Sunday, February 24, 2013

Skrin Galaxy Note 2 yang super tahan lasak

Salam lasak,

Pada suatu petang, Pida meletakkan phablet Galaxy Note 2 Pida di atas meja di ruang tamu. Kebiasaannya, Pida akan meletakkannya di tempat yang keep out of reach of children tapi hari tu Pida mati-mati terlupa. Ini semua gara-gara melayan Rania dan Aqil menonton kartun kegemaran mereka iaitu Phineas And Ferb.

Bila teringatkan phablet kesayangan Pida tu, terus Pida tercari-cari. Dan Pida terus menjerit sebaik melihat Note 2 Pida tu sedang ditikam bertubi-tubi tanpa belas kasihan oleh si Sufi dengan pisau sapu mentega!


Sufi bergambar mesra dengan pisau sapu mentega.

Inilah pisau yang digunakan oleh Sufi untuk menikam Note 2 Pida tanpa belas ihsan. Kau bayangkanlah macam mana perasaan Pida melihat gadjet kesayangan diperlakukan sedemikian rupa. Aku dah bayangkan calar-balar atau sompek la skrin Note 2 aku tu nanti.

Sebaik melihat adegan memilukan tersebut, Pida terus menerpa ke arah Note 2 yang sedang ditetak berkali-kali itu. Pida ambik pisau dari tangan Sufi dan Pida cubit dia. Habislah Note 2 aku... habislah...

Tetapi bila Pida periksa Note 2 tersebut, ajaib! Kerana tidak ada segaris calar pun! Wow! Dah kena tikam bertubi-tubi pun masih tak ada kesan calar! Hebat! Lepas tu Pida menoleh ke arash Sufi yang sedang menangis sambil menggosok-gosok pipi montel dia tu.


Alhamdulillah... skrin phablet Pida ni tak bercalar walau sikitpun walaupun dah kena tetak.

Terima kasih kepada teknologi Corning Gorilla Glass yang digunakan dalam skrin Galaxy Note 2. Ia tahan lasak dan kalis calar walaupun menerima tekanan dan goresan yang kuat (kecuali pasir atau batu-batu kecil yang boleh mencalarkan sikit).

Tak percaya? Cubalah!

Friday, February 22, 2013

Suatu jawapan yang pasti

Salam pasti,

Selepas selesai sesi tazkirah bersama rakan-rakan sejabatan pagi tadi, Pida berkesempatan berbual bersama ustaz yang mengajar tajwid dalam Surah Kahfi kepada kami itu. Ustaz yang bergelar doktor itu memang warak orangnya.

Suaranya mengaji al-Quran sungguh merdu; menimbulkan rasa cemburu kerana Pida tak mampu memperdengarkan bacaan sehebat itu. Seronok mendengar beliau bercerita tentang tafsir dan inti sari surah Kahfi tersebut.

Pida bertanya kepada ustaz itu soalan yang sangat ingin Pida ketemu jawapannya. Pida menyoal sebagai manusia yang kerdil dan lemah tetapi redha. Pida bertanya, "Kenapa Allah matikan orang-orang yang pada pandangan kita masih diperlukan lagi khidmat baktinya kepada manusia lain?"

Ustaz itu pada mulanya hanya memandang Pida selepas ditebak dengan pertanyaan tersebut. Lantas Pida menyambung, "Kenapa Allah ambil mak saya sedangkan kami semua masih memerlukan ilmunya, pengalamannya dan kasih sayangnya? Saya rasa kecewa...."

Barulah ustaz menjawab. Tetapi sebelum itu dia pulak menyoal Pida, "Pida kecewa ye?" Pida angguk.

"Kenapa ayah Nabi meninggal dari saat baginda di dalam kandungan lagi? Adakah kerana Nabi tak perlukan ayahnya?"

Pida tunduk.

"Kenapa ibu Nabi meninggal ketika Nabi masih kecil, masih berumur 6 tahun? Adakah kerana Nabi tak perlukan kasih sayang ibunya?"

Masih tunduk.

"Kenapa datuk Nabi pula meninggal ketika Nabi baru berumur 8 tahun? Adakah kerana Nabi tidak memerlukan seorang datuk untuk menjaganya?"

Pida masih tak mengerti.

"Sebab....," Ustaz terhenti di situ. Dia memandang Pida yang seperti seorang budak kecik meminta sesuatu.

