Showing posts with label rumah. Show all posts
Showing posts with label rumah. Show all posts

Wednesday, November 7, 2012

Rumah dia murah rumah aku mahal

Salam rumah,

Semalam Pida baru balik dari Ipoh kerana bermesyuarat di sana. Akhir-akhir tahun ni memang kena pergi mesyuarat di sana sini. Sebab nak kutip laporan semua projek yang berjalan sepanjang tahun 2012 ni. Paling penting semua bayaran dah dilunaskan untuk mengelakkan AP58(a).

Di Ipoh, Pida menumpang teduh di rumah member comolot Pida. Dia ni kawan baik Pida. Kawan baik sangat-sangat. Segala rahsia rumahtangga kami tak kongsi bersama-sama. Kawan Pida ni nama dia Siti tapi oleh kerana nak jimat, Pida panggil dia Sit aje.

Sit selalu komplen kalau dia berada dengan Pida, urat pipi dia selalu putus sebab asyik gelak je. Dia kata Pida ni pak lawak. Pida pun tak paham tang mana lawaknya Pida ni. Kadang-kadang Pida tengok dia aje dia dah ketawa terbahak-bahak. Adakah Pida ini terlalu kelakar?

Dialah juga yang selalu beria-ia suruh Pida masuk Raja Lawak. Aku tau la Sit, ko nak aku masuk Raja Lawak sebab ko nak tengok aku tersingkir kan? Busuk ati la ko...

Baiklah, berbalik pada cerita Pida tadi. Pida tidur di rumah dia. Pida memang dah tau dia baru pindah ke rumah sendiri. Dan Pida memang tau rumah dia bukan calang-calang rumah tau, rumah dia rumah banglo sebijik tau!

Sebaik sampai di rumah Sit, Pida terpegun melihat rumahnya. Sangat besar hokey! Dan sangat cantik! Bila masuk ke dalam lagi teruja Pida dibuatnya. Cantik sangat. Syukeee!!!

Jadi sebagai minah kepoh yang berpotensi besar, Pida pun bertanya la tentang rumah dia ni; siapa buat, bila mula, bila siap, siapa design dan akhir sekali soalan yang wajib, berapa juta harga rumah ni? Serius aku terus tanya berapa juta je.

Sit terbahak-bahak ketawa bila Pida tanya berapa juta. Dia kata dia beli tanah lot banglo dan bina rumah ni kos tak sampai RM250 ribu!

Hah? Biar betik ko Sit! Takkan la banglo besar gaban macam ni tak sampai suku juta ringgit? Ko jangan la merendah diri sangat Sit.

Dia kata betul, harga rumah termasuk tanah tak sampai RM250 ribu. Perghhh... Pida dah terduduk kat sofa empuk dia tu. Lepas tu Pida bandingkan dengan harga rumah Pida yang terletak di pinggir KL dekat-dekat Putrajaya/Cyberjaya.

Di tempat Pida pada tahun 2008, rumah teres dua tingkat second hand bahagian tengah (bukan corner atau end lot) dijual pada harga lebih RM250 ribu. Sekarang tahun 2012, rumah yang sama sudah bernilai RM350 ribu.

Itu harga rumah second hand. Kalau rumah baru, harga dibuka mulai RM350 ribu ke atas. Kalau corner lot, mencecah setengah juta. Sekarang trend rumah 3 tingkat, harga mencecah sejuta and the best part is, each unit is SOLD OUT!

Itu nilai hartanah di tempat Pida. Harga hartanah di Ulu Kinta masih jauh lebih rendah. Kalau Pida duduk di sana pun Pida boleh miliki banglo macam Sit sebab gaji kami sama saja. Tapi Pida cuma mampu beli rumah teres dua tingkat bukan baharu di tempat Pida ini.

Namun Pida tak kisah sama sekali. Ini soal rezeki. Rezeki Pida di sini, rezeki Sit di sana. Pida bersyukur sebab Pida sudah memiliki rumah sendiri di kawasan yang baik dari segi kejiranan, warga penduduk sekitar, kemudahan yang lebih daripada cukup dan yang paling penting, tempat Pida aman damai. Alhamdulillah.

Oh ye, entry kali ini adalah mengenai nilai hartanah di Malaysia tetapi di negeri yang berbeza. Masih jauh jurang perbezaan harga rumah dan tanah mengikut kawasan. Sepatutnya harga rumah dikawal ketat supaya pemaju tidak sewenang-wenangnya menaikkan harga rumah atas alasan faktor kawasan emas atau bukan.

