Sunday, October 20, 2013

Darmawisata - Langkawi Skycab (Langit dan bumi bukan ukuran)

Salam langkawi,

Baru-baru ini Pida telah mengikuti rombongan Cik Peah Ronggeng ke tanah lagenda, Pulau Langkawi. Ini merupakan kali ke-5 Pida mengunjungi pulau lagenda yang terkenal dengan kisah Mahsuri ini.

Oleh kerana ini bukanlah kali pertama kunjungan Pida ke sini, maka destinasi Makam Mahsuri tidaklah tertulis di dalam senarai 'jom-pergi' lawatan kali ini. Lagipun Pida dah 2-3 juga ke Makam Mahsuri ini, dari start batu nesan yang lama sampailah dah tukar baru sekarang.

Pulau Langkawi dah banyak tempat menarik berbanding 10-15 tahun dahulu. Ketika kali pertama Pida menjejakkan kaki ke sini pada tahun 1994 dulu, tidak terbina lagi Underwater dan Oriental Village. Dalam lawatan ini, Pida berpeluang melancong ke Oriental Village.


Inilah pintu masuk utama yang menyambut kedatangan pengunjung ke Oriental Village ini. 

Bercakap mengenai Oriental Village, Pida nak membawa kau bersama-sama menikmati kunjungan Pida ke sini. Nak tau apa yang ada di sini? Jom ikut Pida jalan-jalan cari pasal!


Haaa! Inilah tarikan utama pelancong ke Oriental Village ini. Langkawi Skycab atau kereta kabel. Dah lama Pida kepingin nak naik kereta kabel Langkawi ni, baru ini daku mendapat.

Harga tiket berbeza tau. Kalau kau orang Malaysia, tunjukkan MyKad, dapat harga tiket RM15 aje. Kalau kau warga Myanmar atau Republik Chech, harga tiket yang dikenakan ialah RM30. Haa... bersyukur la jadi rakyat Malaysia, dapat tiket murah. Kalau komplen mahal, pergi naik kabel car kat Burkino Faso!


Yeay! Cable car saya dah sampai!

Adakah tuan-tuan semua ingat kita ni saja-saja aje naik cable car? Tidak tuan-tuan, sebenarnya tujuan kita naik skycab ini adalah untuk menuju ke puncak Gunung Mat Chincang yang terletak 713 meter dari aras laut. 

Dalam perjalanan menaiki skycab sepanjang 2.2 km menuju ke puncak Gunung Mat Chincang ini, Pida bertuah kerana dapat menikmati pemandangan indah  Pulau Langkawi. Tak berkedip mata menyaksikan kecantikan pulau-pulau dan lautan yang membiru serta gunung-ganang dan pokok-pokok yang menghijau terbentang di depan mata. Serius tak berkedip! Subhanallah!

Itu adalah Langkawi SkyBridge (jambatan gantung) yang sedang ditutup untuk kerja-kerja penyelenggaraan. Rugi ooo tak dapat main-main kat situ.

Pida berhenti di stesen puncak gunung. Di sinilah pengunjung boleh terbuai dalam keasyikan menonton panorama indah ciptaan Tuhan. 











Pemandangan bagai lukisan di atas kanvas.

Perjalanan turun dari puncak gunung lebih menarik kerana SkyCab meluncur lajuuuuuu gitu. Nasib baik Pida ni bukan jenis gayat, jadi sepanjang masa tu mata Pida terbelolok tengok itu dan ini. Rasa sayang nak kelipkan mata, takut terlepas pemandangan indah.


Akhirnya Pida dan kawan-kawan seSkyCab selamat menjejak rumput di bumi setelah berada di langit yang tinggi tadi. Rasa seronok dan puas dapat naik SkyCab. Kami meneruskan jalan-jalan sehinggalah sampai ke satu destinasi yang memang tak akan Pida lepaskan!


Cinemotion. Bukan setakat 3D, tapi 6D wa cakap lu!

Nasib baik wa tak mengandung time ni, kalau tak putih mata nak duduk atas kerusi dia yang goyang-goyang macam orang kena rasuk setan tu. Tajuk movie masa tu ialah Grand Canyon ke apabendatah... tapi best giler la. Menjerit-jerit aku kat dalam tu masa roller coaster tu terlepas ke gaung pastu ada bola-bola api dengan air terpercik-percik pastu landasan terputus tiba-tiba dengan masuk gua lagi... Arghhhh!!! Bestnya! Harga tiket RM18. Tempoh tayangan 5 minit ajer... 


