Pida terlalu merinduimu. Rindu ini umpama gunung yang membebani. Tak tertanggung, mak. Sekejap sahaja rupanya kita dapat bersama di dunia yang fana ini. Semoga kita dapat bersua kembali di alam abadi.

Mak,

Bersemadilah mak dengan aman. Hadirlah selalu dalam mimpi-mimpiku... seperti hari itu. Walaupun hanya sesaat, namun pandangan kasih dalam senyummu sudah cukup mengubat rindu.

Mak,

Semoga Allah menempatkan mak di tempat para solihin. Semoga inilah kebahagiaan yang mak kecapi kini. Jangan bimbangkan kami, kami berjanji menjadi anak soleh sejati.

Al-Fatihah buat mak yang tiada.


Thursday, January 17, 2013

Penghargaan buat kalian

Salam penghargaan,

Di sini Pida bagi pihak keluarga ingin merakamkan jutaan penghargaan dan terima kasih kepada insan-insan dan pihak-pihak yang telah berada di samping kami sekeluarga dari saat mak mula sakit, dimasukkan ke hospital sehinggalah mak selamat disemadikan.

   Keluarga dan sanak-saudara yang tidak putus-putus melawat, menziarahi, mendoakan, dan memberi bantuan sokongan dan wang ringgit.

   Rakan-rakan, sahabat-sahabat, kenalan dan jiran tetangga yang sudi melawat di hospital dan memberi bantuan sokongan dan wang ringgit.

   Guru-guru, pelajar dan bekas pelajar High School di bawah pimpinan Cikgu Shidan yang sudi mengadakan majlis yassin dan tahlil semenjak mak masih ada lagi.

   Doktor (pakar, mo dan ho), jururawat dan staf di Wad 3B, Hospital Putrajaya yang telah berusaha merawat mak sebaik mungkin dengan penuh etika, sopan-santun dan berbudi bahasa terutama Dr. Kauthar.

   Rakan-rakan FB dan blog yang mendoakan, memberi semangat dan ucapan takziah.

♥   Semuanya

Terima kasih atas bantuan, doa dan sokongan semangat yang diberikan. Tanpa kalian semua, tidak mungkin segalanya akan berjalan selancar ini. Semoga Allah membalas setiap kebaikan yang diberikan.

Terima kasih atas segalanya.



Wednesday, January 16, 2013

Rintih hati

Salam rintih,

Sudah seminggu mak pergi mengadap Ilahi. Sudah seminggu jugalah bermulanya episod baru bagi Pida tanpa ibu tercinta di sisi.

Hati masih merintih. Jiwa masih menangis mengenangkan kesedihan kerana kehilangan insan yang amat bermakna dalam hidup Pida. Bukan kerana tidak meredhakan ketentuan takdir, tetapi Pida berasakan rindu yang tak tertanggung di jiwa.

Semasa mengadap mak menghembuskan nafas terakhir pada 9 Januari lepas, Pida hanya menangis sekejap sahaja. Dari saat mak dibawa pulang menaiki van jenazah menuju ke kampung halaman, sehinggalah ke saat mak diusung semula ke dalam van untuk disemadikan, Pida langsung tidak menangis. Pada waktu itu Pida rasa kuat untuk menempuh saat itu.

Ye, Pida sangat sedih tetapi Pida tidak menangis. Pida masih boleh berbual dengan tenang dengan hadirin yang datang melawat tanpa tangis sedangkan mereka semua menangis. Semasa mencium mak buat kali terakhir setelah dikafankan, Pida hanya merasakan kesedihan yang bukan dibuat-buat tetapi masih kuat sehingga tiada air mata pun yang tumpah.

Namun sebenarnya Pida lemah. Pada keesokannya, Pida terjumpa sehelai baju arwah mak yang dipakai ketika mula-mula dimasukkan ke hospital. Baju itu belum berbasuh. Masih ada bau mak. Saat Pida mencium baju itulah Pida mula menangis tak henti-henti, sampailah ke saat ini.

Pada masa itu, Pida hanya berdua bersama ab. Saat menangis teresak-esak itu, ab turut mengangis. Ab menenangkan Pida sambil memegang Pida menyuruh Pida bersabar dan banyak-banyak sedekahkan Fatihah untuk mak. Tapi oleh kerana Pida terlalu sedih, Pida hanya terus menangis sepuas-puasnya. 

