Friday, March 9, 2012

Kesedihan semalam ~_~

Salam semalam,

Rindu telah menggamit naluri Pida untuk menghubungi mak petang semalam. Handphone dicapai, nombor ditekan dan kedengaran suara merdu di hujung talian.

"Apa khabar mak?" Pida memulakan sapaan selepas menjawab salam yang dihulur mak.

"Mak tengah sakit belakang ni...," suara mak kedengaran agak lemah.

Pida terdiam seketika. Menghela nafas, menyedut dalam-dalam segala kesedihan yang telah mula meresapi jiwa.

"Mak ok ke?" Pida bertanya sambil menahan suara yang sudah mula bergetar.

Diam. Hanya nafas lemah mak yang kedengaran. Pida tau mak sedang sakit waktu itu.

"Mak tengah buat apa tu?" Pida mengalihkan soalan.

"Mak tengah baring. Bila sakit mak baring," lemah sekali jawapan mak. Ada tangisan dalam suaranya.

Gulana terus menyelimuti diri. Pida rasa hiba sekali. Pida tak sangka mak sedang menangis kesakitan rupanya.

"Mak dah makan ubat?" Pida bertanya lagi.

"Dah, mak dah makan painkiller tadi," kedengaran suara mak masih dalam esak tangis yang cuba disembunyikan.

"Mak... kenapa mak nangis sebenarnya ni?" Pida mula menyoal persis seorang ibu memujuk anaknya yang sedang rawan.

Senyap. Tiada jawapan daripada mak.

"Mak nangis sebab anak-anak mak jauh..."

Pida tersentap.Ya Allah, sebab kami jauh? Serta-merta Pida rasa longlai. Betapa alpanya Pida selama ini, membiarkan mak yang sedang berjuang melawan kanser keseorangan dalam kerinduan terhadap anak-anak. Bukannya kami tak kisahkan mak, tapi kami jauh secara fizikal. Telefon hari-hari, mms hari-hari.

Pida rasa bersalah. Pida terus menangis kerana Pida rasa bersalah membiarkan mak menangis sendirian.

Lantas Pida menelefon adik Pida di Putrajaya. Pida khabarkan pada dia tentang mak. Kebetulan dia juga baru sahaja menelefon mak sebelum Pida telefon.

Kemudian Pida bukak Facebook. Pida cari adik-adik yang mungkin sedang online. Jumpa adik yang duduk di JB.

Kami chatting tentang mak. Pida menaip dalam sedu-sedan. Pida ceritakan pada adik lelaki bongsu Pida mengenai perbualan Pida dengan mak. Pida tau daripada kata-katanya, dia juga sedih seperti Pida. Sehinggakan dia memberitahu Pida untuk mencari kerja di daerah kami agar dia dapat bersama mak dan ab sepanjang masa.

Malam ini kami semua akan balik menziarahi mak dan ab. Rindu kami tidak terbendung lagi. Biar jarak yang memisahkan. Namun apalah sangat perjalanan 3 jam berbanding rasa kasih antara anak dengan ibu bapa. Apalah sangat harga wang ringgit jika dibandingkan dengan nilai pengorbanan dan kasih sayang ibu bapa.

Apa yang Pida sedang alami ini telah membuka mata Pida. Betapa seorang ibu dan seorang bapa yang sudah tua amat mengharapkan kehadiran anak-anak ketika meniti usia senja. Pida adik-beradik sudah berjaya dengan kerjaya dan kehidupan masing-masing, namun rupanya kami hampir terleka.

Bukan niat kami untuk berjauhan dengan mak dan ab, namun takdir telah menentukan rezeki kami bukan di kampung halaman kami. Nasib baik abang Pida balik kampung setiap minggu. Jadi tidaklah mak dan ab terlalu kesepian.

Mak, ab, malam ini kami pulang...

3 comments:

  1. Thanks Fello ;)

    Alhamdulillah, mak dan ab sangat sihat dan ceria.

    ReplyDelete
  2. is dis 4 real? luckily theres no one rite now in d office.. T__T

    ReplyDelete

Oh, tak sangka ada yang sudi komen... terima kasih!

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...