Monday, August 4, 2014

Muhaimin di aidilfitri

Salam Muhaimin,

Raya tahun ini sangat bermakna bagi Pida dan keluarga. Nak tau apa sebab? Sebab.... tahun ini Pida beraya bersama buah hati terbaharu kami iaitu baby Muhaimin! Wink wink!


Hihihi... ini adalah bukti perancangan keluarga yang berjaya. Alhamdulillah, Pida selamat melahirkan cahaya mata ke-4 pada 22 Julai 2014 yang lalu. Kalau ikutkan EDD, Pida sepatutnya bersalin pada 7 Ogos, tapi dah takdir Pida bersalin awal. Hihihi.


Baby seberat 3.65kg ini dilahirkan secara normal natural pada jam 12.34 tengah hari. Kami menamakannya Muhammad Amin Muhaimin.  


Pida pun tak sangka nak beranak pada hari itu. Lepas solat subuh, Pida bersiap-siap nak pergi ofis. Tiba-tiba keluar darah. Pida terkejut jugak sebab bila dah keluar darah, itu maknanya tanda-tanda akhir nak bersalin. Tapi masa tu tak rasa sakit.

Pida bagitau suami Pida. Dia kata jom pergi hospital sekarang. Pida cakap nanti jap, kita siapkan budak-budak gi sekolah dulu. Jadi kitorang pun jalankan rutin biasa dahulu, iaitu menghantar Rania, Aqil dan Sufi ke sekolah. 

Selepas selesai menghantar Sufi ke tadika, suami bawak ke hospital. Sebelum tu singgah kedai beli roti dan air Power Root Kurma kot-kot nak buka puasa nanti kan... 

Sampai di hospital, Pida beritahu keadaan Pida kepada seorang nurse di kaunter. Pida cakap nurse, saya dah keluar darah. Nurse terus call labour room, dan tak lama selepas itu Pida disuruh naik kerusi roda untuk dihantar ke labour room di tingkat atas. Lawak juga rasanya bila disuruh naik wilcha. Hei, saya masih kuat berjalanlah!

Sampai di labour room kira-kira jam 9 pagi, seorang lagi nurse memeriksa Pida. Dah 5cm. Hah?! Dah 5cm? 

Pida pun dibagi pakaian hospital dan doktor meramalkan Pida akan bersalin pada pukul 1.40 petang hari itu. Tetapi baby dah tak sabar-sabar nak keluar, pukul 12.34 tengah hari dah lahir. Wink wink!



Baby hari 1






                                                                      Baby hari 2





                                                                Hari-hari berikutnya












Pida bersalin di tempat tinggal Pida. Pada hari Sabtu 3 hari sebelum raya, Pida balik kampung di Batu Pahat. Gamble ok... baru 3 hari beranak dah travel jauh-jauh. Nasib baik Pida dapat berurut sebanyak 2 kali sebelum balik kampung, jadi kira badan ni rasa sedap sikit la untuk perjalanan jauh.

Pida berpantang di rumah ab. Pada hari ke-5, Muhaimin didapati terkena jaundice. Pida bawak Muhaimin menjalani pemeriksaan di hospital. Lepas ambil darah, doktor bagitahu bacaan kuning Muhaimin 17, maknanya kena masuk bawah lampu.

Dengan perasaan berat hati, Pida terpaksa tinggalkan Muhaimin menjalani rawatan fototerapi 2 lampu di hospital. Pida tak dapat nak temankan dia di hospital sebab wad dah penuh. Tapi Pida pun tak kisah sangat sebab jarak antara rumah dengan hospital hanyalah sebatang rokok.

Malam raya tahun ini memang sedih sangat sebab Muhaimin tiada di pangkuan Pida. Cuma Sufi menemani Pida. Suami, Rania dan Aqil balik kampung nenek (mak mentua Pida). Pida menangis bila rindukan Muhaimin yang keseorangan di wad nurseri hospital tanpa Pida di sisi.

