Tuesday, December 31, 2013

Selamat datang ke sekolah, Aqil!

Salam sekolah,

Hari Sabtu lepas Aqil telah pergi ke sekolah untuk sesi khas bagi murid-murid darjah 1. Tak sangka kejap aje masa berlalu. Rasa macam baru semalam Pida lahirkan Aqil, hari ini dia dah masuk darjah 1.

Aqil bangun pagi, bersemangat sungguh dia pagi itu sebab dia tak sabar-sabar nak pergi ke sekolah. Baju uniform kasut semua dah beli siap-siap. Semuanya serba baru kecuali spender dia masih pakai yang lama.

Sebelum pukul 8.00 pagi Aqil ditemani abah sudah terpacak di sekolah.


Inilah anak teruna saya, Aqil. Baru naik darjah 1. Tengok tu betapa segaknya anak saya mengenakan uniform sekolah. Siap bertali leher dan tidak ketinggalan beg Ben 10. Senyum meleret tanda semangat untuk bersekolah.


So far Aqil memang sangat tak ada masalah. Dia tak kisah pun abah dia. Sebab dia dah ada kawan yang juga jirannya yang juga classmate tadikanya. Beli mi siam pun sorang-sorang aje. Macam pandai je gitu.


Tapi inilah yang buat Pida geleng kepala. Belum habis sekolah, masih di dalam kelas, dia dah buat peraturan sendiri. Dia kata dia panas, jadi dia bukak tali leher dia. Tak cukup dengan itu, dia keluarkan pulak baju dia tu. Ya Allah anak aku... Lepas tu Pida terangkan pada dia, di sekolah kena ada disiplin berpakaian. Dah balik sampai rumah baru boleh keluarkan baju. Barulah dia faham.


Khamis 2 Januari 2014 ni adalah hari pertama rasmi Aqil ke sekolah. Semoga Aqil sentiasa bersemangat untuk belajar rajin-rajin dan semoga Aqil jadi budak yang baik.

Selamat bersekolah!

Wednesday, December 4, 2013

Nukilan jiwang karat buat suamiku sempena anniversary kita

Salam anniversary,

Hari ini 4 Disember 2013. Ada apa pada 4 Disember? Ada la! Hari ini hari ulang tahun perkahwinan Pida yang ke-9.

Alhamdulillah, pejam celik pejam celik dah 9 tahun Pida menjadi isteri orang. Rasa macam baru semalam je Pida mula akil baligh. Oh, cepatnya masa berlalu.

Sempena hari yang bahagia ini, Pida nak nukilkan satu kata-kata jiwang karat khas untuk suami Pida. Kalau kau jenis yang tak tahan benda-benda jiwang ni, Pida bagi dua pilihan. Satu - kau tak teruskan pembacaan. Dua - sediakan pil chi kit teck aun 2 peket.

Mari kita berjiwang karat (sila buka lagu latar Eddie Hamid seperti Rindu Serindu-rindunya atau lagu kumpulan Scoin pun boleh jugak).


Abang,

Saat kubuka mata pagi ini, aku rasa bahagia sekali. Seperti hari-hari lainnya, kau seperti selalu, mengejutku dengan menarik kakiku sehingga aku terjatuh dari katil. Dan kita terus berlari-lari berkejar-kejaran kerana aku memang pantang orang kejutkan aku dengan cara macam tu hokay.

Abang,

Selama 9 tahun hidup sebagai isterimu, aku amat bersyukur kerana dikurniakan seorang suami yang terbaik sepertimu. Aku yakin, setelah 9 tahun ini, kaulah lelaki yang benar-benar tercipta untukku. Aku jamin bang, pusing satu taman pun belum tentu akan jumpa lelaki sehebatmu. Kau memang ditakdirkan untuk menjadi milikku dulu, kini dan selamanya.

Abang,

Selama 9 tahun ini juga, aku tidak pernah kisah nak memeriksa telefon bimbitmu. Kerana aku percaya akan kejujuranmu terhadapku. Tapi sebenarnya ada aku kisah? Tapi maaflah, hari itu aku bukak juga telefonmu (itupun aku tau kau meniru lock pattern macam telefonku). Tapi tujuanku bukanlah untuk memeriksa sms atau wassapmu, namun semata-mata untuk mencari game Pou yang Rania kata dah hilang dari telefonmu.

