Showing posts with label tips mencari jodoh. Show all posts
Showing posts with label tips mencari jodoh. Show all posts

Monday, December 24, 2012

Ciri-ciri makwe idaman pakwe

Salam pakwe,

Entry Pida yang lepas tentang sifat umum lelaki yang patut dijauhi oleh bakal isteri mengundang reaksi daripada pembaca blog Pida ni.

Kata pembaca yang hanya mahu dikenali sebagai Anonymous tersebut, yang Pida nyatakan tu ciri-ciri lelaki. Bagaimana pula dengan ciri-ciri perempuan yang merupakan bakal makwe/tunang/isteri? Pertama sekali Pida mengucapkan terima kasih kepada Anonymous tersebut yang sudi membaca dan menulis komen.

Untuk pengetahuan Anonymous, Pida dah buat kajian yang tak terperinci untuk mencarikan jawapan bagi pertanyaan tersebut. Oleh kerana Pida ni seorang perempuan, maka Pida telah mendapatkan input secara rawak daripada lelaki-lelaki keliling pinggang Pida - suami, adik-adik, kawan-kawan dan anak-anak lelaki Pida (?)

Jadi khas untuk Anonymous tersebut dan untuk kau juga, berikut adalah ciri-ciri makwe idaman pakwe untuk dijadikan isteri.

Ciri gadis pujaan :

1)   Cantik.

Ciri ini paling banyak mendominasi undian. Hey! Korang lelaki ni memang suka dengan perempuan cantik eh? Cantik macam mana? Cantiklah. Cun. Sedap mata memandang. Buat kita tergoda tatkala memandangnya.

Kata orang lelaki, kalau berjalan dengan perempuan cantik ni rasa bangga je... rasa besar je lobang hidung tu. Macam kiranya orang respek la sebab dia berjalan dengan makwe / tunang / isteri yang cantik.

Ciri cantik juga jadi pilihan supaya genetik cantik tu boleh dijadikan warisan untuk melahirkan anak-anak yang cantik juga. Huh, jauhnya berangan.

Habis tu gadis yang tak cantik macam mana? Adalah jodoh diorang tu nanti....Huh.

Kau pilihlah nak yang depan ke yang belakang. Dua-dua Miss Universe.


2)   Lemah-lembut

Orang lelaki amat mendambakan perempuan yang lemah lembut. Diorang kata perempuan yang lemah lembut ni boleh mencairkan hati lelaki. Lagipun perempuan yang lemah lembut ni biasanya jenis taat dan tak membantah. Kalau bercakap tu antara dengar dengan tak aje. Kalau ketawa kita ingat dia tersedu-sedu. Kalau menangis dengar macam bunyi nyamuk kat telinga je.


3)   Memahami kerjaya

Ciri ini pun penting juga. Lelaki zaman sekarang ni bukan hanya nakkan isteri yang cantik dan lemah lembut, malahan juga memahami kerjaya suami mereka.

Contohnya kalau suami dia tu seorang jurutera syarikat minyak yang kerjanya 6 bulan di laut 6 bulan di darat, isteri mestilah faham bahawa suami kerap tiada di rumah. Janganlah asyik merungut kata suami asyik out-station tak ingat nak balik rumah sedangkan kerja suami dia memang begitu.

Kalau suami tu pekerja am pembersihan pulak, jangan merungut kalau suami balik rumah bau busuk. Jangan kata suami tu macam bau tong sampah DBKL. Dah kerja dia memang gitu... sapa suruh kahwin dengan dia dulu?


4)   Berdikari

Ciri ini berkait dengan ciri memahami kerjaya di atas. Kalau suami tu jenis kerjanya tak tentu masa, contohnya doktor yang selalu ada on-call, isteri mestilah pandai menguruskan diri sendiri dan anak-anak. Pendek kata, tidak terlalu bergantung kepada suaminya sahaja. Apa-apa je tunggu suami. Sikit-sikit harapkan suami. Susahlah cenggitu.

