Salam misteri,
Tak habis-habis dengan misteri Pida ni. Hari tu pasal
cincin kahwin misteri, sampai sekarang tak terungkai misterinya. Kali ni Pida nak cerita pasal kejadian yang sangat biasa dialami di rumah Pida dan mungkin juga di rumah kau.
Tapi sebelum bercerita panjang, Pida nak bagi amaran sikit. Entry ni diklasifikasikan sebagai ES13 (Entry Seram untuk budak-budak 13 tahun ke atas). Kalau kau seorang yang penakut, Pida syorkan lebih baik kau jangan baca entry ni sebab entry ni serammmm hiiiiiii...... Alamak, aku pulak yang takut sendiri.
Baiklah, Pida akan cuba untuk menerangkan situasi-situasi yang boleh dirasai dan didengari dengan deria kasar tetapi ia sebenarnya tidak dapat dilihat oleh mata kasar, yang biasa terjadi di rumah Pida. Kau faham tak apa yang Pida sampaikan ni? Kalau tak faham buat-buat faham sudah la.
Ada beberapa kejadian atau fenomena biasa yang kerap dialami Pida sekeluarga dan juga keluarga-keluarga lain di taman Pida.
Kejadian Pertama : Bunyi guli melantun
Bunyi guli melantun-lantun memang selalu kedengaran di rumah Pida. Bunyinya seperti seolah-olah anak orang sebelah tengah main guli. Maksudnya, kita dengar bunyi guli-guli tu melantun di rumah jiran sebelah dengan andaian anak dia yang sedang main.
Mula-mula dulu Pida fikir memang anak orang sebelah yang main lantun-lantun guli. Jadi Pida tak rasa apa sangatlah. Budak-budak... takkan nak marah diorang main kan? Anak Pida sendiri pun main baling-baling anak lesung Pida tak marah.
Tapi bila bunyi guli melantun dah terlalu kerap dan tak mengira waktu; siang malam pagi petang bunyi guli, takkan budak sebelah ni tak main benda lain? Asyik main guli je ke kerjanya? Malam-malam pukul 11 pun? Mak bapak kau tak marah ke budak? Isyy... I smell something wrong somewhere la.
"Bang, budak sebelah ni tak penat ke main guli? Banyak betul guli dia 'ek?" Pida bertanya pada suami Pida sambil melentok manja ke bahunya.
"Adoi... tepilah sikit, bahu abang terkehel ni. Ambikkan yoko-yoko tu," suami Pida membalas dengan romantik sambil menolak kepala Pida sampai terhantuk ke dinding kepala aku.
Wahabi punya laki, Pida menggerutu dalam hati.
"Abang ahli sunnah wal jamaah la," dia tiba-tiba bersuara. Erkk...??
Pernah pada suatu pagi dalam pukul 11 gitu, Pida tengah lepak-lepak kat atas sofa di ruang tamu. Masa tu orang lain semua pegi kerja, Pida sorang je tak pergi kerja sebab cuti. Tiba-tiba Pida terdengar bunyi guli melenting-lenting betul-betul di sebelah Pida. Pida tersentak, dah mula pikir yang bukan-bukan. Lepas dah pikir yang bukan-bukan tu... Pida pun mencicit naik atas masuk bilik sambil menjerit, "Aaaaaaaa!!!"
Dalam kejadian yang lain pulak, masa tu pukul 11 malam.
Adik Pida sorang-sorang kat bawah tengok tv. Tiba-tiba kat meja makan tu bunyi guli melenting. Dia yang memang dah tau cerita pasal guli ni, tak cukup tanah lari naik atas. Siap langkah 3-4 mata tangga punyalah takut. Kalah pelari sprinter.
Ada masa jugak, masa tengah tidur, tiba-tiba bunyi guli tu kedengaran. Betul-betul kat luar pintu sliding bilik Pida. Rania tanya apa tu mak? Pida jawab takde apa-apa.
Kejadian kedua : Bunyi perabot diseret-seret
Bunyi perabot diseret-seret ni acapkali didengar. Sama seperti bunyi guli, ia kedengaran tak kira masa. Bunyinya jelas; seolah-olah orang sebelah atau orang tingkat atas sedang mengalihkan perabot yang berat seperti kerusi, gerobok, katil dan sebagainya.
Tapi Pida duduk rumah teres, atas memang sah-sah takde sesiapa. Nak kata jiran sebelah, takkan kerap sangat dia mengalihkan perabot. Malam-malam pun alihkan perabot jugak ke?
Kejadian ketiga : Bunyi pintu dihempas kuat
Lagi satu, fenomena yang kerap Pida dengar ialah bunyi pintu yang dihempas dengan kuat. Ini selalu Pida dengar. Ia seolah-olah pintu jiran sebelah atau orang belakang atau orang atas yang dihempas tu, bukan bunyi dari rumah Pida. Bunyi pintu dihempas ni pun selalu kedengaran tak kira waktu.