Sampai hati kau uninstall Pou anak kita bang... penat-penat dia bela pou tu dah beso samapi level 23 kot... kau buang pou dia. Last-last, henpon aku yang menjadi pusat ternakan pou dia.

Abang,

Kau segala-galanya bagiku. Kau raja di hatiku. Kau ketua dalam rumahtanggaku, malah kau juga adalah ahli jawatan kuasa surau taman kita. Aku bangga denganmu, suamiku. Patutlah Rania menang Tokoh Kanak-Kanak Darjah 1 tahun lepas, rupanya dia mewarisi kehebatanmu. Syabas abang!

Abang,

Siapalah aku tanpa dirimu. Masihkah kau ingat sewaktu aku mengandungkan Aqil dulu, ketika itu aku terjatuh di bilik air. Kau bingkas bangun meninggalkan game Tetris yang sedang kaumain semata-mata untuk menyelamatkanku... Aku pada waktu itu baru selesai mengambil wudhu' sebenarnya.

Selepas itu kau mengangkatku, pandangan kita bertemu, dua hati menjadi satu, dan rupa-rupanya aku meneruskan solat tanpa memperbaharui wudhu'ku yang telah terbatal semasa kau mengangkatku tadi. Esoknya baru aku teringat aku sebenarnya lupa nak amik air sembahyang lagi.

Abang,

Aku mintak maaf seandainya aku gagal menjadi isteri yang baik buatmu. Aku sedar aku bukanlah manusia sempurna untuk bergandingan dengan insan sepertimu. Kau memiliki segala kriteria seorang lelaki idaman Malaya (rasa payau pulak tekak aku ni), aku beruntung kerana dalam ramai-ramai awek, akulah yang dapat memilikimu. Yahoo!

Abang,

Izinkan selamanya namamu di hati. Kau tetap di jendela kenanganku. Selagi kau setia takkan kupersia. Kita ditakdirkan jatuh cinta. Rindu-rinduan jadi kenangan. Mengusung rindu. Memori berkasih. Dua jiwa satu cinta. Akulah kekasihmu. Kau salju cintaku. Mahligaimu dari air mataku. Ehh?

Abang,

Selamat ulang tahun perkahwinan kita yang ke-9. Semoga Allah melimpahkan rahmat-Nya kepada kita sekeluarga di dunia dan di akhirat. Sayang abang ketat-ketat!



Kenangan indah selepas kita disatukan. 












Sunday, November 17, 2013

Sarapan tanda cinta

Salam sarapan,

Hari ini hari Ahad. Hari Ahad adalah hari cuti. Pida pun tak pergi kerja hari Ahad ni.

Walaupun hari Ahad, namun Pida melaluinya seperti hari Isnin, Selasa, Rabu, Khamis, Jumaat dan Sabtu. Maknanya, keje tak keje, cuti tak cuti aku tetap bangun awal. Alah bisa tegal biasa, kata makcik-makcik kampung.

Ahad hari ni istimewa sikit berbanding Ahad-Ahad yang lain. Selain istimewa kerana tak kena pergi ofis, hari ini juga istimewa kerana suami Pida telah berbesar hati menyediakan sarapan untuk kami sekeluarga.



Hidangan sarapan ini dinamakan Sarapan Cinta. Suami Pida kata ni sebagai upah malam tadi. Hoi! Jangan speku bole tak? Malam tadi aku beruskan songkok dia la!

Kau tengok la sendiri betapa kreatipnya laki aku buatkan sarapan. Ala western gitu. Dia tahu isteri dia yang biang ni suka makan western.















Waaaahhhh.... mesti ada yang kesat air liur kan? Hehehe. Maaflah bukan niat Pida nak poyo, tapi cuma nak kongsi aje menu sarapan untuk hari ini.

Biasanya kitorang sarapan jemput-jemput aje... hari ni special sikit sebab suami kata upah malam tadi. Hoi! Kau jangan speku boleh tak? Hihihi.

Selamat hari Ahad!

Friday, November 15, 2013

Hadiah note book di hari jadiku

Salam hadiah,

Sempena hari jadi Pida pada 11.11.13 baru-baru ini, Pida telah mendapat sebuah hadiah yang sangat membuatkan Pida terharu.


Inilah hadiah hari jadi Pida tahun ini. Satu-satunya hadiah yang Pida terima. Datangnya daripada seorang insan yang sangat bermakna dalam hidup Pida iaitu anak Pida, Rania.


