Sunday, October 13, 2013

Kehilangannya tiada ganti

Salam kehilangan,

Hari ini dunia akademik tanah air telah kehilangan seorang tokoh universiti, iaitu Prof. Dato Ir. Dr. Radin Umar bin Radin Sohadi kerana kegagalan fungsi hati. Allahyarham juga mengidap kanser.

Allahyarham merupakan mantan Naib Cancelor Universiti Putra Malaysia (UPM) iaitu menara gading tempat Pida menimba ilmu dahulu.

Walaupun tidak mengenali beliau secara peribadi (kerana Pida tidak pernah berguru dengannya disebabkan berlainan fakulti), namun beliau seorang yang sangat terkenal dan disegani.

Kehilangannya amat menyentuh jiwa dan sanubari Pida. Bulan Januari yang lalu, mak pergi kerana kanser. Sebelum itu, rakan baik Pida semasa darjah satu dahulu juga meninggal kerana kanser.

Pemergian Allahyarham meninggalkan satu ruang kosong yang tidak mudah diganti. Ilmu, idea dan pengalaman Allahyarham masih diperlukan oleh segenap lapisan masyarakat di negara ini secara umumnya.

Namun seperti mana perginya mak yang masih didambakan kehadirannya, begitu juga dengan Allahyarham. Sesungguhnya Allah lebih mengetahui segala sesuatu dan nyatalah Allah lebih menyayanginya. Sekurang-kurangnya penderitaan Allahyarham mengharungi penyakit berkaitan kanser ini kini sudah berakhir.

Secara peribadi, perginya Radin Umar Radin Sohadi benar-benar menyentuh naluri Pida. Tak dapat nak digambarkan betapa pedih dan sedihnya kehilangan insan tersayang kerana penyakit kanser. Hanya Tuhan yang tahu.

Semoga Allahyarham ditempatkan dalam kalangan orang-orang yang beriman.

Al-Fatihah.

Friday, October 11, 2013

Hajat tak tersampai

Salam hajat,

Terus-terang Pida katakan, Pida belum pernah memasang niat untuk membawa mak dan ab pergi ke Mekah untuk menunaikan haji atau umrah. Tak seperti orang lain yang menyimpan impian untuk membalas jasa ibu bapa dengan membawa mereka ke tanah suci, Pida tidak begitu.

Bukan sebab Pida anak derhaka atau tidak mahu membalas jasa, tapi mungkin kerana Pida rasakan hajat Pida itu akan ditolak oleh mak dan ab. Ini kerana ab dan mak jauh lebih berkemampuan daripada anak mereka ini.

Tapi pada tahun lepas, Pida nyatakan juga hajat yang satu ini kepada mak. Masa itu mak sedang sakit. Pida katakan pada mak, tahun ini Pida nak buatkan qurban untuk mak. Itulah pertama kali Pida berniat untuk membuat sesuatu ibadah untuk mak atau ab.

Seperti yang telah diduga, mak menolak hajat dan niat Pida itu. Pida tak kecewa, sebab memang Pida dah tau, mesti mak tak akan terima walaupun Pida bersungguh-sungguh nak buatkan qurban untuk mak. Pida rasa Pida nak buat sesuatu untuk mak sementara masih ada masa. Tapi nak buat macam mana, mak menolak.

Mak cakap, mak dah buat qurban 2-3 kali termasuk tahun lepas mak buat satu bahagian di surau tempat Pida. Mak cakap lagi, Pida simpanlah duit tu untuk buat sesuatu yang lebih penting seperti perbelanjaan anak-anak, jangan risaukan mak.

Sedihnya bila mak cakap macam tu. Mak tak nak terima sedekah qurban Pida bukan kerana mak tak sudi, tapi kerana mak merasakan duit yang akan dibelanjakan untuk qurban itu lebih diperlukan oleh anak-anak Pida.

Ab pun macam tu. Pida pernah nak bagi dia duit sebagai tanda pemberian seorang anak kepada bapanya. Namun ab cuma pegang duit itu dan minta Pida simpan semula untuk kegunaan anak-anak Pida. Malah ab bagi lagi duit kat Pida. Sejak itu Pida memang tak pernah bagi mak dan ab duit kecuali pada hari raya atas nama duit raya.