"....mission completed," sambungnya dengan tenang dan lembut.

Saat itu Pida bagaikan rasa terkejut dari lamunan yang panjang. Tiba-tiba jawapan ustaz tadi menyentap jantung Pida yang selama ini seperti telah lama terhenti bersama perginya mak. Pida terpana. Lama Pida berfikir sebelum dapat terus bercakap.

Kemudian ustaz itu menyambung, "Bapa Nabi hanya memberikan benihnya kepada ibu Nabi. Mission completed. Ibu Nabi melahirkan Nabi iaitu melahirkan seorang Rasulullah dan memberi kasih sayang kepadanya walaupun sekejap. Mission completed. Datuk Nabi juga menjaga baginda sekejap. Mission completed."

"Selebihnya Allah yang mendidik dan memelihara Nabi."

"Mak Pida dipanggil Allah kerana tanggungjawabnya sebagai manusia telah selesai dijalankan. Mak Pida telah meninggalkan ilmu yang telah diajarkan kepada manusia lain, untuk terus dimanfaatkan. Supaya orang lain yang menerima manfaat tersebut akan sentiasa mengembangkan ilmu itu agar terus subur."

"Kita manusia hanya dihidupkan untuk menjalankan tugas tertentu. SEbaik selesai, Allah ambil kita semula. Perancangan Allah itu adalah sebaik-baik perancangan," Ustaz menyambung.

Ya Allah, selama ini aku jahil dalam menerima qada' dan qadar-Mu. Ampunkan aku, Ya Allah.... Aku relakan pemergian mak jika itulah yang Engkau rencanakan. Kini aku lebih tenang, malah aku bersyukur kerana telah ditemukan dengan hikmah yang selama ini kucari.

Pida bersyukur kerana diberi peluang untuk berjumpa ustaz ini. Selama ini jika Pida mengadu perasaan dan rintihan, kebanyakan hanya menjawab "sudah sampai ajal", "sudah takdir", "redhakan saja", "kita semua akan mati" dan banyak lagi kata-kata pujukan namun tidak ada satu pun yang benar-benar meredakan perasaan Pida.

Namun jawapan ustaz ini adalah penamat kepada pencarian Pida selama ini, iaitu selama mak pergi. Inilah antidot kepada kesugulan yang Pida rasai selama ini. Syukurlah kerana Pida tidak terus dirundung kesedihan lagi. Itulah jawapannya, iaitu suatu jawapan yang pasti.



Perginya mak bukan sahaja meninggalkan seribu kesedihan, namun yang lebih penting, mewariskan ilmu kepada ramai manusia.

Thursday, February 21, 2013

Cerita hari ini

Salam cerita,

Tadi Pida masuk pantry di pejabat. Pantry bukan panty. Pida makan lontong yang Pida beli pagi tadi tapi tak sempat nak makan sebab banyak giler benda alah nak kena emel. Lepas tu dengan student jumpa Pida, nak mohon itu ini tapi semua permohonan aku tolak hahaha. Last-last tak sempat nak makan, cuma buat kopi O je. Tu pun buat sendiri... kita bukan boss ada tea lady layan...

Pida makan sorang-sorang. Kawan lain ada yang pergi kuliah, ada yang buat kerja, ada yang keluar ambik anak... Selepas habis makan lontong, Pida pun pergi ke sinki untuk membasuh mangkuk yang Pida gunakan tu. Pida bawak sekali mug berisi kopi yang masih tinggal separuh dari atas meja dan Pida buang kopi yang lebih tu. Lepas tu Pida masuk ke bilik semula untuk meneruskan kerja.

Sebaik Pida duduk, tiba-tiba Pida ternampak mug kopi Pida. Aik? Bukan tadi aku dah basuh ke? Macam mana kopi ni boleh ada kat sini lagi?

Tiba-tiba dari kejauhan Pida dengar suara member meroyan, "Oiiii! Sapa yang dengki buang kopi aku atas meja ni hahhh??!!

Pida terkedu. Laa... patutlah... kopi yang aku buang dalam sinki tadi kopi dia rupanya... Pida terus sarung headphone dan dengar surah yassin kuat-kuat.

Friday, February 15, 2013

Shila Amzah budak baik

Salam shila,

Mengikut laporan media elektronik dan portal-portal hiburan, hubungan cinta antara Shila Amzah dengan Sharnaaz telah terputus di tengah jalan. Ini semua gara-gara bapa Shila Amzah iaitu ND Lala yang dikatakan tidak merestui hubungan tersebut.