Esoknya 1 Syawal, Pida pun turut bersiap-siap. Bukan untuk beraya, tetapi untuk melawat Muhaimin di hospital. Semalam nurse cakap, hari ini boleh bawak keluar Muhaimin. Harap-harap Muhaimin dapat keluar wad sempena 1 Syawal ini.

Hospital pada 1 Syawal sangat lengang kerana cuti umum. Tempat duduk kosong, hanya Pida dan Sufi mengambil tempat. Sesekali ada juga beberapa keluarga yang cantik berbaju raya mengunjungi hospital untuk melawat ahli keluarga mereka yang sakit.


Sufi yang manja dan setia menemani Pida ke hospital. Sufi tak nak ikut Tokyi dan adik-adik Pida beraya di rumah nenek. Gambar ini Pida wassapkan ke suami Pida dengan caption "Sufi beraya bertiga dengan mak dan Muhaimin". Suami Pida rasa sebak tengok gambar ni sebab kesiankan Sufi beraya di hospital pada 1 Syawal.


Sufi punya setia, sampai terkencing dalam seluar. Haru betul. Pagi-pagi raya terkecing dalam seluar. Habis spender dan seluar raya. Oleh kerana memang tak bawak apa-apa pakaian untuk Sufi, maka inilah! Pakai baju melayu tanpa seluar dan spender. Terkontang-kanting benda alah tu. Orang-orang jadi pelik dan ketawa tengok Sufi. 


Selepas 2 jam menanti, akhirnya Pida mendapat berita gembira daripada seorang petugas di situ. Muhaimin dah boleh keluar! Yeay! Alhamdulillah, baby dah dibenarkan keluar. Cepat-cepat Pida telefon suami yang kebetulan pun dalam perjalanan ke hospital.



Inilah potret raya Pida tahun ini. Alhamdulillah bacaan kuning Muhaimin turun kepada 13 selepas semalaman di bawah lampu. Akhirnya dapat juga Pida bertaut kembali dengan baby dan anak-anak yang lain pada hari raya 1 Syawal. 


Inilah raya yang paling bermakna dalam hidup Pida.



Sunday, February 23, 2014

Happy birthday Ab!

Salam birthday,

Hari ini 23 Februari 2014 adalah ulang tahun kelahiran ab yang ke-71. Alhamdulillah, dalam usia emas sebegitu, ab masih sihat walafiat dan masih berupaya melakukan rutin harian dengan cergas. Syukur pada Allah atas nikmat kesihatan yg dikurniakan kepada ab.

Sebenarnya bapak Pida ni memang nampak awet muda kalau diukur dari umurnya. Nak tahu apa rahsia awet muda ab?

1. Tak merokok.

Ab memang tak pernah merokok sejak dia kecik lagi. Tak pernah sekali pun. Hisap ganja pun tak pernah.

2. Mengamalkan pemakanan sihat.

Ab sentiasa mengamalkan kaedah pengambilan makanan yang sihat dan seimbang. Dari dulu ab lebih banyak makan yang rebus-rebus dan bakar-bakar.

Yang goreng-goreng, yang santan-santan, yang lemak-lemak, memang ab kurangkan. Bukan tak makan langsung, tapi kurang sangat.

Lagi satu, ab sangat banyak makan ulam dan sayur-sayuran segar. Contohnya kacang botor, ulam raja, daun tenggek burung, petai, pucuk ubi dan timun. Oh ye, ab juga sangat suka makan botok-botok.

3. Bersenam untuk mengeluarkan peluh.

Bapak aku orang kampung... cara senamannya bukan pegi gym atau join kelas aerobik mak-mak datin.... bapak aku bersenam dengan cara berkebun.

Ab rajin pegi kebun; menebas, memancah, tanam sawit... tapi itu dulu sebelum ab pencen, sekarang dah tua tetap pegi kebun tapi cuma petik-petik daun aje. Petik rambutan pun yang tercapai dek tangan aje.