Contohnya di tempat Pida ini, jangan haraplah nak jumpa projek rumah setingkat atau apartment lagi. Semua berlumba-lumba nak bina rumah mewah, rumah tiga tingkat. Mereka yang tak mampu terpaksalah gigit jari atau terpaksalah beli rumah ke selatan sikit macam kat Nilai atau Seremban. Itupun harga dah mula naik.

Rumah adalah keperluan asas. Tapi kalau dah harga mencecah ratus-ratus ribu dan di luar kemampuan, memang kempunan dibuatnya. Hai nasib badan...


Kalau banglo macam ni kat tempat Pida, maunya harga RM5 juta! Kredit : www.virtualmalaysia.com


Wednesday, August 1, 2012

Cepatlah sembuh wahai emak - Ramadhan di homestay

Salam ramadhan,

Bulan Ramadhan pada tahun ini berbeza dengan tahun-tahun yang lalu. Ini kerana beberapa hari sebelum bulan puasa, doktor yang merawat emak menasihatkan emak agar menjalani rawatan radioterapi sebanyak 20 kali lagi bagi memastikan emak betul-betul pulih.

Masa mak bagitau Pida tentang hal ini, Pida sedih. Rasa sedih sangat sebab mak perlu mengikuti sesi radioterapi sebanyak 20 kali! Hari tu dah buat 5 kali, ini tambah lagi 20 kali. Aduh... tak tau nak cakap apa masa mak telefon Pida masa tu. Pida menangis je tanpa pengetahuan mak di hujung talian.

Tapi mak memang seorang yang berjiwa pejuang. Mak kuat, mak tabah dan mak sabar menghadapi dugaan ini. Mak bersetuju untuk mengikuti 20 sesi lagi rawatan radioterapi di Hospital Pantai Ayer Keroh.

Sewaktu mak buat 5 kali sesi radioterapi dulu, setiap hari mak dan ab berulang-alik dari rumah ke Hospital Pantai Ayer Keroh untuk 5 hari tu. Setiap perjalanan sehala mengambil masa 1 jam setengah. Tapi sekarang ni mak tak larat nak ulang-alik setiap hari selama 20 hari, tambah-tambah lagi pada bulan puasa ni.

Jadi mak dan ab memutuskan untuk mencari sebuah rumah homestay yang boleh disewa sepanjang tempoh rawatan mak selama 20 hari itu (rawatan 5 hari berturut-turut, cuti Sabtu Ahad, dan sambung lagi sehingga cukup 20 kali. Bersamaan 4 minggu).



Inilah Homestay Kami di Ayer Keroh. Rumahnya sangat cantik dan besar. Sangat selesa. Kau ingat Pida gembira ke masa bergambar ni? Tau tak betapa hati Pida menangis sebab kasihan pada mak dan ab yang terpaksa sampai sewa homestay semata-mata nak pergi berubat? Tau tak betapa sayunya hati Pida di kala melihat mak dan ab yang terpaksa meninggalkan rumah sendiri dalam tempoh sebulan ini? Sangat sedih ok.




Inilah seorang suami dan bapa yang sungguh mulia. Ab begitu setia dan tidak pernah jemu menemani mak pada setiap saat dan waktu terutama ketika mak pergi menjalani rawatan. Ab terpaksa meninggalkan tugas rutinnya sebagai pengerusi surau di taman pada bulan Ramadhan ini. Ini satu lagi yang buat Pida hiba sangat. Biasanya dalam bulan Ramadhan, Ab sibuk menguruskan solat tarawih dan urusan-urusan surau yang lain. Tetapi pada Ramadhan kali ini, Ab bersolat tarawih di tempat baru iaitu surau yang berdekatan dengan rumah homestaynya. Aduhai... apasal air mata Pida jatuh berjurai-jurai ni...



Pida rasa sedih sangat sebab kami adik-beradik tak dapat sentiasa berada bersama mak dan ab. Tapi setiap minggu kami pastikan ada di antara kami yang balik. Adik-adik Pida yang bujang-bujang tu memang setiap minggu balik atau lepak sahaja di homestay. Yang dah berkeluarga macam Pida ni boleh balik 2 minggu sekali tapi kalau Pida rasa nak balik kampung, Pida balik je.



Masa datang ke homestay mak minggu lepas, dapat la Pida anak-beranak berbuka puasa bersama. Rania dan Aqil pun dapat solat berjemaah bersama Tokyi dan Mamaneh. Aqil... khusyuknya kau nak... doa apa yang Aqil baca tu?



