Showing posts with label puasa. Show all posts
Showing posts with label puasa. Show all posts

Friday, August 2, 2013

Suatu iftar yang bermakna

Salam iftar,

Mengambil keberkatan bulan Ramadhan yang mulia, Pida adik-beradik telah meluangkan masa untuk berbuka puasa bersama-sama di rumah. Rasanya dah lama tak berbuka puasa ramai-ramai cukup korum macam ni.

Oleh kerana kami semua bekerja, balik pun dah lewat petang, maka takdelah sempatnya nak memasak. Lagipun, iftar kali ini ditaja oleh adik ipar Pida yang beria-ia nak belanja kitorang. Dari dulu dia nak open table tapi takde masa. Jadi, kesempatan yang ada ini digunakan untuk menyampaikan hajat mulianya.


Sajian iftar kami simple sahaja. Nasi arab kambing. Telah dipesan sehari sebelumnya dari kedai nasi arab. Syria tau, bukan Iran. Syria sunni tau, bukan syria syiah. Acar buah tu Pida tambah sendiri sebab memang ada simpan dalam fridge.


Time berbuka memang waktu yang nikmat la... Lebih-lebih lagi banyak makanan kat depan tu. Bukan setakat nasi arab, ada juga sate, martabak, kuih tart dan buah nenas. See, I told you, simple aje menu iftar kami. Takde pun roti john ke, puding karamel ke, cendol ke... (sebab orang yang sepatutnya bawak tu tak sempat beli - huh).


Suruh makan dia makan, suruh tarawih dia terbongkang. Aku la tu.


Boys of BP straits. Balik dari ofis, terus menuju ke rumah Pida. Tu yang masih pakai baju kerja tu. Pida pun sama, balik dari ofis pukul 5.30 petang, sampai rumah pukul 6, kemas-kemas, buat persiapan, tak sempat nak mandi pun. Sudahnya, kitorang adik-beradik berbuka dengan pakaian pejabat. Nasib baik adik Pida yang sorang tu tak pakai uniform askar dia. 


Adik-adikku... insya Allah boleh!


Aqil memang taksub dengan pakcik dia yang sorang ni. Tapi Tio Faz dia ni tak pedulikan dia pun. Lagi dibulinya ada la. Tengok tu, dia perhatikan saja Tio Faz makan, tapi Tiofaz buat deekkk aje. 


Berbuka, solat maghrib, kemudian mentong, dah kenyang borak-borak macam kat kedai kopi. Gemuk korang eh!


Pusaka tinggalan mak. Mak, kami rindukan mak. Rindu masakan mak. Rindu sentuhan mak.


Kalau mak ada, tentu mak gembira melihat kesepakatan kami adik-beradik. Banyak yang mak tinggalkan untuk kami, terlalu banyak... terima kasih, mak. Ab dan ummi pun mesti seronok tengok anak-anak ngam macam ni. Walaupun antara kami cakap aku-engkau je tak kira umur, namun itulah sebenarnya rahsia kengaman kami. Semoga berkekalan kengaman ini sampai bila-bila.


Alhamdulillah, Rania belum tinggalkan puasa dan solat sepanjang Ramadhan ini. My good girl.


Adik-beradik susuan. Aqil dan Razin. Diorang berdua ni memang rapat. Hari tu Razin nampak ummi, dia sebut mamaneh. :`(


Cara Aqil dan tio-tionya bergurau. Yang ni konon-kononnya Aqil pancing keli gergasi yang dilakonkan oleh Tio If.


Aqil berjaya memancing pakcik kesayangannya. Aqil memang suka giler kat Tiofaz. Tapi biasanya akan berakhir dengan pergaduhan antara kedua-duanya kerana Tio Faz memang suka sangat sakat Aqil. Aqil pulak gembeng (kuat menangis).


Penulis blog yang tidak mahu mendedahkan identitinya. Masih setia berpakaian pejabat. Pakai selendang ala makcik Som. Tak kuasa nak buat Hana Tajima time-time nak buka puasa ni.


Peluang berbuka puasa bersama keluarga adalah sesuatu yang sungguh istimewa. Lebih-lebih lagi jika ada orang belanja. Seronok dapat berkumpul adik-beradik dalam satu suasana yang mesra dan meriah. Nasib baik kitorang semua sekelompok, so senang nak roger-roger.

Ok, lepas ni siapa nak open table pulak?

Sunday, July 21, 2013

Pida dah munjung!

