Friday, February 22, 2013

Suatu jawapan yang pasti

Salam pasti,

Selepas selesai sesi tazkirah bersama rakan-rakan sejabatan pagi tadi, Pida berkesempatan berbual bersama ustaz yang mengajar tajwid dalam Surah Kahfi kepada kami itu. Ustaz yang bergelar doktor itu memang warak orangnya.

Suaranya mengaji al-Quran sungguh merdu; menimbulkan rasa cemburu kerana Pida tak mampu memperdengarkan bacaan sehebat itu. Seronok mendengar beliau bercerita tentang tafsir dan inti sari surah Kahfi tersebut.

Pida bertanya kepada ustaz itu soalan yang sangat ingin Pida ketemu jawapannya. Pida menyoal sebagai manusia yang kerdil dan lemah tetapi redha. Pida bertanya, "Kenapa Allah matikan orang-orang yang pada pandangan kita masih diperlukan lagi khidmat baktinya kepada manusia lain?"

Ustaz itu pada mulanya hanya memandang Pida selepas ditebak dengan pertanyaan tersebut. Lantas Pida menyambung, "Kenapa Allah ambil mak saya sedangkan kami semua masih memerlukan ilmunya, pengalamannya dan kasih sayangnya? Saya rasa kecewa...."

Barulah ustaz menjawab. Tetapi sebelum itu dia pulak menyoal Pida, "Pida kecewa ye?" Pida angguk.

"Kenapa ayah Nabi meninggal dari saat baginda di dalam kandungan lagi? Adakah kerana Nabi tak perlukan ayahnya?"

Pida tunduk.

"Kenapa ibu Nabi meninggal ketika Nabi masih kecil, masih berumur 6 tahun? Adakah kerana Nabi tak perlukan kasih sayang ibunya?"

Masih tunduk.

"Kenapa datuk Nabi pula meninggal ketika Nabi baru berumur 8 tahun? Adakah kerana Nabi tidak memerlukan seorang datuk untuk menjaganya?"

Pida masih tak mengerti.

"Sebab....," Ustaz terhenti di situ. Dia memandang Pida yang seperti seorang budak kecik meminta sesuatu.

"....mission completed," sambungnya dengan tenang dan lembut.

Saat itu Pida bagaikan rasa terkejut dari lamunan yang panjang. Tiba-tiba jawapan ustaz tadi menyentap jantung Pida yang selama ini seperti telah lama terhenti bersama perginya mak. Pida terpana. Lama Pida berfikir sebelum dapat terus bercakap.

Kemudian ustaz itu menyambung, "Bapa Nabi hanya memberikan benihnya kepada ibu Nabi. Mission completed. Ibu Nabi melahirkan Nabi iaitu melahirkan seorang Rasulullah dan memberi kasih sayang kepadanya walaupun sekejap. Mission completed. Datuk Nabi juga menjaga baginda sekejap. Mission completed."

"Selebihnya Allah yang mendidik dan memelihara Nabi."

"Mak Pida dipanggil Allah kerana tanggungjawabnya sebagai manusia telah selesai dijalankan. Mak Pida telah meninggalkan ilmu yang telah diajarkan kepada manusia lain, untuk terus dimanfaatkan. Supaya orang lain yang menerima manfaat tersebut akan sentiasa mengembangkan ilmu itu agar terus subur."

"Kita manusia hanya dihidupkan untuk menjalankan tugas tertentu. SEbaik selesai, Allah ambil kita semula. Perancangan Allah itu adalah sebaik-baik perancangan," Ustaz menyambung.

Ya Allah, selama ini aku jahil dalam menerima qada' dan qadar-Mu. Ampunkan aku, Ya Allah.... Aku relakan pemergian mak jika itulah yang Engkau rencanakan. Kini aku lebih tenang, malah aku bersyukur kerana telah ditemukan dengan hikmah yang selama ini kucari.

Pida bersyukur kerana diberi peluang untuk berjumpa ustaz ini. Selama ini jika Pida mengadu perasaan dan rintihan, kebanyakan hanya menjawab "sudah sampai ajal", "sudah takdir", "redhakan saja", "kita semua akan mati" dan banyak lagi kata-kata pujukan namun tidak ada satu pun yang benar-benar meredakan perasaan Pida.

Namun jawapan ustaz ini adalah penamat kepada pencarian Pida selama ini, iaitu selama mak pergi. Inilah antidot kepada kesugulan yang Pida rasai selama ini. Syukurlah kerana Pida tidak terus dirundung kesedihan lagi. Itulah jawapannya, iaitu suatu jawapan yang pasti.



Perginya mak bukan sahaja meninggalkan seribu kesedihan, namun yang lebih penting, mewariskan ilmu kepada ramai manusia.

3 comments:

  1. This comment has been removed by the author.

    ReplyDelete
  2. Semoga Pn Pida terus tabah atas sebuah kehilangan....

    Nabi Muhammad SAW hidupnya diaturkanoleh Allah, sedemikian rupa utk satu tujuan iaitu baginda mendapatkan terus ilmu direct drp Allah. Jika baginda diasuh oleh ayahnya, atau ibunya,atau datuknya, orang akan berkata, Muhammad itu bijaksana dan hebat kerana baginda diajar oleh mereka itu. Dgn kronologi sejarah sedih kehidupan baginda itu juga untuk membuktikan,ayat-ayat Quran juga bukan karangan baginda,kerana baginda tidak pernah belajar dengan sesiapa hatta ibunya sendiri. Datuknya juga menyerahkan kepada ibu susuan Halimatusaadiah selama 2 tahun.

    Hanya Allah sahaja yang mengetahui setiap apa yang berlaku kepada hambanya di dunia ini.

    ReplyDelete
    Replies
    1. Cikgu Mat Som, benar. Ustaz tu pun bagitau perkara yang sama.

      Saya bukan tak redha, tapi terlalu sedih dengan pemergian mak. Tapi tak apalah, saya memang redhakan takdir Allah ini.

      Banyak yang saya pelajari daripada apa yang berlaku ini. Salah satunya ialah mendapatkan orang yang ahli jika kita inginkan suatu kepastian tentang sesuatu perkara.

      TQ.

      Delete

Oh, tak sangka ada yang sudi komen... terima kasih!

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...