Monday, July 30, 2012

Mendambakan kehadiran Imam Muda Gaza

Salam Gaza,

Pada minggu lepas, sedang Pida berjalan-jalan di koridor pejabat untuk ke kafeteria, eh silap, bukan ke kafe tapi ke bilik boss, Pida terpandang satu poster yang menarik perhatian Pida.

Poster itu berkata, "Majlis solat Zuhur bersama Imam Muda Gaza... bla bla bla..."

Pida jadi rasa macam tak jejak tanah je masa tu. Teringat perbualan Pida bersama suami 3 hari sebelumnya.

<3 hari sebelumnya>

Pida sedang menonton siaran berita di televisyen. Tiba-tiba terpandang satu caption mengenai 4 orang imam muda hafiz dari Gaza datang ke Malaysia sempena bulan Ramadhan ni. Ia adalah satu usaha murni oleh sebuah badan NGO iaitu Aqsa Syarif. Mereka akan menjadi imam solat tarawih di masjid-masjid terpilih di setiap negeri.

Mendengar perkhabaran itu, Pida jadi begitu teruja. Pida segera berkata kepada suami Pida. "Abang, kalau diorang datang tempat kita, kita pergi eh?"

Pida katakan begitu sebab Pida merasakan ia sesuatu yang sungguh istimewa bagi rakyat Malaysia apabila menerima kunjungan tetamu yang datang dari jauh; sejauh tanah semenanjung Gaza yang kita semua tahu bukan mudah bagi mereka untuk datang ke sini.

<><><>

Jadi, apabila mendapat tahu imam muda Gaza akan datang ke masjid di tempat Pida bekerja, bukan seorang tetapi keempat-empatnya, pehhh.... melompat aku! Kalah orang tak puasa. Rasa bagai pucuk dicita ulam mendatang. Tak sangka diorang datang ke tempat kerja Pida.

Tak sabar nak menanti waktu Zuhur. First time dalam hidup aku beria-ia tunggu masuk waktu Zuhur. Biasanya beria-ia tunggu masuk waktu Maghrib je sebab nak buka puasa.

Apabila tiba waktu yang dijanjikan....



Imam muda Gaza masuk ke dalam masjid seorang demi seorang. Pida pun apa lagi histeria la menjerit-jerit memanggil nama mereka. Apa kau dah gila... takkan la Pida buat macam tu. Lain la kalau tengok konsert Justin Bieber.



Keempat-empat imam muda Gaza ini duduk di ruang hadapan masjid. Mereka sungguh segak dan tampan. Boleh jadi calon menantu. Rania cepatlah kau besar nak...  Dari kiri : Imam Muhammad Sulaiman, Imam Taha Sulaiman, Imam Mukmin Hawaz dan Imam Raed Sya'ban.



Gambar-gambar yang Pida ambik ni semuanya bergegar. Nak tau sebab apa? Sebab Pida menggigil. Tak tau la kenapa Pida menggigil bila berdiri ambik gambar depan imam muda Gaza ni. Terlebih adrenalin kot sampai jadi parkinson. Lebih-lebih lagi bila diorang pandang kamera Pida (atau pandang Pida hahaha), lagilah rasa nak jatuh kamera tu. Tak taulah kenapa, selama ni depan retis ok je...



Gambar ni dah tahap kronik tangan aku menggigil. Serius gila tapi Pida tak tau kenapa boleh menggigil. Hahaha. Siot la tangan aku ni.


Renungan matanya tu... bercahaya! Beruntungnya, muda-muda dah menghafaz al-Quran.


Kehadiran mereka ditemani oleh Prof Madya Dr. Mohd Zin Bin Kandar (berbaju hitam di rostrum) yang merupakan ahli lembaga pemegang amanah Aqsa Syarif. Beliau telah 2 kali menjejakkan kaki di bumi Palestin (Gaza).


Aktiviti pada hari itu ialah perbincangan secara santai yang menyentuh tentang kehidupan dan suasana sebenar di bumi bergolak Gaza. Ternyata apa yang kita saksikan di kaca tv dan apa yang dibaca di akhbar/internet hanyalah sebahagian daripada penderitaan sebenar mereka. Bertuah rasanya mendapat peluang mendengar cerita dari mulut rakyat Gaza sendiri.


