Friday, September 18, 2015

Darmawisata Perak IV : Resort Tasik Raban, Lenggong

Salam resort,

Balik dari menziarahi Perak Man, Pida dan keluarga tak tau nak pergi ke mana. Sebenarnya kami merancang untuk meneruskan perjalanan ke Batu Gajah, tetapi memandangkan jam dah pukul 3 petang, Ab mencadangkan agar kami cari hotel untuk bermalam.

Kalau ikutkan tenaga muda Pida ni, setakat pukul 3 petang tu masih terlalu awal untuk carik hotel. Balik ke KL terus pun Pida rasa boleh lagi. Tapi Ab dan Ummi kan kategori kilauan emas, diorang mungkin dah penat dan rasa nak berehat sambil baring-baring kot.

Ab mencadangkan agar kami bermalam di Resort Tasik Raban yang terletak tidak jauh dari Galeri Arkeologi Lembah Lenggong. (Masih di dalam daerah Lenggong).

Lenggong pada Pida adalah sebuah daerah yang sangat cantik dan tenang. Kiri kanannya dipenuhi dengan bukit-bukau yang saujana mata memandang. Memang kau takkan dapat la pemandangan indah dan penuh kehijauan seperti ini di KL.

Sebelum jam 4 petang kami dah sampai ke resort ini. Tidak susah untuk sampai ke sini kerana papan tanda boleh dilihat dengan banyak dan jelas.

Sebuah pintu gerbang menyambut kedatangan kami sebaik sampai di Resort Tasik Raban ini. Seperti namanya, tempat penginapan ini dikelilingi oleh Tasik Raban yang indah.


Resort ini dikelilingi Tasik Raban dan bukit-bukau. Udaranya sungguhlah nyaman; kabus menyelubungi diriku yang kesepian, bagai berada di dalam compressor aircon.

Ini adalah antara jenis-jenis chalet yang terdapat di resort ini. 

Pida menginap di chalet ini. Harganya RM130 semalam. Itu harga semalam. Harga hari ini pun RM130 jugak. Tapi kalau bukan hari Sabtu, Ahad atau cuti kelepasan am, harganya ialah RM120 semalam. Hari ini pun harganya RM120 kalau bukan hujung minggu dan hari cuti umum. Errr.. kau faham tak lawak aku ni? Lawak aku ni untuk orang-orang yang berintelektual tinggi aje.

Chalet penginapan Pida ini menghadap tasik. Tasik apa kautanya? Tentulah Tasik Raban, takkan Tasik Kenyir pulak. Meraban la kau ni.


Antara kemudahan yang disediakan oleh pihak resort ialah taman permainan untuk kanak-kanak dan peralatan senaman untuk orang dewasa. Masa Pida pergi tu tak ramai orang sangat, so anak-anak Pida je yang command and conker taman permainan ni.

Ini kalau kau nak buat senaman ringan ke berat ke ala-ala gimnasium gitu. 

Pandangan manja Muhaimin vs pandangan seram Sufi.

Aktiviti berbasikal juga boleh dilakukan di resort ini. Basikal boleh disewa dengan harga RM3 sejam. Nak jimat punya pasal, Pida sewa sebijik basikal, main kongsi-kongsi dengan adik Pida. Siap bawak penumpang lagi. Yeay! Berjaya juga memperdayakan pihak resort. Jimat RM3.00.

Nia dan Aqil sewa sorang sebijik. Pida dengan adik Pida je kongsi sebab nak jimat. Psstt.. jangan bagitau resort tau. Nanti diorang tau taktik penjimatan Pida.

Yang agak tak best tentang penginapan di resort ini ialah selimut yang disediakan adalah nipis. Tau tak betapa sejuknya kat Tasik Raban ni? Pida terpaksa main tarik-tarik selimut dengan Sufi sebab tak tahan sejuk. Kalau dia bagi selimut yang tebal macam hotel tu baru cun.

Lepas tu, channel TV cuma dapat siaran 8TV aje. Laki aku gigih carik channel, tukor setting, mintak booster bagai, tapi last-last satu channel tu je. Tapi Pida tak kisah sangat pun, sebab Pida jenis tak tengok tv.

Kami bergambar di tepi Tasik Raban selepas menikmati sarapan pada keesokan harinya. 

