Wednesday, February 1, 2012

Nak pilih pengasuh atau taska 'ek?

Salam nursery,

Baru-baru ni kita dikejutkan dengan berita sedih mengenai kematian dua orang bayi dalam tempoh sehari di sebuah taska. Rasa luluh jiwa Pida ni mengenangkan nasib malang bayi-bayi tersebut, apatah lagi mengenangkan penderitaan yang ditanggung oleh ibu bapa mereka.

Pida rasa amat sedih dengan tragedi ini. Bayangkanlah, baru beberapa minggu atau bulan dihantar ke taska; yang selama ini kita jaga dengan baik semasa dalam kandungan dan seterusnya dalam tempoh berpantang, bila hantar ke tangan orang, anak kita meninggal, dan dia meninggal ketika kita tiada di sisinya... Ya Allah, besarnya dugaan namun hanya Dia yang lebih mengetahui.

Kisah sedih bayi ini sepatutnya lebih membuka mata semua terutama kita ibu bapa yang mengamanahkan anak kita untuk dijaga oleh pihak lain ketika kita bekerja. Kita tiada pilihan selain terpaksa meletakkan anak di bawah jagaan orang lain sama ada di rumah pengasuh atau taska. Dan kita kena tawakkal bila meninggalkan anak di sana.

Dulu Pida pernah hantar anak Pida si Rania ke rumah orang (pengasuh). Pida mula hantar Rania ketika dia berumur 6 bulan. Kawan opis Pida yang cadangkan hantar ke situ. Makcik yang jaga tu baik, orangnya pun pembersih. Kira Pida puas hati sangat la. Rania pun tak meragam, jadi Pida pun rasa senang hati bila hantar dia ke rumah makcik tu setiap pagi.



Rania tak meragam di rumah pengasuh sebab dia budak baik... dia cuma suka main remote controller je.




Hari berganti hari, bulan berganti bulan, tahun berganti tahun. Rania sudah berumur 2 tahun lebih dan telahpun mendapat adik lelaki (Aqil). Pida masih terus menghantar kedua-dua anak Pida ke rumah makcik.



Rania happy sebab dia dah dapat adik. Boleh buat kawan di rumah nenek (panggilan untuk pengasuh.)




Namun kusangka panas hingga ke petang, rupanya hujan di tengah hari. Kusangka ikatan yang terjalin akan terus tersimpul rapi, namun kedatangan raksasa membawa petaka yang besar dalam 'kontrak perjanjian' kami.

Nak dijadikan cerita, pada suatu hari makcik terpaksa balik ke kampungnya kerana menguruskan hal penting. Maka tinggallah Rania dan Aqil bersama anak perempuan makcik tadi yang umurnya sebaya dengan Pida dan anaknya pun sebaya dengan anak Pida. (Masa menulis ni Pida rasa menggigil menahan marah, air dah naik kepala ni).



Perasaan marah ketika menulis entry ini menyebabkan aura amarah meresapi keseluruhan blog ini. Huh.





Entah apa yang menyantau dia masa tu, bermulalah detik hitam bagi Rania. Rania dipercayai didera secara mental dan sedikit fizikal oleh perempuan itu. Masa Pida ambik budak-budak tu selepas balik dari opis, Pida dapati ada kesan cengkaman di kedua-dua pipi Rania. Perempuan tu perasan Pida belek-belek pipi Rania tapi Pida tak cakap apa-apa, tapi nampak sangat muka dia resah macam perempuan gila meroyan. Pida cool je pastu Pida blah.

Esoknya semasa Pida berhenti di rumah makcik, Rania dah mula menangis. Dia tak nak turun dari kereta. Pida faham kenapa. Perempuan tu konon-konon pujuk supaya turun tapi Rania tetap tak nak. Sudahnya, Pida cuti hari tu.




Dapat tak kaubayangkan perasaan aku bila dapat tau orang lain menyakiti dan melukakan anak aku sedangkan aku mintak tolong dia tu bukan percuma? Aku marah ni!





Pida berbincang dengan suami mengenai masalah ini. Pida tau Rania dikasari. Ok bukan didera tetapi dikasari. Luka di pipi menjadi bukti. Tapi Pida tak tanya apa-apa bukan sebab Pida tak sayang anak sendiri, tapi Pida buat psiko lu pikirlah sendiri!

Selepas kejadian tu Pida mula pusing-pusing kawasan carik nursery. Pida dah tak percaya pada pengasuh lagi. Pida survery semua nursery yang berdekatan, akhirnya dapatlah satu yang paling cocok dengan keperluan dan kemudahan Pida.

Alhamdulillah, anak-anak Pida kekal di nursery ini sampai sekarang. Rania pun dah darjah satu. Tinggal adik-adik dia di nursery tu. (Nursery ini merangkap tadika untuk kanak-kanak 3-6 tahun). Teacher di sini juga sangat baik dan diorang menjaga budak-budak dengan penuh kasih sayang.




