Showing posts with label Aqil. Show all posts
Showing posts with label Aqil. Show all posts

Saturday, February 14, 2015

Main Lego

*Entry ini dah lama sebenarnya. Duduk terperap dalam draft sejak setahun lalu ketika masih mengandungkan Muhaimin, huhuhu... Tengoklah betapa malasnya Pida nak buat karangan baharu untuk blog ni.

Salam lego,

Baru-baru ini Pida belikan set permainan Lego untuk anak-anak Pida khususnya untuk Aqil dan Sufi. Diorang ni memang suka sangat main Lego atau permainan pasang-memasang ni.


Alaaa bukannya Lego yang original tu pun. Ini Lego yang bukan jenama Lego. Yang Lego tu mahal sangat, yang tak Lego ni baru RM35. Besar saiz dia. Macam ni haa besarnya (sambil mendepakan tangan).

Yang lego kapal terbang air tu Pida belikan untuk Aqil. Yang Sufi punya Pida belikan ambulan sebab Sufi tu minat sangat dengan kenderaan yang ada lampu siren ni.


Yang ini pun harganya RM35. Saiznya lebih kurang macam ni ha (sambil mendepakan tangan tapi lebih kecik sikit daripada tadi).

Budak-budak ni kalau dapat lego, tak makan tak minum pun tak apa. Terkencing dalam seluar pun tak apa. Punyalah khusyuk macam bersolat. Ceh.

Tapi bukan diorang yang buat pun. Segala beban proses kerja-kerja pembinaan lego ni diserahkan bulat-bulat kepada abah diorang yang memang rajin membantu (sebenarnya dia pun hantu lego). Pida? Main permainan masuk-masuk ikut bentuk pun failed.

Tapi laki aku ni memang terrerist pun. Sekejap je dah siap kapal terbang dan ambulan tu.


Inilah rupa kapal terbang seaplane tu. Besar jugaklah. macam ni ha besar dia (sambil mendepakan tangan).

Siap ada kipas kau.

Ini pulak ambulan Sufi. 

Siap ada driver lagi kau. Hensem pulak tu. Rambut belah tepi gitu.

Wow, siap ada penyambut tetamu lagi. Gerek seh ambulan ni!

Selain ambulan, Pida juga membelikan figura mini Ultraman untuk Sufi. Dia memang peminat tegar Ultraman. Pelik aku kenapa budak-budak suka Ultraman.


Satu set ada 6 kotak. Bermakna ada 6 jenis Ultraman. Ntah yang mana satu Taro, yang mana satu Mebius, yang mana satu Cosmos, sumpah Pida tak kenal.


Yang ni kecik aje. Kecik macam ni je haaa (sambil buat ukuran).


Tetapi, kusangkakan panas hingga ke petang, rupanya hujan di tengah hari. Kusangka tahan la dapat sebulan dua, tapi tak sampai seminggu dah dibukak-bukak. Haishhh budak-budak ni, kau ingat senang nak masang?


Dah dipecah-pecahkan sampai jadi seketul-seketul balik. 


Ambulan pun dah ditakik-takik. Kejap jadi buggy car, kejap jadi racing car. Yang ini kapal angkasa agaknya.

Brader ni pun dah tercampak-campak. Tangan pun dah tercabut hahaha. Tengok tu, marah dia!

Ni lagi kesian. Dahlah ambulan dah terbarai, bukan setakat hilang pekerjaan, malah hilang rambut belah tepi sekali. Sadis sungguh. Tapi masih mampu tersenyum redho.

Sekarang ni setiap blok Lego yang kecik-kecik tu dah bersepah-sepah. Memang mustahil la kalau dapat kumpulkan semua sekali dan dapat buat semula ambulan dan kapal terbang tu menjadi sempurna macam asalnya. Memang tak la...


Buat binaan baharu dengan pieces of lego yang dah berkecai.

Meraban la korang carik part-part yang dah bercampur aduk.

Eh, terjumpa pulak kipas kapal terbang tadi.

Eh, yang ini pun ada? Hmm... nampak sangat memang dah terbarai habis. Dah bercampur-campur dengan lego yang berlainan.