Salam munjung,

Minggu ini Pida dan semua adik-beradik balik ke Batu Pahat untuk satu urusan penting mengenai pembahagian harta pusaka di Pejabat Tanah Dan Galian.

Pida balik bersama anak-anak dengan adik-adik selepas waktu tarawih. Sampai di rumah, ab dan ummi setia menunggu kepulangan kami semua.

Saat memeluk ummi, tiba-tiba Pida berasakan getaran yang sama ketika memeluk mak dulu. Serta-merta Pida jadi sebak. Di dalam bilik, Pida menangis di balik baju-baju yang mak tinggalkan.

Sedihnya kerana Ramadhan kali ini mak dah tiada. Nasib baik ada ummi, dapat juga Pida terus merasa kasih sayang seorang ibu.

Memandangkan kali ini semua balik, maka ab telah menyatakan hasrat untuk 'munjung'. Tau ke munjung tu apa?

Mengikut kamus bahasa jawa, munjung bermaksud memberi juadah hari raya kepada keluarga dan saudara-mara. Juadah hari raya yang dimaksudkan ialah ketupat / lontong / nasi impit, rendang, lodeh, ayam dan kadang-kadang sambal goreng dan kuih kalau ada.

Walau bagaimanapun asal maksud munjung ialah yang muda menghantar juadah kepada yang tua. Seperti anak munjung mak bapak, adik munjung abang kakak, anak sedara munjung bapak dan mak sedara. Gitulah konsep asalnya sebagai tanda hormat kepada keluarga yang lebih tua.

Sebelum ini, setiap tahun mak tak pernah gagal untuk munjung. Cuma tahun lepas saja mak tak munjung sebab masa tu mak baru habis menjalani rawatan radioterapi. (Ah, kisah sedih tahun lepas jika dikenang memang mendatangkan air mata).

Mak dulu kalau munjung, habis setiap ahli keluarga tak kira tua muda dikirimnya. Yang tua-tua dah tentulah, yang muda-muda iaitu adik-adik dan anak-anak sedara mak pun kirim jugak. Dalam 20 bungkus lebih gitu.

Kami adik-beradiklah yang hantar ikut zon. Tapi di sekitar bandar BP aje... lagipun memang kebanyakan sedara-mara tinggal di BP. Target mak kalau munjung, si penerima munjungan dapat berbuka puasa dengan juadah yang dikirim tersebut.

Sebab itulah, pada hari mak nak munjung, mak akan masak seawal selepas sahur dan kami dah mula menghantar juadah selepas zuhur.

Dan biasanya mak akan inform dulu orang yang nak dimunjung supaya diorang tak payah masak sebab mak akan bagi ikut portion setiap keluarga. Kalau anak-anak dia ramai, banyaklah mak bagi. Kalau dia tinggal sorang, bagi seketul suda..., kalau yang dah mati mak tak bagi.

Tahun ini kami tetap munjung walaupun mak dah tak ada. Kalau tak munjung pun bukannya mak tau kan, sebab mak tak pernah wasiat untuk munjung kalau mak dah tak ada.

Tetapi amalan munjung sudah menjadi tradisi keluarga Pida. Mungkin sebab itu adalah amalan turun-temurun orang jawa, maka kami teruskan juga. Lagipun berkongsi rezeki kan amalan yang berpahala... lebih-lebih pada bulan yang mulia ini. Tak gitu?

Tahun ni kami munjung lebih awal. Sebab, seperti yang Pida katakan tadi, ab ambik kesempatan semua anak balik pada minggu ini. Lagipun pada akhir-akhir bulan puasa, sedara-mara lain pun sibuk juga munjung. Kadang-kadang sampai membazir sebab dalam sehari ada 2-3 orang munjung.

Biasanya mak akan order je ketupat. Kami masak lauk juadah aje. Tapi sepanjang mak hidup kami tak pernah tanya pulak mak order dengan siapa, tau-tau mak order dan ketupat tu sampai depan rumah.

Lepas mak dah tak ada ni, semua tak tau nak order ketupat dengan siapa. Lupa nak tanya mak dulu. Last-last ab order lontong je dengan orang buat lontong kat Simpang 5.

Tapi kami masih mengekalkan menu juadah yang menjadi identiti munjungan mak iaitu ayam masak kicap, rendang daging dan sayur lodeh. Tiga lauk itu saja.