Sekurang-kurangnya tahu macam mana nak contact apek gas (sekarang abang Pakistan yang bawak basikal hantar gas), klinik mana nak pergi kalau anak jatuh basikal, dan apa alasan nak bagi kalau ah long datang nak kutip hutang.


5)   Berkerjaya

Sesuai dengan peredaran masa, lelaki sekarang lebih gemar jika isterinya bekerja. Bukan apa kata diorang, bukan nak makan gaji bini, tapi sebagai meringankan beban tanggungan perbelanjaan suami terutama bila anak-anak dah makin ramai, harga barang dan perkhidmatan tak nampak tanda-tanda akan turun, dan untuk lebih menstabilkan kewangan.

Orang lelaki sangat menghargai isteri yang membantu mereka dari segi kewangan dengan rela hati. Tapi suami-suami harus ingat tau, duit bini duit bini. Duit laki duit bini. Harta bini harta bini. Harta laki harta sepencarian laki bini.


6)   Kelakar

Aik? Orang lelaki nak carik calon bini yang kelakar? Macam Pida eh? Hahaha...  elok la tu. Ketawa la kau puas-puas bila bini kau asyik buat lawak tak abis-abis.


7)   Bijak

Bijak. Hmmm... bijak tang mana tu ek? Orang lelaki kata, diorang nak carik isteri yang bijak sebab diorang nak isteri diorang tu bukan setakat boleh jadi bini je, tetapi juga boleh jadi teman bekerja, rakan berbual dan kekasih yang setia.

Oooo Pida paham. Maksudnya kau nak bini kau tu nanti luas pengetahuan tentang banyak perkara ye? Maksudnya kalau kau kutuk Rajagobal pun dia boleh kutuk sekali. Gitu?


8)   Tak mengongkong

Ciri ini pun penting juga. Orang lelaki tak suka kalau bini diorang seorang yang queen control. Asal melangkah je mesti akan ditanya, "Abang nak pergi mana tu?" "Balik cepat tau."

Sebenarnya kitorang orang perempuan bukannya queen control, tapi sayang laki.


9)   Pandai memasak

Yang ini dah tentulah... orang perempuan kalau tak pandai memasak, tak cukup syarat lagi tu. Memang bukan semua orang perempuan pandai memasak.

Pida sendiri pun bukannya terror sangat masak. Pida masak cuma untuk mengelakkan mati aje. Kalau nak makan sedap, suami Pida yang masak. Haa ini kes lain. Ini kes suami memang rajin + pandai + minat memasak.


10)  Rajin

Orang perempuan memang kena rajin. Macam Pida ni rajin kemas rumah. Memang susah la kau nak tengok rumah Pida bersepah. Pida kalau rumah bersepah memang boleh pening kepala sampai 2 hari.

Anak-anak pun dah tau pe'el Pida. Kalau diorang tak kemas rumah, siaplah aku jotos sorang-sorang. Sampai dapur pun tak berasap sebab takut dapur bersepah. Muahahahahahaha.


11)   Romantik

Orang lelaki memang suka perempuan romantik sebab buat menambah kasih sayang kata mereka. Romantik sang wanita membuatkan lelaki sentiasa rasa disayangi. Sifat romantik ni bukan semua orang ada tau. Hanya insan anugerah Tuhan je yang ada sifat romantik ni.

Romantik bukan hanya dengan perbuatan bagi hadiah atau kad ucapan, bagi gelaran jiwang kat Whatapps pun kira romantik juga. Pasangkan cool fever kat dahi suami masa demam pun romantik jugak. Bagi surprise bil kad kredit kat suami pun romantik jugak.

Pida romantik? Eh, mestilah... kau apa tau.


12)   Solehah.

Ini ciri yang paling orang lelaki mahukan daripada bakal isteri mereka. Tak payah ulas panjang lebar pun kau faham kan kenapa?


Itulah serba-sedikit ciri-ciri makwe idaman pakwe untuk dijadikan isteri. Sebenarnya ada banyak lagi, tapi itu ciri-ciri yang wajib la seperti penyabar, sopan-santun, pandai mengaji dan banyak lagi.

Jangan berharap untuk mencari insan yang sempurna. Kalau dah si Rapeah tu jodoh kau, terima ajelah.