4. Banyak minum air suam.

Yang ini memang terbukti berkesan. Ab sentiasa minum air suam atau sekurang-kurangnya air putih. Pida tak dapat la nak jadi macam ab.

Pida ni jenis geli kalau minum air putih. Pida minum air manis aje. Kalau kat rumah tu air manis dah habis, macam air sarsi dah habis, Pida sanggup tahan haus sampai dehydration semata-mata tak nak minum air putih.

Jadi itulah serba-sedikit rahsia awet muda ab. Mampus kalau ab baca ni. Aku dah pecahkan rahsia dia.

Baik, berbalik pada ucapan hari lahir untuk ab. Ab memang banyak pengalaman hidup. Ab pernah melalui jerih-perih hidup pada zaman Jepun dan komunis.

Lebih-lebih lagi kampung tempat ab dilahir dan dibesarkan itu mempunyai sejarah yang amat rapat dengan kedua-dua sejarah keganasan tersebut.

Dalam keperitan hidup pada ketika itu jugalah ab telah kehilangan ayah. Masa tu ab baru berumur 3 tahun, dah jadi anak yatim. Masa tu zaman komunis dan diceritakan kematian ayah ab itu ada kaitannya dengan kebangkitan komunis pada masa itu.

Semoga ab terus sihat dan mendapat keredhaan Allah sentiasa. Pida bersyukur kerana menjadi anak ab dan mak. Diorang memang terbaik. Terbaik dan tiada tolok tandingnya.

Ab, selamat hari lahir. Terima kasih atas segala-galanya; kasih sayangmu, pengorbananmu, restumu dan doa harapanmu.

Pida sayang ab. Ya Allah tolong lindungi ab.





Tuesday, January 21, 2014

Sila pergi nyamuk aedes!

Salam aedes,

Baru-baru ni kat kawasan kejiranan Pida ada kes denggi. Apa lagi, kelam kabutlah semua rakyat jelata di situ. Walaupun pada hakikatnya taman perumahan Pida nampak macam bersih, namun sebenarnya nyamuk aedes telah membiak di sana dan dan telah mendatangkan malapetaka.

Oleh itu, pada suatu hari minggu, seluruh penduduk taman telah berganding bahu bergotong-royong membersihkan kawasan taman secara intensif. Selama ini memanglah kami semua menjaga kebersihan dan mencegah pembiakan aedes, tapi siapa tahu bahawa aedes masih bertapak jua.

Susulan itu, pada hari Ahad lepas, pihak Jabatan Kesihatan Daerah telah mengambil tindakan merawat iaitu melakukan semburan asap di seluruh kawasan taman. Sejam sebelum itu, sebuah kenderaan pikap penerangan telah menguar-uarkan kepada seluruh isi taman perihal akan berlakunya kerja-kerja penyemburan asap pembunuh aedes di luar dan di dalam rumah.


"Surat khabar lama... bateri lama, tilam, tilam... " Bukanlah itu yang dilaung-laungkan sebaliknya pemberitahuan mesra supaya penduduk bersiap-sedia untuk menutup segala makanan dan menutup mulut daripada ternganga semasa proses penyemburan dijalankan.


Sebagai penduduk yang mendengar kata, Pida pun akur dengan arahan tersebut. Pida nampak ada makanan di atas meja, Pida pun makan semua makanan itu. Sebab kebetulan tengah lapar kan, jadi ngap ajelah.

Tak lama kemudian, petugas Jabatan Kesihatan pun sampai ke rumah Pida. Dia masuk ke dalam rumah dan memulakan semburan dari belakang dapur.


Petugas itu lengkap berpakaian keselamatan termasuk alat topeng muka dan penutup hidung. Kau ada? 