Patutlah pagi-pagi tu Rania sibuk beria-ia cakap nak belikan mak dia hadiah. Pida tanya Rania ada duit ke nak belikan mak hadiah? Dia jawab, ada, dia guna duit belanja harian dia aje. Tak payah susah-susahlah sayang... simpan je duit tu buat beli Mamee. Tak apa, kata dia. Dia tetap nak belikan mak dia hadiah.

Petang tu, dia balik ke rumah dengan muka kecewa. Pida tanya kenapa? Dia jawab, tadi dia dah belikan hadiah, tapi hadiah tu tercicir. Esok dia belikan yang baru.

Hahahahahahhaaha! Bedebah betul Pida ketawakan dia. Aku dah cakap tak payah susah-susah belikan hadiah, kok nak beli jugak. Kan dah hilang. Nia... nia... comel jugak ko ni sekali-sekala.

Hadiah yang di atas tu adalah hadiah lain yang dia beli untuk menggantikan hadiah yang hilang itu. Muka ceria penuh cinta time dia hulur kat Pida masa tu. Sambil kesat-kesat hingus, Pida pun peluk dia dan mengucapkan terima kasih. Besarnya hati dia dapat bagi hadiah kat mak dia!



Memang terharu sangat dapat hadiah daripada Rania. Siap sampul tu yang tak tahan tu. Serebeh-serebeh pulak tu. Jom kita bukak apa di dalamnya!


Oh rupanya adalah sebuah note book! Hahahaha... kelako pulak rasanya anak aku bagi aku buku. Dia tak tau ke Pida ni dah 3 tahun tak menulis dalam buku sebab tulis dalam Galaxy Note? Huahuahua.


100 lai engkau! Jenuh nak nulis. Takpe Nia, terima kasih banyak-banyak sayang. Senang mak nak update blog bila dah ada note book ni. 


Itulah hadiah hari jadi Pida yang sangat berharga. Hadiah tanda ingatan dan kasih sayang seorang anak kepada emaknya. Pida terharu kerana Rania sanggup menggunakan wang sakunya sendiri untuk membeli hadiah tersebut. Dan Pida bersyukur kerana dalam usia sekecil itu, Rania sudah pandai menilai erti penghargaan dan menghargai.

Terima kasih anakku sayang...

Wednesday, November 13, 2013

Dialog dengan seorang Kristian

Salam dialog,

Baru-baru ini seorang vendor datang ke ofis. Tujuan dia berjumpa dengan Pida adalah untuk memperkenalkan produk terbaru dan perkhidmatan yang ditawarkan oleh syarikatnya.

Biarlah Pida perkenalkan dia sebagai Vince. Vince berbangsa India; tinggi, handsome, segak dan ada gaya. Minachi-minachi mesti jatuh cinta kalau terpandang dia. Gaya dan muka dia ada sikit-sikit macam Burn AF1 dulu. Ingat tak? Hensem kan?

Kami berborak-borak tentang hal kerja, tentang keperluan pengguna ICT di agensi Pida, tentang teknologi terbaru, dan akhirnya meleret-leret sehingga ke soal rumah, kereta dan keluarga. Mula-mula Pida ucapkan Selamat Deepavali kepada Vince memandangkan sambutan perayaan itu semakin hampir.

Mendengarkan ucapan Pida tersebut, Vince mengucapkan terima kasih tetapi kemudiannya memberitahu dia tidak menyambut Deepavali sebaliknya menyambut Hari Krismas kerana dia beragama Kristian. Tambah Vince lagi, hanya isterinya yang menyambut Deepavali kerana isterinya beragama Hindu.

Pida macam, "Emmm... ok.... so anak-anak you macam mana?"

"Anak-anak I boleh sambut mana-mana yang diorang suka. I tak suruh dan tak paksa. Lagipun diorang kecik lagi, baru 6 dan 3 tahun," jawab Vince.

Pida macam, "Emm... ok..."

Lepas tu mulut Pida ni macam takde insurans pulak bertanyakan Vince, "Habis anak-anak you agama apa?"

Dengan rileks Vince jawab, "I tak kisah. Kalau diorang nak ikut I jadi Kristian, I benarkan. Kalau diorang nak ikut mama diorang jadi Hindu pun I tak halang."