Lepas tu kitorang jalan-jalan sikit sekitar Oriental Village ni. Tapi tak banyak gambar yang diambil. Ada la sikit ni haa...


Deretan kedai yang banyak terdapat di sini. Kebanyakannya menjual pakaian dan cenderahati. 




Sebenarnya Pida tak habis round kat Oriental Village ni. Sebab tujuan utama cuma nak naik SkyCab aje. Tengok Cinemotion tu kebetulan panggung dia sebelah SkyCab.

Ada banyak lagi tarikan di sini seperti kereta Amphibian iaitu bot bentuk itik yang membawa pengunjung mengelilingi pulau, dan juga permainan basikal air. Boleh juga naik kuda. 

Puas hati beb dapat naik SkyCab. Bila dah sampai di atas puncak sana, ternyatalah bahawa langit dan bumi bukan ukuran.


*Semua gambar adalah milik Pida. Diambil dengan Galaxy Note 2.



Thursday, October 17, 2013

Darmawisata ~ Mengintai Taiping dari tirai Bukit Larut

Salam taiping,

Bersempena dengan cuti umum Hari Malaysia baru-baru ini, ab dan ummi mengajak kami semua berjalan-jalan di Taiping. Dah lama rasanya tak berjalan-jalan ramai-ramai macam ni. Dan destinasi kami ialah Bukit Larut - kawasan yang paling lembap dan paling banyak menerima taburan hujan di Malaysia.


Nak naik Bukit Larut ni kena naik jip. Tambang RM6 seorang. Hanya jip ini sahaja. Kau jangan berangan nak bawak Nissan Murano ke Ferrari ke Peugeot ke Wira ke... hanya naik dengan jip ini sahaja, FAHAM?!!! -----> tiba-tiba je naik angin.


Nak tau sebab apa kau tak boleh bawak Toyota Wish ko naik Bukit Larut?


Sebab inilah! Cuba kau peratikan jalannya yang bengkang-bengkok nak mampus tu. Mampus pun tak bengkang-bengkok macam ni. Di sepanjang perjalanan, Pida nampak ramai orang mendaki Bukit Larut ni dengan berjalan kaki. Yang tua, yang muda, hebat betul diorang ni. Tak nampak mengah pun.


Dia punya bengkang-bengkok memang terbaik. Macam ular kena palu. Bentuk S. Ada 92 selekoh maut sepanjang setengah jam perjalanan naik ke Bukit Larut. Abang-abang driver yang bawak jip ni memang dah mahir sangat dengan jalan di sini. Bila lalu di selekoh S, Pida dan konco-konco yang comel-comel belako ni menjerit-jerit kegelian. Geli hapanya... menjerit ketakutan!


Masa perjalanan naik ke Bukit Larut tu kami bersesak-sesak sikit kat dalam jip. Sempit macam sardin cap TC Boy. Pida mabuk dan rasa nak muntah. Sekejap-sekejap Pida tanya, "Lama lagi ke nak sampai?" Ummi cuma ketawa aje tengok Pida. Mesti ummi kata comelnya anak aku ni. Masa tu memang dah tak tahan nak muntah. Kalau terpandang gambar David Teo mesti dah tersembur muntah aku time tu.


Akhirnya kami selamat sampai ke atas Bukit Larut. Sungguh indah pemandangannya macam Salem High Country.

Masa ni serius Pida tengah mabuk sangat.  Turun dari jip terus terhuyung-hayang macam orang mabuk todi. Macam nak termuntah, macam rasa morning sickness aje. Tapi masih bertabah untuk mengambil gambor. Tak semua orang ada semangat juang yang tinggi macam Pida ni kan?


Tugu yang dibina di atas Bukit Larut. Di atas sini juga ada sebuah kafe. 


Pusat Kepelbagaian Biologi


Pejabat Informasi di atas Bukit Larut. Dijaga oleh dua orang kanak-kanak yang baru lepas mabuk kerana dibawa naik jip secara zig-zag.


Ab bergambar dengan adik Pida. Tempat kitorang berhenti ni bukannya puncak Bukit Larut. Kalau nak sampai ke puncak, kena jalan lagi 3 km ke atas. Larat tak larat la.