Putus suda!


Pada Pida, ND Lala telah menunaikan haknya sebagai seorang bapa dengan bertanggungjawab. Jangan tuduh dia sebagai bapa yang cerewet atau tidak menghormati kehendak anak kerana tidak merestui hubungan cinta tersebut.

ND Lala tahu apa yang dia lakukan. Dia melakukan hanya yang terbaik untuk anaknya iaitu Shila Amzah. Kalau dia tak restu, maknanya ada sebablah tu. Kita orang luar tak tahu kisah sebenar. Yang kita tahu ialah Sharnaaz pernah menggelar Shila sebagai 'sakai' dalam komen twitternya ketika mereka bergaduh walaupun kemudiannya Sharnaaz telah mendakwa bahawa akaun twitternya telah digodam.

Aiseh Sharnaaz, terlajak perahu boleh diundur, terlajak tweet buruk padahnya. Setakat nak cover line tuduh hacker punya kerja, hacker pun gelak la derr... takde kejenya nak hack akaun twitter ko. Baik dia hack twitter Najib. Buat malu netizen la kau ni.

Kalau Pida jadi ND Lala, Pida juga akan terasa hati sangat apabila anak sendiri dilabel sedemikian oleh orang luar yang takde kena-mengena; walaupun pakwe! Dalam satu laporan yang pernah Pida baca, Sharnaaz mengaku dia seorang yang panas baran. Tapi kalau panas baran sekalipun, cubalah kawal sikit, jangan sampai marah sangat sampai tulis 'sakai'. Sentap mak bapak budak tu bila baca.

Orang panas baran jangan main-main bai... itu sifat semulajadi yang memerlukan usaha kuat untuk diubah.  Mungkin itu juga satu faktor yang menyebabkan ND Lala kurang berkenan dengan hubungan tersebut. Dia mungkin tidak mahu anak kesayangannya makan hati berulam jantung bila dah kahwin nanti. Dia tak nak 'nasi dah jadi bubur.' Dia seorang bapa yang mempunyai visi yang jauh. Dia sayang akan anaknya.

Dan untuk Shila, dia telah membuat keputusan yang terbaik dan bijak dalam hidupnya. Ternyata dia seorang anak yang taat dan berfikir panjang dengan lebih mementingkan keluarga terutama ibu bapa dalam soal memilih jodoh. Walaupun kecewa kerana cinta yang diharapkan dapat membawa mereka ke jinjang pelamin tidak kesampaian, namun Shila telah membuktikan bahawa dia tidak buta kerana cinta. Shila tahu dia memerlukan restu ibu bapa untuk hidup bahagia.

Apa yang berlaku ini adalah manifestasi hubungan akrab ibu bapa dan anak. Di sini dapat dilihat peranan penting ibu dan bapa dalam menentukan hala tuju anak-anak. ND Lala dan isterinya telah berjaya mengawal tingkah laku anak mereka dengan cara mendidik, bukan mendoktrin.

Pida percaya Shila tidak dipaksa atau diberi kata dua untuk memilih antara ibu bapa atau seorang lelaki yang belum tentu boleh menjadi yang terbaik untuknya.

Tetapi Shila diberi ruang dan masa untuk berfikir dan menimbang baik buruk. Dan ternyata Shila memang seorang anak yang sangat baik dan tidak mementingkan diri sendiri. Mungkin dia telah mengorbankan perasaannya demi menurut kemahuan ibu bapa tetapi dia telah berfikir panjang. Kecewa, frust menonggeng, itu biasalah kalau putus cinta. Kejap lagi eloklah tu.

Semoga kemelut antara mereka sudah berakhir. Semoga Shila dan Sharnaaz mendapat pengganti yang lebih baik. Yang penting adalah restu ibu bapa kerana restu adalah resepi utama dalam kebahagiaan rumahtangga.

"Keluarga didahulukan, ND Lala diutamakan."



Wednesday, February 13, 2013

Review : New Age Simplysiti

Salam simplysiti,

Semasa Pida sedang mengemas barang-barang mak pada suatu hari, Pida telah menemukan sesuatu yang mencuri perhatian.


Inilah yang Pida ketemu. Set produk penjagaan kulit dari jenama Simplysiti.

