Friday, November 30, 2012

Siapa buat kitorang?

Salam siapa,

Dulu masa Pida kecik-kecik, Pida pernah tanya kat mak Pida. "Mak, macam mana mak buat Pida?"

Pida ingat muka mak Pida berubah dan tersentak dengan soalan tu. Lepas tu mak cepat-cepat cover line. "Err.. Allah yang jadikan Pida."

Tapi sebagai budak yang comel dan cerdik, Pida tak puas hati dengan jawapan mak. Pida tanya lagi.

"Ye laa.. memang la Allah yang jadikan kita. Tapi siapa yang buat Pida?" macam tu la soalan maut Pida pada mak Pida.

Muka mak pucat kali kedua. "Err... mak berdoa minta dapat anak. Tu yang mak dapat Pida tu!" Kali ni mak buat-buat menaip karangan pula.

"Mak, typewiter tu kan dah rosak," selamba Pida cakap kat mak.

"Err.. ehehe... dah pegi mandi," akhirnya mak suruh Pida pegi mandi.

"Mak... siapa yang buat Pida?" Memang comel giler la aku masa tu. Baru umur 6 tahun dah pandai tanya macam-macam.

"Mak dengan ab kahwin, pastu dapatlah kita!" tiba-tiba abang Pida menyampuk.

"Isyy... complicated la kehidupan ini," akhirnya Pida mengalah.



***************



Sekarang Pida dah kahwin. Dah ada anak dah. Bukan sorang. Bukan dua orang. Tapi tiga orang. Tak lama lagi masuk empat orang. Eh, tak laa... gurau je hujan-hujan ni.


Kami bertiga je buat masa ni. Memandai-mandai je mak cakap nak masuk empat.


Persoalan yang membelenggu hidup Pida selama hampir 30 tahun itu telahpun terjawab. Akhirnya Pida tau sendiri macam mana dan daripada apa Pida diperbuat. 

Dan kini, selepas mempunyai anak sendiri, Pida pulak ditanya soalan yang sama.

"Mak, macam mana Nia lahir?" soal Nia pada suatu hari.

"Err.. err.. macam tu la. Mak mengandungkan Nia, lepas tu mak lahirkan Nialah," Pida menjawab dengan yakin dan dengan harapan Nia akan diam.

"Ye la... memang la mak yang mengandungkan Nia. Tapi siapa yang buat Nia?" Eh, tiba-tiba macam comel pulak aku tengok si Nia ni. Tempeleng kang.

"Isyy... complicated la benda ni Nia. Emm... macam nilah. Mak dan abah kahwin, pastu kami love-love, pastu dapatlah Nia!" Hoh, takkan aku nak jawab cenggitu. Maunya ditanya love-love tu macam mana lagi pening kepala aku nanti.

"Kakak... mak kahwin dengan abah, lepas tu dapatlah kita. Kan mak?" Aqil menyampuk.

"Ye, ye... syabas Aqil!" Pida memuji dan mengiakan jawapan Aqil. Sebijik macam jawapan abang Pida dulu.

"Elleh... Mesti ada cara lain," Nia mencebik. Tak puas hati lagi tu.

"Dah tu, macam mana pulak Nia boleh keluar? Dari mana pulak?"

"Dari pusat mak la kakak...!" Aqil menjawab bagi pihak Pida. Hahahaha... pusat abah lu! 

Kang kalau Pida ceritakan betul-betul kang ternganga budak-budak ni. Kalau diorang ni lahir secara pembedahan boleh la Pida cakap ikut perut yang kena belah. Tapi, diorang keluar normal..... hihihihi.

"Nantilah, Nia tanya nenek," akhirnya Nia mengalah. Hmmm... tanyalah. Lebih baik tanya terus pada moyang kau. Lebih konservatif. Lebih pening. 

Bila keadaan dah ok, Nia pun dah tak tanya apa-apa pasal asal-usul kejadian dia, tiba-tiba Aqil pulak bertanya.

"Mak, nak tengok tempat Aqil keluar."

"HOI!"

Thursday, November 29, 2012

Aqil... Aqil...

Salam Aqil,

Hari ni Pida nak tulis pasal Aqil. Yang tak kenal Aqil tu, biar Pida bagitau. Aqil tu bukanlah skandal Pida atau bekas tunang Pida, tapi Aqil tu tak lain tak bukan ialah anak Pida sendiri. Anak kedua daripada tiga beradik.



Hai adik manis, saya Aqil. Umur saya baru 5 tahun . Tapi saya rasa saya sudah matang.