Tugas memasak kali ini dipikul oleh Pida. Kira jadi Masterchef la. Walaupun Pida ni jenis yang pasif di dapur, namun dengan semangat mak dan harapan tinggi adik-beradik, maka Pida menggalas tugas sebagai masterchef dengan rela hati dan rasa menyesal sebab tak belajar masak dengan mak dulu.

Kami bahagi-bahagikan tugas. Ada yang basuh daging, potong ayam, kopek bawang, potong sayur sementara kerja Pida cuma mengarah-ngarah sambil tunjuk muka bengis dan sediakan bahan masakan untuk dikisar. Pida main campak-campak je masak ni. Takde sukat-sukat punya.

Ajaib jugak Pida rasa sebab selama ni Pida memang tak pandai masak dalam kuantiti yang banyak. Masak pun tak pandai. Selama ni Pida cuma masak untuk mengelakkan mati aje, tapi kali ni Pida kena masak untuk sedara-mara makan! Susahnya tugasan ni!

Tapi Alhamdulillah, akhirnya Pida berjaya menyediakan semua juadah sampai siap dengan bantuan adik-beradik termasuk ummi dan berjaya menepati carta gantt penyediaan juadah munjung. Ummi masak rendang pada malam sebelumnya.

Memasak dalam kuantiti yang banyak pada bulan puasa adalah satu kerja yang agak susah. Sebab Pida gamble aje bubuh garam dan gula. Entah apa rasa ntah.

Sebelum zuhur, kami semua dah siap bungkus juadah dan sedia untuk dihantar!


Ayam masak kicap yang Pida namakan "Ayam Pusaka'. Takpe nanti insya Allah Pida kongsikan resepinya.






Set juadah untuk saudara-mara yang terkandung di dalam beg plastik.

Kerja-kerja membungkus adalah menyeronokkan sambil menghirup bau masakan.

Ready for delivery!


Alhamdulillah, semua juadah sempat dihantar. Pida pun hantar juga satu tepen ke rumah mak mentua di Muor. Mak mentua Pida makan rendang sambil nangis-nangis sebab teringatkan rendang mak Pida. Sedih kan?

Masa nak makan masakan sendiri time berbuka tu, Pida rasa berdebar-debar aje. Nak tau sebab apa? Sebab suspen apa ntah rasa masakan aku ni.

Sekali rasa - rendang kurang manis, ayam masak kicap kurang masin dan sayur lodeh tawar sikit. Hahahhaa... pandai-pandailah korang yang terima tu edit sendiri ye!

Tapi ab cakap sedap. Itu adalah ulasan yang paling penting yang Pida nak dengar. Sah-sahlah raya aji nanti aku kena masak lagi. Huhuhu...

Selamat menikmati juadah berbuka!
posted from Bloggeroid

Wednesday, August 1, 2012

Cepatlah sembuh wahai emak - Ramadhan di homestay

Salam ramadhan,

Bulan Ramadhan pada tahun ini berbeza dengan tahun-tahun yang lalu. Ini kerana beberapa hari sebelum bulan puasa, doktor yang merawat emak menasihatkan emak agar menjalani rawatan radioterapi sebanyak 20 kali lagi bagi memastikan emak betul-betul pulih.

Masa mak bagitau Pida tentang hal ini, Pida sedih. Rasa sedih sangat sebab mak perlu mengikuti sesi radioterapi sebanyak 20 kali! Hari tu dah buat 5 kali, ini tambah lagi 20 kali. Aduh... tak tau nak cakap apa masa mak telefon Pida masa tu. Pida menangis je tanpa pengetahuan mak di hujung talian.

Tapi mak memang seorang yang berjiwa pejuang. Mak kuat, mak tabah dan mak sabar menghadapi dugaan ini. Mak bersetuju untuk mengikuti 20 sesi lagi rawatan radioterapi di Hospital Pantai Ayer Keroh.

Sewaktu mak buat 5 kali sesi radioterapi dulu, setiap hari mak dan ab berulang-alik dari rumah ke Hospital Pantai Ayer Keroh untuk 5 hari tu. Setiap perjalanan sehala mengambil masa 1 jam setengah. Tapi sekarang ni mak tak larat nak ulang-alik setiap hari selama 20 hari, tambah-tambah lagi pada bulan puasa ni.

Jadi mak dan ab memutuskan untuk mencari sebuah rumah homestay yang boleh disewa sepanjang tempoh rawatan mak selama 20 hari itu (rawatan 5 hari berturut-turut, cuti Sabtu Ahad, dan sambung lagi sehingga cukup 20 kali. Bersamaan 4 minggu).