Semburan yang dilakukan di dalam rumah bukanlah dari jenis yang berasap-asap macam biasa tu. Asap dia sikit sangat, tapi bau dia kuat sangat dan lantai jadi melekit sedikit. Rasa berterima kasih sebab tolong bunuh nyamuk aedes yang mungkin sudah membiak di rumah Pida.

Selepas selesai kerja-kerja menyembur di luar dan di dalam rumah, petugas tersebut sekali lagi melakukan semburan kali kedua di kawasan luar taman. Kali ini jenis yang berasap-asap tu pulak.


Tengok tu asap putih tebal hasil semburan untuk membunuh nyamuk aedes.


Selepas sembur, dalam sejam jugalah Pida tak masuk rumah sebab bau semburan tu masih kuat di dalam rumah. So Pida lepak-lepak aje kat luar rumah sambil mengurat orang lalu-lalang.

Maka berakhirlah kerja-kerja penyemburan asap pembunuh aedes di taman Pida. Terima kasih kepada Jabatan Kesihatan Daerah yang telah melakukan tanggungjawab dengan cukup baik.

Dan untuk nyamuk aedes.... nyah kau dari sini!



Tuesday, January 14, 2014

Jemput-jemput ayam super special

Salam jemput-jemput,

Sempena cuti Maulidur Rasul pada hari ini, Pida telah mendapat tempahan khas (cheh!) untuk membuat jemput-jemput daripada Ketua Penduduk Taman Pida (cheh lagi!).

Untuk pengetahuan kau, biarlah Pida membuka rahsia di dada yang selama ini Pida simpan daripada pengetahuan semua orang termasuk Presiden Cuepacs.

Sebenarnya suami Pida menggelarkan Pida Dewi Jemput-Jemput. Haaa! Kelas kan gelaran pemberian suami Pida tu? Nak tau sebab apa? Sebab Pida sangat terror buat jemput-jemput. Jemput-jemput Pida sedap giler wa cakap lu, makan sebijik nak lagi itu gerenti!

Oh ye, kau tau ke jemput-jemput tu apa? Orang KL panggil cekodok. Tapi di Johor kitorang panggil jemput-jemput.

Dan sebenarnya juga dah lama Pida nak berkongsi resepi puaka jemput-jemput Pida ni. Memang berpuaka sebab rasa dia sedap sangat. Tu mesti ada yang muntah hijau dengar Pida puji diri sendiri.

Jadi nak tak nak, terpaksalah Pida berkongsi jugak resepi jemput-jemput pujaan ini.

(Kali ini Pida buat dengan menggunakan sekilo tepung gandum, jadi bahan-bahan yang ditunjukkan nanti akan nampak banyak).

Bahan-bahan asas:

1. Tepung gandum.
Siapalah jemput-jemput tanpa tepung gandum. Pida lebih suka gunakan tepung gandum cap Sauh yang biasa tu sebab jemput-jemput akan jadi gebu dan lebih sedap rasanya.




2. Bawang besar dipotong dadu.




3. Kentang dipotong dadu.




4. Ayam dipotong dadu.
Ini optional. Biasanya Pida buat jemput-jemput bilis. Tapi permintaan kali ini ialah jemput-jemput ayam.




5. Daun kucai dihiris 1cm-1cm.
Ini pun optional. Biasanya Pida tak taruk tapi permintaan Ketua Taman cadangkan supaya taruk daun kucai. Kellas ketua taman aku kau!




Kekdah membuatnya:

1. Campurkan kesemua bahan yang siap dipotong dan dihiris tadi ke dalam bekas. Jangan lupa baca Bismillah dan selawat dan zikir Ya Latif ye kawan-kawan! Lagi afdhal kalau ada wudhuk you...




2. Gaulkan dengan tepung gandum dan bubuh air supaya menjadi adunan yang lemah lembut. Jangan pekat sangat jangan cair sangat. Agak-agak sedang-sedang aje supaya jemput-jemputnya lembut.

(Sementara itu bolehlah panaskan minyak di kuali).

