Sunday, March 31, 2013

Kesan 24k gold facial tidak semewah emasnya

Salam emas,

Hari itu Pida bercuti. Orang lain kerja tapi Pida cuti. Saja-saja cuti sebab dah lama tak ambik cuti rasanya.

Eh, tapi bukan saja-saja juga Pida cuti. Sebenarnya Pida nak pergi berurut badan sebab dah seminggu tengkuk dan tulang belikat Pida sakit-sakit. Tak taulah pasal apa kali ini, nak kata salah bantal lagi rasanya bukan. Mungkin sebab haritu angkat kotak kot...

Lepas hantar budak-budak ke taska, Pida pun terus menuju ke sebuah spa. Dulu Pida pernah berurut di sini. Harganya RM75 untuk urutan seluruh badan selama sejam.

Tempat diriku dibelai oleh dayang. Kusangka ku dapat tidur dengan nyenyak saat diurut, tetapi rupanya kumenjerit-menjerit kesakitan kerana badanku banyak angin pus-pus.

Sebaik sahaja tukang urut itu menyentuh tapak kaki Pida, dia terus sendawa dengan kuat. Burrpp.... burrppp... dah macam harimau mengerang pulak bunyinya. Dia kata Pida banyak angin. Yelah tu kot... sebab tu badan rasa sakit-sakit.

Sepanjang kena urut tu, Pida menjerit-jerit kesakitan terutama bila kena urat yang bengkak disebabkan angin tu. Sakit sangat rasanya bila dia urut tulang belikat dan kaki. Pida pun dapat rasakan biji angin kat badan Pida tu memang dah besar sangat.

Selepas habis berurut, badan masih terasa sakit lagi. Sakit sebab diurut dengan kuat tadi. Tapi sakit tengkuk dan tulang belikat sudah semakin baik walaupun tidak sepenuhnya. Dah boleh la toleh kiri kanan dalam sudut 90 darjah dari pandangan depan.

Selepas itu, beautician di spa tersebut menawarkan rawatan muka emas 24 karat kepada Pida. Sebelum ni Pida memang dah banyak dengar dan baca tentang rawatan 24k gold facial ni. Pernah la jugak rasa teringin nak buat, sebab ia nampak menarik dan unik. Manalah tau kot-kot lepas buat rawatan ni muka Pida jadi cantik jelita macam muka Neelofa.

Mula-mula Pida tak nak, sebab harga dia mahal iaitu RM220, namun lepas tu Pida fikir, bila lagi Pida nak manjakan diri? Dah alang-alang cuti ni biarlah Pida luangkan masa untuk diri sendiri. Jadi, Pida pun buatlah 24k gold facial ni.

Rawatan asas sama macam facial yang lain iaitu cuci, skrub, toner, masker dan steam. Tapi untuk rawatan gold facial ini, ada tambahan sikit iaitu sapuan gel wajah selepas proses steam. Masa ini beautician melakukan urutan naik seri wajah. Tujuannya adalah untuk melancarkan peredaran darah pada muka dan keseluruhan bahagian kepala agar menyerlahkan wajah yang lebih segar dan awet muda.

Selepas selesai urutan naik seri wajah, barulah beautician meletakkan masker gold 24 karat ke muka Pida. Pida bayangkan masker emas tu adalah seperti yang selalu Pida lihat di internet iaitu masker emas berkilat.


Pida ingat gold facial tu macam ni. Tempek masker emas sekeping-keping.

Atau macam ni. Penuh dengan serbuk emas 24k.

Tapi rupa-rupanya masker gold tu cair macam masker biasa. Dia tepek gitu aje, lepas tu bila dah kering sikit, dia tepek lagi dengan  hirisan timun. Pida juga diberikan rawatan mata yang bertujuan untuk menyegarkan bahagian bawah mata dan mengurangkan eye bag. Kemudian, masker gold yang dah kering itu dibersihkan dengan menggunakan tomato. Gambar ni aku buat camwhore sendiri. Nasib baik mata tak terbeliak.

Selepas lebih sejam, akhirnya selesailah rawatan gold facial tersebut. Jangkaan Pida ialah kulit muka Pida akan menjadi super duper anjal dan mengancam selepas rawatan ini, maklumlah muka dah taruk emas. Tapi Pida dapati kesannya biasa saja, tak ada apa yang terlalu berbeza antara sebelum dan selepas rawatan.

Pida ni kaki facial. Pida dah pernah cuba rawatan muka crystal peeling (microdermabrasion), rawatan laser, rawatan vitamin c, rawatan pemutihan dan rawatan age-lifting dan kini rawatan 24 karat gold.

