Showing posts with label ab. Show all posts
Showing posts with label ab. Show all posts

Monday, January 6, 2014

Memori bersama cempedak

Salam cempedak,

Hari ini Pida dapat rezeki buah yang telah lama Pida cari-cari semenjak dua menjak ini iaitu buah cempedak.





Nak tau tak, masa zaman Pida sekolah-sekolah dulu kan, Pida ni terkenal sebagai anak tokey cempedak tau. Masa tu ab baru je pencen. Jadi masanya banyak dihabiskan dengan mengerjakan kebun buahnya.

Buah yang ada di kebun ab pada masa tu ialah seperti durian, rambutan, limau kasturi, duku, sukun dan yang paling banyak - cempedak. Duku dan sukun pun puas jadi jajan kitorang dulu.

Masa tu memang hidup kitorang bergelumang dengan cempedak aje. Cempedak kat kebun tu ab tanam sendiri, Alhamdulillah berkat tangan sejuk ab tu, buah cempedak yang terhasil tu adalah dari gred AAA!

Isinya masya Allah... orang jawa kata kandhel. Gamol. Tebal. Padat. Manis dan bersari. Berjus sampai kadang-kadang menjejes-jejes ke tangan. Ada yang kuning ada yang oren. Sedapnya nauzubillah... eh sesuai ke?

Oleh kerana terlalu banyak, maka puaslah ab membahagi-bahagikan cempedak itu kepada saudara-mara, jiran-jiran, kawan-kawan dan sesiapa yang murah rezeki.

Sampai satu tahap ab dah puas kasi-kasi kat orang, orang pun dah muak agaknya, ab pun jual!

Cara ab jual senang aje. Sumbat cempedak-cempedak yang masak ranum tu ke dalam boot kereta dan ab berniaga di pasar tani yang berdekatan dengan rumah.

Nak tau bagaimana sambutan terhadap cempedak ab? Laku seyh...!!! Tak sampai dua jam dah habis satu boot penuh.

Lagipun ab jual murah giler... cempedak besor-besor gaban tu ab jual dalam singgit ke dua ringgit je. Mana tak berantu orang membelinya. Barang baik harga murah. Ini macam manyak lugi oooo...

Tak... tak rugi pun. Ab cakap ab jual bukan nak kaut untung banyak-banyak, tapi nak menghabiskan cempedak yang banyak setelah dah tak terbahagi pada orang. Lagipun ab berniaga sambil bersedekah katanya.

Itu kisah lama dulu. Kisah 20 tahun dahulu. Sekarang kebun cempedak tu ab dah jual sebab ab dah tak larat nak maintain. Ab dah tua, nak gaji orang pun bukan tak mampu, tapi sebab kebun tu terletak di Kluang, maka susahlah sikit ab nak ke sana sekarang. Dulu kudratnya 100%, sekarang ye dah kurang.

Berbalik pada cerita cempedak yang Pida dapat tadi.



Dulu masa tengah hot jadi anak tokey cempedak, taknak belajar cara kopek. Ab kopek dulu cantik aje... kemas aje... siap boleh tarik batang tu keluar sempurna dengan isi dia. Tengok la cara Pida kopek. Isi bercerai dari batang.


Serius cempedak ni tak dapat lawan cempedak ab. Ya Allah rindunya pada cempedak ab yang kandhel dan gedi tu. Makan seulas pun tercungap-cungap nak ngabiskan.


Ini biji cempedak. Orang jawa panggil beton ( cara sebutan {be - besi, ton - tony}). Bijik ni jangan dibuang terus, rebus sampai empuk pastu makan. Pehhh sedap seyh! Rasa macam buah berangan.


Dulu bijik ab besor-besor macam bijik getah. Beton tu buat makan petang-petang, makan macam monyet.

Kesimpulannya, Pida rindu akan saat-saat kegemilangan sebagai anak tokey cempedak. Saat mengonyel cempedak sambil berpura-pura menelaah pelajaran.

Bila dah rindukan cempedak, automatik rindu kat ab. Nak cempedak ab!



Thursday, August 22, 2013

Kambing golek menghantui rumah terbuka

Salam kambing golek,

Kali ini memang betul-betul cerita pasal kambing golek. Entry sebelumnya Pida telah terkhilaf sebenarnya. Ini semua gara-gara penangan kambing golek yang digolekkan di atas penggolek yang bergolek semasa majlis jamuan rumah terbuka aidilfitri baru-baru ini.


