Tuesday, January 31, 2012

Tentang AJL26

Salam AJL,

Pida berkesempatan menonton siaran langsung AJL26. Pida tengok bersama suami dan anak-anak kat bilik tidur kami. Pukul 9 malam hall bawah dah gelap sebab kami semua dok pakat tengok tv kat atas katil sampai tertido sendiri.


Logo AJL26 yang cantik. Konsep 'air' sangat menarik dan kelihatan canggih di pentas.



Budak-budak ni sibuk tunggu lagu Kalau Berpacaran. Si Sufi yang tak cukup umur tu pun terkinja-kinja berjoget macam la esok nak kiamat. Last-last bila lagu dah abis dia main bola sepak dengan Aqil. Terjerit-jerit Pida suruh diam sebab bola melantun ke sana ke mari sampai gol di atas kepala Pida.

Bercakap mengenai AJL, Pida dah mula tengok rancangan ni sejak siaran pertamanya dulu iaitu pada tahun 1986 (dulu Juara Lagu 86). Sejak itu Pida tak pernah miss AJL. Pada Pida, AJL yang paling best dan happening ialah Juara Lagu 91 ketika irama rock kapak sedang menjadi fenomena pada masa tu.


Lagu Sekadar Di Pinggiran telah memenangi Juara Lagu '86.



Lagu Takdir Dan Waktu nyanyian kumpulan Mega menjadi Juara Lagu 91. Masa ni memang paling best. Semua lagu best-best.




AJL26 yang baru berlangsung ni pada Pida kira best jugak la. Walaupun kebanyakan lagu yang dipertandingkan Pida tak pernah dengar, tapi gubahan muzik orkestranya sedap. Ye, Pida ni memang jenis tak dengar lagu sebab tak dengar radio. Dengar radio pun time dalam kereta pegi kerja.

Pida pulak tak suka dengar radio swasta macam hot, era, suria dan sinar sebab pada Pida radio swasta ni takde isi sangat selain iklan yang bising menceceh dan memboringkan. Pida layan radio kerajaan jugak haha.

Pida takde la nak komen sangat pasal AJL26 ni. Cuma ada beberapa point yang Pida nak kongsikan, inipun sekadar pendapat Pida aje...



1.    Lagu yang masuk bertanding

Oleh kerana banyak lagu yang Pida tak pernah dengar, jadi tak adil la kalau Pida komen kualiti lagu. Tapi pelik jugak la sebab kebanyakan lagu yang masuk termasuk dalam genre baru seperti lagu Wanita Seluruh Dunia tu. Lagi satu lagu Yuna tu pun Pida tak pernah dengar (ketinggalan giler aku ni). Entah di manalah kekuatan lagu-lagu seperti itu ek?


Sebelum ni Pida tak kenal Projek Pistol. Tetiba lagu masuk AJL. Hebat tu.



Lagu yang Pida minat dalam AJL26 ni ialah lagu Sedetik Lebih.


Pida jatuh cinta sangat kat Anuar Zain, oh salah, Pida jatuh cinta pada lagu Sedetik Lebih nyanyian Anuar Zain. Sungguh menyentuh jiwa. Lagu ini ditujukan khas untuk suamiku dengan ucapan "Malam ni nak buat apa?"



Lagu Sungai Lui tu pulak sebenarnya Pida banyak kali dengar kat radio tapi tak pernah dengar dari mula sampai habis. Kat AJL26 ni la baru Pida tau rupanya lagu Aizat.

Pida frust sebab lagu Sixth Sense tak dapat masuk final. Untuk genre sekarang ni , lagu Sitxh Sense je yang Pida boleh layan. Sebab Pida masih layan lagu rock kapak sampai sekarang.




2.    Artis yang masuk bertanding

Kebanyakannya artis yang menyanyi tu Pida kenal kecuali yang nyanyi lagu Kanda Dinda tu. Atilia kan? Yang tu kenal. Yang tak kenal tu yang lelakinya tu. Monoloque. Haa dah kenal sekarang.

Pida suka sangat tengok cara Yuna pakai shawl masa dia nyanyi lagu Gadis Semasa tu. Nampak trendy sangat. And she looked urban. Kalau si Najwa Latif tu macam tak kena sangat la fesyen dia. Patutnya dia kena pakai yang agak sleek sebab badan dia kecik dan rendah.


Yuna - cantik, bergaya, stylo, urban, sofistikated 



Najwa Latif - takpe, dia masih budak-budak. 


Artis perempuan yang lain macam Jac, Ning, Sheila Amzah dan Alyah pakaian agak seksi dan nampak montot tu lentik sangat. Terasa tau!



3Suara. Tapi takde 1 suara pun yang betul-betul Pida suka. 



Paling Pida suka ialah Hafiz. Sempoi giler. Rasanya masa dia buat latihan pun baju dia lebih cantik. Serius dia selekeh masa nyanyi sebab dia pakai pakaian macam dalam video klip dia. Dah la pakai seluar track suit je, singsing sebelah kaki pulak tu, tshirt pun tshirt buruk je. Ditambah dengan rambut yang serabai. Pada Pida pakaian untuk persembahan Hafiz adalah sangat unik!


Kau pernah tak nampak artis masuk pertandingan nyanyi-nyanyi pakai seluar senam je dengan tshirt plain dan tak sikat rambut? Pastu seluar singsing sebelah. 











3.    Persembahan artis yang bertanding

Untuk kategori Persembahan Terbaik, ramalan Pida mengena dengan tepat. Alyah menang. Persembahan sebagai patung di dalam music box memang menarik.


Alyah membuat persembahan sebagai patung di dalam music box. Tahan pulak dia berdiri statik macam tu. Kalau Pida dah nak tergelak dah. 



Sebenarnya persembahan kanda dinda pun best jugak, suka tengok diorang pakai pakaian tradisional siap bertanjak sekali. Solekan Atilia pun nampak cantik sangat.


Kekanda Adinda persembahan Atilia dan Monoloque. Persembahan diorang best tapi tak menang.


Persembahan Faizal Tahir pada Pida tak berapa outstanding kali ini. Biasa-biasa je. Cuma ada la gempak sikit sebab dia bakar piano.


Faizal Tahir bakar piano tapi piano tak terbakar. Magik tak? 

Persembahan Kalau Berpacaran agak berserabut kot... pening kepala tengok tapi itulah yang budak-budak suka.

Pida rasa serabut tengok persembahan Kalau Berpacaran ni. 



Najwa Latif yang membawa konsep Youtube di monitor pada Pida tak berapa best. Muka dia nampak nervous giler masa menyanyi. Teringat kerja rumah tak siap kot.

Najwa Latif di dalam skrin Youtube yang menjadi platform utamanya sebelum terjun ke aliran mainstream.


Yang lain tu biasa-biasa je.