Akhirnya Aqil dapat bina bot pulak. Dia kitar semula pieces yang mana sesuai. Dah bercampur dengan pieces ambulan Sufi hahaha.

Sufi pulak bina kapal makhluk asing katanya. Mmmm... ok mak percaya.


Untuk pengetahuan kau, pieces lego yang tak original ni sebenarnya compatible dengan Lego original. Pida dah cuba. Pida pasang pieces yang tak ori ni dengan Lego ori. Memang boleh masuk. Tak caya cuba try.

Itulah, kalau Lego bagi kat budak-budak memang macam nilah jadinya. Takdenya diorang nak menyimpan. Kalau orang dewasa mungkin akan buat koleksi.

Lepas ni kalau diorang minta lego lagi, Pida akan suruh diorang kutip pieces lego kecik-kecik yang bersepah-sepah tu sampai sakit kaki aku kalau terpijak. Takut nanti kalau baby dah lahir, baby kutip masuk mulut pulak.

Kesian abah yang penat-penat buat.


Tuesday, December 31, 2013

Selamat datang ke sekolah, Aqil!

Salam sekolah,

Hari Sabtu lepas Aqil telah pergi ke sekolah untuk sesi khas bagi murid-murid darjah 1. Tak sangka kejap aje masa berlalu. Rasa macam baru semalam Pida lahirkan Aqil, hari ini dia dah masuk darjah 1.

Aqil bangun pagi, bersemangat sungguh dia pagi itu sebab dia tak sabar-sabar nak pergi ke sekolah. Baju uniform kasut semua dah beli siap-siap. Semuanya serba baru kecuali spender dia masih pakai yang lama.

Sebelum pukul 8.00 pagi Aqil ditemani abah sudah terpacak di sekolah.


Inilah anak teruna saya, Aqil. Baru naik darjah 1. Tengok tu betapa segaknya anak saya mengenakan uniform sekolah. Siap bertali leher dan tidak ketinggalan beg Ben 10. Senyum meleret tanda semangat untuk bersekolah.


So far Aqil memang sangat tak ada masalah. Dia tak kisah pun abah dia. Sebab dia dah ada kawan yang juga jirannya yang juga classmate tadikanya. Beli mi siam pun sorang-sorang aje. Macam pandai je gitu.


Tapi inilah yang buat Pida geleng kepala. Belum habis sekolah, masih di dalam kelas, dia dah buat peraturan sendiri. Dia kata dia panas, jadi dia bukak tali leher dia. Tak cukup dengan itu, dia keluarkan pulak baju dia tu. Ya Allah anak aku... Lepas tu Pida terangkan pada dia, di sekolah kena ada disiplin berpakaian. Dah balik sampai rumah baru boleh keluarkan baju. Barulah dia faham.


Khamis 2 Januari 2014 ni adalah hari pertama rasmi Aqil ke sekolah. Semoga Aqil sentiasa bersemangat untuk belajar rajin-rajin dan semoga Aqil jadi budak yang baik.

Selamat bersekolah!

Monday, October 28, 2013

Cenderahati JDT untuk si buah hati

Salam cenderahati,

Sementara menunggu ketibaan kacang pool yang dipesan, Pida berlenggang-lenggok jalan menggedik menuju ke booth barangan JDT yang terletak di hujung gerai. Di sini, terdapat banyak barangan dan cenderahati JDT yang boleh didapati.

Kalau kau nak beli jersi JDT, kat sini pun boleh beli tapi dia jual yang gred AAA. Nak ori pegi mintak TMJ laaa... Selain itu ada jugak jualan topi, beg sekolah, mafla, topi, songkok JDT dan stiker.

Dalam banyak-banyak barang yang dijual tu, Pida telah membeli beberapa cenderahati yang tidak kedapatan di luar negeri Johor. Pida beli semua ini khas untuk anak-anak Pida yang asyik kena tinggal aje kat rumah tu. Kesian bapak diorang... eh?



Ini lambang yang dibanggakan oleh orang-orang Johor. Walaupun JDT tidak terus mara dalam kempen Piala Malaysia kali ini, namun kesetiaan tetap utuh.

Ini corak celoreng mafla yang sedang trending. Harga : RM35.

