Tuesday, March 27, 2012

Pida lari dari rumah - Ye, ini bukan cobaan.

Salam lari,

Sekarang ni boleh dikatakan tengah kecoh kisah budak perempuan yang didakwa diculik pada awalnya, rupa-rupanya lari dari rumah mengikut pakwe. Adus... kesiannya... kesian kat mak budak tu. Mana nak letak muka menanggung malu akibat perbuatan anaknya itu.

Mana taknya, dah heboh satu negara bahawa anaknya diculik sehingga menjadi isu nasional, tiba-tiba (mengikut laporan) timbul pulak dakwaan bahawa dia sebenarnya lari dari rumah.

Bila timbul cerita lari dari rumah ni, Pida pun pernah mengalaminya. Hahaha! Pida pernah 'lari' dari rumah kau tau! 'Lari' - ada inverted comma; jadi maknanya bukanlah lari dalam erti kata sebenar. Oh, I wasn't that wicked anyway.

Oh ya, tujuan Pida bercerita ni bukanlah untuk membuka pekung di dada. Takde pekung pun, bulu pun takde. Ah, ngada-ngada pula nak bercerita kisah dada.

Baik, mari mulakan cerita.

<><><><><>

Waktu tu umur Pida 19 tahun. Zaman kolej la ni.

Ada satu hari tu Pida merajuk apa ntah dengan Ab. Kira merajuk sebagai remaja la, memang agak panas masa tu. Betul la kan, remaja ni memang zaman yang penuh pancaroba.

Zaman ketika hormon-hormon sedang mengalami transformasi untuk menginjak dari alam kanak-kanak ke alam dewasa. Jadi kecelaruan dan rasa memberontak tu sedikit sebanyak memang dialami oleh golongan remaja.

Berbalik pada cerita, bila dah kena marah dengan Ab tu Pida rasa macam dah tak disayangi lagi oleh ibu bapa. Pida merajuk. Last-last Pida ambik keputusan untuk lari dari rumah!

Lepas habis waktu kolej, Pida tak terus balik ke rumah seperti kebiasaan. Buat apa nak balik, kan Pida nak lari. Orang nak lari mana boleh balik. Tak lari la namanya nanti. Jadi, Pida pun tak balik.

Tapi Pida ni kira ok jugak la, sebab time nak lari tu Pida ada kereta (kereta Ab). Pida pergi kolej naik kereta. Jadi Pida rasa tak susah nak lari sebab bukan kena lari pun, tapi naik kereta, ada air-con lagi kau. Kira lari dalam suasana yang nyaman la.

Sebenarnya remaja yang lari dari rumah ni serius takde arah tuju. Macam Pida, memang tak tau nak ke mana. Pida betul-betul tak tau nak lari ke mana, tapi yang penting Pida nak lari jugak. Sebab Pida hanya mengikut kata hati, nak lari!

Jadi, Pida pun buat muka seposen, tanya kat member sekelas.

"Aku datang hostel korang boleh tak?" tanya Pida sambil bermain-main jari telunjuk.

"Boleh, datanglah," member tadi membenarkan tanpa dia mengetahui bahawa Pida nak jadikan dia 'kambing hitam' dalam destinasi larian Pida.

Jadi, Pida pun angkutlah member-member yang duduk asrama tu ke rumah (asrama) mereka. Jam masa tu kira-kira pukul 4 petang. Kami pun lepak-lepak, makan-makan, minum-minum, borak-borak, solat semua... ceh, dalam buat dosa aku bersolat juga rupanya.

Bila tiba malam, member tanya, "Eh Pida, kau tak balik rumah ke?"

Pida buat-buat tak dengar, buat-buat kopek kacang Shang Dong yang Pida belanja diorang tadi.

"Woi Pida, kau tak balik rumah ke?" soal member tadi. Kali ni suara dia agak tinggi sikit.

"Aku sebenarnya lari dari rumah ni..," Pida menjawab dengan perlahan. Air mata mula bergenang sebab dah mula rindu kat mak secara serius. Dan rasa bersalah juga.

"Apa? Kau lari dari rumah? Kah kah kah kah !!!! Budak baik anak mak macam kau lari dari rumah? Hahahahhaaha!!!" Chelaka punya member, korang bantai gelakkan aku eh? Lu mana tau perasaan gua time tu!

"Err... apasal kau ni? Bapak kau suruh kawin dengan bangla eh?" Pida rasa nak gigit-gigit je cuping telinga budak sekor ni. Apa barang bangla, kalau nepal putih sikit... hahaha bodo.

"Aku merajuk dengan bapak aku la. Ada la...," Pida mula bercerita namun tidak menyatakan secara terperinci sebab-musababnya.

"Ok la... aku percaya la sekarang kau lari, Tapi... hahahhahaha aku tak boleh blah la Pida lari dari rumah wei!!!"  Chelaka.

Nampak sangat Pida ni budak baik kan? Buat jahat pun kena gelak je.

"Tapi.. aku rindu mak aku la... mesti dia risau," sesungguhnya Pida terasa amat rindu dan bersalah pada mak yang Pida pasti sedang risau ya amat kerana Pida tak balik-balik dari petang tadi.