Resort Tasik Raban ni tak ada kafe. Jadi kalau nak makan, kena keluar. Tapi taklah jauh mana pun. Sampai area-area Bukit Jenalik kat Sauk tu je.

Masa lalu Bukit Jenalik tu kan, tiba-tiba teringat peristiwa Al-Maunah yang pernah menggemparkan negara suatu ketika dulu. Memang hutan tebal beb, siapa sangka ada gerila kat atas tu. Semasa zaman komunis dulu pun, hutan-hutan di Grik (yang berdekatan dengan Lenggong) adalah tempat persembunyian komunis.

Selepas bersarapan pagi, kami pun meneruskan darmawisata ke Batu Gajah. Nak tahu apa yang kami buat di sana? Mohon tunggu!


Monday, September 14, 2015

Darmawisata Perak III : Perak Man, Lenggong

Salam perak man,

Sebut Perak Man je mesti kau dah terbayang sesuatu kan? Yeszaaa...!!!!

Selepas berjaya menteramkan Muhaimin yang mengaruk-ngaruk di dalam kereta sekembalinya dari melawat Galeri Sultan Azlan Shah, kami meneruskan aktiviti jalan-jalan cari jantan di lokasi seterusnya.

Hey! U kata ai gedik? Memang ai gi jalan-jalan carik jantan hokay. U nak tau ai carik jantan tu di mana?


Di sini! Di Galeri Arkeologi Lembah Lenggong. Jarak dari Kuala Kangsar ialah 30 kilometrico.

Di dalam galeri ini tinggal seorang jejaka yang dikenali sebagai Perak Man. Yang tak tau Perak Man tu, sila Alta Vista atau Yahoo ye. *Buat adik-adik Gen-y dan gen-z, Alta Vista tu dulu enjin carian yang utama dan popular dalam tahun 1995, macam google sekarang ni. Ada paham?

Perak Boys.

Di bahagian luar galeri, banyak terpampang bunting promosi tentang Perak Man ini. Tidak dinafikan, Perak Man adalah tarikan utama pengunjung untuk ke galeri ini. Kalau bukan kerana beliau, Pida percaya takde sesiapa yang nak pergi ke sini kecuali mereka yang betul-betul nak buat kajian tentang arkeologi.


Jadi terima kasihlah kepada pihak yang membawa Perak Man kembali ke Lenggong ini. Sekurang-kurangnya kepulangan Perak Man dapat meletakkan daerah ini di peta pelancongan dan meningkatkan ekonomi negara khususnya kepada sektor pelancongan negeri Perak. Perghhh cakap tak nak kalah aku ni.

Perak Man diangkat sebagai Warisan Kebangsaan oleh kerajaan Malaysia melalui Jabatan Warisan Negara. 

Haa! Nampak tak? Itulah Perak Man. Tu! Tu! Yang kat dalam tu! Ok takpe, kitazoomjiked.

Inilah dia rangka asal Perak Man. Ori ye, bukan replika gred AAA tau.

Kalau dia suruh Pida susun balik puzzle ni jadi rangka yang betul, memang sah-sah aku kecundang. Sebab, Pida ni memang lemah sikit main jigsaw puzzle. Lagipun aku ni failed sikit bab-bab anatomi ni. Kang aku susun kepala ke bawah.

Diceritakan di sini bagaimana Perak Man dikebumikan pada masa itu. Tiada kafan, tiada talkin, yang ada hanyalah haiwan-haiwan yang dijadikan 'bekalan'  untuk Perak Man.

Lelaki dalam gambar di atas ini bukanlah jelmaan Perak Man, sebaliknya beliau melakonkan semula kedudukan Perak Man ketika dikebumikan. Kira lenguh jugak Perak Man dalam keadaan begitu kan? Eh tapi kan masa tu dia dah mati.


Macam tulah gamaknya Perak Man ditanam selepas kematiannya dulu.

Yang ni best. Tengok, Perak Man pun ada MyKad tau. Kellas kau! Oh ye, hasil 'bedah siasat' dan siasatan pakar geologi mendapati Perak Man dikatakan mempunyai kecacatan di bahagian tangan (lemah atau atrophied) dan satu jari yang cacat. Macam yang digambarkan di atas inilah. Penemuan yang menarik kan?