Thursday, December 20, 2012

Calon boyfriend/tunang/laki yang patut dihindari

Salam calon,

Pida mempunyai ramai kawan, sedara mara malahan adik-adik Pida sendiri yang masih belum berkahwin. Pida maksudkan di sini yang perempuan. Ada tu umur dah lanjut (sorry adik-adik!), tapi sampai sekarang masih solo je. Ntah bilalah nak berduet pulak.

Takpe, jangan risau. Zaman sekarang ni bukan macam zaman dulu. Zaman dulu kalau masuk 25 tak kahwin lagi memang confirm dah kena mandi bunga. Zaman sekarang ni umur 30-an ramai lagi yang belum berkahwin.

Trend berkahwin lambat dah menjadi perkara biasa dalam masyarakat kita hari ini. Anak dara yang masih belum berkahwin walaupun umurnya dah mencecah 30 tahun tidak lagi dianggap taboo seperti dulu. Bukan sebab tak nak kahwin, tapi mungkin sebab belum ada calon suami.

Lagi-lagi yang dah berkerjaya tetap dan stabil dari segi kewangan, mungkin ada yang berasakan tak kahwin pun tak apa, kalau aku kahwin belum tentu hidup aku sesenang sekarang, dah elok-elok diri ni bebas nanti ada kekangan pulak... dan macam-macam lagi alasan.

Tapi ramai jugak yang dah ada pakwe. Tinggal tunggu nak masuk minang je. Tapi kau yakin ke pakwe yang kau poja-poja sangat lubang hidungnya tu adalah calon yang selayak-layaknya untuk jadi menantu mak bapak kau?

Haa... inilah tujuannya Pida tulis entry ni. Pida nak bagi serba-sedikit panduan bagi gadis-gadis comel di luar sana, yang tak comel pun boleh join jugak, mengenali adakah pakwe kau tu boleh dijadikan laki atau patut dihindari?

1)   Kalau pakwe kau tu suami orang, sah-sahlah kau kena hindari. Seboleh-bolehnya mintalah pertolongan daripada Allah agar kau dan dia berpisah. Please la jangan kacau rumahtangga orang. Orang lelaki ni kadang-kadang sengaja buat cerita burukkan bini masing-masing, padahal nak ayat je tu. Kalau dah kuat sangat jodoh, itu ketentuan. Tapi fikirlah hati orang lain.

Saya laki orang.

Saya pun laki orang.

Saya pun...

2)   Kalau pakwe kau tu tak bekerja, lebih baik fikir dalam-dalam. Lelaki yang tidak bekerja adalah lelaki yang tak macho. Mana dia nak dapat duit untuk tanggung kau? Jangan sampai kau pulak tanggung dia.

3)   Kalau pakwe kau tu jenis playboy, janganlah fikir panjang. Hensem macam Shah Iskandar pun tapi kalau jenis suka pasang sparepart keliling pinggang, lebih baik kaupilih lelaki rupa macam penyanyi Hyper Act tapi setia pada kau sorang je.

4)   Kalau pakwe kau tu jenis yang tak berduit, kau pun tak seronok bila keluar dating kan? Makan minum kau pulak yang bayar. Tak macho la asyik girlfriend je yang taja. Nampak sangat pakwe kau tu tak berduit.

5)    Kalau pakwe kau tu tinggi ego, pun kau perlu hindari juga. Lelaki yang ego hanya akan menyakitkan hati dan perasaan terutama jika bergaduh atau bertengkar.

6)   Kalau pakwe kau tu panas baran, ini bahaya. Belum apa-apa dah dimaki hamunnya kau, lagi teruk kalau dia berani pukul atau belasah kau. Siapa dia nak maki hamun atau belasah kau? Mak bapak kau kalau diorang tau pasal ni tak ke hancur hati diorang? Orang macam ni tolonglah jangan percaya kalau dia kata dia akan berubah. Masa bercinta mungkin berubahlah juga, tapi bila dah kahwin nanti, dia pasti akan kembali ke tabiat lama. Kecuali kalau dia dah mendapat hidayah.