Dua tiga hari ni Aqil asyik merengek nak baby girl. Kau dah jemu dengan adik kau si Sufi tu ke? Apa tak jemunya, mula-mula kawan, berabang beradik bagai, bila tiba masa masing-masing menegakkan benang yang basah, habis disekel kepala. Aqil belasah Sufi, Sufi terajang Aqil. Haa elok la tu. Gaduh. Gaduh. Menang jadi abu, kalah jadi arang. Dua-dua aku jotos.

Aqil nak baby girl. Dia suruh mak dia beranak lagi. Eewah... kau ingat senang nak beranak? Nak mengandung senang la. Eh, kau apa tau? Kau belum kawen kan?

Baru-baru ni semasa majlis konvokesyen tadika, Aqil berjaya menerima anugerah Pelajar Aktif. Untuk pengetahuan kau, anugerah Pelajar Aktif ini telah dimonopoli oleh Aqil dua tahun berturut-turut.

Hebat anak aku. Pelajar aktif gitu. Tapi sebenarnya nama anugerah tu ialah Pelajar Paling Nakal. Eleh, mak taulah Aqil... cikgu kau tersasul pecah tembelang depan mak hari tu.

Hari tu lagi best. Aqil masuk ke dapur. Pida pun ada di dapur masa tu.

"Mak, nak mancis," katanya dengan girang.

"Hah? Ko nak buat apa dengan mancis? Bahaya tau tak main mancis. Rumah yang terbakar tu sebab dia main mancis tahu!" Pida membebel pot pet pot pet tanpa melihatnya kerana pada masa itu Pida sedang sibuk membancuh susu Sufi.

Si Sufi ni pulak tak habis-habis merengek mintak dukung la, nak tengok Ultraman la... 

"Mak, nak mancis," Aqil mengulangi ayat yang sama tetapi kali ini suaranya lebih perlahan dan lebih sayu.

"Aqil...!" Pida dah mula hangin. Pekebendenye nak main mancis pulak budak ni! Nak kena dia ni.... dan Pida pun menoleh ke arahnya seraya bersiap-sedia untuk menjotosnya. Tetapi rupanya...

"Oh, nak manggis...." sambil Pida melihatnya memegang sebiji manggis.


Lepas tu mak saya malu sebab dia tuduh saya nak bakar rumah.

Tuesday, November 27, 2012

Kau pergi jua

Salam pergi,

Masih ingat tulisan Pida tentang seorang sahabat lama Pida iaitu Fadilah yang menderita penyakit kanser? Ye, entry yang ini.

Pagi semalam Pida menerima satu perkhabaran sedih mengenai Fadilah di Facebook. Bahawa dia telah pulang menyahut seruan Ilahi pada jam 3 pagi semalam setelah menderita penyakit kanser payudara.

Kehilangan Fadilah Pida sambut dengan rasa sedih yang teramat sangat. Sedih kerana Pida telah kehilangan seorang sahabat lama yang dikenali sejak kami sama-sama darjah satu dahulu. Walaupun pernah terpisah lama akibat putaran waktu, namun kami akhirnya bertemu kembali di muka buku.

Dan Pida juga rasa sedih kerana tidak berkesempatan melawat jenazahnya. Hanya surah Al-Fatihah dan Yasin yang dapat dikirim buat pengganti diri.

Telah Pida ceritakan bahawa arwah Fadilah menderita penyakit kanser payudara. Setau Pida, tak lama dia mengidap kanser ini. Sekejap sahaja. Dah arwah pun sempat menjalani rawatan kimoterapi. Namun kuasa Allah mengatasi segala-galanya. Fadilah pergi jua akhirnya.

Semoga kau tenang di sana. Berakhir sudah penderitaanmu, sahabatku. Sesungguhnya kau sahabat yang tiada pengganti.

~Al-Fatihah untuk arwah Fadilah.~

Sunday, November 25, 2012

Enam konvokesyen

Salam konvokesyen,

Entry ini ditujukan khas untuk mak dan ab.

Pida ingin berkongsi perasaan bersyukur serta gembira mak dan ab kerana kesemua enam anak mereka telah berjaya menggenggam segulung ijazah.

Melihat anak-anak berjaya menjejaki menara gading merupakan impian setiap ibu bapa. Mak dan ab tidak terkecuali. Lalu sedari kecil kami enam beradik diasuh supaya mencintai ilmu dan belajar sehingga masuk ke universiti.

Tambahan pula mak dan ab sendiri pernah naik ke pentas konvokesyen UM pada tahun 1970-an dulu. Oleh itu sangat wajarlah kami anak-anak mereka mengulangi kejayaan yang pernah dilakar oleh mak dan ab.