Namun dalam banyak-banyak rawatan facial yang Pida dah cuba, microdermabrasion (buang sel kulit mati untuk memberi laluan kepada pertumbuhan sel kulit yang baru) adalah rawatan facial yang paling berkesan. Kesannya boleh dilihat serta-merta sejurus selepas habis rawatan. Kulit muka jadi sangat licin, bersih, putih mulus dan tidak merengsakan. Harga pun tak mahal sangat, kurang daripada RM100 bergantung kepada spa.

Jadi, untuk rawatan facial 24k gold ini, Pida boleh katakan bahawa kesannya tidaklah sehebat namanya, apatah lagi harganya. Di spa lain ada yang lebih mahal, menjangkau RM300 untuk sekali rawatan. Tapi Pida tak menyesal, sebab sekurang-kurangnya Pida dah mencuba dan merasai pengalaman baru seperti ini.

Tapi mungkin, Pida kata mungkin kesan optimum daripada rawatan 24k gold ini dapat dirasai selepas melakukannya beberapa kali. Mungkin selepas 4 atau 5 kali rawatan, wajah akan betul-betul menjadi indah dan awet muda. Tapi modal la yang tak sanggup tu.


Ini gambar camwhore sehari selepas rawatan gold facial itu. Memang sengaja ngadap matahari supaya nampak kulit Pida yang sebetulnya. Pida cuma pakai pelembap dan bedak bayi yang dah cair dek panas matahari. (Pida kan jenis tak bersolek). Kalau lepas buat microdermabrasion, kulit jadi lebih putih daripada ni. Ceh macam la kulit aku putih sangat.


Nanti bila orang tanya siapa dah pernah buat rawatan emas 24 karat.... bolehlah Pida angkat tangan! (Kejadah orang nak tanya cenggitu).


Saturday, March 30, 2013

TNB Batu Pahat tolonglah jangan buat macam ni lagi.

Salam TNB,

Minggu lepas Pida balik kampung kerana berhajat untuk memenuhi undangan walimatul urus rumah sedara Pida pada hari Ahad. Jadi, hari Sabtu tu kitorang bercadang duduk kat rumah je temankan Ab.

Tapi malangnya Ab kata, TNB ada bagi notis kepada penduduk beberapa taman di bandar Batu Pahat bahawa hari Sabtu itu akan berlaku gangguan bekalan elektrik bermula dari jam 10 pagi hingga 7 petang untuk kerja-kerja penyelenggaraan.

Hah..? Blackout lagi! Sabtu hari tu yang Pida balik tu pun blackout seharian jugak, dari pukul 10 pagi sampai ke pukul 6.30 petang. Kau cubalah bayangkan situasi Pida ni : sekali-sekali balik kampung, hajat di hati nak duduk di rumah saja, tapi takde karen sepanjang hari!

Bengkek tak? Pida rasa bengkek sangat. Ini bukan kali pertama hari Sabtu penduduk bandar Batu Pahat takde elektrik. Yang lebih menyakitkan hati, dari pukul 10 pagi sampai pukul 6.30 petang hokay! Bayangkan betapa lamanya tempoh itu dan betapa bosannya aktiviti di rumah tanpa kemudahan elektrik.

Sebenarnya Pida tak kisah sangat kalau takde karen ni. Tapi kalau bekalan asas ini ditiadakan (walaupun dengan notis) pada hari ahli keluarga nak berkumpul di rumah, dan dari pagi sampai lewat petang, tak salah kalau Pida rasa marah dengan TNB. Kalau gangguan sampai pukul 2 petang je Pida boleh terima lagi.

Kemon la TNB, agak-agak la nak ganggu kami pun.... Kami hargai dan hormati kerja anda, kerana kami memang bergantung pada anda untuk lampu kalimantang dan kipas angin kami, tapi tolonglah jangan 'kejam' sangat potong bekalan sepanjang hari.

Dan tolong jangan bagi alasan suruh kami yang terjejas ni supaya berjimba di luar bersama keluarga. Masa kualiti hari Sabtu sebenarnya nak dihabiskan di rumah sahaja. Kalau keluar, pasti, gerenti, berani kerat kuku la... mesti kena keluar duit jugak walaupun untuk beli aiskrim batang.

Pukul 2.30 petang tu Pida call 15454. Pida dah geram dengan TNB ni. Pida bagitau kat kakak helpdesk tu supaya lain kali jangan potong elektrik hari Sabtu lagi. Pida bagitau dia, ini bukan Sabtu pertama TNB buat macam ni. Dan kakak helpdesk tu pun maklumkan pada Pida bahawa dah ramai pengguna dari taman berdekatan Pida log report tentang gangguan bekalan elektrik pada hari itu.