Inilah Homestay Kami di Ayer Keroh. Rumahnya sangat cantik dan besar. Sangat selesa. Kau ingat Pida gembira ke masa bergambar ni? Tau tak betapa hati Pida menangis sebab kasihan pada mak dan ab yang terpaksa sampai sewa homestay semata-mata nak pergi berubat? Tau tak betapa sayunya hati Pida di kala melihat mak dan ab yang terpaksa meninggalkan rumah sendiri dalam tempoh sebulan ini? Sangat sedih ok.




Inilah seorang suami dan bapa yang sungguh mulia. Ab begitu setia dan tidak pernah jemu menemani mak pada setiap saat dan waktu terutama ketika mak pergi menjalani rawatan. Ab terpaksa meninggalkan tugas rutinnya sebagai pengerusi surau di taman pada bulan Ramadhan ini. Ini satu lagi yang buat Pida hiba sangat. Biasanya dalam bulan Ramadhan, Ab sibuk menguruskan solat tarawih dan urusan-urusan surau yang lain. Tetapi pada Ramadhan kali ini, Ab bersolat tarawih di tempat baru iaitu surau yang berdekatan dengan rumah homestaynya. Aduhai... apasal air mata Pida jatuh berjurai-jurai ni...



Pida rasa sedih sangat sebab kami adik-beradik tak dapat sentiasa berada bersama mak dan ab. Tapi setiap minggu kami pastikan ada di antara kami yang balik. Adik-adik Pida yang bujang-bujang tu memang setiap minggu balik atau lepak sahaja di homestay. Yang dah berkeluarga macam Pida ni boleh balik 2 minggu sekali tapi kalau Pida rasa nak balik kampung, Pida balik je.



Masa datang ke homestay mak minggu lepas, dapat la Pida anak-beranak berbuka puasa bersama. Rania dan Aqil pun dapat solat berjemaah bersama Tokyi dan Mamaneh. Aqil... khusyuknya kau nak... doa apa yang Aqil baca tu?



Rania boleh tak kau jangan kelam kabut terkeseng-keseng masa baca doa? Cuba tengok Aqil tu... maintain khusyuk.



Selepas habis baca doa, kita bergambar. Sufi kenapa mulut muncung macam bontot ayam tu? Sufi pun dah pandai camwhore gedik-gedik jugak? Aqil kenapa kau pegang Al-Quran tu terlabik?



Pun begitu, Pida bersyukur kerana mak memberikan respon yang positif terhadap rawatan radioterapi yang dijalaninya sekarang. Dan Pida gembira juga kerana mak dan ab suka dengan kehidupan baru di taman perumahan homestay ini. Mak cakap, dia bercuti sebenarnya. Setiap petang jalan-jalan pergi round-round sekitar Melaka. Jadi orang Melaka la mak dan ab sebulan ni. Tapi Pida tau, mak sebenarnya rindu pada rumah sendiri. Biasalah tu.

Oh ye, pada kesempatan ini, Pida nak mengucapkan jutaan terima kasih kepada pemilik Homestay Kami. Mereka adalah pasangan guru yang menetap di belakang rumah homestay mak Pida tu. Oleh kerana mereka tahu tujuan mak menyewa homestay itu adalah untuk menjalani rawatan harian, mereka tak kisah dengan harga bayaran yang mak tawarkan. Harga yang jauh lebih rendah daripada yang sepatutnya. Mungkin juga mereka rugi.

Kalau nak diikutkan dari sudut bisnes, memang tak untung la tuan rumah homestay ni dengan bayaran yang diterima daripada sewaan mak dan ab. Tapi dek kerana kemurahan hati dan kemuliaan peribadi, pemiliknya ini sudi menyewakan pada kadar yang mampu ditanggung mak selama sebulan atas dasar timbang rasa dan simpati. Semoga Allah melimpahkan rezeki yang berlipat kali ganda kepada pemilik homestay ini.

Buat mak dan ab, apa lagi yang boleh Pida katakan... Pida doakan mak dan ab diberkati Allah dan semoga mak cepat sembuh. Ab, terima kasih kerana menjaga mak. Kami tak mampu berada di sisi mak pada setiap masa. 