Menyentuh serba-sedikit mengenai latar belakang mereka, sejak dari kecil lagi mereka telah dilatih dan diasuh untuk mencintai al-Quran oleh ibu bapa mereka. Mereka dihantar belajar membaca dan menghafaz al-Quran sehingga menjadi hafiz pada usia muda (20-an). Menurut mereka, di Gaza, penduduk di sana sangat menitikberatkan pembudayaan al-Quran sehingga kitab suci itu dijadikan asas dan sandaran utama dalam setiap aktiviti kehidupan mereka. Sebab itulah mereka dan al-Quran adalah begitu sinonim kerana mereka menjadikan al-Quran sebagai teras kehidupan.



Menceritakan situasi sebenar di Gaza, menurut imam-imam muda ini, bumi Gaza sentiasa menjadi sasaran tentera Zionis. Nyawa bagai di hujung tanduk. Bunyi bom dan tembakan bagai sudah menjadi halwa telinga. Serangan lebih dilakukan pada waktu malam ketika semua penduduk Gaza sedang tidur. Pada masa itulah tentera Zionis mengebom dan membedil rumah penduduk Gaza. Masa ni Pida jadi sedih sangat... Pida terbayang wajah kanak-kanak Gaza yang menjadi mangsa kekejaman Zionis. Tambah mereka lagi, sekarang ni dah seminggu pulak tak dengar bunyi bom.


Selain menceritakan pengalaman dan suasana peperangan di Gaza, imam-imam muda ini turut sudi memperdengarkan bacaan al-Quran dan berqasidah. Sedap suara diorang. Penuh perasaan mengalunkan ayat-ayat suci. Sayu je dengar.


Aktiviti seterusnya ialah sesi soal jawab di antara penonton dengan imam muda Gaza dengan bantuan Dr Mohd Zin sebagai moderator. Banyak juga soalan yang diutarakan seperti bagaimana pelaksanaan sistem pendidikan di Gaza dan aktiviti penggalian terowong yang giat dijalankan oleh tentera Zionis. Semuanya dijawab dalam bahasa Inggeris dan bahasa Arab (dengan menggunakan khidmat penterjemah iaitu ustaz Pida sendiri).



Laungan semangat jihad menceritakan betapa kuatnya cita-cita dan perjuangan mereka untuk membebaskan Masjid Al-Aqsa dan bumi Palestin dari cengkaman Yahudi Zionis laknatullah.



Akhir sekali, majlis penyampaian cenderamata kepada tetamu-tetamu istimewa ini.



Terima kasih kerana sudi datang ke tempat Pida... Mampir lagi yuk!


Jangan lupakan kami orang-orang Malaysia yang sangat menyayangi kamu rakyat Palestin di Gaza.


Pengalaman bertemu dengan Imam Muda Gaza ini meninggalkan kesan yang cukup mendalam kepada Pida. Pida rasa kita di Malaysia ni dah cukup bertuah. Bukan cukup, malah terlalu bertuah kalau nak dibandingkan dengan orang-orang Islam di tempat lain seperti di Gaza.

Pida bersyukur kerana dilahirkan di bumi Malaysia yang bertuah ini. Bila dah tengok sendiri kekuatan emosi dan semangat yang dipamerkan oleh mereka ini dalam memperjuangkan kemerdekaan dan keluar dari belenggu penjajahan, Pida dapat rasakan mereka memang pejuang jihad yang sangat hebat.

Sebelum berpisah, mereka sempat memberi nasihat agar kita sentiasa berpegang kepada ajaran al-Quran. Mereka juga meminta kita sentiasa mendoakan kesejahteraan dan keselamatan semua orang yang berada di Gaza; yang saban hari bergelut dengan ketidakpastian antara hidup dan mati.

Semoga Allah melindungi saudara-saudara kita yang berada di Gaza dan mudah-mudahan kita mengambil iktibar daripada kesengsaraan mereka di sana.