Pelik jugak, siapa yang tutup pintu main hempas-hempas macam tu? Merajuk dengan laki ke? Marahkan majikan ke kalau yang menghempas pintu tu orang gaji?
Ada satu kali tu, Pida tinggal berdua je dengan Sufi. Masa tu Pida cuti (cuti lagi) sebab jaga Sufi yang demam. Masa Pida tengah tidurkan dia di sofa depan tv, Pida terdengar bunyi pintu kabinet dapur Pida dihempas dengan kuat. Pida yakin memang itu bunyi pintu kabinet dapur Pida. Tapi macam biasalah... mana ada sesiapa waktu tu kan?
Pida takut? Tak... masa tu Pida tak takut sebab Pida peluk Sufi kuat-kuat. Kalau Sufi tak ada maunya Pida mencicit naik atas.
Kejadian lain pulak berlaku baru-baru ni. Masa tu hari Jumaat. Pida sedang bersiap-siap untuk menghantar Rania ke sekolah petang sebelum Pida kembali ke pejabat. Semasa sedang memakaikan tudung Rania di hadapan meja solek, tiba-tiba Pida terdengar bunyi air mengalir di bilik air. Bunyi macam paip dibuka untuk mencuci sesuatu.
Habis je bunyi air tu, terus terdengar bunyi pintu dihempas dari atas. Namun ia tidak berakhir di situ, yang paling kemuncak ialah sebuah mainan di atas meja solek tu tiba-tiba bergerak sendiri. Rania tersentak. Dia menjerit. "Mak, mainan tu gerak sendiri!" Pida cuma cakap takde apa-apalah.
Pida tak takut waktu tu sebab ada Rania. Kalau Rania tak ada maunya Pida mencicit turun bawah.
Kejadian keempat : Kelibat bayang
Inilah yang paling Pida tak suka. Setakat dengar-dengar tu tak apa lagi, kalau dah main tunjuk-tunjuk bayang ni.... isyy, jangan la bai!
Kejadian ini berlaku pada suatu malam kira-kira pukul 9 malam. Masa tu Pida dengan budak-budak je, suami Pida masih belum balik dari surau. Semasa Pida keluar dari dapur, tiba-tiba Pida ternampak satu kelibat hitam yang besar serupa bayang turun dari tangga dan hilang macam tu aje.
(Aiseh... time Pida taip ni naik bulu roma. Dahlah aku ni banyak bulu. - bulu kening, bulu mata hokeh!)
Pida tergamam sekejap selepas melihat kelibat tersebut. Bukannya takut sangat, tapi itulah kali pertama Pida nampak entiti seperti itu. Nasib baik Pida tak histeria, kalau tak mesti kecoh satu taman Pida terjerit terpekik terlolong.
Itu kisah Pida. Kisah anak Pida pulak lain.
Pada suatu hari, Aqil tengah main bola kat ruang tamu. Tiba-tiba bola tu bergolek menuju ke tangga. Aqil pun terus menuju ke tangga untuk mengambil semula bola tersebut. Tetapi langkah dia terhenti dan dia tak jadi nak ambil bola tu. Pida tanya kenapa? Aqil menjawab, "Aqil nampak ada orang kat tangga tu."
Pida dah jadi suspen. Orang? Orang mana? Tak ada sesiapa pun?
 |
Rumah yang tenang jangan disangka tiada 'si dia'. |
*********************
Kejadian-kejadian yang kerap Pida alami di rumah Pida ini telah menjadikan Pida nekad untuk berjumpa pawang. Pida kenal seorang pawang yang handal ni. Dia memang popular di kalangan netizen seperti Pida. Rujuk aje kat dia, mesti dia bagi jawapan dan penyelesaian. Memang hebat ilmunya. Memang mengalahkan nujum pa' belalang handalnya.
Lalu Pida pun merujuk kepada pawang yang Pida panggil Pawang Google ni. Pida nyatakan masalah dan keperluan Pida, lantas Pawang Google memberikan seribu satu jawapan sampai Pida tak tau nak pilih mana satu.
Last-last Pawang Google memberikan Pida satu jawapan yang pasti. Rupanya ada makhluk lain yang turut tinggal bersama-sama Pida iaitu jin. Dia juga makhluk Allah, dia tak mengacau, cuma nak tumpang tempat tinggal dengan Pida je.
Pida pernah juga cuba niatkan, tak apalah kalau nak duduk sama-sama sebab kita sama-sama makhluk Allah. Kita sama-sama menumpang di bumi Allah. Kau buatlah kerja kau tapi jangan sesekali kacau kami dan jangan sesekali tunjukkan diri kau pada kami.
Sekarang ni, bunyi-bunyian tu dah agak kurang, tak sekerap dulu. Kalau tinggal sorang-sorang kat rumah pun taklah takut sangat. Nak takut apa, rumah sendiri kan... takut hanya pada Allah.
Pida percaya hak sesama makhluk adalah milik Pencipta. Kita kena berkongsi dunia ini dengan makhluk lain juga. Mereka memang wujud tetapi di dunia yang berlainan daripada kita.
Rumah kau macam mana?