Sekarang mak dah tak ada. Mak pergi sebulan selepas Pida menyampaikan hajat tersebut. Memang nyata hajat untuk membuatkan qurban untuk mak tidak kesampaian. Namun Pida tak terkilan kerana Pida dah suarakan hasrat hati.

Apa yang boleh Pida lakukan sekarang ialah sedekahkan banyak-banyak Fatihah kepada mak. Sampai sekarang rindu di jiwa masih membara, masih menebal dan sering membuatkan Pida menangis. Entah bila Pida boleh berhenti menangis.

Pida amat merindui mak. Terasa sangat kehilangannya. Terlalu banyak rahsia hati yang telah dipendam sejak kepergiannya kerana Pida tidak ada tempat untuk meluahkan rasa jiwa. Dulu maklah tempat Pida mencurahkan segala-galanya. Tidak ada rahsia antara kami. Sekarang tiada lagi dan situasi ini amat memedihkan.

Mak jangan risau. Pida tak pernah lupa mendoakan mak di sana. Kita hanya terpisah oleh satu garisan waktu. Insya Allah kita akan bertemu semula di akhirat sana.

Mak, Pida amat menyayangimu. Masih terasa hangat pelukanmu dan lembut bicaramu. Takkan dapat dilupa manisnya senyummu, takkan terpadam kenangan bersamamu.

Mak, kembalilah ke pangkuan kami. Kami masih memerlukanmu. Mak janganlah pergi... jangan tinggalkan kami...




Friday, October 4, 2013

Sufi yang tak sayang mulut

Salam sufi,

Hari tu dah cerita pasal Aqil yang suka dikelon (dipeluk). Kali ni nak cerita tentang Sufi pulak. Si kecik yang dah berumur 3 tahun setengah ini dah semakin lasak dan petah berkata-kata.

Boleh tahan jugak loyar buruknya budak kecik sorang ni. Teacher dia cerita, kat sekolah teacher suruh Sufi jangan main panjat-panjat. Dia dengan selamba macam mak nenek pegi menjawab kat teacher, "Yelah, yelah... nak turun la ni!" Kan macam orang tua tu perangainya.

Baru-baru ni Pida sekeluarga pergi berjalan-jalan ke Taiping (entry sedang dalam proses - belum ada mood nak buat haha). Semasa singgah di sebuah R&R, Pida membawa dia ke bilik air. Bukan dia yang nak kencing, tapi mak dia ni ha. Terpaksa beratur sekejap sebab orang ramai pada masa tu.

Kau ingat dia nak tinggal dengan abah dia? Ke mana-mana mesti dengan mak dia ni. Asyik berdukung macam anak monyet. Geram kadang dibuatnya. Dah macam takde kaki pulak, asyik berdukung aje. Bila disuruh pakai selipar, dia boleh menjawab, "Takyah pakai kacot la mak... dukung ajelah.." Eh, eh!

Oh ye, citer pasal pergi toilet tadi kan? Lepas menyahut panggilan alam, Pida pun pergilah ke cermin, konon-konon nak pakai gincu sikit sambil betul-betulkan shawl. Sufi Pida tenggekkan kat atas sinki tu. Dia pun tunggu Pida bersolek.

Tiba-tiba dia menjerit, "Mak tak cantikkkkk!!!!"

Astaga! Terkejut aku. Apahal tiba-tiba kau kata mak tak cantik? Orang lain yang dengar ada yang dah ketawa pelan-pelan, ada yang senyum-senyum. Ya Rabbi, memang bertuah ini budak. Cepat-cepat Pida dukung dia sambil geletek-geletek ketiak dia.


Sufi Arumugam.

Aqil, kenapa mak citer pasal kita ek? Abis kantol perangai aku.