Wednesday, July 25, 2012

Kisah rumah tangga di bulan puasa

Salam rumah tangga,

Pada hari ini Pida ingin bercerita mengenai kisah rumahtangga. Cerita ini boleh dibaca oleh semua orang termasuklah kanak-kanak yang belum mumaiyiz. Dijamin tiada unsur syeksyual dalam cerita ini. Jadi kalau kau ingat Pida nak buat cerita biru, kau sudah silap besarlah.

Ceritanya begini.

Pada suatu hari, Encik Mohd Qayyum pulang ke rumah setelah seharian bekerja di pejabat. Dia sampai di rumahnya pada tepat pukul 5.30 petang sharp.

Sesampainya di rumah, Encik Mohd Qayyum disambut dengan penuh mesra oleh isterinya yang bernama Puan Pareedah. Melihatkan suaminya yang keletihan dan tidak bermaya, sepantas kilat Puan Pareedah  pun menuju ke dapur membuat air untuk hidangan suaminya.

"Abang, jemputlah minum," Puan Pareedah mempelawa Encik Mohd Qayyum dengan sopan sambil menyuakan air fresh oren ais kepada suaminya itu.

Encik Mohd Qayyum tidak terus mengambil air tersebut tetapi memandang tepat ke muka isterinya itu dengan pandangan slack.

Puan Pareedah tersentak dengan tindakan Encik Mohd Qayyum terhadap dirinya. Sekali lagi wanita tersebut menunduk dan menitiskan air mata. Dia kecewa kerana suaminya itu sekali lagi enggan menjamah walau setitik air fresh oren ais yang telah dibuatnya itu.

Dua tiga hari ini entah mengapa Encik Mohd Qayyum tidak langsung menyentuh minuman yang diberikan oleh Puan Pareedah. Yang hairannya, Encik Mohd Qayyum hanya memandang slack kepada isterinya, tiada satu patah perkataan pun sama ada sudah kenyang ke, tak suka fresh oren ke atau apa pun alasan. Tetapi reaksinya hanyalah pandang slack, bangun dan keluar rumah semula meninggalkan Puan Pareedah terpinga-pinga sendirian.

Pada suatu malam sebelum tidur, Puan Pareedah bertanyakan kepada Encik Mohd Qayyum perihal keengganannya meminum air yang dibuatnya.

"Kenapa kanda tak sudi minum air buatan dinda?" tanya Puan Pareedah dengan lembut dan takut-takut.

"Kanda tak suka fres oren ke? Dinda boleh buatkan milo suam," ujar Puan Pareedah lagi sambil membetulkan baju kelawar lusuhnya.

Sekali lagi Encik Mohd Qayyum memandang isterinya dengan pandangan slack. Kali ini ditenungnya isterinya itu lama-lama.

"Isk.. isk ... malulah kanda...," mentel sahaja Puan Pareedah bersuara sambil tersipu-sipu apabila ditenung-tenung direnung-renung begitu.

"Awak... saya mengaku awaklah isteri yang paling baik di dunia. Dahlah baik, jelita pulak tu. Memang bertuah saya kahwin dengan awak," demikian tutur Encik Mohd Qayyum dengan lembut. Sambil-sambil itu tangannya membetulkan tocang Puan Pareedah yang sudah terbarai. Serabai pula kelihatan isterinya itu.

"Awak nak tau kenapa saya tak minum fresh oren awak tu walaupun jiwa saya meronta-ronta nak togok sampai habis?" tanya Encik Mohd Qayyum lagi.

"Kenapa kanda? Kenapa? Beritahulah dinda!" pantas sahaja Puan Pareedah menjawab.

"Sebab... INI KAN BULAN PUASA. APA KEJADAHNYA AWAK BUATKAN SAYA AIR FRESH OREN PETANG-PETANG. TAULAH AWAK TU TAK PUASA TAPI JANGANLAH INGAT SAYA NI PUN BOCOR MACAM AWAK JUGAK!"

"Laa.... mati-mati saya terlupa bang!"

Habis.