Pida belikan topi JDT sorang satu untuk Rania, Aqil dan Sufi. Sebenarnya Pida dah lama berkenan dengan topi-topi cute ni bila tengok orang pakai. Harga Pida : RM50 (3 biji topi)

Yang ni untuk Rania. Kah Kah Kah! Lawak la engko Rania, ada ke ko pakai topi cenggitu. Jersi JDT tu memang dah lama beli.

Yang ni untuk Aqil. Kemain lentok lagi dia. Alololo.... ko ingat ko comel?

Yang ni pulak untuk Sufi. Eeeee.... cutenya dia, macam abah dia.

Rania memang anak jati Johor. Dalam surat beranak dia tulis tempat lahir di Johor. Yang lagi dua tu lahir kat Selangor. Sebab tu Rania bentangkan mafla ni kasi panas kat Aqil dan Sufi.


Begitulah Pida, kalau pergi ke mana-mana untuk tugasan luar, Pida mesti akan bawak balik sesuatu untuk dihadiahkan kepada anak-anak yang setia menunggu di rumah walaupun hanya sebatang pensel hotel.

Bila tengok diorang bersorak gembira kerana mendapat hadiah daripada mak diorang ni, Pida lagilah rasa bahagia. Hilang penat lelah 3 hari meninggalkan mereka di rumah.

Dan untuk suami yang selalu jugak kena tinggal, Pida memang tak lupa bawakkan untuk dia jugak. Apam balik.

Thursday, October 3, 2013

Aqil yang suka dikelon

Salam aqil,

Sudah menjadi rutin setiap pagi ketika menghantar Aqil dan Sufi ke tadika, Pida pasti akan mencium Aqil satu muka. Pipi kanan, pipi kiri, dahi dan mulut. Selepas itu Pida akan memeluk dia erat-erat sambil membisikkan "Aqil anak kebanggaan mak," sambil dia terkedek-kedek masuk ke kelas.

Bukan sahaja Aqil, malah Rania pun macam tu jugak. Sebelum pergi ke sekolah, Pida pastikan Pida akan cium dia satu muka dan memeluknya juga. Akhir sekali pasti Pida akan cakap, "Be good!" Walaupun pagi-pagi diorang kena bebel pasal liat nak bangun dari tido.

Aqil walaupun seorang kanak-kanak yang sangat aktif dan nakal, namun dalam hatinya ada taman. Kadang-kadang secara tiba-tiba dia akan datang kepada Pida dan berkata, "Mak, nak peluk!" Pada masa tu kalau Pida tengah buat apa pun Pida pasti akan berhenti dan akan memeluknya erat-erat sambil bercakap perkara-perkara baik buat pendengarannya.

Yang paling biasa Pida akan cakap "mak sayang Aqil" dan dia akan membalas, "Aqil pun sayang mak... sayang sangat. Mak jangan mati tau. Aqil tak nak dapat mak baru." Jadah apa kau cakap macam tu.

Malam tadi seperti biasa, Aqil datang kepada Pida dan cakap, "Mak, Aqil nak peluk mak." Pida pun terus depakan tangan dan memeluknya erat-erat. Dia bagitau dia sayang sangat kat Pida, oh sangat mengharukan juga walaupun baru kejap tadi Pida marah dia.

Lepas tu Pida tanya Aqil, "Apa yang Aqil rasa masa Aqil peluk mak?"

Aqil jawab, "Aqil rasa selesa."

Ok, jawapan yang sangat indah bagi seorang budak 6 tahun. Dia rasa selesa dan selamat apabila berada dalam pelukan ibunya.

Aqil pulak tanya Pida, "Mak rasa apa bila Aqil peluk mak?"

Dengan selamba Pida jawab, "Rimas."

Terus dia lepaskan pelukan dan menjerit, "Mak niiii! Tak nak la peluk mak lagi. Sambil berguling-guling macam tenggiling.

Hahahahaha.


Aqil yang suka dikelon.



Sunday, September 22, 2013

Serangan bunyi guli kembali lagi, kali ini lebih ganas!

Salam guli, 

Dua tiga hari lepas, jiran sebelah rumah Pida mengadu kepada suami Pida. Dia bagitahu sejak akhir-akhir ini dia dan keluarganya semakin kerap mendengar bunyi guli melantun-lantun di rumahnya. Kisah guli melantun ni pernah Pida ceritakan dalam kisah berjodol Entry Misteri : Tinggal Bersama 'Si Dia' yang sedang kekal dalam carta top ten. Hehe.

