Salam optimis,
Mula-mula, Pida nak cerita pasal filem hindi dulu.
Seumur hidup Pida, Pida tak pernah tengok filem hindustan dari mula sampai habis kecuali filem Dil Kya Kare. Itupun tengok dah tengah-tengah.
Kau nak tau kenapa Pida tak tengok filem hindustan? Sebab cerita-cerita hindustan selama ini sangat cliche. Stereotype. Mesti ada percintaan terhalang mengikut kasta, orang jahat berdendam dengan hero, lawan-lawan, gaduh-gaduh, pastu dah pecah muka baru polis sampai. Polis pun polis nan ado.
Hero sorang lawan 100 orang pun maintain je... calar-calar kat lengan je. Muka takat berpeluh je. Eh, ada la darah sikit-sikit tapi tak pernah patah riuk la. Yang patah riuk konco-konco orang jahat.
Pida ingat lagi masa Pida sekolah rendah dulu, Pida teman orang gaji Pida tengok hindustan. Kuang hajo betul sebut orang gaji. Oklah, Pida teman tukang gaji Pida tonton filem hindi petang-petang.
Ada satu adegan yang Pida tak boleh lupa sampai sekarang. Masa tu rumah dia terbakar. Pastu hero ni ambik pasu (vase) yang agak-agak semeter tinggi, pecahkan dinding rumah and guess what?
Kau rasa apa yang pecah? Tentulah pasu kan? Tapi tidak tuan-tuan, yang pecah adalah dinding rumah! Akhirnya hero tersebut terselamat daripada rentung. HAHAHHAHA Pasu boleh pecahkan dinding rumah! Sejak itu Pida tak tengok Hindustan lagi. Bodo-bodo kena bodo.
Dan sebab itulah, masa gelombang Bollywood melanda negara kita suatu ketika dulu, Pida tak terkena badi langsung. Masa tu kan sibuk zaman Shah Rukh Khan. Aku tengok takde la hensem sangat si Saruk tu. Lagi hensem Zulhuzaimi.
Oh ye, sebab apa Pida tengok Dil Kya Kare? Sebab citer dia takde gaduh-gaduh, dan yang paling utama sebab Pida terpikat dengan kejelitaan Mahima Chaudhary. Oh, she is seriously beautiful. Dan juga, OST filem ni pun sedap jugak.
 |
Sumber : En Gobala Google bin Yahya Hoo |
Baik, habis perenggan mukadimah yang ringkas tersebut.
Pada petang Sabtu lalu, Pida bosan sebab takde keje nak buat kat rumah. Nak buat kerja dengan bapak budak-budak tu, budak-budak tu ada. Cit, kalau tau aku hantar gi taska.
So Pida pikir daripada Pida dera budak-budak tu, lebih baik Pida tengok TV. Pida pun capai remote tv daripada Sufi yang sedang mengetuk kepala Aqil dengan remote tersebut.
Pida tekan 1,0,3... Aiseyman... "Please insert card," dia tulis. Lerr... rupa-rupanya kad keahlian Kelab Colgate Pida yang dimasukkan ke dalam decoder tu. Patut la hari tu Pida carik dalam purse takde.
Bila dah dapat siaran, Pida dapati TV3 tengah tayangkan citer hindustan. Memang Pida terus berniat nak tukar ke channel lain sebab Pida tak minat hindustan. Baik aku tengok propaganda kat RTM. Tapi sebaik sahaja Pida nak tukar, tetiba ada satu adegan dalam filem tu yang membuatkan Pida terpaku untuk terus menonton.
Tajuk filem itu ialah We Are Family. Pelakonnya ialah Kajol, Kareena Kapoor dan Arjun Rampal. Oh yes, Arjun Rampal sangat hensem. Baru Pida tau ada pelakon hindustan nama Arjun Rampal. Pida cuma tau Amitabh Bachan je.
 |
Arjun Rampal - aahhhh!!!! |
.jpg) |
Amitabh Bachan - iiihhh!!!! |
Cerita ini mengisahkan seorang ibu tunggal yang sedang meniti hari-hari terakhirnya sebagai pesakit kanser serviks. Mengetahui dirinya akan mati, jadi dia mencarikan seorang bakal mak tiri untuk ketiga-tiga anaknya yang masih kecil. Calon mak tiri tersebut ialah makwe bekas suami dia sendiri yang dilakonkan oleh Kareena Kapoor.
Kan tadi Pida bagitau, ada adegan yang membuatkan Pida tak jadi tukar ke channel lain kan? Adegan itu ialah di mana anak remaja si Kajol ni memeluknya sambil berkata, "Mak janganlah tinggalkan kami," sambil menangis teresak-esak.
Sejarah terlakar pada hari itu. Pida menangis bila tengok adegan tu. Serta-merta. Pida teringat yang Pida pun pernah mengalami situasi serupa, kira-kira 12 tahun lalu.
<12 tahun yang lalu>
Masa tu Pida baru selesai bersolat. Kebiasaannya, Pida akan terus menyidai telekung dan sejadah sesudah berdoa. Tapi pada masa tu Pida duduk berteleku. Fikiran Pida kosong.
<Sehari sebelum itu>
"Pida, mak nak cakap sikit ni," kata mak Pida pada suatu petang ketika Pida keluar dari dapur.
"Ye mak..," Pida menjawab ingin tahu.
Dari raut wajah mak, dia kelihatan sugul. Tak seperti selalu. Selalu mak ceria.
"Esok mak kena pergi hospital. Doktor nak buang ketumbuhan pada badan mak sebab semalam mak pergi check, doktor kata benda ni kanser payudara...," perlahan suara mak.
Pida kaget. "Hah...?!!!" Pida terus menangis. Rasa macam ditampar kuat-kuat pada waktu itu. Terkejut, tersentak, tak percaya. Betulkah?