Namun Pida boleh duga, mak dan ab tak menganggap ini sebagai satu kesulitan. Baguslah. Pida tau mak dan ab gembira sebab kami adik-beradik selalu datang jenguk pada setiap minggu.

Mak dan ab tau kami akan menziarahi mereka bila-bila masa saja ada peluang walaupun sehari. Sekarang, jarak perjalanan bukan pemisah lagi bagi kami. Yang mengekang hanyalah waktu yang sentiasa cemburu.

Mak, insya Allah hari raya nanti kita akan dapat bersama dalam tempoh yang lama. Pida seronok tengok keluarga kita semakin akrab sekarang. Yang sedia erat bertambah mantap gitu. Syukurlah.



Mak, dengar cakap doktor ye. Cepat-cepat sembuh. Kalau ada masa, Pida pasti akan pergi jenguk mak dan ab. Nanti bila dah balik rumah, kita kemas rumah cantik-cantik ye!


Sayang mak!

Sayang ab!






Monday, July 30, 2012

Mendambakan kehadiran Imam Muda Gaza

Salam Gaza,

Pada minggu lepas, sedang Pida berjalan-jalan di koridor pejabat untuk ke kafeteria, eh silap, bukan ke kafe tapi ke bilik boss, Pida terpandang satu poster yang menarik perhatian Pida.

Poster itu berkata, "Majlis solat Zuhur bersama Imam Muda Gaza... bla bla bla..."

Pida jadi rasa macam tak jejak tanah je masa tu. Teringat perbualan Pida bersama suami 3 hari sebelumnya.

<3 hari sebelumnya>

Pida sedang menonton siaran berita di televisyen. Tiba-tiba terpandang satu caption mengenai 4 orang imam muda hafiz dari Gaza datang ke Malaysia sempena bulan Ramadhan ni. Ia adalah satu usaha murni oleh sebuah badan NGO iaitu Aqsa Syarif. Mereka akan menjadi imam solat tarawih di masjid-masjid terpilih di setiap negeri.

Mendengar perkhabaran itu, Pida jadi begitu teruja. Pida segera berkata kepada suami Pida. "Abang, kalau diorang datang tempat kita, kita pergi eh?"

Pida katakan begitu sebab Pida merasakan ia sesuatu yang sungguh istimewa bagi rakyat Malaysia apabila menerima kunjungan tetamu yang datang dari jauh; sejauh tanah semenanjung Gaza yang kita semua tahu bukan mudah bagi mereka untuk datang ke sini.

<><><>

Jadi, apabila mendapat tahu imam muda Gaza akan datang ke masjid di tempat Pida bekerja, bukan seorang tetapi keempat-empatnya, pehhh.... melompat aku! Kalah orang tak puasa. Rasa bagai pucuk dicita ulam mendatang. Tak sangka diorang datang ke tempat kerja Pida.

Tak sabar nak menanti waktu Zuhur. First time dalam hidup aku beria-ia tunggu masuk waktu Zuhur. Biasanya beria-ia tunggu masuk waktu Maghrib je sebab nak buka puasa.

Apabila tiba waktu yang dijanjikan....



Imam muda Gaza masuk ke dalam masjid seorang demi seorang. Pida pun apa lagi histeria la menjerit-jerit memanggil nama mereka. Apa kau dah gila... takkan la Pida buat macam tu. Lain la kalau tengok konsert Justin Bieber.



Keempat-empat imam muda Gaza ini duduk di ruang hadapan masjid. Mereka sungguh segak dan tampan. Boleh jadi calon menantu. Rania cepatlah kau besar nak...  Dari kiri : Imam Muhammad Sulaiman, Imam Taha Sulaiman, Imam Mukmin Hawaz dan Imam Raed Sya'ban.



Gambar-gambar yang Pida ambik ni semuanya bergegar. Nak tau sebab apa? Sebab Pida menggigil. Tak tau la kenapa Pida menggigil bila berdiri ambik gambar depan imam muda Gaza ni. Terlebih adrenalin kot sampai jadi parkinson. Lebih-lebih lagi bila diorang pandang kamera Pida (atau pandang Pida hahaha), lagilah rasa nak jatuh kamera tu. Tak taulah kenapa, selama ni depan retis ok je...



Gambar ni dah tahap kronik tangan aku menggigil. Serius gila tapi Pida tak tau kenapa boleh menggigil. Hahaha. Siot la tangan aku ni.


Renungan matanya tu... bercahaya! Beruntungnya, muda-muda dah menghafaz al-Quran.