Awas! Pencuri ada di mana-mana waima di atas bukit sekalipun. Sila jaga punggung anda.


Taiping dari Bukit Larut. I feel so high.



Aku terlarut dalam kesejukannya. Oh... Bukit Larut.


Daripada takde buat apa-apa kat situ, lebih baik kitorang jalan-jalan ke puncak bukit. Makin jauh makin sejuk. Tapi kan... suhunya tak adalah sejuk sangat. Cuma rasa nyaman aje. Kalau Kundasang memang sejuk giler macam masuk dalam freezer. Kat Cameron dan Genting  pun sejuk.


Di sepanjang-panjang perjalanan kitorang merentasi bukit ini menuju ke puncak, tidak banyak flora dan fauna yang dapat disaksikan. Bunga-bunga pun tak berapa banyak. Yang banyak ialah paku-pakis.


Adik Pida bercerita tentang spora di bawah daun pakis. Dia ingat Pida ni anak murid dia ke nak bagi lecture Bio. Mentang-mentang ko tu lecturer Bio, ko pun membebel pasal spora. Boring!


Rania dan Aqil memegang pakis. Diorang tak pernah jumpa benda alah ni. Kira pengetahuan baru la untuk diorang.


Cendawan juga banyak kedapatan di sini. Ini cendawan Pida tak tau spesies apa. Melata tumbuhnya di atas tanah.


Lecturer Bio menunjukkan sejenis lagi cendawan yang ditemui di sini. Dia cakap kalau nak ambik gambar organisma kena tunjuk dengan jari telunjuk sebagai penanda skala. Maknanya cendawan tu kecik aje sebenarnya walaupun dalam gambar nampak macam besor.


Penuh berhati-hati Pida nak ambik gambor belalang ni. Lincah betul. Kejap terbang ke sana kejap lompat ke sini. Nasib baik henpon Pida ni sempat tangkap gambar dia. 


Tak larat nak teruskan mendaki sampai ke puncak Bukit Larut. Berhenti setakat yang mampu aje. Tapi dapatlah kitorang berjalan dalam 1 km lebih. Hari pun dah semakin panas, dah pukul 12 tengah hari waktu itu. 


Kami meninggalkan Bukit Larut selepas berada hampir 2 jam di atas sana. Menuruni Bukit Larut dalam jip lebih mencabar dan menjeritkan, rasa seolah-olah naik Camel Trophy. Time lalu kat selekoh S memang terpelanting-pelanting kat dalam jip ----> tipu aje.

Rumusannya, lawatan ke Bukit Larut memang best. Pengalaman naik jip itulah yang paling best. Adventure, thrill dan lasak. Habis terbang-terbang shawl I tawwww!!!




Sunday, October 13, 2013

Kehilangannya tiada ganti

Salam kehilangan,

Hari ini dunia akademik tanah air telah kehilangan seorang tokoh universiti, iaitu Prof. Dato Ir. Dr. Radin Umar bin Radin Sohadi kerana kegagalan fungsi hati. Allahyarham juga mengidap kanser.

Allahyarham merupakan mantan Naib Cancelor Universiti Putra Malaysia (UPM) iaitu menara gading tempat Pida menimba ilmu dahulu.

Walaupun tidak mengenali beliau secara peribadi (kerana Pida tidak pernah berguru dengannya disebabkan berlainan fakulti), namun beliau seorang yang sangat terkenal dan disegani.

Kehilangannya amat menyentuh jiwa dan sanubari Pida. Bulan Januari yang lalu, mak pergi kerana kanser. Sebelum itu, rakan baik Pida semasa darjah satu dahulu juga meninggal kerana kanser.

Pemergian Allahyarham meninggalkan satu ruang kosong yang tidak mudah diganti. Ilmu, idea dan pengalaman Allahyarham masih diperlukan oleh segenap lapisan masyarakat di negara ini secara umumnya.

Namun seperti mana perginya mak yang masih didambakan kehadirannya, begitu juga dengan Allahyarham. Sesungguhnya Allah lebih mengetahui segala sesuatu dan nyatalah Allah lebih menyayanginya. Sekurang-kurangnya penderitaan Allahyarham mengharungi penyakit berkaitan kanser ini kini sudah berakhir.

Secara peribadi, perginya Radin Umar Radin Sohadi benar-benar menyentuh naluri Pida. Tak dapat nak digambarkan betapa pedih dan sedihnya kehilangan insan tersayang kerana penyakit kanser. Hanya Tuhan yang tahu.

