Sunday, October 13, 2013

Kehilangannya tiada ganti

Salam kehilangan,

Hari ini dunia akademik tanah air telah kehilangan seorang tokoh universiti, iaitu Prof. Dato Ir. Dr. Radin Umar bin Radin Sohadi kerana kegagalan fungsi hati. Allahyarham juga mengidap kanser.

Allahyarham merupakan mantan Naib Cancelor Universiti Putra Malaysia (UPM) iaitu menara gading tempat Pida menimba ilmu dahulu.

Walaupun tidak mengenali beliau secara peribadi (kerana Pida tidak pernah berguru dengannya disebabkan berlainan fakulti), namun beliau seorang yang sangat terkenal dan disegani.

Kehilangannya amat menyentuh jiwa dan sanubari Pida. Bulan Januari yang lalu, mak pergi kerana kanser. Sebelum itu, rakan baik Pida semasa darjah satu dahulu juga meninggal kerana kanser.

Pemergian Allahyarham meninggalkan satu ruang kosong yang tidak mudah diganti. Ilmu, idea dan pengalaman Allahyarham masih diperlukan oleh segenap lapisan masyarakat di negara ini secara umumnya.

Namun seperti mana perginya mak yang masih didambakan kehadirannya, begitu juga dengan Allahyarham. Sesungguhnya Allah lebih mengetahui segala sesuatu dan nyatalah Allah lebih menyayanginya. Sekurang-kurangnya penderitaan Allahyarham mengharungi penyakit berkaitan kanser ini kini sudah berakhir.

Secara peribadi, perginya Radin Umar Radin Sohadi benar-benar menyentuh naluri Pida. Tak dapat nak digambarkan betapa pedih dan sedihnya kehilangan insan tersayang kerana penyakit kanser. Hanya Tuhan yang tahu.

Semoga Allahyarham ditempatkan dalam kalangan orang-orang yang beriman.

Al-Fatihah.

No comments:

Post a Comment

Oh, tak sangka ada yang sudi komen... terima kasih!

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...