Ada 4 jenis produk semuanya. Dua pencuci muka, toner dan krim malam. Dari set rangkaian New Age Simplysiti.




Selepas menjumpai Simplysiti ini, Pida terus rasa teruja untuk mencubanya. Sebelum ini Pida tak pernah memakai produk Simplysiti kerana setahu Pida, harganya agak mahal juga. 

Jenama Simplysiti ini boleh dikatakan sebaris dengan jenama-jenama hebat yang terdapat di pasaran seperti Olay, Loreal dan Bio Essence yang boleh didapati di rak-rak farmasi. Namun ia lebih murah daripada produk jenama Lancome, Clinique, Shiseido dan SKII yang dijual secara eksklusif di kaunter-kaunter.

Mari kita tengok apa kata Pida tentang produk Simplysiti ini. 


Pencuci muka New Age Moisture Cleanser ini mengandungi kolagen semulajadi. Pida suka sangat pencuci muka ini sebab ia banyak buih, wangi dan tidak mengeringkan kulit. Selepas muka dibilas, kulit terasa sangat bersih dan tidak tegang. Rating : ♥♥♥♥


Ini pun pencuci muka juga. Sama macam yang tadi, cuma yang ini tidak mengandungi kolagen (seperti yang tertulis pada bahagian belakangnya). Buihnya banyak dan tidak mengeringkan kulit muka. Rating : ♥♥♥

Ini ialah toner. Pida suka sangat dengan toner ini sebab ia betul-betul menyegarkan kulit muka dengan serta-merta. Nak guna pun mudah aje, cuma sembur kat tapak tangan dan tepuk-tepuk manja kat muka. Tak payah guna kapas muka. Mula-mula memang rasa melekit sikit tapi selepas ia meresap, kulit muka akan terasa lembut dan segar. Rating : ♥♥♥♥♥


Krim malam ini sangat best! Pida dah cuba banyak malam dah. Ia tak berminyak, nampak ringan dan cepat meresap ke dalam kulit. Lebih bagus kalau sapukan selepas menggunakan toner. Kulit muka jadi sangat halus dan lembap. Bangun tidur esoknya, muka taklah nampak hodoh sangat. Rating : ♥♥♥♥♥


Sebenarnya krim siang pun ada, tapi dah habis kot, jadi tak dapatlah nak buat review. Gincu Simplysiti pun ada juga, warnanya terang dan agak tahan lama juga. 



Selepas mencuba produk Simplysiti dari set New Age ini, Pida boleh katakan ia produk yang sangat berkualiti dan ada kelas tersendiri. Packagingnya cantik, setanding dengan jenama-jenama terkenal yang lain. Pida yakin kalau gunakan produk ini secara konsisten, wajah akan jadi halus mulus dan cantik macam Siti Nurhaliza.


Pida dah jatuh cinta dengan Simplysiti.


Tuesday, February 12, 2013

Gong Xi Fa Cai - Minyak Beku

Gong Xi Fa Cai,

Cuti Tahun Baharu Cina baru-baru ini telah Pida isi dengan aktiviti balik kampung. Genap sebulan selepas pemergian mak, Pida kembali semula ke kampung. Kalau ikutkan hati yang masih rapuh ini, Pida tak hendak balik. Bukan kerana sudah lupakan kampung halaman, tetapi Pida tahu Pida akan rasa sedih dan terbawa-bawa dengan emosi tatkala menjejakkan kaki ke rumah ab nanti. Dan memang betul pun.

Sayu melihat ab menjalani kehidupan berseorangan sejak mak tiada. Namun sisa-sisa hidup diteruskan seperti biasa. Pida nampak ada sedikit canggung dalam rutin harian ab, namun semakin hari ab semakin biasa hidup seorang diri tanpa isteri tercinta di sisi.

Ab memang kuat dan tabah. Dan seorang perindu yang setia. Seorang suami yang sentiasa menitip rindu melalui sedekah pahala bacaan al-Quran penenang jiwa. Buat isteri yang telah pergi menyahut seruan Ilahi. Semoga Pida dapat menjadi setabah ab (kerana Pida masih menangis sehingga kini).

Demi menghiburkan ab dan mengisi masa cuti dengan aktiviti yang menyeronokkan, pada petang itu kami pergi berjalan-jalan ke pantai Minyak Beku yang terkenal di daerah kelahiran Pida.



Pantai Minyak Beku adalah Selat Melaka.