<Di rumah Pida>

"Hello Kiki, tau tak Pida pegi mana? Dari petang tak balik lagi ni. Risau makcik," mak Pida menghubungi Kiki, member baik sekelas yang juga jiran Pida.

"Kiki tak tau la makcik. Takpe, makcik jangan risau, Kiki tubuhkan pasukan bertindak khas sekarang juga untuk menjejaki Pida," janji Kiki pada mak Pida yang sedang kerisauan.

<Di rumah Kiki>

"Wei, Pida hilang wei! Jom carik dia, mak dia dah nak nangis tu," Kiki mula menjalankan misi bantuan khas mencari orang hilang. Dia menghubungi seorang lagi kawan.

"Hah, Pida hilang? Tadi kat kelas ok je aku tengok. Siapa pulak culik dia ni? Silap orang la nak culik, lain la kalau culik aku, bapak aku tokey pasar raya, bapak Pida tu cikgu biasa je," balas Jojo, kawan baik kami.

"Wei, kau ni nak promosi diri pulak. Misi kita sekarang carik Pida la wei!" jerkah Kiki.



<Di asrama>

"Aku rasa nak balik la... rindu la kat mak aku," Pida tiba-tiba berkata pada member Pida.

"Hmm.. aku rasa elok la kau balik. Kesian mak kau. Mesti dia tengah risau giler kat rumah tu. Kau mana pernah buat macam ni," kawan memujuk.

Saat itu Pida bingkas bangun. Pida nak balik ke rumah. Pida nak jumpa mak Pida. Pida rindu sangat kat mak. Mak, Pida nak balik...!

Pida pun menuju ke kereta untuk balik ke rumah. Pada masa inilah satu kepelikan berlaku.

Hanya kebetulan ketika Pida membuka pintu kereta, tiba-tiba kereta mak Pida pun lalu di depan pintu pagar asrama. Bagaimana dia boleh sampai ke situ, Pida tak tahu. Kerana setakat yang Pida tahu, mak tak pernah pergi ke rumah asrama tersebut. Dan mak tidak ditemani sesiapa waktu itu.

Pida terpandang mak yang berada di dalam kereta. Pida pandang muka mak, jelas ternampak kelegaan di raut wajahnya. Mak tak turun, mak terus memandu pulang. Tanpa berkata apa-apa. Hanya berlalu begitu sahaja. Kawan-kawan yang melihat hanya tunduk. Ada yang terharu.

Pida pun sebenarnya rasa lega sangat dapat tengok mak. Pida terus menghidupkan enjin kereta, dan berlalu pergi.

Dalam perjalanan pulang itu, Pida terserempak pula dengan kereta Kiki yang juga sedang menuju ke rumah asrama bersama Jojo. Kereta kami berselisih jalan, Kiki memperlahankan keretanya. Kiki seperti berhenti untuk berkata sesuatu tetapi Pida terus memandu pulang tanpa memandang mereka.

Sesampainya di rumah, Pida takut untuk masuk. Takut kena marah, takut kena belasah, takut kena paksa kawin dengan bangla, ecece... tak la.

Pida beranikan diri masuk. "Assalamualaikum," tapi hanya dalam hati.

Suasana di rumah seperti biasa. Mak dah sampai terlebih dahulu. Ab sedang duduk tengok tv. Adik-adik tengah main sahiba, ada yang tengah buang taik hamster. Eh, diorang ni tak sambut aku ke? Kan aku baru balik lepas lari dari rumah?

Pida mendekati mak dan mencium tangannya. Mak tak cakap apa-apa, tapi mak usap kepala Pida. Jam tu jugak Pida menangis. Sumpah mak, Pida bukan nak lari dari rumah, Pida cuma nak menziarahi kawan di asrama sahaja.

Pida salam dan cium tangan Ab. Ab cuma tanya, "Dah makan?" Pida tau Ab juga risau. 

Keesokan harinya, Pida ke kelas seperti biasa. Member-member asrama buat-buat tak tau. Kiki dan Jojo pulak melebih-lebih.

"Ko pehal Pida? Lari dari rumah. Ko tau tak mak ko tepon aku nangis-nangis kata ko hilang. Ko ke mana?" soal Kiki bertalu-talu.

"Haah la Pida, kitorang bajet ko dah mati eksiden kat highway!" Jojo pula mencelah.

Kau tengok! Macam ni punya kawan pun ada. Bukan nak mendoakan Pida, siap bajet aku mati eksiden lagi. Kat highway pulak tu.

"Tapi kau rock la Pida, lari bawak kereta bapak kau! KAHKAHKAH!!!!"



<><><><><>


Pida harus akui, Pida menyesal sangat kerana lari. Bodoh giler rasanya. Serius bodoh. Rasa kena laknat sepanjang masa. Jiwa tak tenteram. Betul. Kau lari, jiwa kau tak tenang. Sebab kau sedar kau sedang buat satu kesilapan besar dalam hidup.

Tetapi sebenarnya Pida masih boleh menimbangkan buruk baik lagi pada waktu itu. Sebab apa? Sebab Pida yakin bahawa Pida tidak kekurangan kasih sayang dan perhatian keluarga dan ibu bapa.