Pada masa ini barulah Pida sedar bahawa mak sebenarnya sudah tiada. Mak sudah meninggalkan Pida buat selama-lamanya. Mak pergi tak kembali.

Barulah Pida sedar bahawa tiada lagi panggilan untuk mak selepas ini. Segalanya berubah sekelip mata. Apa yang biasa dilakukan bersama mak sudah tidak upaya dibuat lagi.

Pida dan adik-beradik sangat rapat dan manja dengan mak. Walaupun kami dah besar panjang, dah ada keluarga dan kehidupan sendiri, namun mak masih melayan kami seperti anak kecil.

Kami sangat manja. Setiap kali bertemu, kami pasti akan peluk mak, cium mak, ucap I love u pada mak, makan bersama mak, bergurau dan berbual dengan begitu mesra.

Macam manalah tak rasa kehilangan kerana sekarang semua itu tidak dapat dilakukan lagi. Tiada lagi wanita yang melahirkan Pida yang boleh memberikan pelukan dan ciuman yang selama ini dilimpahkan kepada kami.

Rindunya pada mak hanya Tuhan yang mengerti. Mak segala-galanya bagi kami. Mak cukup istimewa. Mak bukan setakat mak, tetapi mak juga adalah guru, doktor, tukang masak, ustazah, dan yang paling utama, mak adalah teman hidup kami.

Mak adalah seorang yang mempunyai banyak sifat mulia. Mak tidak pernah lokek untuk bersedekah. Mak tidak pernah berkira untuk membelanjakan wang dan hartanya ke jalan Allah. Mak seorang yang pemurah. Mudah-mudahan lapanglah kubur mak berkat sedekah jariah mak semasa hayatnya.

Mak mengajar Pida untuk menjadi wanita yang kuat. Mak sendiri telah membuktikan bahawa dia seorang yang kuat. Tengoklah, kalau tidak kerana kekuatannya, mak tentu tak akan dapat bertahan selama 12 tahun mengidap kanser. Dan mak pergi ini pun setelah mak puas berikhtiar untuk sembuh tetapi kuasa Allah mengatasi segala-galanya.

Mak menunjukkan kepada Pida bahawa keikhlasan itu penting dalam diri. Buat apa-apa kena ikhlas kerana Allah. Barulah datang keberkatan dan ketenangan hati. Jangan menyakiti hati orang lain, kerana kelak diri sendiri yang rugi. Jangan mencari musuh dan jangan memusuhi. Semua itu telah mak ajarkan pada Pida.

Kalau bukan kerana mak yang mendesak Pida supaya terus belajar, mungkin Pida tidak berada di tempat sekarang. Pida terhutang budi pada mak kerana telah memilihkan laluan kerjaya untuk Pida ikuti.

Mak adalah seorang motivator yang unggul. Mak menggalakkan anak-anaknya belajar sehingga ke universiti supaya dapat menikmati kehidupan yang baik dan selesa. Alhamdulillah, semua anak mak berjaya menjejakkan kaki ke menara gading. Ini semua berkat doa dan usaha mak bersama ab tentunya.

Dan mak juga seorang nenek yang penyayang. Anak-anak Pida memanggil mak 'mamaneh'. Mamaneh sangat rajin belanja cucu-cucunya. Ada sahaja yang dibelikan untuk Rania, Aqil, Sufi, Razin dan Sofia. Kalau raya tu, kami tak pernah belikan baju kurung untuk budak-budak ini kerana mamaneh pasti akan belikan untuk mereka. Namun sedihnya semua itu sudah tiada lagi. Yang tinggal hanyalah kenangan manis. 

Pida pun tak tahulah bila Pida akan dapat kembali kekuatan diri. Sekarang ni memang Pida mudah sangat break down. Bawak kereta menangis, tengah buat kerja menangis, tengah dukung Sufi menangis, nak tidur menangis, bangun tidur menangis. Makan pun tak lalu. Paling menghibakan adalah ketika kali pertama menatap sijil kematian mak. Rasa tak jejak kaki ke tanah sewaktu melihat nama mak sebagai 'si mati'. Air mata berjurai tanpa henti.