Dulu setiap gambar keluarga mesti ada mak, sekarang tinggal ab seorang je :`(

Laluan menuju ke Perigi Batu Pahat yang bersejarah itu.

Papan tanda yang menceritakan kisah perigi tersebut.

Inilah perigi Batu Pahat yang dimaksudkan itu. Kecik aje. Ukuran diameter lebih kurang macam kawah yang masak gulai tu. Kedalaman perigi ini tidak dinyatakan.

Kami bergambar di sebelah perigi Batu Pahat. Tu Aqil tengah tengok perigi la tu. Depan dia aje. Sebab tu kena pegang dia kuat-kuat sebab dia asyik menujah ke depan je nak masuk perigi.

Rania tekun membaca sejarah perigi Batu Pahat selepas Pida suruh dia baca. Asyik tanya aku mak apa tu, mak kenapa ni, mak bila tu, mak bagaimana ni, last-last Pida cakap kat dia, "Ko gi baca tu!"

Isteri yang baik sentiasa melindungi belon di perut suaminya. (Selat Melaka menjadi saksi cinta kami ecewah,)



Pemandangan di pantai Minyak Beku.

Angin petang yang berhembus kuat hampir menerbangkan kami yang kurus-kurus semuanya.

Bukti angin kuat - rambut menjadi kusut dan tidak bermaya. Rambut Sufi Arumugam pun terbelah tepi dengan sendirinya mengikut arah mata angin.

Akibatnya, rambut Sufi menjadi compang-camping dan simpang-siur dibuatnya.

Kitorang bertiga memakai tudung mak kerana rindukan mak. Eh, kok gambarnya terbalik. Malas nak betulkan. Kau sengetkan skrin eh...

Potret keluarga Pida yang cool. Hahaha cool la sangat.

Selepas itu kami bergerak menuju ke jeti Minyak Beku yang terletak tak jauh dari pantai. Kat jeti ni orang-orang naik tongkang atau feri untuk pergi ke Selat Panjang di Indonesia. Dari Terminal Selat Panjang, pengunjung boleh meneruskan perjalanan menaiki feri ke Dumai, Bengkalis, Pekan Baru, Tanjung Balai, Batam dan Tanjung Pinang.

Kami makan di gerai Seafood D'Terminal. Masakan dia... pehhh, terbaik!

Siakap kukus dia, kupang sambal dia, sayur chap cai dia, sotong goreng tepung dia dan yang paling gerek, tomyam dia. Pehhh... memang terbaik! Udang besar-besar hidung dia bagi kau.

Walaupun kusi meja dia buruk, tapi masakan dia power dan layanan tuan gerai 5 bintang! Terima kasih pakcik sebab bagi anak-anak saya limau gong xi fa cai walaupun Sufi beberapa kali tembak pakcik dengan pistol tangan dia tu. Anak saya tu memang peramah sikit.

Dari kawasan jeti ini juga, Pida berpeluang menyaksikan matahari terbenam di ufuk barat. Sungguh indah dan romantik sekali.

Pemandangan senja di jeti tepi pantai. Selepas itu kami pun pulang ke rumah dengan perut yang kenyang. Alhamdulillah.

Seronok sangat dapat berjalan-jalan ke pantai Minyak Beku dengan keluarga. Masing-masing gembira dan puas hati. Sambil melepaskan pandangan ke laut, sambil memikirkan alangkah bagusnya kalau mak masih ada bersama...


*Gambar-gambar dirakam dengan Samsung Galaxy Note 2.

Friday, February 8, 2013

Telah pergi 2 insan yang berdekatan pusaranya

Salam pusara,

Dua hari lepas, pakar ICT negara, Azli Paat telah kembali ke rahmatullah kerana demam panas dalam usia baru 46 tahun.

Bagi yang tidak mengenali Azli Paat, beliau adalah pengasas Ada Vista Sdn. Bhd. yang merintis sistem komunikasi melalui SMS DAPAT dan mySMS 15888. Beliau jugalah yang memperkenalkan RakanCop yang membolehkan komunikasi antara pihak polis dengan orang awam melalui SMS.

Kenapa Pida menulis tentang Azli Paat? Kerana allahyarham seorang yang sungguh istimewa. Sebagai pakar ICT, allahyarham telah merealisasikan ideanya untuk memudahkan orang ramai iaitu kita semua mendapat maklumat hanya dengan melalui perkhidmatan SMS sahaja. Atas kecemerlangan dan sumbangannya kepada masyarakat umum, allahyarham telah memenangi Anugerah Perdana Menteri 'Best Of The Best' APICTA 2012 yang disampaikan sendiri oleh Perdana Menteri.