4.     Vokal artis yang bertanding

Masa dengar Hafiz menyanyi, Pida dah agak dia boleh menang Vokal Terbaik. Tekaan Pida betul. Suara dia memang power la, sebijik macam dalam kaset.

Tapi oleh kerana Pida kurang meminati suara Jac, maka Pida rasakan lagu Sedetik Lebih tu macam rosak sikit la. Kalau Anuar Zain yang bawak memang sedap sangat lagu tu. Lain kali mintak Ramlah Ram nyanyikan boleh?

Suara Najwa Latif agak sedap sedikit masa AJL ni. Takdelah gepeng sangat macam yang kita biasa dengar kat radio tu.




5.     Pengacara

Semasa dapat tau Faizal Ismail dan Cheryl Samad jadi pengacara, Pida macam mmm... boring la. Sebab selama ni diorang jadi pengacara tak power sangat. Lawak pun dibuat-buat. Jadi, momentum untuk menonton tu menurun sikit.




Tapi masa AJL26 ni gandingan diorang ni taklah terlalu membosankan. Cuma Pida tak ketawa dengan lawak diorang. Masih cliche, tapi ok la... Cuma nak bagitau Cheryl nampak sangat cantik masa AJL26 ni. She's so stunning.




6.     Lagu yang menang

Pida nak lagu Sedetik Lebih yang menang, tapi Awan Nano pun ok jugak la... daripada lagu yang ntah hapa-hapa, lebih baik lagu Awan Nano tu.





Lagu Beribu Sesalan tu kira sedap la jugak, cuma Pida tak berapa gemar lagu yang tiada bass dan dram. Setakat piano je, rasa macam kosong sikit. Kalau ada bunyi bass, barulah sesuatu lagu tu mampat gitu.




7.     Penyampai hadiah

Aiseh, nama pun Anugerah Juara Lagu, grand gitu, tapi kenapa yang bagi hadiah setakat Ahmad Izham Omar? Paling bajet pun panggil la Datuk Johan Jaafar derr...




Apa pun, jambangan bunga hadiah tu sangat cantik.






Secara keseluruhannya, AJL26 telah berjaya membuatkan Pida dan keluarga terhibur dan kagum dengan kecanggihan set pentasnya. Kalau tv3 buat apa-apa mesti gempak 'ek? Tapi kalau rtm mesti nampak kusam je. Apasal haa? Takpe, Pida tengok rtm, sebab tu Pida tau. Haha.













Tetiba.




Semua gambar dari Google.

Friday, January 27, 2012

Cerita Berpantang

Salam berpantang,

Tak tau la kenapa kali ni Pida rasa nak tulis pasal berpantang. Kali terakhir Pida berpantang ialah kira-kira setahun setengah yang lalu. Rasa macam baru semalam je Pida mula berpantang.

Masuk ni dah tiga kali Pida berpantang. Berpantang sewaktu anak pertama adalah yang paling rigid. Kenapa? Sebab pada waktu itu Pida dijaga oleh nenek Pida. Nenek Pida adalah orang Jawa zaman dulu yang amat tegas dalam bab berpantang selepas bersalin ni.


Semasa Rania yang sulung lahir, Pida berpantang bersama nenek.

Berpantang anak kedua (Aqil), Pida masih berpantang dengan nenek walaupun tidak sepenuhnya.

Berpantang anak ketiga (Sufi), Pida duduk rumah sendiri aje. Dah pandai kan... duduk la berpantang sendiri tanpa orang tua. Mak mentua jaga 2 minggu je. Keburukan berpantang sendiri ni, kita akan jadi sedikit renyah sebab tak dapat tidak, kita bangun buat kerja jugak.


Hari pertama selepas balik dari spital, nenek dah sediakan jus istimewa untuk Pida. Jus pati kunyit. Sedap? Hotak kau sedap. Air bandung lagi sedap. Nenek kata jus pati kunyit boleh mengecutkan rahim dengan cepat. Ye la tu nek...

Mula-mula Pida takmo. Pida cakap "Nehi! Nehi!" Tapi nenek balas balik "Zindegi tum mere pyar." Pida pun minum... tapi Pida minum ngadap mangkuk jamban sebab takut termuntah. Memang Pida muntah, tapi bukan sebab pati kunyit tu, tapi sebab Pida terpandang makhluk cumil ketul-ketul yang Pida lupa nak flush lepas berak tadi.

Tapi memang betul la... sebaik sahaja Pida teguk pati kunyit tu, rahim terus kecut! Hihi...

Pengalaman berpantang dengan nenek adalah peluang yang ingin dilepaskan oleh semua orang. Nenek Pida memang jaki bebenor dengan Pida masa berpantang ni. Tak boleh berjalan laju sikit, nenek sound baiikkk punya "Nanti kalau koyak jahitan tu ko merasalah kena jahit lagi!" Ok, Pida jalan slow giler, tetiba nampak siput babi selamber je motong kat tepi.

Sebab itulah nenek sentiasa ingatkan Pida agar duduk sahaja di rumah sepanjang tempoh berpantang. Dan seriusly, Pida memang tak keluar rumah langsung sepanjang 44 hari tu kecuali untuk pergi ke klinik bawak baby periksa sakit kuning.

Pida hairan juga kerana ramai ibu berpantang sekarang berani keluar rumah membawa baby yang masih dalam hari ke tempat-tempat khalayak. Walaupun ibu itu memakai baju sejuk dan lengkap berstokin, namun sebenarnya itu tak elok untuk kesihatan ibu dan bayi kerana perubahan suasana di luar yang mungkin terlalu sejuk atau panas.

Eh, nak duduk pun ada cara tau. Kau ingat orang berpantang ni boleh duduk terkangkang macam yang kau selalu buat tu? Nehi, nehi.... Cara duduk orang berpantang ialah 1) melunjurkan kaki dan rapat  2) duduk seperti duduk antara dua sujud.

Dua cara tu aje. Tapi kalau duduk atas kerusi tu duduk la macam biasa. Jangan pulak kau berlunjur atas kerusi, nampak macam bongok pulak. Jangan pandai-pandai nak duduk bersila ye. Kang rabak aku tak tau.

Nenek juga bagi petua agar luka jahitan cepat kering. Ambik buah manjakani, yang buah punya, bukan serbuk. Pastu basahkan biji manjakani tu dan gosokkan biji tu di belakang pasu (pasu bunga) sampai keluar pati dia.

Pastu kauambik pati manjakani kat atas pasu tu dan kausapukan kat luka jahitan tu. Memang terbukti cepat kering dan sembuh. Jahitan ni jangan terlalu kerap kena air (jangan biarkan basah dan lembap). Sebab tu lepas kencing kau kena lap kering-kering. Jangan saja-saja biarkan benda tu berair, nanti lambat baik, jadi bernanah pulak. Eeeee....