Malam tadi Pida terjumpa bantal yang mak gunakan sepanjang berada di hospital. Bila Pida peluk bantal tu, serta-merta Pida menangis teresak-esak. Bau mak masih kuat pada bantal itu. Rasa macam dapat peluk mak kembali semasa Pida memeluk bantal tersebut. Ya Allah... deritanya menanggung rindu.

Dah seminggu Pida menangis dan asyik menangis. Pida tahu Pida tak perlu terus menangis. Pida perlu teruskan kehidupan. Pida ada suami dan anak-anak yang memerlukan perhatian Pida. Pida tahu. Cuma buat masa sekarang Pida masih terlalu terasa kehilangan mak.

Pida bersama adik-beradik lain yang menjaga mak semasa mak tak sihat. Kamilah yang memandikan mak, menyikatkan rambut mak, menghias mak wangi-wangi, mengambilkan wuduk untuk mak ketika bersolat, menyuap makan ke mulut mak dan melayan mak sehabis baik mengalahkan puteri pada waktu itu.

Takpelah, sekurang-kurangnya Pida berpeluang berbakti kepada mak sehingga ke akhir hayatnya. Tak ada apa yang Pida kesalkan. Tiada sesuatu yang Pida ralatkan. Pida buat semua itu kerana Allah dan kerana Pida sayangkan mak.

Hati ini biarlah waktu yang merawatnya. Insya Allah akan hilanglah kesedihan ini sedikit demi sedikit. Tetapi yang pasti, ingatan dan doa terhadap mak tak akan terpadam dalam diri Pida dan adik-beradik yang lain selagi hayat dikandung badan.

Sampai bila nak menangis, yang pergi tetap pergi, iringilah saja dengan doa dan ayat-ayat suci. Pida harus terus pandang ke depan, dan meneruskan tanggungjawab yang sedia ada.

Buat ab, terima kasih atas kesetiaan dan ketabahanmu. Kami akan menjaga ab sebaik-baiknya. Semoga Allah melimpahkan rahmat ke atas keluarga kita dan menempatkan mak tersayang dalam kalangan hamba-hambanya yang bertaqwa.

Al-Fatihah buat mak.


Kau sinaran bulan
Menyerikan bintang-bintang
Kaulah fajar yang menerbitkan pagi

Kausirami embun
Menyegarkan pepohonan
Kaubukakan tabir siang untukku

Kauberikan mama
Kasih sayang maha suci
Betapa agungnya
Tiada ternilaikan
Oh mama, oh mamaku
Tiada cinta yang murni
Setulus cintamu

Kusuntingkan mama
Sekuntum mawar putih
Sebagai lambang kesucian cintaku





Monday, January 14, 2013

Detik-detik kepergian mak : Sebuah nukilan rindu

Salam rindu,

Mak,

Sudah hampir seminggu mak pergi meninggalkan kami untuk selama-lamanya. Dan selama ini jugalah kami hanya mampu memendam rasa rindu di jiwa dan sebak di dada.

Mak,

Percayalah bahawa kami semua amat meredhakan pemergianmu. Biarpun berasa amat sedih, namun melihatkan mak pergi dalam keadaan tenang, kami tahu bahawa mak juga redha dengan takdir hidup mak sendiri.

Mak,

Mak tau kan, kami 6 beradik bergilir-gilir menemani mak di wad sejak mak dimasukkan ke hospital 31 Disember. Pida, Paza dan Paiz menjaga mak dari pagi sampai ke petang. Zizi, Hilma dan Afif pulak giliran malam.

Tak ada sesaat pun kami tinggalkan mak keseorangan. Ab pulak memang sentiasa menemani mak sepanjang masa. Ab begitu setia di hospital. Walaupun waktu melawat dah tamat, namun Ab tetap setia dan sabar menunggu masa melawat seterusnya di lobi hospital. Kami dah minta ab balik ke rumah berehat, tapi ab tak nak. Ab sayang sangat kat mak. Dia pun macam kami, tak nak tinggalkan mak sorang-sorang.