Berbalik kepada luahan sang jiran tadi, yang mengatakan bini dia sampai telefon dia yang tengah bekerja semata-mata nak mengadu ada gangguan bunyi guli yang semakin menjadi-jadi terutama selepas maghrib, suami Pida cuma no komen.

Cuma mampu geleng-geleng kepala aje. Adakah kerana suami Pida dah biasa dengan bunyi guli mainan anak jin tu, jadi dia dah tak heran dah... Bukan begitu, sebenarnya suami Pida tahu sangat dari mana asalnya bunyi guli yang dikatakan semakin galak itu. Sehingga menghantui jiran sebelah rumah yang tidak berdosa.


Sebenarnya inilah guli yang melantun-lantun sehingga menimbulkan misteri kepada jiran Pida itu. Guli-guli ini berada di rumah Pida!


Guli-guli tadi adalah milik Aqil yang merupakan aksesori kepada set permainan robot B-Daman yang dibelinya.





Bila suami Pida terangkan bahawa sebenarnya bunyi guli melantun itu adalah angkara anak Pida dan bukannya anak jin, dia terus lega sambil ketawa dan membelasah suami Pida. Terlerailah akhirnya sebuah misteri. Rupa-rupanya Aqil yang main guli dengan robot B-Daman dia tu.

Memanglah bunyi selepas maghrib, sebab lepas maghrib baru Aqil ada kat rumah. Petang-petang lepas balik dari sekolah terus main beskal.

Fuhhh.... lega dah jiran sebelah rumah tu. Lepas ni kalau dia terdengar lagi bunyi guli melantun-lantun, dia tahulah itu si Aqil yang main. Dia tak takut lagi.

Tetapi..... dia tidak tahu bahawa bunyi guli melantun itu sebenarnya masih ada lagi kedengaran sehingga ke hari ini.... dan ia bukanlah yang dimainkan oleh Aqil....



Tuesday, August 27, 2013

Catatan hari lahir untuk anakku Aqil yang kukasihi

Salam hari lahir,

Alhamdulillah, hari ini genap Aqil 6 tahun. Sayangnya Pida tidak berada di sampingnya pada hari gembira ini kerana Pida berkursus di luar daerah.

Namun Pida tidak pernah lupa untuk mendoakan yang baik-baik untuk anakanda yang seorang ini apatah lagi pada hari jadinya.

Buat Aqil, berikut mak nukilkan sebaris harapan dan impian buat dirimu untuk kaujadikan pedoman dan pegangan di sepanjang hidupmu.

Aqil anakku,

Aku mahu engkau terus menikmati kegembiraan yang sedang kaurasai sekarang ini. Aku tidak mahu kau merasa sedikitpun kesusahan dan kedukaan kerna kau hanya layak mendapat yang indah-indah sahaja.

Namun engkau pasti tidak akan terlepas daripada merasai bebanan kehidupan dalam setiap segi jua. Itulah hakikat kehidupan, anakku.

Oleh itu, aku tidak mahu engkau lalai dan leka dengan kesenangan yang kaunikmatsi saat ini. Aku mahu engkau sentiasa bersyukur dengan setiap anugerah dan kegembiraan yang sedang berada dalam dakapanmu.

Anakku Aqil,

Engkau berhak mendapat segala-galanya di alam yang fana ini. Asalkan engkau berusaha, engkau pasti akan berjaya. Tapi jangan sesekali engkau lupa, untuk apa kehidupan yang sementara ini sebenarnya.

Aku mahu engkau hidup dengan seribu kemenangan, dengan seribu kejayaan dan dengan seribu kesedaran. Aku mahu engkau hidup kerana mengejar akhirat yang kekal. Aku mahu engkau berusaha untuk menggapai syurga yang dijanjikan kepada hamba-hambaNya dengan mentaati segala perintahNya dan menjauhi setiap laranganNya.