Thursday, October 3, 2013

Aqil yang suka dikelon

Salam aqil,

Sudah menjadi rutin setiap pagi ketika menghantar Aqil dan Sufi ke tadika, Pida pasti akan mencium Aqil satu muka. Pipi kanan, pipi kiri, dahi dan mulut. Selepas itu Pida akan memeluk dia erat-erat sambil membisikkan "Aqil anak kebanggaan mak," sambil dia terkedek-kedek masuk ke kelas.

Bukan sahaja Aqil, malah Rania pun macam tu jugak. Sebelum pergi ke sekolah, Pida pastikan Pida akan cium dia satu muka dan memeluknya juga. Akhir sekali pasti Pida akan cakap, "Be good!" Walaupun pagi-pagi diorang kena bebel pasal liat nak bangun dari tido.

Aqil walaupun seorang kanak-kanak yang sangat aktif dan nakal, namun dalam hatinya ada taman. Kadang-kadang secara tiba-tiba dia akan datang kepada Pida dan berkata, "Mak, nak peluk!" Pada masa tu kalau Pida tengah buat apa pun Pida pasti akan berhenti dan akan memeluknya erat-erat sambil bercakap perkara-perkara baik buat pendengarannya.

Yang paling biasa Pida akan cakap "mak sayang Aqil" dan dia akan membalas, "Aqil pun sayang mak... sayang sangat. Mak jangan mati tau. Aqil tak nak dapat mak baru." Jadah apa kau cakap macam tu.

Malam tadi seperti biasa, Aqil datang kepada Pida dan cakap, "Mak, Aqil nak peluk mak." Pida pun terus depakan tangan dan memeluknya erat-erat. Dia bagitau dia sayang sangat kat Pida, oh sangat mengharukan juga walaupun baru kejap tadi Pida marah dia.

Lepas tu Pida tanya Aqil, "Apa yang Aqil rasa masa Aqil peluk mak?"

Aqil jawab, "Aqil rasa selesa."

Ok, jawapan yang sangat indah bagi seorang budak 6 tahun. Dia rasa selesa dan selamat apabila berada dalam pelukan ibunya.

Aqil pulak tanya Pida, "Mak rasa apa bila Aqil peluk mak?"

Dengan selamba Pida jawab, "Rimas."

Terus dia lepaskan pelukan dan menjerit, "Mak niiii! Tak nak la peluk mak lagi. Sambil berguling-guling macam tenggiling.

Hahahahaha.


Aqil yang suka dikelon.



Monday, September 30, 2013

Tempat bermain lagikan dikenang, inikan pula tempat ajal yang menghampiri

Salam ajal,

Ini kisah lama. Cerita yang meninggalkan kesan yang cukup mendalam buat diri Pida. Cerita tentang bagaimana maut itu cukup hampir dengan Pida tetapi dengan izin Allah, kematian yang mungkin menjadi milik Pida pada waktu itu telah berubah takdirnya.

Kejadian ini berlaku pada suatu hari Jumaat tahun lepas, yang nyatanya sebelum pemergian mak pada Januari lalu. Pada hari itu Pida menghadiri mesyuarat di Cyberjaya.

Seperti biasa, jika perlu menghadiri mesyuarat di Cyberjaya, Pida akan memandu kereta sendiri. Pida tidak menggunakan khidmat pemandu kerana tak jauh pun Cyberjaya dari rumah Pida. Tak sampai sejam perjalanan.

Mesyuarat pada hari itu berakhir awal. Selepas penangguhannya pada pukul 12 tengah hari, Pida terus memandu pulang. Pida lalu jalan Cyberjaya - Puchong. Keadaan jalan raya pada tengah hari itu sangat lengang. Hanya kelihatan 4-5 buah kereta sahaja di sepanjang jalan yang lebar dan berlapis-lapis itu. Mungkin orang masih di pejabat dan belum keluar untuk solat Jumaat.

Tiba di kawasan jalan raya bercabang yang mempunyai 4 baris jalan raya iaitu dua yang menuju ke Pulau Indah dan Kajang, sementara satu jalan sehala menuju ke Putrajaya dan jalan di arah bertentangan menuju ke Cyberjaya, Pida hanya memandu perlahan.