Dan Alhamdulillah, berkat tunjuk ajar, kesabaran dan doa yang tidak putus-putus, kami berjaya menghadiahkan mak dan ab segulung ijazah. Harapan kami sekarang cuma satu, dapat membalas jasa dan pengorbanan mak dan ab dan sentiasa mendoakan kesejahteraan mereka di dunia dan di akhirat.


Ini gambar ab pada tahun 1975 semasa menerima ijazah daripada Canselor UM pada ketika itu, Tuanku Hajah Bahiyah Binti Almarhum Tuanku Abdul Rahman.


Ini pula gambar mak sedang menerima ijazah juga daripada Canselor UM (1976).

Lepas mak kahwin dengan ab pada tahun 1976, mak pun beranakkan kami berenam. Mak dan ab membesarkan kami dengan penuh kasih sayang bagai menatang minyak yang penuh. Kami diberi didikan yang sempurna di sekolah kebangsaan dan menengah

Kami juga dihantar ke sekolah agama negeri Johor dari darjah satu (bermula pada ketika darjah 3 di sekolah kebangsaan) sampailah ke darjah khas (lepas darjah 6 darjah khas pada umur 15 tahun). Walaupun Pida cuma dapat pangkat 3, tapi Alhamdulillah ada jugalah ilmu asas agama buat benteng dalam kehidupan. Kalau dulu pangkat 3 pun boleh jadi ustazah tau. Kellas kau Maria.

Alhamdulillah juga, kami enam beradik yang bigo-bigo ni semuanya dah habis belajar.


Abang Pida - Inti University College.

Ehem ehem - UPM

Adik Pida - USM

Adik Pida - UTM

Adik Pida - UiTM

Adik Pida - UTP



Gambar-gambar ini dirakam semasa kami sedang menerima ijazah daripada Canselor/Pro Canselor masing-masing. Kemudian seperti menjadi satu budaya, kami masuk studio untuk bergambar dengan mak dan ab pula.







Aik? Apa ke pelik noo gambar ni? Oh, rupanya gambar dia dengan mak dan ab yang diambil di studio tu belum siap lagi.


Lebih kurang ginilah gambarnya nanti.


Untuk mak dan ab, terima kasih kerana mendidik kami mengenal erti kehidupan yang sebenar. Tanpa kasih sayang dan dorongan, kami tak mungkin berada di tempat sekarang. Kami selesa, kami bahagia dan kami gembira sekarang. Terima kasih mak dan ab. Walau seluruh isi bumi kami beli, ia masih tidak mencukupi untuk membalas budi mak dan ab. Semoga Allah memelihara mak dan ab di dunia dan di akhirat.




Jangan mareee! Kami pun adeee!!!  Gambar dari Google



Thursday, November 22, 2012

Stress bukan hak anak

Salam stress,

Keputusan UPSR 2012 baru sahaja diumumkan. Menonton di tv dan menyelak paparan di akhbar, begitu banyak liputan yang diberikan tentang keputusan UPSR tahun ini.  Yang paling banyak mendapat tempat di dada media sudah tentulah calon-calon yang berjaya mendapat 5A. Yang dapat 5E tak dapat liputan ke?

Nampaknya memang ramai murid-murid kita yang pandai-pandai belaka. Tahniah. Tahniah kepada murid itu sendiri, kepada ibu bapa dan tentulah kepada guru-guru yang tidak mengenal erti jemu mendidik mereka sehingga berjaya dengan cemerlang.

Tidak keterlaluan kalau Pida katakan ada sesetengah ibu bapa yang terlalu serius dan memandang berat tentang peperiksaan sekolah rendah ini. Ibu bapa sebegini akan memastikan anak-anak mereka mesti mendapat 5A walau apapun yang berlaku.

Tidak cukup dengan waktu P&P di bilik darjah, dihantar pula anak itu ke kelas-kelas tuisyen untuk mengukuhkan lagi kefahaman dan penguasaan mereka dalam mata pelajaran-mata pelajaran yang dipelajari seperti BM, BI dan Matematik.

Dan jangan terperanjat jika Pida katakan ada ibu bapa sekarang yang terlalu ghairah menghantar anak mereka ke kelas tuisyen sedari budak itu darjah satu lagi! Yes, it does happen nowadays. But not my kid.

Soalnya di sini, perlukah? Perlukah sampai begitu sekali ibu bapa menanamkan semangat 'mesti-score-kalau-tak-score-kau-memang-loser' ke dalam jiwa anak-anak ini?