7)   Kalau pakwe kau jenis biar papa asal bergaya, ini pun patut kau fikir semula. Dah tau takde duit apa kejadah nak makan nasik arab tiap-tiap hari? Dah tau sengkek apa kebenda nak pakai iPhone 5? Lebih parah kalau dia dah start pinjam duit kau. Dan lebih parah kalau tak pasal-pasal kau pulak yang kena buat loan bank untuk puaskan kehendak material dia.

8)   Kalau pakwe kau jenis yang berat hati nak jumpa mak bapak dan keluarga kau, itu tandanya dia belum serius dengan kau. Nak buat apa buang masa lagi?

9)   Kalau pakwe kau tu jenis yang mulut terlalu manis, ini pun mesti ada udang di sebalik batu. Asyik puji kau memanjang, di matanya kaulah segalanya, dan kau pun cair. Hati-hati kau, kadang-kadang lelaki yang manis mulut ni sebenarnya dah ada bini atau makwe di seluruh negara.

10)   Akhir sekali, kalau pakwe kau tu jenis tak menjaga solat 5 waktu, inilah sebab utama kenapa kau harus mintak clash daripada dia. Orang yang tak bersolat bermakna dia tiada pegangan agama yang kukuh. Bila tiada pegangan agama yang kukuh, jiwa dan minda jadi rapuh. Lagipun mestilah kau mengimpikan sebuah keluarga islamik yang sejati kan?


Cinta sebelum kahwin tidak sama dengan cinta selepas kahwin. Kalau masa zaman pakwe-makwe kau dah bercinta sakan bagai nak rak, percayalah perasaan itu tak akan dapat kaurasai lagi selepas kau kahwin. Sebab segalanya telah kaulalui. Tiada yang istimewa dan surprise lagi.

Carilah lelaki yang menyayangi kita lebih daripada kita menyayangi dia. Tanda-tandanya jelas; dia amat sabar dengan perlakuan kasar kau, dia sentiasa bercakap lembut dengan kau walaupun kau berkasar dengan dia, dia tak abaikan kau walau sesibuk manapun dia, dia tidak memewahkan kau dengan wang ringgit tetapi dengan perhatiannya, dia yang memujuk walaupun kau yang memulakan persengketaan, dia yang bertanyakan makan minum kau walaupun kau telah memberi kata putus untuk berpisah dengannya, pendek kata hanya hati kau yang tahu bahawa dia amat menyayangi kau.

Kebahagiaan itu masih wujud di dunia ini. Berdoalah selalu supaya kebahagiaan akan selamanya menjadi milik kau bersama insan yang kaucintai.

Bukan untuk mencari insan yang sempurna, cukuplah jika dia tak ada salah satu perangai macam kat atas tu. Kredit untuk cikgu saya iaitu Cikgu Mat Som ;).
 
Cinta sejati dan ikhlas itu sememangnya indah.

♥♥ ♥♥ ♥♥ ♥♥ ♥♥ ♥♥ ♥♥ ♥♥ ♥♥ ♥♥ ♥♥ ♥♥ ♥♥ ♥♥ ♥♥ ♥♥ ♥♥

Heeee... Pida bicara soal cinta!

ps: Manusia berubah.

Tuesday, December 27, 2011

Tips Mencari Jodoh

Salam jodoh!

Ada sesiapa di sini yang masih tercari-cari jodoh? Atau ternanti-nanti jodoh yang lain? Atau memang berniat nak mengumpul jodoh buat koleksi?

Pida dengan rasa sukacitanya ingin berkongsi tips atau panduan dalam memilih jodoh untuk dijadikan menantu bagi mak bapak kita.

*Entry ini ditujukan khas buat adik-adik Pida yang masih dalam kesamaran mencari diri insan yang boleh digelar jodoh.

*Entry ini tidak ditujukan kepada suami Pida, dan mereka yang sudahpun memiliki jodoh sendiri. Kalau mahu berjodohan lagi, janganlah petik nama Pida ye!