Anakku Aqil,

Aku mahu engkau hidup sebagai seorang yang berjuang mempertahankan maruah dirimu, maruah keluargamu, bangsamu dan tanah airmu... dan yang pastinya aku mahu engkau hidup kerana berjuang menegakkan ad-din...

Aku mahu engkau hidup sebagai mujahidin yang sanggup berkorban nyawa demi mempertahankan agamamu.

Dan akhir sekali, aku mahu engkau mati sebagai syahid, seperti mana rakan-rakanmu yang gugur sebagai penghuni syurga kelak.

Anakku Aqil,

Setiap nafasmu adalah doa restuku. Membesarlah engkau sebagai manusia jujur. Allah sentiasa melindungimu, wahai Aqil anakku...

Selamat hari lahir.







Sunday, February 3, 2013

Cukur apa?

Salam cukur,

Pagi tadi Aqil ternampak pisau cukur di dalam bilik air ketika Pida sedang memandikannya.

"Pisau cukur siapa tu mak?" tanya Aqil ingin tahu.

"Mak punya....," Pida menjawab dengan selamba.

"Hah? Mak punya? Mak cukur apa?" soalnya lagi sedikit kaget.

"Eh...." Pida mula tersedar dengan pertanyaan dia. Takkan aku nak cakap aku cukur..... hoi! Cukur side burn la! Kau ingat aku cukur apa?

(Tapi wadehel aku cukur side burn?)

"Errr... pisau cukur tu abah punya la...." Pida berdalih.

"Oh.... abah punya... Eh? Abah pakai pink?"

Thursday, November 29, 2012

Aqil... Aqil...

Salam Aqil,

Hari ni Pida nak tulis pasal Aqil. Yang tak kenal Aqil tu, biar Pida bagitau. Aqil tu bukanlah skandal Pida atau bekas tunang Pida, tapi Aqil tu tak lain tak bukan ialah anak Pida sendiri. Anak kedua daripada tiga beradik.



Hai adik manis, saya Aqil. Umur saya baru 5 tahun . Tapi saya rasa saya sudah matang.


Dua tiga hari ni Aqil asyik merengek nak baby girl. Kau dah jemu dengan adik kau si Sufi tu ke? Apa tak jemunya, mula-mula kawan, berabang beradik bagai, bila tiba masa masing-masing menegakkan benang yang basah, habis disekel kepala. Aqil belasah Sufi, Sufi terajang Aqil. Haa elok la tu. Gaduh. Gaduh. Menang jadi abu, kalah jadi arang. Dua-dua aku jotos.

Aqil nak baby girl. Dia suruh mak dia beranak lagi. Eewah... kau ingat senang nak beranak? Nak mengandung senang la. Eh, kau apa tau? Kau belum kawen kan?

Baru-baru ni semasa majlis konvokesyen tadika, Aqil berjaya menerima anugerah Pelajar Aktif. Untuk pengetahuan kau, anugerah Pelajar Aktif ini telah dimonopoli oleh Aqil dua tahun berturut-turut.

Hebat anak aku. Pelajar aktif gitu. Tapi sebenarnya nama anugerah tu ialah Pelajar Paling Nakal. Eleh, mak taulah Aqil... cikgu kau tersasul pecah tembelang depan mak hari tu.

Hari tu lagi best. Aqil masuk ke dapur. Pida pun ada di dapur masa tu.

"Mak, nak mancis," katanya dengan girang.

"Hah? Ko nak buat apa dengan mancis? Bahaya tau tak main mancis. Rumah yang terbakar tu sebab dia main mancis tahu!" Pida membebel pot pet pot pet tanpa melihatnya kerana pada masa itu Pida sedang sibuk membancuh susu Sufi.

Si Sufi ni pulak tak habis-habis merengek mintak dukung la, nak tengok Ultraman la... 

"Mak, nak mancis," Aqil mengulangi ayat yang sama tetapi kali ini suaranya lebih perlahan dan lebih sayu.

"Aqil...!" Pida dah mula hangin. Pekebendenye nak main mancis pulak budak ni! Nak kena dia ni.... dan Pida pun menoleh ke arahnya seraya bersiap-sedia untuk menjotosnya. Tetapi rupanya...

"Oh, nak manggis...." sambil Pida melihatnya memegang sebiji manggis.