Pida sebenarnya memandu dengan rileks sekali, tidak terkejar-kejar kerana seperti yang Pida ceritakan di atas, suasana jalan pada ketika itu sangat lengang. 6 lane jalan yang sangat lengang, hanya Pida berdua dengan seekor Kancil di belakang yang juga dipandu perlahan.

Apabila melepasi satu kawasan yang bersebelahan dengan jalan ke Pulau Indah dan Kajang, tiba-tiba Pida terpaku dengan apa yang Pida saksikan di cermin pandang belakang. Pida nampak sebuah lori simen yang sangat laju terbabas dan merempuh pembahagi jalan.

Pida nampak dengan jelas lori tersebut seperti terbang dan terus terbabas melintasi keenam-enam lane jalan tersebut secara melintang. Melihatkan kejadian tersebut, lutut Pida terus terasa lemah sekali. Rasa tak berupaya nak meneruskan pemanduan kerana Pida baru saja menyaksikan kemalangan yang dahsyat. Dan Pida tak upaya juga nak berhenti sebab tangan dah menggigil.

Kancil di belakang Pida juga memperlahankan keretanya tetapi tidak berhenti. Pida cuma nampak lori simen itu terus terbabas dan terjunam ke arah jalan raya yang lebih rendah di kawasan sebelah sana. Oleh kerana pada waktu itu lengang, maka tak ramailah saksi yang melihat kejadian itu. Pida pun sampai sekarang tak tahu apa nasib pemandu lori tersebut.

Sebenarnya lori itu terbabas dalam masa tak sampai 5 saat selepas Pida melalui tempat rempuhan tersebut. Masa tu Pida bayangkan, kalaulah Pida melalui kawasan itu pada waktu lori itu terbabas, insya Allah Pida akan mati dirempuh dan diseret lori tersebut sehingga melintangi jalan dan akhirnya terhumban ke jalan bawah. 

Lepas menyaksikan kejadian itu Pida memang blur dan menggigil sangat. Sampai sesat-sesat Pida dibuatnya dalam perjalanan balik ke rumah tu. Dalam masa yang sama tak lekang dari bibir ni kalimah Alhamdulillah kerana terselamat 5 saat dari rempuhan dahsyat tersebut.

Pada malam itu, Pida tak boleh melelapkan mata. Pida menangis saat melihat anak-anak Pida malam itu. Pida tak dapat bayangkan macam mana keadaan mereka jika malam itu adalah malam pertama mereka kehilangan ibu mereka ini.

Dan Pida juga menangis kerana memikirkan jika Pida mati dalam kemalangan siang tadi, malam itu adalah malam pertama Pida di alam barzakh; lebih awal Pida pergi daripada mak yang sedang sakit pada waktu itu. 

Setiap kali jika ada urusan di Cyberjaya, Pida pasti akan melalui jalan tersebut. Kesan pelanggaran masih jelas kelihatan; masih belum dibaiki lagi. Setiap kali itulah akan teringat detik-detik Pida sangat hampir dengan kematian akibat nahas tersebut.

Pantang maut sebelum ajal. Apalah yang boleh Pida katakan selain ucapan syukur yang tidak berhenti kepada Allah kerana menyelamatkan Pida daripada kemalangan tersebut. Kematian terlalu hampir pada masa itu.

Syukur kerana umur masih panjang dan masih ada peluang untuk memperbaiki diri dan melunaskan tanggungjawab sebagai hamba dan sesama manusia.

Pagi tadi Pida lalu di tempat itu lagi. Pida masih dapat melihat kesan rempuhan tersebut. Dan Pida masih terasa seriaunya perasaan ini tatkala melintasi tempat yang hampir memutuskan hubungan Pida dengan dunia ini...


Pandangan di jalan arah ke Cyberjaya dari Puchong.  Lori simen berwarna hijau itu terbang dari sebelah kanan gambar ini dan terus menjunam ke jalan di sebelah kiri. 




Sunday, September 22, 2013

Serangan bunyi guli kembali lagi, kali ini lebih ganas!