Hari tu Pida terbaca komen seorang budak yang berjaya mendapat 5A. Dia kata kalau dia tak dapat 5A, dia rasa diri dia tak berguna dan dia akan malu pada kawan-kawan. Pida macam... what the fu.....?

Seriously u kid... what do you expect from that 5A?  A good job? An honor throughout your entire life? Come on my dear, your journey is way too long before you could realize what this crazy life is all about.

Never mind, it's your glory and your personal achievement. Tahniah and may you succeed in your future. But please jangan rasa diri tak berguna jika lain kali kamu gagal meneruskan kecemerlangan akademik. Hidup kita banyak cabang dan pilihan. Akademik hanyalah salah satu daripadanya.

Kenapa Pida menulis tentang ini? Kerana dari pemerhatian Pida, kebanyakan ibu bapa, Pida ulangi - KEBANYAKAN ibu bapa sekarang terlalu mementingkan aspek akademik. Anak mereka mesti, tidak boleh tidak, mendapat 100% dalam setiap ujian dan peperiksaan dan wajib pula mendapat A bagi setiap mata pelajaran. Dah tu pulak, mesti dapat nombor satu dalam kelas.

Habis, kalau semua nak dapat nombor satu, siapa nak dapat nombor dua? Siapa nak dapat nombor 36? Siapa nak dapat nombor corot?

Sistem pendidikan kita sebelum ini (sebelum kaedah Penilaian Berasaskan Sekolah diperkenalkan) terlalu mementingkan kecemerlangan akademik. Prestasi seseorang murid diukur hanya daripada markah dan merit peperiksaan.

Salah seorang daripada waris sistem berorientasikan peperiksaan ialah Pida sendiri. Dulu Pida belajar hanya untuk lulus periksa. Tidak pernah terniat berlajar untuk ilmu itu atau ilmu ini. Contohnya semasa belajar matematik, Pida cuma hafal rumus supaya dapat jawab soalan peperiksaan. Bukan sebab Pida nak guna pakai rumus tu dalam kehidupan seharian.

Tak pernah pulak Pida menggunakan rumus pengamiran ketika menyidai pakaian. Tak terfikir pulak nak mengaplikasikan rumus jadual berkala ketika membancuh susu anak. Apa yang Pida lakukan ketika itu ialah hafal dan selepas habis exam, mampus aku tak ingat semua tu. Gone with the wind.

Pida menyambut baik kaedah Penilaian Berasaskan Sekolah (PBS) yang telah mula diperkenalkan kepada murid-murid tahun satu mulai tahun 2011. Pendekatan ini merangkumi empat komponen dalam menilai setiap murid secara holistik dan bukan berdasarkan pencapaian akademik melalui peperiksaan semata-mata.

Empat komponen tersebut ialah Pentaksiran Pusat, Pentaksiran Sekolah, Pentaksiran Psikometrik dan Pentaksiran Aktiviti Jasmani, Sukan dan Kokurikulum. Murid-murid akan dinilai mengikut instrumen dan rubrik yang tertentu.

Pada pendapat Pida, PBS akan mengurangkan masalah stress yang bakal dihadapi oleh murid itu sendiri kerana mereka bukan hanya perlu menumpukan seratus peratus kepada buku, tetapi juga perlu melibatkan diri dengan aktiviti sukan dan kokurikulum.

Apa yang lebih penting, murid-murid ini akan diasuh supaya mempunyai daya pemikiran yang seimbang dan waras agar mereka tidak terlalu 'mengadap buku'. Pada ketika umur darjah satu beginilah murid-murid ini perlu terus diterapkan dengan nilai-nilai murni seperti berpegang teguh pada agama, menghormati guru dan rakan-rakan, menghormati kelainan upaya kawan-kawan lain, mengamalkan sikap toleransi, bertolak ansur dan bantu-membantu. Bukan sekadar berlumba siapa yang lebih pandai atau kenapa dia masuk kelas bodoh.

Jika PBS ini dilaksanakan dengan telus dan betul, barulah kita boleh melahirkan modal insan yang bukan hanya cemerlang dalam bidang akademik, malah juga memiliki sahsiah dan sifat peribadi yang tinggi dan jauh dari sifat kiasu.

Macamlah Pida ni tak ada anak sekolah kan? Ada... Rania baru je habis darjah satu. Sepanjang dia bersekolah darjah satu (sekolah kebangsaan dan sekolah agama), tidak pernah sekalipun Pida cakap dia mesti dapat nombor satu.