Kehadiran mereka ditemani oleh Prof Madya Dr. Mohd Zin Bin Kandar (berbaju hitam di rostrum) yang merupakan ahli lembaga pemegang amanah Aqsa Syarif. Beliau telah 2 kali menjejakkan kaki di bumi Palestin (Gaza).


Aktiviti pada hari itu ialah perbincangan secara santai yang menyentuh tentang kehidupan dan suasana sebenar di bumi bergolak Gaza. Ternyata apa yang kita saksikan di kaca tv dan apa yang dibaca di akhbar/internet hanyalah sebahagian daripada penderitaan sebenar mereka. Bertuah rasanya mendapat peluang mendengar cerita dari mulut rakyat Gaza sendiri.


Menyentuh serba-sedikit mengenai latar belakang mereka, sejak dari kecil lagi mereka telah dilatih dan diasuh untuk mencintai al-Quran oleh ibu bapa mereka. Mereka dihantar belajar membaca dan menghafaz al-Quran sehingga menjadi hafiz pada usia muda (20-an). Menurut mereka, di Gaza, penduduk di sana sangat menitikberatkan pembudayaan al-Quran sehingga kitab suci itu dijadikan asas dan sandaran utama dalam setiap aktiviti kehidupan mereka. Sebab itulah mereka dan al-Quran adalah begitu sinonim kerana mereka menjadikan al-Quran sebagai teras kehidupan.



Menceritakan situasi sebenar di Gaza, menurut imam-imam muda ini, bumi Gaza sentiasa menjadi sasaran tentera Zionis. Nyawa bagai di hujung tanduk. Bunyi bom dan tembakan bagai sudah menjadi halwa telinga. Serangan lebih dilakukan pada waktu malam ketika semua penduduk Gaza sedang tidur. Pada masa itulah tentera Zionis mengebom dan membedil rumah penduduk Gaza. Masa ni Pida jadi sedih sangat... Pida terbayang wajah kanak-kanak Gaza yang menjadi mangsa kekejaman Zionis. Tambah mereka lagi, sekarang ni dah seminggu pulak tak dengar bunyi bom.


Selain menceritakan pengalaman dan suasana peperangan di Gaza, imam-imam muda ini turut sudi memperdengarkan bacaan al-Quran dan berqasidah. Sedap suara diorang. Penuh perasaan mengalunkan ayat-ayat suci. Sayu je dengar.


Aktiviti seterusnya ialah sesi soal jawab di antara penonton dengan imam muda Gaza dengan bantuan Dr Mohd Zin sebagai moderator. Banyak juga soalan yang diutarakan seperti bagaimana pelaksanaan sistem pendidikan di Gaza dan aktiviti penggalian terowong yang giat dijalankan oleh tentera Zionis. Semuanya dijawab dalam bahasa Inggeris dan bahasa Arab (dengan menggunakan khidmat penterjemah iaitu ustaz Pida sendiri).



Laungan semangat jihad menceritakan betapa kuatnya cita-cita dan perjuangan mereka untuk membebaskan Masjid Al-Aqsa dan bumi Palestin dari cengkaman Yahudi Zionis laknatullah.



Akhir sekali, majlis penyampaian cenderamata kepada tetamu-tetamu istimewa ini.



Terima kasih kerana sudi datang ke tempat Pida... Mampir lagi yuk!


Jangan lupakan kami orang-orang Malaysia yang sangat menyayangi kamu rakyat Palestin di Gaza.


Pengalaman bertemu dengan Imam Muda Gaza ini meninggalkan kesan yang cukup mendalam kepada Pida. Pida rasa kita di Malaysia ni dah cukup bertuah. Bukan cukup, malah terlalu bertuah kalau nak dibandingkan dengan orang-orang Islam di tempat lain seperti di Gaza.

Pida bersyukur kerana dilahirkan di bumi Malaysia yang bertuah ini. Bila dah tengok sendiri kekuatan emosi dan semangat yang dipamerkan oleh mereka ini dalam memperjuangkan kemerdekaan dan keluar dari belenggu penjajahan, Pida dapat rasakan mereka memang pejuang jihad yang sangat hebat.

Sebelum berpisah, mereka sempat memberi nasihat agar kita sentiasa berpegang kepada ajaran al-Quran. Mereka juga meminta kita sentiasa mendoakan kesejahteraan dan keselamatan semua orang yang berada di Gaza; yang saban hari bergelut dengan ketidakpastian antara hidup dan mati.