Pida macam, "Emmm... ok..." Tak abis-abis itu ajelah reaksi aku. Sebab macam agak kaget walaupun Pida sedar perkara itu bukan asing.

Vince menambah, "I kalau pergi church, I tak pernah ajak anak-anak I. Sesekali tu pernah la tapi I tak paksa. Mama diorang pun sama."

"I am very open about religion. I tak kisah anak-anak I nak peluk agama apa, I tak akan halang. Even kalau anak-anak I nak masuk Islam pun I tak kisah. Apa yang penting diorang bahagia."

Terbeliak mata Pida sambil mulut ternganga sikit.

"Betul! I tak kisah kalau anak-anak I nak masuk Islam sebab I banyak baca tentang Islam, tentang Nabi Muhammad. I know Islam is a very good religion. Even all religions are the same," semakin rancak Vince berkisah.

"No, Vince, Islam tak sama dengan agama-agama lain. Islam cuma bertuhankan Allah yang satu," Pida cuba menerangkan. Vince hanya mengangguk dan tersenyum.

Selepas itu Vince menyambung dan kali ini apa yang dikatakan sedikit sebanyak membuatkan Pida berasa riang. "I tak pernah cakap pasal agama dengan sesiapa pun even my friends kat ofis tapi dengan you I boleh berbual pasal benda ni sebab I selesa. I rasa I boleh bercakap dengan you."

Ok, Pida rasa seperti mendapat penghargaan daripada seseorang yang baru dikenali. Dan Pida betul-betul cuba untuk menjadikan perbualan kami itu santai dan positif. Dan ye, selepas Vince mengatakan dia selesa untuk bercakap tentang perkara agama dengan Pida, Pida juga rasa selesa dan yakin dengan dia.

Selepas itu Vince telah melontarkan satu persoalan yang membuatkan Pida tersentak. Dia bertanya kenapa apabila Muslim (dia sebut Muslim) berada bersama-sama non-Muslim, Muslim itu tidak berdakwah mengajak non-Muslim tersebut mengenali dan memeluk Islam?

Terus-terang Pida katakan, Pida tak dapat menjawab soalan tersebut. Pada Pida berat sungguh soalan itu. Kena jawab dengan penuh hikmah supaya tidak menimbulkan kontroversi. Lama Pida diam dan menarik nafas dalam-dalam. Pida tau Pida kena jawab jugak soalan itu.

Pida masih menarik nafas dalam-dalam. Kristian di depan Pida ini sungguh ingin tahu kenapa orang Islam tidak mengajak orang bukan Islam memeluk Islam dalam keadaan biasa seperti ketika berbual seperti ini.

"Vince...," Pida mula bersuara. Tapi masih tersekat di situ. Vince betul-betul mencabar Pida!

"You kata you banyak membaca tentang Nabi Muhammad kan? You tahu Nabi Muhammad seorang pendakwah kan?" Pida bertanya Vince.

"Yes...," Vince membalas.

"Apa yang you baca tentang cara dakwah Nabi Muhammad?" soal Pida lagi. Sebenarnya Pida berkira-kira apa jawapan yang nak diberi.

Vince hanya mengangkat bahu. Mungkin dia hanya ingin menguji.

"Sebenarnya tidak ada paksaan dalam Islam," Pida mula berkata-kata. Mukadimah bagi jawapan kepada persoalan Vince yang mungkin menjawab persoalan dia dan mungkin tidak.

"Ye, I pernah dengar pasal tu. Maksudnya orang Islam tak boleh memaksa orang bukan Islam yang lain untuk memeluk Islam kan?" Vince merungkai maksud dengan tepat. Hebat dia ni, banyak membaca luas pengetahuannya.

"Ye, betul tu. Tapi apa yang you nampak bila you tengok I?" Pida bertanya lagi.

"I nampak you sebagai perempuan Islam. I nampak you pakai tudung sebab you orang Islam," dia menjawab.

"You tak nampak ke apa yang I cuba nampakkan?" Pida meneruskan pertanyaan.

"Emmm... I tak faham," Vince menyahut.

"Islam itu adalah cara hidup. Islam is the way of life," Pida menyusun kata. Pida harap sangat dia faham dan dapat menangkap maksud yang cuba Pida sampaikan.

"Kami orang Islam menunjukkan cara hidup kami sebagai orang Islam dan kami menonjolkan akhlak dan sifat yang baik sebagai orang Islam sebab Islam adalah cara hidup," Pida terus menuturkan bicara. Vince mula berfikir-fikir.