Tahun ini dalam sejarah kerana inilah kali pertama Pida menganjurkan majlis rumah terbuka raya. Itupun buat secara kolaborasi dengan adik-beradik yang lain. Di samping menjemput sedara-mara dan kawan-kawan untuk merasa kuih tat dan kuih makmur, kami juga sebenarnya buat majlis ini untuk meraikan ab dan ummi yang telah selamat bernikah pada Jun lalu.


Mengiringi pengantin makan berdamai. Ab dan ummi nampak ceria sangat. Rania yang terselit kat tengah-tengah tu pun nampak gembira. 

Ada rezeki lebih sikit boleh la belanja tetamu makan kambing golek. Terima kasih biang keladi kepada adik Pida yang sudi menaja kambing golek ni. Terpaksalah Pida bergambar dengan dia sebab nak bagi kredit. Kalau tak enterframekan dia kat dalam blog ni, dia kata tahun depan dia tak nak taja kambing golek lagi. Oleh kerana bimbangkan keselamatan diri, maka Pida pun bersetuju untuk bergambar dengan dia.


Tuuu dia! Rasa dia.... nyum nyum... terbaik!


Selain kambing golek yang menjadi tumpuan utama, kami juga menghidangkan pelbagai jenis makanan lain seperti nasi ayam, lontong, nasi impit, rendang, roti jala, laksa penang, kuih-muih dan buah-buahan. Kami ambil dengan katering. Tak reti pulak nak masak sendiri.





Macam yang Pida bagitau tadi, kambing golek memang menjadi tumpuan utama. Sekejap aje dah tinggal tulang. Belum pukul 2 petang dah habis. Hehe. So kira siapa cepat dia dapat la.


Alhamdulillah tetamu memang sangat ramai. Tapi masih menang tangan untuk melayan setiap hadirin yang datang. Jemaah surau pun siap buat marhaban lagi kat rumah Pida. Bergema la sekejap rumah tu dengan selawat memuji Nabi.


Ini semua sepupu-sepupu Pida bersama anak masing-masing. 

Yang ni pun sepupu. Muka pun lebih kurang sama aje ek? Kalau tak kerana raya, takdenya kitorang dapat bergambar macam ni.

Ini kawan lama Pida masa tingkatan 1 sampai tingkatan 5 dulu. Thanks Ayu, sudi datang ke majlis aku.

Ini Kak Linda, kawan baik Pida semasa di kolej dulu. 

Cukup sopan-santun Pida melayan tetamu. Inilah contoh tuan rumah yang wajar dipuji. Heh.

Tetamu Pida terdiri daripada pelbagai golongan. Yang tua, yang muda, yang miskin, yang kaya, yang berakal, yang gila, yang dah sunat, yang belum sunat... 

Tuan rumah penat ooo... kau percaya tak kalau Pida kata Pida tak makan langsung sebab rasa tak ada selera nak makan? Nasib baik aku sempat rembat laksa penang. Malam baru makan.

Rania minum sorang-sorang aje. Tunggu kawan tak sampai-sampai. Akhirnya masa kawan dia sampai, dia dah tertido.

Momen-momen sebelum Razin menumbangkan rak kasut 10 tingkat tu. 

Bila dah confirm tak ada tetamu lagi, kitorang pun memulakan operasi pembersihan dan mengemas. Lagipun hari dah petang. Tapi yang buat tu sebenarnya sorang aje, yang lain jadi mandor.

Kesian dia penat mengemas. Minum pun sebelah sampah aje... takpe, kat opis ko selesa kan? Tunggu patient aje kan? Hehe.

Gambar Pida ditangkap ketika sedang khusyuk menapau nasi ayam. Nasi ayam tu tinggal nasi aje, ayamnya dah habis dulu. Nasib baik biras Pida tolong buatkan spaghetti untuk cover makanan yang short tu. Terima kasih ye! Tapi sempat jugak la ummi goreng ayam segera. 

Bila tengok ab dukung Sofia, kitorang cepat-cepat cakap nak adik lagi. Hahaha. Terbelahak ummi ketawa. 


Pida mengucapkan jutaan terima kasih kepada semua tetamu yang sudi meraikan rumah terbuka bersama Pida. My best thanks to ab dan ummi, my best suami (memang the best sebab pusing satu taman pun takkan jumpa orang macam suami Pida tawww), semua adik-adik tersayang; Faiz, Yati, Zizi, Hilma, Afif dan abang Faza yang tak hadir sebab sibuk dengan studio gig underground engkau tu kan... dan anak-anak iaitu Rania, Aqil, Sufi, Razin dan Sofia yang comel-comel belako.

Insya Allah, ada rezeki tahun depan kita buat lagi ye.


Alhamdulillah, Syukur Malaysia masih aman untuk buat open house!