Bubuh garam secukup rasa. Kalau tak taruk garam kang tawar hebeh pulak nanti.




3. Setelah minyak panas, masukkan sesudu demi sesudu adunan tepung tadi. Tunggu sehingga ia kekuning-kuningan dan sedikit garing sebelum diangkat.




4. Jemput-jemput yang telah siap bolehlah dihidangkan. Sedap dimakan ketika masih panas. Lebih sedap kalau dimakan bersama sambal kicap.

Haah, sebut pasal sambal kicap ni, Pida pun dewa sambal kicap. Tapi kali ini Pida tak dapat nak tunjukkan cara membuat sambal kicap sebab diorang makan sambal kicap segera aje.

Alaa senang aje buat sambal kicap. Tumbuk cili padi bersama bawang putih dan tuangkan kicap. Lepas tu taruk gula kasi balance rasa. Siap.




Amacam? Terpana tak? Hehehe.



Saturday, January 11, 2014

Home made sushi - tak shushah pun...

*Kemas kini pada 17 September 2017.
Pida terperasan ada satu post di facebook bertarikh Ogos 2017 yang turut menerangkan cara-cara membuat sushi.

Namun yang menarik perhatian ialah kaedah dan peralatan yang digunakan hampir terlalu sama dengan apa yang ditunjukkan dalam entry asli Pida ini. Cuma kaedah dia lebih terperinci, seolah-olah menjawab pertanyaan di ruangan komen di bawah.

Sekian, itu sahaja. Terima kasih.

Salam sushi,

Pagi tadi Pida belajar cara-cara membuat sushi, iaitu sejenis makanan tradisional masyarakat Jepun yang juga merupakan makanan kegemaran Pida. Dalam kalangan masyarakat kita sekarang, sushi bukanlah asing. Sushi boleh didapati dengan mudah di kedai-kedai di tempat kita.

Pida belajar membuat sushi daripada adik ipar Pida yang memang rajin bab buat-buat kuih ni. Hari tu Pida ternampak post kat facebook dia tentang sushi yang dia buat sendiri, serta-merta rasa terliur nak makan sushi. So dia dengan dedikasinya datang ke rumah Pida untuk membuat sushi.

Jadi di sini Pida nak berkongsi resepi dan cara-cara membuat sushi. Ringkas dan mudah aje nak menyediakan sushi ni rupanya.


Untuk bahan-bahan asas sushi, Pida menyediakan lobak merah, sosej dan telur dadar yang dihiris nipis dan memanjang.

Sediakan timun yang juga dihiris memanjang. Timun ini ditaburkan dengan sedikit garam untuk meningkatkan rasa dan mengekalkan kesegaran dan kerangupannya.

Daging kisar yang ditumis bersama bawang putih dan garam. 

Minyak bijan sebagai penambah perasa dan pengilat sushi.

Ok, demikianlah bahan-bahan asasnya. Senang aje kan? Oh ye, lupa nak cakap. Kalau nak buat sushi kena pakai beras khas dia yang dipanggil beras sushi. Tapi kat kampung-kampung mungkin belum ada kot, kat tempat Pida pun tak banyak sangat.

Jadi Pida gantikan dengan beras biasa aje. Tapi kalau nak sushi tu lembut dan rasanya seakan-akan beras sushi sebenar, gunakanlah beras wangi. Sebab beras wangi lembut dan lebih sedap daripada beras biasa. Kalau nak guna beras biasa pun boleh, tapi pastikan ia lembik sikit supaya ia senang dibentuk dan dimampatkan.

Selain itu, bahan utama sushi ialah rumpai laut atau dalam bahasa inglishnya seaweed. Bahan ini juga mudah didapati di pasar raya-pasar raya berdekatan anda.

Ok, jom tengok macam mana nak buat sushi!