Bila dia beritahu esok dia ada periksa, Pida cuma suruh dia baca buku, buat latihan sikit-sikit (Matematik dan Jawi) dan Pida cuma bagitau dia, "Mak tau Nia dah belajar. Buat elok-elok, baca Bismillah sebelum buat dan semak sebelum hantar." Itu sahaja. Never a word I expected her to get 100% or straight A's. (Darjah satu maaa)

And the result? Hampir semua subjek dia score 100% (ada yang 96% ada yang 94% ada yang 80% but that's not a problem). Dia dapat nombor satu untuk kedua-dua penggal bagi sekolah agama dan untuk sekolah kebangsaan pun dia score jugak.


Alhamdulillah, inilah pencapaian Rania pada tahun satu ini. Pida tak pernah terlalu mengharapkan semua ini, cukuplah dia faham apa yang dia pelajari dan dia tahu bahawa dia belajar kerana Allah.

And this one shocked me the most. Pida ketawa besar bila dapat tahu Rania jadi Tokoh Kanak-Kanak Perempuan Tahun 1. You see? I never expected this, never never but hey believe me, your kids can do better if you don't give them stress!


Alhamdulillah, Rania telah berjaya meneruskan momentum yang dibawanya dari tadika. Masih terasa baru semalam menghantar Rania masuk darjah satu. Dengan ragamnya, dengan tak nak sekolahnya, sampai pening kepala Pida cari jawapan kenapa Rania tak nak ke sekolah. Tup tup tahun depan darjah dua insya Allah.

Jadi itulah pendapat Pida. Pida rasa budak-budak ni tak payahlah dipaksa belajar sangat. Diorang tu masih kanak-kanak, dunia diorang hanyalah keseronokan, hanya tau nak main, nak luaskan kreativiti, nak tunjukkan potensi sebenar.

Tak salah kalau kita nak mengacu dan membentuk mengikut kemahuan kita, malah memang itupun peranan kita sebagai ibu bapa tetapi biarlah berpada-pada. Pida tak akan paksa anak Pida mengadap buku 24 jam atau tidak akan sesekali memberi kata dua sama ada straight A's atau ....

Asalkan Pida berjaya terapkan dalam jiwa anak-anak bahawa pelajaran itu sebagai bekalan untuk kejayaan di dunia dan di akhirat, Pida rasa sudah sampai mesej kenapa mereka perlu belajar. Dan Pida tak akan marah anak-anak Pida walau mereka tidak cemerlang dalam peperiksaan sekalipun.

Pida ingin mereka sedar bahawa apa yang penting ialah menjadi diri sendiri dan mencari hala tuju berdasarkan minat sendiri. (Ini kerana Pida perhatikan Aqil mempunyai kemahiran manipulatif dan seni yang baik). Tugas Pida cuma membantu, memandu, menyokong dan mendoakan.

Semoga anak-anak kita menjadi anak yang berguna kepada agama, bangsa dan negara.


Semoga Rania akan terus menjadi insan cemerlang di dunia dan di akhirat. Lokasi : Bilik permainan. Sebab tu bersepah. Tong air terbalik pun ada.


Penafian  : Entry ini adalah pendapat peribadi Pida semata-mata. Pida tidak dipengaruhi atau mempengaruhi sesiapa pun dalam tulisan ini. Terima kasih.



Monday, November 19, 2012

Terkena sawan pengantin

Salam sawan,

Hujung minggu lepas Pida berada di selatan tanah air menghadiri majlis walimatul urus sepupu Pida. Pida berkonvoi bersama adik-beradik sebelah suami ke rumah pengantin.

Pida sampai di JB pada hari Sabtu. Terus menuju ke rumah abang ipar untuk bermalam di sana. Pada hari Sabtu itu juga Pida berjumpa dengan Rania yang telah terlebih dahulu pergi awal mengikut atuk dan neneknya.

Sesampainya Pida di rumah abang ipar Pida, Rania sedang demam. Panas badannya. Pida pun segera memberinya makan ubat demam dan membiarkan dia baring dan berehat. Dia kena sihat. Esok nak pergi tengok pengantin.

Pida tanya mak mentua Pida, kenapa Rania demam? Dia main hujan ke? Mak bagitau agaknya Rania ni kena sawan pengantin. Sebab masa Rania ikut nenek dia ke majlis akad nikah pengantin malam tadinya, mata Rania tak berkelip memandang pengantin.

Rania memang suka tengok pengantin sebab dia suka tengok orang solek cantik-cantik. Yelah, mak dia bukannya jenis yang pakai mekap ke, maskara ke, blusher ke, eye shadow ke... Mak Rania ni cuma tepek bedak serbuk pastu calit gincu sikit. Tu pun comot. Sebab tu Rania teruja bila tengok orang solek cantik-cantik.