Seperkara lagi yang menarik perhatian Pida ialah bahawa allahyarham sekampung dengan arwah mak Pida. Mereka saling mengenali semasa hayat mereka. Mak pernah cakap bahawa anak Busu Paat yang duduk di hujung kampung sana orangnya hebat, pakar ICT negara. Itulah Azli Paat yang dimaksudkan.

Nampaknya, dalam masa hanya sebulan, kampung itu telah kehilangan dua orang anak jati yang pernah menabur budi dan jasa kepada bangsa. Iaitu mak dan allahyarham Azli. Mak, seorang guru sehingga ke akhir hayatnya sementara Azli, seorang pakat ICT yang masih diperlukan khidmat dan ideanya; telah dipanggil menyahut seruan Ilahi.

Pida tidak hadir ke majlis pengebumian allahyarham Azli kerana Pida berada di KL. Allahyarham disemadikan di tempat yang sama dengan mak; malahan menurut seorang saudara yang ikut sama, pusara allahyarham berdekatan dengan pusara mak.

Aduh... rasa sayu di hati Pida kerana terkenangkan mak yang telah pergi. Kini seorang lagi anak kampung yang trampil dan membanggakan keluarga, telah pergi buat selama-lamanya. Telah pergi dua insan yang banyak berbudi dan berjasa.

Apa yang lebih menyayat hati ialah apabila saudara yang sama memberitahu Pida bahawa dia ketika majlis urusan pengebumian allahyarham Azli, dia terdengar orang-orang berkata, "Baru sebulan Noi (mak Pida) pergi, sekarang Azli pula. Dua-dua bijak dan lembut." Mendengarkan itu, Pida terus menangis. Terharu kerana mereka masih lagi mengenang dan menghargai mak Pida.

Besarnya hikmah yang Allah nak tunjukkan pada keluarga kami. Tapi entah apalah... Lebih-lebih lagi anak-anak allahyarham yang tentunya masih kecil, bagaimanakah keadaan mereka setelah ketiadaan insan tempat bergantung. Semoga Allah memberi mereka kekuatan dan pertolongan mengharungi hari-hari mendatang.

Kematian mereka telah dirancang rapi oleh Yang Maha Berkuasa. Kita sebagai hamba yang lemah tidak mampu menolak takdir. Apa yang berlaku pada Pida khususnya telah membuka mata bahawa segalanya merupakan kehendak Allah jua. Tiada suatu kuasa lain dapat menghalangnya. Sesungguhnya Allah Maha Besar.

Ya Allah, Kau berilah tempat yang sebaik-baiknya kepada dua hamba-Mu ini yang pernah menyebarkan ilmu yang bermanfaat kepada kami semua. Kau letaklah mereka di syurga-Mu dan Kau berilah kami yang tinggal ini kekuatan iman dan semangat untuk menempuh kehidupan.

Al-Fatihah buat mak dan allahyarham Azli Paat.

Petikan daripada mstar.com.my






Thursday, February 7, 2013

Monolog untuk mak yang tiada : Momen-momen terakam

Ke pangkuan bondaku yang dirindui,

Mak,

Sudah sebulan mak pergi. Setiap hari Pida merindui mak dengan begitu mendalam sekali. Pida hanya mampu menghadiahkan pahala Fatihah kepada mak dalam kerinduan sekarang.

Mak,

Sejujurnya Pida masih tak sangka bahawa mak akan mengucapkan selamat tinggal kepada kami semua. Mak sakit tak lama, cuma sebulan sebelum Tuhan menjemputmu pulang. Kadang-kadang Pida terfikir, kalaulah mak meneruskan rawatan kimo seperti yang disarankan doktor tempoh hari, tentu mak masih berada di sisi. Pida sedar ini gila. Pida tak patut memikirkan macam tu. Semua yang berlaku ini telah diqada'kan.

Tapi sebagai manusia biasa yang serba lemah, Pida masih tak dapat membiasakan diri tanpa mak menemani. Setiap pagi ketika memulakan hari adalah saat menyakitkan bagi Pida. Bahawa dalam keterpaksaan Pida sudah tidak dapat memegang dirimu.