Pida tau mak dan Ab cukup menyayangi dan memberi perhatian kepada Pida. Pida dapat apa yang Pida perlu dan mahu. Pida ada adik-beradik yang sentiasa mengelilingi Pida. Makan sedap. Melancong. Baju cantik. Kemudahan-kemudahan lain. Pida miliki semua itu.

Pida 'lari' bukan kerana mak dan Ab tak sayangkan Pida, tetapi kerana akal Pida pendek dan terlalu mengikut hati (namun sebenarnya Pida masih berfikir secara waras).

Tak seronok sebenarnya bila takde mak bapak di sisi kita. Tak best bila tidak berada di rumah sendiri. Tak meriah tak dengar suara adik-adik. Pida betul-betul kehilangan semua itu dalam tempoh 5 jam Pida 'lari' dari rumah. Pida serik.

Percayalah, lari dari rumah bukanlah penyelesaian terbaik.

Sampai ke saat ini Pida masih tak percaya Pida boleh bertindak begitu. Pida tak sangka Pida boleh buat macam tu.  Pida ni sebenarnya anak yang baik dan taat - serius! Pida sangat bersyukur dan beruntung kerana lahir dalam keluarga yang sangat bahagia.

Mak dan Ab, Pida mohon ampun kerana lari dari rumah dulu. Err sebenarnya bukan lari pun, cuma melawat kawasan je. Pida tau mak dan Ab risau. Pida minta maaf kerana menyusahkan mak dan Ab.

Kawan-kawan asrama, terima kasih kerana melindungi pelarian ini. Tobat tak buat lagi. Insya Allah.

Kiki dan Jojo : Terima kasih juga. Lu orang memang sayang gua, gua tau. Gua sayang lu orang jugak. Sampai mati. BFF.


Moral : Kalau rasa nak lari jugak, larilah ke rumah nenek kau. Ada juga faedahnya kau tolong dia bagi ayam itik makan.

Sunday, March 25, 2012

Happy birthday Mak dan Uncle Gedek!

Salam birthday,

Hari ini, 25 Mac 2012 Pida bangun awal sebab nak buat entry khas untuk seorang insan yang amat bermakna dalam hidup Pida sejak dulu, kini dan selamanya iaitu Mak.

Selamat hari lahir, mak. Semoga mak sentiasa sihat sejahtera, panjang umur dan murah rezeki. Hari ni juga genap setahun mak pencen. Pida saaaaayang mak!

Oh ye, rupanya hari ini juga adalah ulang tahun Uncle Gedek! yang ke-ehem ehem. Muda lagi uncle ni. Doa Pida semoga uncle -gedek! sihat, bahagia, panjang umur dan berjaya menjadi ikon dalam dunia kartun dan seni grafik kreatif. U rock uncle!

Happy birthday mak, happy birthday uncle -gedek!



Kain rentang tahun lepas yang menyambut kepulangan mak ke rumah selepas bersara dari perkhidmatan awam.





Bersama 'pengantin' yang diraikan iaitu mak.





Uncle Gedek! Uncle, Pida cilok dari blog uncle eh! tq.

Thursday, March 22, 2012

Terima kasih Allah (Bhg. 3)

Salam kasih,

Pagi tadi mak Pida menjalani rawatan kimo seterusnya iaitu untuk kali kelima. Seperti biasa, mak pergi ke Hospital Pantai Ayer Keroh bersama Ab yang cukup setia berada di samping mak.

Alhamdulillah, doktor pakar memberitahu bahawa bacaan Ca Marker mak telah menurun ke 107 berbanding 148 semasa sesi rawatan sebelumnya.

Pida sekeluarga sangat bersyukur kepada Allah atas nikmat kesihatan mak yang semakin baik. Terima kasih wahai Tuhanku... sesungguhnya Engkaulah yang memberi penyakit dan Engkau jugalah yang memberi sembuh.

Semoga mak terus sembuh. Cepatlah sembuh mak... we love you very much!

Tuesday, March 20, 2012

Belon tinggal sikit pada hari terakhir Festival Belon Panas Putrajaya 2012

Salam belon,

Kelmarin adalah hari Ahad. Pida anak-beranak masing-masing termenung sendirian kerana memikirkan apa kami nak buat pada hari ini. Sufi yang berumur setahun 9 bulan tu pun termenung sama memikirkan kenapa semua ahli keluarga dia termenung.

"Bang....," Pida memanggil suami dengan suara manja. Sambil-sambil tangan merayap-rayap ke badan dia.

"Ye, gatal..." balas suami sambil menggelarkan Pida 'gatal'. Kebetulan memang tangan Pida tengah gatal sebab pagi tadi membasuh kerang. Sebab tu tangan Pida merayap kat badan dia sebab dia pakai baju kain belacu, jadi sedap la dibuat alas garu.

"Abang, daripada kita menyertai demonstrasi jalanan, lebih baik kita bawak budak-budak ni pergi tengok belon panas kat Putrajaya. What say you?" Pida melontarkan cadangan sambil tersenyum lebar kerana yakin usul diterima.

"Malas ah...," suami menjawab sambil menyorong bantal ke kepalanya.