"Kalau you kata orang Islam tak berdakwah dengan orang bukan Islam supaya memeluk Islam, mungkin andaian you tak berapa tepat."

"Menunjukkan akhlak dan perlakuan Islam yang sebenar terhadap orang bukan Islam adalah salah satu cara kami berdakwah. Kami tak akan suka-suka paksa orang bukan Islam masuk Islam hanya semata-mata untuk menjadi Islam. Kerana Islam itu sendiri amat menghormati dan bertoleransi dengan agama lain."

"Sebab itu dalam Islam itu sendiri tiada paksaan untuk mengajak penganut agama lain memeluk Islam. Cukup dengan menunjukkan kebesaran Allah, bukti kebenaran di depan mata dan yang paling penting, akhlak kami sendiri sebagai penganut agama Islam yang harus dihighlightkan kerana tarikan kepada agama Islam itu datang secara halus. Itu yang dinamakan hidayah," kemain panjang lebar Pida bercakap.

Vince mengangguk-anggukkan kepalanya. Mungkin dia faham atau mungkin dia semakin tak faham.

"Ok, I rasa I dah tau kenapa kawan-kawan Islam I tak pernah suruh I masuk Islam. Sebab you all tak boleh paksa I masuk Islam macam gitu aje kan? You kena tunjukkan contoh yang baik dalam agama you sebelum non-muslim tertarik dengan Islam kan?" soal Vince untuk kepastian.

"Haaa, pandai pun you!" Pida menjawab sambil gelak-gelak. Akhirnya kitorang pun gelak-gelak aje selepas itu.

Perbualan yang santai tetapi berat itu merupakan satu pengalaman baru buat Pida. Pida sedang berhadapan dengan seorang Kristian yang setia pada agamanya, tetapi dalam masa yang sama rajin membaca tentang agama-agama lain. Tujuannya untuk mencari kesamaan atara semua agama. Dan baginya, semua agama itu sama iaitu mengajak kepada kebaikan.

Dalam hati Pida berharap, Vince akan mendapat hidayah untuk mendakapi Islam jua suatu hari nanti. Hanya Allah yang berkuasa menentukan segalanya. Siapa tahu?







Monday, November 11, 2013

Happy birthday Pida!

Salam happy birthday,

Hari ini, 11.11.13 adalah hari ulang tahun kelahiran Pida yang ke-jeng jeng jeng! Umur adalah dirahsiakan. Mana boleh bagitau umur, nanti kau tau la umur Pida dah 35 tahun.

Alhamdulillah, bangun-bangun pagi je bila mendapati diri Pida masih hidup, Pida terus mengucapkan syukur ke hadrat Allah yang masih memberi Pida peluang bernafas di marcapada ini.

Syukur kerana masih ada kesempatan untuk bertaubat daripada dosa-dosa silam dan syukur kerana masih ada ruang untuk mencurahkan kasih sayang kepada mereka di sekeliling Pida.

Walau bagaimanapun Pida sedikit sedih kerana ini adalah tahun pertama Pida menyambut hari lahir tanpa mak di sisi. Tadi belek-belek album masa kecik-kecik dulu, tiba-tiba Pida menangis sebab terpandang gambo mak tengah dukung Pida masa baby dulu. Rindunyaaaa kat mak.

Hari ini juga Pida banyak menerima ucapan hari lahir sama ada ucapan dari mulut ke mulut, ucapan lisan, ucapan di media maya seperti di Facebook, whassap dan sms. Pida mengucapkan ribuan terima kasih kepada kawan-kawan dan handai taulan yang sudi mengucapkan selamat hari jadi kepada Pida. Love you all so much!

Hari ini juga adalah hari yang sangat menggembirakan. Rasa seronok dapat menyambut hari lahir bersama suami dan anak-anak tercinta, keluarga dan sahabat-sahabat jauh dan dekat. Terasa diriku begitu berharga.

Namun terasa amat dekat dengan kematian. Bila umur semakin bertambah ni, memang ajal semakin mendekat. Masih terasa serba tak cukup bekalan yang nak dibawa ke kubur. Harap-harap Pida masih sempat menggunakan baki umur yang ada ini untuk mengubah diri menjadi lebih baik.