Rania boleh tak kau jangan kelam kabut terkeseng-keseng masa baca doa? Cuba tengok Aqil tu... maintain khusyuk.



Selepas habis baca doa, kita bergambar. Sufi kenapa mulut muncung macam bontot ayam tu? Sufi pun dah pandai camwhore gedik-gedik jugak? Aqil kenapa kau pegang Al-Quran tu terlabik?



Pun begitu, Pida bersyukur kerana mak memberikan respon yang positif terhadap rawatan radioterapi yang dijalaninya sekarang. Dan Pida gembira juga kerana mak dan ab suka dengan kehidupan baru di taman perumahan homestay ini. Mak cakap, dia bercuti sebenarnya. Setiap petang jalan-jalan pergi round-round sekitar Melaka. Jadi orang Melaka la mak dan ab sebulan ni. Tapi Pida tau, mak sebenarnya rindu pada rumah sendiri. Biasalah tu.

Oh ye, pada kesempatan ini, Pida nak mengucapkan jutaan terima kasih kepada pemilik Homestay Kami. Mereka adalah pasangan guru yang menetap di belakang rumah homestay mak Pida tu. Oleh kerana mereka tahu tujuan mak menyewa homestay itu adalah untuk menjalani rawatan harian, mereka tak kisah dengan harga bayaran yang mak tawarkan. Harga yang jauh lebih rendah daripada yang sepatutnya. Mungkin juga mereka rugi.

Kalau nak diikutkan dari sudut bisnes, memang tak untung la tuan rumah homestay ni dengan bayaran yang diterima daripada sewaan mak dan ab. Tapi dek kerana kemurahan hati dan kemuliaan peribadi, pemiliknya ini sudi menyewakan pada kadar yang mampu ditanggung mak selama sebulan atas dasar timbang rasa dan simpati. Semoga Allah melimpahkan rezeki yang berlipat kali ganda kepada pemilik homestay ini.

Buat mak dan ab, apa lagi yang boleh Pida katakan... Pida doakan mak dan ab diberkati Allah dan semoga mak cepat sembuh. Ab, terima kasih kerana menjaga mak. Kami tak mampu berada di sisi mak pada setiap masa. 

Namun Pida boleh duga, mak dan ab tak menganggap ini sebagai satu kesulitan. Baguslah. Pida tau mak dan ab gembira sebab kami adik-beradik selalu datang jenguk pada setiap minggu.

Mak dan ab tau kami akan menziarahi mereka bila-bila masa saja ada peluang walaupun sehari. Sekarang, jarak perjalanan bukan pemisah lagi bagi kami. Yang mengekang hanyalah waktu yang sentiasa cemburu.

Mak, insya Allah hari raya nanti kita akan dapat bersama dalam tempoh yang lama. Pida seronok tengok keluarga kita semakin akrab sekarang. Yang sedia erat bertambah mantap gitu. Syukurlah.



Mak, dengar cakap doktor ye. Cepat-cepat sembuh. Kalau ada masa, Pida pasti akan pergi jenguk mak dan ab. Nanti bila dah balik rumah, kita kemas rumah cantik-cantik ye!


Sayang mak!

Sayang ab!






Wednesday, July 18, 2012

Entry misteri : Tinggal bersama 'si dia'

Salam misteri,

Tak habis-habis dengan misteri Pida ni. Hari tu pasal cincin kahwin misteri, sampai sekarang tak terungkai misterinya. Kali ni Pida nak cerita pasal kejadian yang sangat biasa dialami di rumah Pida dan mungkin juga di rumah kau.

Tapi sebelum bercerita panjang, Pida nak bagi amaran sikit. Entry ni diklasifikasikan sebagai ES13 (Entry Seram untuk budak-budak 13 tahun ke atas). Kalau kau seorang yang penakut, Pida syorkan lebih baik kau jangan baca entry ni sebab entry ni serammmm hiiiiiii...... Alamak, aku pulak yang takut sendiri.

Baiklah, Pida akan cuba untuk menerangkan situasi-situasi yang boleh dirasai dan didengari dengan deria kasar tetapi ia sebenarnya tidak dapat dilihat oleh mata kasar, yang biasa terjadi di rumah Pida. Kau faham tak apa yang Pida sampaikan ni? Kalau tak faham buat-buat faham sudah la.