Tiba-tiba Pida rasa telinga Pida keluar angin panas. Tangan menggeletar menahan penumbuk daripada singgah ke dinding konkrit rumah kami.

"Abang! pot pet pot pet pot pet...."




...... Akhirnya kami sampai di Festival Belon Panas Antarabangsa Putrajaya.

"Mana belon? Mana belon? Man belon pun takde," kata suami sambil mencari-cari belon di udara khususnya dan di darat amnya.

"Eh, patutnya ada... ni baru pukul 1 tengah hari. Belon berehat kot....," terang Pida dengan suara terketar-ketar sambil berjauh-jauh dengan suami takut kena cubit. Ye la... tadi beria-ia benar ajak suami pergi tengok belon. Bila dah sampai, sebijik belon pun takde. Yang ada hanya belon kartun yang banyak dijual.

Anak-anak pun sibuk bertanya, "Mak, mana belon? Mak kata ada belon?" berkali-kali sampai naik rimas aku dibuatnya. Dahlah tengah hari panas. Orang lain kat rumah pasang aircon tengok Melodi, kau kat tengah-tengah padang terdongak-dongak carik belon.

"Ada, nantilah... nanti mak carik." Memang nak kena la penganjur belon ni. Mempermainkan perasaan wanita seperti aku nampaknya ni.

"Err abang... abang haus ke? Nak ice-blended? Ayang belanja sorang 3 cawan eh?" Pida menawarkan diri untuk belanja minum ice-blended kerana kemaluan akibat tiada belon yang dicanang-canang tadi.

"Abang nak tido!" Ha, yelah, nanti pukul 6 kita datang balik eh?



<Pukul 6 petang>

"Ni dah pakai tudung bagai ni nak ke mana ni?" tanya suami Pida sambil menukar channel di saluran tv1 untuk menonton rancangan kegemarannya iaitu Agrotek.

"Err... nak pergi tengok belon panas. Kan tadi dah janji nak pergi lagi?" Pida menyusun ayat dengan teliti kalah perawan ayu menutur bicara kepada sang arjuna.

"Alaa... nak pegi lagi ke? Kita berkhalwat kat rumah je la."

Tiba-tiba Pida rasa telinga Pida keluar angin panas. Tangan menggeletar menahan penumbuk daripada singgah ke dinding konkrit rumah kami.

"Abang! pot pet pot pet pot pet...."




...... Akhirnya kami sampai SEMULA di Festival Belon Panas Antarabangsa Putrajaya.



Kami sampai pada pukul 6.30 petang. Langit Putrajaya sudah beransur senja. Ada sebiji belon sudah terbang iaitu belon kucing. Nampak tak tu? Kau yang tengah adjust contrast monitor tu tenung sapa tu? Itu adik ipar aku la. Nanti aku kasi link blog dia. Tapi aku sendiri pun tak ingat link blog dia. Kau tanyalah dia sendiri.






Dari kejauhan, dihembus angin senja, ternampaklah beberapa biji belon panas sedang bersiap-siap untuk terbang ke angkasa raya. Yes! Nampak belon!







Perasaan teruja semakin dirasai. Asyik nak bergambar dengan belon je kerjanya. Si Sufi macam biasa, tak akan berjalan sendiri.







Belon panas di langit senja. Oleh kerana kami sampai dah petang, belon yang ada cuma tinggal 5 atau 6 biji sahaja. Yang lain dah bungkus bawak balik.









Jadi, oleh kerana banyak belon yang dah dibungkus, maka gambar-gambar berikutnya adalah belon yang sama jua hendaknya... bak kata orang tua-tua, lepas belon ni, belon ni lagi, lepas tu, belon tu lagi.













Orang ramai memberi laluan kepada kami untuk bergambar.







Sufi didapati mengalami sindrom takut-takut tapi mau, iaitu sejenis sindrom yang disebabkan oleh ketakutan kepada bunyi api belon yang mendesup-desup. Lantas Sufi memeluk erat ibunya dan terdapat percubaan untuk mencari benda tersembunyi nampaknya tu. Naughty boy.








Tu laa... sapa suruh datang time orang nak balik? Kan dah tak banyak belon. Lagi-lagi belon yang sama, asyik-asyik belon ni jugak.








Dari Bangalore ke Putrajaya, 
 Naik belon tinggi mendaki; 
Err.. haa sambung! sambung!





Kan Pida dah bilang, lepas belon ni, belon ni jugak.






Mereka dan mak usu mereka.



Belon ni Pida suka sangat sebab ia cantik dan berwarna-warni. Macam iklan toner.






Ingatkan nak naik belon, tapi orang Masya-Allah.... macam ulat taik! Yang beratur menunggu giliran tu pun dah penuh satu khemah, yang beratur nak beli tiket tu pun dah penuh dua khemah, habis yang kitorang baru plan nak naik ni nak masuk khemah mana? Last-last kansel naik belon. Beli belon sudey...












Ni dah kira penat sangat la ni sampai kena lepak kat atas rumput.





Seronok kau ye Nia.... kerja rumah dah siap?






Bila azan Maghrib dah berkumandang, kami pun pulang ke rumah.




