Tuesday, August 27, 2013

Catatan hari lahir untuk anakku Aqil yang kukasihi

Salam hari lahir,

Alhamdulillah, hari ini genap Aqil 6 tahun. Sayangnya Pida tidak berada di sampingnya pada hari gembira ini kerana Pida berkursus di luar daerah.

Namun Pida tidak pernah lupa untuk mendoakan yang baik-baik untuk anakanda yang seorang ini apatah lagi pada hari jadinya.

Buat Aqil, berikut mak nukilkan sebaris harapan dan impian buat dirimu untuk kaujadikan pedoman dan pegangan di sepanjang hidupmu.

Aqil anakku,

Aku mahu engkau terus menikmati kegembiraan yang sedang kaurasai sekarang ini. Aku tidak mahu kau merasa sedikitpun kesusahan dan kedukaan kerna kau hanya layak mendapat yang indah-indah sahaja.

Namun engkau pasti tidak akan terlepas daripada merasai bebanan kehidupan dalam setiap segi jua. Itulah hakikat kehidupan, anakku.

Oleh itu, aku tidak mahu engkau lalai dan leka dengan kesenangan yang kaunikmatsi saat ini. Aku mahu engkau sentiasa bersyukur dengan setiap anugerah dan kegembiraan yang sedang berada dalam dakapanmu.

Anakku Aqil,

Engkau berhak mendapat segala-galanya di alam yang fana ini. Asalkan engkau berusaha, engkau pasti akan berjaya. Tapi jangan sesekali engkau lupa, untuk apa kehidupan yang sementara ini sebenarnya.

Aku mahu engkau hidup dengan seribu kemenangan, dengan seribu kejayaan dan dengan seribu kesedaran. Aku mahu engkau hidup kerana mengejar akhirat yang kekal. Aku mahu engkau berusaha untuk menggapai syurga yang dijanjikan kepada hamba-hambaNya dengan mentaati segala perintahNya dan menjauhi setiap laranganNya.

Anakku Aqil,

Aku mahu engkau hidup sebagai seorang yang berjuang mempertahankan maruah dirimu, maruah keluargamu, bangsamu dan tanah airmu... dan yang pastinya aku mahu engkau hidup kerana berjuang menegakkan ad-din...

Aku mahu engkau hidup sebagai mujahidin yang sanggup berkorban nyawa demi mempertahankan agamamu.

Dan akhir sekali, aku mahu engkau mati sebagai syahid, seperti mana rakan-rakanmu yang gugur sebagai penghuni syurga kelak.

Anakku Aqil,

Setiap nafasmu adalah doa restuku. Membesarlah engkau sebagai manusia jujur. Allah sentiasa melindungimu, wahai Aqil anakku...

Selamat hari lahir.







3 comments:

  1. selamat hari jadi aqil! :)

    ReplyDelete
  2. Selamat hari lahir Aqil yg ke 6 tahun.
    sama tarikh dgn anak sulong saya

    ReplyDelete
  3. Terima kasih cikCT dan cikgu :)

    ReplyDelete

Oh, tak sangka ada yang sudi komen... terima kasih!

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...