Salam guli, 

Dua tiga hari lepas, jiran sebelah rumah Pida mengadu kepada suami Pida. Dia bagitahu sejak akhir-akhir ini dia dan keluarganya semakin kerap mendengar bunyi guli melantun-lantun di rumahnya. Kisah guli melantun ni pernah Pida ceritakan dalam kisah berjodol Entry Misteri : Tinggal Bersama 'Si Dia' yang sedang kekal dalam carta top ten. Hehe.

Berbalik kepada luahan sang jiran tadi, yang mengatakan bini dia sampai telefon dia yang tengah bekerja semata-mata nak mengadu ada gangguan bunyi guli yang semakin menjadi-jadi terutama selepas maghrib, suami Pida cuma no komen.

Cuma mampu geleng-geleng kepala aje. Adakah kerana suami Pida dah biasa dengan bunyi guli mainan anak jin tu, jadi dia dah tak heran dah... Bukan begitu, sebenarnya suami Pida tahu sangat dari mana asalnya bunyi guli yang dikatakan semakin galak itu. Sehingga menghantui jiran sebelah rumah yang tidak berdosa.


Sebenarnya inilah guli yang melantun-lantun sehingga menimbulkan misteri kepada jiran Pida itu. Guli-guli ini berada di rumah Pida!


Guli-guli tadi adalah milik Aqil yang merupakan aksesori kepada set permainan robot B-Daman yang dibelinya.





Bila suami Pida terangkan bahawa sebenarnya bunyi guli melantun itu adalah angkara anak Pida dan bukannya anak jin, dia terus lega sambil ketawa dan membelasah suami Pida. Terlerailah akhirnya sebuah misteri. Rupa-rupanya Aqil yang main guli dengan robot B-Daman dia tu.

Memanglah bunyi selepas maghrib, sebab lepas maghrib baru Aqil ada kat rumah. Petang-petang lepas balik dari sekolah terus main beskal.

Fuhhh.... lega dah jiran sebelah rumah tu. Lepas ni kalau dia terdengar lagi bunyi guli melantun-lantun, dia tahulah itu si Aqil yang main. Dia tak takut lagi.

Tetapi..... dia tidak tahu bahawa bunyi guli melantun itu sebenarnya masih ada lagi kedengaran sehingga ke hari ini.... dan ia bukanlah yang dimainkan oleh Aqil....



Saturday, September 7, 2013

Cerita sedih Rania ditinggalkan van sekolahnya

Salam ditinggalkan,

Semalam Rania mengadu kepada Pida yang dia telah ditinggalkan oleh makcik van sekolahnya untuk pergi ke sekolah kebangsaan. Untuk pengetahuan, Rania bersekolah agama pada waktu pagi, kemudian transit di sekolah agama tersebut sebelum meneruskan sesi sekolah kebangsaan dengan menaiki van sekolah yang disediakan oleh pihak sekolah agama.

Namun semalam Rania menceritakan bagaimana dia ditinggalkan oleh makcik van di sekolah agama dan dia terpaksa berjalan kaki ke sekolah kebangsaan pada waktu tengah hari buta ketika orang sedang bersiap sedia pergi solat jumaat.

Ya Allah, rasa terputus tangkai jantung Pida mendengar cerita Rania itu. Kasihannya pada anak aku yang masih kecik itu terpaksa jalan kaki sorang-sorang pada waktu tengah hari sunyi dengan menyandang beg sekolah yang beratnya 2 kg!

Sebaknya bila dapat tau tentang perkara itu. Pida tanya dia, kenapa makcik van tinggalkan dia di sekolah agama? Rania bagitau Pida dia tersalah sarung pakaian, kemudian dia berpatah balik ke bilik persalinan dan pada masa itulah dia ditinggalkan.

Pida tanya dia lagi, Nia tak bagitau kawan ke suruh makcik van tu tunggu Nia sampai Nia datang. Nia cakap dia dah bagitau kawan tapi akhirnya dia tetap ditinggalkan.