Oklah, setakat ini Pida belum lagi mendapat sebarang hadiah besday. Oh ada, tadi member-member satu jabatan belanja makan nasik arab kat Restoran Hadramawt. Dia punya nasi kabshah kambing.... pehhhh meleleh wa cakap lu! Terima kasih kepada kawan-kawan seofis.

Tapi pada hari ini Pida telah menerima sekeping kad hari jadi yang sangat istimewa. Inilah satu-satunya kad yang Pida terima pada hari ini. Terharu betul dibuatnya.


Tadaaa!!! Inilah kad ucapan hari lahir yang Pida terima tu. Daripada syarikat insurans Etiqa. Hahaha. Kau hado?

Monday, October 28, 2013

Cenderahati JDT untuk si buah hati

Salam cenderahati,

Sementara menunggu ketibaan kacang pool yang dipesan, Pida berlenggang-lenggok jalan menggedik menuju ke booth barangan JDT yang terletak di hujung gerai. Di sini, terdapat banyak barangan dan cenderahati JDT yang boleh didapati.

Kalau kau nak beli jersi JDT, kat sini pun boleh beli tapi dia jual yang gred AAA. Nak ori pegi mintak TMJ laaa... Selain itu ada jugak jualan topi, beg sekolah, mafla, topi, songkok JDT dan stiker.

Dalam banyak-banyak barang yang dijual tu, Pida telah membeli beberapa cenderahati yang tidak kedapatan di luar negeri Johor. Pida beli semua ini khas untuk anak-anak Pida yang asyik kena tinggal aje kat rumah tu. Kesian bapak diorang... eh?



Ini lambang yang dibanggakan oleh orang-orang Johor. Walaupun JDT tidak terus mara dalam kempen Piala Malaysia kali ini, namun kesetiaan tetap utuh.

Ini corak celoreng mafla yang sedang trending. Harga : RM35.

Pida belikan topi JDT sorang satu untuk Rania, Aqil dan Sufi. Sebenarnya Pida dah lama berkenan dengan topi-topi cute ni bila tengok orang pakai. Harga Pida : RM50 (3 biji topi)

Yang ni untuk Rania. Kah Kah Kah! Lawak la engko Rania, ada ke ko pakai topi cenggitu. Jersi JDT tu memang dah lama beli.

Yang ni untuk Aqil. Kemain lentok lagi dia. Alololo.... ko ingat ko comel?

Yang ni pulak untuk Sufi. Eeeee.... cutenya dia, macam abah dia.

Rania memang anak jati Johor. Dalam surat beranak dia tulis tempat lahir di Johor. Yang lagi dua tu lahir kat Selangor. Sebab tu Rania bentangkan mafla ni kasi panas kat Aqil dan Sufi.


Begitulah Pida, kalau pergi ke mana-mana untuk tugasan luar, Pida mesti akan bawak balik sesuatu untuk dihadiahkan kepada anak-anak yang setia menunggu di rumah walaupun hanya sebatang pensel hotel.

Bila tengok diorang bersorak gembira kerana mendapat hadiah daripada mak diorang ni, Pida lagilah rasa bahagia. Hilang penat lelah 3 hari meninggalkan mereka di rumah.

Dan untuk suami yang selalu jugak kena tinggal, Pida memang tak lupa bawakkan untuk dia jugak. Apam balik.

Saturday, October 26, 2013

Kacang pool yang cool!

Salam kacang pool,

Hari tu Pida pergi ke Johor Bahru (JB) atas urusan kerja. Kami orang Johor kalau merujuk kepada JB, kami akan sebut Joho. Kami tak panggil JB. Jadi kalau kami sebut Joho tu, sebenarnya kami maksudkan JB.

Kalau kau nak tau, Joho tu bukan asing bagi Pida. Lepas SPM dulu Pida berulang-alik dari Pontian ke Joho pada setiap hari sebab masa tu Pida belajar di sebuah kolej swasta di sana.

Pida juga pernah bekerja di Joho, di Wisma Persekutuan sebagai budak pencacai. Lepasan SPM mana ada jawatan pegawai. Pencacai tu dah kira terhormat la tu. Yang penting setiap bulan mesti pau mak dan ab duit sebab gaji Pida masa tu kecik giler. Ada ke kerajaan bagi aku RM400 je masa tu? Ceh, tak pasal-pasal aku salahkan kerajaan pulak. Dah diri sendiri yang kuat monteng (dulu gaji hari), mana nak masyuk.