Mak tahu tak, setiap kali sebelum keluar meninggalkan mak, ab akan cium mak terlebih dahulu. Pida tak boleh tengok saat itu kerana Pida pasti akan menangis. Sekarang ni bila teringat pun Pida menangis. Dan mak tetap berpaling memandang ab walaupun masa tu mak dah tak boleh berkata-kata. Tetapi pandangan mata mak memberitahu betapa mak sayangkan ab dan tak mahu meninggalkan ab.

Mak,

Hari itu, 9 Januari 2013, seperti biasa giliran Pida menjaga mak di hospital setelah mengambil alih giliran daripada Zizi dan Afif yang menjaga mak pada malamnya.

Pagi tu Pida perasan nafas mak macam lelah sikit. Tetapi mak seperti biasa, sedang tidur setelah diberikan ubat penahan sakit.

Pukul 9.15 pagi, tiba-tiba mak sesak nafas. Pida panggil mak dan cuba kejut mak sambil tangan Pida pantas menekan butang merah memanggil jururawat. Sekejap sahaja jururawat masuk dan Pida bagitau mak sesak nafas.

Tak lama selepas itu doktor pakar, MO, HO dan jururawat sudah mengelilingi katil mak untuk memberikan rawatan kecemasan. Doktor meminta Pida tunggu di luar. Pada masa itulah Pida panggil ab dan anak-anak mak yang baru je pergi kerja supaya datang segera ke hospital. Sementara menunggu doktor merawat mak, Pida membacakan surah Yassin untuk mak.


SMS daripada adik Pida setelah mendapat panggilan daripada Pida supaya datang segera ke hospital.


Tak lama kemudian, seorang doktor keluar dan berjumpa dengan Pida yang sedang keseorangan membacakan yassin untuk mak di luar. Doktor wanita itu memberitahu Pida bahawa keadaan mak sudah tenat. Dia juga menerangkan kepada Pida keadaan sebenar kanser mak. Dia menyuruh Pida panggil adik-beradik yang lain dan meminta kami semua bersedia. Tambahnya lagi, pada masa ini adalah masa terbaik untuk mendekatkan mak dengan Tuhan.

Pida mendengar dengan teliti setiap perkataan yang keluar dari mulut doktor tersebut. Masa itu Pida masih tenang dan tidak menangis. Pida meneruskan bacaan Yassin sementara menunggu mereka semua selesai merawat mak dan sementara menunggu budak-budak yang lain tu sampai.

Dalam masa tak sampai sejam, semua anak-anak mak sudah berada di hospital. Setelah doktor dan jururawat keluar untuk memberi ruang peribadi kepada kami, kami semua mendapatkan mak yang sudah tenang sedikit setelah diberikan bantuan oksigen.

Mak,

Mulai saat kami menemani mak beramai-ramai pada hari itu, hanya keluarga kita sahaja pada masa itu. Ab, kami adik-beradik dan menantu-menantu mak. Sejak saat itu tidak lekang kalimah agung Laailaha Illallah diperdengarkan di telinga mak. Kami masing-masing mengucapkannya pada mak secara bergilir-gilir.

Tidak sunyi bacaan yassin dan ayat kursi memenuhi segenap ruang bilik mak. Tidak putus-putus ciuman anak-anak yang mak terima pada saat itu. Tidak senyap daripada ucapan sayang dan terima kasih daripada anak-anak mak pada ketika itu. Walaupun mak tidak mendengarnya, namun mak tetap mengalirkan air mata. Kami tahu mak sebenarnya sedar dan dapat merasakan detik-detik akhir yang penuh kasih sayang itu.

Mak,

Mak tau tak, ab adalah orang yang paling tenang ketika itu. Ab lebih banyak membisu daripada berkata-kata, tetapi gerak bibirnya tidak lekang daripada ayat-ayat suci dan doa buat mak. Ab kelihatan terlalu berharap; sekurang-kurangnya untuk seketika lagi.

Pukul 7.00 malam, mak semakin nazak. Dalam hati kami masing-masing mengerti sendiri. Kami semakin merapati mak, dan kalimah agung terus diperdengarkan di telinga mak. Kami semua tenang mak, menangis pun hanya sendiri-sendiri, tanpa bunyi.