Ya Allah... waktu tu lebih kurang pukul 12.30 hingga ke pukul 1.00 tangah hari. Menyedari dia telah ditinggalkan, dia gigih berjalan kaki sorang-sorang dalam panas-panas tu ke sekolah kebangsaan yang letaknya hampir 1 km dari sekolah agama tersebut.

Aduh... memang menangis Pida dengar cerita Rania tu. Sedih dan hiba sangat apabila memikirkan tentang keadaan dia pada masa itu. Dahlah kena tinggal, terpaksa berjalan kaki sorang-sorang, waktu tengah hari panas, bawak beg berat dan yang paling Pida sedih, dia adalah budak kecik!

Pida tanya Rania, kenapa tak telefon mak atau abah, kalau Nia telefon mak, pasti mak akan ambik Nia dan hantar dengan kereta. Dia jawab ustazah tak ada (sebab kalau nak telefon ibu bapa mesti melalui ustazah/ustaz).

Ini satu perkara yang Pida tak puas hati. Mana boleh budak-budak ditinggalkan di sekolah tanpa pengawasan guru? Siapa yang akan bertanggungjawab kalau terjadi apa-apa pada budak-budak ni? Ustaz tak ada Pida fahamlah, sebab pergi solat jumaat. Tapi ustazahnya mana? Kenapa tinggalkan budak-budak ini sendirian?

Pihak sekolah agama yang menyediakan perkhidmatan transit ini mesti dan wajib meletakkan guru untuk menjaga dan memantau murid-murid yang masih berada di dalam premis mereka terutama pada waktu rehat yang panjang seperti hari jumaat.

Mustahil mereka boleh dibiarkan begitu sahaja. Kalau ada kes penculikan atau kecederaan, siapakah yang mahu tampil memikul tanggungjawab? Sedangkan ibu bapa yang meletakkan amanah kepada pihak sekolah tidak tahu pun anak-anak mereka ditinggalkan tanpa pengawasan guru.

Berderau darah Pida apabila Rania memberitahu dia berjalan kaki sorang-sorang. Ya Allah... terima kasih kerana melindungi anakku. Kau cubalah selami perasaan Pida, kat celah mana di dunia ini Pida nak huni kalau apa-apa yang buruk berlaku pada Nia ketika itu? She's just a small girl! Ya Allah.... syukurlah Nia selamat dan tidak berlaku apa-apa yang buruk kepadanya. Alhamdulillah.

Dan rupa-rupanya, makcik van ini pernah juga meninggalkan budak-budak yang lewat. Sama macam kes Rania. Ini lagi sorang mangkuk. Kau tak rasa ke budak-budak yang naik van kau tu adalah tanggungjawab kau? Kau tak rasa bersalah ke tinggalkan budak-budak tu? Tak boleh ke tunggu sampai budak tu muncul dan naik van kau dengan selamat sebelum bergerak? Ataupun selepas itu kau datang balik untuk ambik budak-budak tu? Tapi kenapa tak ada pesanan untuk Rania bahawa kau akan datang kembali?

Alhamdulillah perkara ini berlaku pada Rania. Sekurang-kurangnya Pida tau ada kelompongan dalam sistem penjagaan transit di sekolah tersebut. Insya Allah minggu depan ni Pida akan jumpa guru besar sekolah dan menceritakan peristiwa ini. Mudah-mudahan beliau bersih hati menerima teguran Pida dan memperbetul keadaan supaya kejadian murid ditinggalkan tanpa pengawasan guru dan murid ditinggalkan van tidak berulang lagi. Biarlah kes Rania adalah yang terakhir yang pernah berlaku.

Alahai.... Rania, Rania.... baguslah kaurasa sikit macam mana peritnya nak menuntut ilmu ye nak... Kadang-kadang memang ada halangan dan dugaan sebelum sampai kepada kejayaan. Jadikanlah pengalaman ini sebagai pengajaran dan kenangan manis ye nak. Mak bangga sebab Rania berjaya sampai ke sekolah walaupun Rania letih berjalan. Dan bersyukurlah nak, Allah melindungi setiap langkahmu demi menuju ke sekolah untuk menuntut ilmu.