Semasa menjalani proses berpantang dengan nenek, waktu makan adalah yang paling azab. Hari-hari nenek masakkan lauk asam, asam, asam. Singgang, singgang, singgang. Bening, bening, bening. Kasi kecut, kata nenek. Pukul 7.30 pagi nenek dah hidangkan nasi panas, sepinggan penuh pulak tu. Nenek cakap kena habiskan nasik tu, jangan tambah. Kalau tak abis, tinggalkan. Tapi jangan tambah. "Kenapa nek?" "Itu petua."

Jangan tidur waktu pagi, kata nenek. Ngantuklah nek... Jangan! Nanti badan letih. Pulak...

Time tidur malam lagi azab. Baring kena lurus, tak boleh langsung mengiring ke kiri atau ke kanan. Nanti peranakan beralih, bagitau nenek. Ok, yang ni Pida ikut sebab takut peranakan beralih ke telinga.

Semasa baring dengan lurus tu, nenek tahan tapak kaki Pida dengan batu giling. Percaya tak? Batu giling buat sendal kaki aku! Serius Pida tak boleh bergerak langsung. Dah macam mumia pun ada juga time tu cuma tak berbalut je. Nenek cakap tujuannya supaya Pida tak bergerak, jadi peranakan tak bergerak. Pida cuba jugak tendang batu giling tu, tapi berat giler kau. Kalau ngempap anak kucing harus mati.

Tidur malam tak pernah lena...

Pagi-pagi dah kena bangun awal. Mandi rempah. Ini best. Daun-daun tu nenek carikan dari kampung, ada juga yang didapati dari kampung mertua Pida. Antara daun herba yang digunakan ialah daun serai wangi, daun sirih, halia bara, daun pandan, daun jambu batu, daun kunyit, daun mengkudu dan daun senduduk. Nenek akan merebus daun-daun ni dan air rebusan tu dijadikan air mandian. Waw! Wangi dan segar.

Selepas siap mandi, Pida kena berdiang atau bertangas. Nenek sediakan bahan-bahan bertangas tu semasa Pida sedang mandi. Masa tulah nenek hidupkan kemenyan arab dalam bekas tembikar. Bila dah berasap-asap kemenyan tu, Pida pun bertangas. Perghh... panas je rasa. Nenek cakap biar cepat kering. Bertangas ni best, badan kita rasa kuat dan sihat.

Selesai bertangas, nenek suruh Pida sapukan param di seluruh badan. Kau tau ke param tu apa? Macam mana nak cakap ek? Dia macam bedak sejuk, tapi saiz dia besar macam syiling 50 sen. Dibuat daripada beras. Wangi. Badan jadi putih bercapok-capok bila param tu kering. Param ni tujuannya untuk memanaskan badan.

Maknanya, sampai petang la badan Pida bersalut param. Kata nenek lagi, tujuan pakai param adalah untuk menjadikan kita nampak hodoh di mata suami supaya suami takde nafsu kat kita. Hek elleh... nenek ni kelakarlah.

Bukan setakat param yang menghodohkan Pida, pilis juga menambah lagi kehantuan wajah Pida yang memang hodoh ni. Orang kata double hodoh la. Takpe, jangan bodoh. Pilis dipakai di atas dahi; dari ufuk kiri ke ufuk kanan, bentuk pelangi gitu. Tujuan memakai pilis adalah untuk membuang angin di bahagian kepala dan mengelakkan rasa pening seterusnya mengelakkan rabun.

Nenek juga selalu ingatkan agar jaga mata sepanjang tempoh berpantang. Nenek tak kasi tengok tv lama-lama. Untuk 2 anak pertama tu memang Pida ikut petua tu. Alhamdulillah mata Pida tak rosak. Tetapi semasa sedang berpantang anak ketiga, Pida kerap menengok komputer.

Betul la kata nenek, kena jaga mata semasa berpantang. Akibat terlalu kerap menggunakan komputer ketika dalam tempoh berpantang, Pida akhirnya menjadi rabun. Akibatnya juga, Pida terpaksa memakai cermin mata. Tapi sekarang dah kurang sikit rabun, jadi Pida dah tak pakai spek lagi. 

Dari segi pemakanan, nenek sangat tegas. Pida hanya boleh makan yang rebus-rebus dan yang masam-masam je. Yang goreng-goreng, yang sejuk-sejuk, yang pedas-pedas tak boleh.

Minum pulak tak boleh teguk selamber macam orang kebulur, kena teguk perlahan-lahan supaya perut tak buncit. Sebab tu kalau Pida nak minum, Pida tengok kiri kanan, bila line clear (nenek takde - tengah tengok telenovela) Pida pun teguk pakai botol je. Haha dasar kurang ajar.

Bercerita tentang perut, Pida amat menjaga perut supaya tidak buncit. Oleh itu, nenek Pida suruh sapu kapur sirih campur limau nipis kat perut bagi mengelakkan Pida menjadi Awang Boncit. Selepas itu, Pida pakai barut diikuti oleh bengkung. Bengkung tradisional yang berjela-jela tu la yang Pida pakai. Dia punya panjang boleh buat tarian naga.

Cara memintal dan mengikat bengkung ni ada tekniknya. Kena mulakan dari bawah pinggul supaya pinggul tak menggeleber dan supaya kita boleh berdiri sama tinggi dan duduk sama rendah dengan Inul. Cara menyimpulnya pun perlulah kuat dan letakkan kain bengkung yang disimpul tadi betul-betul di atas perut sebagai alat penahan supaya tidak buncit.

Sewaktu berpantang, ada beberapa perkara yang selalu nenek ingatkan. Jaga ibu jari kaki! Jangan terhantuk ibu jari kaki, nanti bentan! Oleh itu tuan-tuan dan puan-puan, Pida sentiasa memakai stokin tebal untuk mengelakkan masuk angin dan untuk menjaga ibu jari kaki daripada dihantukkan oleh sesiapa.

Apa lagi yang pantang dilakukan semasa berpantang? Iaitu jangan sesekali mengangkat-angkat barang terutama yang berat. Waktu berpantang adalah waktu untuk memanjakan diri. Serius. Tak payah buat apa-apa. Kerja orang berpantang ni cuma makan dan menyusukan anak aje.

Jangan la mengada-ngada tunjuk rajin nak masak sendiri la, basuh pinggan la (tak boleh kena air sangat nanti masuk angin), nak basuh baju la (paling bahaya menarik baju dari mesin basuh kerana ia akan menyebabkan bahagian perut, rahim dan peranakan yang masih lemah akan tegang dan boleh jadi bentan!)

Orang berpantang duduk diam-diam! Begitulah kata nenek.
      
Oh ye, ada satu lagi yang unik. Rambut kena ikat ketat-ketat, sanggul tinggi-tinggi supaya angin tak masuk kepala, supaya kepala tidak pening. Jadi Pida pun ikatlah rambut ketat-ketat sampai jadi tegang kulit muka tak boleh buat ekspresi apa waima senyum sekalipun pada suami akibat terlalu ketat dan tinggi. Tetiba suami Pida kata "Cantiklah ayang, macam Noor Kumalasari." Noor Kumalasari kepala angguk kau.