Semoga Allahyarham ditempatkan dalam kalangan orang-orang yang beriman.

Al-Fatihah.

Friday, October 11, 2013

Hajat tak tersampai

Salam hajat,

Terus-terang Pida katakan, Pida belum pernah memasang niat untuk membawa mak dan ab pergi ke Mekah untuk menunaikan haji atau umrah. Tak seperti orang lain yang menyimpan impian untuk membalas jasa ibu bapa dengan membawa mereka ke tanah suci, Pida tidak begitu.

Bukan sebab Pida anak derhaka atau tidak mahu membalas jasa, tapi mungkin kerana Pida rasakan hajat Pida itu akan ditolak oleh mak dan ab. Ini kerana ab dan mak jauh lebih berkemampuan daripada anak mereka ini.

Tapi pada tahun lepas, Pida nyatakan juga hajat yang satu ini kepada mak. Masa itu mak sedang sakit. Pida katakan pada mak, tahun ini Pida nak buatkan qurban untuk mak. Itulah pertama kali Pida berniat untuk membuat sesuatu ibadah untuk mak atau ab.

Seperti yang telah diduga, mak menolak hajat dan niat Pida itu. Pida tak kecewa, sebab memang Pida dah tau, mesti mak tak akan terima walaupun Pida bersungguh-sungguh nak buatkan qurban untuk mak. Pida rasa Pida nak buat sesuatu untuk mak sementara masih ada masa. Tapi nak buat macam mana, mak menolak.

Mak cakap, mak dah buat qurban 2-3 kali termasuk tahun lepas mak buat satu bahagian di surau tempat Pida. Mak cakap lagi, Pida simpanlah duit tu untuk buat sesuatu yang lebih penting seperti perbelanjaan anak-anak, jangan risaukan mak.

Sedihnya bila mak cakap macam tu. Mak tak nak terima sedekah qurban Pida bukan kerana mak tak sudi, tapi kerana mak merasakan duit yang akan dibelanjakan untuk qurban itu lebih diperlukan oleh anak-anak Pida.

Ab pun macam tu. Pida pernah nak bagi dia duit sebagai tanda pemberian seorang anak kepada bapanya. Namun ab cuma pegang duit itu dan minta Pida simpan semula untuk kegunaan anak-anak Pida. Malah ab bagi lagi duit kat Pida. Sejak itu Pida memang tak pernah bagi mak dan ab duit kecuali pada hari raya atas nama duit raya.

Sekarang mak dah tak ada. Mak pergi sebulan selepas Pida menyampaikan hajat tersebut. Memang nyata hajat untuk membuatkan qurban untuk mak tidak kesampaian. Namun Pida tak terkilan kerana Pida dah suarakan hasrat hati.

Apa yang boleh Pida lakukan sekarang ialah sedekahkan banyak-banyak Fatihah kepada mak. Sampai sekarang rindu di jiwa masih membara, masih menebal dan sering membuatkan Pida menangis. Entah bila Pida boleh berhenti menangis.

Pida amat merindui mak. Terasa sangat kehilangannya. Terlalu banyak rahsia hati yang telah dipendam sejak kepergiannya kerana Pida tidak ada tempat untuk meluahkan rasa jiwa. Dulu maklah tempat Pida mencurahkan segala-galanya. Tidak ada rahsia antara kami. Sekarang tiada lagi dan situasi ini amat memedihkan.

Mak jangan risau. Pida tak pernah lupa mendoakan mak di sana. Kita hanya terpisah oleh satu garisan waktu. Insya Allah kita akan bertemu semula di akhirat sana.

Mak, Pida amat menyayangimu. Masih terasa hangat pelukanmu dan lembut bicaramu. Takkan dapat dilupa manisnya senyummu, takkan terpadam kenangan bersamamu.

Mak, kembalilah ke pangkuan kami. Kami masih memerlukanmu. Mak janganlah pergi... jangan tinggalkan kami...




Friday, October 4, 2013

Sufi yang tak sayang mulut

Salam sufi,

Hari tu dah cerita pasal Aqil yang suka dikelon (dipeluk). Kali ni nak cerita tentang Sufi pulak. Si kecik yang dah berumur 3 tahun setengah ini dah semakin lasak dan petah berkata-kata.