Pida juga boleh la dianggap sebagai Kak Long kawasan Joho. Mana aje ceruk Joho yang aku tak terokai. Sampai ke Kong Kong tu pun aku dah sampai hahaha. Giler aktif aku dulu. Kau jangan ingat aku kutip wang perlindungan pulak. Masa tu zaman lepak kat Best World, sekarang Best World dah jadi tempat jin bertendang.

Tapi itu cerita dulu, cerita 18 tahun dahulu. Kepulangan Pida ke Joho kali ini, dalam hati Pida terus bernyanyi, "Joho yang dulu bukanlah yang sekarang..." Serius Joho dah jauh berubah. Banyak flyover. Tapi sedikit sebanyak Pida masih boleh mengingati jalan.

Alang-alang dah sampai Joho ni, Pida pun merancang untuk makan sesuatu yang menjadi signature negeri Johor Darul Takzim nan bertuah ini iaitu kacang pool.


Inilah gerai kacang pool yang sangat terkenal di seluruh semesta negeri Johor dan seantero Malaya. Kacang pool Haji. Gerai ini terletak di Larkin berdekatan Balai Bomba. Waktu perniagaan dia memang terbaik - dari  jam 7.00 pagi hingga 12.00 malam. Kau mampu?

Brader yang tampan ni sedang menyediakan roti bantal yang dipotong tebal. Roti itu kemudiannya disapukan marjerin dan dibakar sehingga garing dan kekuningan. Pida suka tengok brader ni buat kerja. Cepat dan cekap. Gerenti KPI tercapai.

Ini adalah sekumpulan roti-roti yang sedang dibakar sehingga garing. Tengok, brader ni potong roti pun sekata aje. Terreris sungguh.

Selain roti bantal yang dibakar, telur mata juga merupakan aksesori kacang pool. Telur-telur digoreng di dalam acuan khas supaya saiznya nanti sama besar dan nampak comel. 

Ini antara telur mata yang telah siap dan menunggu giliran untuk dijadikan hidangan. Oleh kerana pelanggan sentiasa ramai dan tidak putus-putus, maka brader tadi perlu menyediakan stok yang banyak.


Dan.... tadaaa!!! Inilah kacang pool yang menjadi kegemaran rakyat Johor. Kuah kacang pool yang pekat, dibubuh telur mata, diserikan dengan hirisan lada hijau dan bawang dan diselitkan potongan limau kasturi. Roti tu disiat-siat pastu cicah dengan kacang pool ni. Rasa dia... pehhhh meleleh wa cakap lu! Harga satu set ialah RM4.00 sahaja. Makan dua tiga set pun takkan jatuh miskin.

Sempat jugak Pida menyinggah di sebuah booth yang menjual barangan JDT di hujung gerai kacang pool ni. Ada la beli sikit-sikit buat cenderahati nak bagi kat budak-budak di rumah tu. Amacam? Comel tak aku?


Jadi, untuk kau yang teringin nak makan kacang pool, bolehlah datang ke Gerai Haji ini. Orderlah banyak-banyak. Kalau rasa-rasa tamak, order terus 500 set.

Sekalung penghargaan buat brader tadi yang mengizinkan Pida mengambil gambo. Semoga perniagaan awak bertambah maju dan murah rezeki. Ceh, awak tuuu....



Sunday, October 20, 2013

Darmawisata - Langkawi Skycab (Langit dan bumi bukan ukuran)

Salam langkawi,

Baru-baru ini Pida telah mengikuti rombongan Cik Peah Ronggeng ke tanah lagenda, Pulau Langkawi. Ini merupakan kali ke-5 Pida mengunjungi pulau lagenda yang terkenal dengan kisah Mahsuri ini.

Oleh kerana ini bukanlah kali pertama kunjungan Pida ke sini, maka destinasi Makam Mahsuri tidaklah tertulis di dalam senarai 'jom-pergi' lawatan kali ini. Lagipun Pida dah 2-3 juga ke Makam Mahsuri ini, dari start batu nesan yang lama sampailah dah tukar baru sekarang.

Pulau Langkawi dah banyak tempat menarik berbanding 10-15 tahun dahulu. Ketika kali pertama Pida menjejakkan kaki ke sini pada tahun 1994 dulu, tidak terbina lagi Underwater dan Oriental Village. Dalam lawatan ini, Pida berpeluang melancong ke Oriental Village.