Akhirnya, dapat juga Pida bawak anak-anak tengok belon panas secara depan mata. Walaupun tak banyak, tapi cukuplah untuk memberi pengalaman dan pengetahuan kepada mereka.





Belon kucing yang terbang tak kembali... Balik negeri ke?





Friday, March 16, 2012

Hotel Allson Putra Nilai - Seekor kerbau membawa lumpur, habis terpalit semuanya

Salam nilai,

Pertama sekali, Pida takkan tulis begini :

"Hai pembaca semua! Maaflah, dah lama sangat saya tak update blog. Dah bersawang blog ni kan? Mesti u all tertunggu-tunggu cerita terbaru saya kan? Rindu la tu! Mesti ada yang tekan F5 berkali-kali, mengharapkan entry baru kan kan kan? Sorrylah, saya sibuk dengan kerja kat ofis..."

Pida rasa blogger yang layak tulis cenggitu cuma Che Det je.

Sepanjang minggu ini adalah kesibukan bagi Pida. Empat hari kena hadiri mesyuarat. Tambah lagi sekarang ni Pida dan kawan-kawan Pida tengah menguruskan satu projek super besar bagi agensi kami.

Rezeki tahun 2012 ni banyak, jadi lepas habis projek ni, akan menyusul projek yang lain pulak. Jadi tahun ni memang Pida kena bersedia dengan fasa pelaksanaan projek RMK-10. Tahun ni juga Pida banyak out-station. Bermula bulan lepas lagi Pida dah kena out-station. Minggu depan insya Allah ke Langkawi pulak.

Selepas habis bermesyuarat di Nilai hari tu, Pida singgah di Nilai Square. Hajat di hati nak beli la sikit-sikit apa yang patut buat ole-ole untuk budak-budak kat rumah tu. Bukan jauh sangat pun dari rumah, 30 minit dah sampai, itu bawak 90km/j, kalau Pida bawak 190km/j, mesti 3 minit je sampai... pastu malamnya orang kenyang makan kenduri arwah aku.

Oh, tapi sebelum tu Pida nak ceritakan tentang kebangangan petugas Hotel Allson Putra Nilai. Pida ni walaupun tak tidur hotel (sebab balik rumah), Pida tetap check-in sebab Pida nak berehat dalam bilik semasa sesi rehat. Room mate Pida tidur situ.

Biasanya Pida akan check-out pada waktu pagi hari terakhir mesyuarat sebab Pida memang tak masuk bilik lagi bila hari terakhir tu. Tapi Pida seorang je yang check out, room mate Pida belum lagi.

Apabila tiba waktu tengah hari, member-member yang tido hotel pun bersiap-siap nak berkemas dan check-out. Tetiba room mate Pida datang kat Pida dengan muka masam.

"Pida, ko dah check-out ke?" dia bertanya. Muka dia nampak tengah bengang je.

"Haah, aku dah check-out pagi tadi," Pida membalas. Hairan Pida tengok muka dia macam marah je. Takkan dia marahkan Pida sebab check-out tak saing dia? Selama ni Pida check-out pagi takde masalah pun.

"Ko tau tak, aku masuk bilik nak kemas barang aku, aku tengok ada orang lelaki tengah tido!" member Pida bercerita.

"Hah?! Biar betul ko! Apa kes?" Pida pun terperanjat dengar cerita dia tu.

"Mana aku tau, aku tanya hotel dia kata bilik dah check-out," dia terus membebel-bebel.

Memang sah-sah ini kesilapan petugas hotel Allson Putra Nilai tu. Hujah Pida :

1)   Masa Pida check-out, perempuan tu tak pandang pun muka Pida dan dia tak cakap apa-apa pun bila Pida serahkan kad. Muka memang langsung tak senyum (masa check-in pun masam je muka).

Tapi ada aku kisah? Setakat rambut blonde tu takkan mampu memutuskan urat senyum kau. Lagi-lagi kau tu front desk officer. Kau adalah duta dan first impression bagi hotel yang bayar gaji kau tu.

2)   Salah petugas tu sebab tak periksa berapa keping kad yang Pida pulangkan semasa check-out. Yelah, dah dia tak pandang muka kita, kau ingat dia nak cek kad ke? Jadi dia buat tanggapan kedua-dua kad dah dipulangkan.

Dalam hal ini memang salah staf tu. Dia tak boleh anggap kalau seorang tetamu dah check-out, maka tetamu yang sorang lagi pun check-out sama. Maknanya dia buat kerja tak ikhlas. Yelah.. dah muka masam, kau nak harap ikhlas macam mana?

Selama Pida duduk hotel, selama itulah Pida check-out berasingan daripada room mate, tapi tak pernah berlaku masalah ni sebab staf kaunter akan pastikan kedua-dua kad dah dipulangkan, barulah bilik dikira kosong. Hotel Allson Putra Nilai takde nilai ketelitian rupanya.

3)   Apa hal hotel bagi orang lain masuk bilik tanpa kemas bilik tersebut terlebih dahulu? Dalam kes Pida ni, takkanlah hotel tak pastikan bilik yang nak dibagi pada orang lain tu dah berkemas?