Untuk TNB, tolonglah jangan buat kerja hari Sabtu dan Ahad ye. Staf kau orang pun nak cuti jugak kan? Diorang pun nak rehat dengan anak bini jugak kan?


Pida hargai pengorbanan abang-abang TNB memberikan sinar cahaya kepada kehidupan Pida, tapi... agak-agak arrr! Takkan hari Sabtu pun kerja sampai menjejaskan kami pulak!


Last-last Pida bawak jugak anak-anak keluar carik tempat sejuk. Tengok si Sufi tu, kecik-kecik dah nak main tikam-tikam. Mak dulu tak pernah main tikam-tikam. Pergi fun fair pun tak pernah. Dengar cerita orang aje.

Dah tak tau nak ke mana, sebab takde niat pun nak keluar jalan-jalan. Last-last kitorang gi karok. Nyanyi lagu mesra kanak-kanak je seperti Anak Kampung, Balik Kampung, Cari Jodoh, Tobat Maksiat, Kosong, Cinta Muka Buka dan Akulah Kekasihmu.

Ye ye orr je si Rania ni menyanyi. Ke mana tumpahnya kuah kalau tidak ke nasi kan? Ngeh ngeh ngeh. Ini semua salah TNB.

Lepas sejam melalak, Pida pun bawak budak-budak ni pegi Odeon untuk makan. Maklumlah, lepas menyanyi stamina dah kurang kan... haruslah dipulihkan dengan makanan dan minuman.


Mee bandung.

Rojak manis.

Otak-otak. Sedap giler otak-otak ni.

Otak-otak ni memang dihantar ke meja-meja pelanggan. Sebatang lima posen. Tapi memang sedap la. Dia tak pedas sangat.
Sufi minum air kegemaran Pida iaitu air cikong. Tapi orang sekarang sebut laicikang.


Kami keluar pukul 3 petang, balik rumah pukul 6 petang. Masih takde karen! Ya Allah sabor jelah!


Monday, March 25, 2013

Ke makam bonda di hari jadinya

Selamat hari jadi, mak...

Hari ini hari jadi mak. Sepatutnya usia mak menjangkau 60 tahun hari ini. Namun Allah lebih menyayangimu; lebih daripada kami semua. Mak telah pergi buat selama-lamanya meninggalkan kami semua.

Selamat hari jadi, mak...

Sehingga ke hari ini, Pida masih menangisi kehilangan ini. Cepatnya mak pergi meninggalkan kami yang saban waktu dilambung ombak rindu tidak menentu.

Selamat hari jadi, mak...

Hadiah apalah yang mampu Pida kirimkan tika ini selain doa dan ayat-ayat suci. Terimalah hadiah iringan ini yang ikhlas dari hati.


Semoga mak juga teduh di sana.

Ke Makam Bonda

Kami mengunjungi pusara bonda
Sunyi pagi disinari suria
Wangi berseri puspa kemboja
Menyambut kami mewakili bonda


Tegak kami di makam sepi
Lalang-lalang tinggi berdiri
Dua nisan terkapar mati
Hanya papan dimakan bumi


Dalam kenangan kami melihat
Mesra kasih bonda menatap
Sedang lena dalam rahap
Dua tangan kaku berdakap


Bibir bonda bersih lesu
Pernah dulu mengucupi dahiku
Kini kurasakan kasihnya lagi
Meski jauh dibatasi bumi


Nisan batu kami tegakkan
Tiada lagi lalang memanjang
Ada doa kami pohonkan
Air mawar kami siramkan


Senyum kemboja mengantar kami
Meninggalkan makam sepi sendiri
Damailah bonda dalam pengabadian
Insan kerdil mengadap Tuhan


Begitu bakti kami berikan
Tiada sama bonda melahirkan
Kasih bonda tiada sempadan
Kemuncak murni kemuliaan insan


~Usman Awang


Wednesday, March 20, 2013

Memimpikanmu

Salam mimpi,

Malam tadi Pida terasa rindu yang amat terhadap mak. Sampai Pida update status kat facebook menyatakan rindu Pida itu.

Selalunya tatkala rindu menjengah diri, Pida akan membacakan surah Al-Fatihah untuk disedekahkan pahalanya kepada mak. Pida baca dengan mata terpejam dan jiwa yang khusyuk; seolah-olah Pida memberi hadiah kepada mak yang sedang menadah tangan menerimanya.