Seperti yang kita maklum, dalam memilih jodoh atau calon pasangan hidup, haruslah ada ciri-ciri yang mesti dipenuhi. Ciri yang bagaimana?

1)  Bertaqwa

Ciri ini adalah wajib. Asas. Basic. Fundamental. Orang yang bertaqwa sentiasa mentaati perintah Allah (terutamanya mendirikan solat 5 waktu) dan meninggalkan larangan-Nya. Orang yang bertaqwa juga menjadikan Al-Quran dan Sunnah sebagai panduan hidup. Seharusnyalah orang yang bertaqwa ini berfahaman ahli sunnah wal jamaah ye!

2)  Mempunyai ilmu agama

Carilah jodoh yang mempunyai ilmu fardhu ain yang cukup; sekurang-kurangnya asas ibadah dan tauhid. Ini sangat penting kerana ilmu agamalah yang menjadi panduan dan rujukan dalam menjalani cara hidup sebagai Muslim kerana Islam adalah cara hidup. Biarlah calon jodoh itu faham definisi najis, cara-cara bersuci dan menyucikan atau sekurang-kurangnya dia tahu membezakan antara 'samak' dengan 'sertu'.

Tak salah kalau kita nak tahu cara dia melafazkan kalimah syahadah... sama ada 'AsyHadu' atau AsyAdu'. (Yang betul adalah 'AsyHadu') --> hati-hati, jangan sampai salah melafazkan kalimah syahadah kerana di dalamnya terkandung i'tikad dan keimanan kita!

Tak salah juga kalau kita nak uji sama ada dia boleh membaca Al-Quran atau tidak. Paling senang, cuba dengar dia membaca surah Al-Fatihah. Perhatikan sebutan, makhraj dan tajwidnya (perkara paling asas). Kalau ok, oklah! Kalau tak ok, hmmmm... Tapi tak perlulah sampai nak uji dia bertarannum dan berqiraat bagai!

Terlalu ideal? Tepuk dada tanya selera!

Untuk lelaki, kamulah yang akan menjadi imam bagi isteri dan anak-anak kamu ketika bersolat nanti. Oleh sebab itu, kamu haruslah terror bab-bab agama ni!




Songkok tinggi yang menutup kening bukanlah satu-satunya tanda seseorang itu bertaqwa. Ia hanyalah pakaian budaya dan adat masyarakat Melayu di Malaysia yang harus terus dipelihara dan diperkasa agar tidak dilupa. 



3)  Keturunan yang baik-baik.

Maksud di sini agak meluas. Calon jodoh itu boleh dikira dari keturunan yang baik-baik jika ibu dan bapanya merupakan ahli masyarakat yang dihormati. Tak perlu menjadi ahli politik atau menteri untuk menjadi orang yang dihormati, tetapi yang Pida maksudkan ialah ibu bapa dan keluarga calon jodoh itu mempunyai akhlak yang baik, menjaga tatasusila dalam pergaulan dengan jiran-jiran tetangga dan mempunyai hubungan yang rapat dengan masyarakat sekeliling.

Tak adalah nanti bila ditanya "Siapa mak bapak endut ko tu Kiah?"
"Pak Suip Wayang, mak."
"Wadehel, Pak Suip Wayang tu kan tokei pemerdagangan manusia kat kampung kita ni!"


Beruntunglah sesiapa yang bertemu jodoh dengan keturunan Jawa kerana orang Jawa terkenal dengan sikap yang baik-baik seperti bijak, sangat rajin, amanah, ikhlas, pemurah, baik hati, sopan-santun dan menghormati tetamu yang mampir ke rumah. Ye, Pida bangga Pida orang Jawa!


4)  Sekufu dalam pendidikan

Ciri ini sangat-sangat penting!

Sebab apa Pida katakan sekufu dalam pendidikan sangat penting? Sebab taraf pendidikan kitalah yang menentukan tinggi atau rendahnya cara pemikiran dan tindakan kita. Secara umumnya, menerusi pemerhatian, cara pemikiran orang yang berpendidikan tinggi atau orang yang berilmu adalah berbeza dengan cara pemikiran mereka yang tidak berkelulusan tinggi. Orang yang berpendidikan tinggi biasanya mempunyai cara berfikir, bercakap dan bertindak yang lebih rasional dan diplomatik.