Pida berurut selama 5 hari berturut-turut mulai hari kedua iaitu sehari selepas balik dari spital. Berurut adalah penting untuk mengembalikan semula tenaga yang banyak hilang semasa proses bersalin. Berurut juga dapat melancarkan peredaran darah supaya kita kelihatan segar dan tidak pucat.

Semasa berurut, makcik tu buat sengkak. Kau tau ke sengkak tu apa? Sengkak, bukan sengkek. Sengkek tu kau! hahhaha gurau aje... Sengkak tu menaikkan peranakan dengan cara menolak peranakan kita tu dari arah bawah perut dan dinaikkan perlahan-lahan sampai ke tengah perut. Pehhh... sengkak ni memang sakit. Rasa nak nangis masa kena sengkak tu. Tapi lepas kena sengkak, badan rasa sangat ringan dan segar.

Pida juga mengamalkan makan jamu. Tapi Pida makan jamu selepas sebulan bersalin iaitu selepas baby Pida pulih sebenuhnya daripada kuning. Agak-agak hati dia dah berfungsi dengan baik tu, Pida pun mula makan jamu. Hello... bukan jamu pil ye puan-puan, tapi jamu serbuk. Kena bancuh setengah cawan, pastu minum sekali teguk je. Amacam? Ada bran?

Yang paling best, sepanjang waktu berpantang tu Pida kena pakai kain batik. Hai... orang muda macam Pida ni manalah pakai kain batik. Kain batik pun takde kat rumah. Tapi cun jugak Pida pakai kain batik. Macam perawan jawa gitu.

Begitulah rutin Pida selama 44 hari berpantang dengan nenek. Masuk hari ke-45 tu rasa macam merdeka habis. Budak lepas spm tu tak rasa merdeka macam tu. Sebab mulai hari ke-45 Pida dah tak perlu mandi herba, tak perlu comot-comot pakai param dan pilis, tak perlu makan jamu, tak payah pakai bengkung, tak kena sendal kaki dengan batu giling, tak payah pakai kain batik...

Mulai hari ke-45 Pida dah boleh mula sikit-sikit jamah makanan yang selama ini Pida tak boleh makan seperti yang bergoreng, minum air sejuk sikit-sikit, jalan tak payah pakai stokin, boleh jalan laju-laju, boleh tidur mengiring dan boleh goda laki ahaks! Gatal betul betina ni.

Walau apapun, Pida amat bersyukur kerana dijaga dengan begitu rapi oleh nenek. Di sebalik keperitan mengharungi cabaran berpantang cara orang dulu-dulu ni, tersurat seribu hikmah yang Pida perolehi secara langsung terutama dalam aspek kesihatan.

Alhamdulillah, sepanjang tempoh berpantang selama 44 hari sebanyak 3 kali dalam masa 6 tahun, Pida tidak pernah berasa letih atau lemah. Pida yakin, ini adalah kerana Pida cukup menjaga aspek pemakanan yang diajar oleh nenek dulu. Masa berpantang tak boleh lapar. Itu petua nenek.

Lagi satu yang paling best nenek cakap, orang berpantang ni kerjanya cuma makan dan menyusukan anak sahaja. Dua itu SAHAJA. Mandikan anak pun sepatutnya orang lain yang buat. Bestnya!

Pida juga tidak mengalami pertambahan berat badan. Berat Pida maintain sebelum dan selepas beranak. Mungkin juga faktor fisiologi Pida yang mempunyai tahap metabolisme yang tinggi. Sental apa sahaja pun tak jadi gemuk. Pida masih boleh memakai kebaya macam Noor Kumalasari dulu-dulu.

Terima kasih nenek. Pida berasa sangat terharu dan dihargai kerana dalam ramai-ramai cucu nenek, Pida antara mangsa yang bertuah terpilih untuk menjalani latihan rekrut di bawah kaedah diktator nenek. Nenek mengajar Pida menjadi manusia yang sabar dan berdisiplin.

Pada mulanya Pida memang rasa berat, namun setelah seminggu, ia sudah menjadi alah bisa tegal biasa. Hari ke-45 rasa pelik sedikit kerana Pida tak comot lagi, malah comel (mari muntah).

Kini Pida sedar, janganlah kita terlalu berbangga dengan gaya hidup kita yang kononnya moden. Setelah apa yang Pida lalui dalam tempoh berpantang bersama nenek, Pida dapati ia bukanlah petua yang sia-sia. Ada falsafah di sebaliknya. Benarlah, orang tua-tua ini memang bijaksana sebenarnya. Pida bersyukur kerana mempunyai nenek yang tidak lokek berkongsi pengalaman dan ilmu yang ada padanya. Sayang nenek.

Jika ditanya selepas ini adakah Pida nak berpantang lagi dengan nenek, jawapannya ialah "TIDAKKK!!!"

Thursday, January 26, 2012

T♥nd♥-t♥nd♥ j♥tuh cint♥

Salam cinta,

Wah, lev-lev gitu tajuk kali ni.

Memang indah di kala bercinta. Segalanya bagai bunga yang mekar dan harum mewangi di taman sari. Tiada kata yang dapat diluah tatkala berhadapan dengan belahan jiwa, hanya pandangan mata yang menusuk ke hati. ♥♥♥ Oh, alangkah indahnya cinta! ♥♥♥

Cuba angkat tangan siapa yang sedang dilamun cinta sekarang? Mak aii.... ramainya yang tengah jatuh cinta. Ok, setuju tak kalau Pida katakan yang kaumerasai semuanya di bawah ini; saat ini? Tanda-tanda jatuh cinta!


    Kau asyik senyum memanjang.

Orang tengah dilamun cinta la katakan... Semua perkara kauhadapi dengan senyuman. Semua perintah boss kauterima dengan senyuman. Abah kau marah sebab kau terlupa tutup pintu reban ayam pun kau masih mampu memberikan senyuman!

Depan kambing pun kausenyum.


Macam ni la rupa orang tengah jatuh cinta ;P  Thanks Google.





     Kau makan tapi tak pernah kenyang.

Mungkin sebab kau ni jenis membela agaknya. Ataupun kaulupa baca Bismillah sebelum makan. Sebab dalam hati dan mulut kau tu tak lain tak bukan hanyalah buah hati kau tu je. Kan? Kan?


Tengok cara makan pun tau jenis membela. Bela cacing.







♥     Kau mandi tapi tak pernah basah.

Agaknya memang badan kau je masuk dalam bilik air tu. Tapi sebenarnya kau tak bukak pun air sebab kaubayangkan buah hati kau tu ada kat depan kau. Dah kau tu jenis kalau mandi bukak semua. Tinggal alat-alat tertentu je. Malu letteww!!!


