Wednesday, October 24, 2012

Suatu pemergian yang mengesankan

Salam pemergian,

Semalam pada kira-kira pukul 10 pagi, Pida buka Facebook di handphone sambil-sambil minum kopi depan pc. Pida terbaca status sepupu Pida yang mengatakan abang iparnya (suami kepada kakak sepupu Pida itu) yang mengkhabarkan Abang Din (panggilan untuk abang iparnya) sedang tenat di wad ICU Hospital Serdang.

Status dia pukul 8.30 malam tadinya. Pukul 10 pagi itu Pida balas status dia bertanyakan perkembangan terkini Abang Din dan dia terus membalas 'kembali tenat.'

Pida pun terus telefon mak dan ab yang memang berada di rumah Pida sejak 2 minggu lepas memberitahu khabar tersebut. Mak bagitau Pida waktu rehat pukul 1 nanti kita pergi melawat Abang Din di hospital.

Selepas itu Pida offline semula untuk meneruskan kerja pejabat.

Pukul 1.30 petang, Pida bersama suami, mak serta ab sampai di Hospital Serdang. Pida terus menuju ke kaunter pertanyaan untuk bertanyakan di manakah wad ICU.

Sebaik Pida menyebut nama Abang Din, jururawat di situ memberitahu bahawa orang yang Pida cari itu ada di forensik.

Forensik. Lemah lutut Pida sebaik mendengarnya. Apakah....?

Pida tak puas hati. Pida bertanya pula nama waris Abang Din yang didaftarkan. Jururawat itu memberitahu. Sah. Ya Allah, Abang Din dah pergi...

Pida terus online FB semula. Di hadapan kauter itu. Rupa-rupanya berita kematian Abang Din telah diwar-warkan sejak '3 hours ago'. Pida tak dapat breaking news itu sebab Pida offline sejak pukul 10 pagi tadi.

Selepas itu barulah saudara-mara menelefon mak dan ab memberitahu perkara tersebut.

Kami kemudian bergegas ke Masjid UKM kerana jenazah akan diuruskan dan disembahyangkan di situ. Sampai sahaja di masjid UKM, keranda yang membawa jenazah baru sahaja diangkat untuk dimasukkan ke dalam van jenazah untuk dibawa ke tanah perkuburan.

Segalanya pantas. Semasa di dalam kereta, mak telefon sepupu Pida yang lain bertanyakan tentang urusan jenazah. Dia kata pada masa tu jenazah baru nak dimandikan. Tetapi sebaik sampai, jenazah sudah siap disembahyangkan.

Apa yang mengharukan, pelajar-pelajar fakulti arwah Abang Din yang menerima ijazah dalam Majlis Konvokesyen UKM semalam telah melewatkan sesi penganugerahan ijazah mereka selama sejam semata-mata untuk memberi penghormatan terakhir kepada pensyarah mereka itu dengan turut sama solat jenazah bersama ibu bapa mereka.

Selepas itu, kami pun bertolak ke kawasan perkuburan. Itulah kali pertama dalam hidup Pida menyaksikan upacara pengkebumian. Cuaca redup, sesekali awan menutup matahari dan kelihatan agak mendung.

Kerja-kerja pengkebumian juga dilakukan dengan lancar, cepat, teratur dan sempurna. Sebaik sahaja siap, hujan terus turun dengan lebatnya. Langit seolah-olah turut menangisi pemergian Abang Din.



*****************

Arwah Abang Din adalah seorang pensyarah di UKM. Arwah merupakan insan warak yang sangat dihormati kerana kemuliaan peribadi yang dimiliki.

Arwah Abang Din berkahwin dengan sepupu Pida sejak lebih 10 tahun lalu namun tiada rezeki dikurniakan anak sendiri. Bagaimanapun sekembalinya dari London setelah menghabiskan pengajian di peringkat PhD pada tahun lepas, arwah telah mengambil seorang anak angkat lelaki.

Namun rencana Allah mengatasi segala-galanya. Baru sahaja menikmati kebahagiaan memiliki cahaya mata, Abang Din telah pergi menyahut panggilan Ilahi dalam usia 44 tahun akibat jangkitan kuman pada organ dalaman. Anak tersebut baru berusia 8 bulan sekarang.

Pemergian Abang Din telah meninggalkan kesan yang bukan sedikit kepada Pida secara peribadi. Pida melihat betapa mudah dan lancarnya sepanjang proses menguruskan jenazah sehingga dikebumikan. 

Pida telah menyaksikan sendiri betapa singkatnya masa yang diambil untuk menguruskan jenazah iaitu lebih kurang 5 jam sahaja. Pida yakin Allah melancarkan segala-galanya sebagai kebaikan yang diberi di dunia ini lagi kerana arwah memang seorang yang warak.

Semoga Abang Din ditempatkan di kalangan orang-orang yang beriman. Dan semoga keluarganya bersabar dan tabah menghadapi dugaan ini.

Al-Fatihah.

4 comments:

  1. salam,
    alfatihah dan salam takziah untuk keluarga arwah. semoga tabah menghadapi ujian-Nya.
    pengalaman kak pida pertama kali melihat pengurusan jenazah juga sama spt saya pada tahun lalu, iaitu pada 25 oktober 2011..iaitu melihat pengurusan jenazah arwah ayah sendiri. esok genap setahun pemergian ayah tersayang. alfatihah...

    ReplyDelete
    Replies
    1. Hai Anony,

      Semoga arwah ayah kamu ditempatkan di kalangan orang-orang yang beriman.

      Al-Fatihah.

      TQ ;)

      Delete
  2. Al-Fatihah untuk Allahyarham
    Daripada Allah kita datang, dan kepadaNyalah kita semua akan kembali.

    Selamat Hari Raya Aidil Adha.

    ReplyDelete
    Replies
    1. Selamat hari raya aidiladha untuk cikgu mat som dan keluarga!

      Berapa ekor tumbang tahun ni?

      Delete

Oh, tak sangka ada yang sudi komen... terima kasih!

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...