Mula-mula kita hamparkan rolling mat yang dibuat daripada batang-batang buluh. Tujuannya supaya senang nak gulung sushi tu nanti. Sushi akan jadi sekata je saiznya. Lepas tu letakkan sekeping rumpai laut dan sesenduk nasi yang telah dicampurkan sedikit minyak bijan di atasnya. 

Kemudian kepalan nasi tersebut diratakan supaya sekata di atas rumpai laut.

Langkah seterusnya ialah meletakkan bahan-bahan inti tadi dan susun cantik-cantik. Kalau letak lintang-pukang nanti hasilnya berserabut bila dipotong.  

Selepas siap susunan inti, gulung hamparan rumpai laut tersebut dengan ketat dan mampatkan dengan menekan-nekan tikar buluh itu. Tujuannya supaya sushi akan menjadi sekata dan isi dalamnya mampat dan tidak peroi apabila dipotong nanti. 

Bila dah tekan mampat-mampat, buka gulungan tikar tu dan akan terhasillah sushi yang panjang. Macam lontong aje rupanya. Tapi perasan tak rumpai laut tu nampak macam kusam aje warnanya?

Oleh itu cara mengilatkannya ialah dengan menyapu sedikit minyak bijan di atas gulungan sushi. Haaa... kan dah nampak kilat? Cantik sikit.

Akhir sekali sushi yang panjang tadi kita potong-potong agak-agak sama saiz. Kalau tak nak potong, nak makan panjang-panjang tu pun gasak kau la. Tapi nampak gelojoh la.


Pastikan pisau yang digunakan tajam standard nak sembelih lembu. Kalau guna pisau tumpul, boleh jadi isi sushi tu akan berterabur sebab rumpai laut tu agak liat sikit. Jadi kalau guna pisau tajam, jadilah sushi yang kemas dan cantik. 

Oh ye, harap jangan tenung lama-lama dingklek (papan pemotong) Pida yang dah hitam-hitam tu. Itu bukti aku rajin masak kat dapur. 

Yeay! Sushi siap suda! Siapa yang dapat hujung sushi tu memang untung laaa... terlebih panjang inti dia. Hanya insan terpilih yang biasanya dapat bahagian hujung tu. Biasanya orang yang motong la...

Buat sushi - tak shushah pun...!

Thursday, January 9, 2014

Setahun sudah berlalu, Januari datang kembali

Salam Januari,

Hari ini, 9 Januari 2014, genap setahun mak pergi meninggalkan Pida buat selama-lamanya. Terasa terlalu pantas masa berlalu; terasa baru semalam Pida menghadap saat-saat pilu kehilangan mak.

Walaupun sudah setahun mak tiada, namun tidak sedikit pun Pida melupakannya. Malahan sampai sekarang Pida masih menangisi pemergiannya. Kehilangan mak menjadi titik sejarah yang tersendiri dalam kehidupan Pida kerana sekarang Pida tidak lagi mempunyai mak yang telah melahirkan dan membesarkan Pida.

Kerinduan usah dicakapkan. Setiap masa Pida merindui mak, kadang-kadang Pida sampai jadi macam terlalu fokus membayangkan mak masih ada, masih bersuara dan ketawa bersama. Cara ini memang berkesan pada Pida. Pida betul-betul dapat merasakan mak masih 'ada' kerana Pida dapat 'melihat' dengan jelas kehadiran mak di sekeliling Pida.

Mak, walaupun mak dah tak ada, namun semangatmu tetap ada. Pida tetap mengingati segala nasihat dan panduan hidup yang pernah mak berikan dulu. Pida tak pernah lupa dan tak akan lupa.

Buat mak yang dikasihi, bersemadilah dengan aman di sana. Pida amat merindui mak dan akan terus menyayangi mak. Pida tak akan lupa untuk menghadiahkan sedekah Fatihah kepada mak.

Al-Fatihah buat mak yang dirindui...



Pida sayang mak selamanya...