Emmm... agaknya kot... Rania demam terkena sawan pengantin. Sufi pun macam tu jugak. Minggu lepas kami pergi menghadiri kenduri kahwin, tiba-tiba masa pengantin tu salam-salam dengan tetamu, si Sufi kemain seronok main dan gurau-gurau dengan pengantin tu.

Lepas tu malamnya tak semena-mena dia demam sampailah 3 hari. Pelik jugak, tak main hujan tak itu tak ini, tiba-tiba sahaja Sufi demam. Biasanya Sufi akan demam jika dia salah makan ke, terlalu banyak makan benda sejuk ke, tapi masa tu dia tak buat apa-apa yang luar biasa kecuali bergurau dengan pengantin!


Masa ni Sufi ok lagi, malam tu terus dia demam sampailah 3 hari. Rupanya sawan pengantin.


Berbalik pada cerita tentang Rania. Lepas tu Pida tanya mak mentua Pida, "Laa kok nak buat macam mana ni mak? Nak kena kawinkan Nia ke?"

Mak Pida suruh mintak bedak pengantin sikit esoknya dan sapu kat muka Rania supaya demamnya kebah. Itu petua orang tua-tua.

Sampai di rumah pengantin, carik bedak pengantin tak ada. Yang ada bedak mak pengantin. Carik mak andam pun tak nampak. Laa... mana pulak mak andam ni aku nak minta sikit bedak pengantin.

Last-last mak Pida cakap, bawak je Rania pergi jumpa pengantin yang tengah bersanding tu dan suruh pengantin tu cium sikit. Jadi Pida pun bawak Rania kepada pengantin perempuan. Mula-mula dia tak nak, malu la tu nak jumpa pengantin. Tapi Pida pujuk dia dan akhirnya pengantin perempuan tu mencium Rania buat 'ubat'.


Tak memasal usung anak mintak cium. 'Njalok ambong!

Alhamdulillah... lepas kena cium pengantin, Rania dah tak demam lagi. Terus baik gitu! Hahaha. Sebenarnya bukan sebab kena cium pengantin dia baik, tapi mungkin sebab dia gembira dicium oleh pengantin yang diminatinya. Kiranya macam hormon dia dah pulih la tu.

Sufi pun Pida suakan untuk dicium pengantin jugak, tapi dia meronta-ronta tak nak. Rugilah kau Sufi, pengantin tu cun kau tau tak.

Apapun, sawan pengantin memang 'berlaku'. Kau percaya?




Saturday, November 17, 2012

A Note For Mother

Salam mother,

Masa Pida balik kampung kali ni, mak tak berapa sihat sangat. Mak nampak letih dan tak bermaya. Mak jadi macam tu mungkin sebab mak berpantang makan.

Sekarang ni mak dah tak lagi menjalani rawatan kimo walaupun doktor menyarankan agar mak meneruskan rawatan kimo tersebut. Namun kali ini kata doktor, kimo yang perlu diikuti oleh mak mestilah dari jenis yang lebih kuat iaitu yang boleh menyebabkan keguguran rambut.

Tapi selepas mak berfikir panjang dan meminta petunjuk daripada Allah, mak mengambil keputusan untuk berhenti menjalani rawatan kimo.

Bukan sebab mak dah berputus asa atau tak mau sembuh, tapi sebab mak dah tak larat menanggung sakit dan letih setiap kali selepas kimo. Alhamdulillah walaupun mak dah berbelas-belas kali menerima rawatan kimo dan berpuluh-puluh kali radioterapi, namun mak tak pernah mengalami kesan sampingan yang terlalu teruk seperti keguguran rambut.

Paling teruk pun mak cuma mengalami keletihan terlampau sampaikan mak tak boleh bangun dan hilang selera makan. Tapi kesan itu hilang selepas seminggu dua dan keadaan kembali seperti sediakala.

Sekarang ni mak hanya makan supplement untuk mengekalkan tahap kesihatan. Sebagai anak, Pida amat memahami dan menghormati keputusan mak. Sebab Pida fikir, waktu sekarang adalah masa untuk mengekalkan kualiti hidup mak sahaja. Lagipun yang tanggung bukannya Pida tetapi mak. Yang sakit mak. Pida cuma tau cakap aje.

Yang penting mak sihat, kuat, bertenaga dan tak berasa sakit. Pida paling takut kalau mak jatuh sakit dan terlantar. Minta dijauhkanlah...

Pida tak tau nak cakap apa bila tengok mak dalam keadaan tak bermaya kali ini. Pida tau mak jadi macam tu sebab mak tak makan. Mak takde selera nak makan selain mak pantang makan beberapa benda seperti daging merah, makanan laut, kekacang dan telur.