Buat ibu bapa yang lain, sesekali lawatlah anak-anak di transit. Pida dah dapat satu pengajaran yang sangat berguna sekarang. Bukan selama ini Pida mengabaikan Rania, tidak.... tapi Pida rasa dah lama kot Pida tak ambik Rania dari transit pada hari jumaat sebab bagi Pida lebih mudah dia transit sahaja. Tak sangka macam ni pulak jadinya.

Tak apalah, yang penting Pida bersyukur sebab Rania selamat. Alhamdulillah sangat-sangat. Mungkin itulah berkat doa seorang ibu yang tidak putus-putus mengharapkan Allah memelihara dan melindungi anak-anaknya di setiap masa dan ketika, walau di mana sahaja anak itu berada.

Terima kasih Allah!



Thursday, September 5, 2013

Coretan hari lahir buat Rania si pembuka rezeki luasku

Salam hari lahir,

Alhamdulillah, hari ini genaplah usia Rania 8 tahun. Puteri sulung Pida yang selalu mengimpikan dirinya menjadi seorang puteri, walhal dia tidak sedar bahawa dia adalah puteri yang sebenarnya; puteri bagi ibu bapanya, puteri bagi adik-adiknya dan puteri dalam kalangan kawan-kawannya.

Buat Rania, bacalah serba-sedikit coretan kasih sayang mak sempena hari istimewa yang diraikan ini.


Rania anakandaku,

Kau tidak lahir dalam kesenangan, anakku. Kau hadir ketika aku tidak punya apa-apa ketika itu. Kau datang dalam hidupku sebagai sebuah rezeki yang maha besar; yang amat ditunggu-tunggu dan persinggahanmu di mayapada ini umpama bulan jatuh ke riba.

Syukurnya aku tatkala menatap wajah anak sulungku buat kali pertama, tak mungkin aku lupakan. Kutinggalkan segala-galanya kepentingan peribadiku demimu sejak itu. Kau hadir dengan membuka pintu rezeki yang seluas-luasnya untuk kita. Sejak itu aku bertekad untuk memberikanmu sepenuh keselesaan yang berhak kaukecapi.

Rania anakku,

Jika kautanya kasihku bagai apa, tidak mungkin dapat kujawab persoalan itu. Tetapi dapat kubayangkan bahawa kasih sayangku melebihi segala apa yang ada di dunia ini. Harapanku terhadap dirimu melebihi segalanya yang tertinggi di muka bumi ini. Namun impian itu kuletakkan di bumi yang nyata.

Aku mahu engkau menjadi seorang insan yang berguna, anakku. Aku mahu engkau baktikan pengorbananmu kepada insan-insan kesayanganmu, yang sentiasa ada di sekelilingmu. Tahukah engkau bahawa engkau tidak pernah keseorangan, anakku?

Rania anakku,

Aku mahu engkau melindungi segala apa yang ada padamu. Jangan biarkan ia terusik dek pandangan atau sentuhan yang tidak menjanjikan syurga buatmu. Aku mahu engkau tahu bahawa dirimu adalah mahkota jiwa yang paling berharga melebihi segala intan permata yang dihamparkan di bumi ini. Dan aku mahu engkau sedar bahawa marcapada yang kauhuni ini penuh dengan helah dan tipu daya semata....

Rania anakku,

Doaku sentiasa mengiringi setiap hela nafasmu. Redhaku menyelimuti tubuhmu. Kasihku membaluti jiwamu. Dulu, kini, selamanya.... sehingga ke akhir nafas kita berdua.








Rania dalam gaun pengantin mamaneh semasa bersanding dengan Tokyi dulu.. Sedih sangat melihat gambar ini.

Mamaneh insan yang paling teruja menyambut kelahiran Rania. Sejak kelahiranmu, nak, apa sahaja keperluan dan keinginan tidak pernah mamaneh hampakan. Kau cukup mewah dengan kasih sayang kami semua. Bersyukurlah dengan kehidupanmu kini, nak. Al-Fatihah buat mamaneh yang amat dirindui.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...