Ada beberapa kejadian atau fenomena biasa yang kerap dialami Pida sekeluarga dan juga keluarga-keluarga lain di taman Pida.


Kejadian Pertama : Bunyi guli melantun

Bunyi guli melantun-lantun memang selalu kedengaran di rumah Pida. Bunyinya seperti seolah-olah anak orang sebelah tengah main guli. Maksudnya, kita dengar bunyi guli-guli tu melantun di rumah jiran sebelah dengan andaian anak dia yang sedang main.

Mula-mula dulu Pida fikir memang anak orang sebelah yang main lantun-lantun guli. Jadi Pida tak rasa apa sangatlah. Budak-budak... takkan nak marah diorang main kan? Anak Pida sendiri pun main baling-baling anak lesung Pida tak marah.

Tapi bila bunyi guli melantun dah terlalu kerap dan tak mengira waktu; siang malam pagi petang bunyi guli, takkan budak sebelah ni tak main benda lain? Asyik main guli je ke kerjanya? Malam-malam pukul 11 pun? Mak bapak kau tak marah ke budak? Isyy... I smell something wrong somewhere la.

"Bang, budak sebelah ni tak penat ke main guli? Banyak betul guli dia 'ek?" Pida bertanya pada suami Pida sambil melentok manja ke bahunya.

"Adoi... tepilah sikit, bahu abang terkehel ni. Ambikkan yoko-yoko tu," suami Pida membalas dengan romantik sambil menolak kepala Pida sampai terhantuk ke dinding kepala aku.

Wahabi punya laki, Pida menggerutu dalam hati.

"Abang ahli sunnah wal jamaah la," dia tiba-tiba bersuara. Erkk...??

Pernah pada suatu pagi dalam pukul 11 gitu, Pida tengah lepak-lepak kat atas sofa di ruang tamu. Masa tu orang lain semua pegi kerja, Pida sorang je tak pergi kerja sebab cuti. Tiba-tiba Pida terdengar bunyi guli melenting-lenting betul-betul di sebelah Pida. Pida tersentak, dah mula pikir yang bukan-bukan. Lepas dah pikir yang bukan-bukan tu... Pida pun mencicit naik atas masuk bilik sambil menjerit, "Aaaaaaaa!!!"

Dalam kejadian yang lain pulak, masa tu pukul 11 malam. Adik Pida sorang-sorang kat bawah tengok tv. Tiba-tiba kat meja makan tu bunyi guli melenting. Dia yang memang dah tau cerita pasal guli ni, tak cukup tanah lari naik atas. Siap langkah 3-4 mata tangga punyalah takut. Kalah pelari sprinter.

Ada masa jugak, masa tengah tidur, tiba-tiba bunyi guli tu kedengaran. Betul-betul kat luar pintu sliding bilik Pida. Rania tanya apa tu mak? Pida jawab takde apa-apa.


Kejadian kedua : Bunyi perabot diseret-seret

Bunyi perabot diseret-seret ni acapkali didengar. Sama seperti bunyi guli, ia kedengaran tak kira masa. Bunyinya jelas; seolah-olah orang sebelah atau orang tingkat atas sedang mengalihkan perabot yang berat seperti kerusi, gerobok, katil dan sebagainya.

Tapi Pida duduk rumah teres, atas memang sah-sah takde sesiapa. Nak kata jiran sebelah, takkan kerap sangat dia mengalihkan perabot. Malam-malam pun alihkan perabot jugak ke?


Kejadian  ketiga : Bunyi pintu dihempas kuat

Lagi satu, fenomena yang kerap Pida dengar ialah bunyi pintu yang dihempas dengan kuat. Ini selalu Pida dengar. Ia seolah-olah pintu jiran sebelah atau orang belakang atau orang atas yang dihempas tu, bukan bunyi dari rumah Pida. Bunyi pintu dihempas ni pun selalu kedengaran tak kira waktu.

Pelik jugak, siapa yang tutup pintu main hempas-hempas macam tu? Merajuk dengan laki ke? Marahkan majikan ke kalau yang menghempas pintu tu orang gaji?

Ada satu kali tu, Pida tinggal berdua je dengan Sufi. Masa tu Pida cuti (cuti lagi) sebab jaga Sufi yang demam. Masa Pida tengah tidurkan dia di sofa depan tv, Pida terdengar bunyi pintu kabinet dapur Pida dihempas dengan kuat. Pida yakin memang itu bunyi pintu kabinet dapur Pida. Tapi macam biasalah... mana ada sesiapa waktu tu kan?