Tuesday, July 24, 2012

Lagi 3 minit nak berbuka... nak buat apa?

Salam berbuka,

Adalah menjadi perkara biasa bagi kita sementara nak tunggu waktu berbuka tu, kita dah berkumpul depan juadah berbuka. Tak kiralah hidangan apa yang bakal dijamu nanti, yang pentingnya kau anak-beranak ataupun house mate kau dah bersila depan makanan. Betul tak? Eleh, jangan buat-buat pandang kiri kanan la... kaubuat kan? Ececeh...

Yang ada tu lagi teruk, lagi setengah jam nak masuk waktu berbuka puasa, air soya cincau dah siap-siap dituang ke dalam cawan dan letak di bibir. Bila bunyi je azan, tinggal togok je. Tak sempat baca doa pun. Eee... notty!

Bercakap tentang berbuka puasa ni, apa yang kau akan lakukan sementara nak tunggu azan lagi 2-3 minit tu? Takkan nak hadap je nasi tomato dan ayam masak merah tu? Silap-silap tak sampai seminit dah habis kena bedal. Jadi apa kata kauikut panduan dan cadangan Pida ni?


1)   Lagi 2-3 minit nak azan maghrib tu, dan kebetulan kau pun dah berkumpul kat meja makan satu keluarga, apa kata kau main game lawan mata? Kau tenung mata abah kau, abah kau tenung mata kau balik. Siapa berkelip dulu dia kalah. Atau siapa tak berkelip sampai azan, dia boleh habiskan kuih akok tu sorang-sorang.

Trick menipu : Kau buat-buat pandang belakang atau bawah kononnya ada benda jatuh pastu kau pejam mata puas-puas sebelum kauhadap abah kau tu semula. (Sebenarnya masa kau pandang tempat lain tu, abah kau pun puas pejamkan mata kasi refresh).

2)   Main teka-teki. Lebih elok kalau teka-teki tu berkisar tentang suasana puasa dan lebaran yang bakal menjelang. Contohnya, banyak-banyak lemang, lemang apa warna merah? Jawapannya, lemang tertumpah sirap.

3)   Main teka-teka saiz kasut raya. Kauteka saiz kasut abah kau, abah kau teka saiz kasut mak kau, mak kau teka saiz kasut kau. Siapa jawab paling tepat boleh habiskan jelly kelapa sorang-sorang.

4)   Cipta lagu raya terbaru. Mesti kau dah bosan dengan lagu raya yang ada sekarang kan? Apa kata sementara nak tunggu azan tu, kau cipta melodi lagu raya terbaru, pastu kau upload dalam Youtube. Mana tau, kau akan jadi artis Youtube yang berjaya seperti Najwa Latif?

5)   Anyam daun ketupat. Dalam 2-3 minit nak tunggu azan tu, kalau kauanyam daun ketupat, boleh dapat 4-5 bijik kalau kau terrer. Kalau kau buat secara berjemaah, boleh dapat 20 bijik sarung ketupat. Kau buat macam game la, siapa dapat buat paling banyak, dia boleh habiskan cendol pulut sorang-sorang.

6)   Buat perbincangan dengan suami/isteri nak balik ke kampung siapa raya nanti. Aktiviti ni kena buat dengan berhemah dan diplomasi. Jangan emosi. Kalau isteri sentap (sebab tak balik kampung dia), maunya kau kena melahap sorang-sorang segala juadah, hidangan dan pencuci mulut yang ada tu. Errr, tapi itu best jugak kan?



Tapi kalau kau taknak buat apa yang Pida cadangkan di atas, ada baiknya juga jika kauisi masa 2-3 minit masa berkualiti tu dengan memberikan tazkirah ringkas kepada anak-anak.


Beri nasihat agar anak-anak kita menjaga adab berpakaian yang sopan...


...menutup aurat...


... dan menjaga tingkah laku supaya manis dipandang mata, sesuailah dengan pakaian sopan yang disarungnya...



Nasihatkan juga kepada anak-anak bahawa mereka adalah tanggungjawab kita, oleh itu ke mana sahaja mereka pergi dan apa sahaja yang mereka lakukan, haruslah diawasi oleh kita.