Lepas tu mak saya malu sebab dia tuduh saya nak bakar rumah.

Thursday, October 18, 2012

Majulah Sukan Untuk Negara : Sukaneka Tadika

Salam sukan,

Hujung minggu yang lalu, Pida menemani Aqil menjayakan hari sukaneka anjuran tadikanya. Sejak seminggu sebelumnya Aqil dah bersemangat menjalani latihan intensif bagi acara-acara penting yang belum dipertandingkan di peringkat olimpik iaitu lari membawa bola di ketiak, menarik bola dengan gelung dan mencari gula-gula di dalam tepung.


Acara dimulakan dengan perbarisan budak-budak tadika. Aqil mewakili pasukan kuning atau nama saintifiknya 'Matahari'.

Acara diteruskan dengan aktiviti senaman ringan untuk memanaskan badan. Yang ini adalah latihan untuk bergambar depan kamera (camwhore) untuk dijadikan profil Facebook. 


Ini latihan untuk menguatkan bahagian pinggul supaya dapat bertahan lama ketika goyang gerudi bila dah besar nanti. (Dari kecik dah dilatih goyang gerudi).



Ini pula adalah senaman untuk menghilangkan lenguh-lenguh bahu dan menguatkan otot agar menjadi pejal dan sasa seperti Malek Noor.


Yang ini pula adalah senaman errkk... asal ko terkinja-kinja begitu Aqil?


Acara pertama ialah membawa bola di ketiak dan memberikan bola itu ke ketiak kawan. Namanya ialah bola ketiak kata Aqil. Keputusan : Pasukan Aqil nombor corot.


Acara kedua ialah mem-pass-pass belon berisi air kepada kawan. Kawan yang last kena bawak belon tu ke dalam besen. Siapa belon paling banyak dia menang. Belon pecah akibat kena rumput tak kira. Tak boleh ngelat. Keputusan : Pasukan Aqil nombor corot.


Peserta berehat sebentar untuk memberi laluan kepada acara yang lain pula.



Acara untuk abah-abah. Iaitu tiup belon 3 kali dan pecahkan setiap satu. Abah Aqil tak ketinggalan menyertai acara ini bagi membuktikan kejantanannya. Yeah! Hidup abah! Jerit Aqil di dalam hati.


Abah Aqil meniup dengan bersungguh-sungguh dah penuh penghayatan. Kelihatan isteri dan anak kecil memberi sokongan padu tanpa kompromi kepada suami / abahnya.


Berkat didikan ibu dan bapa sedari kecil tentang cara-cara meniup dan meletupkan belon yang betul, akhirnya abah Aqil berjaya menjadi johan bagi acara tiup belon tersebut. Syabas abang! Abang telah membuktikan kejantanan abang! Pida menjerit penuh keharuan.


Kini tibalah acara yang sama untuk mak-mak pulak. Eh, macam kenal je sorang mak tu!


Sebaik wisel dibunyikan, semangat Usain Bolt terus meresap ke dalam diri Pida. Dengan pantasnya Pida berlari mendapatkan belon comel berwarna pink dengan harapan nak menang!


Dengan penuh iltizam, Pida pun mula meniup belon. Tapi, tiup-tiup tak kembang, tiup-tiup tak kembang. Pipi aku yang kembung dan lenguh. Hamjad punya belon.


Masa orang dah ke depan, masa tulah belon Pida baru nak kembang. Dah terlambat daa... orang lain dah menang dulu daa...


Masa ni Pida memang dah corot dah. Tapi demi semangat kesukanan, Pida teruskan juga. Laki Pida dah terbahak-bahak ketawa kat tepi. Yelah... awak terrer, kiter mana terrer buat kerja tiup ni.... Buekkkk!!! Namun Rania tetap setia memberi sokongan kepada emaknya. Terima kasih anakku. Akan kutebus kekalahanku, azam Pida di dalam hati.


Acara kanak-kanak diteruskan dengan pertandingan meniup belon berpasukan. Kena tiup belon sampai pecah. Masa belon tu pecah, Pida dengar Aqil melatah terperanjat, "O'mak!"


Lepas belon pecah, Aqil pun berlari seperti Watson Nyambek dan berjaya sampai dahulu ke garisan penamat.