Monday, January 6, 2014

Memori bersama cempedak

Salam cempedak,

Hari ini Pida dapat rezeki buah yang telah lama Pida cari-cari semenjak dua menjak ini iaitu buah cempedak.





Nak tau tak, masa zaman Pida sekolah-sekolah dulu kan, Pida ni terkenal sebagai anak tokey cempedak tau. Masa tu ab baru je pencen. Jadi masanya banyak dihabiskan dengan mengerjakan kebun buahnya.

Buah yang ada di kebun ab pada masa tu ialah seperti durian, rambutan, limau kasturi, duku, sukun dan yang paling banyak - cempedak. Duku dan sukun pun puas jadi jajan kitorang dulu.

Masa tu memang hidup kitorang bergelumang dengan cempedak aje. Cempedak kat kebun tu ab tanam sendiri, Alhamdulillah berkat tangan sejuk ab tu, buah cempedak yang terhasil tu adalah dari gred AAA!

Isinya masya Allah... orang jawa kata kandhel. Gamol. Tebal. Padat. Manis dan bersari. Berjus sampai kadang-kadang menjejes-jejes ke tangan. Ada yang kuning ada yang oren. Sedapnya nauzubillah... eh sesuai ke?

Oleh kerana terlalu banyak, maka puaslah ab membahagi-bahagikan cempedak itu kepada saudara-mara, jiran-jiran, kawan-kawan dan sesiapa yang murah rezeki.

Sampai satu tahap ab dah puas kasi-kasi kat orang, orang pun dah muak agaknya, ab pun jual!

Cara ab jual senang aje. Sumbat cempedak-cempedak yang masak ranum tu ke dalam boot kereta dan ab berniaga di pasar tani yang berdekatan dengan rumah.

Nak tau bagaimana sambutan terhadap cempedak ab? Laku seyh...!!! Tak sampai dua jam dah habis satu boot penuh.

Lagipun ab jual murah giler... cempedak besor-besor gaban tu ab jual dalam singgit ke dua ringgit je. Mana tak berantu orang membelinya. Barang baik harga murah. Ini macam manyak lugi oooo...

Tak... tak rugi pun. Ab cakap ab jual bukan nak kaut untung banyak-banyak, tapi nak menghabiskan cempedak yang banyak setelah dah tak terbahagi pada orang. Lagipun ab berniaga sambil bersedekah katanya.

Itu kisah lama dulu. Kisah 20 tahun dahulu. Sekarang kebun cempedak tu ab dah jual sebab ab dah tak larat nak maintain. Ab dah tua, nak gaji orang pun bukan tak mampu, tapi sebab kebun tu terletak di Kluang, maka susahlah sikit ab nak ke sana sekarang. Dulu kudratnya 100%, sekarang ye dah kurang.

Berbalik pada cerita cempedak yang Pida dapat tadi.



Dulu masa tengah hot jadi anak tokey cempedak, taknak belajar cara kopek. Ab kopek dulu cantik aje... kemas aje... siap boleh tarik batang tu keluar sempurna dengan isi dia. Tengok la cara Pida kopek. Isi bercerai dari batang.


Serius cempedak ni tak dapat lawan cempedak ab. Ya Allah rindunya pada cempedak ab yang kandhel dan gedi tu. Makan seulas pun tercungap-cungap nak ngabiskan.


Ini biji cempedak. Orang jawa panggil beton ( cara sebutan {be - besi, ton - tony}). Bijik ni jangan dibuang terus, rebus sampai empuk pastu makan. Pehhh sedap seyh! Rasa macam buah berangan.


Dulu bijik ab besor-besor macam bijik getah. Beton tu buat makan petang-petang, makan macam monyet.

Kesimpulannya, Pida rindu akan saat-saat kegemilangan sebagai anak tokey cempedak. Saat mengonyel cempedak sambil berpura-pura menelaah pelajaran.

Bila dah rindukan cempedak, automatik rindu kat ab. Nak cempedak ab!



Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...