Semoga Allah melindungi saudara-saudara kita yang berada di Gaza dan mudah-mudahan kita mengambil iktibar daripada kesengsaraan mereka di sana.


Wednesday, July 25, 2012

Kisah rumah tangga di bulan puasa

Salam rumah tangga,

Pada hari ini Pida ingin bercerita mengenai kisah rumahtangga. Cerita ini boleh dibaca oleh semua orang termasuklah kanak-kanak yang belum mumaiyiz. Dijamin tiada unsur syeksyual dalam cerita ini. Jadi kalau kau ingat Pida nak buat cerita biru, kau sudah silap besarlah.

Ceritanya begini.

Pada suatu hari, Encik Mohd Qayyum pulang ke rumah setelah seharian bekerja di pejabat. Dia sampai di rumahnya pada tepat pukul 5.30 petang sharp.

Sesampainya di rumah, Encik Mohd Qayyum disambut dengan penuh mesra oleh isterinya yang bernama Puan Pareedah. Melihatkan suaminya yang keletihan dan tidak bermaya, sepantas kilat Puan Pareedah  pun menuju ke dapur membuat air untuk hidangan suaminya.

"Abang, jemputlah minum," Puan Pareedah mempelawa Encik Mohd Qayyum dengan sopan sambil menyuakan air fresh oren ais kepada suaminya itu.

Encik Mohd Qayyum tidak terus mengambil air tersebut tetapi memandang tepat ke muka isterinya itu dengan pandangan slack.

Puan Pareedah tersentak dengan tindakan Encik Mohd Qayyum terhadap dirinya. Sekali lagi wanita tersebut menunduk dan menitiskan air mata. Dia kecewa kerana suaminya itu sekali lagi enggan menjamah walau setitik air fresh oren ais yang telah dibuatnya itu.

Dua tiga hari ini entah mengapa Encik Mohd Qayyum tidak langsung menyentuh minuman yang diberikan oleh Puan Pareedah. Yang hairannya, Encik Mohd Qayyum hanya memandang slack kepada isterinya, tiada satu patah perkataan pun sama ada sudah kenyang ke, tak suka fresh oren ke atau apa pun alasan. Tetapi reaksinya hanyalah pandang slack, bangun dan keluar rumah semula meninggalkan Puan Pareedah terpinga-pinga sendirian.

Pada suatu malam sebelum tidur, Puan Pareedah bertanyakan kepada Encik Mohd Qayyum perihal keengganannya meminum air yang dibuatnya.

"Kenapa kanda tak sudi minum air buatan dinda?" tanya Puan Pareedah dengan lembut dan takut-takut.

"Kanda tak suka fres oren ke? Dinda boleh buatkan milo suam," ujar Puan Pareedah lagi sambil membetulkan baju kelawar lusuhnya.

Sekali lagi Encik Mohd Qayyum memandang isterinya dengan pandangan slack. Kali ini ditenungnya isterinya itu lama-lama.

"Isk.. isk ... malulah kanda...," mentel sahaja Puan Pareedah bersuara sambil tersipu-sipu apabila ditenung-tenung direnung-renung begitu.

"Awak... saya mengaku awaklah isteri yang paling baik di dunia. Dahlah baik, jelita pulak tu. Memang bertuah saya kahwin dengan awak," demikian tutur Encik Mohd Qayyum dengan lembut. Sambil-sambil itu tangannya membetulkan tocang Puan Pareedah yang sudah terbarai. Serabai pula kelihatan isterinya itu.

"Awak nak tau kenapa saya tak minum fresh oren awak tu walaupun jiwa saya meronta-ronta nak togok sampai habis?" tanya Encik Mohd Qayyum lagi.

"Kenapa kanda? Kenapa? Beritahulah dinda!" pantas sahaja Puan Pareedah menjawab.

"Sebab... INI KAN BULAN PUASA. APA KEJADAHNYA AWAK BUATKAN SAYA AIR FRESH OREN PETANG-PETANG. TAULAH AWAK TU TAK PUASA TAPI JANGANLAH INGAT SAYA NI PUN BOCOR MACAM AWAK JUGAK!"

"Laa.... mati-mati saya terlupa bang!"

Habis.


Tuesday, July 24, 2012

Lagi 3 minit nak berbuka... nak buat apa?