Jelas masih ada barang (baju, beg dll) dalam bilik tu. Takkan tetamu masuk dalam keadaan bilik tak berkemas? Mana nilai kekemasan hotel ni?

4)   Bagi orang lain masuk bilik yang masih ada penghuni satu hal, bagi masuk sebelum waktu check-in satu hal.

Dalam kes Pida ni, orang lelaki yang masuk bilik kami tu dah check-in seawal pukul 12 tengah hari sedangkan itu adalah waktu check-out.

Oklah, kalau kau kata waktu check-in terpulang atas budi bicara pihak hotel, Pida boleh terima, tapi kaubaca balik point aku nombor 3 kat atas tu.


5)  Masa kawan Pida ni kalut-kalut nak masuk bilik tu untuk kemas barang, tiada staf hotel yang temankan dia. Mulanya ada sorang temankan, tapi orang tu pulak passkan pada orang lain dan orang lain tu blah gitu je. Ini memang durjana. Last-last urusetia yang temankan dia. Orang lelaki tu pun satu, tak nak bagi laluan. Heii... tak pahamlah aku perangai manusia ni.


6)   Kes memang selesai tapi BUKAN atas kebijaksanaan hotel sebaliknya atas inisiatif urusetia mesyuarat kami. Hotel katanya tak tau nak buat macam mana. Apa la susah sangat, kau suruh je la lelaki tu keluar sekejap untuk bagi laluan kawan Pida ni kemas barang-barang dia. Keputusan semudah ini pun tak boleh fikir ke? Kacang je tu.


7)   Akhirnya staf yang masam muka tu kena sound baeekk punya dengan kawan Pida yang sorang lagi. "Dik, kalau senyum sikit kan lagi cantik..." Bengkek dia.

Itulah pengalaman di Hotel Allson Putra Nilai. Pengalaman yang tak seronok. Apa kau ingat kerajaan bayar murah ke harga pakej hotel kau tu? Tapi Pida puji makanan dia. Sedap. Harap tu je la...


Ok, habis cerita pasal hotel. Kesian hotel tu ada staf sombong, cuai dan menyusahkan tetamu macam perempuan tu. Jadi liabiliti je.

Eh, tadi nak citer pasal apa ek? Oh, pasal Nilai Square.

Pida berkenan dengan beg sekolah angry bird. Ingat nak beli untuk Aqil. Jadi Pida pun pilihlah warna hitam. Masa nak bayar kat kaunter tu, Pida terpandang tulisan pada beg tu dan Pida terus "Astaghfirullahal'azhim...."

Kau tau apa dia tulis? Nasib baik mata aku terperasan. Kalau tak, memanjang la Aqil bawak kitab Iqra' dia dalam beg yang bertulis MOTHERFUCKER.


ps: Kalau tulis mother nature ke, mother board ke, insya Allah Pida beli beg tu. Ni tulis motherfucker, aduiiii...

Friday, March 9, 2012

Thanks Syugry for this lovely post ♥

Salam lovely,

I stumbled upon this entry while in search of something on the internet...

http://kuchikicookie.blogspot.com/2011/08/we-miss-you-puan.html


Syugry,

Terima kasih atas entry yang bermakna ini. ;)

Kesedihan semalam ~_~

Salam semalam,

Rindu telah menggamit naluri Pida untuk menghubungi mak petang semalam. Handphone dicapai, nombor ditekan dan kedengaran suara merdu di hujung talian.

"Apa khabar mak?" Pida memulakan sapaan selepas menjawab salam yang dihulur mak.

"Mak tengah sakit belakang ni...," suara mak kedengaran agak lemah.

Pida terdiam seketika. Menghela nafas, menyedut dalam-dalam segala kesedihan yang telah mula meresapi jiwa.

"Mak ok ke?" Pida bertanya sambil menahan suara yang sudah mula bergetar.

Diam. Hanya nafas lemah mak yang kedengaran. Pida tau mak sedang sakit waktu itu.

"Mak tengah buat apa tu?" Pida mengalihkan soalan.

"Mak tengah baring. Bila sakit mak baring," lemah sekali jawapan mak. Ada tangisan dalam suaranya.

Gulana terus menyelimuti diri. Pida rasa hiba sekali. Pida tak sangka mak sedang menangis kesakitan rupanya.

"Mak dah makan ubat?" Pida bertanya lagi.

"Dah, mak dah makan painkiller tadi," kedengaran suara mak masih dalam esak tangis yang cuba disembunyikan.

"Mak... kenapa mak nangis sebenarnya ni?" Pida mula menyoal persis seorang ibu memujuk anaknya yang sedang rawan.

Senyap. Tiada jawapan daripada mak.

"Mak nangis sebab anak-anak mak jauh..."

Pida tersentap.Ya Allah, sebab kami jauh? Serta-merta Pida rasa longlai. Betapa alpanya Pida selama ini, membiarkan mak yang sedang berjuang melawan kanser keseorangan dalam kerinduan terhadap anak-anak. Bukannya kami tak kisahkan mak, tapi kami jauh secara fizikal. Telefon hari-hari, mms hari-hari.

Pida rasa bersalah. Pida terus menangis kerana Pida rasa bersalah membiarkan mak menangis sendirian.