Boleh tahan jugak loyar buruknya budak kecik sorang ni. Teacher dia cerita, kat sekolah teacher suruh Sufi jangan main panjat-panjat. Dia dengan selamba macam mak nenek pegi menjawab kat teacher, "Yelah, yelah... nak turun la ni!" Kan macam orang tua tu perangainya.

Baru-baru ni Pida sekeluarga pergi berjalan-jalan ke Taiping (entry sedang dalam proses - belum ada mood nak buat haha). Semasa singgah di sebuah R&R, Pida membawa dia ke bilik air. Bukan dia yang nak kencing, tapi mak dia ni ha. Terpaksa beratur sekejap sebab orang ramai pada masa tu.

Kau ingat dia nak tinggal dengan abah dia? Ke mana-mana mesti dengan mak dia ni. Asyik berdukung macam anak monyet. Geram kadang dibuatnya. Dah macam takde kaki pulak, asyik berdukung aje. Bila disuruh pakai selipar, dia boleh menjawab, "Takyah pakai kacot la mak... dukung ajelah.." Eh, eh!

Oh ye, citer pasal pergi toilet tadi kan? Lepas menyahut panggilan alam, Pida pun pergilah ke cermin, konon-konon nak pakai gincu sikit sambil betul-betulkan shawl. Sufi Pida tenggekkan kat atas sinki tu. Dia pun tunggu Pida bersolek.

Tiba-tiba dia menjerit, "Mak tak cantikkkkk!!!!"

Astaga! Terkejut aku. Apahal tiba-tiba kau kata mak tak cantik? Orang lain yang dengar ada yang dah ketawa pelan-pelan, ada yang senyum-senyum. Ya Rabbi, memang bertuah ini budak. Cepat-cepat Pida dukung dia sambil geletek-geletek ketiak dia.


Sufi Arumugam.

Aqil, kenapa mak citer pasal kita ek? Abis kantol perangai aku.



Thursday, October 3, 2013

Aqil yang suka dikelon

Salam aqil,

Sudah menjadi rutin setiap pagi ketika menghantar Aqil dan Sufi ke tadika, Pida pasti akan mencium Aqil satu muka. Pipi kanan, pipi kiri, dahi dan mulut. Selepas itu Pida akan memeluk dia erat-erat sambil membisikkan "Aqil anak kebanggaan mak," sambil dia terkedek-kedek masuk ke kelas.

Bukan sahaja Aqil, malah Rania pun macam tu jugak. Sebelum pergi ke sekolah, Pida pastikan Pida akan cium dia satu muka dan memeluknya juga. Akhir sekali pasti Pida akan cakap, "Be good!" Walaupun pagi-pagi diorang kena bebel pasal liat nak bangun dari tido.

Aqil walaupun seorang kanak-kanak yang sangat aktif dan nakal, namun dalam hatinya ada taman. Kadang-kadang secara tiba-tiba dia akan datang kepada Pida dan berkata, "Mak, nak peluk!" Pada masa tu kalau Pida tengah buat apa pun Pida pasti akan berhenti dan akan memeluknya erat-erat sambil bercakap perkara-perkara baik buat pendengarannya.

Yang paling biasa Pida akan cakap "mak sayang Aqil" dan dia akan membalas, "Aqil pun sayang mak... sayang sangat. Mak jangan mati tau. Aqil tak nak dapat mak baru." Jadah apa kau cakap macam tu.

Malam tadi seperti biasa, Aqil datang kepada Pida dan cakap, "Mak, Aqil nak peluk mak." Pida pun terus depakan tangan dan memeluknya erat-erat. Dia bagitau dia sayang sangat kat Pida, oh sangat mengharukan juga walaupun baru kejap tadi Pida marah dia.

Lepas tu Pida tanya Aqil, "Apa yang Aqil rasa masa Aqil peluk mak?"

Aqil jawab, "Aqil rasa selesa."

Ok, jawapan yang sangat indah bagi seorang budak 6 tahun. Dia rasa selesa dan selamat apabila berada dalam pelukan ibunya.

Aqil pulak tanya Pida, "Mak rasa apa bila Aqil peluk mak?"

Dengan selamba Pida jawab, "Rimas."

Terus dia lepaskan pelukan dan menjerit, "Mak niiii! Tak nak la peluk mak lagi. Sambil berguling-guling macam tenggiling.

Hahahahaha.


Aqil yang suka dikelon.



Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...