"Allahu Akbar Allahu Akbar...!"

Azan dah dilaungkan, selamat berbuka puasa!



Akhir sekali, khas untuk pembaca semua. (Sebenarnya Pida tengah jakun dengan QR code ni. Orang lain dah lama pakai, Pida baru nak pakai hehe...)

Ada mesej tersembunyi. Kalau kau ada QR reader, cuba kau scan dan decrypt balik kod ini.;)


Saturday, July 21, 2012

"Badigol kau bangla!" -Walaupun kau tidak tahu apa-apa

Salam bangla,

Minggu lepas Pida membawa Rania mencabut giginya yang dah goyang. Ikutkan hati nak aje Pida rentap gigi susu dia tu, tapi Rania beria-ia takut dan merengek-rengek nak cabut dengan doktor gigi di klinik.

Jadi demi memujuknya, Pida pun bawak dia berjumpa doktor gigi. Lepas habis sekolah agama pagi, Pida ambik dia dan bawak ke klinik gigi yang berdekatan.

Amik kau! Cabut 2 batang gigi susu je kena RM60. Mak aii... mahal jugak rupanya. Buat tak sampai 5 minit. Kalau tau aku rentap je pakai tali tangsi masa kau tengah tido.

Selepas selesai, Pida bawak Rania ke ofis sementara tunggu nak hantar ke sekolah kebangsaan.

Bila dah cabut tu, ingatkan masalah dia selesai. Rupanya tidak. Rania dah mula rasa risau nak pergi sekolah. Takut kena ejek rongak. Jap lagi nak pergi sekolah petang pulak. Malu la kawan-kawan nampak kerompongan terbaru dia.

Memang pun dia dah rongak 2 gigi atas tu, ditambah rongak lagi 2 kat bawah tu, boleh letak 4 biji dadu.

Sebagai emak yang dulu pun pernah rongak, Pida bagi kata-kata nasihat dan perangsang kepada Rania agar dia tak rasa malu di sekolah nanti. Pida katakan pada dia bahawa rongak adalah perkara biasa bagi semua kanak-kanak seusianya. Jadi dia tak perlu malu dan risau diejek.

Nampaknya kata-kata semangat Pida itu telah berjaya mengubah fikirannya. Rania dah mula rasa yakin dengan dirinya walaupun dia rongak 4. Dia pun dah bersemangat untuk ke sekolah petangnya.

Ketika sampai waktu untuk menghantar Rania ke sekolah kebangsaan, Pida pun memimpin tangannya menuju ke kereta. Tiba-tiba lalulah seorang cleaner lelaki bangla.

"Hallo kakak... ini anak kakak ka..?" tanya bangla itu dengan ramah.

"Ye, anak saya," Pida menjawab.

Seraya melihat Rania yang tersenyum, bangla itu pun terus bersuara.

"Adik manis... mana gigi... sudah hilang ka..?"

Mendengar itu, Rania masam kembali. Dia tau mesti akan ada orang tegur dia rongak.

Pida pulak tak berkedip mata pandang bangla yang dah berlalu tu. Makin lama makin kecik je aku tengok bangla tu.

Badigol punya orang... aku lempang kang!





posted from Bloggeroid

Wednesday, July 18, 2012

Entry misteri : Tinggal bersama 'si dia'

Salam misteri,

Tak habis-habis dengan misteri Pida ni. Hari tu pasal cincin kahwin misteri, sampai sekarang tak terungkai misterinya. Kali ni Pida nak cerita pasal kejadian yang sangat biasa dialami di rumah Pida dan mungkin juga di rumah kau.

Tapi sebelum bercerita panjang, Pida nak bagi amaran sikit. Entry ni diklasifikasikan sebagai ES13 (Entry Seram untuk budak-budak 13 tahun ke atas). Kalau kau seorang yang penakut, Pida syorkan lebih baik kau jangan baca entry ni sebab entry ni serammmm hiiiiiii...... Alamak, aku pulak yang takut sendiri.