Mak,

Jangan salah anggap. Bukan Pida tak redha. Demi Allah, Pida redhakan pemergian mak ke pangkuan-Nya. Tetapi Pida rindu, Pida sedih dan Pida kosong. Itu sahaja yang menyelubungi perasaan Pida tika ini.

Mak,

Mak tahu tak, selama lebih seminggu mak terlantar di hospital, keadaan mak sebenarnya semakin merosot hari demi hari. Hari pertama mak dimasukkan ke wad, mak masih boleh berjalan sendiri, dan mak masih bisa bertutur walaupun tidak sejelas selalu.

Namun hari demi hari, mak semakin lemah, semakin tidak bermaya dan akhirnya mak terpaksa bergantung kepada ubat penenang supaya mak tak rasa sakit. Kesiannya pada mak, terlalu sakit nampaknya sampai doktor tiada pilihan selain memberikan mak morfin.

Mak,

Kami menyerahkan segalanya pada doktor yang lebih arif. Kami yakin itulah caranya agar mak tak menanggung kesakitan yang tak tertahan. Melihat pada kedutan di wajah mak menahan sakit, Pida tahu bahawa mak memang benar-benar sakit pada waktu itu. Kerana sel kanser mak sudah merebak ke tulang, bahagian otak (yang memberi kesan terhadap sistem percakapan dan penafsiran) dan bahagian-bahagian lain tubuh badan mak.

Sampaikan sewaktu doktor perempuan yang berjumpa secara peribadi dengan Pida di luar bilik mak sewaktu mak diberi rawatan kecemasan, memaklumkan kepada Pida bahawa mak sebenarnya 'sedang pergi  secara perlahan-lahan'. Dia juga memberitahu Pida bahawa jika tiba-tiba nafas mak terhenti, mereka tidak akan memberi bantuan CPR kepada mak kerana sesungguhnya mak 'sedang pergi secara perlahan-lahan.'

Dan pada petang itu, sebenarnya doktor yang sama mengadakan sesi family counseling kepada kami semua memberitahu keadaan sebenar mak. Pada waktu itu, hanya ab, Pida, Faiz dan Yati menghadiri sesi tersebut sementara yang lain menemani mak yang sedang nazak. Tujuan sesi kaunseling itu adalah sebagai sokongan moral buat ahli keluarga agar bersedia menghadapi pemergian yang boleh berlaku pada bila-bila masa sahaja. Sukarnya waktu itu, mak...

Wahai mak,

Namun mak bertuah kerana saban hari mak dikunjungi oleh keluarga, saudara-mara yang datang dari kampung dan sahabat-handai yang simpati terhadap mak. Mereka datang kerana sayang.  Mereka datang membawa doa dan harapan.

Guru-guru High School datang menziarahi mak pada hari itu. Mereka datang dari jauh. Sebaik melihat mak terlantar tidur, mereka semuanya menangis kesedihan. Guru lelaki yang datang pun menangis sambil memberitahu Pida bahawa keadaan mak pada masa itu sangat jauh berbeza semasa mak masih berkhidmat dahulu.

Apa yang menyedihkan, dalam perjalanan pulang selepas menziarahi mak di hospital, Pida pula memaklumkan kepada mereka bahawa mak telah meninggal dunia. Dan seluruh High School bersedih atas kematian bekas pengetua mereka yang amat dikasihi.

Mak,

Setiap hari ketika menjaga mak pada sebelah siangnya, Pida tak melepaskan peluang untuk bercakap-cakap dengan mak, juga melayan mak dengan lebih istimewa. Pida tak tahu sampai bila Pida perlu menjaga mak sebegitu, atau adakah itu memang peluang Pida berada di samping mak meniti hari-hari terakhir kita bersama.

Pida sentiasa mencium tangan dan wajah mak. Ada kalanya Pida bercakap-cakap sendirian, seolah-olah sedang berbicara dengan mak. Tentu mak dapat mendengar butir bicara Pida... bahawa Pida menyatakan sayang dan kasih pada mak, selalu.

Mak,

Tak puas mendapat kasih sayangmu... tak cukup menikmati keindahan bersama insan bernama ibu... Cepatnya masa berlalu... Cemburunya waktu tak terbiar begitu...

Duhai mak,

Bersemadilah... Mak insan mulia, syurga selayaknya... Selamat jalan bonda tercinta.

Al-Fatihah buat mak yang dirindui.








Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...