Lantas Pida menelefon adik Pida di Putrajaya. Pida khabarkan pada dia tentang mak. Kebetulan dia juga baru sahaja menelefon mak sebelum Pida telefon.

Kemudian Pida bukak Facebook. Pida cari adik-adik yang mungkin sedang online. Jumpa adik yang duduk di JB.

Kami chatting tentang mak. Pida menaip dalam sedu-sedan. Pida ceritakan pada adik lelaki bongsu Pida mengenai perbualan Pida dengan mak. Pida tau daripada kata-katanya, dia juga sedih seperti Pida. Sehinggakan dia memberitahu Pida untuk mencari kerja di daerah kami agar dia dapat bersama mak dan ab sepanjang masa.

Malam ini kami semua akan balik menziarahi mak dan ab. Rindu kami tidak terbendung lagi. Biar jarak yang memisahkan. Namun apalah sangat perjalanan 3 jam berbanding rasa kasih antara anak dengan ibu bapa. Apalah sangat harga wang ringgit jika dibandingkan dengan nilai pengorbanan dan kasih sayang ibu bapa.

Apa yang Pida sedang alami ini telah membuka mata Pida. Betapa seorang ibu dan seorang bapa yang sudah tua amat mengharapkan kehadiran anak-anak ketika meniti usia senja. Pida adik-beradik sudah berjaya dengan kerjaya dan kehidupan masing-masing, namun rupanya kami hampir terleka.

Bukan niat kami untuk berjauhan dengan mak dan ab, namun takdir telah menentukan rezeki kami bukan di kampung halaman kami. Nasib baik abang Pida balik kampung setiap minggu. Jadi tidaklah mak dan ab terlalu kesepian.

Mak, ab, malam ini kami pulang...

Tuesday, March 6, 2012

Jurugambar kelam kelibut

Salam kelibut,

Pagi ini Pida terlibat secara langsung dengan audit MS ISO di tempat Pida. Sebagai ajk sekretariat, Pida dan pasukan Pida kena memastikan semua peralatan elektronik dan ICT berada dalam keadaan sempurna sepanjang majlis perasmian berlangsung.

Jadi, pagi-pagi lagi Pida dah sibuk dengan majlis ini. Alhamdulillah, semuanya berjalan lancar dan majlis pembukaan audit telah selamat dijalankan tanpa ada cacat cela dari aspek teknikal. 10 markah untuk pasukan Pida.

Sekali ada rakan sesekretariat bagitau Pida, "Pida, tolong bagitau Azie ambik gambar ye."

"Kenapa tak panggil En Li? Dia kan kameraman kita," Pida membalas.

"Dia cuti. Bini bersalin," jawab rakan tadi.

"Ok, saya panggil Azie." Azie adalah pegawai yang biasa mengambil gambar dengan kamera kompak jabatan.

Malangnya Azie pun tak dapat nak ambil alih tugas tu sebab dia tengah sibuk sangat mencetak buku program.

Habis macam mana?

Ting!

"Takpelah, biar saya yang ambik gambar!" Perghhh... dengan konfidennya ada seorang minah tu menawarkan diri.

"Tapi saya perlukan kamera. Ada kamera?" Minah eksyen tu bertanya.

"Kamera Nikon dah ada orang guna," kata staf minah tu.

"Canon?"

"Ada, dalam almari berkunci ketua jabatan."

"Call dia, mintak kunci."

Akhirnya kunci berada di tangan... dan minah tersebut terus mengambil kamera yang dimaksudkan.

Mak aii.. berat nak mampus kamera ni. Ni kamera ke lesung batu ni.... minah tersebut menggerutu dalam hati. Dia hanya biasa dengan Nikon, dan pada dia Nikon tak seberat ini.

Lantas minah itu menggalas kamera Canon EOS60D yang besar gedabak tu dan menggodeh-godeh kamera tersebut.







Lepas membuka butang on, minah tersebut mencuba-cuba kamera itu. Ditala-tala kamera itu, dia cuba memusing-musingkan lensa tetapi ia berkunci.

"Saadon! Lock pulak. Kat mana nak unlock ni..." minah itu merungut-rungut. Sebab dia nak cepat. Dia kan bidan terjun. Majlis dah mula, kameraman belum muncul. Harus kena pelangkong kalau cenggini.

Minah ni mula mengomel-ngomel sendiri. Nak bertanya, takde sesiapa yang tahu. Nak carik manual, ntah kat mana buku tu. Last-last minah tu pegi google... Saadon lagi! website kena blok pulak!

Ah, lantaklah, aku shoot je la mana yang dapat. Takde la nak bokeh bagai kalau camni. Lens pun berkunci.... nak unlock pun aku tak tau... minah terus mengomel.

Sampai di bilik perasmian, majlis telah bermula. Minah bidan terjun ni shoot je gambar suasana majlis. Dah dapat sekeping dua, minah ni bertanya kepada staf jabatannya, mintak tolong bukak kunci lens. Rakan tadi pun godeh-godeh jugak, akhirnya lepas 5 minit godeh sama-sama, rupanya lock dia kat belakang lens tu je. Saadon!