Monday, July 8, 2013

Album pengantin ab dan ummi

Salam pengantin,

Dalam entry kali ini, Pida ingin berkongsi detik-detik indah dan syahdu sepanjang berlangsungnya majlis pernikahan ab dengan ummi pada 29 Jun 2013 yang lalu.

Semoga kenangan indah ini akan terus berkekalan sehingga ke akhirnya. Amiin.


Sebelum berangkat ke rumah pengantin perempuan. Perasaan masa ni... sangat teruja tapi ada rasa sebak sikit. Sebagai pengerusi, Pida bawak sirih junjung. Oh ye, sut Pida anak-beranak tu dibeli siap di Bazar Pakaian di Bandar Maharani Muar.

Jalan kaki aje ke rumah pengantin perempuan, tapi ab naik kereta la. Kan Pida kata dekat je, jaraknya cuma sekotak air laici aje.
Wakil keluarga pengantin perempuan iaitu abang ummi.
Gabra je nampak ab nih.
Upacara akad nikah sedang dilangsungkan. Masa ni air mata Pida dah meleleh-leleh dah.
Alhamdulillah, dengan sekali lafaz, ab telah berjaya menjadi suami kepada ummi.
Ab sedang membaca lafaz ta'lik kepada ummi.
Ab menyampaikan mahar RM22.50 yang digubah oleh ab sendiri. Oh soo sweet and yet sooo touching.




Yang peluk ab tu ialah abang ab, Wak Mat.
Tahniah bapak... cantik bini bapak.
Tahniah bapak... cantik bini bapak.
Tahniah bapak... cantik bini bapak.
Tahniah bapak... cantik bini bapak. Eh, tercopy paste pulak. Sebenarnya bapak... Pida nak bilang, bapak dan ummi macam pinang dibelah dua gitu.
Anak cucu segera buat ummi :) Jangan bimbang ummi, kitorang ni semuanya sopan-sopan belaka terutama Pida. Tak caya tanya ab.
Ab menyarungkan cincin ke jari ummi. So sweet.
Yang masih bujang. Lelong! Lelong! Dua singgit, dua singgit!
Gwiyomi buat ummi.
Perkenalkan ummi, anak-anak Pida; Rania, Aqil dan Sufi. Ye mereka memang comel. Doktor kata keturunan. (uwekkk)



















Kitorang balik dulu ye ab, ummi.


Siapa nak dia?




Yang sebenarnya, semakin banyak kali Pida tatap gambar-gambar ni, semakin terharu dibuatnya. Macam yang Pida cakap hari tu la, perasaan bercampur-baur. Terharu, gembira, seronok, sedih, hiba,...

Tak semua orang berpeluang merasai pengalaman hidup seperti keluarga Pida ini. Iaitu melihat bapa kita berkahwin kembali setelah pemergian mak kita yang sangat disayangi. Sebenarnya kami adik-beradiklah yang menyuruh ab berkahwin lagi kerana kami merasakan itulah takdir yang terbaik bukan sahaja untuk ab, malah untuk kami semua.

Lagipun Pida teringat dulu masa Pida belajar Munakahat dalam kitab Mutalaál Badrin, masa tu Pida darjah 6 sekolah agama negeri Johor, ada satu bab dalam kitab tu yang menyebut tentang kewajipan anak-anak mencarikan isteri baru untuk si bapa yang kematian isteri (ibu kita). Bab itu ialah bab I'faf.

Jadi kami buat semua ini semata-mata kerana Allah jua dan semoga perkahwinan ini mendapat rahmat dan hidayah daripada Allah dan mengurniakan kebahagiaan kepada kami semua di dunia dan di akhirat.

Jangan bimbang tentang kasih sayang kami terhadap mak. Kasih kami tetap sehangat dulu, malah kini lebih hangat daripada biasa. Mak tetap kekal bersemadi sebagai insan teristimewa buat kami sehingga ke akhir hayat dan semoga kami dapat berjumpa mak di akhirat sana nanti.

Dan jangan bimbang tentang kasih sayang kami terhadap ummi. Kami sangat menyayangi ummi; malahan panggilan ummi yang dipilih oleh ummi sendiri benar-benar meresap ke dalam jiwa kami untuk mengasihinya seperti mana kami mengasihi mak.

Buat ab, terima kasih kerana lebih memikirkan kami anak-anak dalam memilih pengganti mak di dunia ini. Kami tahu ab bukan hanya memilih untuk diri ab sendiri, malah yang lebih penting lagi untuk semua anak dan cucu ab.

Wahai Allah, limpahkanlah rahmat dan keredhaan-Mu kepada kami - dulu, kini dan selamanya.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...