Jangan salahkan orang lain jika dia menutup hidung semasa berdiri di sebelah kau. Kemungkinan besar kau tidak mandi sejak mula jatuh cinta.





♥     Kau tengok apa saja pun kau nampak dia aje.

Ini namanya gila bayang. Tak pun gila isim. Pantang bukak mata, kau asyik nampak buah hati kau tu je dok melambai-lambai dan bagi flying kiss kat kau. Kau tak sedar sebenarnya yang kat depan mata kau tu ialah nenek tiri kau. 

Tahap kronik dah ni. Kalau dulu-dulu orang dah mula gali dah. Tinggal nak tanam je. 


Asal tengok bantal je kau terbayang muka dia. Asal tengok bulu ayam je kau terkenang wajah dia. Masuk ni dah 3 kali lebih kau tukar kain. Eh, apa kena-mengena?





♥      Segalanya tentang dia adalah baik belaka.

Kau tak boleh terima bila orang kritik atau kutuk dia. Haruslah orang yang kutuk tu jadi musuh kau buat selama-lamanya. Kau lebih rela hidup dalam penafian (denial syndrome) padahal kau memang dah tau bahawa buah hati kau tu memang jenis pantang tengok orang lawa.


Semua yang ada pada dia nampak sempurna di mata kau walaupun kadang-kadang perangai dia pelik sikit.





      Kau berdebar-debar setiap kali bertentang mata dengan dia.

Rasa macam jantung tu nak copot aje setiap kali kau memandang dia. Berdebar lain macam. Denyutan jantung menjadi lebih laju. Rupa-rupanya kau mengidap simptom lemah jantung.



Makwe : U pandang apa teww?  Pakwe : Ada lewww...






       Kau rasa jeles tak tentu pasal.

Berbulu mata dan bertaik telinga kalau kau dengar bahawa buah hati kau tu bercakap mesra dengan orang lain dan sentiasa senyum dengan orang selain kau. Tapi kau lupa bahawa buah hati kau tu adalah seorang operator khidmat pelanggan.


"Kemon la anje... takkan nak jeles... I cuma bawak iguana I jalan-jalan pusing pekan je tadi. Bukannya I hangkut mana-mana minah pun."







       Kau rasa macam nak menikah time tu jugak!

Ini memang sahih kau tengah jatuh cinta. Dah, pergi niat puasa!



Saya nak kawin. Boleh?

 

Monday, January 23, 2012

Terima kasih atas doa

Salam doa,

Cuti sempena tahun baharu cina ni Pida balik ke kampung halaman. Dapat bersua dengan ibu bapa / mertua serta adik-beradik dan ipar duai adalah saat yang sangat bermakna dan membahagiakan bagi Pida.

Cuti selama empat hari ini Pida gunakan sepenuhnya untuk menghabiskan masa dengan mak Pida terutamanya. Rasa rindu sangat kat mak, padahal baru dua minggu lepas kami berjumpa.

Semasa sedang berbual-bual, mak beritahu bahawa pada Jumaat yang lepas, pihak sekolah lama mak (di mana mak berkhidmat dan seterusnya pencen) telah dengan ikhlas mengadakan majlis bacaan Yassin khusus untuk mendoakan agar mak sembuh.

Seriusly, mak rasa amat terharu atas doa dan ingatan bekas guru-guru, kakitangan dan pelajar-pelajarnya yang sudi memperuntukkan sedikit masa demi mendoakan kesihatan mak. Ternyata walaupun mak bukan lagi menjadi sebahagian daripada warga sekolah tersebut, namun ingatan tulus sedemikian amat bermakna dan mak berasa sungguh terharu dan berterima kasih sekali.

Kepada Pengetua, guru-guru, kakitangan dan semua pelajar High School, hanya ucapan Terima Kasih yang dapat kami sekeluarga berikan. Terima kasih atas doa dan ingatan kalian. Semoga mak cepat sembuh dan semoga Allah memberi segala kebaikan kepada kalian semua...



Terimalah jambangan bunga yang indah ini sebagai tanda terima kasih.

Saturday, January 21, 2012

Tips menjimatkan bil elektrik dan air (versi sengal)

Salam cermat,

Amacam hari ni? Ada sihatkah? Pida mendoakan agar semua 3 juta pembaca blog sengal ni berada dalam keadaan yang bahagia dan sentosa.

Gaji bulan ni dah habis ke? Takkan dah abis kot... baru masuk kan?

Apa? Banyak komitmen? Bayar macam-macam bil? Biasalah... hidup kita ni kan untuk membayar balik apa yang telah kita nikmati. Mana ada benda free lagi sekarang ni. Semuanya kena bayar. Yang free cuma makanan/minuman promo kat pasar raya, itupun seciput je. Tak mengenyangkan langsung. (Nak kenyang makan kat rumah la Pida)

Macam mana ek nak jimatkan perbelanjaan dan penggunaan sumber tenaga (air dan elektrik)? Berikut adalah caranya!

1)    Tidur awal
Kalau boleh lepas solat Isya' pukul 8.45 tu terus masuk tidur. Tutuplah televisen dan segala lampu. Biar gelap. Jangan lupa tutup lampu akuarium sekali. Biar ikan kat dalam tu meraba-raba.

Kalau boleh kau matikan jugak kipas. Aircon jangan sesekali pasang. Kalau panas kau bukak tingkap atau pintu sliding. Kalau kena gigit nyamuk itu masalah kau bukan masalah aku.

Esok pagi kau bukak youtube kat opis pastu kau tengoklah balik cerita Kiah Mai La Pulak yang kau terlepas malam tadi. Kalau kantoi dengan boss jangan sesekali petik nama Pida.


2)    Pastikan aktiviti rumah dilakukan secara berkelompok.
Maknanya, dari mak, bapak, anak-anak semua kena duduk di ruang yang sama untuk menjimatkan penggunaan elektrik. Ini tidak, semua orang duduk terperap dalam bilik masing-masing bukak tv masing-masing; ofkos la bil elektrik meningkat. Lagipun kalau duduk berkelompok ni dapat mengeratkan tali kekeluargaan.



3)    Mandi ala kadir
Cuba jangan berangan sangat nak jadi cleopatra mandi susu dalam tub. Mandi ala kadar sudah la. Bukak air shower tu, dalam 10 saat je kau mesti setkan masa untuk selesai mandi siap sabun dan syampu. Tak yah gosok gigi pun takpe. Kat opis tutup je mulut time bercakap.

Kalau nak jimat lagi, kautadah air mandian kau tu untuk digunakan oleh Ya Allah bukan Pida suruh mandikan laki dengan air tu, Pida suruh buat siram bungalah!