Inilah pintu masuk utama yang menyambut kedatangan pengunjung ke Oriental Village ini. 

Bercakap mengenai Oriental Village, Pida nak membawa kau bersama-sama menikmati kunjungan Pida ke sini. Nak tau apa yang ada di sini? Jom ikut Pida jalan-jalan cari pasal!


Haaa! Inilah tarikan utama pelancong ke Oriental Village ini. Langkawi Skycab atau kereta kabel. Dah lama Pida kepingin nak naik kereta kabel Langkawi ni, baru ini daku mendapat.

Harga tiket berbeza tau. Kalau kau orang Malaysia, tunjukkan MyKad, dapat harga tiket RM15 aje. Kalau kau warga Myanmar atau Republik Chech, harga tiket yang dikenakan ialah RM30. Haa... bersyukur la jadi rakyat Malaysia, dapat tiket murah. Kalau komplen mahal, pergi naik kabel car kat Burkino Faso!


Yeay! Cable car saya dah sampai!

Adakah tuan-tuan semua ingat kita ni saja-saja aje naik cable car? Tidak tuan-tuan, sebenarnya tujuan kita naik skycab ini adalah untuk menuju ke puncak Gunung Mat Chincang yang terletak 713 meter dari aras laut. 

Dalam perjalanan menaiki skycab sepanjang 2.2 km menuju ke puncak Gunung Mat Chincang ini, Pida bertuah kerana dapat menikmati pemandangan indah  Pulau Langkawi. Tak berkedip mata menyaksikan kecantikan pulau-pulau dan lautan yang membiru serta gunung-ganang dan pokok-pokok yang menghijau terbentang di depan mata. Serius tak berkedip! Subhanallah!

Itu adalah Langkawi SkyBridge (jambatan gantung) yang sedang ditutup untuk kerja-kerja penyelenggaraan. Rugi ooo tak dapat main-main kat situ.

Pida berhenti di stesen puncak gunung. Di sinilah pengunjung boleh terbuai dalam keasyikan menonton panorama indah ciptaan Tuhan. 











Pemandangan bagai lukisan di atas kanvas.

Perjalanan turun dari puncak gunung lebih menarik kerana SkyCab meluncur lajuuuuuu gitu. Nasib baik Pida ni bukan jenis gayat, jadi sepanjang masa tu mata Pida terbelolok tengok itu dan ini. Rasa sayang nak kelipkan mata, takut terlepas pemandangan indah.


Akhirnya Pida dan kawan-kawan seSkyCab selamat menjejak rumput di bumi setelah berada di langit yang tinggi tadi. Rasa seronok dan puas dapat naik SkyCab. Kami meneruskan jalan-jalan sehinggalah sampai ke satu destinasi yang memang tak akan Pida lepaskan!


Cinemotion. Bukan setakat 3D, tapi 6D wa cakap lu!

Nasib baik wa tak mengandung time ni, kalau tak putih mata nak duduk atas kerusi dia yang goyang-goyang macam orang kena rasuk setan tu. Tajuk movie masa tu ialah Grand Canyon ke apabendatah... tapi best giler la. Menjerit-jerit aku kat dalam tu masa roller coaster tu terlepas ke gaung pastu ada bola-bola api dengan air terpercik-percik pastu landasan terputus tiba-tiba dengan masuk gua lagi... Arghhhh!!! Bestnya! Harga tiket RM18. Tempoh tayangan 5 minit ajer... 


Lepas tu kitorang jalan-jalan sikit sekitar Oriental Village ni. Tapi tak banyak gambar yang diambil. Ada la sikit ni haa...


Deretan kedai yang banyak terdapat di sini. Kebanyakannya menjual pakaian dan cenderahati. 




Sebenarnya Pida tak habis round kat Oriental Village ni. Sebab tujuan utama cuma nak naik SkyCab aje. Tengok Cinemotion tu kebetulan panggung dia sebelah SkyCab.

Ada banyak lagi tarikan di sini seperti kereta Amphibian iaitu bot bentuk itik yang membawa pengunjung mengelilingi pulau, dan juga permainan basikal air. Boleh juga naik kuda. 

Puas hati beb dapat naik SkyCab. Bila dah sampai di atas puncak sana, ternyatalah bahawa langit dan bumi bukan ukuran.


*Semua gambar adalah milik Pida. Diambil dengan Galaxy Note 2.



Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...