Baiklah, Pida akan cuba untuk menerangkan situasi-situasi yang boleh dirasai dan didengari dengan deria kasar tetapi ia sebenarnya tidak dapat dilihat oleh mata kasar, yang biasa terjadi di rumah Pida. Kau faham tak apa yang Pida sampaikan ni? Kalau tak faham buat-buat faham sudah la.

Ada beberapa kejadian atau fenomena biasa yang kerap dialami Pida sekeluarga dan juga keluarga-keluarga lain di taman Pida.


Kejadian Pertama : Bunyi guli melantun

Bunyi guli melantun-lantun memang selalu kedengaran di rumah Pida. Bunyinya seperti seolah-olah anak orang sebelah tengah main guli. Maksudnya, kita dengar bunyi guli-guli tu melantun di rumah jiran sebelah dengan andaian anak dia yang sedang main.

Mula-mula dulu Pida fikir memang anak orang sebelah yang main lantun-lantun guli. Jadi Pida tak rasa apa sangatlah. Budak-budak... takkan nak marah diorang main kan? Anak Pida sendiri pun main baling-baling anak lesung Pida tak marah.

Tapi bila bunyi guli melantun dah terlalu kerap dan tak mengira waktu; siang malam pagi petang bunyi guli, takkan budak sebelah ni tak main benda lain? Asyik main guli je ke kerjanya? Malam-malam pukul 11 pun? Mak bapak kau tak marah ke budak? Isyy... I smell something wrong somewhere la.

"Bang, budak sebelah ni tak penat ke main guli? Banyak betul guli dia 'ek?" Pida bertanya pada suami Pida sambil melentok manja ke bahunya.

"Adoi... tepilah sikit, bahu abang terkehel ni. Ambikkan yoko-yoko tu," suami Pida membalas dengan romantik sambil menolak kepala Pida sampai terhantuk ke dinding kepala aku.

Wahabi punya laki, Pida menggerutu dalam hati.

"Abang ahli sunnah wal jamaah la," dia tiba-tiba bersuara. Erkk...??

Pernah pada suatu pagi dalam pukul 11 gitu, Pida tengah lepak-lepak kat atas sofa di ruang tamu. Masa tu orang lain semua pegi kerja, Pida sorang je tak pergi kerja sebab cuti. Tiba-tiba Pida terdengar bunyi guli melenting-lenting betul-betul di sebelah Pida. Pida tersentak, dah mula pikir yang bukan-bukan. Lepas dah pikir yang bukan-bukan tu... Pida pun mencicit naik atas masuk bilik sambil menjerit, "Aaaaaaaa!!!"

Dalam kejadian yang lain pulak, masa tu pukul 11 malam. Adik Pida sorang-sorang kat bawah tengok tv. Tiba-tiba kat meja makan tu bunyi guli melenting. Dia yang memang dah tau cerita pasal guli ni, tak cukup tanah lari naik atas. Siap langkah 3-4 mata tangga punyalah takut. Kalah pelari sprinter.

Ada masa jugak, masa tengah tidur, tiba-tiba bunyi guli tu kedengaran. Betul-betul kat luar pintu sliding bilik Pida. Rania tanya apa tu mak? Pida jawab takde apa-apa.


Kejadian kedua : Bunyi perabot diseret-seret

Bunyi perabot diseret-seret ni acapkali didengar. Sama seperti bunyi guli, ia kedengaran tak kira masa. Bunyinya jelas; seolah-olah orang sebelah atau orang tingkat atas sedang mengalihkan perabot yang berat seperti kerusi, gerobok, katil dan sebagainya.

Tapi Pida duduk rumah teres, atas memang sah-sah takde sesiapa. Nak kata jiran sebelah, takkan kerap sangat dia mengalihkan perabot. Malam-malam pun alihkan perabot jugak ke?


Kejadian  ketiga : Bunyi pintu dihempas kuat

Lagi satu, fenomena yang kerap Pida dengar ialah bunyi pintu yang dihempas dengan kuat. Ini selalu Pida dengar. Ia seolah-olah pintu jiran sebelah atau orang belakang atau orang atas yang dihempas tu, bukan bunyi dari rumah Pida. Bunyi pintu dihempas ni pun selalu kedengaran tak kira waktu.