Lepas tu galak la si minah ni menjalankan tugas sebagai jurugambar tak profesional, bidan terjun pulak tu. Snap sana, shoot sini, tangkap gambar orang makan, eh macam kamera bapak dia pulak.

Akhirnya, berjayalah minah ini merakam detik-detik penting majlis audit tersebut. Lepas tu minah bergegas pula menyemak dokumen kualiti yang dipegangnya untuk diaudit pula.

Demikianlah cerita ringkas mengenai seorang minah yang bertindak sebagai jurugambar bidan terjun yang kelam kelibut. Moralnya :

1)   Kena maklumkan awal-awal jika ada perubahan perancangan. Kena ada plan B.

2)   Peralatan kena ada terutama ketika saat-saat kecemasan.

3)   Kena ada orang yang sanggup jadi pak sanggup. Dalam kes ni, minah tu la pak sanggupnya. Nasib baik minah tu ada ilmu seciput dalam bidang fotografi ni. Walaupun tak pro, tapi minah ni berjaya merakamkan perjalanan majlis. Takde rotan akar pun berguna.

Minah tu cakap, kalau kamera takde, aku pakai kamera handphone je. Gasak la orang nak kata apa. Yang penting ada gambar untuk dokumentasi.




Minah bidan terjun muka cuak.

Saturday, March 3, 2012

I'm frustrated that Selak was disqualified

Salam Selak,

Haa.. apa poyo sangat tajuk kali ini? Speaking la pulak Pida ni.

Ye, bila Pida marah, atau kecewa, Pida akan automatik cakap orang putih. Lagi senang nak mencarut dalam bahasa omputih. Eh, bukan mencarut, cuma 'rant'. You know 'rant'? hehe

Malam tadi adalah malam macam biasa. Jumaat malam Pida akan menonton Raja Lawak 6. Pida dah lama ikuti RL sejak musim ke-3, diikuti Maharaja Lawak yang memang best giler.

Dalam RL msim ke-6 ni, Pida minat kumpulan Selak. Yang lebih tepat, Pida minat dengan salah seorang anggotanya iaitu Wak. Wak ni kelakar natural. Kalau dia buat lawak Pida mesti ketawa.

Persembahan pertama Selak malam tadi memang kelakar. Tapi sayang persembahan kedua bertemakan radio Sinar FM agak kureng.

Selak tersingkir. Pida kecewa. Pida dah undi Selak tapi dah takdir Selak tersingkir. Kempunan nak tengok Selak masuk peringkat akhir.

Huhuhuuuu

Kumpulan Selak. Wak sebelah kiri. Gambar dari Facebook mereka.

Thursday, March 1, 2012

Fuhh... pedasssss!!!

Salam pedas,


Dalam surat kabo Utusan beberapa minggu lalu, ada berita pasal lada paling pedas di dunia.








Dah tu kenapa Pida menyibuk-nyibuk tulis pasal lada ni? Ada kena-mengena dengan kisah silam ke?

Memang ada! Bila Pida baca artikel ni, Pida terus terkenang pada seorang nyonya yang pernah kukenali dulu...


<Flashback beberapa tahun lepas>

"Haiyaa... silamat pagi hoo... manyak sihat ka?" Begitulah sapaan nyonya sebelah rumah Pida. Ketika itu Pida sedang menyidai pakaian di laman rumah.

"Eh, nyonya... saya sihat, Alhamdulillah... nyonya dah sarapan?" memang selamba badak aku panggil dia nyonya.

"Sulah.. sulah... Eh amoi, saya mau kasi sesuatu la," nyonya yang peramah itu berkata lagi.

"Oh, nak, nak, nak! Err... apedia?" Pida membalas dengan penuh kejujuran.

"Nah, terimalah, " nyonya tersebut menghulurkan satu bungkusan kepada Pida melalui pagar.

Pida sambut bungkusan itu dan mengucapkan terima kasih kepada nyonya separuh usia itu. Setelah berbalas-balas senyuman, Pida pun masuk ke rumah.

Setelah masuk ke rumah, Pida terus membuka bungkusan tersebut. Oh, apakah ini? Strawberrykah? Pida terus mengambil sebiji dan baru je nak masuk ke mulut, bibir mongel Pida tiba-tiba terasa pijar yang amat.

"Mak datok! Ni buah ke racun ni?" Pida kaget kerana aura 'buah' tersebut sungguh power walaupun belum masuk mulut.

Pida perhatikan buah misteri itu. Oh, rupa-rupanya adalah lada! Ye, lada yang tidak pernah Pida temui sebelum ini. Dan lada itu amatlah pedas ok!

Tengah hari tu mak Pida masak ikan kukus. Mak hiris lada tadi dan letak di atas ikan. Kau agak apa rasa ikan tu? Pedas ya Allah! Serius pedas. Dia punya pedas sampai pijar bibir kau. Tak payah suntik kolagen pun bibir kau boleh jadi montok dan gebu. Memang pedas.

Jadi, memang betullah apa yang ditulis di artikel tersebut. Pida dah rasa lada ni. Memang sangat pedas. Pedas pijar. Kalau kau bangsa yang mulut laser, lada ni memang paling cocok dengan kau. Kau rasalah!

Fuh, terasa lagi kepedasannya.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...