Thursday, September 5, 2013

Coretan hari lahir buat Rania si pembuka rezeki luasku

Salam hari lahir,

Alhamdulillah, hari ini genaplah usia Rania 8 tahun. Puteri sulung Pida yang selalu mengimpikan dirinya menjadi seorang puteri, walhal dia tidak sedar bahawa dia adalah puteri yang sebenarnya; puteri bagi ibu bapanya, puteri bagi adik-adiknya dan puteri dalam kalangan kawan-kawannya.

Buat Rania, bacalah serba-sedikit coretan kasih sayang mak sempena hari istimewa yang diraikan ini.


Rania anakandaku,

Kau tidak lahir dalam kesenangan, anakku. Kau hadir ketika aku tidak punya apa-apa ketika itu. Kau datang dalam hidupku sebagai sebuah rezeki yang maha besar; yang amat ditunggu-tunggu dan persinggahanmu di mayapada ini umpama bulan jatuh ke riba.

Syukurnya aku tatkala menatap wajah anak sulungku buat kali pertama, tak mungkin aku lupakan. Kutinggalkan segala-galanya kepentingan peribadiku demimu sejak itu. Kau hadir dengan membuka pintu rezeki yang seluas-luasnya untuk kita. Sejak itu aku bertekad untuk memberikanmu sepenuh keselesaan yang berhak kaukecapi.

Rania anakku,

Jika kautanya kasihku bagai apa, tidak mungkin dapat kujawab persoalan itu. Tetapi dapat kubayangkan bahawa kasih sayangku melebihi segala apa yang ada di dunia ini. Harapanku terhadap dirimu melebihi segalanya yang tertinggi di muka bumi ini. Namun impian itu kuletakkan di bumi yang nyata.

Aku mahu engkau menjadi seorang insan yang berguna, anakku. Aku mahu engkau baktikan pengorbananmu kepada insan-insan kesayanganmu, yang sentiasa ada di sekelilingmu. Tahukah engkau bahawa engkau tidak pernah keseorangan, anakku?

Rania anakku,

Aku mahu engkau melindungi segala apa yang ada padamu. Jangan biarkan ia terusik dek pandangan atau sentuhan yang tidak menjanjikan syurga buatmu. Aku mahu engkau tahu bahawa dirimu adalah mahkota jiwa yang paling berharga melebihi segala intan permata yang dihamparkan di bumi ini. Dan aku mahu engkau sedar bahawa marcapada yang kauhuni ini penuh dengan helah dan tipu daya semata....

Rania anakku,

Doaku sentiasa mengiringi setiap hela nafasmu. Redhaku menyelimuti tubuhmu. Kasihku membaluti jiwamu. Dulu, kini, selamanya.... sehingga ke akhir nafas kita berdua.








Rania dalam gaun pengantin mamaneh semasa bersanding dengan Tokyi dulu.. Sedih sangat melihat gambar ini.

Mamaneh insan yang paling teruja menyambut kelahiran Rania. Sejak kelahiranmu, nak, apa sahaja keperluan dan keinginan tidak pernah mamaneh hampakan. Kau cukup mewah dengan kasih sayang kami semua. Bersyukurlah dengan kehidupanmu kini, nak. Al-Fatihah buat mamaneh yang amat dirindui.

No comments:

Post a Comment

Oh, tak sangka ada yang sudi komen... terima kasih!

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...