Pida nak kongsikan proses pencalonan tapak warisan dunia Unesco. Oleh sebab Perak Man ini dijumpai di tanah tumpah darahnya iaitu daerah Lenggong, maka Tapak Arkeologi Lembah Lenggong telah diiktiraf sebagai Tapak Warisan Dunia UNESCO sebaris dengan Taman Negara Mulu, Taman Negara Kinabalu, Georgtown dan Melaka. Jadi orang-orang Lenggong, silalah berbangga!

Pemandangan di dalam galeri ini.



Pemandangan dari atas. Yang kau nampak rangka tu bukannya Perak Man, tapi hanyalah replika. 

Ini pula waris-waris Perak Man yang masih belum dikenal pasti kesahihannya. Kerana mereka enggan memberikan bukti-bukti DNA. 


Demikianlah lawatan singkat Pida ke Galeri Arkeologi ini. Lepaslah hajat nak berjumpa dengan Perak Man yang masyhur ini. Bawaklah anak-anak ke sini, ia sangat bagus dan bermanfaat untuk mencari susur-galur tamadun manusia khususnya di Tanah Melayu ini.

Ok, Pida nak teruskan perjalanan!


Episod I - Masjid Ubudiah

Episod II  - Galeri Sultan Azlan Shah







Wednesday, September 9, 2015

Darmawisata Perak II - Galeri Sultan Azlan Shah

Entry ini adalah episod kedua siri maraton darmawisata Perak selepas episod pertama.

Salam galeri,

Usai beriktikaf di Masjid Ubudiah, kami sekeluarga meneruskan lawatan ke Galeri Sultan Azlan Shah yang terletak berhampiran dengan masjid ini.


Ini pintu masuk. Sebelum masuk kau kena la beli tiket dulu. Kau ingat free-free je nak masuk? Bayarlah sikit derr... Harga tiket kalau tak silap Pida, RM5 dewasa kot. Ntahlah lebih kurang gitu lerr harga dia aterrr... Sebab bukan Pida yang bayar tiket.

Masuk-masuk je ke dalam kawasan istana ni, perghhh!!! Terkesima mak. Cantiknya bangunan ini. Macam istana zaman silam. Sungguh indah bagai rumah sendiri.

Tengoklah kolam air pancut yang memaparkan sebiji labu sayong gergasi. Ada ke pembaca Ohpida yang masih tak tau labu sayong ni merupakan ikon negeri Perak? Ikon, bukan Akon! Akon tu rapper kulit hitam.


Ni haa, Akon. Hahaha.
Dah kenapa ko masukkan aku dalam blog ko ni Pida?


Saksikanlah betapa indah dan berseninya bangunan istana ini. Memang teruja melihatnya.




Lanskap taman yang cantik dan mendamaikan.


Di dalam galeri ini, terdapat bermacam-macam jenis pameran berkaitan koleksi peribadi seperti pakaian Sultan Azlan Shah dan Sultanah, peralatan-peralatan kebesaran diraja seperti lembing, payung dan peterana yang digunakan dalam istiadat rasmi.

Selain itu, pengunjung juga boleh menyaksikan sejarah pemerintahan almarhum termasuk beberapa dokumen asal tulisan tangan almarhum ketika menjadi Ketua Hakim Negara.

Sayangnya pengunjung tidak diizinkan mengambil gambar di dalam galeri. Nak cerita banyak-banyak pun tak reti, sebab banyak sangat yang boleh dilihat di dalam galeri ini. Semuanya wow! wow! belaka. Memang takdelah setakat kau anak orang kebanyakan ni nak merasa tu semua. Hihihi...

Pida juga berpeluang melihat kenderaan-kenderaan rasmi yang pernah digunakan oleh almarhum termasuk kereta Rolls Royce. Apa yang menarik, galeri ini juga mempamerkan basikat tua dan lanca yang pernah dinaiki almarhum ketika zaman sekolah dulu.

Bagus juga dapat melawat galeri ini. Sekurang-kurangnya Pida dapat merasa fefeeling princess ketika melihat tiara berlian, persalinan diraja yang lawa-lawa dan mewah-mewah, beg tangan emas bertatah zamrud dan hadiah-hadiah persembahan yang fuhhh!!! Serba mewah!!! Ya Allah dapat berangan je la. Takpe, berangan tak kena bayar.

Selepas lebih sejam di galeri ini, kami pun pulang. Pulang ke mana? Haaa, itu dalam episod ketiga ye adik-adik.