Kalau nak lagi lagi jimat, mandilah sekeluarga beramai-ramai dalam kolam renang kanak-kanak yang mudah alih tu. Kalau geli takut berjangkit kuman, mandi je kat laut.



Kalau muat, mandi je terus dalam sinki. Boleh sental apa yang patut guna berus dawai cuci montot kuali tu.




4)    Cas handphone dan laptop kat opis dapat menjimatkan elektrik rumah. (Yang ni Pida selalu buat)


5)    Buang air besar kat opis pun dapat menjimatkan air rumah.


6)    Telefon helpdesk TNB dan Pejabat Air merayu mintak diorang potong bekalan ke rumah kau. Sure pasni tak kena bayar bil lagi.

Thursday, January 19, 2012

Tips menangani komputer lembab

Salam lembab,

Salah satu perkara yang boleh membuatkan kita tension ialah bekerja dengan komputer yang lembab. Bukan lembap basah sikit-sikit tu, tapi lembab iaitu lambat tak boleh nak sabar lagi dah. Kalau tunggu lama sikit mau jahanam komputer tu kena lempar.

Nak tunggu satu huruf keluar pun ambik masa seminit. Kalau dua huruf, dua minit. Kalau tiga huruf, tiga minit. Kalau emp... eh, sampai infiniti pun tak selesai lagi kalau cenggini kekdahnya.

Baiklah murid-murid,

Pada hari ini Cikgu Pida nak mengajar satu tips yang berkesan untuk mengurangkan kelembaban komputer.

Tapi sebelum itu mari kita bertawaduk sebentar untuk memastikan punca-punca yang menyebabkan komputer kita itu lembab. Antara sebab utama dan cara penyelesaiannya :

1)   RAM kecik.

RAM kau 1 gig tapi kau bantai tengok video ceramah  kat youtube. Pastu sambil-sambil dia buffering tu kau bukak tab baru pastu kau download video lagu Kopratasa pulak. Udah le tu, rupanya kau layan Command & Conquer. Bila komputer tu hang, kau gi ngamuk kat pakcik van adik kau. Patut tak patut?

Apa kata kau pegi tukar seluar pastu kaucarik kedai komputer mintak dia upgrade RAM komputer kau tu. Jangan lupa tadi mak kau suruh beli kicap dengan sarung tangan.



RAM di atas bantal kuning. Eh, bantal ni lagi?

Saiz RAM paling besar ialah 4 GB sementara RAM terbaik ialah DDR3.



2)   Komputer bertukar menjadi pusat ternakan virus, malware dan trojan

Wah, dah berjaya jadi penternak nampaknya ye. Boleh dapat anugerah peladang jaya peringkat zon ni. Tahukah kau bahawa virus, malware dan trojan adalah unsur-unsur parasit yang telah hadir ke sistem komputer kau tanpa diundang?

Kau ingat masa kau download video, mp3, emel dan games terutamanya tu takde sekor dua makhluk halus tu merasuk komputer kau? Silap besarlah... diorang tunggu je kau klik 'YES', pastu diorang bersorak sakan sebab dapat mendajal kau.




Assalamualaikum, kami kumpulan VIRUS! Kami tidak boleh dihapuskan melainkan dengan minuman kultur sahaja. "Boss, minuman kultur bukan untuk perut ke?" "Hei kau diamlah! Aku kan boss!"






Senang je, kau masukkan anti virus dan sila pastikan yang anti virus kau tu sentiasa diupdate dengan patch-patch terkini yang diperolehi secara online. Contohnya Kaspersky (yang paling Pida suka), Symantec, AVR, McAfee dan Dettol anti-kuman.



Nampak tak tanda 'jempol' tu? Itu menandakan rasa puas hati pengguna setia Kaspersky.




3)    Banyak sangat start-up program

Yang ni Pida selalu nasihatkan user Pida supaya kurang-kurangkan la pegi clubbing... eh tersasul pulak. Pida bagitau kat user agar buang mana-mana ikon yang tak perlu sangat di desktop tu terutamanya ikon shortcut. Ni sampai penuh desktop dengan segala bagai ikon, memang la lembab komputer tu.

Itu yang sampai 5 minit cuma nak tunggu start-up aje. Sirap dah habis dua cawan, minum horlick pulak, tapi komputer masih belum ready lagi. Tension tak tension tak?

Lagi satu, terlalu banyak widget di desktop juga akan melembabkan sistem komputer kerana RAMlah RAM perlu cater benda-benda ni sekaligus dengan program-program lain yang berjalan.




4)    Perkakasan bermasalah

Kausebut apa perkakasan ni? Hardware eh? Cecece... orang putih konon... ok tak kisah la. Janji kaufaham bahawa masalah hardware pun boleh menyebabkan komputer kau jadi lembab.

Contohnya hard disk kau rosak. Yelah dah rosak macam mana sistem nak jalan dengan baik ye tak?

Contohnya lagi mouse kau tu liar sangat. Kau edjas ke kanan dia pegi ke kiri. Kau klik Yes dia mengempar ke No.

Ini senang je, kau mintak mak kau duit sepuluh ringgit, kau naik bas bayar tambang guna duit kau sendiri pastu kau tekan loceng bila bas tu berenti kat depan kedai komputer. Kauturun baik-baik, jangan pijak lecak, nanti seluar jeans tu kotor, pastu kau tolak pintu kedai tu (kalau ada tulis Pull kau kena tarik), pastu kaucakap kat tokei kedai yang tengah main video game tu "Nak mouse satu."



Tikus peliharaan Pida.





Ok, itu antara punca utama kenapa komputer kau lembab menyakitkan hati dan membuatkan boss ternanti-nanti maklumat yang dihajati tapi tak sampai-sampai ke mejanya sejak pagi tadi.

Oh, ada satu cara paling cool yang Pida nak kongsikan kepada pembaca Pida yang hanya seramai tiga orang ni mengenai cara melepaskan beban memori RAM kita tanpa perlu merestart komputer.

Kita selalu buat aktiviti copy paste, cut paste, edit gambar, copy gambar dan lain-lain lagi yang menggunakan memori RAM ke tahap maksimum kan?

Lagi satu, kalau kita rajin menggunakan perisian grafik seperti Photoshop, Illustrator, InDesign, Flash waima PowerPoint sekalipun, penggunaan RAM komputer kita akan meningkat. Apabila RAM meningkat, kelajuan komputer akan menurun (low memory). (Analogi : Orang yang obes tak dapat berlari dengan laju)

Contohnya kalau kita copy satu gambar jpeg, kita paste gambar tu pada aplikasi lain. Jangan ingat RAM tu dah bebaskan beban gambar tadi. Ia masih memegang saiz RAM yang besar tadi atau dengan kata lain, RAM akan terus memegang beban saiz objek terakhir kita. Wah kalau cenggini nak kena shutdown komputer la baru RAM boleh ringan sikit.

Eh, ada Pida cakap cenggitu?

