Buat mak yang dikasihi
Maafkan aku kerana mencoret nukilan ini
Kerana aku tak tahu bagaimana lagi
Harus kupujuk hati yang duka kini
Mak yang amat kukasihi
Saat itu aku menangis di pangkuanmu
Tak terucap kata-kataku
Betapa pedih menerima perkhabaran itu
Namun ketabahanmu luar biasa, mak
Kausapu air mataku
Katamu jangan tangisi ketentuan ini
Tak perlu sesali takdir Ilahi
Kerna semua ini telah dicaturkan dari azali
Mak yang amat kusayang
Aku takkan pernah senang
Sejak aku tahu ia kembali datang
Setelah sepuluh tahun ia menghilang
Mengutip bersamanya gundah dan walang
Mak
Kau membuatkan kami kagum
dengan kekuatan dan semangat yang mengaum
Kautunjukkan kami teladan
bahawa di sana sentiasa ada jalan
Aneh, kau pula yang meniupkan roh semangat kepada kami
yang lemah, longlai tetapi tidak sesekali berhenti
menjadi tulang belakangmu saban waktu
menitipkan doa untuk keadaanmu
doa untuk kekuatanmu
untuk kesihatanmu
kehidupanmu
Bertuahnya kami
Memiliki ibu seperti ini
Yang mempunyai semangat besi
Tiada langsung riak gundah pada wajah yang berseri
Mak
Semangatmu adalah penawar yang asli
Tiada doktor boleh memberi
Kerana ia lahir dari diri
Yang ikhlas mensyukuri rezeki
Kaulah sumber inspirasi kami
Mak
Sesungguhnya kau akan sembuh
Dengan izin-Nya kau akan sembuh jua
Percayalah mak
Kerna Tuhan tidak akan mengubah nasib sesuatu kaum,
melainkan kaum itu sendiri yang mengubah nasibnya
Mak,
Setiap saat yang kulalui
Adalah doa setulus hati
Daripada seorang anak yang selalu menyakiti
Pada ketika aku leka dibuai mimpi
Percayalah mak bahawa aku menyesal menjadi seperti itu
Sedangkan aku terlalu menyayangimu
Mak,
Maafkanlah aku
Kerna tak mampu sentiasa mendampingimu
Namun hatiku tetap di hatimu
Apa saja yang berlaku
Aku mahu tahu
Mak,
Terima kasih atas segalanya
Segala-galanya mak
Melahirkanku, menyusukanku, menjagaku, membesarkanku, menyekolahkanku,
Memakaikanku baju, menyelitkan sepit comel di rambutku,
melengkapkan keperluanku, mengahwinkanku, mengasihi anak-anakku,
merestuiku...
Mak
Kerana kekuatanmu itulah
Lantas aku berharap
Cepatlah sembuh...
ps: Air mata menderu bagai empangan pecah dipukul ombak rindu
mak sakit ke?? Syahdu nampak...
ReplyDelete