Oh ye, nak tau tak, masa dalam perjalanan balik tu kan, si Muhaimin yang sejak tadinya diam aje fefeeling budak baik kan, tiba-tiba mengamuk sakan dalam kereta. Menangis terjerit-jerit, Pida nak dukung dia tak mau. Meronta-ronta menendang-nendang dalam kereta sampai termuntah-muntah dia.

Pelik dengan kelakuan Muhaimin, kitorang yang ada dalam kereta tu pun bacalah apa-apa yang patut. Baca ayat kursi, Fatihah., qul huallah, alam nasyrakh, tabbatyadaaa, doa makan pun baca.... semua kitorang baca tapi Muhaimin masih mengamuk-ngamuk.

 ----->>> Flashback : Tadi pergi kawasan makam, lepas tu pergi masuk galeri yang banyak barang-barang lama dan patung-patung. Atau mungkin memang dia tengah penat dan saja-saja rasa nak mengaruk.

Hmmm.... kenapa ye? Wallahuálam.



Monday, September 7, 2015

Darmawisata Perak I : Masjid Ubudiah Kuala Kangsar

Salam masjid,

Salam sehati sejiwa, salam 5 jari kuhulurkan demi ikatan ukhuwah yang hampir terputus.

Sempena cuti merdeka baru-baru ini, Pida berpeluang mengisi masa dengan menjejakkan kaki ke negeri Perak Darul Ridzuan. Sebenarnya Pida menghadiri majlis perkahwinan saudara rapat di Taiping. Alang-alang dah ke sana tu Pida luaskanlah kuasa menjelajah ke beberapa tempat di negeri yang cantik ini.

Oh ye, entry Darmawisata Perak ini sepatutnya dikarang secara maraton. Maknanya, bukan hanya cerita Masjid Ubudiah ini sahaja, tapi ada juga kisah-kisah bohong Pida ke tempat-tempat lain di Perak ini sepanjang percutian Pida tempoh hari.

Tapi Pida tak berani nak janji la... sebab Pida yang sekarang bukanlah Pida yang dulu. Pida yang sekarang sangat bizi bodi dengan kerja pejabat sehinggakan tiada masa langsung untuk shopping online mahupun membaca Ohbulan.

Baik, mari kita start serius. Selepas bermalam di Taiping, esoknya pagi-pagi lagi kami dah bertolak ke Kuala Kangsar. Kami pergi dua kereta; satu kereta Pida, satu kereta Ab dan konco-konconya.

Sesampainya di Kuala Kangsar, kami terus menuju ke Masjid Ubudiah yang sangat terkenal.


Inilah Masjid Ubudiah. Bersebelahan masjid tersebut ialah kawasan Makam Diraja Perak.

Di kawasan makam tersebut, Pida dapat melihat begitu banyak makam dan kubur keluarga diraja Perak. Ada kubur yang sudah lama usianya, iaitu sejak tahun 1938. Corak batu nesan juga sangat unik dan cantik.

Pida tak pergi ke belakang-belakang, suami dan adik Pida bagitau lagi banyak kubur lama di kawasan belakang. Bukan tak berani, tapi Pida lebih suka duduk di kawasan hadapan. Ceh.


Keluarga bahagia bergambar bahagia sambil memancarkan riak bahagia.

Tengoklah keluarga yang bahagia ini. Berebut-rebut dan bergegas nak masuk masjid nak buat solat taubat. Allahurobbi... keluarga siapalah ni. Sejuk mata memandang bagai berada di bawah lembayung Kaabah.


Pemandangan di dalam masjid Ubudiah ini memang sangat cantik. Rasa tenang je jiwa dapat beri'tikaf di ini sambil menunaikan solat tahajud.

Bahagian siling yang sungguh indah. Ya Allah, sampai lenguh-lenguh leher aku asyik mandang atas aje.

Jomlah kita jalan-jalan di sekitar masjid. Tak banyak gambor dapat diambil sebab masing-masing sibuk mendongak. Dah sampai luar pun masih mendongak lagi.







Demikianlah cerita ziarah kami ke Masjid Ubudiah ini. Walaupun tak lama di sini, namun kami tetap rasa bersyukur kerana dapat menjejakkan kaki ke rumah Allah yang mulia ini.

Ok, habislah episod 1 siri Darmawisata Perak Pida pada kali ini. Nantikan episod seterusnya. Babai!

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...