Situasi ini kerap dilihat di ofis kita sendiri.

Carilah jodoh yang sepadan dengan kita. Barulah best nak berbual tentang pelbagai perkara - dari hiburan, sukan, isu semasa, politik, sains, kekeluargaan dan banyak lagi topik perbualan. Tidaklah nanti bila cerita pasal Akademi Fantasia wah bukan main lagi siap berdebat bagai, juri bangang la, suara macam piano pecah la, baju macam singlet baby la..., tapi bila cakap pasal prestasi atlet di Sukan Sea Jakarta Palembang, eh terus diserang tonsil pulak!


Memang seronok dapat memikat awekz dengan hanya bercerita kisah teka-teki dan kisah-kisah nabi. Tapi awas! Perempuan sila jauhi lelaki yang mulut manis, suka memuji dan sering berjanji!



5)  Berwang

Khas untuk lelaki, bukan beruang, tapi berWANG. Hahaha, materialistik ye Pida?

Oh copot! Ingatkan Pida panggil kiter tadi...

Bukan materialistik, tapi hakikat kehidupan sekarang, di bumi Malaysia yang bertuah ni, no money no living! Wang adalah sangat mustahak dalam kehidupan.

Dengan wang, kita dapat menyediakan rumah untuk melindungi isteri dan anak-anak kita daripada hujan dan panas matahari.

Dengan wang, kita mampu membelikan beras dan lauk-pauk untuk dinikmati isteri dan anak-anak kita.

Dengan wang, kita dapat menggantikan pakaian isteri dan anak-anak kita.

Dengan wang, kita boleh menghantar anak-anak kita menuntut ilmu sehingga ke menara gading agar mereka kelak dapat meneruskan cabaran kehidupan dengan sempurna.

Dalam suasana ekonomi sekarang yang semakin menghimpit, sanggupkah kita hidup dalam kemiskinan dan kesusahan akibat tiada wang?

Nasib baik ada Kedai Rakyat 1Malaysia, dapatlah rakyat berjimat. ♫♪PM kita untuk semua!♪♫

"Tapi saya cintakan dia bukan kerana wang." → Yes, engkau tunggulah 2 bulan lepas kawin.

"Saya sanggup bersamanya walaupun terpaksa makan pasir." → Kau ingat dah cukup epik la cinta kau tu, engkau tunggulah 2 bulan lepas kawin.

Ciri berwang ni abstrak sikit... macam mana kita nak tau lelaki tu banyak duit ke tidak sedangkan kita sama-sama belajar di unibesti. Kan Kak Pida jugak cakap kena carik jodoh yang sekufu dalam pendidikan.

Ye dik, memang kena carik yang sama-sama graduate atau yang sama-sama tak graduate. Sebab itulah masa bercinta kat kampus tu jangan asyik merenyam nak menikah je... belajar habiskan dulu, sampai grad. Pastu cari kerja, mulakan kumpul duit dari gaji pertama lagi. Memang la akan ambik masa 3-4 tahun nak cukup duit nak kawin, tapi sekurang-kurangnya bakal jodoh tu dah ada duit sendiri.




Belajar dulu sampai grad, baru boleh pikir kawin!



Kalau boleh elak la daripada buat loan. Bukan apa, satu Pida nak bagitau, berkahwinlah ikut kemampuan. Takdenya kena buang negeri kalau buat kenduri secara sederhana. Asalkan tujuan untuk menghebahkan perkahwinan itu dah tercapai, kira grand la kenduri tu. Orang akan ingat sampai bila-bila.

Tujuan cari jodoh yang berwang adalah untuk kesenangan hidup kita juga selepas kawin. Tapi jangan pula sampai jadi hamba wang!

Dan jangan berkahwin jika kewangan masih tidak stabil. Percayalah, kehidupan selepas kahwin bukan semata-mata meraikan cinta, tetapi juga menggalas tanggungjawab sebagai suami atau isteri yang sempurna. Kesempurnaan itu pula terletak pada bagaimana kita melunaskan hak dan kewajipan kita terhadap pasangan secara material dan rohani.