Salam berbuka,

Adalah menjadi perkara biasa bagi kita sementara nak tunggu waktu berbuka tu, kita dah berkumpul depan juadah berbuka. Tak kiralah hidangan apa yang bakal dijamu nanti, yang pentingnya kau anak-beranak ataupun house mate kau dah bersila depan makanan. Betul tak? Eleh, jangan buat-buat pandang kiri kanan la... kaubuat kan? Ececeh...

Yang ada tu lagi teruk, lagi setengah jam nak masuk waktu berbuka puasa, air soya cincau dah siap-siap dituang ke dalam cawan dan letak di bibir. Bila bunyi je azan, tinggal togok je. Tak sempat baca doa pun. Eee... notty!

Bercakap tentang berbuka puasa ni, apa yang kau akan lakukan sementara nak tunggu azan lagi 2-3 minit tu? Takkan nak hadap je nasi tomato dan ayam masak merah tu? Silap-silap tak sampai seminit dah habis kena bedal. Jadi apa kata kauikut panduan dan cadangan Pida ni?


1)   Lagi 2-3 minit nak azan maghrib tu, dan kebetulan kau pun dah berkumpul kat meja makan satu keluarga, apa kata kau main game lawan mata? Kau tenung mata abah kau, abah kau tenung mata kau balik. Siapa berkelip dulu dia kalah. Atau siapa tak berkelip sampai azan, dia boleh habiskan kuih akok tu sorang-sorang.

Trick menipu : Kau buat-buat pandang belakang atau bawah kononnya ada benda jatuh pastu kau pejam mata puas-puas sebelum kauhadap abah kau tu semula. (Sebenarnya masa kau pandang tempat lain tu, abah kau pun puas pejamkan mata kasi refresh).

2)   Main teka-teki. Lebih elok kalau teka-teki tu berkisar tentang suasana puasa dan lebaran yang bakal menjelang. Contohnya, banyak-banyak lemang, lemang apa warna merah? Jawapannya, lemang tertumpah sirap.

3)   Main teka-teka saiz kasut raya. Kauteka saiz kasut abah kau, abah kau teka saiz kasut mak kau, mak kau teka saiz kasut kau. Siapa jawab paling tepat boleh habiskan jelly kelapa sorang-sorang.

4)   Cipta lagu raya terbaru. Mesti kau dah bosan dengan lagu raya yang ada sekarang kan? Apa kata sementara nak tunggu azan tu, kau cipta melodi lagu raya terbaru, pastu kau upload dalam Youtube. Mana tau, kau akan jadi artis Youtube yang berjaya seperti Najwa Latif?

5)   Anyam daun ketupat. Dalam 2-3 minit nak tunggu azan tu, kalau kauanyam daun ketupat, boleh dapat 4-5 bijik kalau kau terrer. Kalau kau buat secara berjemaah, boleh dapat 20 bijik sarung ketupat. Kau buat macam game la, siapa dapat buat paling banyak, dia boleh habiskan cendol pulut sorang-sorang.

6)   Buat perbincangan dengan suami/isteri nak balik ke kampung siapa raya nanti. Aktiviti ni kena buat dengan berhemah dan diplomasi. Jangan emosi. Kalau isteri sentap (sebab tak balik kampung dia), maunya kau kena melahap sorang-sorang segala juadah, hidangan dan pencuci mulut yang ada tu. Errr, tapi itu best jugak kan?



Tapi kalau kau taknak buat apa yang Pida cadangkan di atas, ada baiknya juga jika kauisi masa 2-3 minit masa berkualiti tu dengan memberikan tazkirah ringkas kepada anak-anak.


Beri nasihat agar anak-anak kita menjaga adab berpakaian yang sopan...


...menutup aurat...


... dan menjaga tingkah laku supaya manis dipandang mata, sesuailah dengan pakaian sopan yang disarungnya...



Nasihatkan juga kepada anak-anak bahawa mereka adalah tanggungjawab kita, oleh itu ke mana sahaja mereka pergi dan apa sahaja yang mereka lakukan, haruslah diawasi oleh kita.



"Allahu Akbar Allahu Akbar...!"

Azan dah dilaungkan, selamat berbuka puasa!



Akhir sekali, khas untuk pembaca semua. (Sebenarnya Pida tengah jakun dengan QR code ni. Orang lain dah lama pakai, Pida baru nak pakai hehe...)

Ada mesej tersembunyi. Kalau kau ada QR reader, cuba kau scan dan decrypt balik kod ini.;)


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...