Pelik jugak, siapa yang tutup pintu main hempas-hempas macam tu? Merajuk dengan laki ke? Marahkan majikan ke kalau yang menghempas pintu tu orang gaji?

Ada satu kali tu, Pida tinggal berdua je dengan Sufi. Masa tu Pida cuti (cuti lagi) sebab jaga Sufi yang demam. Masa Pida tengah tidurkan dia di sofa depan tv, Pida terdengar bunyi pintu kabinet dapur Pida dihempas dengan kuat. Pida yakin memang itu bunyi pintu kabinet dapur Pida. Tapi macam biasalah... mana ada sesiapa waktu tu kan?

Pida takut? Tak... masa tu Pida tak takut sebab Pida peluk Sufi kuat-kuat. Kalau Sufi tak ada maunya Pida mencicit naik atas.

Kejadian lain pulak berlaku baru-baru ni. Masa tu hari Jumaat. Pida sedang bersiap-siap untuk menghantar Rania ke sekolah petang sebelum Pida kembali ke pejabat. Semasa sedang memakaikan tudung Rania di hadapan meja solek, tiba-tiba Pida terdengar bunyi air mengalir di bilik air. Bunyi macam paip dibuka untuk mencuci sesuatu.

Habis je bunyi air tu, terus terdengar bunyi pintu dihempas dari atas. Namun ia tidak berakhir di situ, yang paling kemuncak ialah sebuah mainan di atas meja solek tu tiba-tiba bergerak sendiri. Rania tersentak. Dia menjerit. "Mak, mainan tu gerak sendiri!" Pida cuma cakap takde apa-apalah.

Pida tak takut waktu tu sebab ada Rania. Kalau Rania tak ada maunya Pida mencicit turun bawah.



Kejadian keempat : Kelibat bayang

Inilah yang paling Pida tak suka. Setakat dengar-dengar tu tak apa lagi, kalau dah main tunjuk-tunjuk bayang ni.... isyy, jangan la bai!

Kejadian ini berlaku pada suatu malam kira-kira pukul 9 malam. Masa tu Pida dengan budak-budak je, suami Pida masih belum balik dari surau. Semasa Pida keluar dari dapur, tiba-tiba Pida ternampak satu kelibat hitam yang besar serupa bayang turun dari tangga dan hilang macam tu aje.

(Aiseh... time Pida taip ni naik bulu roma. Dahlah aku ni banyak bulu. - bulu kening, bulu mata hokeh!)

Pida tergamam sekejap selepas melihat kelibat tersebut. Bukannya takut sangat, tapi itulah kali pertama Pida nampak entiti seperti itu. Nasib baik Pida tak histeria, kalau tak mesti kecoh satu taman Pida terjerit terpekik terlolong.

Itu kisah Pida. Kisah anak Pida pulak lain.

Pada suatu hari, Aqil tengah main bola kat ruang tamu. Tiba-tiba bola tu bergolek menuju ke tangga. Aqil pun terus menuju ke tangga untuk mengambil semula bola tersebut. Tetapi langkah dia terhenti dan dia tak jadi nak ambil bola tu. Pida tanya kenapa? Aqil menjawab, "Aqil nampak ada orang kat tangga tu."

Pida dah jadi suspen. Orang? Orang mana? Tak ada sesiapa pun?



Rumah yang tenang jangan disangka tiada 'si dia'.


*********************


Kejadian-kejadian yang kerap Pida alami di rumah Pida ini telah menjadikan Pida nekad untuk berjumpa pawang. Pida kenal seorang pawang yang handal ni. Dia memang popular di kalangan netizen seperti Pida. Rujuk aje kat dia, mesti dia bagi jawapan dan penyelesaian. Memang hebat ilmunya. Memang mengalahkan nujum pa' belalang handalnya.

Lalu Pida pun merujuk kepada pawang yang Pida panggil Pawang Google ni. Pida nyatakan masalah dan keperluan Pida, lantas Pawang Google memberikan seribu satu jawapan sampai Pida tak tau nak pilih mana satu.

