Tuesday, March 12, 2013

7 tahun yang tidak puas

Salam puas,

Sudah genap 7 tahun Pida berkhidmat dalam bidang ICT di jabatan Pida ni. Lama kan? Kalau budak dah naik darjah satu dah. Kalau pasangan berkahwin mungkin dah ada anak 2-3 orang. Kalau buat PhD dah lama grad jadi doktor. Err... ada ke orang buat PhD sampai 7 tahun?

Bercerita tentang kepuasan, terus-terang Pida cakap, Pida tak dapat mencapai kepuasan dalam kerjaya yang Pida ceburi ini. Pelik tapi benar. Sejak tahun pertama Pida merasakan bahawa bidang ICT bukanlah jiwa Pida.

Jadi mengapa Pida memilih laluan ini?

Kalau nak diungkit kembali kisah silam, memang la panjang nak diceritakan. Sebenarnya selepas habis SPM dulu, Pida tak tau nak pilih laluan kerjaya sendiri. (Pida tak dapat terus masuk universiti sebab spm Pida tak cemerlang - buwekkk).

Masa tu Pida minat bidang grafik komputer, jadi Pida pun masuklah ke sebuah kolej komuniti untuk mengambil kursus sijil grafik komputer ini. Best giler dapat belajar grafik; guna photoshop, belajar free-lance drawing, buat arca, bina klip video dan macam-macam benda grafik lagi.

Pida belajar sampai habis dan dapat sijil. Tapi mak dan ab suruh sambung lagi sebab takkan nak hidup dengan sijil je... Jadi sekali lagi Pida buntu nak pilih laluan kerjaya. Ingat nak further bidang grafik ni, tapi masa tu macam takde mood pulak.

Masa ni Pida serahkan sepenuhnya pada mak untuk buat keputusan bagi pihak Pida. Sebab Pida percayakan mak, dan Pida tahu kalau mak yang pilih tu mesti yang terbaik. Alhamdulillah memang selalunya pilihan mak adalah yang paling cocok untuk Pida.

Maka terjunlah Pida akhirnya ke dunia ict; hasil homework dan nujuman mak Pida bahawa bidang ini mempunyai prospek kerjaya yang cerah dan terjamin. Pida melanjutkan pengajian diploma dalam bidang sains komputer dan seterusnya meneruskan pengajian ke peringkat ijazah di upm.

Tapi nak ceritalah juga kan... sebenarnya sepanjang tempoh belajar tu Pida memang tak minat sangat sebenarnya. Sebab tu untuk menutup kebosanan, Pida ambil subjek Bahasa Sepanyol sebagai elektif. Memang Pida study hard la orang kata subjek ni sebab minat punya pasal.  Dan subjek kegemaran Pida di universiti ialah Bahasa Inggeris dan Bahasa Melayu.

Selepas tamat pengajian, maka bermulalah kerjaya Pida dalam bidang ict dalam sektor awam... sehinggalah ke hari ini sudah menjangkau 7 tahun. Namun....

Namun jauh di sudut hati, bukan ini yang Pida mahukan sebagai kerjaya. Malah ketidakserasian ini telah mula Pida rasai sejak menerima surat arahan melapor diri daripada JPA lagi. Pida pujuk diri sendiri, pergi sahaja, ini rezeki, ini ketentuan, inilah jalan terbaik... Pida terus pujuk dan pujuk sampai ke tahap sekarang Pida tidak boleh dipujuk lagi.

Jadi apa sebenarnya minat dan kecenderungan Pida? Sampai dah rasa tak boleh blah dengan bidang kerjaya sendiri? Apa teruk sangat ke kerja ict ni?

Tak adalah teruk sangat. Tugas Pida pun bukan terperuk kat satu cabang aje... Pida buat rangkaian, sistem, server termasuklah deal dengan tender / sebut harga perolehan aset dengan kementerian dan pihak vendor/prinsipal. Kira graf kerja tu dinamik la, bukan statik aje.

Tapi kalau dah nama tak minat tu, tak minatlah! Bila dah tak minat, tak datang kepuasan yang diharapkan. No job satisfaction. Dan itu adalah suatu kerugian bagi seseorang employee seperti Pida kerana tidak merasakan nikmat kerjaya yang diceburi.

Kerana Pida percaya, kepuasan kerjaya adalah kunci utama seseorang itu memperoleh rasa gembira dan rasa gembira itu pula adalah kunci utama seseorang itu hidup bahagia.

Bercakap soal minat pula, sebenarnya Pida meminati bidang bahasa, sastera dan seni. Haa.. nampak tak pertembungannya di situ? Orang yang cenderung dalam bidang seni seperti Pida mempunyai jiwa yang halus, tetapi apabila sudah berkecimpung dalam bidang ict yang serba-serbi teknikal, ia bagaikan satu perlawanan dalam diri sendiri.

Selepas 7 tahun inilah, baru Pida betul-betul pasti bahawa ict bukanlah jiwa Pida. Pida tahu mesti ada yang cakap, apa susah, hantarlah cerpen, novel atau sajak ke publisher. Atau jadi model sambilan. Tapi bukan itu maksudnya... maksud Pida ialah kepuasan kerjaya, bukan hobi.

Tapi apa nak buat, memang inilah kerjaya yang menjadi punca rezeki Pida selama ini. Suka atau tidak, inilah kerja Pida setiap hari. Kalau nak tukar skim boleh saja, tapi kenalah ambil ijazah dalam bidang lain pula.

Tak apalah, Pida berdoa semoga minat Pida akan bercambah jua dalam bidang ict ini. Dan jangan salah faham, Pida tidak sesekali menyalahkan mak atas keputusannya yang membawa Pida ke arena ini. Malah Pida bersyukur sangat, kalau bukan kerana mak, entah apalah yang jadi pada Pida sekarang.

Mungkin lebih teruk. Sekurang-kurangnya Pida ada sebuah kerja yang setaraf dengan kelulusan dan dengan gaji yang diperolehi, Pida dapat menikmati kehidupan dengan sempurna. Alhamdulillah...

Jadi, sekarang ni, Pida teruskan dengan rutin seperti biasa. Tujuan Pida luahkan perasaan ini pun sebagai terapi buat Pida sendiri. Pida meluahkan apa yang Pida rasakan dalam diri ini. Pida tak nak menipu diri Pida sendiri.

Kepada adik-adik yang sedang mencari hala tuju, tanyalah diri sendiri, apa yang betul-betul diminati. Jangan terlalu terikut-ikut arus perdana, atau kursus yang popular sahaja. Hanya hati kecil kita yang tahu haluan dan minat kita yang sebenarnya.

Sebaik-baiknya buatlah kajian dan perbandingan laluan sesuatu kerjaya itu dengan cara bertanya orang atau kaunselor. Tetapi apa-apapun, listen to your heart!


Hanya kita sendiri yang mengerti keinginan sebenar hati.






No comments:

Post a Comment

Oh, tak sangka ada yang sudi komen... terima kasih!

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...