Rania dan Aqil semasa mengikuti rombongan tadika ke Zoo Negara.




Tapi Pida tau Aqil selalu kena marah sebab Aqil tu nakal dan dia otai. Pida tak kisah pun teacher marah anak-anak Pida asalkan tujuannya mendidik. Sufi pun dah mula ikut kepala abang dia, jadi monster di taska bayi, asyik nak menggigit baby lain je. Waktu ambil diorang mesti ada je laporan salah laku Aqil dan Sufi ni. Geleng kepala je la...



Ini Sufi. Dia baru berumur setahun 7 bulan. Masih ngempeng*. Dia ditakuti oleh rakan-rakan setaska kerana kecenderungannya menggigit dan menampar sesiapa sahaja yang dirasakan patut ditampar. Dia mungkin dipengaruhi abangnya Aqil yang sangat lasak dan nakal tetapi gembeng.




Aqil gembeng**.




Rania menjeng***.





Pada Pida, lebih baik hantar anak ke nursery. Tapi carilah yang berdaftar. Kerana nursery yang berdaftar itu memenuhi syarat dan piawaian yang ditetapkan oleh JKM seperti nisbah pengasuh kepada budak yang cukup, modul pembelajaran, aspek keselamatan premis, aspek pemakanan, kesihatan dan guru-guru diberikan latihan kursus dari semasa ke semasa.

Tak perlulah terlalu berkira dengan wang. Kita mencari wang untuk membeli kesenangan dan kesejahteraan kepada anak-anak kita. Memang mahal menghantar tiga orang anak sekaligus ke nursery (RM900 sebulan), tetapi apabila melihat mereka gembira, riang ria, ceria, cerdik dan mendapat sesuatu ilmu yang baru setiap hari, kita akan merasakan setiap wang ringgit itu berbaloi pulangannya.

Pida tidak menggunakan khidmat pembantu rumah kerana Pida tak percayakan pengasuh lagi. Biarlah Pida merasa penat lelah menguruskan rumah, kerana itu juga adalah tugas seorang isteri. Pandai-pandailah bagi masa.

Berbalik kepada makcik tadi, sekarang dia dah balik kampung. Dah tak duduk situ lagi. Dendam? Pida tak nak berdendam pada perempuan tu, tapi hati Pida sakit sangat. Dia langsung tak mintak maaf walaupun secara umum. Jadi Pida mengandaikan bahawa perempuan itu memang bangsa yang hanya tau beranak tetapi tidak tahu di mana fungsi otak dan akal fikiran. Ah, sudahlah,  Pida tak nak kenang lagi. Biarlah terus terpadam dari memori.

Tetapi, mengambil iktibar dari sudut yang positif, Pida bersyukur juga kerana selepas kejadian tersebut, Allah memberikan Pida peluang yang lebih baik untuk anak-anak Pida secara jangka panjang. Kalau tak, Pida mungkin tak akan tau kelebihan menghantar anak ke nursery.

Sesungguhnya bukan senang nak senang. Anak-anak adalah amanah yang perlu dijaga sebaik mungkin. Mudah-mudahan anak-anak kita berada di bawah jagaan insan yang baik hatinya.






Terima kasih nenek yang menjaga kami dulu. Kepada makcik yang dimaksudkan tu, terimalah tarian daripada kami. ♪♫lalalalala♫♪





Tesaurus jawa-melayu :

*Ngempeng (Ngem - e pepet, peng - e taling seperti menyebut epal) Kata kerja (verb) yang bermaksud menyusu badan yang sudah menjadi tabiat terutama ketika tidur malam (jenis tak lepas punyalah!)

**Gembeng (Gem - e pepet, beng - e taling seperti menyebut epal) Kata sifat (adj) yang bermaksud kuat menangis, cengeng, kememeh.

***Menjeng (Men - e taling, jeng - e taling seperti menyebut jeng jeng jeng!) Kata sifat (adj) yang bermaksud mengada-ngada, mentel, gedik. (Gambar di atas sekadar hiasan. Rania tak menjeng.)

2 comments:

  1. hahha... siap ada ajor pasal e pepet, etaling, e tanda.... Baek...

    ReplyDelete
  2. U know what fello, finally I found my niche as a writer.

    Sebenarnya kalau diikutkan mmg bakat dan kecenderungan saya ke arah penulisan dan bidang bahasa. Dah dibuktikan sejak zaman sekolah rendah lagi.

    Tapi rezeki Allah yang menentukan, akhirnya terjebak dengan dunia ICT. Bidang cari makan. ;)

    ReplyDelete

Oh, tak sangka ada yang sudi komen... terima kasih!

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...