Last-last Pawang Google memberikan Pida satu jawapan yang pasti. Rupanya ada makhluk lain yang turut tinggal bersama-sama Pida iaitu jin. Dia juga makhluk Allah, dia tak mengacau, cuma nak tumpang tempat tinggal dengan Pida je.

Pida pernah juga cuba niatkan, tak apalah kalau nak duduk sama-sama sebab kita sama-sama makhluk Allah. Kita sama-sama menumpang di bumi Allah. Kau buatlah kerja kau tapi jangan sesekali kacau kami dan jangan sesekali tunjukkan diri kau pada kami.

Sekarang ni, bunyi-bunyian tu dah agak kurang, tak sekerap dulu. Kalau tinggal sorang-sorang kat rumah pun taklah takut sangat. Nak takut apa, rumah sendiri kan... takut hanya pada Allah.

Pida percaya hak sesama makhluk adalah milik Pencipta. Kita kena berkongsi dunia ini dengan makhluk lain juga. Mereka memang wujud tetapi di dunia yang berlainan daripada kita.

Rumah kau macam mana?



Monday, July 16, 2012

Jom tengok bunga api Floria 2012 - entry tertinggal keretapi

Salam Floria,

Ini adalah entry basi atau ketinggalan zaman. Kau nak cakap entry lapok pun Pida tak sentap. Ia adalah mengenai pertunjukan bunga api semasa pesta Floria 2012 yang berlangsung di Putrajaya baru-baru ini.

Sebenarnya Pida dah lama nak kongsi gambar-gambar ni, tapi Pida terlupa. Boleh gitu?

Pida tunjukkan gambar bunga api ni sebab Pida suka sangat tengok bunga api. Masa kecik-kecik dulu mak tak kasi main bunga api sebab bahaya, kata mak. Memang bahaya pun, sebab Pida pernah terpegang batang bunga api cap kucing yang baru je padam. Panas giler, menyesal aku pegang.

Dan sekarang bila Pida dah ada anak, mak Pida pulak yang sibuk belikan cucu-cucunya bunga api! Amboi! Masa aku dulu siap bagi tazkirah bagai tak bagi main bunga api, sekarang mak pulak yang over ye....!

Pida pulak yang melarang anak-anak Pida main bunga api sebab bahaya. Eh, sama la alasan dengan mak Pida dulu.

Oklah, tak nak citer panjang. Malas Pida nak menaip. Mari kita tengok bunga api!


Sebelum pertunjukan bunga api dimulakan, penonton terlebih dahulu menyaksikan persembahan bot berhias yang mewakili semua negeri dalam Malaysia. Ada juga peserta antarabangsa iaitu dari negara Kenya dan China. Pida tak banyak ambik gambar bot sebab kedudukan Pida sangat jauh dari tasik. Lagipun orang ramai sangat macam ulat gendon.


Inilah akibatnya kalau datang lambat. Dah takde ruang kosong Pida nak mencelah untuk ambik gambar. Ada je benda menghalang pandangan. Menyampah betul.


Ambik gambar apa pun mesti nampak kepala orang. Nasib baik tak nampak kutu kat atas kepala dia. Pida pulak malas nak carik port lain sebab kesian kat mak dan ab. Takut diorang tak larat nak jalan jauh-jauh.



Terlepas bot negeri Johor pujaan hatiku. Ambik sipi-sipi pun jadilah (yang sebelah kiri).


It's showtime!




























Hahaha! Mesti kau mengantuk kan tengok bunga api Pida ni? Sebenarnya tangan Pida snap je banyak-banyak tapi mata Pida tengok bunga api yang live tu. Sebab tu gambar-gambar ni kelam-kabut komposisinya, mata ke lain kamera ke lain. Main petik ikut sedap jari Pida je.

Oh ya, kau nak tau macam mana perasaan Pida bila dah dapat memakai semula cincin kahwin Pida tu? Seronok kau macam tengok bunga api!

Oklah, itu sahaja entry basi untuk kali ini. Tata...!!!
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...