<<<<>>>>
Pida masih di atas sejadah. Hari itu doa Pida lain daripada hari-hari biasa. Doa Pida agar mak selamat dan sembuh. Pida tak fikir apa-apa pada waktu tu. Yang Pida fikir, mak akan mati. Itu saja. Dan Pida amat takut pada waktu itu.
Tiba-tiba pintu bilik dimasuki seseorang. Pida menoleh ke belakang. Mak.
"Pida...," lembut suara mak menyapa Pida. Pida tak pandang mak sebab masa ni Pida dah mula sebak.
Mak tau Pida terkejut. Dan mak tau Pida sedih. Mak duduk di sebelah Pida. Belum sempat mak cakap apa-apa, Pida terlebih dahulu memeluk mak dan meraung dalam dakapan mak.
"Mak janganlah sakit... mak janganlah mati... Pida sayang mak...," itu sahajalah yang Pida ulang-ulangkan sampai tersedu-sedu di atas bahu mak.
Mak tak cakap apa-apa, mak diam sahaja kerana mak juga menangis. Pida rasa detik itu terlalu berharga kerana Pida rasakan dapatkah Pida peluk mak lagi esok dan lusa. Rasa macam tak nak lepaskan pelukan masa tu.
"Mak tak apa-apalah... mak ok je, doktor cuma nak buang ketumbuhan sikit ni je...," mak terus memujuk namun suara lembutnya tidak berupaya menenangkan perasaan Pida waktu itu.
Dan sejak hari itu, bermulalah episod baru dalam kehidupan Pida. Untuk beberapa bulan berikutnya, emosi Pida berubah secara total. Pida menjadi pendiam, kecewa dan penyedih.
Waktu itu Pida buntu. Waktu itu Pida tak tau nak buat apa kat mak. Yang Pida tau, cuma berharap agar mak tak mati. Itu saja. Ye, percayalah, itu sahaja yang Pida fikirkan pada masa itu. Mak tak boleh mati.
Alhamdulillah, berkat ketekunan mak menjalani rawatan kimo dan sokongan serta doa keluarga, saudara mara dan rakan-rakan, akhirnya mak sembuh daripada kanser payudara tahap 2 pada waktu itu.
Kehidupan kami sekeluarga kembali ceria dan Pida sangat bersyukur kerana Allah masih memberi peluang kepada kami sekeluarga untuk menikmati kehidupan bersama.
Namun kuasa Allah mengatasi segala-galanya. 10 tahun selepas mak pulih daripada kanser, tahun lepas doktor mengesahkan kanser mak telah kembali (recurrance) dan sudah berada di tahap 4 (metastatik).
Tapi syukur Alhamdulillah, kali ini Pida tidak seperti dulu. Sudah tentulah Pida terkejut dan sangat sedih namun masa merubah segalanya.
12 tahun dulu Pida tak ada ilmu. Pida tak tau apa itu kanser, bagaimana ia terjadi, apa kaedah rawatan dan peluang kehidupan bagi pesakit kanser. Yang Pida tau, pesakit kanser akan mati. Pida tak nak mak mati.
Zaman berubah. Teknologi semakin pesat membangun. Pida tau Pida kena ada ilmu tentang penyakit yang sedang mak hadapi. Jadi Pida mula mencari maklumat sebanyak mungkin di internet tentang kanser khususnya kanser payudara supaya Pida faham dan tahu tentang apa itu kanser payudara tahap 4.
Namun Pida hadkan pencarian Pida ke arah maklumat yang valid dalam bidang perubatan hospital sahaja. Pida cari maklumat melalui jurnal-jurnal perubatan percuma dan laman-laman yang boleh dipercayai. Kebanyakannya dalam bahasa inggeris.
Pida yakin, hanya dengan pengetahuan Pida boleh memahami keadaan sebenar mak. Rupa-rupanya kanser tahap 4 bukanlah penamat kehidupan. Selagi pesakit kanser menjalani rawatan yang sewajarnya (kimo dan radioterapi), insya Allah harapan untuk sembuh tetap ada. Sekurang-kurangnya harapan untuk mengekalkan kualiti kehidupan di tahap sekarang.
Keputusan untuk menjalani rawatan kimo dan radioterapi secara intensif telah berjaya memperbaiki keadaan kesihatan mak. Alhamdulillah.
Jadi, sekarang ni, kami sekeluarga memang pasrah dan reda dengan ketentuan Allah bahawa kanser mak Pida telah menular ke tahap 4 tetapi dengan pengetahuan dan maklumat yang diperolehi, kami dapat menghadapinya dengan tabah. Malahan tidak keterlaluan jika dikatakan hubungan kami anak-beranak menjadi semakin akrab kini. Sesungguhnya inilah hikmahnya.
Pida tidak pernah jemu berharap agar mak akan sembuh jua suatu hari nanti. Pida tak sabar menanti detik itu. Namun Pida tetap berpegang pada qada' dan qadar yang telah ditetapkan oleh Allah.
Sebagai seorang anggota keluarga pesakit kanser, perkara paling utama ialah sikap positif. Optimis terhadap takdir yang telah disuratkan. Mak kena optimis, kami tidak boleh sesekali pesimis. Terima dengan reda. Pida percaya bahawa semangat dan rasa percaya yang kuat adalah penawar semulajadi yang sangat mujarab.
Bukan masanya untuk bertanya "Why me?"
"Boleh jadi kamu membenci sesuatu padahal ia amat baik bagimu, dan boleh
jadi pula kamu menyukai sesuatu, padahal ia amat buruk bagimu, Allah
mengetahui sedang kamu tidak mengetahui.”
(Surah Al-Baqarah ayat 216)