Pida takut? Tak... masa tu Pida tak takut sebab Pida peluk Sufi kuat-kuat. Kalau Sufi tak ada maunya Pida mencicit naik atas.

Kejadian lain pulak berlaku baru-baru ni. Masa tu hari Jumaat. Pida sedang bersiap-siap untuk menghantar Rania ke sekolah petang sebelum Pida kembali ke pejabat. Semasa sedang memakaikan tudung Rania di hadapan meja solek, tiba-tiba Pida terdengar bunyi air mengalir di bilik air. Bunyi macam paip dibuka untuk mencuci sesuatu.

Habis je bunyi air tu, terus terdengar bunyi pintu dihempas dari atas. Namun ia tidak berakhir di situ, yang paling kemuncak ialah sebuah mainan di atas meja solek tu tiba-tiba bergerak sendiri. Rania tersentak. Dia menjerit. "Mak, mainan tu gerak sendiri!" Pida cuma cakap takde apa-apalah.

Pida tak takut waktu tu sebab ada Rania. Kalau Rania tak ada maunya Pida mencicit turun bawah.



Kejadian keempat : Kelibat bayang

Inilah yang paling Pida tak suka. Setakat dengar-dengar tu tak apa lagi, kalau dah main tunjuk-tunjuk bayang ni.... isyy, jangan la bai!

Kejadian ini berlaku pada suatu malam kira-kira pukul 9 malam. Masa tu Pida dengan budak-budak je, suami Pida masih belum balik dari surau. Semasa Pida keluar dari dapur, tiba-tiba Pida ternampak satu kelibat hitam yang besar serupa bayang turun dari tangga dan hilang macam tu aje.

(Aiseh... time Pida taip ni naik bulu roma. Dahlah aku ni banyak bulu. - bulu kening, bulu mata hokeh!)

Pida tergamam sekejap selepas melihat kelibat tersebut. Bukannya takut sangat, tapi itulah kali pertama Pida nampak entiti seperti itu. Nasib baik Pida tak histeria, kalau tak mesti kecoh satu taman Pida terjerit terpekik terlolong.

Itu kisah Pida. Kisah anak Pida pulak lain.

Pada suatu hari, Aqil tengah main bola kat ruang tamu. Tiba-tiba bola tu bergolek menuju ke tangga. Aqil pun terus menuju ke tangga untuk mengambil semula bola tersebut. Tetapi langkah dia terhenti dan dia tak jadi nak ambil bola tu. Pida tanya kenapa? Aqil menjawab, "Aqil nampak ada orang kat tangga tu."

Pida dah jadi suspen. Orang? Orang mana? Tak ada sesiapa pun?



Rumah yang tenang jangan disangka tiada 'si dia'.


*********************


Kejadian-kejadian yang kerap Pida alami di rumah Pida ini telah menjadikan Pida nekad untuk berjumpa pawang. Pida kenal seorang pawang yang handal ni. Dia memang popular di kalangan netizen seperti Pida. Rujuk aje kat dia, mesti dia bagi jawapan dan penyelesaian. Memang hebat ilmunya. Memang mengalahkan nujum pa' belalang handalnya.

Lalu Pida pun merujuk kepada pawang yang Pida panggil Pawang Google ni. Pida nyatakan masalah dan keperluan Pida, lantas Pawang Google memberikan seribu satu jawapan sampai Pida tak tau nak pilih mana satu.

Last-last Pawang Google memberikan Pida satu jawapan yang pasti. Rupanya ada makhluk lain yang turut tinggal bersama-sama Pida iaitu jin. Dia juga makhluk Allah, dia tak mengacau, cuma nak tumpang tempat tinggal dengan Pida je.

Pida pernah juga cuba niatkan, tak apalah kalau nak duduk sama-sama sebab kita sama-sama makhluk Allah. Kita sama-sama menumpang di bumi Allah. Kau buatlah kerja kau tapi jangan sesekali kacau kami dan jangan sesekali tunjukkan diri kau pada kami.

Sekarang ni, bunyi-bunyian tu dah agak kurang, tak sekerap dulu. Kalau tinggal sorang-sorang kat rumah pun taklah takut sangat. Nak takut apa, rumah sendiri kan... takut hanya pada Allah.

Pida percaya hak sesama makhluk adalah milik Pencipta. Kita kena berkongsi dunia ini dengan makhluk lain juga. Mereka memang wujud tetapi di dunia yang berlainan daripada kita.

Rumah kau macam mana?



Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...