Tak perlu susah-susah nak shutdown. Shutdown pun akan ambik masa lama jugak kalau RAM tu dah kekurangan memori.

Cara termudah ialah bukak aplikasi notepad atau wordpad, taip satu character (abjad, nombor atau simbol) dan copy character yang kita taip tadi. Dengan cara ini, RAM akan melepaskan beban saiz yang besar tadi dan mula memegang beban yang jauh lebih kecil saiznya (satu character tadi). Jadi, kelajuan komputer akan dapat dipulihkan. Oh ya, tak perlu nak paste-kan character yang di-copy itu. Sekadar syarat bahawa RAM komputer kita sudah jadi ringan sikit.





Jadi, itu sahajalah perkongsian melalui pengalaman Pida ini. Semoga ia bermanfaat untuk semua pengguna komputer, pelayar internet, dan penggodam sistem.

Selamat bermain komputer!

Tuesday, January 17, 2012

Caci maki carut marut - oh keji!

Salam maki,

Eh, tak sopan pulak.

Salam carut,

Tu namanya kuang hajo!

Ok, pada kali ini Pida nak membawa pembaca budiman sekalian untuk bermuhasabah diri. Mari kita masuk ke dalam diri kita sendiri dan selami jiwa kita.

Sebagai manusia biasa yang tidak ma'sum, kita sememangnya lemah dan sentiasa melakukan kesilapan. Siapalah kita untuk mendabik dada dan mencanang dengan angkuh bahawa kita tidak pernah buat salah? Pida pun sentiasa melakukan kesilapan sama ada secara sengaja atau tidak sengaja.

Amarah - sifat manusia yang mesti ada dan unik. Kita sering berasa marah.

Ketika marah, sesetengah daripada kita cenderung untuk memaki hamun, menyumpah seranah dan men - ce alip ro wau ta. Mencarut. Eeee... dosa tau!

"Sial la kereta depan ni. Bagilah signal bodoh!"

"Yek elle... macam tu ke caranya. Aku ingat susah sangat, bangang." - kau la yang bangang.

"Hoi gampang! Meh sini aku ketuk kepala kau! Benda mudah macam ni pun susah sangat ke nak buat? Bebal macam keldai."

"Cepatlah sikit, ngok!"

"Celaka la tokei kedai ni. Ditipunya aku hidup-hidup."

"What the fart."

"Babi."



Janganlah kita mencaci maki dan mencarut marut. ppffttt....









Perghhh... cantiknya bahasa ye. Mulut memang sedap nak mengata yang bukan-bukan. Cuba kena kat kita, tak berapi ke hati ini?

Cuba gantikan dengan perkataan-perkataan yang baik dan bernilai positif.


"Mewahlah kereta depan ni. Bagilah signal, cemerlang!"

"Oh begini caranya. Hihihi... memang aku ni bangang."


"Hai bertuah! Meh sini aku didik kau! Benda ni mudah je. Kita belajar biar tak jadi macam keldai ye"

"Cepatlah sikit, hebat."

"Hensem la tokei kedai ni. Aku ditipunya."

"What the flower."

"Biba."

Lain kali sebelum memaki hamun dan mencarut, fikir dua kali. Elok ke tak elok perbuatan tu? Hehe





Biar muka selekeh, tapi hati bersih.









Sentiasalah memohon ampun daripada Allah dan meminta maaf sesama manusia atas kesilapan yang telah dilakukan. Semoga kita sentiasa dikenang sebagai seorang insan yang mulia kerana harimau mati meninggalkan belang, manusia mati meninggalkan ....









...password!

Monday, January 16, 2012

Minggu ke-3 masih menangis

Salam menangis,

Hari ini sudah masuk minggu ketiga Rania bersekolah. Dan hari ini juga genaplah 3 minggu Rania menangis di rumah tak nak sekolah. Apa kes?

Pida bertanya pada Rania apa sebab dia tak nak pergi sekolah. Dia tak jawab, malah semakin tinggi graf sedu-sedannya.

Pida lembutkan lagi suara Pida menanyakan dia. Akhirnya Rania bersuara jua, "Mak cakap apa ni, Nia tak dengar sepatah haram..."

Oh, rupanya Pida terus mutekan suara. Patutlah dia tak dengar. Harap mulut je bergerak-gerak macam bercakap sesuatu.

Pida usap kepada jendul Rania dengan sepenuh kasih sayang. Laki di sebelah tetiba cemburu... apehal bai...?

"Kenapa Nia taknak gi sekolah sayang?"

Senyap. Sesekali terdengar sedu-sedan yang macam dipress-press gitu.

"Nia takde kawan ke?"

Geleng.

"Habis, abah tak kasi Nia duit belanja?" Masa ni Pida dah jeling kat laki di sebelah yang tengah asyik membetulkan kereta remote control Aqil.

"Kasi... abah kasi tiga ringgit gitu..."

Eh, kok ada gitu.

"Ok, tell me now. Why u don't want to go to school dear?"

Haa kan dah tergeliat lidah Pida.

"Nia rindukan mak..." Dan tangisan terus berkumandang menenggelamkan suara tangisan Sufi yang dahagakan kasih sayang susu ibunya.

Hmm... dia rindukan Pida. Boleh percaya ke?

Pida perasan, sejak Rania masuk sekolah, dia berubah menjadi agak pendiam. Dia kurang bercakap. Kalau dulu, dia tak renti-renti membebel macam tertelan radio kekdahnya.

Tapi, setiap kali kalau Pida ambil dia dari sekolah, mulut dia potpetpotpetpolpot memang sah tertelan radio. Tak abis-abis bercerita. Sampai Pida kata, "Lama lagi ke cerita Nia ni?"

Minggu lepas Rania mengadu pada Pida yang dia diejek oleh classmate lelaki di kelasnya kerana dia memakai cermin mata. Rania marah budak tu, katanya. Pida tau Rania tersinggung dengan ejekan itu dan dia berasa rendah diri kerana memakai cermin mata.

Pida pujuk Rania. Pida beritahu dia jangan pedulikan ejekan itu. Jangan sentap. Pida katakan padanya bahawa budak lelaki itu sebenarnya nak berkawan dengan Rania tapi dia malu nak cakap baik-baik. Jadi, budak lelaki tu gunakan kaedah reverse psychology untuk menarik perhatiannya. Nampaknya Rania boleh terima alasan Pida tu.

Dan Pida juga tegaskan bahawa memakai cermin mata bukanlah satu kekurangan, malah ia satu kelebihan yang menjadikan diri seseorang itu unik dan istimewa. Pida puji Rania dengan mengatakan dia kelihatan lebih cun bila memakai cermin mata. Rania senyum bila dipuji begitu. Amboi... kembang letteww!



My daughter Rania has been wearing specs since the age of four due to astigmatism. Symptom : Severe headache. Factor : Genetic.