Krisis kewangan dalam rumahtangga adalah sesuatu yang amat ditakuti oleh setiap pasangan berkahwin. Ia bagaikan api dalam sekam yang boleh membakar hangus sebuah rumahtangga. Ia harus dijauhi. Bagaimana? Persediaan kewangan yang rapi, pendapatan yang stabil dan saling bertolak-ansur adalah jawapannya!

Dunia dirasakan terbalik jika kita buntu untuk meneruskan kehidupan berumahtangga andai tidak punya cukup wang.



6)  Cantik bagi perempuan, kacak bagi lelaki

Yang ni point tambahan je. Tak kisahlah sama ada calon jodoh kamu orang tu cantik ke, hodoh ke, mata cemeh ke, mata terbelolok ke, telinga terkepit ke, jari dempak ke, terpulanglah pada pilihan masing-masing. Sebab nenek Pida pernah berkata "Beauty lies in the eyes of the beholder". Kecantikan itu abstrak yang bergantung pada pandangan mata seseorang.

Cuma kalau dapat jodoh yang cantik ni best. Selain buat cuci-cuci mata, ia juga boleh dijadikan asbab untuk melahirkan zuriat yang cantik juga. Yelah, kalau dah induknya dari baka cantik, tentulah anaknya pun ikut cantik jugak (insya Allah).

Tapi ingat, kecantikan adalah aspek pilihan yang paling akhir harus berada dalam senarai pencarian jodoh kamu orang. Sebab kecantikan itu tidak kekal, lama-lama kerepot jua. Kecantikan juga kalau terlalu dipuja-puja, kelak memakan diri akhirnya.


Kamu ini memang ada-ada saja, Pida!


Akhir sekali, ciri-ciri lain yang harus ada pada calon jodoh kamu orang ialah menghormati orang tua, ringan tulang, bercakap sopan, tidak lokek, jujur dalam perhubungan, setia, bertanggungjawab dan menunaikan amanah.

Bagi perempuan, haruslah lelaki itu menjadi jodoh kamu jika dia menjaga maruah kamu dan tidak sesekali dia mengambil kesempatan atas kegedikan kamu. Jadikan diri kamu sentiasa eksklusif. Ingat dan kasihanlah pada ibu bapa kamu yang sentiasa mendoakan keselamatan kamu ketika kamu keluar berdating dengan pakwe kamu itu. (Sebenarnya ibu kamu amat risaukan kamu tahu!)

Bagi lelaki, kamu bakal suami. Setakat memenuhkan kaunter daftar kelahiran memang takde hal bagi kamu. Tapi kamu harus ingat, kamu lelaki! Kamulah yang harus memikul tanggungjawab sebagai ketua keluarga tahu! Kamu harus memiliki kerja yang baik dan gaji yang banyak. Masyarakat kita masih terlekat oleh stigma "Bakal menantu kau kerja apa?" Kamu harus beri isteri dan anak-anak kamu rumah, makanan dan tempat tinggal yang terbaik kamu boleh berikan. Jangan biarkan hidup isteri kamu susah selepas dia berkahwin dengan kamu.

Bagi ibu bapa / penjaga, berhati-hatilah memilih menantu. Biarlah kita berleter sekarang demi mengenali siapa bakal menantu kita itu, jangan sampai anak kita menjadi mangsa kegagalan rumah tangga. Berilah doa dan restumu. Sesungguhnya restu ibu bapa adalah bekalan terbaik bagi anak-anak meniti sebuah rumah tangga yang bahagia.

Pepepun, kita perlulah memperkayakan ilmu munakahat sebelum mengambil keputusan untuk berkahwin. Ilmu yang digali daripada Al-Quran, ilmu yang serba lengkap sebagai panduan dalam rumahtangga.




Sesungguhnya dalam perjalanan mencari jodoh, pasti ada cabaran dan halangan yang mendatang. Tabahlah!




Selamat memilih jodoh kamu!
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...