Setelah jururawat memasang mesin nyawa di badan mak, ternyata degupan jantung mak semakin perlahan. Inilah saat yang paling sukar bagi kami, mak. Kami tak boleh berkata-kata lagi. Kami nampak mak semakin tenang, dan akhirnya apabila mesin itu mengeluarkan bunyi yang berterusan, kami menyebut "mak" dalam tangis kerana kami tahu saat itu mak telah pergi buat selama-lamanya.

Pida masih menggenggam erat tangan mak sambil tunduk menangis. Pida tahu itu adalah detik terakhir Pida bersama mak. Demi menghormati mak, kami menangis tanpa suara. Sakit di dada hanya kami yang merasa.

Mak,

Alhamdulillah, mak pergi dengan wajah tenang dan tersenyum. Kami tahu mak bahagia kerana mak pergi tidak berseorangan. Mak pergi disaksikan seluruh keluarga termasuk saudara-mara. Dan Alhamdulillah juga kerana segala urusan berjalan lancar sehinggalah jenazah mak selamat dibawa pulang ke kampung halaman mak pada malam itu juga.

Mak,

Mak tau tak, pemergian mak amat ditangisi semua keluarga. Semuanya menangis hiba saat jenazah mak dibawa ke rumah nenek, rumah tempat mak dibesarkan.

Semasa nenek mencium mak tanda redha, tiba-tiba wajah mak mengukir senyuman. Sungguh, kami semua menyaksikannya, mak. Betapa cantiknya mak ketika itu. Subhanallah, kami dapat menyaksikan kebesaran Allah di depan mata kami.

Mak,

Betapa ramainya yang melawat jenazah mak. Keluarga, sanak-saudara, rakan-rakan, kenalan semuanya ada. Guru-guru dari sekolah-sekolah lama juga sangat ramai yang datang melawat. Sampai tiga kali gelegar rumah nenek patah dek kerana terlalu ramai yang melihat jenazah mak.

Mak,

Saat memandikan jenazah mak adalah detik paling indah bagi Pida, Zizi dan Hilma. Kami pangku mak dengan penuh lembut dan kasih sayang. Kami bersihkan tubuh suci mak yang masih hangat itu sehingga wangi. Kami tatap wajah mak puas-puas dan kami peluk erat mak yang sedang berada di atas pangkuan kami. Pada saat itu terasa sungguh kasih terhadap mak. Terima kasih kerana memandikan kami sewaktu kecil dulu.

Mak,

Sesungguhnya kami sebagai anak-anak mak tidak berasa sesal atau ralat dengan pemergian mak. Kami sangat bersyukur kerana Allah telah memberikan kami peluang untuk menjaga mak. Kami jaga makan minum mak, kami bagi mak ubat, kami hantar mak ke hospital.

Mak,

Indahnya dapat menjaga mak. Indahnya dapat memandikan mak, menyikatkan rambut mak, menyuapkan mak makan, memeluk mak, mencium mak, dan segala-galanya dapat kami sempurnakan semasa menjaga mak.

Mak tau tak, anak-anak perempuan mak yang memandikan jenazah mak. Anak-anak lelaki mak yang mengangkat jenazah mak sehingga ke liang lahad. Tapi kami berenam yang menjaga mak bersama-sama. Kami puas kerana dapat berbakti kepada mak sehingga ke akhir usia mak.

Mak,

Pida bersyukur kerana Pida sempat mengucapkan terima kasih kepada mak atas segala-galanya yang telah mak berikan kepada Pida dari mula lahir sehingga sekarang. Tidak ada apa yang Pida kesalkan, insya Allah. Dan Alhamdulillah, kami semua tenang dan redha menerima ketentuan takdir walaupun kami sebenarnya masih memerlukan mak di sisi.

Kami pasrah dan yakin bahawa inilah rencana Allah yang terbaik untuk keluarga kita. Semoga kami semua diberikan kekuatan dan semangat untuk meneruskan kehidupan ini. Insya Allah kami akan jaga ab baik-baik.

Mak, berbahagialah mak di sisi-Nya. Kami tak akan lupa mengirimkan hadiah buatmu di sana. Semoga Allah mencucuri rahmat ke atas roh mak dan menempatkan mak dalam kalangan orang-orang yang bertaqwa.

Mak, kami semua amat merinduimu....

Al-Fatihah.



Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...