Friday, April 6, 2012

Bersyukurlah ada mak ayah...

Salam mak ayah,

Minggu lepas Pida bersembang dengan seorang member baik Pida di ofis. Sedang Pida buat-buat ada keje, member Pida si Lili (nama sebenar) ni pun masuk bilik Pida.

"Salam...," sapanya di muka pintu.

Pida tak jawab. Buat-buat sibuk tekan spacebar lama-lama.

"Akum...," Lili mengulangi salamnya ala-ala tulis mesej.

Pida masih tak jawab. Kali ni buat-buat lap cermin monitor pulak.

"Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh!" Lili akhirnya memberi salam yang sempurna.

"Waalaikumussalan warahmatullahi wabarakatuh... Eh, Lili rupanya. Dah lama ke tercegat kat situ? Meh masuk meh," Pida mempelawa dia masuk dan duduk di hadapan meja Pida.

"Kau aku bagi salam stail ulamak baru kau jawab eh," ujarnya.

"Hehe... salam kau yang kesatu dan kedua tu tak valid la der..," Pida menjawab sambil tersengih.

Kami pun berbual-bual, ketawa-ketawa, bertepuk tampar, tendang terajang. Eh, kau ni macam takde keje 'ek Pida. Kaumakan gaji buta eh?

Gaji buta tengkorak kau. Pukul 1.15 tengah hari waktu rehat la dol.

"Mak kau sihat Pida?" Lili bertanya tentang mak. Memang dia tahu pasal mak. Pida selalu bagitau dia pasal mak.

"Alhamdulillah, mak aku dah semakin sihat. Harap-harap dia sembuh cepat," Pida membalas dengan perasaan gembira. Terharu juga kerana Lili ambil berat soal mak Pida.

"Untunglah kau ada mak, Pida. Macam aku ni...," Lili tiba-tiba menjadi sayu.

"Lerr... pehal ni Lili? Kau takde mak ke?" celupar sungguh mulut Pida ni. Rasa macam nak cili-cili mulut sendiri.

"Aku ni sejak 3 bulan dalam kandungan dah ditinggalkan ayah...," sayu sekali Lili memulakan cerita.

Pida diam, terpana dengan ceritanya yang sedih tu. Wow! Baru mukadimah ayat pertama dah sedih, belum masuk perenggan kedua dan chorus lagi ni. Mesti berkotak-kotak tisu bakal digunakan untuk mengelap air mata.

"Err... cerita kau ni sedih ke kelakar? Kalau sedih aku nak ambik tisu lebih-lebih sikit," Pida mencelah sebelum Lili meneruskan ceritanya.

"Cerita aku ni cerita SERAM Pida!" Lili menjerkah.

Kemudian Lili meneruskan  kisah hidupnya.

"Aku dah mula kehilangan kasih sayang ayah kandung sejak aku dalam perut mak aku lagi. Ayah aku tinggalkan mak aku terkontang-kanting sorang-sorang sampailah aku lahir di rumah nenek aku."

"Bila aku lahir, mak aku pulak tinggalkan aku di bawah jagaan nenek sebab dia terlalu miskin dan tak mampu menyara aku waktu tu..."

"Jadi, hiduplah aku bersama nenek yang membesarkan, memberi makan pakai dan menyekolahkan aku sehingga aku memanggilnya 'emak'," Lili bercerita dalam nada sebak.

Pida hanya tunduk ke lantai. Sedih mendengar kisahnya.

Menurut Lili, bapa kandung yang meninggalkannya dulu telah berkahwin lain dan mempunyai anak-anak yang lain.

Ibunya juga telah memulakan hidup baru.Sekurang-kurangnya dapat juga dia menumpang kasih ayah tiri yang sangat baik terhadapnya.

Lili tidak pernah berjumpa dengan ayahnya sehinggalah dia berusia 21 tahun apabila dia mencari ayah kandungnya itu. Namun kata Lili, pada saat dia berhadapan dengan ayah yang dicari-cari itu, tiada perasaan kasih dan sayang wujud dalam jiwanya.

Dia rasa seperti tiada apa-apa ketika itu sedangkan ayah kandungnya bersungguh-sungguh meminta maaf kerana meninggalkannya dulu. Dan itulah kali pertama dan terakhir Lili bertemu ayah kandungnya kerana sampai kini, dia tidak pernah berjumpa lagi dengan lelaki itu.

Lili sekarang bahagia dengan suami dan dua orang anaknya yang sudah besar. Katanya, itulah kebahagiaan dia sebenarnya. Dia tiada sesiapa di dunia ini kecuali suami dan anak-anaknya. Dia menderita sejak di dalam kandungan lagi. Namun takdir Allah telah menamatkan kesedihannya setelah dia berkahwin.

Itulah kekuasaan Allah. Penderitaan semasa kecil dan remaja telah digantikan dengan kehadiran seorang suami yang amat mengambil berat dan cukup menyayanginya, di samping anak-anak. Neneknya telah meninggal dunia. Ibunya kini menetap bersama keluarga baru.

"Kau untung ada mak ayah, Pida. Hargailah mereka ketika mereka masih ada," kata-kata itu bagaikan sakti yang mengejutkan Pida dari tidur yang panjang.

Ye Lili, aku memang amat menghargai ibu bapa aku. Aku terlalu menyayangi mereka dan aku mahu berbakti kepada mereka selagi ada masa.

Nah, kau ada ibu bapa kan? Hargailah mereka!

4 comments:

  1. huhu mmg sedih, cian dia takde mak n ayah n family yg bahagia,
    tapi apsal ending tu nama dia noli plak? huk3

    ReplyDelete
  2. nama member tu noli ke lili??

    ReplyDelete
  3. Diila dan Fello :

    hahaha... typo error daa...

    ReplyDelete
  4. heheh... typo error.. pastu butang backspace pun rosak kan?? Hehhe

    ReplyDelete

Oh, tak sangka ada yang sudi komen... terima kasih!

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...