Aqil sungguh gembira memenangi acara ini. Really rejoiced over it.


Selepas acara tiup belon, Aqil masuk pulak acara spongebob iaitu isi air ke dalam botol. Tengok tu dia bawak span berisi air.



Aqil memerah span dengan berhati-hati. Tu yang menitis tu ko ngeces* ke apa tu Qil? *ngeces - istilah bahasa jawa yang bermaksud air liur meleleh.


Dah tu Aqil berlari sekuat hati seperti dikejar anjing kembali ke kumpulannya.


Selepas itu Aqil tetiba kembali semula untuk mengisi air tetapi distopkan oleh Teacher sambil menyanyi  ♫♪Sudah cukup cukup sudah... cukup sampai di sini saja...♫♪


Seterusnya Aqil masuk acara membawa bola dalam gelung. Err... bawak bola? Ko bawak bola ke bawak angin tu Qil? Mana bola kau?


Laa.. bola dia tertinggal tadi rupanya. Laju sangat lari sampai bola terlepas.


Acara terakhir ialah mengutip gula-gula dalam tepung. Ya Allah anak aku. Rakus!


Cantik anak mak. Macam tepung gomak. Dah, gi basuh muka tu. Macam lotong.


Seterusnya ialah acara kedua untuk bapak-bapak mithali iaitu kerusi muzik. Pida panggil kerusi beracun, rupanya namanya ialah musical chair. Adakah abah berjaya mempertahankan kejuaraannya pada kali ini?


Oh, sayang sekali kerana nampaknya abah gagal memenangi acara ini sekaligus melenyapkan impian untuk merangkul anugerah Bapa Olahragawan. Abah tersingkir dalam pusingan top 4 (nombor 4 ler tu). Isk, isk, isk... Kelihatan juga si isteri yang terkangkang sambil ketawa kerana terlalu geli hati melihat kekalahan suaminya yang gagah itu.


Kali ini acara kerusi muzik untuk para ibu pula. Sebagai seorang yang kaki bangku, hanya acara inilah yang selayaknya Pida sertai. Inilah peluangku untuk menebus kekalahan lalu, bisik Pida penuh semangat. Tidak ketinggalan ialah Rania sebagai alumni menyertai acara ini.


Oh, sayang seribu kali sayang kerana Rania sudah tersingkir awal-awal lagi akibat gagal merebut kerusi panas. Abah dia jerit dari tepi, "Bagilah kat anak tu... mengalah la..." Eh, eh, mana boleh bagi kerusi kat Nia. Dalam pertandingan kena ada sifat kiasu, baru boleh menang! Dan Pida memang kiasu pun hua hua hua.


Nampaknya Pida bermain dengan baik sekali setakat ini. Habis bontot orang aku senggol tak kasi duduk kat kerusi tu.


Top 3!


Eh cewah... macam berzapin pulak gayanya. Siap senget-senget badan tu yang tak tahan tu. Macam orang berpencak pun ada jugak. Yang penting Pida masih kekal hua hua hua.


Pusingan penentuan yang mendebarkan. Antara aku dan dia, siapa juara?


HAH! SIAPA JUARA?






DAN JUARANYA IALAH......

:
:
:
:
:
:
:
:
:
:
:
:
:
:
PIDAAAAAAAAA!!!!!


Yeaaa!!!





Muka puas.

Yes, Alhamdulillah akhirnya Pida menang jugak satu acara. Tak la Rania dan Aqil malu mak dia kalah masa acara tiup belon mula-mula tadi. Haha, bukan nak menang sangat pun, nak tengok budak-budak happy je. Kemain melompat bila mak dan abah dia menang.


Yea yea dapat hadiah.

Kira-kira pukul 11 pagi,  kembalilah kami ke rumah selepas membawa pulang banyak hadiah termasuklah hadiah cabutan bertuah iaitu taperware. Puas la makan hadiah balik tu. Memang seronok sangat dapat mengambil bahagian dalam sukaneka tadika Aqil. Inilah masa kualiti yang ada untuk meluangkan lebih masa bersama anak-anak.

Yang penting, kami gembira. Walaupun penat.


Belanja aiskrim yogurt.


Sufi berlatih untuk tahun depan.


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...