Habis tu kalau semua tak boleh makan mak Pida nak makan apa? Mengarut la pantang-pantang makan ni. Bukankah makan untuk mendapatkan khasiat dan tenaga?

Last-last Pida pujuk mak. Pida cakap mulai hari ni mak kena makan apa sahaja. Tak payah nak pantang-pantang makan. Makan semua benda untuk jana tenaga supaya badan mmk jadi sihat dan kuat.

Pida juga cakapkan pada mak, "Mak makan apa sahaja ye mak... kecuali babi."

Lepas mak dengar Pida cakap macam tu, mak terus ketawa. Manisnya dapat tengok mak ketawa!

Pada hari itu juga Pida telah membelikan sebuah Galaxy Note 10.1 untuk mak. Pida belikan sebab mak berminat dengan gajet itu selepss mencuba Note Pida.

Pida harap mak isilah masa mak dengan memanfaatkan Note tersebut. Terlalu banyak yang boleh dilakukan dengan Note.

Pida tak kisah terpaksa berkorban tenaga dan wang ringgit termasuklah nyawa sekalipun demi mak tercinta. Pida cuma mahu mak sembuh. Atau sekurang-kurangnya mak teruslah ceria seperti selalu.

Cepatlah sembuh wahai emak...


Wednesday, November 14, 2012

Sawah nan terbentang di desaku yang gemilang

Salam sawah,

Sekarang ni Pida bercuti selama seminggu di kampung. Telah Pida ceritakan dalam episod yang lepas bahawa percutian ini adalah bersempena dengan cuti sekolah dan sebab ada cuti Deepavali dan cuti Awal Muharram, jadi kaedahnya Pida pulun seminggu terus.

Namun sedar tak sedar hari ni dah hari Rabu. Cepatnya masa berlalu. Esok khamis, lusa jumaat, tulat sabtu, tonggeng ahad, lepas tu isnin dah naik kerja semula. Alaaaa.... malasnya nak kerja.

Tapi walau macam mana pun, percutian Pida di kampung pada kali ini sangat bermakna. Selain masa yang panjang untuk bersama ibu dan bapa (walaupun sebenarnya singkat), Pida juga berpeluang membawa anak-anak bandar ni melihat sawah padi yang terletak di hujung kampung.


Siapa kata negeri Johor tak ada bendang? Tengok ni... saujana mata memandang.

Di sebelah sawah ada kebun sawit. Standard la tu kalau kat Johor.

Pemandangan biasa di sini tetapi sesuatu yang baru bagi anak-anak Pida ni.




Kunci air ini digunakan untuk mengawal kemasukan air ke dalam sawah.

Ini adalah alat kawalan agro ekologi. Ia dikenali dengan nama Pengurusan Perosak Bersepadu (Integrated Pest Management IPM). *Pida tak pasti sangat benda alah ni. Kalau silap mohon betulkan yeehaa!

Hari semakin senja. Menyaksikan fenomena matahari terbenam di sawah padi merupakan detik yang sangat romantis, kata Pida sambil melentokkan kepala di bahu suami.

Dalam perjalanan pulang, kami singgah dan berhenti di jeti melihat bot-bot nelayan di situ. Sungguh authentic panorama ini, kata suami Pida sambil mencium pipiku. HAHAH

Kami sempat melihat seorang nelayan tua menebar jala ke sungai dengan harapan sangkutlah ikan duyung buat peneman di kala sepi.

Namun usahkan anak ikan bilis, sisik ikan pun tak dapat ditangkapnya. Ikan semua dah lari ke laut. Oh... sungguh kasihan kau pakcik.

Senja semakin merapati malam. Beburungan telah terbang ke sarang. Pida pun kembali ke pangkuan orang yang tersayang.

Alangkah damainya hidup di kampung!


Semua gambar dirakam dengan menggunakan pembantu peribadi Pida yang setia, iaitu Samsung Galaxy Note.

Sunday, November 11, 2012

Konvokesyen UTP - entry dedikasi untuk adik bongsu

Salam utp,

Pada akhir bulan Oktober lepas, Pida dan keluarga telah meraikan majlis graduasi adik bongsu Pida di Universiti Teknologi Petronas (UTP) iaitu seminggu selepas majlis konvokesyen suami Pida di UPM.



Kami sampai sehari sebelum majlis konvokesyen dia dijalankan. Jadi, sementara itu, Pida sebagai penolong ketua rombongan (exco logistik) mencadangkan agar kami pergi menghabiskan tenaga dan wang ringgit di Pesta Konvo UTP.