Dan selalunya juga, tika rindu datang, air mata pasti mengalir. Pada saat itu tergambar semula saat-saat sedih mak menghembuskan nafas terakhir di sisi ab dan kami semua. Pida dapat merasakan bahawa Pida masih lagi menggenggam erat dan mencium tangan mak.

Malam tadi adalah malam Pida yang berbahagia. Mak hadir lagi di dalam mimpi. Seronoknya Pida berbual-bual mesra dan rancak dengan mak, maklumlah sudah lama tidak bersua. Namun mak tidak bercakap sepatah pun.

Mak hanya tersenyum dan tersenyum. Seolah-olah mak terhibur sangat dapat mendengar cerita Pida.

Namun akhirnya Pida tersedar. Oh, rupanya hanyalah mimpi. Tapi Pida rasa puas juga sebab dalam kerinduan ini, dapat juga Pida 'bertemu' dengan mak walaupun hanya di alam mimpi.

Buat mak yang dirindui, Al-Fatihah.


Monday, March 18, 2013

Anakku Sufi telah memotong rambutnya

Salam rambut,

Semalam Sufi potong rambut. Ye, betul. Rambutnya yang macam Albert Einstein tu telah dipotong semalam.

Pada mulanya Sufi berkeras tak mau potong rambut. "Tuti atut," katanya yang bermaksud 'Sufi takut'. Entah apa yang ditakutkan tidak pula dapat dipastikan.


Kalau mak potong rambut Sufi, Sufi fire mak. Sufi serius ni. Sufi dah belajar cara-cara fire orang daripada Ultraman Mebius.

Puas Pida pujuk dari minggu lepas. Sufi potonglah rambut, dah serabai sangat tu mak tengok. Selekeh la nak... Potong rambut ye...

Sufi ingat tak hari tu ada mak cik tu cakap Sufi ni perempuan? Kita potong rambut ye nak...


Nehi!


Sufi ingat tak hari tu nyonya tu ambikkan baju tidur renda-renda untuk Sufi bila mak nak belikan Sufi baju? Dia ingat Sufi perempuan. Kita potong rambut ye nak...

Nehi!


Sufi ingat tak hari tu ada orang nak belikan Sufi skaf rambut reben-reben? Dia ingat Sufi perempuan. Kita potong rambut ye nak...

Nehi!







Yennadeyyyy!!!!!

Ammaaaaa!!!

Appaaaa!!!

Niaaaa!!!!

Alololo.....

Sufi tetap baby mak yang comel...



Saturday, March 16, 2013

Telah pergi Pida ke Hari Kraf Kebangsaan 2013

Salam kraf,

Hari Kraf Kebangsaan (HKK) 2013 baru sahaja berlangsung. Pida turut tak ketinggalan mengunjungi pameran dan jualan bagi acara tahunan ini yang diadakan di Kompleks Kraf Jalan Conlay, KL.



Walaupun Pida tak berapa meminati barangan kraftangan tradisional, namun Pida seronok juga dapat bersama-sama pengunjung lain merasai kemeriahan Hari Kraf Kebangsaan yang diadakan ini. Pida pergi bersama kawan-kawan opis, naik van opis, dari opis.

Bagi pengunjung yang datang berkumpulan secara rasmi dari agensi-agensi atau rombongan Kak Peah, senarai nama sudah diberikan terlebih dahulu kepada pihak penganjur. Tujuannya ialah untuk memberikan perkhidmatan pemandu acara yang akan membawa rombongan tersebut ke tempat-tempat utama seperti muzium kraf dan dewan pameran utama.

Selain itu, yang paling best ialah pihak Kraf Malaysia memberikan pek cenderahati kepada pengunjung berkumpulan yang berdaftar ini berupa buku program, air mineral, kek muffin dan hadiah kraftangan penanda buku.





Mari Pida bawak kau berjalan-jalan di sekitar pameran HKK 2013. Yuk!

Ini pintu masuk utama ke dewan pameran. Cantik. Berukir-ukir gitu. Penampakan unsur tradisional jelas kelihatan di situ.

Ukiran berat dan sarat menghiasi siling ruang pameran, menyerlahkan kemewahan seni tradisi ukiran Melayu.




Antara pameran yang dipertontonkan ialah hasil kraf yang telah diiktiraf oleh Unesco sebagai warisan kraf dunia. Hasil-hasil yang diiktiraf ini datang dari seluruh dunia dan pengujung berpeluang menyaksikannya di pameran Hari Kraf Kebangsaan 2013 ini.