Inilah yang menjadi kegusaran Pida sebenarnya. Bahawa menghantar anak ke dunia luar bererti juga melepaskan dirinya ke dalam kelompok manusia yang rencam sifat dan perangainya. Bahawa tidak semua manusia mampu membuatkan kita berasa senang. Bahawa ada saja manusia yang mengambil kesempatan atas kelainan dan ketidaksamaan orang lain berbanding dirinya.

Setiap hari selepas solat subuh, Pida ajar Rania berdoa agar dia berasa seronok untuk ke sekolah dan mendapat kawan-kawan yang baik. Mungkin pada Rania, sekolah adalah tempat yang asing bagi dirinya. Mungkin dia rindu akan teacher dan kawan-kawan tadikanya.






Apapun, kehidupan mesti diteruskan. Pida katakan pada Rania, jika dia ingin masuk universiti, dia mesti mulakan dengan DARJAH SATU!




Lukisan Rania pada Jumaat lepas. Thank you, Nia. Mak suka sangat lukisan ni. Tapi.........  besar sangat tu! HAHAHAHA

Friday, January 13, 2012

Evolusi Handphone Pida

Salam evolusi,

Tajuk karangan kali ini berkenaan dengan evolusi iaitu perubahan yang berlaku secara beransur-ansur. Jangan sebut revolusi kerana ia bermaksud perubahan (terutamanya dalam sistem pemerintahan) yang dilakukan secara kekerasan.

Berbalik kepada tajuk..., anda semua mesti ada handphone kan? Tipulah kalau kata takde. Zaman sekarang ni budak sekolah rendah pun dah pakai handphone. Kalau tak pakai handphone tu rasa macam sisa-sisa manusia zaman batu je.




Yek elle... ingat kiter ni orang paleolitik ke... kiter saja je dress macam ni nak pergi dinner cocktail. 






Seingat Pida, Pida mula memakai henfon pada tahun 1998. Masa tu penggunaannya masih belum begitu meluas. Maknanya, tak semua orang pakai henfon.

Tapi Pida tak merasa pakai telefon Atur yang macam bom jangka yang kena heret kulu kilir tu. Fuh, siapa yang bimbit telefon Atur tu memang kaya la pada masa tu. Oh, patutlah ia digelar telefon bimbit! 








Tahun 1998 : Inilah rupa henfon Pida yang mula-mula dulu. Motorola. Henfon ni agak gedabak dan selambak. Saiz dia lebih besar daripada sabun Dettol. Siap ada batang antenna kau! Kalau baling kat platipus atau penguin ni gerenti boleh mati menatang tu. Masa ni Pida guna talian Adam (017). Rindu la kat Adam.










Tahun 1999 : Handphone kedua yang Pida miliki ialah ini. Alcatel One Touch Easy. Handphone ni memang cool sebab ringtone dia polyfonik (masa tu kira canggih la). Rupa dia pun sangat ceria. Kaler ada macam-macam. Pida punya biru kalau tak silap. Saiz dia agak besar jugak, lebih besar daripada sabun Popinjay.












Tahun 2001 : Selepas berpuas hati dan kemudiannya jemu dengan prestasi Alcatel yang kiut tu, Pida bertukar pula kepada Sagem MC920. Handphone ni telah dihadiahkan oleh mak Pida untuk kegunaan Pida di kampus. Handphone ni comel, bentuk dia melengkung gitu. Warna perak metalik. Lampu paparan skrin berwarna kuning. Bunyi dia agak bingit. Henfon ni masih ada kat rumah Pida. Kalau terpandang dia Pida mesti senyum sendiri teringat kisah-kisah lama di kampus (kisah dengan pakwe letteww). 












Tahun 2003 : Seterusnya Pida memakai handphone Motorola C450. Inilah rupa sebenar yang Pida pakai dulu, warna biru muda metalik. Handphone ni kecik je saiz dia,  comel sangat rupa dia. Ini handphone Pida yang pertama ada paparan skrin warna. Walaupun piksel dan resolusi dia rendah, tapi pada Pida dia tetap nampak cantik. Ringtone dia pun sedap-sedap.













Tahun 2005 : Lebih kurang dua tahun selepas itu, Pida beralih selera lagi. Masih lagi Motorola, kali ni model RAZR v3i. Handphone ni jenis lipat. Cun. Pida pakai warna seperti gambar di atas. Pida suka dengan keypad handphone ni sebab ia selesa dan nampak high-end gitu. Oh ye, ini handphone Pida yang pertama yang ada kamera. Pida boleh amik gambar! Yang ni suami Pida belikan.











Tak sampai setahun Pida pakai Motorola v3i tu, Pida berubah hati kepada Motorola v3xx pula. Handphone ni lebih kurang sama je dengan v3i, cuma ia adalah model terbaru selepas v3i. Keypad dia memang terbaik, material aluminium, nampak high-tech sangat. Lagipun Pida selesa menggunakan handphone lipat. Pida pakai warna hitam metalik seperti gambar di atas. Yang ini pun suami Pida belikan.














Tahun 2008 : Kemudian Pida bertukar kepada jenama dan model baru. Ximax. Pernah dengar tak? Mesti ada yang blur. Ntah... Pida pun sebelum ni tak pernah dengar Ximax. Handphone ni kecik giler! Serius. Tak abis la tapak tangan kita kalau diukur saiz dia ni. Keypad dia memang hanya sesuai untuk para gadis comel dan manja. Kalau jari orang lelaki mau tiga butang sekaligus ditekannya nanti. Oleh kerana ia sangat kecik, maka akhirnya Pida tukar kepada handphone lain sebab takut tertelan. Tapi sebenarnya lama jugak Pida pakai Ximax ni. Yang ini pun suami Pida jugak yang belikan.










Tahun 2009 - sekarang : Inilah gadget yang sedang Pida gunakan sekarang. Nokia E71. Pida sayang sangat kat handphone pemberian suami ni. Walaupun ia taklah terlalu canggih, tapi ia sangat berguna pada Pida. Pida paling suka keyboard qwertynya. Sedap disentuh. Gambar pun sharp dan warna cantik. Antara fungsi utama handphone ini ialah untuk mengambil nota atau catatan selain calling-calling dan mesej-mesejing. Pida ada jugak berkira-kira nak tukar ke Samsung Galaxy S2, tapi bila Pida pikirkan Pida tak suka touch screen, Pida tak jadi beli. Tapi sekarang Pida tengah usha HTC Cha Cha. Ha ha





Kalau nak diikutkan, Pida ni bukanlah jenis orang yang gila gadget. Pida sebenarnya tak kisah pakai handphone jenis apa sekalipun sebab Pida bukan orang yang terlalu bergantung kepada aplikasi peralatan komunikasi. 

Tapi Pida geram kalau time nak call orang, bateri handphone dia kong! Arghhh!!!!



Semua gambar hasil google.


















Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...