Kan dah kata, memang nak ngabiskan duit kan. Memang pun. Kat depan pesta orang dah jual belon. Kang tak dibelikan habis meraung si Sufi tu. Kalau setakat meraung takpe lagi, ni dah tahap peluk kaki Pida sampai nak terlondeh seluar aku. Dah la mahal. RM5 hengget satu. 3 dah RM15 hengget. Sampai rumah kena kipas terus koyak. Tengok la si Aqil tu kemain bersyukur dapat belon.

Pesta Konvo UTP dibuat di tepi tasiknya yang indah.

Sangat lapang untuk bermain ram ram rep dan police sentri one two jaga.

Semua ada kecuali abang sulung Pida.

Dah maghrib barulah kami balik. Kami bermalam di rumah kawan yang dekat dengan UTP. Esok nak ke sini lagi untuk majlis konvokesyen.

Esoknya, kami datang semula ke sini untuk meraikan hari konvokesyen adik Pida. Dia dapat sesi petang. Tapi kami datang pagi untuk mengambil gambar rasmi dia bersama mak dan ab di studio yang disediakan di situ. Kami bergambar berlatar belakangkan Kompleks Canselor yang sungguh besar dan gah.

Ini ruang di dalam Kompleks Canselor. Di sinilah upacara penganugerahan ijazah dijalankan iaitu di dalam dewan.

Ini ialah perpustakaan. Besar, unik, canggih dan dipenuhi dengan puluhan ribu buku. Bertingkat-tingkat. Tak pernah Pida tengok perpustakaan macam ni. Walaupun Pida seorang yang tidak sukakan buku, namun Pida turut teruja dengan pusat sumber UTP ini.

Gambar keluarga. Masa ni semua orang senyum kecuali Aqil sebab masa tu dia tengah sakit perut. Pida kata, "Sabar, jap kita bergambar dulu baru berak eh." Si Sufi macam biasalah, kaki dia tu digunakan untuk pakai seluar je.

Tanda bagus itu bermaksud "Bagus ada mak dan ab."

Kaedahnya gembira sangat la tu dah konvo ye dik! Tahniah adikku. Dulu kaulah anak mak yang paling bongok sekali tapi sekarang kau dah jadi jurutera. Jangan jadi jurutera bongok sudah.

Rania menggambarkan dirinya sebagai Kimi Raikonen semasa bergambar di sebelah kereta racing F1 yang diletakkan di ruang dalam Pusat Sumber.
Sementara menunggu adik bergambar di studio, Pida pergi meronda di gerai menjual bunga.

Hakikatnya harga jambangan bunga di UTP ini tersangatlah mahal. Kebanyakannya RM50 ke atas dan ada yang mencecah RM100. Yang murah RM20 ada tapi itu pun macam tak padan dengan saiz dia.

Haa inilah yang harga RM20 tu. Anak patung bear kecik, bunga poncot bulat merah sebijik, reben-reben, batang besar = RM20. Untuk orang kais pagi makan pagi macam Pida ni kira mahal la...

Yang macam ni harganya RM80.


Nak bayar pun menggigil je tangan.

Patutlah harganya mahal. Rupanya bunga ros yang dijual itu adalah dari jenis yang berkualiti tinggi. Tebal, besar dan teksturnya macam baldu. Cantik sangat.

Sedang bersiap-siap untuk mengenakan jubah.


Pida bergambar bersama adik-adik dan adik ipar (mak Razin dan Sofia).


My little lovely Razin.

Adik tengah ambik skrol daripada Tan Sri Sidek Hassan, Pro Canselor UTP. Gambar diambil dari luar dewan.



Ciuman daripada mak dan ab. Kami adik-beradik dulu pun kena cium jugak.

Berbaloi sudah.






Majlis berakhir pada lewat petang. Selepas itu bagai burung, kami pun pulang ke sarang.

Alhamdulillah, dengan terkonvonya adik bongsu Pida ni, maka tercapailah sudah impian mak dan ab untuk melihat kami enam beradik menggenggam ijazah. Mudah-mudahan kami menjadi anak yang berguna dan berjasa kepada mak dan ab.


Sekalung penghargaan untuk mak dan ab kerana telah membesarkan kami dengan sempurna sehingga kami berjaya dengan kehidupan sekarang. Mohon doa dan restu berpanjangan daripada mak dan ab sehingga ke akhir hayat kami.

Wahai adikku.... Jangan biarkan ibumu menangis kerana kegagalanmu, biarlah ibumu menangis kerana kejayaanmu ---> ayat popular dalam buku autograf masa kecik-kecik dulu.


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...