Antara warisan kraf dunia yang dipamerkan
Pakaian yang indah ini adalah hasil buatan tangan.










Ini gerai cenderamata. Pengunjung boleh membeli barangan kraf seperti pasu porselin dan barang perhiasan rumah di sini. Pida tak membeli apa-apa, masuk pun tidak. Ambik gambar dari jauh suda!

Ini pun kedai cenderamata jugak. Kat sini lagi banyak barang. T-shirt, keychain, fridge magnet, bunga-bunga, barangan kaca dan macam-macam lagi barangan yang semuanya cantik-cantik belaka. Dan agak mahal juga. Tak mampulah Pida nak membelinya.

Ini ialah labu sayong gergasi. Ia digunakan oleh mak gergasi untuk mengisi air minuman bagi kegunaan keluarga gergasi. Anak gergasi dengan mudahnya menogok air dari labu sayong gergasi ini seperti anak manusia menogok botol susu.

Di sebelah labu sayong gergasi itu terletak muzium yang menempatkan bahan pameran dan artifak barangan tembikar dan tanah liat. Namun pengunjung tidak dibenarkan mengambil gambar; cukup dengan merakamkan segalanya dengan kamera minda. Wah.

Macam-macam ada di HKK 2013 ini. Antara yang paling menarik perhatian Pida ialah keris warisan Melayu ini.

Ini ialah keris pelbagai jenis yang dibawakan khas ke HKK 2013 ini oleh Mateng Sasro Enterprise yang bertempat di Bukit Piatu, Melaka. Pemiliknya adalah lelaki yang gagah perkasa itu iaitu Encik Abdul Rahman Mohamad (Encik glamour tau masuk blog saya!)



Macam-macam jenis keris, pisau dan parang ada. Nak sembelih lembu, nak potong bendi, nak cukur janggut, waima nak pancung kepala orang pun ada jual.

Keris bersarung perak. Pida tak pasti sama ada keris-keris ini adalah untuk dimaharkan ataupun tidak. Jika ya pun untuk dimaharkan, mesti nilainya sangat tinggi mencecah ribuan ringgit.


Keris luk 1 ini sungguh cantik. Menurut En. Abdul Rahman, pada zaman dahulu keris bertinta emas seperti ini hanya digunakan oleh sultan-sultan sahaja. (Pakcik memang ada gaya-lah!)

Pedang.
Pedang juga (dari booth pameran bersebelahan).

Kau tau apa nama senjata ni? Ini namanya tekpi. Pida pun baru tau bahawa dunia Melayu ada senjata bernama tekpi ni. Kau ingat ringan macam remote astro? Berat ooo... yang En. Abdul Rahman pegang ni beratnya lebih daripada 10 newton.

Keris-keris ini adalah keris yang pernah masuk pertandingan (dari booth bersebelahan). Pertandingan apa kautanya? Pertandingan keris la, takkan pertandingan bayi comel pulak.


Ok, habis cerita keris. Penghargaan dan terima kasih untuk Encik Abdul Rahman kerana sudi melayan Pida yang banyak keletah bertanya itu ini. Dahlah tu, sekejap aku panggil beliau encik, sekejap panggil pakcik. Nasib baik aku tak kena hayun dengan tekpi :p

Kita tengok apa lagi yang ada di pameran HKK 2013 ini.


Barangan tembaga. Buaya tembaga tidak termasuk dalam senarai barang pameran ye.







Sebenarnya banyak lagi bahan pameran seperti batik yang ditempatkan khas di satu khemah. Tetapi oleh kerana Pida tak minat batik (sama ada pakaian batik mahupun produk daripada batik), maka Pida cuma jalan sekali lalu aje kat kawasan batik tu. Gambar pun tak sempat nak ambik. Banyak sangat booth sampai rasa sengal kaki nak berjalan.

Ada juga khemah khas yang menunjukkan demonstrasi masakan dan cara pembuatan kuih tradisional seperti kuih cakar ayam, kuih koya, bubur sum sum, kuih bakar dan pelbagai lagi. Tapi Pida cuma beli kambing bakar je sebab favourite Pida ialah kambing. Kalau dapat makan kambing tu memang heaven la Pida rasa.

Selepas lebih 2 jam berada di sini, akhirnya Pida pulang. Best jugak dapat bersama-sama memeriahkan HKK 2013 ni. Bagi kau yang tak berkesempatan mengunjungi HKK 2013 ini, in shaa Allah tahun depan ada lagi. Tapi kalau tak pergi pun tak rugi pun... hahaha. Jahatnya kamu.

Kraf Malaysia - kebanggaan kita.



Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...